KUALA LUMPUR – 24 FEBRUARI 2024: Kira-kira 100 orang berprotes di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur pada hari ini untuk mendesak kerajaan AS supaya menghentikan genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Aksi protes pada hari ini dianjurkan oleh GegarAmerika, sebuah inisiatif rakyat Malaysia yang ditubuhkan untuk menentang kekejaman imperialis AS dan campur tangan AS di Selatan Global. GegarAmerika mengecam sekeras-kerasnya kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Genting Gaza, Tebing Barat, Al-Quds, dan wilayah-wilayah Palestin yang diduduki Israel sejak tahun 1948. GegarAmerika juga mengutuk kerajaan AS yang sedang menyokong rejim Zionis Israel dalam melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

“Imperialisme Barat, khususnya imperialisme AS, telah dibiarkan berkembang tanpa batas terlalu lama, mengakibatkan penderitaan dan penindasan yang besar di Dunia Selatan, terutamanya di Palestin,” begitu katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh GegarAmerika sempena aksi protes hari ini. “Amerika Syarikat, melalui institusi global, media barat, dan pasaran (tidak)bebas, telah memupuk sistem yang memperoleh keuntungan daripada penindasan and peminggiran warga Dunia Ketiga.”

“Sebagai warga pascakolonial, kami cukup kenal akan sistem penindasan ini, dan kami tidak mungkin berdiam diri. Seluruh Dunia Selatan harus bangkit untuk menjatuhkan Imperialisme Barat, bermula dengan pembebasan Palestin,” tegas kata kenyataan GegarAmerika

GegarAmerika turut menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai usaha menentang imperialisme AS, yang merupakan punca utama kepada pendudukan Zionis di bumi Palestin dan genosid Zionis terhadap rakyat Palestin.

Kenyataan GegarAmerika turut disokong oleh organisasi-organisasi lain seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pemuda Sosialis PSM, Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (SEJAGAT), Gabungan Marhaen, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan sebagainya.

GegarAmerika menyerahkan satu memorandum kepada Kedutaan AS. Namun, Kedutaan AS enggan menghantar wakilnya untuk keluar menerima memorandum dengan tangan. Ini jelas menunjukkan keangkuhan dan kedegilan kerajaan AS dalam mempertahankan rejim Zionis Israel yang terus menzalimi rakyat Palestin.

Tuntutan yang dikemukakan oleh GegarAmerika adalah gencatan senjata segera dan berkekalan di Gaza, menghentikan segala pembiayaan dana kepada Israel dan menghentikan penjualan senjata kepada Israel.

Turut hadir dalam aksi protes hari ini termasuk S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional ), Sivarajan Arumugam (Setiausaha Agung PSM), Danny Villenguez Mohd Amani (Ketua Pemuda Sosialis PSM), Amir Iskandar (Jurucakap GegarAmerika) dan ramai lagi.

Salah seorang peserta aksi protes, Harmit Singh, telah ditahan polis apabila dia cuba berjalan mendekati pintu masuk utama ke Kedutaan AS. Peserta aksi yang ditahan polis itu dilepaskan setelah aksi protes selesai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *