KERLING, SELANGOR: Pekerja-pekerja dari 5 buah ladang di sekitar kawasan Kuala Selangor dan Hulu Selangor menggesa calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan DUN Kuala Kubu Bharu di Selangor supaya menunjukkan komitmen dalam menyelesaikan isu perumahan mereka sekiranya mereka hendak meraih undi daripada mereka. Seruan ini dibuat oleh Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada 24 April 2024.

5 buah tersebut ialah Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak, Ladang Nigel Gardner, Ladang Bukit Tagar dan Ladang Mary. Ladang-ladang ini pernah dimiliki oleh Socfin, sebuah syarikat Perancis, dan kemudiannya dijual tanah berkenaan kepada syarikat Berjaya pada tahun 1998. Pada tahun 2019, syarikat Berjaya bersetuju untuk memberi tanah seluas 20 ekar bagi tujuan pembinaan rumah bagi 245 orang pekerja ladang di situ. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah berjanji untuk membina rumah teres kos rendah bagi pekerja-pekerja ladang ini.

Kerajaan telah menjanjikan untuk menyelesaikan isu perumahan pekerja ladang ini sejak tahun 1999. Setelah kerajaan saling bertukar dalam beberapa tahun yang lalu, isu perumahan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja dari 5 buah ladang ini. Kerajaan masih belum memperuntukkan belanjawan untuk membangunkan projek perumahan bagi pekerja-pekerja ladang. Permintaan untuk berjumpa dengan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan pun belum ditunaikan lagi.

Oleh itu, Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menyatakan pendirian tegas pekerja-pekerja dari 5 buah ladang di kawasan Kuala Selangor dan Hulu Selangor bahawa mereka tidak mahu ditipu lagi oleh janji-janji manis calon yang bertanding dalam pilihan raya. Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menggesa pada mana-mana calon dalam PRK Kuala Kubu Bharu yang hendak meraih undi mereka supaya menandatangan sebuah surat akuan bersumpah bahawa dia akan berusaha menyelesaikan isu perumahan mereka dengan memastikan pembinaan rumah teres bagi mereka dan memastikan tidak akan berlakunya pengusiran paksa terhadap pekerja-pekerja ladang.

Turut hadir bersolidariti bersama pekerja-pekerja 5 buah ladang semasa sidang akhbar ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan selepas penyandang ADUN kawasan itu, Lee Kee Hiong, meninggal dunia pada 21 Mac 2024. Hari penamaan calon bagi PRK Kuala Kubu Bharu ialah 27 April 2024 dan hari pengundian jatuh pada 11 Mei 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *