BESTARI JAYA, SELANGOR – 6 MEI 2024: Masalah perumahan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja ladang dari 5 buah ladang di Hulu Selangor dan Kuala Selangor berjaya diselesaikan apabila kerajaan bersetuju untuk untuk membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Selangor bagi menempatkan semula semua pekerja-pekerja tersebut. 5 buah ladang tersebut ialah Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Bukit Tagar.

Pengumunan ini dibuat dalam satu sidang akhbar yang dihadiri oleh Nga Kor Ming selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Papparaidu a/l Veraman selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang mewakili Menteri Besar Selangor. Turut bersama dengan pekerja-pekerja dari 5 buah ladang semasa mendapat berita baik ini ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sentiasa bersolidariti bersama perjuangan pekerja ladang.

“Hari ini, masalah yang berlarutan begitu lama kini sampai ke penghujungnya,” kata Nga Kor Ming semasa mengumumkan rancangan kerajaan untuk membina rumah bagi pekerja-pekerja dari 5 buah ladang. “Hasil perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sukacita hari ini saya mewakili Kerajaan MADANI, atas sepakat dan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, kami telah mencapai kata sepakat untuk menjayakan pembangunan perumahan bagi pekerja-pekerja ladang yang terlibat. Berjaya Corporation telah memberi komitmen sebagai tanggungjawab sosial pihak syarikat untuk turut sama bekerjasama dalam penyediaan rumah mampu milik untuk pekerja estet yang terlibat.”

Projek pembinaan rumah PPR bagi 245 orang pekerja ladang ini akan melibatkan peruntukan sebagai RM75 juta dan kerjasama daripada Berjaya Corporation yang menyumbangkan tanah seluas 20 ekar dengan percuma di Lot 25, Ladang Sungai Tinggi, Bestari Jaya, Kuala Selangor.

5 buah ladang tersebut pernah  dimiliki oleh Socfin, sebuah syarikat Perancis, dan kemudiannya dijual tanah berkenaan kepada syarikat Berjaya Corporation pada tahun 1998. Sejak tahun 1999, kerajaan telah berjanji  untuk menyelesaikan isu perumahan pekerja ladang ini. Namun, kerajaan silih berganti dalam tempoh satu suku abad yang lalu, masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja dari 5 buah ladang ini masih berterusan. Pada tahun 2019, syarikat Berjaya bersetuju untuk memberi tanah seluas 20 ekar bagi tujuan pembinaan rumah bagi 245 orang pekerja ladang di situ, tetapi pembinaan rumah tidak berlaku kerana kerajaan masih belum memperuntukkan belanjawan untuk membangunkan projek perumahan bagi pekerja-pekerja ladang.

Pekerja-pekerja dari 5 buah ladang ini telah melakukan pelbagai usaha untuk mengetengahkan masalah mereka kepada perhatian pihak kerajaan. Baru-baru ini, pekerja-pekerja dari 5 buah ladang ini menggesa calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan DUN Kuala Kubu Bharu untuk menandatangani sebuah surat akuan bersumpah bahawa dia akan berusaha menyelesaikan isu perumahan mereka dengan memastikan pembinaan rumah teres bagi mereka dan memastikan tidak akan berlakunya pengusiran paksa terhadap pekerja-pekerja ladang. Desakan daripada pekerja-pekerja ladang ini akhirnya membuahkan hasil dengan kerajaan akhirnya mengumumkan akan membina rumah bagi mereka.

Pengumuman penyelesaian masalah perumahan bagi 5 buah ladang daripada pihak kerajaan ini merupakan hasil usaha berterusan pekerja-pekerja dari 5 buah ladang yang tegas memperjuangkan hak perumahan mereka.

2 thoughts on “Kerajaan akan bina rumah untuk pekerja di 5 buah ladang di Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *