oleh Arveent Kathirtchelvan

Lebih 100 buah rumah di Kampung Sri Makmur,  Daerah Gombak, Selangor, dirobohkan pada 27 Mei 2024 walaupun penduduk-penduduk kampung merayu kepada pihak pemaju, polis dan mahkamah bahawa mereka tiada tempat teduh lain. Rumah yang diroboh termasuk semua 24 buah rumah keluarga peneroka asal yang sedang berbincang dengan pihak Pejabat Menteri Besar Selangor tentang tawaran rumah ganti yang dijanjikan oleh Menteri Besar Selangor sejak beberapa tahun lalu.

Daripada 24 buah keluarga ini, 14 buah keluarga telah pun diberi tawaran rumah Pangsapuri Selangorku Sri Temenggung hanya pada 24 Mei 2024 bersama pampasan RM1,000 sekeluarga. Masa yang diberikan kepada keluarga ini untuk mengosongkan rumah juga amat singkat, iaitu tinggal sebelum perobohan dan masa itu pada hujung minggu. Walaupun tawaran diberi, proses permohonan pinjaman rumah, tandatangan Perjanjian Jual Beli dan cabutan unit masih belum berlaku, maka 14 buah keluarga ini tiada tempat berteduh yang lain apabila rumah mereka dirobohkan.

Selain itu, 9 daripada 10 buah keluarga yang tidak ditawarkan rumah ganti telah mengemukakan rayuan kepada pihak Pejabat Menteri Besar Selangor serta pemaju Melati Ehsan pada 24 Mei 2024 juga. Mereka pun tiada tempat teduh lain dan kini masih di kawasan kampung yang telah dirobohkan. Sebuah keluarga yang tercicir pula telah keluar dari kampung walaupun tiada tempat teduh lain.

Retorik pihak pemaju adalah tempoh masa yang diberikan kepada penduduk-penduduk kampung melalui notis mahkamah pengusiran bertarikh bulan Februari 2024 cukup untuk orang kampung berpindah keluar. Sememangnya ada antara keluarga penduduk kampung yang telah berpindah. Akan tetapi, keluarga lain yang terlalu daif dan tidak dapat menampung kos sewa rumah serta deposit yang diperlukan memang berusaha untuk berbincang dengan pihak kerajaan negeri dan pemaju supaya tidak kehilangan satu-satunya rumah yang ada.

Kini, semua 23 buah keluarga yang masih ada di Kampung Sri Makmur merayu supaya proses pemberian kunci rumah kepada 14 buah keluarga yang berjaya dapat tawaran serta pertimbangan rayuan 9 buah keluarga lain dipercepatkan. Pihak pemaju juga patut peka dan prihatin pada keadaan penduduk kampung, antaranya OKU, warga emas dan anak-anak kecil, yang kini ditinggalkan begitu sahaja. Memperuntukkan 9 buah rumah tambahan bagi penduduk kampung tidak akan merugikan pihak pemaju.

Keuntungan pemaju tidak seharusnya mengatasi kehidupan serta maruah manusia. Tambahan pula, pemilik tanah kawasan Kampung Sri Makmur masih merupakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Apakah gunanya pihak Kerajaan Negeri Selangor mengusir anak-anak negerinya tanpa belas kasihan sebegini? Penduduk kampung bersama aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan terus berjuang untuk mendapatkan keputusan yang baik buat semua 23 buah keluarga yang terbabit.

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Penyelaras PSM Gombak.

One thought on “Rumah Kampung Sri Makmur diroboh!

  1. Rumah ini adalah kawasan setinggan ehsan Dato Harun ldris MB selangor dulu.. Masa umno berkuasa.. Kini rakyat tidak sokong umno mereka sokong pkr /dap.. Inilah dapat ya sesal dulu pendapatan sesal skrg tak berguna.. Jika umno maseh perentah selangor.. Hal Hal mcm ni tak terjadi…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *