(Tangkap layar petikan video)

CHEMOR, PERAK – 24 OKTOBER 2023: Pegawai penguatkuasa kerajaan mengasari orang awam yang cuba mempertahankan tanaman yang diusahakan oleh petani-petani kecil daripada dimusnahkan pada ketika negara kita sedang berhadapan dengan krisis keterjaminan makanan, merupakan perkara yang langsung tidak MADANI. Lebih-lebih lagi, perkara yang tidak MADANI ini berlaku di kawasan Parlimen Perdana Menteri yang mengilhamkan idea Malaysia MADANI.

Pasukan penguatkuasa tanah Negeri Perak telah memasuki kawasan pertanian yang diusahakan oleh petani-petani kecil di kawasan Kanthan, Chemor, Perak, pada hari ini, dalam cubaan untuk mengosongkan tanah kebun pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan ternakan di situ. Petani-petani kecil yang terkesan bersama-sama dengan petani-petani dari kawasan lain dan aktivis-aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) bergegas ke situ untuk menghalang pemusnahan tanaman yang diusahakan oleh petani-petani kecil tanpa satu penyelesaian yang adil.

Semasa berada di kawasan kebun petani di Kanthan, Chong Yee Shan, seorang aktivis PSM yang hadir bersolidariti dengan petani-petani kecil, telah dikasari oleh seorang pegawai penguatkuasa tanah negeri Perak. Chong telah ditolak oleh pegawai penguatkuasa tersebut dan jatuh di atas tanah sehingga mengalami kecederaan. Kelihatan muka Chong berlumuran darah selepas jatuh di atas tanah.

Petani-petani kecil di Kanthan dan aktivis-aktivis PSM yang bersolidariti dengan petani ini hanya meminta supaya pengusiran paksa terhadap petani-petani dihentikan dan perbincangan diadakan untuk mencari penyelesaian yang sewajar. Namun, pihak berkuasa masih berdegil hendak melakukan pemusnahan tanaman yang diusahakan oleh petani-petani kecil, malah menggunakan kekerasan terhadap aktivis yang prihatin pada isu keterjaminan makanan.

6 orang petani di kawasan Kanthan telah menerima notis pengusiran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara baru-baru ini. Mereka telah mengusahakan aktiviti penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan penternakan ikan di situ untuk berdekad-dekad lamanya. Mereka diusir kerana Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang memiliki tanah tersebut hendak mengambilnya untuk tujuan Pembangunan lain. Tanah kebun yang diusahakan oleh mereka itu terletak di dalam kawasan Parlimen Tambun, di mana Ahli Parlimennya sekarang ini ialah Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10 (PMX).

Pegawai daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang hadir pada hari ini cuba memaksa petani-petani Kanthan untuk menerima satu tawaran keluar dari tanah mereka tetapi tidak menyatakan seberang maklumat yang terperinci dalam tawaran itu.

Petani-petani Kanthan telah cuba meminta pada pihak berkuasa untuk membatalkan notis pengusiran dan turut meminta Perdana Menteri untuk mencampur tangan supaya mengelakkan pemusnahan kebun sayur yang mengeluarkan makanan bagi masyarakat tempatan. Namun, pihak berkuasa negeri Perak masih hendak mengusir petani-petani kecil ini secara paksaan dan memusnahkan tanaman makanan di situ.

PSM mengecam tindakan ganas penguatkuasa tanah negeri Perak terhadap aktivis. PSM juga menggesa Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri Perak untuk menghentikan pengusiran paksa terhadap petani-petani kecil di Kanthan. Sekiranya kerajaan kita serius dalam isu keterjaminan makanan, maka tidak harus membenarkan pengusiran yang sewenang-wenangnya terhadap petani-petani kecil yang mengeluarkan makanan untuk masyarakat kita.

7 thoughts on “Aktivis PSM dikasari penguatkuasa tanah Perak di kawasan Parlimen PMX

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *