
Semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober 2024, Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025. Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan yang membabitkan majikan yang mengupah kurang daripada 5 orang pekerja pula ditangguhkan selama 6 bulan dan hanya mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
Menurut Steven Sim selaku Menteri Sumber Manusia dalam satu video propaganda dalam Tiktok yang menyifatkan peningkatan gaji minimum terbaru ini sebagai satu “berita baik”, pelarasan gaji minimum terkini akan memberikan manfaat secara langsung kepada lebih 4.37 juta orang pekerja di Malaysia, dengan 80% antara mereka merupakan warganegara Malaysia. Jika mengikut angka yang diberikan oleh Menteri Sumber Manusia ini, dalam setiap 4 orang pekerja di Malaysia, sekurang-kurangnya ada seorang pekerja menerima gaji pada paras gaji minimum.
Pekerja-pekerja yang berpendapatan paling rendah memang mengharapkan peningkatan gaji mereka untuk menghadapi tekanan hidup yang semakin hebat akibat daripada kenaikan kos sara hidup, dan mereka sudah pun menanti-nantikan “berita baik” ini untuk berbulan-bulan lamanya, kerana pelarasan kadar gaji minimum ini sepatutnya sudah berlaku pada bulan Mei 2024 jika kerajaan betul-betul mematuhi Akta Majlis Perundingan Gaji Negara, di mana Seksyen 25 dalam Akta itu menyatakan dengan jelas bahawa “Majlis hendaklah, sekurang-kurangnya sekali dalam tiap-tiap dua tahun, mengkaji semula perintah gaji minimum”. Pengumuman mengenai pelarasan gaji minimum sebanyak RM200 ini telah dilewatkan selama 5 bulan, sementara pelaksanaannya pula dilewatkan selama 9 bulan. Ini belum lagi mengambil kira pekerja yang diupah oleh majikan yang mempunyai kurang daripada 5 orang pekerja, dengan peningkatan gaji minimum mereka akan dilewatkan selama 15 bulan!
Selain kelewatan dalam pelarasan gaji minimum, satu lagi persoalan yang perlu kita bangkitkan: adakah gaji minimum RM1,700 sebulan itu mencukupi? Bolehkah pekerja-pekerja bawahan di negara kita menjalani kehidupan yang sederhana dan bermaruah dengan kadar gaji minimum ini?

Kadar gaji minimum semasa tidak cukup untuk menangani cabaran hidup hari ini
S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), mengecam Kerajaan MADANI pimpinan Anwar Ibrahim kerana mengkhianati golongan pekerja dalam sektor swasta dalam isu gaji minimum.
“Pekerja-pekerja bawahan di negara kita akan terasa dikhianati kerana peningkatan kadar gaji minimum yang menghampakan,” kata Arutchelvan. “Gaji minimum RM1,700 yang akan dilaksanakan dengan 9 bulan tertangguh hampir tidak dapat mengimbangi kesan peningkatan sebenar dalam inflasi.”
Sebelum pembentangan Belanjawan 2025 lagi, PSM telah berulang kali menggesa kerajaan untuk meningkatkan kadar gaji minimum kepada sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan. Jika hendak mengkritik cadangan PSM ini, kritikan yang sepatutnya adalah cadangan PSM mengenai kadar gaji minimum baharu ini agak “konservatif” dan masih tidak mencukupi lagi untuk pekerja-pekerja bawahan menghadapi cabaran hidup harian yang semakin hebat.
Kenapa dikatakan kadar gaji minimum RM2,000 masih dianggap angka yang “konservatif”?
Jika kita merujuk pada “Panduan Belanjawanku untuk Individu dan Keluarga di Malaysia 2022/2023” yang diterbitkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, anggaran perbelanjaan bulanan seorang bujang yang tinggal di Lembah Klang dan hanya menggunakan pengangkutan awam ialah RM1,930, dan jika dia memiliki sebuah kereta, perbelanjaan bulanan menjadi RM2,700. Anggaran perbelanjaan bulanan bagi satu pasangan berkahwin yang tanpa anak ialah RM4,630. Jika kedua-dua orang pasangan itu bekerja, bermakna mereka perlu mendapat gaji RM2,315 sebulan setiap orang baru mencukupi untuk menyara kehidupan. Jika pasangan berkahwin itu mempunyai seorang anak, wang perbelanjaan bulanan yang diperlukan oleh mereka ialah RM5,980, dan jika mempunyai dua orang anak, mereka memerlukan RM6,890 sebulan!
Mungkin Lembah Klang itu kawasan metropolitan yang kos sara hidup memang tinggi, bagaimana pula dengan bandar yang lebih kecil? Jika pasangan berkahwin dengan dua orang anak itu tinggal di Kuala Terengganu, mereka memerlukan RM5,610 sebulan; jika tinggal di Alor Setar pula, mereka memerlukan RM5,430 sebulan (bersamaan perlu memperoleh gaji RM2,715 seorang jika kedua-dua suami isteri itu bekerja).
Mungkin gaji minimum RM1,700 sebulan sudah cukup untuk seorang bujang yang tinggal di Kuala Terengganu (RM1,630 sebulan) atau Alor Setar (RM1,530 sebulan), dan tidak mempunyai kenderaan sendiri. Masalahnya pula, adakah Kuala Terengganu dan Alor Setar mempunyai banyak peluang pekerja sehingga anak-anak muda bujang di situ tidak perlu pergi mencari kerja di bandar-bandar besar lain seperti yang terletak di Lembah Klang? Adakah sistem pengangkutan awam tempatan di Kuala Terengganu dan Alor Setar begitu sempurna dan mudah diakses sehingga penduduk-penduduk di situ langsung tidak perlu menggunakan kenderaan sendiri?
Dalam satu kajian yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2018, dianggarkan bahawa gaji sara hidup minimum yang diperlukan di Kuala Lumpur pada masa itu ialah antara RM2,700 sebulan untuk seorang dewasa yang hidup bersendirian hingga RM6,500 sebulan untuk sepasang suami isteri dengan dua orang anak. Sudah 6 tahun berlalu, jika kita menganggap kos sara hidup langsung tidak meningkat pun, dengan gaji minimum RM1,700 sebulan, seorang dewasa bujang masih kekurangan RM1,000 sebulan untuk menjalani kehidupan yang sederhana.

Jika anda menganggap anggaran gaji sara hidup minimum di Kuala Lumpur yang dibuat oleh Bank Negara itu terlalu tinggi, kita merujuk pula pada formula yang digunakan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara dalam pengiraan gaji minimum. Formula pengiraan gaji minimum ini mengambil kira faktor-faktor penentu seperti pendapatan garis kemiskinan (PGK), gaji penengah, pertumbuhan produktiviti, indeks harga pengguna (CPI) dan kadar pengangguran. Mengikut formula ini, kadar gaji minimum yang sepatutnya ialah RM2,444 sebulan. Jika kita membezakan kawasan bandar dan kawasan luar bandar, di mana kos sara hidup lebih tinggi di kawasan bandar, gaji minimum di kawasan bandar sepatutnya RM2,568, sementara gaji minimum di kawasan luar bandar pula sepatutnya RM1,884, iaitu RM184 lebih tinggi berbanding kadar gaji minimum tahun 2025 yang belum berkuat kuasa lagi.
Selepas mempertimbangkan pelbagai aspek seperti paras pendapatan sebenar rakyat, kos sara hidup yang tinggi pada ketika ini dan keengganan golongan majikan membayar peningkatan gaji yang terlalu besar, PSM telah mengambil pendirian yang sedikit berkompromi dengan menggesa penetapan gaji minimum pada kadar sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan. Namun, apa yang menghampakan adalah, Kerajaan MADANI yang kononnya mahu “mensejahtera rakyat” itu hanya mengumumkan gaji minimum RM1,700 sebulan.
Jika cadangan PSM untuk gaji minimum RM2,000 ini boleh dikatakan satu pertimbangan yang agak “konservatif”, maka “berita baik” peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 oleh Kerajaan MADANI itu sudah tentu sesuatu yang ultra-konservatif!
Lebih-lebih lagi, kadar gaji minimum RM1,700 sebulan untuk pekerja-pekerja di sektor swasta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 adalah jauh lebih rendah berbanding dengan kadar gaji minimum untuk semua penjawat awam yang ditetapkan pada paras RM2,115 sebulan, seperti yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 yang sama. Jika kerajaan boleh menetapkan RM2,115 sebulan sebagai pendapatan minimum untuk semua penjawat awam, kenapa tidak boleh untuk pekerja-pekerja lain yang hidup di dalam negara yang sama? Adakah ini pilih kasih atau mewujudkan segregasi pekerja?
Jangan lupa pula ramai pekerja yang bekerja di bangunan-bangunan kerajaan, seperti hospital dan sekolah, sebagai pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan. Mereka berkhidmat untuk memastikan premis-premis kerajaan kita bersih dan selamat, tetapi mereka dibayar kadar gaji minimum yang lebih rendah berbanding penjawat-penjawat awam yang bekerja di dalam bangunan yang sama, kerana kerja-kerja yang dilakukan oleh mereka untuk kerajaan itu telah disumberkan luar kepada kontraktor-kontraktor swasta. Mereka ialah mangsa kepada dasar penswastaan yang diperkenalkan sejak zaman pentadbiran Mahathir 1.0 pada tahun 1990-an, dengan tiadanya keterjaminan kerja dan terus ditekan dengan gaji yang rendah. Ini langsung tidak kena-mengena dengan “mensejahtera rakyat”.

Sejarah ringkas tentang gaji minimum di Malaysia:
Gaji minimum bukan ehsan kerajaan tetapi perlindungan asas yang diperjuangkan oleh pekerja
Marilah kita mengimbas kembali sedikit sejarah tentang gaji minimum di negara kita. Gaji minimum boleh menjadi peruntukan wajib di bawah undang-undang negara kita pada hari ini, bukannya sesuatu yang jatuh dari langit, bukannya sesuatu yang timbul kerana golongan elit dalam kerajaan tiba-tiba sedar daripada tidur secara sendiri, dan sudah tentu juga bukannya oleh kerana golongan korporat tiba-tiba berasa kasihan atau bersalah pada pekerja-pekerja bawahan dan dengan rela hatinya membayar gaji yang tidak kurang daripada satu paras minimum. Gaji minimum boleh dilaksanakan di negara kita sejak tahun 2013, adalah kerana perjuangan yang berterusan daripada pelbagai pihak yang prihatin pada nasib pekerja, termasuk pekerja-pekerja sendiri.
Tuntutan untuk melaksanakan gaji minimum di negara kita sudah dikemukakan sejak tahun 1990-an oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Pada tahun 1999, semasa Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri pada masa itu merasmikan mesyuarat agung MTUC , dia berkata bahawa pekerja sewajarnya mendapat gaji sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan. Namun, dua tahun kemudian, Dr. Mahathir berkata dalam perutusan Hari Pekerja bahawa kerajaan tidak dapat menetapkan gaji minimum RM1,200 sebulan, kerana kenaikan gaji ke paras terlalu tinggi boleh menjurus kepada kemusnahan ekonomi negara. Adalah jelas bahawa kata-kata pada tahun 1999 oleh Dr. Mahathir, sebagai politikus nombor satu di negara kita yang pakar dalam U-turn, memang hanya silap mata untuk memperdayakan pekerja-pekerja sebelum pilihan raya umum pada masa itu, kerana gaji minimum tidak pernah dilaksanakan sepanjang tempoh 22 tahun dia menjadi Perdana Menteri ke-4.
Kerajaan enggan melaksanakan gaji minimum pada masa itu dengan memberi pelbagai alasan seperti gaji minimum akan menyebabkan negara kita kehilangan daya saing, pelabur tidak akan datang, ekonomi akan terjejas dan sebagainya. Namun, pada masa yang sama, kerajaan terus menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif kepada para pelabur, seperti kadar cukai korporat dikurangkan secara ketara daripada 40% pada tahun 1970-an kepada 35% pada tahun 1980-an kemudian kepada 30% pada tahun 1990-an sehingga 28% menjelang tahun 2001, untuk membolehkan golongan korporat mengaut keuntungan lumayan tetapi terus membayar pekerja dengan gaji rendah yang tiada lantainya.
Pada 19 April 1999, lebih 2,000 orang pekerja ladang yang dimobilisasi oleh Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) mengadakan satu aksi protes di hadapan Parlimen untuk mengetengahkan tuntutan-tuntutan mereka, termasuk skim gaji bulanan minimum RM750. JSML telah melancarkan kempen menuntut gaji bulanan untuk pekerja-pekerja ladang sejak 1 Mei 1996.
Pada bulan Jun 1999, iaitu 2 bulan selepas aksi protes pekerja-pekerja ladang di hadapan Parlimen, Parti Kongres India Malaysia (MIC), sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) yang memerintah pada masa itu, menyerahkan satu laporan kepada Kabinet untuk menuntut gaji bulanan sebanyak RM900 hingga RM1,000 bagi pekerja-pekerja ladang. Kerajaan kemudian mengumumkan pada bulan Mac 2000 bahawa ia akan mengkaji kebolehlaksanaan gaji bulanan dalam sektor perladangan. Namun, apabila kerajaan mengumumkan persetujuan yang dicapai antara Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) mengenai gaji bulanan bagi pekerja ladang pada 8 Februari 2001, gaji bulanan minimum bagi pekerja-pekerja ladang hanya RM325, satu angka yang berada jauh di bawah pendapatan garis kemiskinan.
Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan (GPKK) di bawah Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) melancarkan kempen menuntut Akta Gaji Minimum pada tahun 2003. Pada masa itu, GPKK/JERIT menuntut gaji minimum sebanyak RM900 sebulan. Ia satu angka yang sangat munasabah, memandangkan isu yang paling kritikal pada masa itu ialah negara kita masih tidak mempunyai apa-apa ketetapan undang-undang untuk gaji minimum di peringkat kebangsaan. Aktivis-aktivis GPKK/JERIT giat mengutip tandatangan yang menyokong pelaksanaan Akta Gaji Minimum RM900 di seluruh negara. Kira-kira 1,000 orang berprotes di hadapan Parlimen pada 21 September 2006, untuk menyerahkan lebih 50,000 keping poskad yang bertandatangan dengan tuntutan kepada Parlimen supaya menggubal Akta Gaji Minimum segera.

Kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan gaji minimum bagi pengawal-pengawal keselamatan swasta di Semenanjung Malaysia mulai bulan Julai 2010 mengikut cadangan daripada Majlis Penetapan Gaji pada masa itu, dengan kadar gaji antara RM500 hingga RM700 mengikut 3 kawasan yang berbeza, tetapi ditangguhkan sehingga bulan Februari 2011 kerana terdapat bantahan daripada pihak majikan. Ini juga merupakan satu kadar gaji yang berada di bawah paras kemiskinan.
Selepas kempen dan desakan daripada pelbagai pihak, kerajaan akhirnya menggubal Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) untuk mewujudkan mekanisme penetapan gaji minimum bagi semua pekerja di peringkat nasional. Perintah Gaji Minimum yang pertama dikeluarkan pada 16 Julai 2012 untuk melaksanakan gaji minimum mulai 1 Januari 2013. Pada masa itu, gaji minimum ditetapkan pada kadar RM900 sebulan untuk Semenanjung Malaysia, dan RM800 sebulan untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Namun, pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja-pekerja yang diupah oleh majikan yang mengambil kerja 5 orang pekerja atau kurang hanya bermula pada 1 Julai 2013, iaitu 6 bulan lebih lewat, dan penangguhan pelaksanaannya dilanjutkan lagi kemudian. Sejak itu juga, pekerja-pekerja yang diupah oleh majikan yang menggaji 5 orang pekerja dan ke bawah sering memperoleh kenaikan gaji minimum lebih lambat berbanding pekerja-pekerja lain.
Gaji Minimum RM900 sebulan pada tahun 2013 merupakan satu kadar yang tidak dipersetujui oleh kesatuan-kesatuan sekerja, organisasi-organisasi masyarakat seperti JERIT dan PSM. Ini kerana kadar gaji minimum yang dituntut pada tahun 2013 ialah RM1,200 sebulan (satu tuntutan yang dikemukakan sejak tahun 2008), dan kadar itu harus diseragamkan untuk seluruh negara.
Semakan semula dan pelarasan kadar gaji minimum yang pertama selepas pelaksanaan gaji minimum hanya mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2016, iaitu 18 bulan lewat dari tarikh yang sepatutnya. Perintah Gaji Minimum 2016 menetapkan kadar gaji minimum RM1,000 sebulan untuk Semenanjung Malaysia, dan RM920 sebulan untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Satu kenaikan yang masih gagal mencapai kadar RM1,200 sebulan yang dituntut sejak 8 tahun terdahulu, sedangkan tuntutan gaji minimum daripada kumpulan-kumpulan masyarakat sudah meningkat kepada RM1,500 sebulan pada masa itu.
Pelarasan semula gaji minimum yang kedua juga dilambatkan sebanyak 6 bulan dari tarikh yang sepatutnya pada tahun 2018. Pada masa itu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa selepas menewaskan BN dalam Pilihan Raya Umum 2018, mengumumkan bahawa gaji minimum dinaikkan sebanyak RM50 sahaja kepada RM1,050. Pengumuman itu mencetuskan protes daripada kesatuan sekerja seperti MTUC, kumpulan-kumpulan masyarakat dan PSM. Gabungan Bantah RM1050 yang turut disertai oleh MTUC dan PSM menganjurkan satu aksi protes di hadapan Parlimen pada 17 Oktober 2018. Hasil daripada desakan rakyat, Kerajaan PH pada masa itu menaikkan lagi RM50 kepada RM1,100 melalui Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018, dengan kadar baharu itu mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2019. Satu perubahan yang dibuat dalam pelarasan gaji minimum pada masa itu ialah kadar gaji minimum diseragamkan untuk seluruh negara, dan tiada lagi perbezaan kadar gaji minimum merentasi Lautan China Selatan.

Pelarasan gaji minimum yang seterusnya mula berkuat kuasa pada 1 Februari 2020 melalui Perintah Gaji Minimum 2020, dengan kenaikan sebanyak RM100 kepada RM1,200 sebulan, tetapi hanya untuk 57 buah kawasan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran, sementara pekerja-pekerja yang bekerja di kawasan luar bandar masih dibayar gaji minimum RM1,100.
PSM mencadangkan gaji minimum harus ditingkatkan kepada RM1,800 sebulan dalam satu memorandum yang diserahkan pada bulan Julai 2021 kepada Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara yang berada di bawah Majlis Perundingan Gaji Negara.
Pelarasan gaji minimum pada tahun 2022 menyaksikan peningkatan kadar gaji minimum yang paling besar, iaitu sebanyak RM300 kepada RM1,500 sebulan, dan mula berkuat kuasa pada 1 Mei 2022. Namun, kerajaan masih memberikan pelbagai kelonggaran kepada majikan dalam melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500. Malah, pekerja-pekerja pembersihan dan pengawal-pengawal keselamatan yang bekerja di sekolah-sekolah kerajaan telah dilambatkan pembayaran mengikut kadar gaji minimum baharu pada masa itu atas alasan perjanjian antara kerajaan dan kontraktor masih belum diperbaharui.
Pelarasan gaji minimum yang terbaru sepatutnya mula dilaksanakan pada bulan Mei 2024, tetapi sekali lagi dilambatkan pengumumannya dan pelaksanaannya sudah lewat selama 9 bulan. Kadar gaji minimum terbaru ini kurang daripada RM2,000 sebulan yang disarankan oleh PSM dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

Gaji minimum yang mampu sara hidup penting untuk kesejahteraan rakyat dan pembugaran ekonomi
Mungkin ada orang berpendapat bahawa kadar gaji minimum yang terlalu rendah itu bukan satu masalah, kerana minimum itu bermaksud “paling rendah”, maka tidak bermasalah untuk mengekalkan gaji minimum itu pada kadar yang serendah mungkin. Ini satu anggapan yang salah, malah langsung tidak berperikemanusiaan dan tiada idea untuk memajukan masyarakat.
Gaji minimum ialah gaji lantai untuk membolehkan pekerja-pekerja menjalani sebuah kehidupan yang sederhana dan mampu menjana semula tenaga mereka supaya dapat terus bekerja. Oleh itu, kadar gaji minimum yang dibayar kepada seseorang pekerja itu harus mencukupi untuk menyara hidupnya dan keluarganya, bukannya kadar gaji di bawah garis kemiskinan yang menjejaskan kehidupan.
Pekerja-pekerja yang menerima gaji terlalu rendah akan terpaksa membuat kerja dengan masa yang lebih panjang setiap hari ataupun mencari kerja sambilan lain untuk menambahkan pendapatan mereka yang sedikit itu. Ini akan menjejas kesihatan pekerja, sehingga boleh menghidap pelbagai penyakit pada usia muda lagi, malah boleh mati secara tiba-tiba kerana keletihan yang melampau. Bukan sekadar itu sahaja, produktiviti pekerja juga akan terjejas sekiranya kesihatan pekerja merosot kerana terpaksa bekerja lebih kuat dan lebih lama untuk menambahkan gaji mereka yang terlalu sedikit itu. “Imbangan pekerjaan-kehidupan” (work-life balance) tidak mungkin akan wujud dalam kalangan pekerja-pekerja bawahan yang hanya menerima gaji minimum, dan ia hanya kekal sebagai “hak keistimewaan” sesetengah golongan yang berpendapatan tinggi sahaja.
Ada pula orang mungkin akan berkata bahawa jika kadar gaji minimum itu terlalu tinggi, pihak majikan akan rugi dan pelabur akan melarikan diri. Pandangan ini boleh dibidas dengan satu kisah benar.
Pernahkah anda dengar tentang nama Henry Ford? Henry Ford ini ialah seorang kapitalis besar yang mengasaskan syarikat pembuat kereta Ford Motor Company di Amerika Syarikat (AS). Pada tahun 1914, iaitu 110 tahun dahulu, majikan kepada syarikat pembuat kereta ini memutuskan untuk menaikkan gaji harian kepada pekerja-pekerja yang diupahnya, dari 2.34 dolar AS kepada 5 dolar AS (bersamaan kira-kira 152 dolar AS atau RM660 hari ini ), dengan peningkatan sebanyak 114%. Ford berbuat demikian bukan kerana dia seorang yang murah hati, suka membuat kebajikan atau sayang sangat pada pekerja-pekerjanya; sebaliknya, dia berbuat demikian untuk mengelakkan syarikatnya daripada muflis kerana kegawatan ekonomi. Sebuah syarikat yang sudah hampir muflis masih meningkatkan gaji pekerjanya. Bukankah ini agak pelik untuk kapitalis yang mengutamakan keuntungan itu berbuat demikian? Namun, logik si kapitalis besar itu untuk menyelamatkan perniagaannya itu agak mudah: apabila dia menaikkan gaji pekerjanya, bermakna pekerja yang bekerja di kilangnya itu akan mempunyai lebih banyak pendapatan sehingga mampu membeli kereta yang dikeluarkan dari kilangnya, maka mewujudkan pasaran yang lebih besar untuk menjual keretanya. Tambahan pula, kenaikan gaji yang ketara itu menyebabkan ramai orang berebut-rebut untuk bekerja di kilang Ford, dan meningkatkan produktiviti kilangnya. Hasil daripada kenaikan gaji itu, bisnes syarikat Ford semakin berkembang dan si kapitalis yang bernama Henry Ford itu lebih kaya lagi dengan keuntungan yang dijana daripada pengembangan bisnesnya kerana kenaikan gaji pekerjanya.
Jadi, mitos bahawa kenaikan gaji pekerja secara mendadak boleh menjejaskan ekonomi dan keuntungan syarikat itu sudah pun terbukti tidak benar sama sekali lebih satu abad yang lalu, bukannya oleh golongan sosialis, tetapi oleh kapitalis itu sendiri!
Meningkatkan gaji minimum bagi golongan pekerja secara ketara ke paras yang bermakna, boleh meningkatkan kuasa beli rakyat secara keseluruhan, maka memainkan peranan penting dalam membugarkan ekonomi. Pemulihan dan pembugaran ekonomi dengan peningkatan kuasa beli rakyat kerana kenaikan gaji minimum yang ketara, boleh menjana lebih banyak peluang pekerjaan, seterusnya memantapkan lagi ekonomi. Ini bukannya sesuatu yang sukar dihadam dan difahami oleh para pembuat dasar dalam kerajaan atau golongan majikan.
Akan tetapi, kenapa kerajaan Malaysia masih takut dengan meningkatkan gaji minimum kepada satu paras yang munasabah dan pihak majikan pula sentiasa merungut tentang kenaikan gaji minimum? Ketakutan kerajaan dan keengganan majikan di Malaysia untuk meningkatkan gaji minimum itu bukan tiada asasnya jika kita mengkaji realiti ekonomi negara kita lebih mendalam sedikit. Halangan kepada kenaikan gaji minimum ke paras yang munasabah itu wujud dalam struktur ekonomi negara kita yang diwarisi daripada penjajahan British.
Sebelum negara kita merdeka, Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak diserap ke dalam sistem kapitalis global melalui proses penjajahan oleh kuasa imperialis dari Eropah, terutamanya Britain yang merupakan negara kapitalis yang paling maju pada masa itu. Kuasa imperialis yang kolonial menjadikan negara kita ini sebagai pembekal bahan mentah kepada pembangunan perindustrian di negara mereka sendiri sehingga menjadi negara maju melalui eksploitasi yang teruk terhadap golongan buruh yang bekerja di lombong dan ladang, di samping menggondol sumber alam di sini. Kekayaan golongan kapitalis kolonial dikumpulkan daripada pengeksploitasian terhadap tenaga buruh yang dibayar dengan upah sangat rendah. Sejak itu, struktur ekonomi negara kita direka supaya memudahkan pelaburan modal dari luar negara dan membina asas ekonomi perusahaan yang bertujuan untuk eksport, dari bahan mentah (seperti timah dan getah) pada awalnya hinggalah barangan pengguna.
Struktur ekonomi yang dibina di atas asas kebergantungan pada pelaburan asing dan berorientasikan eksport, dengan tenaga kerja dibayar gaji yang rendah, telah diteruskan selepas negara kita mencapai kemerdekaan. Walaupun negara Malaysia mengalami proses pembangunan perindustrian yang pesat sejak tahun 1970-an, struktur ekonomi kolonial itu masih belum diubah secara ketara. Dasar kerajaan masih menumpu kepada “menarik pelaburan asing” atas nama pembangunan ekonomi dan penjanaan peluang pekerjaan, malah kita sering melihat politikus demi politikus berbangga dengan betapa banyak pelaburan asing yang berjaya ditarik masuk ke negara kita.
Namun, ini dilakukan dengan pelbagai pendekatan “mesra pelabur” yang melemahkan lagi perlindungan hak pekerja dan memudahkan golongan pemodal mengaut keuntungan lumayan tanpa diagihkan semula kepada golongan pekerja yang membanting tulang dalam penjanaan keuntungan itu. Pendekatan “mesra pelabur” ini termasuklah pengurangan kadar cukai korporat dan penekanan gaji pekerja kepada paras yang rendah. Kerajaan Malaysia pada asalnya enggan melaksanakan gaji minimum kerana hendak memastikan gaji pekerja kekal pada paras yang rendah untuk menarik pelaburan modal, dan selepas pelaksanaan gaji minimum pun, pendekatan ini diteruskan dengan mengekalkan kadar gaji minimum itu serendah mungkin dan melambat-lambatkan pelarasan gaji minimum.
Ekonomi pengeluaran yang berorientasikan eksport pula menyebabkan pengilang-pengilang yang melabur di negara kita, sama ada pelabur asing atau tempatan, tidak memberi perhatian kepada keperluan untuk mengembangkan pasaran domestik melalui cara peningkatan gaji pekerja seperti yang pernah dilakukan oleh Ford lebih 100 tahun dahulu. Mereka hanya mengutamakan pasaran antarabangsa di mana barangan keluaran kilang mereka dieksport. Ini menyebabkan pelabur-pelabur ini lebih cenderung kepada mengekalkan gaji pekerja pada paras yang rendah untuk mengaut keuntungan yang lebih banyak, bukannya mengambil kira pengembangan pasaran domestik yang juga boleh meningkatkan keuntungan mereka.
Selain itu, banyak pengilang di negara kita, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melakukan proses pengeluaran yang disumberkan luar daripada syarikat korporat multinasional gergasi, atau dalam erti kata lain, menjadi kontraktor kepada syarikat yang lebih besar untuk melakukan sebahagian daripada kerja pengeluarannya. Banyak barangan yang dikeluarkan itu dieksport pula ke luar negara dengan harga jualan runcit yang lebih tinggi di situ untuk menjana keuntungan yang lumayan kepada syarikat korporat multinasional gergasi yang menyumberkan luar proses pengeluaran kepada PKS. Sektor PKS yang menjadi kontraktor kepada syarikat korporat gergasi mengaut keuntungan melalui cara membayar gaji rendah kepada pekerja-pekerja mereka, tetapi keuntungan yang diperolehi sektor PKS itu jauh kurang berbanding keuntungan yang boleh dikaut oleh syarikat korporat gergasi yang menjualkannya dengan harga runcit yang lebih tinggi di pasaran negara maju.
Oleh sebab “keperluan” logik kapitalis untuk menekan gaji pada paras yang rendah, sektor PKS juga lebih cenderung untuk mengupah pekerja-pekerja migran yang lebih mudah dieksploitasi dan senang dibuli kerana situasi ekonomi mereka yang lebih teruk berbanding pekerja-pekerja tempatan dan kekurangan perlindungan hak bagi mereka di sisi undang-undang. Jadi, realitinya adalah penekanan gaji pada paras rendah yang menyebabkan lambakan pekerja migran yang kebanyakannya diekploitasi secara teruk, bukannya lambakan pekerja migran yang menyebabkan gaji rendah dan “merampas” peluang kerja warga tempatan sehingga memecah-belahkan golongan pekerja, maka melemahkan usaha mempertahankan hak pekerja.
Lebih-lebih lagi, syarikat korporat gergasi boleh mengelak daripada membayar cukai terhadap keuntungannya dengan strategi pengalihan keuntungan ke tempat berlindung cukai yang terletak di seluruh dunia. Akibatnya, syarikat korporat gergasi dan pelabur asing terus mengaut keuntungan besar, sedangkan pekerja-pekerja yang bekerja keras untuk menjana kekayaan itu hanya menerima gaji yang sedikit, sementara pengilang-pengilang PKS merungut tentang susah membuat bisnes kerana keuntungan mereka sedikit sahaja berbanding pihak yang memberi kontrak kepada mereka. Inilah hakikat kolonialisme baharu tanpa perlunya pemerintahan kolonial secara langsung.

Ketagihan pada pelaburan asing dan ekonomi yang berorientasikan eksport, merupakan warisan pemerintahan kolonial dan penguasaan hegemoni kapitalis global yang terus memangsakan serta memiskinkan golongan pekerja, sama ada pekerja tempatan ataupun pekerja migran. Masalah ini harus dan boleh diatasi oleh kerajaan dengan melaksanakan dasar ekonomi yang berputus daripada logik ekonomi neoliberal yang mengutamakan keuntungan korporat semata-mata.
Negara Malaysia bukan lagi sebuah negara yang miskin. Selain kaya dengan sumber alam, negara kita sudah mempunyai keupayaan pengeluaran dan tahap produktiviti buruh yang mencukupi untuk membangunkan sebuah ekonomi yang berdikari, berdaulat dan mampu mensejahtera rakyat. Kerajaan boleh menggunakan begitu banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negara ini untuk mempertingkatkan dan memantapkan keupayaan pengeluaran dengan melaburkan dana dalam sektor-sektor ekonomi yang mengeluarkan benda-benda yang berguna serta perkhidmatan yang diperlukan rakyat (seperti kemudahan asas, infrastruktur sosial, pengangkutan awam, pemuliharaan alam, penjagaan sosial dan sebagainya), bukannya melabur dalam spekulasi ekonomi yang tidak mengeluarkan apa-apa yang berguna (seperti hartanah, pasaran kewangan, perdagangan karbon, “kerjasama” dengan pelabur asing tanpa pemindahan teknologi yang diperlukan dan sebagainya). Ini boleh dilakukan jika kerajaan kita benar-benar mempunyai kebijaksanaan, kesedaran, keberanian dan kesungguhan politik untuk membina sebuah ekonomi yang benar-benar merdeka.

Gaji rendah, hidup susah!
Adalah semata-mata retorik kosong melaungkan slogan “membugar ekonomi” dan “mensejahtera rakyat” tanpa benar-benar menangani masalah pendapatan rakyat pekerja yang terlalu rendah dan terus hidup dengan beban ekonomi yang menyusahkan. Hanya sekadar mengutamakan pertumbuhan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), melalui ketagihan pada pelaburan asing, tidak akan mensejahtera rakyat. Kita perlukan pengagihan semula kekayaan masyarakat yang dihasilkan oleh golongan pekerja dengan lebih adil dan saksama. Golongan pekerja di negara kita selama ini telah dirampas banyak gaji mereka, masa rehat mereka, kesihatan mereka malah kehidupan mereka kerana dibayar dengan kadar gaji yang tidak setimpal dengan sumbangan tenaga buruh mereka yang sebenar.
Meningkatkan gaji minimum ke tahap mampu sara hidup secara bermaruah bagi golongan pekerja, merupakan salah satu cara yang penting untuk mengagihkan semula kekayaan masyarakat. Walau bagaimanapun, hanya dengan adanya gaji minimum yang mampu sara hidup secara bermaruah masih tidak mencukupi untuk mensejatera rakyat secara mampan. Kita juga perlu terus mendesak kerajaan untuk membangunkan dan memperkukuhkan sistem perlindungan sosial yang menyeluruh, dari penjagaan kanak-kanak, kesihatan awam dan keterjaminan kerja sehingga pencen warga emas sejagat.
Jangan biarkan golongan pekerja bawahan di negara kita terus hidup susah kerana gaji rendah!
==========
Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.