Malaysia sudah menjadi “negara menua”

Penuaan penduduk sudah menjadi fenomena perubahan demografik masyarakat yang ketara di banyak negara pada abad ke-21, termasuklah Malaysia. Penuaan penduduk merupakan proses di mana nisbah golongan warga emas dalam sesebuah masyarakat semakin besar.

Hasil daripada pembangunan kebendaan dan kemajuan teknologi, jangka hayat purata dan usia penengah penduduk di banyak negara telah dilanjutkan, dan kesihatan warga emas juga ditingkatkan untuk membolehkan mereka hidup lebih lama lagi. Semakin ramai orang dapat hidup lebih lama di dunia sememangnya merupakan satu pencapaian penting buat masyarakat kita, tetapi penuaan penduduk mengundang cabaran baharu kepada masyarakat dari segi pembangunan ekonomi, pengagihan kekayaan sosial, corak pekerjaan, hubungan komuniti dan sebagainya yang juga boleh memberi impak kepada kehidupan golongan warga emas yang semakin besar bilangannya dalam masyarakat kita.

Mengikut takrifan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), terdapat 3 kategori masyarakat berkaitan penuaan penduduk: “masyarakat penuaan” (ageing society) dengan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas mencecah 7%, “masyarakat tua” (aged society) dengan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas mencecah 14%; dan “masyarakat lampau tua” (super-aged society) dengan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas mencecah 21%. Negara Malaysia sudah merupakan sebuah “negara menua”, ataupun sudah memasuki masyarakat penuaan pada masa ini, dengan lebih 7% daripada lebih 34 juta orang penduduk berumur lebih 65 tahun. Pada masa ini, 3.9 juta orang penduduk di Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas (bersamaan 11.4% daripada 34.1 juta orang penduduk Malaysia pada suku kedua tahun 2024); dan antaranya 2.6 juta orang (7.6%) berumur 65 tahun dan ke atas. Adalah dijangkakan bahawa negara Malaysia akan menjadi “negara tua” tidak lama lagi.

Jangka hayat purata bagi penduduk Malaysia ialah 74.8 tahun (72.5 tahun bagi lelaki dan 77.4 tahun bagi wanita) pada tahun 2023, meningkat sebanyak lebih 3 tahun dalam tempoh lebih tiga dekad lalu berbanding 71.2 tahun pada tahun 1991. Ini bermakna bahawa seorang rakyat Malaysia yang mencapai usia warga emas (60 tahun) akan dapat hidup sekurang-kurangnya 15 tahun secara purata. Umur penengah di Malaysia telah meningkat dari 29.5 tahun pada tahun 2020 kepada 30.8 tahun pada tahun 2023. Dengan trend penuaan penduduk yang sedia ada, sememangnya nisbah warga emas terhadap jumlah penduduk di Malaysia akan terus meningkat pada masa akan datang.

Dengan negara Malaysia sudah melangkah masuk ke dalam masyarakat penuaan dan menuju ke arah sebuah “masyarakat tua”, adakah kerajaan kita mempunyai dasar yang konkrit untuk menangani cabaran daripadanya? Masyarakat kita akan menghadapi masalah yang besar dan kritikal jika kerajaan negara kita tidak menangani cabaran daripada penuaan penduduk dengan pelaksanaan dasar perlindungan sosial yang komprehensif.

Bolehkah warga emas di negara kita hidup dengan selesa dan bermaruah?

Salah satu cabaran hebat dalam masyarakat penuaan adalah, bagaimana golongan warga emas yang semakin besar jumlahnya di negara kita dapat menjalani kehidupan usia tua mereka dengan selesa dan bermaruah? Cabaran ini berkaitan dengan keterjaminan pendapatan bagi golongan warga emas.

Seseorang itu sepatutnya bersara daripada kerjanya apabila mencapai usia warga emas. Bersara daripada kerja bermakna bahawa seseorang itu tidak akan lagi dibayar upah atau mendapat apa-apa lagi pendapatan berkala untuk kerja seperti yang dilakukannya sebelum ini. Namun, bukan semua orang dapat bersara tanpa kerisauan tiada pendapatan berkala. Seseorang warga emas tidak mungkin akan dapat menempuhi usia tuanya jika tidak mempunyai keterjaminan pendapatan yang sekurang-kurang membolehkannya membayar untuk keperluan asas harian.

Jika seorang warga emas tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan selepas bersara, dia akan terpaksa sama ada terus bekerja walaupun kesihatan badan fizikal mungkin tidak mengizinkannya berbuat demikian lagi ataupun bergantung pada keluarganya untuk menampung kehidupannya. Bagaimana pula dengan warga emas yang tidak mempunyai ahli keluarga yang dapat menanggung perbelanjaan kehidupannya, atau yang ada ahli keluarga pun tetapi ahli keluarganya sudah mempunyai beban kewangan yang lain sehingga tiada pendapatan lebihan untuk menampung kehidupan orang tua di rumah?

Golongan warga emas memerlukan perlindungan sosial yang komprehensif supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah, sejahtera, selesa dan bahagia. Perlindungan sosial yang komprehensif bagi warga emas haruslah merangkumi keterjaminan pendapatan berkala, bantuan kewangan yang bersesuaian, perkhidmatan kesihatan yang bersubsidi, pengangkutan awam mesra warga emas yang bersubsidi, perkhidmatan jagaan sosial, kemudahan komuniti untuk aktiviti warga emas dan sebagainya.

Apa itu pencen warga emas?

Pencen ialah peruntukan dana yang menyediakan pendapatan berkala kepada orang awam apabila mereka tidak lagi mempunyai pendapatan tetap daripada pekerjaan. Golongan warga emas tidak lagi mempunyai pendapatan tetap daripada pekerjaan selepas mereka bersara daripada kerja, maka pencen warga emas merupakan punca pendapatan berkala yang penting untuk mereka.

Pencen warga emas seharusnya merupakan salah satu komponen penting dalam sistem perlindungan sosial yang komprehensif untuk semua rakyat. Sistem perlindungan sosial memberi manfaat kepada rakyat berdasarkan risiko yang dihadapinya dalam kitaran hidup (seperti pengangguran, sakit, hilang upaya, bersalin, usia tua dan sebagainya) dan sesiapa yang mengalami kemiskinan. Perlindungan sosial yang komprehensif bermakna seseorang rakyat itu akan menikmati kehidupan sejahtera yang bebas daripada belenggu kemiskinan dan ketidakjaminan sosioekonomi. Perlindungan sosial yang komprehensif dapat melindungi rakyat daripada ketidaktentuan hidup dan ancaman krisis ekonomi, di samping memainkan peranan dalam menstabilkan ekonomi kerana kuasa beli rakyat dapat dikekalkan semasa kemelesetan ekonomi.

Pada masa ini, kakitangan kerajaan dilindungi di bawah skim pencen yang diuruskan oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), dengan 768,947 orang penerima pencen (angka setakat 31 Disember 2022); sementara itu, adanya lebih kurang 550,000 orang sedang mencarum untuk Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diuruskan oleh institusi-institusi kewangan swasta.

Adalah dianggarkan bahawa lebih kurang 60% daripada tenaga kerja di Malaysia pada hari ini mencarum untuk simpanan hari tua atau mempunyai perlindungan pencen, tetapi kebanyakannya tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menghadapi persaraan.

8.53 juta daripada 15.99 juta orang ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan pencarum aktif setakat bulan September 2023. Namun, adalah dilaporkan bahawa 6.3 juta orang ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka setakat 30 September 2023, meningkat dengan ketara berbanding 4.7 juta orang yang direkodkan pada bulan April 2020, iaitu sebelum pengeluaran khas berkaitan COVID-19 diperkenalkan. Ini memang merupakan satu jumlah yang yang amat tidak mencukupi untuk persaraan.

Simpanan yang kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP bermakna bahawa seseorang itu hanya mempunyai kurang daripada RM42 sebulan untuk 20 tahun selepas dia mencapai umur persaraan. Bagaimana seorang warga emas boleh hidup dengan hanya RM1.40 sehari?

Selain itu, terdapat lagi 40% tenaga kerja di negara kita yang tidak dilindungi oleh apa-apa simpanan wajib untuk hari tua mereka. Ini bermakna pendapatan harian mereka selepas mencapai umur persaraan ialah RM0! Bagaimana pula golongan ini akan dapat menempuhi kehidupan usia tua mereka?

Cabaran hidup warga emas

Dengan simpanan hari tua yang amat tidak mencukupi, tambahan pula dengan kenaikan harga barangan asas yang berterusan dan kekurangan kemudahan sokongan bagi warga emas, golongan warga emas di negara kita sedang bergelut untuk menempuhi kehidupan usia tua mereka. Ketiadaan perlindungan pendapatan berkala seperti skim pencen warga emas, bermakna golongan warga emas tidak dapat menjalani kehidupan mereka dengan selesa dan bermaruah.

Kemiskinan usia tua, iaitu golongan warga emas tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan asas mereka, akan memaksa seseorang warga emas itu sama ada terus bekerja dengan kesihatan yang semakin merosot ataupun meminta sedekah dengan orang lain.

Seseorang itu mungkin sudah menghabiskan masa lebih 4 dekad dalam hayatnya untuk bekerja demi menampung kehidupan dirinya dan keluarganya. Sekiranya dia terpaksa terus bekerja pada usia tua hanya kerana untuk terus mendapatkan pendapatan berkala supaya dapat terus hidup, maka adakah kehidupan usia tua sebegini bermakna dan berperikemanusiaan? Jika seorang warga emas terpaksa meminta sedekah daripada orang lain kerana dia tiada sumber pendapatan untuk memenuhi keperluan asas hariannya, maka kehidupannya itu bukan kehidupan yang bermaruah, tetapi terhina. Ini sepatutnya bukan cara masyarakat kita melayan golongan warga emas kita, lebih-lebih lagi golongan warga emas yang pernah menyumbangkan tenaga dan usia zaman muda mereka kepada pembangunan negara.

Ketiadaan keterjaminan pendapatan sehingga menyebabkan ketidakjaminan hidup untuk golongan warga emas bukan sekadar masalah yang harus dihadapi oleh golongan warga emas, malah golongan muda dan pertengahan umur yang mempunyai tanggungan warga emas dalam keluarga mereka turut akan dibebankan secara ekonomi. Lebih-lebih lagi untuk mereka yang mempunyai anak-anak dalam keluarga, beban ekonomi semestinya hanya berlipat ganda.

Jadi, masalah kemiskinan usia tua kerana tiadanya perlindungan sosial seperti pencen warga emas bukannya sekadar masalah golongan warga emas, tetapi masalah serius seluruh masyarakat yang harus mendapat perhatian semua orang, termasuk kerajaan yang menggubal dasar negara kita.

PSM tuntut pelaksanaan pencen warga emas RM500

Memandangkan negara Malaysia sudah melangkah masuk ke dalam masyarakat penuaan tetapi perlindungan sosial bagi golongan warga emas yang sedia ada adalah tidak mencukupi untuk mereka menjalani kehidupan usia tua secara sejahtera dan bermaruah, Parti Sosialis Malaysia (PSM) melancarkan satu kempen untuk menuntut pelaksanaan skim Pencen Warga Emas Sejagat.

Kempen PSM yang dilancarkan pada 14 April 2023 mencadangkan supaya mewujudkan skim pencen warga emas sejagat untuk melindungi semua warga emas yang tidak mempunyai apa-apa pencen kerajaan, pencen PERKESO, atau pencen swasta. Sebagai permulaan, skim pencen warga emas yang dicadangkan ini akan membayar RM500 sebulan kepada warga emas yang berumur 65 tahun ke atas dan tidak mempunyai apa-apa  pencen kerajaan, pencen PERKESO, pencen swasta atau pendapatan bulanan tetap daripada hartanah. Pencen yang akan dibayar secara automatik sepanjang hayat kepada setiap orang warga emas yang layak, iaitu kedua-dua suami isteri warga emas dalam sebuah keluarga pun akan mendapat pencen tersebut.

Jika dilaksanakan sekarang, skim ini akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.9 juta orang warga emas yang berumur 65 tahun dan ke atas. Bayaran pencen bulanan RM500 bukannya satu angka wang yang besar bagi seseorang warga emas, tetapi ia akan menghulurkan bantuan yang amat perlu kepada mereka yang langsung tidak mempunyai apa-apa pendapatan pada masa ini.

Cadangan pencen warga emas RM500 ini hanya satu permulaan. Adalah diharapkan bahawa, jika kemampuan dana kerajaan mengizinkan pada masa akan datang, kita dapat meningkatkan lagi kadar bayaran pencen bulanan ini dan mengurangkan umur kelayakan kepada 60 tahun dan ke atas.

Kempen menuntut pelaksanaan pencen warga emas sejagat ini melibat pengumpulan tandatangan untuk petisyen dalam talian. (Tandatangani petisyen menuntut pelaksanaan pencen warga emas di sini.)

Apa bezanya pencen warga emas sejagat dengan KWSP?

Mungkin ada orang akan bertanya, bukankah kita sudah pun mempunyai KWSP? Kenapa perlukan satu lagi pencen warga emas sejagat?

KWSP ialah simpanan wajib untuk hari tua pekerja melalui caruman daripada gaji bulanan pekerja. Namun, simpanan KWSP bukannya skim pencen yang dapat menjamin pendapatan berkala yang tetap untuk pekerja yang bersara. Malah, ia bukan satu skim yang memanfaatkan semua orang tanpa mengira status pekerjaan.

Seorang ahli KWSP boleh mengeluarkan semua simpanannya sekali gus selepas mencapai umur persaraan. Jika dia menghabiskan semua simpanannya yang dikeluarkan itu dalam masa yang singkat, maka bermakna dia tidak mempunyai apa-apa lagi sumber kewangan untuk membiayai kehidupan hari tuanya.

Lebih-lebih lagi, kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan sendiri pada bulan Februari 2023 mengesahkan bahawa sebanyak 71% atau lebih dua pertiga daripada pencarum aktif KWSP yang berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai dana simpanan yang mencukupi untuk bersara melebihi paras kemiskinan. Jadi, KWSP yang wujud sekarang tidak mencukupi untuk menangani masalah warga emas yang tiada pendapatan berkala.

Berbeza dengan KWSP, skim pencen warga emas sejagat yang dicadangkan akan menyalurkan wang secara berkala (bulanan) kepada sesiapa yang sudah mencapai umur persaraan tetapi tidak menerima apa-apa pencen lain.

Apa bezanya dengan Bantuan Warga Emas (BWE)?

Ada orang mungkin bertanya pula, apakah bezanya skim pencen warga emas dengan Bantuan Warga Emas (BWE) yang juga membayar RM500 sebulan kepada orang yang layak?

Memang BWE dan pencen warga emas sejagat merupakan dua perkara yang berbeza. BWE ialah bantuan kebajikan berkala yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu warga emas miskin tegar yang berumur 60 tahun dan ke atas. Mereka yang layak menerima BWE perlu memenuhi kriteria khusus seperti pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa dan tidak tinggal di institusi kendalian JKM atau pusat jagaan yang memberi perkhidmatan secara percuma. Mereka yang layak untuk menerima BWE perlu mengemukakan permohonan kepada JKM. Oleh itu, golongan yang mendapat faedah daripada BWE adalah amat terhad.

BWE yang wujud sekarang ialah sejenis bantuan kebajikan kepada golongan warga emas yang termiskin (hanya jika mereka mengemukakan permohonan), dan bukannya pencen yang membiayai kehidupan semua warga emas tanpa mengira status pendapatan. Lebih-lebih lagi, permohonan untuk BWE perlu melalui proses ujian kemampuan dalam menentukan siapa yang layak dan siapa yang tidak layak, maka mewujudkan halangan birokrasi kepada mereka yang memerlukannya.

Pencen warga emas sejagat yang dicadangkan oleh PSM ini tidak memerlukan permohonan, maka mengurangkan karenah birokrasi yang mungkin menyusahkan lagi orang yang memerlukannya. Pencen warga emas sejagat yang dicadangkan ini akan dibayar secara automatik kepada semua warga emas yang tidak mempunyai apa-apa pencen lain.

Mana datangnya dana untuk membiayai pencen warga emas sejagat?

Memberi pencen kepada semua warga emas akan memerlukan dana yang besar. Di mana datangnya dana untuk Pencen Warga Emas Sejagat ini?

Jika kita menganggap terdapat kira-kira 2 juta orang warga emas berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai apa-apa pencen pada masa ini, membayar RM500 sebulan kepada mereka memerlukan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM12 bilion setahun. Jumlah ini hanya 3% daripada peruntukan Belanjawan 2024 yang bernilai RM393.8 bilion. Ini bukannya satu peratusan yang besar, tetapi angkanya tidak kecil juga.

Walau bagaimanapun, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Jika kerajaan benar-benar berprihatin pada rakyat dan berhasrat untuk melaksanakan sebuah skim yang dapat memberi perlindungan sosial komprehensif serta menjamin kesejahteraan masyarakat, maka ia akan berusaha untuk mendapatkan dana ataupun mengagihkan semula belanjawan untuk menjayakan skim sebegini.

Terdapat banyak cara untuk kerajaan meningkatkan hasil kerajaan tanpa membebankan rakyat biasa untuk membiayai program-program sosio-ekonomi yang memanfaatkan seluruh rakyat, antaranya:

  • Menangani penyelewengan dan ketirisan dalam perbelanjaan awam untuk menjimatkan dana kerajaan;
  • Memperkenalkan dan meningkatkan cukai ke atas golongan mahakaya dan korporat besar;
  • Menyemak dan menstruktur semula sistem pencen atau simpanan hari tua yang wujud sekarang, supaya tiada sesiapa yang tertinggal daripada jaringan perlindungan sosial bagi semua warga emas.

“Dana yang tidak mencukupi” sering digunakan sebagai alasan oleh kerajaan untuk tidak melaksanakan program sosial yang memerlukan lebih banyak perbelanjaan awam. Salah satu punca kepada masalah dana kerajaan tidak mencukupi adalah dasar ekonomi neoliberal yang diamalkan oleh kerajaan dalam tempoh empat dekad yang lalu, iaitu kerajaan cuba memikat hati golongan korporat dengan mengurangkan kadar cukai korporat. Pengurangan kadar cukai terhadap golongan mahakaya dan korporat besar telah melemahkan keupayaan kewangan kerajaan untuk membiayai program sosial yang memanfaatkan rakyat. Kerajaan harus melakukan anjakan paradigma dalam perangkaan dasar negara dengan berputus dengan logik ekonomi neoliberal yang berjinak dengan golongan korporat yang hanya mengutamakan keuntungan modal.

Kerajaan juga tidak harus mengatakan bahawa sebarang perbelanjaan untuk kebajikan sosial itu “beban kewangan” kepadanya. Jika sesebuah kerajaan menganggap peruntukan untuk kesejahteraan hidup rakyat itu sejenis “beban”, maka ia menunjukkan kerajaan itu tidak mahu memikul tanggungjawab yang paling asasnya. Kerajaan yang menganggap perlindungan sosial dan kesejahteraan rakyat sebagai “beban” itu sebenarnya sendiri ialah beban kepada rakyat.

Pencen warga emas bukan sedekah, tetapi pengiktirafan dan penghargaan kepada sumbangan tenaga kerja

Ekonomi negara kita telah membangun dengan pesatnya dalam tempoh beberapa dekad yang lalu kerana sumbangan tenaga kerja daripada golongan pekerja, sama ada dalam sektor formal atau bukan formal, ataupun mereka yang menyumbang dari segi kerja reproduktif (seperti kerja rumah tangga, penjagaan kanak-kanak, penjagaan warga emas, penjagaan orang sakit dan sebagainya). Tanpa sumbangan malah pengorbanan rakyat yang bekerja, negara kita tidak mungkin dapat membangun dan maju.

Walaupun negara kita sudah jauh lebih kaya berbanding zaman ketika baru mencapai kemerdekaan, masih adanya banyak rakyat yang hidup dalam kemiskinan, ketidaktentuan dan ketidakjaminan. Keadaan ini wujud kerana pengagihan kekayaan yang tidak saksama. Dari tahun 1970 hingga 2019, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita telah meningkat sebanyak 28 kali ganda, dan KDNK per kapita pun meningkat sebanyak 9.3 kali ganda. Namun, gaji pekerja biasa hanya meningkat sebanyak 1.6 kali ganda dalam tempoh yang sama. Ke mana perginya lebihan kekayaan yang dihasilkan oleh golongan pekerja dalam tempoh setengah abad itu tetapi tidak dinikmati oleh pekerja sendiri?

Oleh yang demikian, kita perlu mengagihkan semula kekayaan negara kita melalui pelaksanaan sistem perlindungan sosial yang komprehensif, termasuk pencen warga emas sejagat.

Pencen warga emas sejagat bukannya sedekah yang diberikan kepada warga emas miskin, tetapi sejenis perlindungan sosial yang memastikan semua warga emas dapat menjalani kehidupan usia tua mereka dengan selesa dan bermaruah. Pencen warga emas sejagat juga merupakan sejenis pengiktirafan dan penghargaan secara konkrit kepada sumbangan tenaga kerja daripada golongan warga emas semasa mereka masih mampu bekerja tetapi kekayaan yang dihasilkan itu tidak diagihkan secara adil ke dalam tangan mereka pada masa itu. Jadi, pencen warga emas sejagat boleh dianggap sebagai pampasan kepada golongan warga emas untuk sumbangan tenaga kerja mereka yang tidak diiktiraf dahulu.

Semua warga emas patut hidup secara bermaruah – Laksanakan pencen warga emas sejagat sekarang!

Semua orang akan menjadi warga emas, jika seseorang itu tidak bernasib malang sehingga tidak dapat hidup sampai umur 60 tahun dan ke atas. Jadi, pencen warga emas sejagat bukan sahaja penting untuk golongan warga emas, tetapi ia merupakan satu keperluan untuk semua orang. Bagi yang sudah menjadi warga emas, kewujudan pencen warga emas sejagat akan membolehkan seseorang itu menjalani kehidupan usia tua tanpa kebimbangan tiada pendapatan untuk menampung perbelanjaan keperluan harian. Bagi yang belum lagi menjadi warga emas, pencen warga emas sejagat merupakan satu jaminan atau insurans sosial untuk masa hadapan seseorang itu apabila dia melangkah masuk ke dalam usia warga emas satu hari nanti.

Adalah tidak bermakna untuk kita mengucap pada seseorang itu “panjang umur” seperti Tun Dr. Mahathir, sekiranya kita gagal memberi perlindungan kepada golongan warga emas daripada semua lapisan masyarakat untuk menjalani kehidupan usia tua mereka dengan selesa dan bermaruah. Laksanakan pencen warga emas sejagat sekarang demi kehidupan hari tua yang selesa dan bermaruah untuk semua!

Tandatangani petisyen menuntut pelaksanaan pencen warga emas di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *