Cadangan Dasar Gaji Progresif yang dikemukakan oleh kerajaan baru-baru ini tidak akan dapat mencapai matlamatnya untuk membawa peningkatan gaji yang bermakna kepada pekerja-pekerja di Malaysia sekiranya sistem yang wujud sekarang seperti Gaji Minimum dan rundingan bersama yang melibatkan kesatuan pekerja tidak dipertingkatkan. Ini merupakan sebahagian daripada pandangan-pandangan yang dikemukakan dalam Sesi Diskusi Meja Bulat mengenai Dasar Gaji Progresif yang dianjurkan secara bersama oleh Institut Asia Eropah (AEI) Universiti Malaya dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) pada 31 Januari 2024 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Diskusi Meja Bulat ini dihadiri oleh penyelidik-penyelidik, aktivis-aktivis buruh dan wakil-wakil kerajaan, termasuk Dr. Rajah Rasiah selaku Pengarah Eksekutif Institut Asia Eropah (AEI), Profesor Geoffrey Williams yang merupakan Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Nor Hayati Abd Rashid selaku Naib Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Syed Shahir Syed Mohamud selaku Pengerusi Institut Pemberdayaan Pekerja Selangor, Tian Chua yang merupakan bekas Ahli Parlimen Batu, Shamsuddin Bardan daripada Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Andrew Lo selaku Timbalan Presiden Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan (LLRC), S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sivarajan Arumugam selaku Setiausaha Agung PSM, M. Sivaranjani selaku Setiausaha Nasional Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), wakil daripada Kementerian Ekonomi, wakil daripada Kementerian Sumber Manusia dan sebagainya.

Diskusi Meja Bulat yang diadakan ini bertujuan untuk membincangkan cadangan Dasar Gaji Progresif yang dikemukakan dalam sebuah kertas putih oleh Kementerian Ekonomi. “Memandangkan kebanyakan rakyat masih keliru dengan bagaimana Dasar Gaji Progresif akan dilaksanakan, diskusi ini adalah untuk membincangkan bukan sahaja pemahaman kita tentang instrumen gaji progresif yang diperkenalkan oleh kerajaan, tetapi juga untuk menilai secara kritikal keberkesanannya, serta mempertimbangkan penambahbaikan yang perlu untuk instrumen ini, termasuk pelaksanaannya,” begitu katanya Dr. Rajah Rasiah dalam ucapan pembukaannya.

Menurut Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif, “walaupun Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif berkaitan gaji, termasuk Perintah Gaji Minimum (PGM) dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS) bagi meningkatkan gaji pekerja, tahap gaji yang rendah masih menjadi isu yang menyebabkan herotan dalam pasaran buruh. PGM didapati telah meningkatkan gaji pekerja berkemahiran rendah, namun telah menyebabkan situasi wage compression (himpitan gaji) apabila kadar gaji permulaan graduan ditetapkan hampir dengan kadar gaji minimum”. Oleh itu, Dasar Gaji Progresif yang dicadangkan itu dikatakan dapat mengatasi masalah tersebut. Dasar Gaji Progresif yang dikemukakan oleh kerajaan mempunyai 3 ciri, iaitu:

  • Bersifat sukarela;
  • Berteraskan insentif; dan
  • Terkait dengan produktiviti

Diskusi Meja Bulat mengenai Dasar Gaji Minimum telah membincangkan secara mendalam tentang pelbagai aspek berkenaan Dasar Gaji Progresif, mengetengahkan cabaran dan pertimbangan yang berkaitan dengan genangan gaji (wage stagnation), serta pelbagai pandangan mengenai isu-isu struktural dalam sektor pembuatan, pelarasan gaji minimum, mekanisme rundingan bersama dan kesan kenaikan kos sara hidup.

Antara masalah-masalah yang dikenal pasti dalam perbincangan mengenai Cadangan Dasar Gaji Progresif, termasuk dasar ini digubal berasaskan hipotesis yang tidak dapat dibuktikan secara empirikal, pendekatan “bersifat sukarela” tidak akan berjaya seperti yang pernah berlaku pada PLWS, kemampanan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang diragui, kemungkinan memperkukuhkan lagi diskriminasi terhadap pekerja migran, gagal menangani masalah struktur dalam pasaran buruh, sukar untuk mengukur produktiviti  dalam banyak sektor pekerjaan, tidak merangkumi ramai pekerja yang diupah sebagai pekerja kontrak, dan sebagainya.

Andrew Lo daripada LLRC berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif yang bersifat sukarela sukar untuk dilaksanakan dengan berjaya, berdasarkan pengalaman daripada Model Gaji Progresif di Singapura. Model Gaji Progresif di Singapura pada asalnya juga bersifat sukarela tetapi tidak berjaya, kerana banyak majikan enggan mengikutinya oleh sebab kekhuatiran tentang kehilangan daya saing sekiranya pesaing mereka tidak mengikuti Model Gaji Progresif, sementara kurang pekerja menjalani latihan yang ditawarkan oleh sebab tiada kenaikan gaji selepas mereka menyertai latihan dan meningkatkan produktiviti. Sebaliknya, apabila kerajaan Singapura menjadikan Model Gaji Progresif itu mandatori, ia mewujudkan persekitaran persaingan yang setara bagi pembekal-pembekal perkhidmatan, maka syarikat-syarikat akan bersaing dalam produktiviti. Andrew Lo berhujah bahawa Model Gaji Progresif boleh dijadikan sebahagian daripada dasar gaji, tetapi harus memberi perhatian kepada perkara-perkara yang lain, seperti menambahbaikkan rundingan bersama, memperkukuhkan mekanisme tripihak, pengurusan pekerja migran dan sebagainya.

Tian Chua berpendapat bahawa apa yang dibawa oleh kerajaan itu hanya menyusun semula PLWS, bukannya sesuatu yang baharu. “Dasar Gaji Progresif tidak menangani masalah berakar umbi dalam pasaran buruh,” kata Tian Chua. “Kita perlukan pemahaman yang lebih mendalam tentang hubung kait antara produktiviti dan gaji.” Tian Chua berhujah bahawa jika gaji minimum kekal statik, tiadanya faktor “mendesak” untuk penerimaan gaji progresif. Tian Chua juga menyatakan bahawa kekurangan penyertaan perwakilan buruh dalam pelaksanaan Dasar Gaji Progresif berpotensi melemahkan lagi kesatuan pekerja di negara kita.

Lee Hwok Aun, seorang penyelidik yang mengkaji pembangunan ekonomi dan dasar awam, mencadangkan bahawa kerajaan perlu adanya laluan yang jelas untuk peningkatan gaji minimum, di mana gaji minimum harus ditingkatkan ke tahap gaji sara hidup yang dapat memenuhi keperluan asas setiap orang.

Roy Ngerng, seorang aktivis sosial dari Singapura yang turut hadir secara dalam talian, berpendapat bahawa Model Gaji Progresif itu tidak diperlukan sekiranya gaji minimum dapat ditingkatkan secara wajar. “Peningkatan gaji minimum yang lebih cepat akan membawa kepada gaji yang lebih tinggi bagi peringkat gaji yang lain,” ulas Roy Ngerng. “Meningkatkan gaji minimum mewujudkan kesan berganda: keuntungan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi; produktiviti yang lebih tinggi, inovasi dan kemajuan teknologi; kurangkan masalah sosial dan wujudkan sebuah masyarakat yang lebih kuat. Undang-undang gaji minimum diperlukan untuk menggerakkan makroekonomi ke hadapan secara keseluruhan. Pendekatan bersifat sukarela tidak dapat membolehkan gaji dalam seluruh ekonomi untuk bergerak bersama. Tugas kerajaan adalah untuk meyakinkan golongan perniagaan tentang manfaat makroekonomi. Malaysia yang lebih kaya mendorong Asia Tenggara yang lebih makmur.”

“Adalah lebih baik kerajaan menggunakan wang yang diperuntukkan sebagai insentif bagi Dasar Gaji Progresif itu untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana supaya mereka meningkatkan gaji minimum,” kata S. Arutchelvan,  Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang turut berpandangan bahawa pekerja-pekerja bawahan di Malaysia masih dibelenggu dengan masalah gaji terlalu rendah.

Rani Rasiah, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, berkata bahawa kita harus juga melihat pada gambaran lebih besar yang menyebabkan gaji pekerja rendah, iaitu penekanan gaji (wage suppression) yang sistemik melibatkan aspek-aspek seperti kebergantungan pada pekerja migran yang bergaji rendah, penawaran graduan yang berlebihan, perjanjian perdagangan bebas yang merugikan pekerja, dan sebagainya.

Geetha Anbalagan, salah seorang koordinator JPKK, mencadangkan bahawa kerajaan harus menyemak semula sistem kontrak yang sering disalahgunakan sekarang ini, dan memansuhkan sistem kontrak untuk kerja-kerja tetap. Geetha juga menyarankan supaya kerajaan sendiri harus mula meningkatkan gaji pekerja yang bekerja dalam syarikat miliknya atau pekerja perkhidmatan sokongan di dalam premisnya.

Biro Pekerja PSM juga membentangkan sebuah kertas posisi yang memberi kritikan terhadap Dasar Gaji Progresif. Kertas posisi yang ditulis oleh Thulasidasan yang merupakan anggota Biro Pekerja PSM telah menghujahkan bahawa Dasar Gaji Progresif yang dibawa oleh kerajaan sekarang bukan sahaja berfungsi sebagai tabir untuk menutupi isu-isu asas gaji yang masih belum selesai, malah juga gagal mencapai objektif-objektif yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri untuk dilaksanakan. Kertas posisi Biro Pekerja PSM juga mengkritik model pertumbuhan ekonomi yang terlalu taksub pada “produktiviti”. Biro Pekerja PSM mencadangkan untuk meningkatkan gaji minimum, memperkuatkan kesatuan pekerja, memperkukuhkan rundingan bersama dan memperkenalkan pendapatan asas sejagat (UBI), sebagai jalan untuk memenuhi harapan pekerja-pekerja yang inginkan kenaikan gaji demi mengharungi cabaran kenaikan kos sara hidup.

Penganjur Diskusi Meja Bulat mengenai Dasar Gaji Progresif akan mengumpulkan semua pandangan yang telah disuarakan dan cadangan yang telah dikemukakan, untuk menyediakan satu kertas cadangan supaya diserahkan kepada kerajaan tidak lama kemudian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *