IPOH, PERAK – 27 DISEMBER 2023: Chong Yee Shan, seorang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dicederakan oleh pegawai penguatkuasa tanah semasa cuba menghalang pengusiran paksa terhadap petani-petani kecil di kawasan Kanthan, Perak, demi mempertahankan keterjaminan makanan rakyat, telah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada hari ini. Chong Yee Shan didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas pertuduhan kesalahan “menggalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya”, yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 2 tahu atau dengan denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.

Chong Yee Shan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Setiausaha PSM Perak. Beliau merupakan seorang aktivis sosial yang sudah lama terlibat dalam pelbagai perjuangan masyarakat, termasuk perjuangan kesatuan pekerja, perjuangan kesamarataan gender dan solidariti bersama petani kecil dalam menentang pengusiran paksa yang mengancam keterjaminan makanan masyarakat kita. Chong Yee Shan telah hadir bersolidariti dengan petani-petani kecil di kawasan Kanthan, Chemor, Perak, yang menghadapi pengusiran paksa daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada 24 Oktober 2023. Chong Yee Shan telah dicederakan oleh seorang pegawai penguatkuasa daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak pada masa itu, dan sekarang ini didakwa pula di mahkamah atas pertuduhan menghalang pegawai PTG dalam menjalankan fungsi jawatannya.

Pihak Penolong Pendakwa Raya cuba meminta pada Mahkamah Majistret untuk mengenakan wang jaminan sebanyak RM5,000 sementara proses perbicaraan dijalankan, namun pihak Majistret Ipoh telah memutuskan wang jaminan sebanyak RM1,500 untuk Chong Yee Shan. Tarikh sebutan kes yang seterusnya ditetapkan pada 1 Mac 2024. Chong Yee Shan diwakili pada hari ini oleh peguam K. Kunasekaran, Bawani KS dan Chan Yen Hui.

Ramai orang turut hadir bersolidariti bersama Chong Yee Shan di Mahkamah Majistret Ipoh pada hari ini, termasuk petani-petani kecil dari beberapa kawasan di Perak, Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM dan sebagainya.

Semasa berucap pada para penyokong yang hadir di luar Mahkamah Majistret Ipoh, Chong Yee Shan mengingatkan semua orang bahawa apa yang berlaku pada 24 Oktober 2023 bukannya semata-mata satu kes yang dibicarakan di bawah Kanun Keseksaan, sebaliknya mempunyai implikasi yang lebih besar dari segi keterjaminan makanan bagi masyarakat Malaysia.

“Selagi kita membenarkan pengusiran paksa terhadap petani-petani kecil yang mengeluarkan makanan ini terus berlaku lagi, ia akan menjejaskan keterjaminan makanan di negara kita,” kata Chong Yee Shan. “Untuk hidup, manusia perlu makan nasi dan sayur, bukannya makan simen atau kayu. Inilah sebabnya kita perlu berjuang untuk memastikan keterjaminan makanan di negara kita ini untuk semua rakyat Malaysia. Perjuangan ini bukan hanya untuk golongan petani sahaja, tetapi untuk semua rakyat Malaysia.”

“Pada masa ini, 2,930 ekar tanah di Hulu Kinta telah dilupuskan kepada pemaju swasta, PKNP dan PPPNP (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak). Ini merupakan satu kawasan pengeluaran makanan yang begitu penting di Perak,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM yang turut mengetengahkan isu keterjaminan makanan yang berkaitan dengan kes pendakwaan terhadap Chong Yee Shan ini. “Ini adalah keputusan daripada Kerajaan Negeri Perak yang kurang bijak. Mereka menghancurkan sebuah kawasan yang begitu besar yang mengeluarkan makanan dan telah wujud sejak zaman sebelum Perang Dunia II. Kami merayu kepada kerajaan supaya menarik balik keputusan ini dan mengekalkan tanah pertanian yang masih belum dimusnahkan supaya para petani dapat meneruskan usaha pengeluaran makanan.”

“Kami bukannya hendak menghalang pembangunan negara, tetapi keterjaminan makanan penting untuk masa depan sedang dihancur. Ini sebabnya kami cuba menghalangnya,” ulas Dr. Jeyakumar. “Saya harap semua ini akan diambil kira apabila kes ini diadili di mahkamah. Apabila kerajaan telah melakukan satu kesilapan, adalah tanggungjawab kita semua untuk memberitahu pada kerajaan bahawa ini satu keputusan yang salah dan membawa mudarat kepada masyarakat kita pada masa depan.”

“Kes ini membuang duit rakyat,” ulas S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM yang turut hadir bersolidariti. “Adalah lebih penting untuk mengambil tindakan supaya masalah petani ini diselesaikan, lebih-lebih lagi di kawasan Parlimen Perdana Menteri itu sendiri, iaitu kawasan Parlimen Tambun.”

“Apa yang telah berlaku pada 48 aduan polis yang telah dibuat terhadap pegawai PTG yang mengasari Chong Yee Shan?” Arutchelvan turut mempersoalkan dwistandard yang wujud dalam kes ini. “Pihak yang menjalankan siasatan ialah IPD IPoh. Tetapi ada banyak aduan sebelum ini bahawa IPD Ipoh berat sebelah dan tidak menjalankan tugas dengan baik. Oleh itu, IPD Ipoh bukannya pihak yang sesuai untuk membuat siasatan terhadap kesi ini.”

Gabungan Petani Perak telah menghantar satu surat representasi kepada pihak Peguam Negara untuk meminta supaya kes pendakwaan terhadap Chong Yee Shan ini digugurkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *