PUTRAJAYA – 25 APRIL 2024: Penternak-penternak lembu mengadakan protes di hadapan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada hari ini untuk menggesa kerajaan supaya menghentikan tindakan pihak syarikat Sime Darby yang melarang mereka daripada menjalani aktiviti penternakan di kawasan ladang.

Kebanyakan penternak yang berkenaan merupakan anak masyarakat pekerja ladang yang telah bekerja di kawasan ladang bergenerasi lamanya. Ramai antara mereka memulakan usaha penternakan kerana gaji mereka sebagai penoreh getah yang tidak mencukupi dan ada yang memerlukan punca pendapatan baharu selepas bersara sebagai pekerja ladang. Aktiviti penternakan mereka tidak pernah menjejaskan aktiviti perladangan di kawasan berkenaan, malah ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan memainkan peranan dalam memastikan keterjaminan makanan di negara kita.

Akan tetapi, pihak pengurusan syarikat Sime Darby Plantation telah mengeluarkan notis larangan ternakan memasuki kawasan ladang miliknya untuk meragut. Penternak lembu di Ladang Sungai Buluh, Perak, dan Ladang Bukit Cherakah, Selangor, telah menerima notis sedemikian masing-masing pada 10 dan 24 Januari 2024. Tindakan melarang aktiviti penternakan di dalam kawasan ladang ini menimbulkan kekecewaan dan kebimbangan para penternak kecil yang sudah sekian lama bergantung pada kawasan ladang untuk ternakan mereka meragut rumput.

“Tindakan Sime Darby sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengeluarkan notis untuk melarang aktiviti penternakan kecil ini adalah tidak patut kerana ia bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk menambahkan makanan tempatan dan meningkatkan keterjaminan makanan di negara kita,” kata Gandi CF, wakil Jawatankuasa Penternak-penternak Lembu dan Kambing di bawah Gabungan Marhaen, semasa menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. “Sebagai sebuah GLC, Sime Darby harus memikul tanggungjawab sosial yang lebih besar untuk membantu masyarakat tempatan dalam meningkatkan keadaan sosioekonomi mereka, bukannya menggugat rezeki mereka.”

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Datuk Seri Haji Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jawatankuasa Penternak-penternak Lembu dan Kambing menyatakan bahawa integrasi aktiviti penternakan di bawah ladang sawit terbukti merupakan satu cara yang menguntungkan pelbagai pihak termasuk kerajaan. Antara sebabnya termasuk: ternakan dapat dijual pada harga murah kerana kos makanan dan kos peliharaan ternakan yang murah; penternakan integrasi ladang sangat kurang bergantung pada bantuan kerajaan kerana dengan cara sekarang penternak mencukupi untuk mereka mengembangkan ternakan mereka; penternak integrasi juga kurang bergantung pada ubat-ubatan kerana membiak baka tempatan yang mempunyai daya tahan penyakit yang tinggi serta tidak perlu bergantung pada padang ragut yang disediakan oleh agensi kerajaan yang boleh dikatakan membebankan kerajaan; penternak integrasi tempatan membekalkan daging dan susu pada kos yang murah kepada peniaga tempatan; boleh menjimatkan perbelanjaan syarikat ladang dalam bentuk pembelian ubat racun dan upah pekerja kerana lembu memakan rumput dan semak samun di kawasan ladang maka mengurangkan keperluan ubat racun untuk membersihkan rumput; baja organik daripada lembu juga membantu dalam meningkatkan hasil ladang kelapa sawit di mana perkara ini turut disokong oleh kajian akademik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penternak-penternak lembu di kawasan ladang milikan Sime Darby sering menghadapi pelbagai gangguan dan ancaman. Ancaman ini menyebabkan penternak-penternak kecil yang bersandar pada kawasan ladang untuk tapak ragut bimbang tentang nasib mereka.

Baru-baru ini, pada 22 Mac 2024, pihak syarikat Sime Darby bersama dengan penguatkuasa Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) merampas lembu-lembu seorang penternak di kawasan Ladang Kamuning, Sungai Siput, dengan menggunakan ubat pelali. Pihak MPKK juga mengeluarkan kompaun kepada pemilik lembu dengan ugutan bahawa lembu-lembu yang dirampas itu akan dilelongkan sekiranya tidak membayar kompaun dalam tempoh masa 7 hari. Tindakan perampasan lembu ini dibuat walaupun penternak berkenaan mengatakan pada bulan Februari 2024 bahawa dia bersedia keluar dari kawasan ladang dalam tempoh 3 bulan sekiranya diberi tanah gantian.

Tuntutan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penternak-penternak Lembu dan Kambing dalam memorandumnya adalah:

  • Meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mencampur tangan dalam isu yang sedang dihadapi penternak-penternak kecil supaya mencari satu jalan penyelesaian secepat mungkin dengan pihak syarikat Sime Darby;
  • Menggesa pihak syarikat Sime Darby supaya menarik balik notis larangan yang dikeluarkan kepada para penternak dan menggugurkan “Dasar Lembu Sifar” yang zalim;
  • Mengekalkan keadaan seperti sedia kala, dengan membenarkan ternakan meragut rumput di kawasan ladang Sime Darby dan ladang-ladang lain;
  • Menggesa pihak polis, Pejabat Daerah dan Tanah, Majlis Perbandaran, Jabatan Veterinar dan agensi-agensi kerajaan yang lain supaya mengambil posisi yang bertolak ansur serta berdialog, bukannya bertindak secara keras dalam mencari penyelesaian;
  • Menjamin kebajikan asas penternak-penternak kecil dan isu seperti larangan yang dilakukan oleh pihak Sime Darby tidak harus berulang lagi.

Turut hadir bersolidariti dengan penternak-penternak semasa penyerahan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *