Siapakah petani-petani yang diusir?

Pada pertengahan dekad 1930-an, ramai petani kecil telah membuka tanah di kawasan Kuala Kuang – Kanthan – Tanah Hitam, Perak, untuk menghasilkan bahan-bahan makanan bagi pekerja-pekerja lombong dan pekerja-pekerja ladang di kawasan sekeliling. Mereka telah menduduki pondok-pondok kecil di kawasan kebun mereka.

Pada tahun 1950-51, pihak penjajah British menghimpunkan pekebun-pekebun ini ke dalam empat buah kampung baru, iaitu Kanthan, Kuala Kuang, Tanah Hitam dan Changkat Kinding. Petani-petani ini dibenarkan untuk meneruskan aktiviti pertanian pada waktu siang hari. Selepas negara kita mencapai kemerdekaan, petani-petani ini telah memohon geran atau perjanjian pajak bagi tanah yang diusahakan mereka, tetapi pihak Kerajaan Negeri tidak menjawab permohonan mereka.  

Pada tahun 1973, semasa pelancaran Pelan Buku Hijau, Allahyarham Tun Abdul Razak mengatakan bahawa pemilikan tanah tidak penting selagi tanah digunakan untuk menghasilkan makanan bagi negara.

300 orang petani yang menghadapi pengusiran sekarang ini merupakan cucu-cicit kepada petani-petani yang menerokai kebun-kebun sayur pada tahun 1930an.

Mengapakah petani-petani di Hulu Kinta sedang diusir?

98% keseluruhan kawasan pertanian sayur di Kanthan – Kuala Kuang – Tanah Hitam, tanah seluas 3000 ekar, telah pun dilupuskan kepada:

a) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), sebuah syarikat milikan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Projek Taman Teknologi Tinggi Silver Valley (1,670 ekar);  

b) Pemaju swasta seperti Liew Yin Yin Land, LBS Bina Holdings, Desa City Developments Sdn Bhd untuk projek perumahan (1,300 ekar).

Setelah memiliki tanah ini, PKNP dan pemaju swasta telah/sedang cuba mengusir petani-petani. Ada yang dihadapkan ke mahkamah, dan ada tempat di mana kebun mereka telah dimusnahkan.

Bagaimana Kerajaan Negeri Perak cuba mengusir petani?

Seksyen 425 Kanun Tanah Negara digunakan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk mengusir petani-petani. Namun, seksyen ini hanya boleh digunakan terhadap penceroboh yang tiada kebenaran untuk menggunakan tanah kerajaan. Petani-petani ini telah bertapak di kawasan ini sejak 70 tahun dahulu dengan pengetahuan pentadbiran penjajah dan juga oleh Kerajaan Malaysia selepas Merdeka. Oleh itu, petani mempunyai “persetujuan tersirat” (implied consent). Mereka bukannya “setinggan” dan Seksyen 425 tidak boleh digunakan terhadap mereka.

Apakah yang akan berlaku sekiranya pengusiran ini tidak dihentikan?

Sekiranya pengusiran terhadap petani-petani tidak dihentikan, menjelang tahun 2030, 98% tanah pertanian sayur di kawasan Chemor- Tanah Hitam – Changkat Kinding akan dimusnahkan. Kawasan ini membekalkan 80 tan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari dan merupakan kawasan pengeluaran sayur terbesar di negeri Perak. Pemusnahan kawasan persayuran ini akan menjejas keterjaminan makanan (food security) negara kita. Ia juga akan menghancurkan ekonomi tempatan yang bergantung pada industri pertanian – pembekal baja, ubat racun dan mesin pertanian akan hilang pasaran mereka; pembeli sayur, pemandu lori dan pekerja kontrak pertanian akan kehilangan pendapatan mereka.  

Adakah benar petani-petani Kanthan telah menolak tawaran tanah gantian?

Benar. PKNP telah menawarkan 2 ekar seorang kepada 130 orang petani di kawasan Kanthan. Kawasan alternatif yang ditawarkan adalah di belakang Kampung Kolam, Changkat Kinding. Tetapi tanah ini berbukit-bukit dan tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi. Oleh itu, ia tidak sesuai untuk penanaman sayur-sayuran. Petani Kanthan telah meminta kawasan yang lebih sesuai untuk penanaman sayur tetapi belum dapat tawaran lain.

Mengapakah isu ini penting untuk semua rakyat Malaysia?

Pengusiran terhadap petani yang menanam sayur-sayuran akan menjejaskan keterjaminan makanan (food security) negara. Kini, Malaysia telah berubah daripada sebuah negara yang menanam sayur-sayuran sendiri kepada negara yang mengimport sayur-sayuran dari luar negara. Sekiranya berlaku sebarang isu global seperti pandemik COVID-19 ataupun Perang Ukraine, rakyat akan mengalami gangguan untuk mendapat makanan seperti sayur-sayuran dan/atau harus membayar harga yang tinggi untuk sayur-sayuran.

Pembangunan rumah/industri di atas tanah subur untuk pertanian akan menjejaskan kehidupan semua rakyat terutamanya generasi akan datang. Petani-petani kecil dan rakyat jelata menjadi mangsa oleh kerana ketamakan pemaju dan kerajaan untuk keuntungan jangka pendek.

Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh para petani ini?

Para petani telah mengambil langkah undang-undang untuk melindungi hak mereka. Setakat akhir tahun 2023, sebanyak 8 kes telah difailkan oleh para petani untuk menghentikan pengusiran. Petani dengan bantuan Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Perak, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan juga kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga anggota Parlimen Tambun, untuk meminta janji temu dengannya dan mencari penyelesaian. Namun sampai sekarang, PMX belum jumpa para petani ataupun mengeluarkan sebarang kenyataan.

Apakah permintaan para petani?

i. Hentikan segala pengusiran terhadap petani-petani yang mengusahakan kebun-kebun sayur atau buah-buahan.

ii. Menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja di peringkat negeri Perak untuk mengkaji keputusan Kerajaan Negeri yang memusnahkan 2,930 ekar tanah persayuran di Hulu Kinta.

iii. Jika pendekatan Kerajaan Negeri tidak sebegitu bijak, 2,930 ekar tanah ini harus diambil balik daripada pemaju dan PKNP dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah dengan bayaran pampasan sewajar kepada pemaju.

iv. Tanah ini harus dipajakkan kepada para petani dan diwartakan sebagai kawasan kekal pertanian sayur dan buah-buahan dengan syarat mereka mesti mengusahakan tanah tersebut dan tidak boleh menanam kelapa sawit.

v. Mengubah suai Peraturan Tanah Negeri Perak untuk mewujudkan mekanisme semak dan imbang dalam proses pelupusan tanah pertanian. Sebuah Jemaah Khas yang dianggotai oleh beberapa orang individu yang dilantik oleh Sultan Perak atas nasihat Dewan Undangan Negeri harus dibentuk dengan kuasa untuk menghentikan sebarang pelupusan tanah sekiranya ia boleh menjejaskan keterjaminan makanan negara.

Peranan anda

1. Mengambil berat tentang isu ini. Keterjaminan makanan berkait rapat dengan kesejahteraan anak cucu kita.

2. Menyebarkan tulisan ini, dan berkongsi dengan jiran dan rakan-rakan di tempat kerja.

3. Berjumpa atau menulis kepada ADUN dan Ahli Parlimen anda, dan meminta mereka supaya mencampur tangan untuk menyelamatkan kawasan-kawasan persayuran di Hulu Kinta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *