(tangkap layar video pembentangan Belanjawan 2025 – MOF Malaysia / RTM)

oleh S. Arutchelvan

Gaji minimum RM1,700 sebulan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025, bertentangan dengan kadar gaji minimum yang dicadangkan oleh Perdana Menteri yang sama untuk sektor awam, iaitu RM2,000. Perdana Menteri pada masa itu meminta pada sektor swasta untuk mengikut kadar minimum yang ditetapkan oleh kerajaan dalam sektor awam, tetapi tiadanya kesungguhan politik untuk melaksanakan gaji minimum RM2,000.

Apa yang mengecewakan dan merupakan pembohongan secara terang-terangan dalam Belanjawan 2025 kepada rakyat Malaysia adalah, ia memberikan gambaran bahawa pekerja-pekerja akan mendapat gaji yang lebih tinggi di bawah struktur gaji progresif. Jelasnya ini tidak boleh pakai, kerana gaji progresif itu masih hanya berada di peringkat eksperimen, masih dilaksanakan dalam skop yang terhad, dan ia adalah tidak mengikat atau bukan wajib. Tambahan pula, Perdana Menteri tidak memperuntukkan wang dalam Belanjawan untuk menjadikan gaji progresif satu-satunya struktur gaji bagi Malaysia menjelang tahun 2025 seperti yang didakwa.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga amat kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia pada 18 Oktober 2024 yang memberikan gambaran bahawa keputusan menetapkan gaji minimum pada kadar RM1,700 sebulan adalah dipersetujui secara sebulat suara oleh wakil pekerja dan wakil majikan. Surat-surat yang dihantar oleh PSM kepada Menteri Sumber Manusia dan Majlis Perundingan Gaji Negara untuk meminta satu mesyuarat telah diabaikan, manakala kami juga tidak dijemput seperti tahun-tahun yang lepas apabila konsultasi gaji minimum diadakan. Ini mengecewakan kerana PSM dan organisasi-organisasi barisan hadapannya merupakan komponen-komponen yang paling kuat dalam memperjuangkan gaji minimum di negara ini sehingga ia dijadikan undang-undang.

Sekarang ini Menteri Sumber Manusia cuba memberikan gambaran bahawa keputusan mereka mendapat sokongan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang sedang mengalami masalah perbalahan dalaman antara puak-puak dalam organisasi itu sendiri. Pada hakikatnya, kesatuan-kesatuan sekerja hanya mewakili kurang daripada 6% seluruh tenaga kerja di negara kita. Selain itu, kebanyakan pekerja yang diwakili oleh kesatuan-kesatuan sekerja memperoleh gaji yang lebih tinggi daripada gaji minimum, maka kesatuan-kesatuan sekerja sebenarnya tidak mempunyai minat atau lokus untuk bersetuju dengan gaji yang lebih rendah yang tidak akan disokong oleh ahli-ahli kesatuan itu sendiri.

Jika kita lihat pada formula gaji minimum yang digunakan oleh kerajaan yang mengambil kira pendapatan garis kemiskinan (PGK), purata pekerja per isi rumah, gaji median, pertumbuhan produktiviti buruh, indeks harga pengguna (CPI) dan kadar pengangguran, gaji minimum untuk kawasan bandar sepatutnya RM2,568 sebulan dan kawasan luar bandar sepatutnya RM1,884 sebulan, manakala gaji minimum untuk seluruh negara sepatutnya RM2,444 sebulan. Apa yang dituntut oleh PSM adalah kurang berbandingnya, iaitu pada kadar RM2,000. Angka kami ini disokong oleh kenyataan Perdana Menteri sendiri yang mengatakan bahawa pekerja-pekerja yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan adalah tidak munasabah. Begitu juga dengan sokongan fakta daripada kajian Bank Negara dan formula gaji minimum yang digunakan oleh kerajaan sendiri.

Pekerja-pekerja bawahan di negara kita akan terasa dikhianati kerana peningkatan kadar gaji minimum yang menghampakan. Gaji minimum RM1,700 yang akan dilaksanakan dengan 9 bulan tertangguh hampir tidak dapat mengimbangi kesan peningkatan sebenar dalam inflasi.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Kerajaan MADANI khianati pekerja dalam isu gaji minimum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *