oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM), Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) dan pekerja-pekerja ladang secara amnya mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bahawa masalah perumahan yang berlarutan selama 26 tahun di 5 buah ladang di Hulu Selangor dan Kuasa Selangor telah diselesaikan. Berdasarkan pengumuman ini, ia bermakna 245 orang pekerja dari Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Bukit Tagar akan menerima perumahan bertanah mampu milik yang bersubsidi di mana sebahagian besar perbelanjaan akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Menteri berkata bahawa RM75 juta akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sementara tanah diberikan oleh Berjaya Corporation. Menteri juga berkata bahawa dia menjangkakan projek akan disiapkan dalam tempoh 24 bulan selepas mendapat kelulusan pembinaan.

Sebelum ini, pekerja-pekerja yang berada dalam perjuangan ini telah ditawarkan tanah, rumah pangsa kos rendah dan rumah bandar di mana semuanya ditolak oleh mereka kerana apa yang mereka tuntut ialah rumah bertanah di dalam simpanan tanah perladangan yang luas di Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Di bawah ialah analisis kami.

Pertunjukan sampingan semasa sidang media

Salah satu jenaka terbesar dan pertunjukan sampingan semasa sidang media mengenai penyelesaian isu perumahan 5 buah ladang adalah perangai beberapa orang penyokong Ahli Exco Kerajaan Negeri yang begitu terdesak untuk membawa beberapa plakad yang mengucapkan terima kasih kepadanya dan Menteri. Mereka juga membuat pekerja untuk memegang plakad itu. Apa yang menggelikan hati adalah ahli politik ini tidak tahu bahawa pekerja-pekerja ini telah membawa plakad setiap kali adanya protes tetapi hari ini mereka datang untuk meraikan kemenangan. Jadi, itu melucukan.

Namun, apabila kami hendak mengambil gambar dengan Menteri dan pekerja-pekerja ladang, ahli-ahli politik lain yang hampir tidak pernah terlibat dalam perjuangan ini berebut-rebut dan mengambil bahagian tengah pentas, dan dalam proses ini menafikan pekerja-pekerja daripada mengambil gambar yang elok kerana mereka telah menghalang pemandangan.

Selain itu, ketika pekerja-pekerja berdiri berhampiran dengan pentas, seorang wakil yang memperkenalkan dirinya sebagai pembantu kepada Ahli Exco Kerajaan Negeri memberitahu pekerja-pekerja bahawa jangan berdiri di situ sebaliknya beralih menjauhi pentas itu.

Walaupun adegan murahan oleh pihak tertentu, acara ini berakhir dengan baik. Apa yang penting ialah pengumuman ini dan sama ada rumah akan dibina. Hasilnya adalah jelas. Menteri Nga Kor Ming memberitahu kami bahawa dia akhirnya menunaikan janji yang berlarutan 26 tahun ini.

Kenapa penting?

Mendapat rumah percuma dan rumah yang bersubsidi bagi pekerja-pekerja ladang bukannya sesuatu yang bersejarah lagi, kerana PSM, JSML bersama-sama dengan pekerja-pekerja ladang yang berani dari banyak buah ladang pernah berjaya mendapatkan rumah sebelum ini; adanya yang percuma dan adanya yang bersubsidi besar. Golongan pekerja ladang pertama yang mendapat perumahan percuma di Selangor ialah mereka dari Ladang Sungai Rasah pada tahun 1991 yang mencetuskan dasar Kerajaan Negeri Selangor di mana mana-mana ladang yang ingin dibangunkan harus menyelesaikan masalah perumahan pekerja ladang di situ.

Pada awal tahun 1990-an, banyak tanah perladangan ditukarkan kepada tanah perindustrian dan dijual dalam pasaran hartanah, dan syarikat-syarikat perladangan menjual tanah mereka dengan keuntungan besar. Selalunya, syarikat-syarikat perladangan akan mengusir keluar pekerja-pekerja dengan membayar pampasan kepada mereka berasaskan perjanjian bersama (CA) mereka atau Akta Kerja. Ini menyebabkan penentangan di ladang-ladang di mana pekerja-pekerja berorganisasi dan menuntut perumahan. Kita telah menyaksikan perjuangan yang serupa berlaku di Ladang Braemar, Ladang Bukit Jelutong, Ladang Midlands, Ladang Brooklands dan banyak lagi.

Penentangan daripada pekerja ladang ini menghasilkan beberapa bentuk perlindungan atas nama dasar tetapi bukannya undang-undang. Pada tahun 1995, sejurus sebelum Pilihan Raya Umum, Menteri Sumber Manusia pada masa itu Lim Ah Lek memperkenalkan dasar kebangsaan yang serupa dengan Selangor sekarang di mana mana-mana ladang yang hendak dibangunkan harus menyediakan perumahan sebelum pengusiran. Ini semuanya dasar tanpa ikatan undang-undang, maka menjadikannya mustahil untuk mempertahankan rumah pekerja ladang di sisi undang-undang.

Malah dasar perumahan Tun Abdul Razak yang amat diakui – Skim Pemilikan Rumah yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1973 juga merupakan sebuah dasar di mana hanya beberapa buah ladang daripada ribuan buah ladang yang benar-benar melaksanakan skim ini walaupun mempunyai dana pusingan sebanyak RM10 juta.

Satu lagi kemenangan bersejarah berlaku apabila kerajaan memutuskan untuk membina rumah teres bagi 4 buah ladang yang diusir keluar dari sebahagian daripada tanah yang diberikan kepada ibu kota pentadbiran Persekutuan Putrajaya. 4,600 hektar tanah diambil pada masa itu. Pada ketika itu merupakan era Mahathir, Samy Vellu dan Menteri Besar Selangor ialah Muhammad Taib, yang mengusir penduduk ke dalam 4 blok rumah pangsa yang dikenali sebagai flat Taman Permata Dengkil. Rumah pangsa tersebut dibina secara tergesa-gesa, tidak bermutu dan mempunyai banyak masalah, termasuk tidak diberikan sijil perakuan kelayakan (CF) sehingga hari ini. Pekerja-pekerja berpindah masuk ke dalam rumah pangsa ini dan ditawarkan harga diskaun pada RM20,000 sebelum Pilihan Raya Umum pada tahun 1999. PSM dan Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) kemudiannya melakukan satu lagi perjuangan hebat bersama-sama pekerja ladang ini, di mana akhirnya pada bulan Ogos 2017, setahun sebelum Pilihan Raya Umum 2018, Perdana Menteri pada masa itu Najib Razak melakukan pecah tanah untuk membina 404 buah rumah, dengan membelanjakan sekitar RM60 juta. Dalam ucapannya, Najib berkata bahawa projek perumahan itu membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional mengambil kira rintihan rakyat yang telah berkorban demi pembangunan negara. “Tanpa empat buah ladang ini dan pengorbanan 400 keluarga, tiadanya Putrajaya yang kita ada pada hari ini,” katanya. Najib juga mengumumkan bahawa rumah-rumah di bawah projek bernilai RM60 juta ini akan dijual pada harga RM20,000 seunit berbanding dengan kos asalnya RM150,000.

Jadi, kenapakah kemenangan mendapatkan rumah bagi 5 buah ladang di Lot 25, Bestari Jaya ini penting? Kemenangan ini amat penting kerana Kerajaan Madani buat kali pertamanya memulakan pembinaan rumah bagi pekerja-pekerja ladang di ladang yang masih belum dibangunkan. Ini memang merupakan satu langkah yang baik kerana kebanyakan pekerja ladang tidak akan mampu membeli rumah yang berharga sekitar RM250,000 pada hari ini berdasarkan gaji mereka. Ini harus dilihat sebagai ganjaran kepada 3 hingga 4 generasi pekerja ladang yang bekerja di dalam ladang di mana buruh mereka menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara kita dan menjadikan syarikat-syarikat seperti Sime Darby antara syarikat yang terkaya di rantau ini pada hari ini.

Dengan Kerajaan Madani memulakan pembinaan rumah-rumah ini, adalah bermakna bahawa mereka mengiktiraf keperluan perumahan yang amat penting bagi pekerja-pekerja ladang kerana pekerja-pekerja tidak memiliki rumah ladang yang diduduki oleh mereka sekarang tetapi dimiliki oleh syarikat-syarikat di atas tanah swasta. Situasi mereka adalah berbeza daripada peneroka-peneroka FELDA yang memiliki rumah, Orang Asli yang dilindungi di bawah tanah adat mereka atau mereka yang tinggal di dalam kampung-kampung baru Cina. Apabila pekerja-pekerja ladang bersara atau kehilangan kerja mereka, mereka juga kehilangan rumah penginapan mereka.  

Kemenangan hasil daripada perjuangan bertahun-tahun lamanya

Apabila terdapat tanda-tanda bahawa kerajaan akan membina rumah, berlakunya perebutan antara sesetengah pemimpin tempatan daripada kedua-dua pihak yang cuba menggambarkan bahawa ia juga merupakan hasil usaha mereka. Sebaliknya, ia sebenarnya adalah perjuangan berani yang dilakukan oleh pekerja-pekerja ladang dan beberapa kerja baik oleh pegawai atasan Jabatan Perumahan Negara (JPN) Dato’ N. Jayaselan.

Penjelasan terperinci akan memerlukan sebuah buku tetapi saya cuba memendekkan cerita panjang. Syarikat Berjaya milik Vincent Tan membeli tanah seluas 11,500 ekar daripada SOCFIN, sebuah syarikat Perancis, pada tahun 1998. Mungkin sejak awal lagi, syarikat Berjaya tidak pernah benar-benar berminat untuk menjalankan perniagaan perladangan dan mereka lebih berminat dalam perniagaan peruncitan, perjudian, makanan, bangunan dan sebagainya. Untuk kredit Berjaya, seawal tahun 1999 lagi, mereka telah mengisytihar atau menyatakan bahawa mereka akan membina rumah jika ladang itu dibangunkan.

Kami telah menyenaraikan banyak ahli politik dalam risalah kami yang sebelum ini menjanjikan rumah bagi pekerja-pekerja ini dan janji-janji ini biasanya dibuat semasa pilihan raya umum. Sudah tentunya ahli-ahli politik sebelum tahun 2008 adalah daripada Barisan Nasional (BN) dan selepas tahun 2008 adalah daripada Pakatan Rakyat yang kemudiannya Pakatan Harapan (PH). Jadi, adanya pemimpin MIC seperti Palanivel dan Sivalingam, serta Ahli Exco daripada PH seperti Xavier dan Ganabatirau daripada PKR. Sudah tentu juga Khir Toyo dan Noh Omar daripada UMNO, dan kemudiannya Zuraida yang menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Masalah menjadi serius apabila syarikat Berjaya menjual tanah kepada Tagar Properties pada tahun 2015. Oleh sebab itu, 57 orang pekerja menerima notis pengusiran yang mengarahkan mereka untuk mengosongkan rumah ladang selewat-lewatnya pada 15 April 2016. Jadi, bulan April 2016 menjadi satu bulan yang penuh dengan peristiwa. Kami membuat banyak aduan polis di samping menulis surat kepada Kerajaan Negeri dan syarikat Berjaya untuk membantah notis pengusiran itu.

Ganabatirau yang merupakan Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor pada masa itu memberitahu kami bahawa Berjaya bersedia untuk membina rumah tetapi mereka perlu membina paip air dan itu akan memakan kos sebanyak RM6 juta. Dua hari sebelum tarikh akhir pengusiran, pada 13 April 2016, ratusan orang pekerja berprotes di hadapan Bangunan Kerajaan Negeri Selangor dan memorandum diserahkan kepada Azmin Ali yang merupakan Menteri Besar Selangor pada masa itu.

Selepas itu, satu mesyuarat diadakan di pejabat Ganabatirau apabila kami mendapat jaminan daripada Berjaya dan pemilik tanah baharu Tagar Properties bahawa pengusiran tidak akan berlaku sehingga isu perumahan diselesaikan. Ini telah menangguhkan ancaman pengusiran buat sementara waktu. Pada bulan November 2016, Berjaya menawarkan penyelesaian ultimatum melalui Ganabatirau bahawa mereka menawarkan penduduk untuk membina Rumah Selangorku dengan harga diskaun. Tawaran tersebut hanya untuk 69 orang pekerja sementara kami menuntut bahawa ia harus untuk 245 orang pekerja termasuk mereka yang masih bekerja. Kami juga menegaskan bahawa pekerja-pekerja ladang menuntut pembinaan rumah teres. Pekerja-pekerja menolak tawaran rumah pangsa kos rendah.

Berikutan itu pada 13 April 2017, 5 buah bas pekerja dari ladang-ladang ini pergi ke Berjaya Times Square di Kuala Lumpur. Pekerja-pekerja mengemukakan 2 tuntutan kepada syarikat Berjaya, iaitu membina 245 buah rumah teres dan tiadanya pengusiran sehingga rumah siap dibina.

Kami juga menulis kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk membekukan semua rancangan pembangunan Berjaya di kawasan tanah ini sehingga mereka menyelesaikan isu-isu perumahan. Selepas mendapat nasihat daripada JPN, kami menulis kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan taikun Vincent Tan pada 21 September 2017 untuk meminta supaya keluasan tanah itu ditingkatkan daripada 12.75 ekar kepada 20 ekar supaya rumah teres dapat dibina untuk 245 orang pekerja.

Tiba-tiba pada ketika PRU-14 menjelang pada bulan Mei 2018, Noh Omar selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada masa itu melancarkan sebuah projek perumahan yang dikenali sebagai PPR Bestari Jaya di Tanjung Karang. Ia sememangnya merupakan satu gimik pilihan raya kerana Kerajaan Negeri Selangor di bawah PH pada masa itu tidak sedar tentang projek sebegini. Tidak lama selepas pilihan raya, kami menulis kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu pada masa itu Zuraida untuk membatalkan projek rumah pangsa yang dicadangkan oleh Noh Omar.

Akhirnya pada 26 Februari 2019, jawatankuasa kami menerima surat bertarikh 11 Januari 2019 daripada Berjaya yang menyatakan bahawa mereka boleh memperuntukkan tanah seluas 20 ekar untuk membina rumah teres.

Selepas halangan ini diselesaikan, kami mendapat tahu daripada Zuraida bahawa terdapat belanjawan sebanyak RM96.5 juta tetapi masalah baharu timbul, seperti proses tender. Kemudiannya negara kita dilanda pandemik COVID-19 dan peruntukan belanjawan untuk ladang-ladang ini telah digunakan untuk tujuan lain.

Kami kemudiannya menulis banyak surat untuk mendapatkan belanjawan pembinaan rumah tetapi tiadanya respon. Kami telah menulis kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Menteri Kewangan setiap tahun dengan permintaan supaya belanjawan diperuntukkan untuk projek ini tetapi ia tidak pernah diambil serius.

Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu, pada awalnya bersikap sangat dingin dan tidak merespon kepada sebarang surat daripada jawatankuasa. Satu soalan parlimen daripada Ganabatirau mengenai tanah Berjaya 20 ekar juga dibalas oleh Kementerian tanpa banyak usaha atau keyakinan. Semasa Pilihan Raya Negeri yang lalu, mendiang Lee Kee Hiong, penyandang ADUN Kuala Kubu Bharu, menjanjikan bahawa beliau akan mendapatkan satu janji temu dengan Menteri sebelum 31 Ogos 2023 tetapi itu pun tidak berlaku.

Walaupun terdapat ramai pemimpin PH tempatan daripada PKR bertemu dengan kami, mereka tidak dapat memastikan satu mesyuarat dengan Menteri. Kami memerlukan satu mesyuarat dengan Menteri kerana kami sudah adanya tanah dan kami hanya perlukan peruntukan belanjawan.

Yang memburukkan lagi keadaan adalah, Ahli Exco Selangor yang baharu Papparaidu cuba membentuk sebuah jawatankuasa baharu dengan orang yang rapat dengannya dan hendak melakukan satu tinjauan baharu; dia juga mahu meminggirkan jawatankuasa asal yang telah mengusahakan isu ini bertahun-tahun lamanya.

Apabila mendengar perkara ini, pekerja-pekerja ladang menghantar satu surat bantahan kepada Menteri Besar pada 22 Mac 2024. Dalam sidang akhbar baru-baru ini, Ahli Exco itu juga berkata bahawa dia telah melantik seorang yang merupakan kawannya. Jawatankuasa kami bimbang kerana individu ini pernah cuba meningkatkan bilangan rumah sebelum ini dan dia pernah mempunyai kontrak kerja di bawah pemilik ladang baharu.

Diselamatkan oleh Pilihan Raya Kecil

Sebelum Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu, keadaan menjadi genang dan kami berasa bahawa kami telah diperdaya. Beberapa orang ahli politik terus meminta dokumen daripada kami tetapi tiada seorang pun dapat memastikan satu mesyuarat dengan Menteri atau Menteri Besar. Ahli Exco baharu memulakan sebuah jawatankuasa baharu dan hendak memulakan semula seluruh proses dengan memintas jawatankuasa tempatan yang telah melakukan begitu banyak kerja.

Melihat pada senario yang malap ini, kami memikirkan dua perkara untuk menghidupkan semula perjuangan ini. Perkara-perkara yang terlintas dalam kepala kami adalah sama ada menduduki KPKT untuk mendapatkan perhatian Menteri atau memobilisasi penduduk ke Parlimen. Pada masa inilah berita tentang akan berlakunya Pilihan Raya Kecil tiba-tiba mengubah keadaan keseluruhan.

Kami memanggil satu mesyuarat tergempar. Kami memutuskan bahawa tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kami tidak akan membiarkan ahli-ahli politik memperdayakan kami. Jadi, mesyuarat memutuskan bahawa pekerja-pekerja akan mendirikan khemah mereka sendiri dan tidak duduk di dalam khemah yang didirikan oleh parti-parti politik. Kami juga memutuskan bahawa kami akan meminta setiap ahli politik yang datang merayu sokongan kami untuk memastikan calon mereka menandatangani surat akuan bersumpah (SD) dan membaca risalah kami. Bagi mereka yang datang daripada parti pemerintah, kami akan menyampaikan mesej bahawa kami mahu berjumpa dengan Menteri Besar atau Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Satu sidang akhbar diadakan pada 24 April 2024 untuk menetapkan syarat-syarat kami. Hanya 2 daripada 5 buah ladang – Nigel Gardner dan Bukit Tagar, berada dalam kawasan pilihan raya Kuala Kubu Bharu. Sidang akhbar kami agak berjaya. Lebih kurang 60 orang pekerja dari 5 buah ladang hadir untuk mengemukakan tuntutan mereka. Sebaliknya, Ahli Exco Kerajaan Negeri mengadakan satu sidang akhbar balas tetapi hanya dihadiri oleh seorang dari Ladang Sungai Tinggi. Tuntutan kami agak mudah. Tanah sudah ada. Kami perlukan belanjawan untuk membina rumah.  

Walaupun terdapat sesetengah orang mempersendakan SD, ia telah memaksa ahli politik untuk membaca SD yang menyatakan tuntutan khusus ini. Beberapa platform berita juga mengetengahkan isu ini dan menandatangani SD ini merupakan sesuatu yang baharu. Dengan tempoh kempen pilihan raya kecil bermula, terbukti bahawa mendapatkan undi daripada pekerja-pekerja ladang yang pernah dianggap sebagai jinak sebelum ini bukannya sesuatu yang mudah. Kedua-dua parti utama menghadapi masalah untuk memasang bendera mereka di kawasan ladang kerana anak muda tempatan akan menanggalkannya atau meminta supaya ia ditanggalkan sehingga tuntutan perumahan mereka ditunaikan. Semua ahli politik daripada kedua-dua pihak mendapat layanan dingin yang sama. Ini ialah satu proses yang memperkasakan. Beberapa orang Ahli Parlimen, ADUN dan Menteri yang memasuki Ladang Nigel Gardner mendapat layanan dingin dan berita menular. Ini bukannya sesuatu yang menyenangkan. Memberi hamper dan hiburan tidak akan memastikan undi kerana rakyat mahukan isu asas mereka diselesaikan.

Tidak lama kemudian, berita sampai kepada mereka yang berkuasa. Ramai orang membangkitkan perkara ini kepada Menteri, Menteri Besar dan Perdana Menteri. Kami diberitahu oleh ADUN Gunaraj bahawa Anwar sendiri mengarahkan Menteri Nga untuk menyelesaikan isu ini. Kami mendengar daripada satu lagi sumber bahawa Menteri Nga juga mahukan isu ini diselesaikan kerana dia memahami bahawa semua janji yang dibuat dalam pilihan raya sebelum ini dan sentimen di lapangan.

Pengumuman dan pencapaian pada akhirnya

Pengumuman tentang penyelesaian isu perumahan ini akhirnya telah dibuat. Saspens telah berakhir. Tiadanya seorang calon pun yang menandatangani SD, tetapi mendapatkan pengumuman oleh Menteri dan disokong oleh Menteri Besar ialah surat jaminan kami buat masa ini. Banyak pihak memberitahu kami bahawa ini ialah satu gimik pilihan raya, tetapi kami memang telah menyemak berulang kali mengenai beberapa aspek seperti tanah, saiz rumah, pembiayaan dan sebagainya, dan semua nampaknya benar. Menurut Dato’ N. Jayaselan daripada JPN, projek ini telah diluluskan.

Kami perlu mengucapkan terima kasih kepada banyak pihak. Media yang mempersoalkan dan mengetengahkan nasib pekerja ladang ini. Sesetengah ahli politik dalam parti pemerintah yang mendesak untuk penyelesaian, dan parti pembangkang yang menggunakan isu ini untuk berkempen dalam pilihan raya.  Yang harus disebut khusus ialah Dato’ N. Jayaselan , Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN), yang telah menasihati dan membantu kami dengan penuh sabar apabila kami mempunyai banyak persoalan.

Menjelang penghujung minggu pertama kempen pilihan raya, apabila berita baik mula terbocor, banyak ahli politik yang oportunis berebut-rebut untuk mengambil kredit. Saya memberitahu orang bahawa selepas 11 Mei 2024, keadaan akan kembali normal secara perlahan-lahan di Kuala Kubu Bharu. Pekerja-pekerja akan berhenti menjadi VIP. Kami masih perlu mengadakan perbincangan tentang bagaimana membeli unit rumah, memuktamadkan senarai nama dan menguruskan perkara-perkara yang lain.

Seperti yang selalu kami katakan, jawatankuasa dan pekerja-pekerja yang berjuang dan menghabiskan masa berjam-jam dalam perjuangan inilah yang patut mendapat pujian terakhir. Perjuangan untuk perumahan ini mengambil masa kira-kira satu suku abad, tetapi ia adalah untuk membayar semula pampasan kepada 3-4 generasi pekerja yang bekerja keras di atas tanah ini, dan menyumbang kepada kekayaan dan kemakmuran negara kita.

Ini merupakan satu kemenangan yang penting, dan ia boleh menjadi pemangkin kepada perjuangan masyarakat ladang yang lain.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *