(Berikut ialah isi kandungan memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia pada 27 September 2024.)
oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)
Kami telah cuba beberapa kali untuk mendapatkan temu janji sebelum ini melalui surat-menyurat dan saluran lain demi menyampaikan cadangan mengenai kadar gaji minimum baharu serta membincangkan beberapa isu lain yang berkaitan. Tetapi hasrat kami untuk berjumpa dengan Menteri tidak tercapai sehingga kini.
Selepas mempertimbangkan beberapa aspek yang berhubung kait dengan pendapatan rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi pada ketika ini, kami ingin mencadangkan bahawa kadar gaji minimum baharu yang bakal diumumkan oleh kerajaan haruslah sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.
Kami mengemukakan saranan gaji minimum RM2000 ini berdasarkan beberapa faktor utama yang melibatkan keperluan masyarakat masa kini.
A. Desakan berulang kali oleh Perdana Menteri kepada sektor swasta supaya:
i.Mencontohi gaji minimum baharu penjawat awam yang melebihi RM2,000 sebulan
ii.Mencontohi Khazanah Nasional Berhad yang menetapkan RM3,000 sebulan kepada pekerjanya
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan jelas mengatakan bahawa gaji minimum untuk sektor awam adalah RM2,000 dan meminta sektor swasta mencontohinya. Dalam persoalan ini, kita semua ketahui bahawa Perdana Menteri dan Kabinet Malaysia mempunyai kata putus mengenai gaji minimum, justeru Perdana Menteri boleh melaksanakan gaji minimum RM2,000.
Perdana Menteri juga memuji Khazanah Nasional Berhad sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana menetapkan gaji minimum RM3,000 sebulan. Dalam konteks ini, lebih 30% ekonomi kita dikawal oleh GLC, maka tidak mustahil untuk kerajaan menetapkan gaji minimum dalam GLC sebagai RM3,000, dan ini akan menjustifikasi peningkatan gaji minimum untuk semua sektor lain kepada RM2,000.
Dalam laporan media pada 17 Ogos 2024, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menyatakan bahawa syor mengenai kadar gaji minimum yang baharu dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada bulan September nanti. Maka, ia jelas menunjukkan bahawa Kabinet mempunyai kuasa mutlak untuk menguatkuasakan kadar gaji minimum yang disarankan oleh Perdana Menteri melalui Perintah
Gaji Minimum. Pada masa yang sama, kerajaan boleh memberi subsidi diesel yang berlebihan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang penting.
B. Kos sara hidup lebih tinggi akibat kenaikan harga barangan keperluan asas
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini, kuasa beli rakyat turun 23.3% dalam tempoh 13 tahun disebabkan oleh inflasi secara berkala. Bahan-bahan keperluan asas menunjukkan kenaikan harga yang ketara.
Berikutan itu, data juga menunjukkan bahawa perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata meningkat pada kadar 3.7%, lebih tinggi berbanding dengan peningkatan pendapatan isi rumah purata 2.4% bagi tempoh tahun 2019 hingga 2022. Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata meningkat daripada RM4,609 pada 2019 kepada RM5,150 pada 2022.
Dari segi corak perbelanjaan seisi rumah, 66.9% masih bertumpu pada empat kumpulan perbelanjaan asas, iaitu:
- Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 23.2%;
- Makanan dan minuman sebanyak 16.3%;
- Restoran dan perkhidmatan penginapan sebanyak 16.1%;
- Pengangkutan sebanyak 11.3%.
Kita sering ditakut-takutkan dengan alasan bahawa jika gaji minimum ditingkatkan, maka inflasi akan berlaku. Sebenarnya kenaikan gaji bertindak balas terhadap kenaikan inflasi dan itu sebabnya kerajaan sendiri menetapkan gaji minimum yang diselaraskan setiap dua tahun sekali. Data di atas menunjukkan harga barangan sudah meningkat, maka kenaikan gaji itu mestilah selaras dengan kenaikan harga barangan. Di samping itu, adalah tugas kerajaan untuk memastikan harga barangan asas dikawal.
C. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa “jurang antara golongan kaya dan miskin di negara ini semakin meluas” dalam satu kenyataan akhbar pada akhir tahun 2023, manakala Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dalam satu kenyataan media pada bulan lalu, meminta kerajaan untuk menetapkan garis siling bagi ketua eksekutif atau pengarah urusan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) supaya tidak keterlaluan.
Kenyataan ini turut dibuktikan dalam statistik DOSM yang menunjukkan bahawa 46.3% daripada jumlah pendapatan isi rumah dimiliki oleh golongan T20. Golongan M40 memiliki 37.6% dan selebihnya 16.1% daripada jumlah pendapatan yang dimiliki oleh B40.
Mengikut kajian DOSM tersebut, insiden kemiskinan mutlak pada tahun 2022 pula menunjukkan peningkatan kepada 6.2% berbanding 5.6% pada tahun 2019. Kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) juga mencerminkan bahawa kemiskinan masih ketara, terutamanya dalam kalangan wanita, kanak-kanak, dan individu kurang upaya (OKU). Kadar kemiskinan dalam kalangan ketua isi rumah wanita dan orang kurang upaya masing-masing direkodkan sebanyak 59% dan 67%.
Kenyataan oleh Gabenor BNM dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta kenyataan berulang oleh Perdana Menteri, semuanya memberi isyarat kelas bahawa gaji di peringkat atasan harus dikawal dan gaji di peringkat bawahan perlu dinaikkan secara benar. Justeru, menaikkan gaji minimum dari RM1.500 ke RM2,000 akan menjadi satu pendirian politik penting oleh Kerajaan MADANI dalam memastikan jurang kaya dan miskin dikurangkan.
D. Menyokong penuh pendirian Hassan Karim, Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang menggesa kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia agar tidak “terlepas pandang” kebajikan pekerja tidak rasmi dan pekerja kontrak (seperti tukang cuci, pengawal keselamatan dan tukang Kebun yang bekerja di sekolah, hospital dan bangunan kerajaan) bergaji rendah susulan kenaikan gaji penjawat awam. Kakitangan sokongan kerajaan di hospital dan sekolah meliputi jumlah lebih kurang 250 ribu orang pekerja kontrak dan ini tidak mengambil kira lagi pekerja kontrak kerajaan di tempat-tempat lain.
Apabila Perdana menteri menyarankan bahawa gaji minimum sektor awam sepatutnya RM2,000, kerajaan yang membayar wang kepada kontraktor juga harus memastikan bahawa gaji mereka juga adalah sekurang-kurangnya RM2,000. Tidak masuk akal jika pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang bekerja di bawah sistem kontrak kerajaan dibayar gaji yang lebih rendah. Kerajaan sebagai jurugaji (paymaster) harus memastikan bahawa wawasan kerajaan mendukung pekerja bawahan ini konsisten apabila memperjuangkan hak pekerja.
E. Tingkatkan produktiviti pekerja pada masa hadapan untuk mencapai skala ekonomi kepada perniagaan yang menjurus kepada peningkatan tahap produktiviti buruh negara. Data menunjukkan terdapat peningkatan dalam produktiviti buruh Malaysia sebanyak 1.9%. Peningkatan itu juga sejajar dengan pertumbuhan ekonomi 4.2% pada suku pertama tahun 2024. Peningkatan ini dijangka bertambah baik jika kadar gaji minimum juga ditingkatkan selaras dengan pertumbuhan yang telah direkodkan.
Alasan yang sering dilontarkan oleh pihak majikan adalah produktivi pekerja Malaysia adalah rendah. Alasan ini adalah tidak benar sama sekali padahal produktiviti pekerja-pekerja Malaysia jauh lebih tinggi berbanding dengan pekerja-pekerja di negara maju. Selain itu, memberikan gaji tinggi akan memastikan produktiviti meningkat dan itulah rasional Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam kertas kerja Gaji Progresif, di mana beliau berkata bahawa produktiviti meningkat dengan mempertingkatkan kemahiran pekerja dan teknologi. Dalam gaji progresif, kerajaan yang memberikan insentif gaji tambahan, maka meningkatkan gaji kepada RM2,000 adalah selaras dengan itu.
F. Pengiraan gaji minimum mengikut formula kerajaan sendiri menunjukkan angka lebih daripada RM2,000 sebulan.
Jika kita mengambil formula gaji minimum yang digunakan oleh kerajaan, maka gaji minimum sepatutnya RM 2444. Ini berdasarkan pengiraan mengikut formula di bawah:
G. Saranan kadar gaji minimum baharu RM2,000 lebih rendah berbanding penetapan wajar yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), iaitu sebanyak RM2,700 sebulan.
Walau bagaimanapun, penetapan gaji minimum sahaja tidak mencukupi bagi mengimbangi segala peningkatan kos sara hidup masa kini. Kerajaan juga harus meningkatkan tahap kualiti beberapa program dan sistem yang sedia ada.
Oleh itu, Kerajaan terutamanya Kementerian Sumber Manusia harus menitikberatkan segala aspek yang berkaitan sebelum mengumumkan kadar gaji minimum baharu tidak lama lagi.