KUALA LUMPUR – 1 MEI 2024: Adalah tidak bermakna untuk sekadar bercuti pada 1 Mei tanpa adanya aksi massa rakyat yang memperjuangkan nasib pekerja. Pekerja-pekerja dan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang tidak ketinggalan pada Hari Pekerja Sedunia yang disambut setiap 1 Mei untuk menyuarakan tuntutan demi kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah.

Kira-kira 1,500 orang turun beraksi di jalanan ibu negara pada hari ini untuk mengetengahkan tuntutan pekerja dan rakyat bersempena Hari Pekerja Sedunia. Jalanan Kuala Lumpur pada hari ini telah diwarnai dengan sepanduk yang membawa pelbagai tuntutan rakyat dan dimeriahkan dengan laungan tuntutan rakyat. Aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia di Malaysia pada tahun ini melibatkan perarakan dari Menara Maybank di Kuala Lumpur ke Dataran Merdeka, diikuti dengan ucapan daripada wakil pelbagai sektor masyarakat.

Aksi sambutan Hari Pekerja yang bertemakan “Gaji Untuk Hidup” pada tahun ini dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei yang dianggotai oleh pelbagai organisasi masyarakat, parti politik progresif dan individu. Sambutan Hari Pekerja pada tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 sambutan Hari Pekerja yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei sejak tahun 1994.

Mereka yang mengambil bahagian dalam aksi sambutan Hari Pekerja tahun ini termasuk masyarakat Orang Asal, peneroka bandar, pekerja ladang, petani kecil, pekerja kontrak, pekerja pembersihan hospital, penternak, anak muda, pelajar, aktivis wanita, anggota badan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi. Selain mengetengahkan pelbagai tuntutan pekerja tempatan untuk gaji dan kebajikan yang lebih baik, peserta-peserta aksi sambutan Hari Pekerja tidak ketinggalan dalam bersolidariti dengan pekerja-pekerja migran, pelarian dan golongan tanpa kerakyatan yang masih menghadapi pelbagai penindasan di negara kita. Peserta-peserta aksi sambutan Hari Pekerja di Kuala Lumpur juga menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin yang sedang menghadapi ancaman genosid daripada rejim Zionis Israel dan berjuang untuk menentukan nasib sendiri.

Selepas rombongan perarakan sambutan Hari Pekerja tiba di Dataran Merdeka, wakil daripada pelbagai sektor masyarakat telah menyampaikan ucapan mereka untuk mengetengahkan isu masing-masing, antaranya: Pekerja kontrak memperjuangkan penghapusan sistem kontrak untuk kerja tetap, pekerja gig menuntut perlindungan undang-undang bagi mereka, penternak membantah ancaman pengusiran daripada syarikat perladangan besar, petani kecil mempertahankan keterjaminan makanan, masyarakat Orang Asal menuntut pengiktirafan hak tanah adat, wakil daripada Gegar Amerika mengecam kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan sebagainya. Satu pentomim dipersembahkan oleh sekumpulan anak muda untuk mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh pekerja di bawah penindasan daripada majikan yang bersubahat dengan kerajaan dan keperluan untuk pekerja bersatu demi memperjuangkan hak pekerja.

Peserta-peserta aksi sambutan Hari Pekerja juga melafazkan Deklarasi 1 Mei 2024 yang mengetengahkan tuntutan “gaji untuk hidup”. Deklarasi 1 Mei 2024 telah mendapat sokongan daripada 74 buah organisasi, termasuk Gabungan Marhaen, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH), ALIRAN, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan sebagainya. (Senarai penuh organisasi yang menyokong Deklarasi 1 Mei 2024 boleh didapati di sini.)

Antara tuntutan yang diketengahkan dalam Deklarasi 1 Mei 2024 ialah: tingkatkan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan; laksanakan skim jaminan pendapatan asas bagi golongan yang tidak berpendapatan tetap; hapuskan sistem kontrak untuk kerja-kerja tetap; hentikan pengusiran paksa terhadap masyarakat marhaen; tingkatkan dana kepada sistem kesihatan awam; hak yang saksama dan perlindungan yang mencukupi bagi pekerja migran; kawal harga barang; lindungi keterjaminan makanan dengan tidak mengusir petani kecil; lindungi hak kebebasan media; hentikan penswastaan perkhidmatan asas; iktiraf hak tanah adat Orang Asal; isytihar darurat iklim dan hentikan projek-projek yang memudaratkan alam sekitar serta kesihatan rakyat.

Program sambutan Hari Pekerja diakhiri dengan nyanyian lagu perjuangan yang penuh bersemangat.


Berikut ialah koleksi foto aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia 2024 di Kuala Lumpur:

2 thoughts on “Aksi sambutan Hari Pekerja 2024: Gaji untuk hidup

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *