Kapitalisme yang berlandaskan eksploitasi berterusan terhadap tenaga kerja dan sumber alam semulajadi untuk menjana keuntungan sebanyak mungkin kepada golongan pemodal dan syarikat korporat, merupakan satu sistem ekonomi yang mempunyai sifat perluasan yang paling hebat dalam sejarah masyarakat manusia di atas muka bumi ini.

Di bawah sistem kapitalis, golongan korporat memiliki kebanyakan benda dalam masyarakat dan mengupah pekerja yang terpaksa menjual tenaga kerja mereka kepada pemodal untuk dieksploitasi dalam proses mengeluarkan komoditi yang dijual untuk memperoleh keuntungan bagi golongan kapitalis dan mengkayakan lagi golongan kapitalis yang mahakaya. Logik pengumpulan modal dalam sistem ekonomi kapitalis, menyebabkan golongan kapitalis sentiasa perlu bersaing sesama diri, berlumba-lumba untuk mengeksploitasi tenaga kerja dan sumber alam dengan kos kewangan yang terendah untuk ditanggung kapitalis, serta memperluaskan pasaran ke tempat lain yang belum dapat dicapainya untuk menjualkan komoditi yang dikeluarkan daripada proses eksploitasi buruh. Pada masa yang sama juga, sistem kapitalis sentiasa menghadapi krisis secara kitaran kerana masalah yang intrinsik pada sistem itu: persaingan kapitalis untuk mengeluarkan komoditi yang lebih banyak (melalui penggunaan teknologi baru untuk meningkatkan produktiviti) dengan tujuan mengaut lebih banyak keuntungan, tetapi permintaan pasaran untuk komoditi tidak mencukupi (kerana gaji pekerja yang ditekan pada paras yang rendah untuk memaksimumkan keuntungan kapitalis) dalam mengejar pertumbuhan pengeluaran, maka mewujudkan masalah “pengeluaran berlebihan” (overproduction) yang membawa kepada krisis kemelesetan ekonomi sentiasa berulang-ulang.

Sifat sistem ekonomi kapitalis yang perlu sentiasa mengembangkan pasaran dan memusatkan kekayaan dalam tangan segelintir kecil kelas kapitalis yang mahakaya, menyebabkannya lebih agresif untuk memperluaskan kekuasaannya ke setiap sudut di dunia ini berbanding dengan sistem ekonomi sebelumnya. Perluasan pengaruh dan kekuasaan sistem kapitalis dilakukan melalui imperialisme.

d2fh8wb-0972fb4b-3210-4c5b-a83a-df1b81376c31

Imperialisme merupakan pendekatan negara-negara maju yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis untuk memperluaskan kuasa pemerintahannya ke atas wilayah-wilayah lain di dunia, sama ada secara langsung atau secara tidak langsung, sama ada secara keras atau secara halus, untuk memusatkan kuasa politik dan ekonomi dalam tangan kelas kapitalis dan institusi negara yang melindungi kepentingan kapitalis, demi memastikan kelangsungan dan keberterusan sistem sosio-ekonomi kapitalis itu sendiri.

Oleh sebab sistem ekonomi kapitalis bertumbuh dan berkembang secara tidak seimbang, di mana adanya tempat atau negara menjadi lebih maju dari segi skala pengeluaran ekonomi dan pembangunan kebendaan berbanding dengan tempat atau negara yang lain, maka wujudnya juga ketidakseimbangan kuasa antara negara-negara di dunia. Ketidakseimbangan ini menjadi pendorong kepada perkembangan imperialisme pada “zaman moden” dalam sejarah masyarakat manusia. Imperialisme mengekalkan, memelihara dan melanjutkan ketidaksamarataan ini, bukan sahaja antara kelas-kelas masyarakat malah juga antara wilayah-wilayah dengan tahap pembangunan ekonomi yang berlainan di dunia.

Imperialisme pada zaman moden berkaitan rapat dengan penjajahan atau kolonialisme, yang ditunjukkan dalam perluasan kuasa besar Eropah sejak abad ke-17, dan pembentukan sistem kapitalis global yang didominasi oleh kuasa besar yang merupakan negara kapitalis yang “maju” di Dunia Barat atau Utara Global. Imperialisme juga tidak dapat dipisahkan dengan penjarahan sumber alam, perhambaan, rasisme, keganasan, peperangan dan kemiskinan yang kronik di negara-negara yang “kurang maju”.

Empayar sebelum zaman kapitalis

Screenshot_2020-08-09 RomanEmpire_117 svg png (WEBP Image, 1400 × 1028 pixels) - Scaled (63%)
Empayar Rom

Imperialisme berasal dari perkataan Latin “imperium”, yang bermakna kuasa agung atau pemerintahan mutlak. Perkataan “empayar” yang juga berasal daripada istilah Bahasa Latin yang sama.

Imperialisme sebenarnya merupakan satu fenomena khusus yang wujud dalam zaman kapitalis moden. Namun, banyak “empayar” sudah pun wujud sebelum zaman kapitalis. Apakah bezanya imperialisme atau empayar zaman moden (seperti Empayar British, Empayar Kolonial Perancis, Empayar Jerman, Empayar Jepun, Amerika Syarikat dan sebagainya) dengan empayar zaman pra-kapitalis?

Dalam sejarah masyarakat manusia yang sebelum wujudnya sistem kapitalis, terdapatnya banyak empayar yang bangkit dan jatuh atau silih berganti, seperti Empayar Rom, Empayar Macedonia, Empayar Mongol yang wilayah penguasaannya merentasi sebahagian besar benua Eurasia, Empayar Parsi, Empayar Sasan, Empayar Bizantium, Empayar Umaiyyah, Empayar Abbasiyah, Dinasti Ayubiyyah, Empayar Turki Uthmaniyah, Dinasti Han, Dinasti Tang, Dinasti Qing, Empayar Maurya, Empayar Mughal, Empayar Aztec, Empayar Habsyah (Ethiopia) dan sebagainya. Walaupun lingkungan kuasa pemerintahan empayar-empayar pra-kapitalis ini merentasi keluasan tanah yang agak besar, tetapi corak penguasaan ke atas tanah jajahan mereka adalah agak berbeza dengan penjajahan yang dilakukan kemudian oleh kuasa-kuasa besar moden yang melibatkan struktur kuasa ekonomi-politik yang jauh lebih canggih dan lebih kompleks.

Untuk kebanyakan empayar zaman pra-kapitalis, tanah jajahan atau “negeri lindungan” di bawah sesebuah empayar itu mempunyai autonomi yang agak besar, dengan adanya raja atau pemerintah tempatan sendiri dengan sistem pentadbiran setempat yang agak bebas daripada campurtangan kuasa pusat empayar. Kuasa pusat empayar tidak akan mencampurtangan terlalu banyak dalam hal ehwal sosio-ekonomi dan budaya tempatan. Kuasa pusat empayar hanya perlu memastikan negeri lindungannya terus membayar ufti yang sedikit sebanyak menampung kehidupan mewah golongan pemerintah dalam empayar itu. Misalnya, Empayar Uthmaniyah membahagikan wilayah yang dikuasainya kepada “eyalet”, unit pentadbiran yang mempunyai autonomi yang agak besar dan diperintah oleh seorang pasha.

Berbeza dengan imperialisme kapitalis zaman moden, empayar zaman pra-kapitalis tidak mempunyai keperluan untuk mengintegrasi dan mengasimilasikan wilayah yang dikuasainya ke dalam satu sistem sosio-ekonomi yang homogenus dan bersepadu. Mungkin adanya pengecualian seperti China sejak Dinasti Qin yang mempunyai kerajaan berpusat dengan birokrasi yang mempunyai susunan hierarki kompleks untuk mentadbir negara yang berkeluasan besar, tetapi kehidupan sosial, ekonomi dan budaya rakyat tempatan yang jauh dari pusat kekuasaan empayar masih mempunyai tahap autonomi yang agak tinggi.

iiif-service_gmd_gmd5_g5730_g5730_ct000158-full-pct_25-0-default
Empayar British

Perluasan kekuasan kolonial

Pembangunan sistem ekonomi kapitalis yang bermula di benua Eropah, mewujudkan bentuk negara yang baru. Dan oleh sebab sistem ekonomi kapitalis muncul di benua Eropah lebih awal berbanding dengan rantau yang lain, maka ketidakseimbangan kuasa kapitalis wujud di peringkat dunia dengan kuasa dominasi tertumpu pada negara-negara Eropah yang lebih awal membentuk sistem kapitalis.

Sistem ekonomi kapitalis bermula di negara-negara Eropah (khususnya Britain) apabila pengeluar (khususnya golongan petani) dipisahkan secara paksaan daripada sumber pengeluaran (iaitu tanah pertanian), dan kebanyakannya menjadi golongan yang tidak memiliki apa-apa sumber pengeluaran kecuali tenaga buruh yang boleh dijual kepada golongan pemodal yang memiliki kilang untuk mengeluarkan komoditi (barangan yang dihasilkan untuk dijual demi mendapatkan nilai surplusnya). Dengan perkembangan Revolusi Industri (yang menyaksikan penggunaan mesin yang semakin meluas dalam proses pengeluaran) dan Revolusi Demokratik-Borjuis (yang menggantikan sistem pemerintahan feudal dengan sistem pemerintahan republik atau raja berperlembagaan moden yang mengamalkan “demokrasi perwakilan”) di benua Eropah, negara-negara bangsa moden mula terbentuk di Eropah.

“Negara-negara bangsa moden” yang paling awal (iaitu negara yang paling awal mengamalkan sistem kapitalis), seperti Britain, Perancis, Belgium, Belanda dan sebagainya, memerlukan bahan mentah yang murah untuk memacu ekonomi perindustrian di dalam negara masing-masing, maka bermulanya kolonialisme, iaitu proses penjajahan ke atas wilayah atau negara yang lebih “mundur” berbanding dengannya dari segi tahap pengeluaran ekonomi tetapi kaya dengan sumber alam yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi kapitalis.

Keinginan atau keperluan kelas kapitalis di negara-negara perindustrian untuk mendapatkan bahan mentah, pasaran dan peluang pelaburan, menggerakkan perluasan kuasa imperialis. Pengeksportan modal merupakan satu ciri penting dalam imperialisme. Modal berlebihan yang dimiliki oleh kapitalis monopoli di negara-negara perindustrian yang maju dieksport ke negara atau wilayah lain, demi mengaut keuntungan yang lebih lumayan berbanding keuntungan daripada sektor ekonomi di negara asalnya. Pengeksportan modal ini juga merangsang aktiviti ekonomi di tanah jajahan yang menyokong ekonomi negara perindustrian maju, seperti membangunkan perlombongan dan penanaman bahan mentah di negara-negara yang belum membangunkan ekonomi perindustrian.

Selagi aktiviti kapitalis dalam pasaran dunia hanyalah untuk menjual barangan dan membeli bahan mentah atau makanan, maka tiada keperluan yang mendesak untuk menggunakan kekuasaan tentera dalam menakluk negara yang lain dan mewujudkan wilayah jajahan yang baru. Namun, apabila pengeksportan modal menjadi sesuatu yang penting dalam aktiviti ekonomi kapitalis antarabangsa, situasi pun berubah.

Penjualan komoditi dapat mengutip balik wang hasil jualannya dalam masa yang singkat, paling lama pun beberapa bulan. Tetapi pelaburan modal di negara lain pula memakan masa yang lama untuk mendapatkan pulangannya dan menikmati kesan keuntungan yang berlipat ganda, berkemungkinan mengambil masa beberapa tahun. Oleh itu, kuasa-kuasa besar mempunyai keperluan untuk mewujudkan pengawalan secara berkekalan ke atas negara di mana kapitalisnya melaburkan modal, untuk memastikan pulangan dan keuntungan pelaburan itu dapat terjamin. Inilah motif utamanya untuk melakukan penjajahan.

Perluasan kuasa Eropah ke tempat lain di dunia bermula sejak abad ke-15, dengan penjelajahan penjajah Sepanyol dan Portugis ke benua Afrika, Asia dan Amerika. Kemudiannya berkembang menjadi “Zaman Imperialisme” yang mula pada abad ke-17 dan ke-18, dengan perluasan kuasa penjajah seperti Belanda, Britain dan Perancis.

Conmen_Map
Perebutan Afrika

Syarikat Hindia Timur Belanda yang ditubuhkan pada tahun 1602 atas arahan kerajaan Belanda untuk memegang hak monopoli dalam aktiviti penjelajahan ke Asia, merupakan syarikat korporat gergasi moden yang paling awal menerbitkan saham, dan menjadi alat untuk perluasan kuasa penjajah Belanda. Revolusi Perancis pada tahun 1789 dan Perang Revolusi Perancis (1792-1802) yang akhirnya membawa kepada rampasan kuasa oleh Napoleon Bonaparte, mewujudkan Empayar Perancis moden yang mendominasi sebahagian besar benua Eropah, dan mengeksport banyak ciri penting ideologi kapitalis moden ke negara-negara lain. Empayar British pula muncul sebagai empayar terbesar dalam sejarah dan merupakan kuasa imperialis moden terbesar di dunia untuk tempoh masa menjangkaui hampir seluruh abad ke-19 dan awal abad ke-20, sebelumnya ia dipintas oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat. “Perebutan Afrika”(Scramble for Africa) pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, menandakan kemuncak kekuasaan kolonial Barat.

Teori Marxis mengenai imperialisme

Karl Marx (1818-1883), seorang tokoh pemikir yang mendedikasikan seumur hidupnya untuk menganalisis masalah yang wujud dalam kapitalisme, amat jelas menerangkan bahawa modal dalam ekonomi kapitalis bukan sahaja berfungsi dalam keadaan yang dikawalselia secara undang-undang di dalam negara-negara kapitalis, tetapi ia berkait rapat dengan penjarahan kolonial dan pengumpulan modal secara ganas dari seluruh dunia, yang mewujudkan kondisi untuk perkembangan kapitalisme. Marx pernah menulis dalam Das Kapital Jilid I, “modal datang ke dunia ini, dengan titisan darah dan kotoran di setiap liang bulu, dari kepala sampai kaki.

Karl Marx dan rakan seperjuangannya Friedrich Engels (1820-1895) menulis dalam Manifesto Komunis (1848), “Keperluan pasaran yang sentiasa mengembang untuk barangannya menggesa-gesakan borjuasi ke seluruh permukaan bumi. Ia perlu bersarang di mana-mana sahaja, menetap di mana-mana sahaja, mewujudkan hubungan di mana-mana sahaja.”

Marx melihat kapitalisme sebagai satu sistem yang tidak seimbang, di mana apabila sistem kapitalis berkembang, ia akan memperluas untuk mengeksploitasi orang dan tempat yang baru dan akhirnya seluruh dunia. Marx bersama Engels pernah mengkaji tentang bagaimana imperialisme British menghancurkan ekonomi dan masyarakat di kawasan yang dijajahnya, dengan memberi tumpuan kepada Ireland dan India.

Engels pernah berhujah dalam buku tulisannya, “Anti-Dühring” (1877), bahawa “pembahagian buruh hebat yang pertama dalam masyarakat ialah pemisahan antara kota dan desa.” Pembahagian buruh merupakan asas kepada kemunculan masyarakat kelas. Sementara itu, kemunculan kawasan bandar dengan penduduk yang ramai dengan pembangunan ekonomi yang pesat dan kawasan luar bandar yang menjadi sumber makanan serta bahan mentah kepada aktiviti ekonomi pusat bandar, boleh dikatakan membentuk hubungan pengeluaran yang ekstratif sehingga menjadi asas kepada kewujudan imperialisme, khususnya pada zaman kapitalis.

111f1e65a07bdf9ec458889bc5deb54c_w1000_h800
Karl Marx

Walaupun Marx tidak dapat membuat kajian yang selanjut dan mendalam tentang imperialisme, tetapi golongan Marxis selepasnya, seperti Vladimir Lenin (1870-1924), Rosa Luxemburg (1871-1919), Rudolf Hilferding (1877-1941), Leon Trotsky (1879-1940) dan Nikolai Bukharin (1888-1983), telah melakukan kajian yang intensif ke atas peringkat baru kapitalisme ini dengan menggunakan kerangka teori Marx. Analisis Marxis terhadap imperialisme telah membangunkan prinsip revolusioner yang penting, iaitu perjuangan menentang dominasi kekuasaan imperialis Eropah, pada masa yang sama juga perjuangan melawan kapitalisme antarabangsa. Prinsip ini menjadi rukun ideologi yang utama dalam gerakan pembebasan masyarakat Dunia Ketiga. Teori Marxis mengenai imperialisme, dibangunkan dan dikembangkan dalam perjuangan anti-imperialis yang membara pada penghujung abad ke-19 dan seluruh abad ke-20. Malah, imperialisme yang menjelma dalam bentuk baru pada abad ke-21 ini juga menjadikan perjuangan anti-imperialis masih relevan.

Kautsky dan Luxemburg

Dengan pertumbuhan pesat empayar-empayar kolonial Barat berikutan Persidangan Berlin pada tahun 1884-1885 yang melibatkan pembahagian benua Afrika antara kuasa-kuasa besar Barat, imperialisme menjadi satu persoalan yang berkaitan dengan dasar kolonial untuk ramai dalam kalangan golongan Marxis pada masa itu. Satu persoalan yang menjadi pertanyaan golongan Marxis di Eropah ketika itu: Patutkah golongan sosialis menyokong perluasan kuasa penjajah sebagai satu langkah yang diperlukan dalam evolusi sejarah?

Secara amnya, golongan Marxis awal di Eropah menganggap revolusi sosial di Eropah sebagai prasyarat yang perlu untuk kewujudan sosialisme di tempat lain. Anggapan ini timbul daripada doktrin Marxis yang memberikan keutamaan revolusioner kepada kelas pekerja perindustrian yang wujud dalam ekonomi perindustrian yang maju; namun anggapan sebegitu juga mencerminkan pandangan prejudis perkauman dan kebudayaan dalam minda penduduk negara Eropah yang “maju” pada masa itu. Malah, ada yang berpendapat bahawa tidak patut menolak setiap dasar kolonial kerana kolonisasi boleh merupakan “kuasa untuk ketamadunan”.

Karl_Kautsky_wiki250
Karl Kautsky

Dalam konteks ini, terdapat dua aliran pandangan tentang imperialisme yang berbeza agak menonjol dalam gerakan sosialis di Eropah pada awal abad ke-20. Salah satunya ialah pemikiran yang dibawa oleh Karl Kautsky (1854–1938), seorang tokoh pemikir dan pemimpin penting Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD). Kautsky cuba menyakinkan rakan seperjuangannya bahawa kemunculan penumpuan kuasa korporat dapat membentuk kartel dan gabungan firma (trust), fahaman ketenteraan (militarisme), dan pengeksportan modal ke wilayah-wilayah kolonial dan semi-kolonial di dunia, yang merupakan ciri khusus kepada kolonialisme baru, semuanya adalah hasil daripada gaji rendah yang dibayar kepada pekerja-pekerja di Eropah dan Amerika Syarikat. Dalam tulisannya “Socialism and Colonial Policy” (1907), Kaustsky berhujah bahawa pasaran yang terhad untuk barangan pengguna disebabkan gaji rendah ini bermakna pertumbuhan yang berterusan di bawah kapitalisme memerlukan pengenaan dasar-dasar penentuan harga yang monopolistik, pelaburan tidak produktif dalam perlumbaan senjata yang bersifat bunuh diri, dan bentuk eksploitasi hebat di dunia kolonial. Oleh itu, menentang kolonialisme merupakan sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan untuk sosialisme dan membantah perang.

Apabila Eropah berada di ambang pencetusan perang imperialis pada tahun 1914, ahli-ahli perwakilan SPD dalam Reichstag (iaitu Parlimen Jerman pada tahun 1871-1918) telah mengundi untuk menyokong negara Jerman mengambil bahagian dalam Perang Dunia I, sekali gus menjadikan SPD berpisah daripada pegangannya pada semangat internasionalis gerakan sosialis. Kautsky pada ketika itu mencadangkan pada SPD untuk berkecuali dalam pengundian dalam Parlimen, dengan alasan Jerman sedang melakukan perang mempertahankan diri daripada ancaman Empayar Tsar Rusia. Namun, lebih kurang 10 bulan selepas Perang Dunia I tercetus, pada tahun 1915, Kautsky telah menyeru untuk membantah pemimpin SPD yang pro-perang dan mengecam hasrat penaklukan kerajaan Jerman. Kautsky meninggalkan SPD pada tahun 1917 dan menyertai Parti Demokratik Sosial Bebas Jerman (USPD) untuk menentang perang.

Beberapa minggu sebelum tercetusnya Perang Dunia I, Kautsky menulis sebuah rencana yang berjudul “Ultra-Imperialism” (diterbit pada bulan September 1914), mengemukakan hujah bahawa terdapat satu cara untuk mengelak daripada peperangan yang mengerikan antara kuasa-kuasa imperialis, iaitu melalui apa yang dikenali sebagai “ultra-imperialisme”. Ultra-imperialisme, dianggap sebagai satu fasa kapitalisme yang lebih aman secara relatif dan boleh terus wujud melangkaui imperialisme.

Kautsky menganggap fasa kapitalisme pada masa itu sebagai imperialisme. Kautsky berpandangan bahawa peperangan adalah bertentangan dengan kepentingan kuasa-kuasa besar dunia. Kautsky juga mengemukakan pandangan bahawa kelangsungan kapitalisme bergantung pada kemunculan satu mekanisme untuk melakukan penyelarasan antara negara-negara kapitalis yang saling bersaing, iaitu ultra-imperialisme. Bagi Kautsky, imperialisme melibatkan negara-negara kapitalis yang mengeksploitasi secara hebat tenaga buruh di kawasan-kawasan berekonomi pertanian untuk meningkatkan produktiviti dan pasaran negara-negara imperialis. Namun, imperialisme juga memerlukan negara-negara kapitalis untuk memperkenalkan langkah-langkah perlindungan dan mempertahankan empayar mereka secara ketenteraan. Kautsky percaya bahawa inilah punca utama kepada Perang Dunia I.

Menurut pandangan Kautsky, satu-satu cara untuk kapitalis mengekalkan sistem asas itu sementara mengelakkan genangan ekonomi yang disebabkan oleh perlumbaan senjata yang berterusan, adalah negara-negara terkaya membentuk kartel, seperti yang dilakukan oleh bank-bank, untuk bekerjasama dan bersetuju dalam mengehadkan persaingan mereka serta meninggalkan perlumbaan senjata demi mengekalkan pasaran eksport dan sistem eksploitasi hebat mereka. Kautsky mengganggap bahawa peperangan dan militarisme tidak akan menjadi ciri penting kapitalisme sekiranya negara-negara kapitalis maju berbuat demikian, dan fasa kapitalisme yang aman adalah berkemungkinan.

rosa-luxemburg-lg
Rosa Luxemburg

Satu lagi sumbangan penting kepada teori Marxis tentang imperialisme, adalah daripada Rosa Luxemburg (1870–1919), seorang tokoh revolusioner yang berasal dari Poland di bawah penjajahan Rusia dan aktif dalam gerakan sosialis di Jerman, melalui tulisannya yang berjudul “The Accumulation of Capital(1913). Luxemburg mengkritik teori “penggunaan yang tidak mencukupi” (underconsumption) yang dibawa oleh Kautsky. Beliau berhujah bahawa persoalan pokoknya berada di tempat lain. Luxemburg bertanyakan kenapa masyarakat kapitalis masih terus berkembang walaupun terdapat percanggahan dalaman antara sektor-sektor dan jenis-jenis modal.

Luxemburg berhujah bahawa kapitalisme sentiasa perlu memperluaskan dirinya ke dalam kawasan bukan-kapitalis untuk mendapatkan sumber bekalan baru, pasaran baru bagi nilai surplus dan simpanan untuk tenaga kerja. Menurut Luxemburg, kapitalis cuba merealisasikan keuntungan melalui pemindahan komoditi lebihan kepada ekonomi bukan-kapitalis, maka mewujudkan fenomena imperialisme kerana negara-negara kapitalis cuba menguasai ekonomi yang lebih lemah. Namun, ini membawa kepada kehancuran ekonomi bukan-kapitalis, menjadikannya tiada lagi pasaran untuk memindahkan komoditi lebihan dan kapitalisme akan lumpuh.

Luxemburg berpandangan bahawa pengumpulan modal dan pertumbuhan sistem ekonomi kapitalis secara berterusan bergantung pada penguasaan kapitalis yang berterusan ke atas kawasan-kawasan baru di dunia. Oleh itu, pertumbuhan kapitalis memerlukan globalisasi sistem kapitalis yang bertambah hebat. Jadi, bagi Luxemburg, membangunkan internasionalisme militan untuk kelas pekerja antarabangsa memberontak melawan pemerintahan kapitalis, adalah satu-satunya strategi revolusioner yang tepat; sementara mogok massa ialah taktiknya yang paling berkesan.

Luxemburg sendiri terlibat dalam usaha perjuangan anti-imperialis dan anti-perang secara aktifnya. Sejak awal lagi, Luxemburg menentang militarisme dan imperialisme Jerman. Beliau mendukung mogok umum yang membangkitkan semangat pekerja untuk bersolidariti dengan pekerja di negara lain dan mencegah perang yang bakal berlaku. Pada tahun 1907, semasa Kongres Sosialis Antarabangsa yang diadakan di Stuttgart, Jerman, Luxemburg telah mendesak untuk satu resolusi yang menyeru supaya semua parti-parti pekerja di Eropah bersatu dalam usaha menghentikan perang imperialis.

Pendirian anti-perang Luxemburg yang tegas memisahkannya dengan Kautsky dan juga pemimpin SPD yang semakin terjerumus dalam fahaman revisionis, reformis dan pro-perang. Apabila ahli parlimen SPD mengundi untuk menyokong perang dan bersetuju untuk tidak mengadakan sebarang mogok pekerja semasa perang, Luxemburg menganjurkan demonstrasi anti-perang di Frankfurt, menyeru untuk membantah pengerahan tentera dan mengingkari arahan perang. Luxemburg pernah dipenjarakan kerana aktiviti anti-perang dan anti-imperialisnya. Luxemburg kemudiannya dibunuh pada tahun 1919, oleh anggota Freikorps yang berfahaman pelampau kanan dan berhasrat untuk mengembalikan kekuasaan imperialis Jerman.

Hilferding: Kapitalisme kewangan yang monopolistik

Rudolf Hilferding (1877-1941), seorang lagi tokoh pemikir yang penting dalam SPD yang berasal dari Austria, telah menghasilkan sebuah tulisan penting yang berjudul “Finance Capital” (1910), yang merupakan analisis Marxis yang penting berkenaan dengan transformasi “kapitalisme liberal” yang berdaya saing dan pluralistik kepada “modal kewangan” yang bersifat monopolistik. Kautsky memuji tulisan Hilferding ini kerana telah menjustifikasikan pendekatan analisis Marx terhadap ekonomi kapitalis, dan menyifatkan buku “Finance Capital” (Bahasa Jerman: Das Finanzkapital) ini sebagai pelengkap kepada Das Kapital yang ditulis oleh Marx.

hilferding-rudolf
Rudolf Hilferding

Dengan merujuk kepada ekonomi Empayar Austria-Hungary yang dikuasai oleh kartel-kartel, Hilferding telah membandingkan kapitalisme kewangan monopolistik di situ dengan kapitalisme yang lebih “berdaya saing” dan “suka mengharungi cabaran” pada zaman liberal sebelum ini. Penyatuan kepentingan perindustrian, perdagangan dan perbankan telah mencairkan tuntutan kapitalis liberal yang sebelum itu untuk mengurangkan campurtangan negara dalam ekonomi, sebaliknya modal kewangan menginginkan sebuah negara yang memusatkan kuasa. Hilferding melihat ini sebagai sebahagian daripada penumpuan modal yang tidak boleh dielakkan, bukannya penyimpangan yang tersasar daripada pasaran bebas sistem kapitalis.

Mengikut pandangan Hilferding, sehingga tahun 1860-an, tuntutan golongan borjuasi adalah lebih memfokus pada tuntutan perlembagaan yang mempengaruhi kehidupan semua warganegara, namun dalam peringkat kapitalisme kewangan monopolistik, modal kewangan semakin mendesak untuk campurtangan kerajaan bagi pihak kelas pemilik kekayaan. Pada peringkat itulah golongan kapitalis sudah menguasai negara, bukan lagi golongan bangsawan.

Hilferding berhujah bahawa dengan perindustrian kapitalis semakin membangun, mereka membentuk kartel untuk mengelakkan persaingan. Pada masa yang sama, pemusatan dalam sektor perbankan berkembang apabila bank menguasai kapasiti kewangan yang besar. Apabila modal bank dilaburkan dalam perindustrian, ia menjadi modal kewangan.

Keuntungan tinggi untuk kartel menemui jalan mereka masuk ke dalam bank-bank. Bank-bank berusaha untuk mengeksport modal apabila peluang pelaburan merosot di negara sendiri dan membentuk kartel umum. Untuk mendorong eksport, tarif dan langkah-langkah perlindungan digalakkan. Apabila kartel dan bank berkembang, modal kewangan menjadi semakin tertumpu, mewujudkan rangkaian matawang-ke-matawang (M-M’). Pemegang saham tidak lagi bergantung kepada keuntungan daripada pengeluaran perindustrian, tetapi menjadi kapitalis kewangan yang semata-mata bergantung kepada faedah pelaburan kewangan.

Perkembangan kapitalisme kewangan ditunjukkan dalam penumpuan kuasa ekonomi dan politik pada tahap tertinggi. Ini berlaku kerana pencantuman syarikat korporat, yang menghapuskan perdagangan, menghasilkan keuntungan yang besar yang memperkuatkan sesebuah syarikat untuk menghadapi kemerosotan, dan membolehkan modal kewangan yang dikuasai oleh bank untuk memasuki sektor perindustrian.

Pada peringkat kapitalisme kewangan yang monopolistik, kuasa ekonomi ditransformasikan kepada kawalan oleh negara. Kuasa negara membiak konflik antarabangsa, sementara konflik dalaman meningkat dengan penumpuan modal. Dasar modal kewangan sudah pasti akan membawa kepada peperangan, dan oleh itu boleh mencetuskan gelombang revolusi. Respon kelas pekerja (proletariat) kepada imperialisme ini adalah tuntutan untuk sosialisme.

Hilferding membayangkan satu peluang untuk jalan menuju sosialisme yang agak berbeza dengan golongan Marxis yang lain. Menurut Hilferding, “Fungsi sosialisasi modal kewangan sangat memudahkan tugas untuk mengatasi kapitalisme. Apabila modal kewangan membawa cabang-cabang pengeluaran yang paling penting di bawah kawalannya, sudah mencukupi untuk masyarakat, melalui organ eksekutifnya yang sedar – negara yang ditawan oleh kelas pekerja – untuk mengambilalih modal kewangan demi mendapatkan kawalan serta-merta terhadap cabang-cabang pengeluaran ini.” Dalam erti kata yang lain, Hilferding melihat penguasaan ke atas modal kewangan oleh kelas pekerja sebagai satu langkah penting untuk menuju sosialisme.

Hilferding menulis, “Modal kewangan, ketika ia sudah matang, adalah peringkat tertinggi untuk penumpuan kuasa ekonomi dan politik dalam tangan oligarki kapitalis. Ini adalah kemuncak kediktatoran taikun modal. Pada masa yang sama, ia menjadikan kediktatoran tuan kapitalis sesebuah negara semakin tidak serasi dengan kepentingan kapitalis negara yang lain, dan penguasaan dalaman modal semakin bertentangan dengan kepentingaan massa rakyat, dieksploitasi oleh modal kewangan tetapi juga dipanggil ke dalam pertempuran melawannya. Dalam pertembungan ganas kepentingan yang bermusuhan ini, kediktatoran taikun modal akan akhirnya ditransformasikan ke dalam kediktatoran proletariat.”

Bukharin: Imperialisme dan Ekonomi Dunia

Sebagai lanjutan daripada analisis yang dibawa oleh Hilferding, Nikolai Bukharin (1888–1938), seorang tokoh revolusioner Bolshevik yang penting di Rusia, telah mengemukakan analisis penting tentang imperialisme dalam tulisannya “Imperialism and World Economy” (1915). Semasa menulis kata pengantar untuk buku ini, Vladimir Lenin mengatakan tulisan Bukharin ini penting untuk memahami bukan sahaja asas ekonomi bagi imperialisme, tetapi juga impak politik dan sosialnya.

nikolay-bukharin_3-t
Nikolai Bukharin

Analisis Bukharin terhadap imperialisme bukan sahaja menunjukkan logik yang memandu kuasa-kuasa besar dunia menuju ke perang dunia; tetapi dengan melihat pada bagaimana logik pengumpulan yang bersaing secara berterusannya mengubah pasaran dunia dan kepentingan relatif modal-modal saling bersaing dan negara-negara sekutu mereka. Hujah Bukharin menunjukkan bagaimana kapitalisme terus membiak peperangan dan imperialisme.

Buku “Imperialism and World Economy” tulisan Bukharin yang diterbitkan semasa kemuncak Perang Dunia I, mengemukakan hujah yang menerangkan bahawa Perang Dunia I yang tercetus dalam kalangan kuasa-kuasa imperialis bukannya “terjerumus dalam kegilaan” ataupun bertujuan untuk menghentikan “perluasan ketenteraan Jerman”, tetapi merupakan akibat daripada kemunculan imperialisme itu sendiri, iaitu “peringkat yang lebih tinggi” untuk kapitalisme. Peringkat kapitalisme ini wujud selepas satu zaman pertumbuhan pesat yang bermula pada tahun 1850-an. Ia adalah zaman yang menyaksikan perluasan rangkaian landasan keretapi dan laluan perjalanan maritim, pertumbuhan industri berat dan penumpuan modal dalam tangan kapitalisme kewangan – “kapitalisme dalam bentuk yang paling abstrak”.

Membidas pandangan Kautsky yang percaya bahawa “ultra-imperialisme” akan mewujudkan asas untuk menamatkan persaingan antara negara-negara kapitalis sehingga melahirkan fasa kapitalisme yang bersifat lembut dan aman damai, Bukharin mengatakan bahawa ekonomi global “penuh dengan perubahan yang berlaku secara tiba-tiba, malapetaka, konflik, satu zaman yang tidak lagi kelihatan untuk massa bekerja keras sebagai kengerian tanpa pengakhiran, tetapi satu pengakhiran yang penuh dengan kengerian.”

Bukharin menakrifkan ekonomi dunia sebagai satu keseluruhan – saling hubungkaitan import, eksport, harga, tarif dan pengeksportan modal yang kompleks yang berkhidmat untuk kelas kapitalis yang lebih memusat. Bukharin menyatakan bahawa persaingan bebas yang merupakan perkara utama dalam peringkat awal kapitalisme telah digantikan oleh “pakatan monopoli usahawan” yang digabungkan ke dalam gabungan firma (trust) kapitalis negara.

1 qZ0ZaD078CIdiqROSIu9Pg

Bukharin menghuraikan bahawa ekonomi dunia dicirikan oleh “struktur anarki yang sangat moden”. Perang hanyalah salah satu kaedah untuk persaingan kapitalis dalam masyarakat kapitalis. Dalam dekad-dekad sebelum tercetusnya Perang Dunia I, kuasa-kuasa besar (seperti Britain, Perancis, Jerman, Rusia dan Amerika Syarikat) telah bersaing untuk menjajah dunia demi menguasai pasaran, bahan-bahan mentah dan lingkungan pengaruh baru untuk pengeksportan modal. Ganjaran-ganjaran imperialis ini dilindungi oleh monopoli dan tembok tarif yang menutup pintu kepada kuasa-kuasa pesaing yang lain. Masalah untuk kuasa-kuasa kapitalis adalah pasaran nasional tidak dapat menyerap barangan baru yang terlalu banyak, membawa kepada krisis pengeluaran berlebihan. Dengan munculnya imperialisme, kedua-dua komoditi dan modal dapat dieksport ke negara-negara subjek, dan biasanya membawa kepada keruntuhan perindustrian tempatan di situ.

Bukharin menerangkan bahawa penularan kolonialisme sebagai peringkat baru dalam proses pemusatan yang berterusan dan penajaman persaingan imperialis. Beliau menulis, “Penyerapan unit-unit modal yang kecil oleh yang besar, penyerapan gabungan firma yang lemah, malah penyerapan gabungan firma yang besar oleh yang lebih besar telah diturun taraf ke belakang, dan nampak seperti permainan budak-budak, berbanding dengan penyerapan seluruh negara-negara yang dipisahkan secara paksaan daripada pusat ekonomi mereka dan dimasukkan ke dalam sistem ekonomi ‘negara’ yang berjaya.”

Bukannya keamanan ultra-imperialis seperti yang dibayangkan oleh Kautsky, bagi Bukharin, perang ialah akibat imperialisme yang logikal dan malah perang itu sendiri mempercepatkan lagi pemusatan modal ini.

“Apabila persaingan akhirnya mencapai peringkatnya yang tertinggi, apabila ia menjadi persaingan antara gabungan firma kapitalis negara, maka penggunaan kuasa negara, dan kemungkinan yang berhubungkait dengannya, mula memainkan peranan yang sangat besar,” ulas Bukharin. Analisis Bukharin juga telah meramalkan kebangkitan satu kuasa global yang baru: “Perang ini juga telah mempercepatkan penampilan di arena dunia salah satu daripada gabungan firma kapitalis negara yang terbesar, mempunyai organisasi dalaman yang luar biasa kuatnya. Maksud kami ialah Amerika Syarikat.”

Lenin: Imperialisme sebagai peringkat tertinggi kapitalisme

Vladimir Ilyich Ulyanov, atau lebih dikenali sebagai Lenin (1870–1924), seorang tokoh revolusioner yang merupakan pemimpin utama Revolusi Bolshevik di Rusia, telah membawa teori Marxis mengenai imperialisme ke satu lagi tahap baru dengan penulisannya yang berjudul “Imperialism, the Highest Stage of Capitalism” (1916).

Teori yang dibawa oleh Lenin mengenai imperialisme yang merangkumi pencirian terhadap peringkat baru kapitalisme ini, telah menggabungkan idea-idea daripada beberapa tulisan sebelumnya, termasuklah analisis yang dibangunkan oleh Bukharin dalam tulisannya “Imperialism and World Economy”.

Bundesarchiv_Bild_183-71043-0003,_Wladimir_Iljitsch_Lenin
Vladimir Lenin

Teori Lenin mengenai imperialisme berkisar pada eksploitasi secara sistemik terhadap negara miskin oleh modal monopoli yang berpusat di negara kaya. Dalam kerangka teori Lenin ini, perang antara kuasa imperialis adalah kurang penting berbanding eksploitasi terhadap negara miskin, kerana peperangan pada akhirnya adalah tentang penyusunan semula terma-terma dan syarat-syarat untuk eksploitasi itu.

Lenin menyifatkan imperialisme sebagai peringkat tertinggi dan terakhir untuk kapitalisme. Lenin menyatakan bahawa imperialisme ialah lanjutan semulajadi kapitalisme yang timbul akibat daripada keperluan ekonomi kapitalis untuk memperluaskan pelaburan, perolehan bahan mentah dan tenaga manusia dengan apa jua cara pun, termasuklah melalui perluasan penjajahan.

Menurut Lenin, imperialisme merupakan satu peringkat sejarah yang khusus untuk kaptalisme. Terdapatnya 3 aspek dalam ciri-ciri khusus tentang imperialisme ini:

i. Imperialisme adalah kapitalisme monopoli.

ii. Imperialisme adalah kapitalisme yang parasitik atau mereput.

iii. Imperialisme adalah kapitalisme yang hampir menemui ajal.

Berbeza dengan analisis Marxis sebelum ini yang menganggap imperialisme sebagai sekadar persoalan dasar kolonial, teori Lenin mengenai imperialisme menyatakan bahawa tidak perlu adanya tanah jajahan untuk menjadi imperialis. Teori Lenin secara utamanya membincangkan perubahan dalam struktur sosio-ekonomi kuasa-kuasa kapitalis besar. Bagi Lenin, ciri ekonomi yang asas untuk imperialisme adalah monopoli menggantikan persaingan bebas, dan monopoli merupakan intipati kepada imperialisme.

Bagi Lenin, kunci untuk memahami imperialisme ialah monopoli. Menurut Lenin, takrifan untuk imperialisme moden perlu memenuhi lima ciri penting berikut:

  1. Penumpuan pengeluaran dan modal membangun ke satu tahap yang tinggi di mana ia mewujudkan monopoli yang memainkan peranan penentu dalam kehidupan ekonomi.
  2. Penggabungan modal perbankan dengan modal perindustian, dan mewujudkan “oligarki kewangan” berasaskan “modal kewangan” ini.
  3. Pengeksportan modal, yang berbeza daripada pengeksportan komoditi, menjadi sangat penting.
  4. Pembentukan monopoli kapitalis antarabangsa, yang membahagikan dunia ini antara mereka.
  5. Pembahagian wilayah seluruh dunia antara kuasa-kuasa kapitalis terbesar sudah disempurnakan.

Lenin menulis, “Imperialisme ialah kapitalisme pada peringkat perkembangan di mana dominasi monopoli dan modal kewangan sudah ditetapkan; di mana pengeksportan modal telah mempunyai kepentingan yang ketara; di mana pembahagian dunia dalam kalangan gabungan firma sudah bermula, di mana pembahagian semua wilayah dalam dunia antara kuasa-kuasa kapitalis terbesar sudah pun selesai.

Standard_oil_octopus

Lenin tidak bersetuju dengan pendekatan Kautsky berkenaan dengan teorinya mengenai fasa “ultra-imperialisme”. Lenin mengkritik bahawa “seseorang itu boleh memikirkan fasa begitu dalam abstrak”. “Namun, dalam praktik, sesiapa yang menafikan tugas-tugas tajam hari ini atas nama mimpi tentang tugas-tugas lembut untuk masa hadapan, menjadi seorang oportunis.”

Lenin berkata, “Perbicaraan Kautsky yang benar-benar tidak bermakna tentang ultra-imperialisme menggalakkan, antara lain, bahawa idea yang sangat mengelirukan ini hanya berguna untuk pembela imperialisme, iaitu, bahawa kekuasaan modal kewangan mengurangkan ketidakseimbangan dan percanggahan yang wujud dalam ekonomi dunia, sedangkan pada hakikatnya ia meningkatkan semua ini.” Lenin memberi contoh jurang perbezaan dalam ekonomi antarabangsa dan membincangkan bagaimana ia akan berkembang walaupun di bawah sistem ultra-imperialisme. Lenin bertanya, “Adakah apa-apa cara lain selain peperangan, di bawah kapitalisme, boleh digunakan untuk mengatasi ketidakserasian antara pembangunan kuasa-kuasa pengeluaran dan pengumpulan modal dengan pembahagian tanah jajahan dan lingkungan pengaruh untuk modal kewangan?”

Dengan mengambil istilah daripada tulisan Hilferding, Lenin mengatakan bahawa imperialisme bermakna dominasi modal kewangan. Namun, berbeza dengan Hilferding yang menganggap ini bermakna bank yang mengawal perindustrian, Lenin berhujah bahawa modal kewangan mewakili sintesis modal perdagangan dan modal perindustrian. Ini hanya mungkin berlaku kerana peningkatan monopoli dalam sektor perindustrian, kemudahan asas dan pengangkutan. Syarikat-syarikat monopoli bukan sahaja memerlukan akses istimewa terhadap pasaran modal, malah mereka juga cukup besar untuk mewujudkan kartel yang menetapkan harga dan membahagikan ekonomi dunia antara mereka. Pengukuhan kawalan terhadap dunia bermakna bahawa pengeksportan modal semakin menjadi ciri utama perdagangan antarabangsa, bukan lagi pengeksportan komoditi keluaran perindustrian.

053c53a315556a6888d6e64c58a0e21b_w600_h430

Perubahan yang asas dalam hubungan ekonomi yang telah mencirikan kapitalisme pada peringkat persaingannya, bermakna kemunculan kumpulan sosial yang baru. Di pusat modal kewangan, oligarki kapitalis baru menguasai ekonomi negara masing-masing, sementara satu lapisan “golongan bangsawan buruh” muncul dalam kalangan kelas pekerja yang menyokong dasar-dasar imperialis. Lenin menganggap pemimpin demokrat sosial yang menyokong kerajaan negara masing-masing dalam Perang Dunia I, adalah bertapak dalam lapisan kelas pekerja yang merupakan golongan bangsawan buruh ini.

Lenih berhujah bahawa di negara-negara yang dijajah dan semi-kolonial, pengeksportan modal mewujudkan pembahagian dalam kalangan kelas borjuasi, antara mereka yang terikat dengan kepentingan imperialis dengan mereka yang inginkan pembangunan ekonomi yang lebih berautonomi. Perbezaan kepentingan antara borjuasi komprador dengan borjuasi nasional ini, dan juga hubungan yang patut diwujudkan oleh kuasa revolusioner dengan puak-puak kapitalis yang berbeza ini, merupakan tumpuan perdebatan dalam strategi golongan sosialis pada tahun 1920-an.

Imperialisme sebagai satu cara pengumpulan primitif

Kapitalisme tidak muncul secara sendiri melalui satu proses yang aman dan bersifat penuh kemanusiaan. Sebaliknya, kapitalisme lahir daripada keganasan dan kehancuran kehidupan sebilangan besar rakyat bawahan.

Kemunculan sistem ekonomi kapitalis, perlukan dua syarat yang signifikan:

  1. Adanya jumlah besar tenaga buruh yang bebas tetapi kehilangan sumber pengeluaran dan tidak mempunyai pendapatan diri yang mencukupi untuk menyara hidup;
  2. Segelintir kecil orang yang dapat mengumpul kekayaan wang yang banyak dan melaburkan wang sebagai modal dalam pengeluaran perindustrian dan mengupah tenaga kerja untuk menjana keuntungan.

img_20160103_162552

Proses untuk mewujudkan kedua-dua syarat ini dikenali sebagai pengumpulan primitif untuk modal. Tujuan pengumpulan primitif adalah untuk menswastakan sumber-sumber pengeluaran supaya pemilik modal yang mengeksploitasi tenaga buruh boleh menjana keuntungan daripada buruh surplus daripada pekerja-pekerja yang tiada sumber pengeluaran lain dan perlu bekerja dengannya. Pengumpulan primitif menyerapkan apa-apa yang bukan kapitalis ke dalam sistem ekonomi kapitalis.

Karl Marx pernah menulis dalam Das Kapital Jilid I, “Dalam sejarah pengumpulan primitif, segala revolusi merupakan peristiwa yang mencipta zaman baru yang memainkan peranan penggerak kepada pembentukan kelas pemodal; namun, lebih daripada yang lain, saat-saat itulah apabila sejumlah besar rakyat secara tiba-tiba dan dengan paksaan dipisahkan daripada sumber sara hidup mereka, dan dilemparkan sebagai proletariat yang bebas dan ‘tidak terikat’ ke dalam pasaran buruh. Perampasan tanah daripada pengeluar pertanian, iaitu petani, membentuk asas kepada seluruh proses ini. Sejarah perampasan ini, mempunyai aspek yang berbeza di negara yang berlainan, melalui fasa-fasa yang berlainan dalam urutan yang berlainan dan pada zaman yang berlainan.”

Pengumpulan primitif merupakan proses sejarah di mana pengeluar yang membanting tulang (iaitu tenaga buruh) dipisahkan secara paksaan daripada sumber pengeluaran (khususnya tanah pertanian), untuk membolehkan kekayaan wang ditumpukan dengan cepat dalam tangan segelintir kecil orang yang memiliki modal, iaitu matawang yang boleh dilaburkan untuk memperoleh matawang yang lebih banyak. Cara untuk melakukan pengumpulan primitif adalah melalui perompakan secara ganas. Pengumpulan primitif untuk modal tidak dapat dipisahkan daripada pemangsaan ke atas pengeluar kecil dan petani, penjajahan ke atas negara yang belum membangun lagi (dari segi ekonomi kapitalis), perampasan ke atas sumber alam di tanah jajahan, perdagangan hamba dan sebagainya. 

Di negara yang paling awal munculnya sistem pengeluaran kapitalis, berlakunya satu proses yang memisahkan pengeluar dengan sumber pengeluaran di dalam negara itu sendiri. Maknanya adalah, pengeluar atau orang yang melakukan kerja pengeluaran itu tidak lagi memiliki apa-apa sumber pengeluaran, termasuklah tenaga kerjanya yang juga menjadi komoditi yang boleh dijual beli. Pada penghujung Zaman Pertengahan sehingga abad ke-18 di Eropah, berlakunya apa yang dikenali sebagai “pemagaran” (enclosure), di mana tanah ladang kecil dan tanah yang dapat diakses oleh komuniti untuk aktiviti pertanian (common land) telah ditutup atau dipagarkan untuk mewujudkan bidang tanah ladang yang besar. Ini telah menyebabkan ramai petani kecil kehilangan tanah, iaitu satu-satunya sumber rezeki mereka (pengeluar pertanian dipisahkan daripada tanah pertanian). Mereka yang kehilangan sumber pencarian nafkah terpaksa berhijrah ke bandar, dan menjualkan tenaga kerja mereka kepada kilang-kilang pembuatan industri demi mendapatkan wang yang mencukupi untuk membeli semula keperluan hidup mereka. Proses ini menyediakan asas kepada pembentukan kelas pekerja, iaitu mereka yang tidak mempunyai apa-apa sumber pengeluaran kecuali tenaga kerja yang terpaksa dijual kepada kelas kapitalis yang memiliki kilang dan mempunyai modal yang cukup besar untuk membeli tenaga kerja.

63cb069a2a84de838ccede05e52729f1

Apabila penjajah Eropah mula menduduki benua Afrika, untuk membawa masuk corak pengeluaran kapitalis, mereka telah “memiliknegarakan” tanah dengan keluasan yang besar, di mana tanah orang asal Afrika telah dijadikan hak milik kerajaan penjajah ataupun hak milik swasta syarikat kapitalis Eropah. Orang asal Afrika dipaksa untuk berpindah ke kawasan pengasingan, yang digelar sebagai “kawasan simpanan”, di mana tanah tersebut tidak mencukupi untuk membekalkan keperluan hidup bagi mereka. Ada juga penjajah yang mengenakan levi (cukai mengikut kepala) ke atas orang Afrika di tanah jajahan, dan memaksa mereka membayarnya dengan matawang. Ini telah menyebabkan orang Afrika di tanah jajahan terpaksa bekerja untuk mendapatkan upah dalam bentuk matawang, supaya membolehkan mereka membayar cukai dengan matawang, dan membeli bekalan makanan untuk menampung kehidupan mereka.

Pemindahan kekayaan secara sistematik yang diwujudkan dalam perdagangan untuk logam berharga, hamba dan candu, yang berlaku antara abad ke-17 hingga abad ke-19, merupakan contoh pengumpulan primitif yang penuh dengan penindasan, pemaksaan, kezaliman dan keganasan. Pedagang-pedagang kapitalis mengumpul modal mereka dengan cara mengorbankan masyarakat bukan kapitalis. Negara-negara yang bukan kapitalis melangkah masuk ataupun diserap masuk ke dalam sistem ekonomi kapitalis oleh negara-negara yang sudah mempunyai sistem kapitalis, melalui cara ancaman, paksaan, pencerobohan dan penjajahan yang membawa impak teruk kepada masyarakat tempatan. Semua negara kapitalis yang “maju” boleh menjadi begitu “maju” pada hari ini, adalah hasil daripada proses perluasan sistem ekonomi yang melibatkan pengumpulan primitif yang penuh dengan kekejaman dan keganasan.

Mungkin adanya orang yang menganggap pengumpulan primitif hanya berlaku pada fasa perkembangan awal kapitalisme dan tidak berlaku lagi selepas kapitalisme dapat meneruskan perkembangannya berasaskan pengumpulan terhadap nilai surplus yang diekstrak daripada pekerja. Namun, anggapan sebegini tidak benar, kerana pada hakikatnya pengumpulan primitif telah diteruskan sepanjang sejarah kewujudan kapitalisme sehingga hari ini secara bergandingan dengan “pengumpulan normal”, iaitu pengumpulan nilai surplus yang diperoleh dalam sistem kapitalis itu sendiri. 

Kolonialisme dan dasar belantan besar: Ciri asas imperialisme abad ke-19 dan awal abad ke-20

teddy4

Gelombang pertama kolonialisme, iaitu penjajahan kuasa besar Eropah ke atas wilayah-wilayah yang bukan kapitalis lagi, yang bermula dengan apa yang dikenali sebagai “Zaman Penjelajahan” pada abad ke-15 hingga abad ke-17, merupakan zaman berlakunya pengumpulan primitif yang menyediakan asas kepada kuasa besar Eropah untuk melangkah masuk kemudiannya ke dalam ekonomi kapitalis moden. Portugal dan Sepanyol boleh dikatakan empayar global yang paling awal kerana kedua-dua negara tersebut paling awal memperluaskan kekuasaan merentasi kawasan yang luas di peringkat dunia, sekitar abad ke-15 hingga awal abad ke-17, khususnya melalui penjajahan ke atas benua Amerika yang digelar sebagai “Dunia Baru” oleh kuasa imperialis Eropah. Negara-negara Eropah yang lain pula, seperti Britain, Perancis dan Belanda, membina kekuasaan penjajah mereka pada penghujung abad ke-16 dan abad ke-17. Ini mewujudkan persaingan secara langsung antara kuasa-kuasa imperialis.

Gelombang pertama perluasan kuasa kolonial Eropah berlaku secara bergandingan dengan dasar merkantilisme yang diamalkan oleh negara-negara penjajah pada masa itu, iaitu sejenis dasar ekonomi yang melibatkan pengenaan tarif dan pemberian subsidi terhadap barangan perdagangan untuk memaksimumkan eksport sementara meminimumkan import dengan tujuan memperkukuhkan ekonomi negara asal (iaitu negara yang menjajah). Dasar Merkantilisme ini biasanya mengenakan sekatan ke atas tanah jajahan untuk hanya berdagang dengan metropole (negara yang menjajah wilayah itu).

Gelombang kedua kolonialisme Eropah bermula dengan perluasan kuasa Britain di Asia pada abad ke-19 melalui Syarikat Hindia Timur Inggeris, yang disusuli oleh negara-negara Eropah yang lain. Dengan mula berlakunya Revolusi Industri Pertama pada pertengahan abad ke-18 (melibatkan peralihan dari corak pengeluaran berbentuk kraftangan ke pengeluaran berskala besar-besaran dengan mesin dan penggunaan kuasa stim), khususnya di Britain, kemudiannya diikuti oleh Belgium, Perancis, Jerman dan juga Amerika Syarikat yang mencapai kemerdekaan daripada Britain selepas satu peperangan, ekonomi kapitalis berkembang dengan pesat di negara-negara berkenaan dan mewujudkan keperluan untuk mendapatkan lebih banyak bahan mentah dan tenaga kerja dengan kos yang paling rendah untuk golongan pemodal. Sebab utama kekuasan imperialis Portugal dan Sepanyol telah merosot dengan hebat dan dipintas oleh kuasa-kuasa besar lain seperti Britain dan Perancis, adalah proses Revolusi Industri yang jauh lebih lemah dan lambat di kedua-dua negara tersebut, tambahan pula dengan kehilangan kebanyakan tanah jajahan di benua Amerika berikutan siri peperangan kemerdekaan di rantau Amerika Latin pada awal abad ke-19.

Gelombang perluasan kuasa imperialis kapitalis memasuki fasa ketiganya pada penghujung abad ke-19, seiring dengan Revolusi Industri Kedua (melibatkan pengeluaran keluli berskala besar-besaran, pembinaan rangkaian landasan keretapi, pembangunan perindustrian kimia dan penggunaan elektrik). Fasa ini dikenali sebagai “Imperialisme Baru” dalam sejarah. Salah satu peristiwa penting yang menandakan imperialisme kolonial mencapai tahap baru ialah Persidangan Berlin pada tahun 1884-1885 yang menghalalkan “Perebutan Afrika”, iaitu pembahagian tanah jajahan di benua Afrika dalam kalangan kuasa besar Eropah, termasuklah Britain, Perancis, Jerman, Belgium, Portugal dan Itali. Inilah yang dimaksudkan oleh Lenin, “pembahagian wilayah seluruh dunia antara kuasa-kuasa kapitalis terbesar sudah disempurnakan”.

Berlin Conference - 800px-Kongokonferenz
Persidangan Berlin 1884-1885

Pada penghujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20, iaitu ketika imperialisme kolonial Eropah mencecah kemuncaknya, kuasa imperialis mewujudkan dominasi ke atas negara lain dengan dua kaedah, iaitu penjajahan secara langsung dan dasar “pintu terbuka”.

Penjajahan secara langsung oleh kuasa penjajah, iaitu melalui pendudukan tentera kuasa penjajah dan pembentukan sistem ekonomi-politik (termasuk undang-undang) di tanah jajahan yang melindungi segala kepentingan pemodal kolonial, adalah bertujuan untuk menjamin penguasaan kelas kapitalis di negara imperialis ke atas pasaran, bahan mentah, tenaga buruh dan peluang pelaburan. Penjajahan selalunya dilakukan dengan cara yang keras, iaitu melibatkan penaklukan tentera dan penindasan kejam terhadap sebarang penentangan masyarakat tempatan.

Dasar “pintu terbuka” pula diamalkan oleh kuasa imperialis untuk memaksa negara-negara yang bukan kapitalis untuk membuka pintu ekonomi kepadanya tanpa penjajahan secara langsung. Negara imperialis yang lebih kuat walaupun “menghormati” kedaulatan sesebuah negara yang lain secara rasminya, tetapi memaksa negara tersebut untuk melaksanakan dasar “pintu terbuka” supaya kapitalis dari kuasa besar dapat memasukinya tanpa apa-apa sekatan. Pendekatan ini berkaitan dengan kuasa besar seperti Britain mula menggantikan amalan Merkantilisme dan sekatan terhadap perdagangan dengan dasar menggalakkan (atau memaksakan) perdagangan bebas, menurunkan tarif dan mengurangkan sekatan terhadap perdagangan. Kuasa imperialis ini mengamalkan dasar “tutup pintu” yang melindungi sektor perindustriannya pada peringkat awal perkembangan ekonomi kapitalis di dalam negaranya, dan selepas ekonominya mencapai tahap yang cukup tinggi serta mendominasi di peringkat antarabangsa, maka ia memaksa negara-negara lain yang kurang maju dari segi ekonomi untuk “membuka pintu” kepadanya. Memang hipokrit. Untuk negara yang enggan “membuka pintu”, kuasa imperialis memang tidak akan teragak-agak untuk menggunakan cara yang keras, seperti yang pernah berlaku pada negara China, di mana ia dipaksa untuk “membuka pintu” kepada kuasa besar Eropah dan menandatangani perjanjian yang berat sebelah selepas Perang Candu.

10174500-4x3-xlarge
Perang Candu pada tahun 1839-1842 dan 1856-1860, memaksa China membuka pelabuhan persetiaan kepada perdagangan asing dan penyerahan kuasa pentadbiran Hong Kong kepada kuasa imperialis.

Kadang-kadang dasar “pintu terbuka” ini dilakukan melalui apa yang dikenali sebagai “Diplomasi Kapal Perang” (Gunboat Diplomacy) atau “Dasar Belantan Besar” (Big Stick Diplomacy), iaitu taktik kuasa besar untuk memaksa negara-negara yang kecil tunduk kepada kehendak mereka melalui cara mengadakan rundingan yang “damai dan mesra” dengan negara-negara kecil, tetapi pada masa yang sama mengancam dengan kekuatan tenteranya. Pendekatan sebegini telah digunakan oleh Amerika Syarikat ke atas negara-negara Amerika Latin pada awal abad ke-20.

Dengan membangunkan “sekutu” yang mengamalkan dasar “pintu terbuka” kepada kepentingan negara kapitalis yang lebih maju, kuasa-kuasa imperialis mewujudkan “lingkungan pengaruh” (sphere of influence) di bawah kekuasaannya, di mana walaupun bukannya penjajahan secara langsung, negara-negara yang berada di bawah lingkungan pengaruh sesuatu kuasa besar adalah bagaikan anak syarikat kepada syarikat korporat yang lebih besar.

Imperialisme terus membiak ketidaksamarataan yang menyuburkan kekuasaan imperialis

Imperialisme memerlukan monopoli kelas kapitalis terhadap eksploitasi tenaga buruh dan sumber asli. Ia perlukan pengeksportan modal (bukannya pengeksportan barangan) untuk mengekalkan penjajahannya.

Screenshot_2020-08-09 gold-diggers-org-uk-more-at-polyp-org-uk-facebook-com-polyppolyp-and-facebook-com-paul-fitzgerald-589[...]

Di negara imperialis, keuntungan hebat yang diperoleh daripada eksploitasi melalui proses penjajahan, membolehkan golongan kapitalis di negara itu untuk menyogok ahli politik dan pemimpin pekerja, supaya mereka ini dapat bersekongkol dalam usaha menggagalkan sebarang perlawanan pekerja di negara itu.

Di negara yang dijajah secara langsung, negara imperialis akan menempatkan tenteranya untuk mematahkan sebarang penentangan terhadap penjajahannya dan memerintah melalui institusi pentadbiran yang terletak di bawah arahan terus daripada pemerintah negara imperialis.

Di negara yang separa dijajah atau semi-kolonial, kawalan ke atas negara sebegini adalah secara tidak langsung, iaitu melalui kerajaan yang mesra pada negara imperialis dan sanggup menjadi budak suruhan kuasa imperialis, walaupun negara tersebut mengekalkan kemerdekaannya secara rasmi.

Apabila dunia melangkah masuk ke dalam zaman imperialisme, peranan pasaran kapitalis sedunia tidak lagi mendorong perkembangan “normal” sistem kapitalis malah menghalangnya, khususnya menghalang usaha perindustrian negara-negara yang tidak membangun.

Faktor utama terjadi keadaan sedemikian adalah wujudnya ketidakseimbangan dalam pembangunan antara negara. Negara maju mengeluarkan komoditi secara besar-besaran kerana tahap produktivitinya yang lebih tinggi, dan menjual komoditi secara murah kepada negara yang tidak maju. Ini bukan sahaja menghancurkan perusahaan kraf di negara yang tidak maju, kerana perusahaan kraf itu tidak mampu bersaing dengan barangan yang dihasilkan melalui pengeluaran berskala besar-besaran di negara maju, malah juga menghalang perkembangan perindustrian moden di negara yang tidak maju itu. Modal berlebihan yang tertumpu dalam tangan kapitalis monopoli di negara maju, telah dieksport secara besar-besaran ke negara yang tidak maju, mendirikan zon pengeluaran industri di negara yang tidak maju yang berfungsi sebagai sektor sampingan atau sokongan kepada industri negara maju (bukannya untuk bersaing dengan industri di negara maju). Ini menyebabkan modal asing menguasai hampir sepenuhnya ekonomi negara yang tidak membangun. Segala jentera negara (termasuk kerajaan, dasar ekonomi, undang-undang dan badan penguatkuasaan) di negara yang tidak membangun digunakan untuk melindungi pelaburan modal asing, tetapi perkembangan perindustrian baru di negara itu sendiri pula disekat ataupun tidak digalakkan langsung.

Kepentingan kelas pemerintah lama di negara yang tidak maju (khususnya golongan bangsawan feudal) telah diikat bersama kepentingan modal imperialis. Kuasa modal asing mendominasi masyarakat sebegini, dan kelas borjuasi tempatan tidak memegang kuasa pemerintahan (ataupun kelas borjuasi tempatan langsung tidak dibangunkan). Ini amat berbeza dengan negara kapitalis yang maju di Eropah dan Amerika Syarikat, yang telah melalui proses revolusi demokratik borjuis yang menghancurkan sepenuhnya saki baki kelas pemerintah lama yang bersifat feudal.

Di negara-negara yang dijajah atau semi-kolonial, wujudnya golongan oligarki yang terdiri daripada kapitalis komprador dan kelas tuan tanah, yang bersekongkol dengan kuasa-kuasa imperialis, untuk mengekploitasi dan menindas tenaga buruh di situ. Kapitalis komprador merupakan kelas kapitalis tempatan yang pada asalnya ejen kepada syarikat import-eksport asing, kemudiannya menjadi ahli perniagaan bebas tetapi bergantung kepada hubungan rapatnya dengan kuasa penjajah imperialis. Perniagaan golongan kapitalis komprador biasanya tertumpu dalam sektor komersial dan perkhidmatan, sementara keuntungan mereka dilaburkan dalam perniagaan, pinjaman ceti haram, pembelian tanah dan spekulasi hartanah.

Negara yang tidak membangun mengalami ekonomi yang lebih mundur berbanding negara imperialis, bukannya disebabkan negara tersebut kekurangan modal atau kekurangan sumber. Sebaliknya, di negara yang “mundur”, nisbah barangan surplus sosial dalam pendapatan negaranya seringkali lebih tinggi daripada negara maju, dan negara sebegini biasanya kaya dengan pelbagai sumber alam (sumber galian, hutan, tanah pertanian dan sebagainya). “Kemunduran” itu adalah hasil daripada struktur sosio-ekonomi yang terjadi akibat daripada dominasi oleh kuasa imperialis ke atasnya. Modal matawang yang dikumpulkan di negara sebegini bukan digunakan secara utamanya untuk pelaburan dalam pembangunan perindustrian, malah juga bukan untuk pelaburan dalam sektor produktif di negara itu. Ini juga menyebabkan pekerjaan tidak mencukupi sehingga merendahkan gaji pekerja, malah adanya pekerja yang perlu merantau ke tempat lain untuk menjadi pekerja migran.

Seluruh proses penjajahan oleh kuasa imperialis, telah mewujudkan dan memburukkan ketidakseimbangan kuasa antara negara-negara di peringkat antarabangsa, iaitu kuasa besar imperialis menjadi semakin kuat sementara negara-negara atau wilayah-wilayah yang kurang membangun terus miskin dan didominasi oleh kuasa besar. Ini menjadikan dunia semakin tidak samarata, dengan kuasa imperialis menjadi lebih kuat dan mendominasi lagi dengan kesamarataan yang semakin hebat. Selain itu, proses penjajahan juga membiak ketidaksamarataan di wilayah yang dijajah oleh kuasa imperialis. 

Imperialisme membiak peperangan 

WWI-Soldiers

Imperialisme berkaitan rapat dengan perluasan kekuasaan tentera (militarisme). Kuasa imperialis memerlukan kuasa ketenteraan untuk melindungi kepentingan pelabur yang berasal dari negara imperialis. Perluasan kuasa ketenteraan pula membolehkan perkembangan ekonomi yang berasaskan pengeluaran senjata ketenteraan. 

Dalam proses penjajahan ke atas negara-negara yang kurang membangun, kapitalis-kapitalis besar yang bersaing sesama sendiri, dan kerajaan-kerajaan negara kapitalis yang mewakili kepentingan mereka, turut terlibat dalam konflik persaingan untuk menguasai tanah-tanah jajahan, demi memastikan eksploitasi terhadap segala sumber alam dan tenaga kerja di tanah jajahan itu dapat diteruskan supaya memenuhi logik pengumpulan modal yang tiada penghujungnya.

Pembahagian dunia antara kuasa-kuasa imperialis untuk menguasai tanah jajahan merupakan ciri khusus ketika zaman “Imperialisme Baru”. Pada tahun 1880 hingga 1905, kuasa-kuasa imperialis telah membahagikan dunia mengikut imbangan kuasa antara mereka, di mana Britain sebagai kuasa terbesar dunia, diikuti dengan kuasa imperialis yang kuat seperti Perancis, Belanda dan Belgium. Sementara itu, negara imperialis yang baru muncul atau “muda” seperti Jerman, Itali, Amerika Syarikat dan Jepun pula cuba membina kapasiti mereka sebagai kuasa besar yang mampu bersaing dengan negara imperialis yang wujud lebih awal daripada mereka.

Demi mengekstrak lebih banyak keuntungan untuk golongan kapitalis melalui proses penjajahan, negara-negara imperialis “muda” cuba mengubah keadaan pembahagian dunia mengikut imbangan kuasa itu dengan melancarkan perang. Maka tercetusnya peperangan seperti Perang Amerika-Sepanyol (1898), Perang Jepun-Rusia (1904-1905), Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945).

Perang hanyalah pemanjangan perlawanan antara negara-negara dan kelas-kelas sosial dengan satu lagi cara yang lain. Perlawanan antara negara-negara pula hanyalah pemanjangan persaingan antara syarikat korporat multinasional yang utama di bawah ekonomi kapitalis. Sejak kewujudannya, kapitalisme penuh dengan konflik dan peperangan. Selagi kapitalisme masih kekal wujud, selagi itu persaingan antara syarikat korporat multinasional akan kekal, begitu juga dengan konflik bersenjata.

Selagi kecenderungan pemusatan kuasa politik dan ekonomi dalam tangan kelas pemerintah kapitalis di bawah imperialisme masih berterusan, selagi masih terdapat persaingan antara kuasa-kuasa imperialis, selagi kuasa-kuasa besar kapitalis masih berlumba-lumba untuk menguasai modal monopolistik, peperangan ataupun ancaman berlakunya peperangan tidak dapat dielakkan. Dengan kapitalisme berkembang dan memperluaskan pencariannya untuk pasaran dan sumber baru yang dapat terus menjana keuntungan, memang menjadi “sifat semulajadi” kepada negara-negara kapitalis yang “maju” untuk mengeksploitasi wilayah-wilayah pinggiran dengan cara-cara yang termasuk perang pencerobohan imperialis. Pertembungan kepentingan antara kuasa-kuasa imperialis pula mencetuskan krisis peperangan yang lagi hebat.

Perang imperialis merupakan peperangan yang bertujuan untuk mengagihkan hasil rampasan antara kuasa-kuasa besar, merebut tempat baru untuk pelaburan, berlumba-lumba untuk sumber bahan mentah dan bersaing untuk kawalan ke atas pasaran, bukannya untuk apa-apa “ideal” politik (sama ada untuk menyokong atau menentang demokrasi dan sebagainya). Perang antara kuasa-kuasa imperialis untuk menguasai dunia atau tanah jajahan telah mendatangkan malapetaka yang amat teruk dan dahsyat kepada kemanusiaan sedunia.

maxresdefault

Perang Dunia I merupakan kemuncak pertama konflik imperialis yang tidak dapat diselesaikan di peringkat global. Lebih 70 juta orang anggota tentera telah dikerahkan untuk membunuh sesama sendiri di medan perang. Dianggarkan lebih kurang 9 juta orang askar dan 13 juta orang warga awam terkorban dalam Perang Dunia I, sementara keganasan perkauman yang melibatkan pembunuhan beramai-ramai dan penularan Pandemik Influenza 1918 yang diburukkan dengan berlakunya peperangan turut meragut puluhan juta nyawa.

Perang Dunia I hanya ditamatkan selepas berlakunya revolusi yang hebat, di Rusia pada tahun 1917 dan di Jerman pada tahun 1918. Namun, Perang Dunia I yang pernah digelar sebagai “peperangan untuk menamatkan segala peperangan” bukan sahaja tidak menamatkan perang imperialis selama-lamanya, malah meninggalkan banyak masalah yang tidak dapat selesai sehingga mengundang lebih banyak lagi konflik.

Persidangan Damai Paris pada tahun 1919 hanya menjadi forum kepada kuasa-kuasa besar yang muncul sebagai “pemenang” dalam Perang Dunia I untuk mengagihkan kepentingan dalam kalangan mereka sendiri, termasuk memecahkan wilayah yang pernah dikuasai Empayar Uthmaniyyah untuk dibahagikan kepada kuasa besar seperti Britain dan Perancis. Liga Bangsa yang ditubuhkan berikutan Persidangan Damai Paris, yang sepatutnya berfungsi untuk mencegah peperangan, telah gagal membendung ancaman perang yang sudah bersebati dalam susunan dunia imperialis, malah Perang Dunia II yang lebih dahsyat menyusul hanya 20 tahun kemudian.

Fasisme: Produk sampingan imperialisme

Screenshot_2020-08-08 mussolini-hitler jpg (WEBP Image, 1200 × 628 pixels)

Dunia berada di ambang revolusi proletariat yang hebat pada penghujung Perang Dunia I. Revolusi proletariat di Rusia melahirkan negara pekerja yang pertama di dunia, dan memberi rangsangan kepada kemunculan gelombang revolusi di negara-negara yang lain, seperti Jerman, Hungary dan Itali. Namun begitu, Revolusi Rusia telah diasingkan apabila revolusi pekerja yang dipimpin oleh golongan revolusioner berhaluan kiri menemui kegagalan di negara-negara yang lain.

Dengan krisis kapitalis yang berterusan berikutan Perang Dunia I dan kebimbangan terhadap revolusi proletariat yang berpotensi menggantikan sistem kapitalis kepada sistem pemerintahan baru yang berlandaskan kuasa kelas pekerja, munculnya satu aliran fahaman politik pelampau kanan yang menjadi usaha terakhir kelas kapitalis untuk mengekalkan kekuasaannya, iaitu fasisme. Fahaman fasis yang menggabungkan unsur populisme, anti-komunisme, rasisme, ultra-nasionalisme, patriotisme dan kepercayaan pada kepimpinan yang autoritarian, berkembang di negara imperialis yang tidak dapat “berkongsi” sebahagian besar hasil pengagihan kuasa selepas Perang Dunia I, seperti Itali dan Jepun; dan juga di negara imperialis yang mengalami kekalahan dalam perang imperialis, seperti Jerman.

Fasisme muncul sebagai produk sampingan imperialisme dan kapitalisme yang berada dalam krisis. Sama ada Adolf Hitler di Jerman atau Benito Mussolini di Itali, golongan fasis mula berkuasa melalui pilihanraya di bawah “demokrasi” borjuis, tetapi kemudiannya menonjolkan dan memperkukuhkan sifat politik autoritarian pemerintahan kelas kapitalis, sehingga menghancurkan institusi demokrasi. Tugasan yang diberikan kepada kuasa fasis, yang datang daripada kelas kapitalis, adalah untuk berkuasa dan menghancurkan gerakan pekerja demi menyelamatkan kapitalisme dengan apa jua cara yang agresif dan drastik.

Fahaman fasisme bertumbuh dalam keadaan rakyat sesebuah negara semakin kecewa dengan sistem yang sedia ada tetapi alternatif yang bersifat pembebasan telah disekat atau digagalkan. Tambahan pula, kumpulan politik pelampau kanan mengekploitasikan perasaan kekecewaan rakyat dengan cara menghasut dan memobilisasi massa berasaskan sentimen kebencian terhadap kumpulan masyarakat tertentu, di samping mempromosi keganasan dan perang, supaya elit pelampau kanan dapat mengambilalih kuasa pemerintahan daripada golongan elit politik yang dianggap gagal mempertahankan sistem kapitalis dan kekuasaan imperialis. Golongan fasis yang berkuasa memastikan kelas pemerintah dalam masyarakat kapitalis kekal berkedudukan dominasi dalam hubungan pengeluaran sosial. Fahaman fasisme juga dapat memenuhi keinginan golongan pendukung imperialis untuk mengembalikan “kegemilangan” kuasa imperialis. Kemunculan fasisme membawa malapetaka yang amat dahsyat kepada dunia.

Clara Zetkin (1857-1933), seorang tokoh Marxis di Jerman, pernah menulis pada tahun 1923, “Fasisme ialah ekspresi bersungguh-sungguh serangan secara umum yang dilakukan oleh borjuasi dunia terhadap proletariat… Pemimpin Fasis bukannya kasta yang kecil dan eksklusif; mereka menjangkau ke dalam elemen penduduk yang luas… Fasisme, dengan semua kekuatannya dalam pelakuan perbuatan keganasannya, sememangnya tidak lain dan tidak bukan ekspresi kehancuran dan kemerosotan ekonomi kapitalis, dan gejala pembubaran negara borjuis. Ini merupakan salah satu akarnya. Gejala-gejala kemerosotan kapitalisme ini sudahpun dapat diperhatikan walaupun sebelum perang. Perang telah menghancurkan ekonomi kapitalis sehingga ke asasnya, menyebabkan bukan sahaja pemiskinan proletariat yang hebat, tetapi juga penderitaan yang mendalam untuk borjuasi kecil, petani kecil dan golongan intelek. Semua elemen ini pernah dijanjikan bahawa perang akan membawa penambahbaikan kepada keadaan kebendaan mereka. Namun, apa yang sangat bertentangan telah berlaku. Bekas kelas menengah dalam jumlah yang besar telah menjadi proletariat, kehilangan kesemua jaminan ekonomi mereka. Barisan mereka disertai oleh bekas pegawai tentera dalam jumlah yang besar, yang sekarang ini sedang menganggur. Dalam kalangan elemen inilah fasisme merekrut kontinjen yang cukup besar… Akar kedua fasisme terletak dalam penangguhan revolusi dunia oleh kerana sikap pengkhianatan daripada pemimpin-pemimpin reformis. Sejumlah besar borjuasi kecil, malah termasuk kelas menengah, telah membuangkan psikologi zaman perang mereka kerana bersimpati dengan sosialisme reformis, mengharapkan bahawa ia akan membawa kepada pembaharuan masyarakat seiring dengan demokrasi. Mereka telah dikecewakan dalam harapan mereka… Fasisme telah menjadi semacam tempat perlindungan untuk mereka yang tiada tempat perlindungan secara politik.”

Antonio Gramsci (1891–1937), seorang tokoh Marxis dan salah seorang pengasas Parti Komunis Itali, yang dipenjarakan oleh rejim fasis Benito Mussolini di Itali untuk bertahun-tahun lamanya, telah membangunkan pemahamannya tentang kenapa salah satu gerakan pekerja yang paling militan di Eropah pada zamannya gagal menyekat kemaraan fasisme. Gramsci berhujah bahawa bentuk yang paling maju untuk kapitalisme bukannya kapitalisme kewangan, tetapi Fordisme. Fordisme, nama panggilan yang diberikan kepada sejenis model pengeluaran berskala besar-besaran yang dipelopori oleh Henry Ford (1863-1947), seorang taikun pembuat kereta di Amerika Syarikat, merupakan sistem ekonomi dan sosial yang berasaskan pengeluaran dan penggunaan bersifat industri dan standard dalam skala besar-besaran. Fenomena ini, sesuatu yang agak unik di Amerika Syarikat pada masa itu, menggabungkan barisan pemasangan dan konsumerisme massa, di samping berasaskan dominasi budaya yang menjadikan nilai-nilai moden, individualis dan borjusi kelihatan sebagai perkara yang masuk akal dan diterapkan dalam kehidupan masyarakat umum. Hegemoni budaya Barat yang bersifat mensejagatkan dan invasif ini, dengan ekonomi politiknya yang berkaitan, sangat berbeza dengan sifat modal kewangan di Perancis yang bergantung pada gabungan dengan pemilik kecil, dan di Itali pula modal kewangan bergantung pada kelas parasit yang “tiada fungsi penting dalam dunia pengeluaran”. Gramsci menghubungkaitkan konsep “revolusi pasif” di bawah model Fordisme, iaitu perubahan pada struktur politik dan institusi tanpa proses sosial yang hebat ataupun tanpa gerakan kelas pekerja yang revolusioner untuk memelihara dan membangunkan lagi pemerintahan kapitalis, dengan perkembangan rejim fasisme. “Revolusi pasif” di negara seperti Itali menggabungkan kaedah (idea dan organisasi) revolusioner dengan matlamat projek pemodenan konservatif yang bersifat reaksioner untuk memperkukuhkan kuasa sosial dan politik kelas dominan yang sedia wujud. Pandangan Gramsci ini amat berbeza dengan idea yang dibawa oleh Hilferding dan Lenin tentang kaitan imperialisme dengan kapitalisme kewangan, tetapi menawarkan perspektif penting untuk memahami perkembangan fasisme sebagai satu bentuk imperialisme kapitalis.

Antonio-Gramsci
Antonio Gramsci

Sumbangan luar biasa Gramsci ini kepada teori Marxis kontemporari ketika itu tidak mendapat perhatian yang serius daripada gerakan sosialis aliran utama. Amadeo Bordiga (1889-1970), seorang lagi pengasas Parti Komunis Itali, menyifatkan fasisme hanya satu lagi bentuk pemerintahan borjuis, meletakkannya pada tahap yang sama dengan demokrasi borjuis atau monarki tradisional, dan ia bukannya terlalu reaksioner atau luar biasa. Pandangan sebegini tidak membantu gerakan pekerja Itali untuk memperdalamkan pemahaman mereka tentang sifat fasisme dan memperkuatkan usaha untuk melawannya. Begitu juga dengan Comintern yang telah dikuasai sepenuhnya oleh golongan Stalinis pada masa itu, di mana dalam Kongres Dunia Comintern pada tahun 1936, pertubuhan gabungan parti-parti komunis itu menakrif fasisme sebagai “kediktatoran terbuka modal kewangan”. Takrifan yang dibawa oleh Kesatuan Soviet yang dipimpin oleh Joseph Stalin (1878-1953) ini telah menafikan sebarang perbezaan kualitatif antara kerajaan demokratik borjuis dengan rejim fasis. Oleh itu, apabila Perang Dunia II mula tercetus pada tahun 1939, Kesatuan Soviet menyifatkannya sebagai perang “imperialis”, malah Kesatuan Soviet yang mendukung perjuangan anti-fasis sebelum itu telah menandatangani perjanjian saling tidak menceroboh dengan Jerman Nazi (dikenali sebagai “Pakatan Molotov–Ribbentrop”) tidak lama sebelum tercetusnya Perang Dunia II. Hanya apabila tentera Jerman menceroboh wilayah yang dikuasai Kesatuan Soviet pada bulan Jun 1941, barulah Kesatuan Soviet kembali aktif dalam perjuangan anti-fasis demi mempertahankan “ibu pertiwi sosialis”.

Walau bagaimanapun, Kesatuan Soviet telah memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha menumpaskan kekuasaan fasisme. Lebih 20 juta warga Kesatuan Soviet telah mengorbankan nyawa mereka dalam usaha menewaskan pencerobohan Jerman dan akhirnya membawa kemenangan kepada perang anti-fasis. Gerakan Penentangan yang diorganisasi untuk melawan pendudukan Kuasa Paksi semasa Perang Dunia II, telah disertai oleh ramai anggota parti komunis yang berani mempertaruhkan nyawa mereka demi menumpaskan kekuasaan fasis.

1 dhFy42Ajsr708wHWhZsZCA@2x

Pasca Perang Dunia II: Perang Dingin dan peta kuasa imperialis dilukis semula

Kehancuran dan kehilangan nyawa yang disebabkan oleh Perang Dunia II, adalah jauh lebih teruk berbanding Perang Dunia I. Lebih 60 juta orang terkorban dalam Perang Dunia II. Perang Dunia II telah mengubah keseimbangan kuasa di peringkat dunia. Kuasa imperialis Barat dilemahkan, khususnya kuasa imperialis Britain. Sistem penjajahan imperialis yang lama digugat dan mula hancur berkecai. Gerakan pembebasan nasional merebak di negara-negara kurang membangun (di benua Asia dan Afrika), membolehkan kebanyakan negara yang dijajah oleh kuasa-kuasa besar sebelum itu mencapai kemerdekaan.

Namun begitu, wujudnya persaingan baru antara kuasa-kuasa besar dalam susunan dunia baru pasca Perang Dunia II. Sebelum Perang Dunia II tamat lagi, pada bulan Februari 1945, Franklin D. Roosevelt (1882-1945) selaku Presiden Amerika Syarikat pada masa itu, Winston Churchill (1874-1965) selaku Perdana Menteri Britain dan Joseph Stalin selaku Pemimpin Agung Kesatuan Soviet, bertemu di Yalta, Krimea, untuk membincangkan penyusunan semula negara Jerman dan Eropah pasca perang. Persidangan Yalta yang menemukan tiga kuasa besar dunia pada masa itu, memberi pembayang kepada pergolakan geopolitik dan susunan dunia pasca Perang Dunia II. Sementara itu, Persidangan Bretton Woods yang diadakan pada bulan Julai 1944 di negeri New Hampshire, Amerika Syarikat, merupakan usaha kuasa besar untuk mencorak susunan ekonomi global pasca Perang Dunia II.

MPTV-ENTERTAINMENT/
(Dari kiri duduk) Winston Churchill, Franklin D. Roosevelt dan Josef Stalin dalam Persidangan Yalta pada bulan Februari 1945.

Tidak lama selepas tamatnya Perang Dunia II, Perang Dingin menyusul. Semasa Perang Dingin selama lebih empat dekad, dunia menyaksikan pertembungan antara dua blok kuasa besar, Blok Barat dan Blok Timur. Blok Barat diketuai oleh Amerika Syarikat, diwakili oleh gabungan ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), dengan lingkungan pengaruhnya meliputi Eropah Barat, Oceania, Jepun dan Korea Selatan; Blok Timur pula diterajui oleh Kesatuan Soviet, diwakili oleh perjanjian pertahanan kolektif Pakatan Warsaw, dengan lingkungan pengaruhnya meliputi Eropah Timur, Kuba, Vietnam, Laos dan Korea Utara.

Kesatuan Soviet walaupun bukan mengamalkan sistem ekonomi kapitalis dan tidak menganggap dirinya sebagai sebuah empayar, malah ia juga sering menggelar dirinya anti-imperialis kerana pernah berjuang mempertahankan dirinya daripada serangan kuasa imperialis selepas Revolusi Oktober, tetapi hakikatnya ia semakin menunjukkan sifat-sifat imperialis apabila berada dalam kedudukan menjadi kuasa besar yang mampu bersaing dengan imperialis Blok Barat, khususnya selepas Perang Dunia II. Tentera Merah Kesatuan Soviet menduduki sebahagian besar Eropah Timur ketika tamatnya Perang Dunia II, dan Kesatuan Soviet telah menjadikan negara-negara Eropah Timur yang diperintah oleh parti-parti komunis yang dipengaruhi fahaman Stalinis itu sebagai negara satelitnya. Kesatuan Soviet telah memperkenalkan dari atas, sama ada secara paksaan atau secara halus, sistem undang-undang, institusi, pendidikan, kebudayaan dan corak hidup standardnya kepada negara-negara satelitnya.

Kesatuan Soviet sering berkecenderungan untuk mengarahkan golongan pentadbir di negara-negara yang kurang maju berbandingnya (termasuk negara-negara satelit di Eropah Timur dan negara Dunia Ketiga yang mesra dengan Kesatuan Soviet) untuk tunduk kepada dasar yang bertujuan melindungi kepentingan Kesatuan Soviet itu sendiri. Kesatuan Soviet menyalurkan “bantuan antarabangsa” dalam jumlah yang agak besar kepada negara-negara yang mesra dengannya untuk mengekalkan pengaruhnya yang menjamin kepentingan ekonomi Kesatuan Soviet itu sendiri. Kesatuan Soviet juga sering menggunakan pengaruh politiknya untuk mendapatkan sokongan daripada negara-negara satelit dan negara-negara yang mesra dengannya untuk melindungi kepentingan Kesatuan Soviet dalam konteks persaingannya dengan negara-negara Blok Barat semasa Perang Dingin.

Mao Zedong (1893-1976) dan golongan Maois dalam Parti Komunis China, yang pada satu ketika merupakan sekutu rapat kepada Kesatuan Soviet, telah menyifatkan Kesatuan Soviet sebagai kuasa imperialis yang mengekalkan wajah luaran sosialis. Malah Hua Guofeng (1921-2008), pernah berkata semasa membentangkan laporan politik sebagai Pengerusi Parti Komunis China pada tahun 1977, “Situasi strategik persaingan Soviet-Amerika pada ketika ini adalah imperialis sosial Kesatuan Soviet mengambil posisi menyerang, sementara imperialis Amerika Syarikat berada dalam posisi pertahanan. Revisionis Kesatuan Soviet mengibarkan panji ‘Sosialisme’, ‘Sokong Pembebasan Nasional’ dan ‘Kerjasama Secara Aman’, tetapi memperhebatkan ‘strategi bersifat serangan’ di seluruh dunia, hendak menguasai seluruh Eropah, Asia dan Afrika.”

Kesatuan Soviet mengambil posisi yang agresif dalam dasar luarnya semasa Perang Dingin, mungkin antara sebabnya adalah untuk menangkis pengepungan Blok Barat dan memastikan rejim Stalinis itu dapat kekal bertahan, tetapi tindakannya yang cuba mendominasi ke atas negara lain telah menonjolkan sifat imperialisnya. Kesatuan Soviet menjelma ke dalam “imperialis sosial” seperti yang dikatakan oleh Lenin, “sosialis dalam kata-katanya dan imperialis dalam perbuatannya”. Ini membawa kepada perpecahan antara Yugoslavia dengan Kesatuan Soviet pada tahun 1948 dan perpecahan antara Republik Rakyat China dengan Kesatuan Soviet pada tahun 1960-an. Perangai “abang besar” Kesatuan Soviet yang tidak membenarkan negara-negara satelitnya untuk membangunkan alternatif yang berbeza dengan sistem yang diamalkan di Kesatuan Soviet, jelas ditunjukkan dalam campurtangan langsung Kesatuan Soviet dalam mematahkan kebangkitan rakyat untuk pembaharuan masyarakat sosialis di Republik Demokratik Jerman pada tahun 1953, di Republik Rakyat Hungary pada tahun 1956 dan di Republik Sosialis Czechoslovakia pada tahun 1968.

Berlin-Wall-1961
Tembok Berlin

Salah satu lambang penting Perang Dingin ialah Tembok Berlin yang didirikan di negara Jerman yang dipecahkan dua. Tembok Berlin yang sepanjang 155 km, dibina pada tahun 1961 oleh Kerajaan Republik Demokratik Jerman (iaitu Jerman Timur) yang disokong oleh Kesatuan Soviet untuk mengeliligi Berlin Barat, sebuah enklaf politik di Jerman Timur yang merupakan sebahagian daripada wilayah penguasaan Republik Persekutuan Jerman (iaitu Jerman Barat) yang disokong oleh Blok barat.

Setelah bermulanya Perang Dingin, Amerika Syarikat mengamalkan dasar luar yang dikenali sebagai Doktrin Truman, dengan tujuan menyekat perluasan kuasa geopolitik Kesatuan Soviet. Ini membawa kepada pertembungan berterusan antara dua kuasa besar itu. Walaupun tidak berlakunya peperangan secara langsung antara kedua-dua kuasa besar Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet sepanjang Perang Dingin, tetapi banyak perang proksi telah dijalankan dan sering kali wujudnya keadaan politik yang tegang dalam proses “tarik tali” kuasa antara mereka. Antara peperangan yang menjadi perang proksi antara kedua-dua kuasa besar ialah Perang Korea (1950-1953) dan Perang Vietnam (1955-1975).

Persaingan antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet juga membawa kepada perlumbaan senjata, termasuk pembangunan senjata nuklear yang membahayakan masyarakat sedunia. Perlumbaan dalam pembangunan senjata nuklear antara kuasa besar semasa Perang Dingin ini adalah berlandaskan doktrin strategi ketenteraan yang dikenali sebagai “Kemusnahan Saling Terjamin” (Mutual Assured Destruction, atau dalam singkatan MAD). Memang persaingan antara kuasa-kuasa besar untuk mendominasi di pentas dunia sesuatu yang penuh dengan kegilaan (mad).

e15-879 (2)

Gerakan pembebasan nasional dan penyahjajahan

Teori Marxis yang awal mengangkat idea revolusi sosialis hanya boleh berlaku di negara kapitalis yang lebih maju dari segi ekonomi perindustriannya, sementara di negara yang kurang membangun, termasuk negara yang dijajah atau separa dijajah (semi-kolonial), perjuangan untuk revolusi yang bersifat demokratik-borjuis adalah keutamaan dan gerakan pekerja memainkan peranan penting dalam menyokong perjuangan nasionalis sedemikian. Namun, revolusi Bolshevik di Rusia pada tahun 1917 telah menyangkal pandangan dogmatik sebegitu. Revolusi Rusia 1917 telah memberi rangsangan kepada gerakan perjuangan pekerja di peringkat antarabangsa dengan kemunculan gelombang revolusi yang hebat pada peringkat penghujung dan pasca Perang Dunia I. Internasional Ketiga atau Komunis Internasional (Comintern) yang ditubuhkan selepas kejayaan Revolusi Bolshevik, telah mendukung usaha perjuangan anti-imperialis dan anti-kolonial di peringkat antarabangsa. Pendirian Comintern yang menyokong perjuangan gerakan rakyat di negara-negara kolonial dan semi-kolonial, telah membawa kepada penubuhan “Liga Menentang Imperialisme dan Penindasan Kolonial” dalam Persidangan Brussels pada tahun 1927. Perjuangan anti-imperialis dan anti-kolonial di negara-negara yang dijajah oleh kuasa imperialis, membentuk sebahagian yang amat penting dalam gelombang kebangkitan rakyat dunia pada abad ke-20 untuk membebaskan diri daripada pemerasan dan penindasan.

Semasa Kongres Keenam Comintern yang diadakan di Moscow pada tahun 1936, Maurice Thorez (1900–1964), Setiausaha Agung Parti Komunis Perancis pada masa itu, bertemu dengan Nguyen Ai Quoc, seorang tokoh revolusioner Vietnam yang lebih dikenali dengan nama Ho Chi Minh (1890–1969). Thorez cuba menyakinkan Ho Chi Minh bahawa segalanya akan menjadi lebih baik di tanah jajahan Indo-China selepas berlaku revolusi di Perancis. Ho Chi Minh menjawab, “Saya harap anda tidak kisah jika kami tidak menunggu (untuk revolusi berlaku di Perancis dulu).”

index
Ho Chi Minh

Hampir satu dekad selepas itu, ketika Perancis masih tidak berlaku revolusi sosialis walaupun wujudnya situasi untuk revolusi pada saat-saat ketika baru tamatnya Perang Dunia II, Ho Chi Minh bersama dengan Viet Minh (Liga Kemerdekaan Vietnam) mengisytihar kemerdekaan Vietnam selepas Revolusi Ogos pada tahun 1945 untuk menubuhkan Republik Demokratik Vietnam. Gerakan pembebasan nasional Vietnam yang diterajui oleh golongan komunis menewaskan kuasa imperialis Perancis pada tahun 1954, kemudiannya terlibat dalam Perang Vietnam selama 20 tahun yang akhirnya menewaskan kuasa imperialis Amerika Syarikat dan menyatukan seluruh negara Vietnam sebagai sebuah negara yang merdeka. Perjuangan kemerdekaan Vietnam yang hebat ini merupakan sebahagian daripada gelombang kebangkitan gerakan pembebasan nasional yang melanda seluruh benua Asia dan Afrika pasca Perang Dunia II. Gerakan pembebasan nasional Dunia Ketiga juga merupakan perjuangan anti-imperialis ketika zaman Perang Dingin.

Gerakan pembebasan nasional telah memainkan peranan yang amat penting dalam proses penyahjajahan negara-negara di Dunia Ketiga dan mencabar kekuasaan imperialis. Antara perjuangan pembebasan nasional yang hebat pasca Perang Dunia II ialah Revolusi Nasional Indonesia (1945-1949), Perang Indochina (1945-1975), Pemberontakan Mau Mau di Kenya (1952-1960), Perang Kemerdekaan Algeria (1954-1962), perjuangan anti-apartheid di Afrika Selatan, dan sebagainya.

Di negara China, gerakan pembebasan nasional yang hebat untuk negara semi-kolonial di bawah kekuasaan imperialis Barat itu telah berkembang sejak tercetusnya Gerakan 4 Mei pada tahun 1919. Gerakan 4 Mei dan kejayaan Revolusi Oktober di Rusia, menjadi pemangkin kepada penubuhan Parti Komunis China pada tahun 1921, oleh golongan intelek berhaluan kiri yang ingin membebaskan masyarakat China daripada kemunduran ekonomi dan cengkaman kuasa imperialis. Parti Komunis China pernah mengamalkan strategi membentuk “Barisan Bersatu” dengan Kuomintang pada tahun 1923-1927 untuk menentang Kerajaan Beiyang dan kuasa imperialis, tetapi digagalkan selepas Chiang Kai-shek menguasai Kuomintang. Parti Komunis China berundur ke kawasan luar bandar dan meneruskan perjuangan pembebasan nasionalnya dengan cara pemberontakan bersenjata. Dalam konsep “Revolusi Demokratik Baru” yang dibangunkan oleh Mao Zedong, perjuangan revolusi China adalah untuk menghancurkan “tiga gunung besar”, iaitu imperialisme, feudalisme dan kapitalisme birokratik. “Tiga gunung besar” ini hanya dapat dihapuskan melalui pembentukan satu lagi barisan bersatu (yang membawa kepada “Barisan Bersatu Kedua” dengan Kuomintang pada tahun 1937-1945) untuk menentang pencerobohan kuasa imperialis Jepun, sementara melakukan reformasi tanah pada masa yang sama. Oleh itu, anggapan Parti Komunis China pada tahun 1930-an hingga 1940-an adalah, dimensi sosial untuk perjuangan anti-imperialis bukannya sebahagian daripada perjuangan menentang kapitalisme dan membina sosialisme, tetapi merupakan peringkat pertama yang diperlukan untuk membina demokrasi rakyat dalam sebuah negara yang merdeka. Demokrasi rakyat yang dimaksudkan di sini ialah kerajaan barisan bersatu yang terdiri daripada kelas pekerja, kelas petani, kelas borjuasi kecil dan kelas kapitalis nasional, berasaskan kesatuan pekerja-petani yang dipimpin oleh kelas pekerja melalui parti komunis.

Pendekatan yang mengetepikan perjuangan kelas menentang kapitalis terlebih dahulu untuk matlamat pembentukan negara bangsa yang merdeka dan “anti-imperialis”, di samping pengaruh dasar Kesatuan Soviet yang mendesak parti-parti komunis lain untuk mematuhi arahannya, telah memberi impak secara langsung kepada gerakan-gerekan revolusioner di negara-negara Asia yang padat dengan penduduk.

Di India, kerajaan parti komunis yang pertama terbentuk melalui pilihanraya demokratik mula berkuasa di negeri Kerala pada tahun 1957. Kesatuan Soviet yang menjalin kerjasama erat dengan kerajaan pusat India yang dikuasai Parti Kongres Kebangsaan India (INC) di bawah pimpinan Jawaharlal Nehru, telah mengarahkan Parti Komunis India untuk melembutkan kritikannya terhadap kerajaan pusat INC malah menyokongnya dengan sepenuh hati, tetapi kerajaan pusat INC tidak menunjukkan apa-apa sikap mesra terhadap Parti Komunis India, sebaliknya mencampurtangan dan membubarkan secara paksa kerajaan pimpinan Parti Komunis India di Kerala pada tahun 1959. Parti Komunis India telah mengalami perpecahan berkisar pada isu pendekatan perjuangan di negara itu dan Perang China-India (1962), sehingga politik kiri di India agak berpecah-belah sejak itu.

Di Indonesia, Parti Komunis Indonesia (PKI) merupakan parti komunis yang ketiga besar di dunia pada tahun 1950-an dan 1960-an selepas Parti Komunis Kesatuan Soviet dan Parti Komunis China. PKI telah menyokong kerajaan pimpinan Presiden Sukarno (1901-1970) yang berlandaskan idea Nasakom (gabungan nasionalisme, agama dan komunisme) dan mengamalkan Demokrasi Terpimpin. Namun, usaha perjuangan PKI digagalkan selepas pengambilalihan kuasa oleh Jeneral Suharto pada tahun 1965 dengan sokongan kerajaan Amerika Syarikat, dan kemudian membawa kepada pembunuhan beramai-ramai yang meragut nyawa lebih kurang 1 juta orang.

mao_tse_tung_640
Mao Zedong

Perpecahan antara China dan Kesatuan Soviet pada tahun 1960-an, menyebabkan Parti Komunis China menyamakan Kesatuan Soviet dengan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar yang bersifat imperialis. Mao Zedong telah membangunkan “Teori Tiga Dunia” untuk dasar luar China dalam konteks Perang Dingin. Dasar tersebut dibentangkan oleh Deng Xiaoping (1904-1997) untuk pertama kalinya pada tahun 1974 dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semasa perbincangan tentang Susunan Ekonomi Antarabangsa Baru (NIEO). Mengikut “Teori Tiga Dunia” ini, “Dunia Pertama” merujuk kepada Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, iaitu dua kuasa besar yang mengamalkan hegemoni imperialis di seluruh dunia; “Dunia Kedua” merujuk kepada negara-negara maju yang berada di belakang kedua-dua kuasa besar, seperti Britain, Jerman, Jepun, Kanada, Australia dan sebagainya; “Dunia Ketiga” pula merujuk kepada negara-negara sedang membangun di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Dalam konteks ini, anti-imperialisme bermakna juga menentang sebarang gerakan yang disokong oleh Kesatuan Soviet di negara Dunia Ketiga. Dasar ini membawa bencana kepada gerakan perjuangan pembebasan di beberapa buah negara di Afrika, di mana menyebabkan perang saudara yang berpanjangan seperti Perang Saudara Angola dan Perang Saudara Mozambique yang meragut jutaan nyawa.

Teori Kebergantungan dan Teori Sistem Dunia

340px-Dependency_theory.svg

Penghapusan penjajahan langsung dalam era pasca Perang Dunia II, tidak bermakna penguasan imperialis dunia itu sudahpun hilang. Imperialisme masih wujud, hanya berubah rupa bentuknya. Banyak negara yang pernah dijajah (yang digelar sebagai “negara sedang membangun”) masih dihadkan peranannya sebagai pengeksport bahan mentah. Negara-negara miskin masih dibuli oleh negara-negara maju di bawah sistem perdagangan antarabangsa yang tidak seimbang dan bersifat eksploitatif. Jurang pembangunan antara negara-negara miskin dengan negara-negara maju semakin melebar bukannya semakin mengecil. Pemodenan yang pernah membawa pembangunan masyarakat yang makmur untuk negara-negara imperialis, mendatangkan lebih banyak penderitaan kepada masyarakat di negara-negara yang kurang maju.

Terdapat satu teori ekonomi pembangunan yang agak popular pada tahun 1960-an dan 1970-an, yang dibangunkan untuk mengkritik teori pemodenan (iaitu teori yang menerangkan proses peralihan daripada masyarakat tradisional ke masyarakat moden), dikenali sebagai Teori Kebergantungan (Dependency Theory), sebagai usaha untuk memahami masalah kekurangan pembangunan di negara-negara Dunia Ketiga. Teori Kebergantungan boleh dikatakan dipengaruhi oleh teori Marxis mengenai imperialisme yang sebelumnya, yang dibawa oleh Rosa Luxemburg dan Vladimir Lenin.

Secara ringkasnya, Teori Kebergantungan membahagikan dunia kepada “negara teras” (core) dan “negara pinggiran” (periphery). Negara teras merupakan negara perindustrian yang maju dan kaya; sementara negara pinggiran ialah negara yang mengeksport bahan mentah kepada negara teras, dan menjalankan perusahaan yang bersifat intensif buruh. Negara pinggiran menjadi pinggiran, bukan kerana ia merupakan negara yang lebih lambat mengambil bahagian dalam proses perindustrian, sebaliknya adalah disebabkan ia disekat oleh kuasa luar dalam pasaran dunia yang terdiri daripada syarikat gergasi multinasional dan institusi antarabangsa yang mewakili kepentingan negara teras. Oleh yang demikian, negara pinggiran tidak dapat bangkit dalam hubungan kebergantungan yang berasaskan pertukaran yang tidak samarata, sementara negara teras mengekalkan kelebihan perdagangan dan pendapatan yang lebih tinggi, menjadikan jurang perbezaan antara negara teras dan negara pinggiran sukar untuk dirapatkan.

182240
Andre Gunder Frank

Di bawah pengaruh The Political Economy of Growth (1957) yang ditulis oleh Paul A. Baran (1909-1964), seorang ahli ekonomi Marxis di Amerika Syarikat, pada pertengahan tahun 1960-an, Andre Gunder Frank (1929-2005), seorang ahli sejarah ekonomi Jerman-Amerika, telah membangunkan konsep “pembangunan untuk kurang pembangunan” (development of underdevelopment) untuk mengkritik dasar-dasar bantuan ekonomi yang diamalkan oleh kuasa besar terhadap Amerika Latin. Dasar-dasar tersebut membezakan ekonomi yang maju (developed) dan ekonomi yang tidak maju (undeveloped), dan mengganggap bahawa negara-negara tidak maju boleh mengejar dari segi ekonomi jika mereka mengikut jalan pembangunan yang pernah diambil oleh negara-negara maju yang kaya. Frank menyatakan bahawa tidak wujudnya apa yang dikatakan sebagai ekonomi yang tidak maju, hanya adanya yang maju dan kurang maju (underdeveloped). Kedua-duanya saling berhubungkait melalui proses selama seabad di mana ekonomi yang maju berkembang secara aktif dengan menjadikan tempat lain di dunia kurang maju. Analisis Frank ini menekankan pada kepentingan perdagangan dan mencabar pandangan yang cuba menangani sesuatu yang jelasnya proses antarabangsa untuk penstrukturan semula global dengan fokus nasional sahaja. Walter Rodney (1942–1980), seorang ahli sejarah Guyana, telah memperkembangkan analisis ini dalam bukunya How Europe Underdeveloped Africa (1972), yang menyatakan bahawa benua Afrika telah dieksploitasi dan dijadikan kurang maju oleh rejim kolonial Eropah secara sengaja. Rodney berhujah bahawa Afrika telah membangunkan Eropah pada kadar yang sama dengan Eropah menjadikan Afrika kurang membangun. Dalam erti kata lain, negara imperialis dikayakan dengan cara memiskinkan negara yang dijajah.

WalterRodney
Walter Rodney

Pengertian sejarah tentang imperialisme ini adalah sejajar dengan kerangka teori longue durée (jangka masa panjang) yang dibangunkan oleh Fernand Braudel (1902-1985), seorang ahli sejarah Perancis yang pernah menjadi pengarang kepada jurnal akademik “Annales. Histoire, Sciences Sociales”. Ketika membincangkan idea tentang kitaran jangka masa panjang dalam ekonomi kapitalis, Braudel menekankan kepentingan masa geografik yang sangat panjang dan masa sosial yang merentasi beberapa generasi terhadap detik-detik singkat kehidupan individu atau peristiwa. Immanuel Wallerstein (1930-2019), seorang ahli sosiologi dari Amerika Syarikat, telah memperkembangkan konsep Braudel ini kepada “Teori Sistem Dunia” dalam bukunya “The Modern World-System” yang diterbitkan dalam 4 jilid (1974, 1980, 1989 dan 2011). Wallerstein mengembangkan idea Marxis yang membezakan bandar dan luar bandar, ke dalam penjelasannya berkenaan dengan bagaimana bahagian-bahagian dunia yang berbeza tetapi koheran secara dalaman itu berinteraksi. Wallerstein berhujah bahawa satu hierarki keruangan untuk ekonomi teras atau negara maju telah muncul antara tahun 1500 dan 1800, menguasai kawasan-kawasan pinggiran yang mengeluarkan sumber. Wallerstein menjejak kebangkitan ekonomi dunia kapitalis dari abad ke-16 yang “panjang” (1450-1640), di mana beliau berpandangan bahawa kapitalisme berkembang hasil daripada krisis feudalisme yang berpanjangan (1290-1450). Eropah Barat telah menggunakan kelebihannya daripada perkembangan ekonomi kapitalis untuk menguasai hampir seluruh ekonomi dunia dan menerajui pembangunan dan perluasan perindustrian dan ekonomi kapitalis, dengan itu secara tidak langsungnya mendatangkan pembangunan yang tidak samarata.

Walaupun Teori Sistem Dunia dibangunkan berasaskan Teori Kebergantungan, tetapi mempunyai perbezaan yang ketara. Wallerstein memperkenalkan konsep “negara semi-pinggiran” (semi-periphery) selain negara teras dan negara pinggiran. “Sistem Dunia” merujuk kepada pembahagian buruh secara transnasional dan antara rantau dunia, di mana dunia dibahagikan kepada negara teras, negara semi-pinggiran dan negara pinggiran. Negara teras, terdiri terutamanya daripada negara-negara maju di Utara global, memfokus pada pengeluaran berkemahiran lebih tinggi dan modal-intensif; sementara negara-negara dunia yang lain pula memfokus pada pengeluaran berkemahiran rendah dan buruh-intensif serta pengektrakan bahan-bahan mentah. Hubungan pembahagian buruh ini mengukuhkan dominasi negara-negara teras dalam hal ehwal dunia. Sistem Dunia mempunyai ciri yang dinamik di mana status sesebuah negara (sama ada negara teras, semi-pinggiran atau pinggiran) boleh berubah mengikut masa. Struktur ini disatukan oleh pembahagian buruh dan ia merupakan ekonomi dunia yang berasaskan ekonomi kapitalis. Beberapa buah negara telah menjadi kuasa dunia melalui sistem ini, dengan sistem dunia diperluaskan secara geografi dan diperkuatkan secara ekonomi, dengan status kuasa besar utama dunia telah beralih dari Belanda kepada Britain dan terkini kepada Amerika Syarikat.

Keadaan baru untuk kapitalisme monopoli

Paul A. Baran (1909-1964) dan Paul Sweezy (1910-2004), dua orang ahli ekonomi Marxis di Amerika Syarikat, telah memberi sumbangan penting dalam teori Marxis dengan mengalihkan perhatian daripada anggapan ekonomi kapitalis yang berdaya saing kepada ekonomi kapitalis monopoli yang berkaitan dengan syarikat korporat gergasi yang mendominasi proses pengumpulan moden. Paul Sweezy ialah pengarang kepada Monthly Review, sebuah majalah sosialis yang diasaskan oleh Sweezy dan Leo Huberman (1903–1968) pada tahun 1949 di New York dan masih diterbitkan sehingga kini. Monthly Review telah memainkan peranan dalam menerbitkan analisis tentang perjuangan anti-imperialis di seluruh dunia.

Baran-paul-a-1957
Paul A. Baran

Dalam buku terbitan Monthly Review Press yang berjudul “Monopoly Capital: An Essay on the American Economic and Social Order” (1966), yang ditulis oleh kedua-dua Sweezy dan Baran, mereka berhujah bahawa syarikat besar dapat kekal menetapkan harga barangan pada kadar yang tinggi sementara masih bersaing untuk mengurangkan kos, mengiklankan produk dan memasarkan produk. Surplus ekonomi yang sebenar dan berpotensi yang dijanakan, telah melebihi saluran untuk pelaburan dan penggunaan modal. Pengumpulan modal swasta memerlukan sokongan daripada perbelanjaan kerajaan yang terutamanya menuju ke arah kecenderungan imperialis dan militaris kerajaan, yang merupakan kaedah yang paling mudah dan paling pasti untuk menggunakan kapasiti pengeluaran yang berlebihan. Cara lain untuk menyerapkan surplus ekonomi adalah termasuk perluasan usaha penjualan, di samping pertumbuhan dalam sektor kewangan, insurans dan hartanah.

Pengarang Monthly Review yang lain, seperti Harry Magdoff (1913-2006) dan John Bellamy Foster (1953-   ) mengembangkan analisis ini lebih lanjut lagi. Pengarang-pengarang Monthly Review ini telah menerangkan bahawa kapitalisme pasca Perang Dunia II mempunyai kecenderungan semulajadi yang menjurus ke arah genangan atau kelembapan ekonomi. Ini didorong oleh pembentukan monopoli yang boleh memanipulasi harga, mewujudkan keuntungan surpulus yang sukar untuk diserap oleh sistem ekonomi. Hasilnya ialah kelebihan kapasiti pengeluaran, maka melembapkan pelaburan, di samping pertumbuhan bidang perbelanjaan yang “membazir”, seperti pengeluaran senjata, untuk menyerap surplus ini. Sistem kewangan yang terlampau berkembang merupakan satu lagi bidang yang membazir.

“Kolonialisme dan imperialisme belum lagi menyelesaikan hutang mereka kepada kita selepas mereka menarik balik bendera mereka dan pasukan polis mereka dari wilayah kita.” – Frantz Fanon, The Wretched of the Earth (1961)

Semangat Bandung dan penyahjajahan di Dunia Ketiga: Usaha mencabar dominasi kuasa besar

Istilah “Dunia Ketiga” mula diperkenalkan oleh Alfred Sauvy (1898-1990) dalam tulisannya yang diterbitkan dalam majalah Perancis L’Observateur pada tahun 1952. Berbeza dengan konsep Dunia Ketiga yang dibawa dalam “Teori Tiga Dunia” yang diperkenalkan kemudian oleh Mao Zedong, Dunia Ketiga ini merujuk kepada negara-negara yang tidak bersekutu dengan mana-mana blok kuasa besar (iaitu Blok Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan Blok Timur yang diterajui oleh Kesatuan Soviet) semasa Perang Dingin.

Negara-negara yang tergolong dalam “Dunia Ketiga” kebanyakannya merupakan negara-negara di benua Afrika, Asia dan Amerika Latin yang pernah dijajah oleh kuasa imperialis kolonial. Negara-negara Dunia Ketiga adalah kurang maju dari segi ekonomi perindustrian berbanding dengan negara-negara kapitalis yang maju. Dalam Teori Kebergantungan, Dunia Ketiga berhubungkait dengan pembahagian ekonomi di bawah sistem dunia dan tergolong sebagai negara-negara pinggiran yang didominasi oleh negara-negara teras yang kaya. Selepas Perang Dingin, istilah Dunia Ketiga semakin kurang digunakan dan digantikan dengan istilah seperti negara-negara sedang membangun, negara-negara kurang maju ataupun Selatan Global.

Gelombang perjuangan pembebasan nasional yang melanda negara-negara Dunia Ketiga, telah membolehkan banyak negara yang pernah dijajah oleh kuasa imperialis Barat untuk mencapai kemerdekaan. Namun, negara-negara Dunia Ketiga yang baru merdeka atau yang sedang berjuang untuk kemerdekaan pada masa itu terhimpit di tengah-tengah pertembungan dua blok kuasa besar dalam Perang Dingin. Selain itu, walaupun kolonialisme yang melibatkan penjajahan secara langsung telah dihapuskan di banyak negara, tetapi wujudnya fenomena neo-kolonialisme, di mana negara-negara Dunia Ketiga yang “merdeka” masih dikuasai oleh pengaruh negara-negara maju melalui amalan seperti pemberian bantuan secara bersyarat untuk mengekalkan kebergantungan, kepatuhan atau kewajipan kewangan negara-negara kurang membangun terhadap negara-negara maju yang bersifat neokolonialis.

Pemimpin-pemimpin perjuangan pembebasan nasional di negara-negara Dunia Ketiga cuba membina alternatif yang bebas daripada pengaruh dan campurtangan kuasa besar yang berada dalam kedua-dua blok kuasa ketika Perang Dingin, di samping menghapuskan neokolonialisme di negara-negara yang baru merdeka.

60018a3ad7c5b015c0b1cf15dfacfee9

Oleh yang demikian, pemimpin daripada 29 buah negara yang baru merdeka di Asia dan Afrika pada masa itu, berhimpun di bandar Bandung, Indonesia, pada bulan April 1955, untuk mengadakan satu persidangan bersejarah yang membincangkan isu-isu seperti anti-imperialisme, penyahjajahan, kewujudan bersama secara aman untuk negara-negara di dunia dan pembangunan ekonomi secara berdikari untuk negara-negara Dunia Ketiga yang baru merdeka. Antara tokoh penting yang menghadiri Persidangan Bandung ialah Zhou Enlai (1898-1976) dari Republik Rakyat China, Jawaharlal Nehru (1889-1964) dari Republik India, Sukarno (1901-1970) dari Republik Indonesia, Josip Broz Tito (1892-1980) dari Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia, Gamal Abdel Nasser (1918-1970) dari Republik Mesir, Ho Chi Minh (1890-1969) dari Republik Demokratik Vietnam, U Nu (1907-1995) dari Kesatuan Burma, Kwane Nkrumah (1909-1972) dari Pantai Emas (yang kemudiannya mencapai kemerdekaan sebagai Republik Ghana pada tahun 1960), Ahmed Ben Bella (1916-2012) dari Algeria yang masih memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan Perancis pada masa itu.

Walaupun negara-negara yang mengambil bahagian dalam Persidangan Bandung 1955 amat berbeza sesama sendiri dari segi struktur masyarakat, persekitaran geografi, latar belakang agama, budaya dan sejarah, begitu juga dengan bukan semuanya pemimpin yang hadir ke Persidangan Bandung itu berideologi haluan kiri, tetapi semua pemimpin Dunia Ketiga tersebut menyatakan pendirian mereka yang sehaluan dalam menolak penjajahan baru yang ingin dipaksakan ke atas mereka oleh kedua-dua kuasa besar zaman Perang Dingin, sama ada Amerika Syarikat ataupun Kesatuan Soviet. Pemimpin-pemimpin negara Dunia Ketiga yang baru merdeka ataupun yang sedang memperjuangkan kemerdekaan ini mengharapkan bahawa solidariti antara negara-negara Dunia Ketiga dapat membebaskan diri mereka daripada cengkaman kuasa besar, dan menentukan nasib masyarakat mereka sendiri tanpa campurtangan kuasa luar.

Semangat yang dibawa dalam Persidangan Bandung ini merangkumi aspek-aspek seperti:

  • Kewujudan bersama secara aman antara negara-negara di dunia;
  • Negara-negara Dunia Ketiga membebaskan diri daripada dominasi sebarang kuasa besar dunia, penjajahan, neokolonialisme dan imperialisme;
  • Mewujudkan solidariti antara golongan yang lemah, yang miskin, yang dijajah, yang diperas dan mangsa kepada sistem aturan dunia;
  • Merealisasikan pembebasan masyarakat.

Persidangan Bandung yang juga dikenali sebagai Persidangan Solidariti Rakyat Afro-Asia yang Pertama, telah disusuli dengan Persidangan Solidariti Rakyat Afro-Asia yang Kedua di Kaherah, Mesir, pada tahun 1957, yang menubuhkan Pertubuhan Solidariti Rakyat Afro-Asia (AAPSO); kemudiannnya Persidangan Solidariti Rakyat Afro-Asia yang Ketiga, di Belgrade, Yugoslavia, pada tahun 1961, melahirkan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Nehru-Nkrumah-Nasser-Sukarno-and-Tito-in-New-York-September-1960-Sl-6-Nehru
(Dari kiri) Jawaharlal Nehru, Kwane Nkrumah, Gamal Abdel Nasser, Sukarno dan Josip Broz Tito, tokoh pemimpin penting yang menubuhkan NAM.

Pada 14 Disember 1960, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Resolusi 1514, yang dikenali juga sebagai “Perisytiharan Memberi Kemerdekaan kepada Negara dan Rakyat Kolonial”. Perisytiharan yang menandakan perkembangan penting dalam proses penyahjajahan ini disokong oleh 89 buah negara (kebanyakannya negara Dunia Ketiga) tanpa undi menolak tetapi 9 buah negara undi berkecuali (termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Belgium, Sepanyol dan Portugal yang merupakan kuasa imperialis ataupun bekas penjajah kepada negara-negara Dunia Ketiga). Tahun 1960, juga dikenali sebagai “Tahun Afrika”, kerana tahun itu menyaksikan 17 buah negara Afrika mencapai kemerdekaan daripada kuasa penjajah, termasuk Cameroon, Mali, Republik Afrika Tengah, Côte d’Ivoire, Gabon, Republik Congo, Somalia, Nigeria dan sebagainya.

Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) ditubuhkan pada tahun 1964, dengan tujuan membantu negara-negara Dunia Ketiga dalam usaha mereka berintegrasi dalam ekonomi dunia secara adil. Atas desakan daripada negara-negara Dunia Ketiga yang bergabung dalam NAM, UNCTAD telah cuba menggalakkan pembentukan Susunan Ekonomi Antarabangsa Baru (NIEO) yang merangkumi prinsip-prinsip seperti:

  • Negara-negara sedang membangun harus berhak untuk mengawalselia aktiviti-aktiviti syarikat korporat multinasional yang beroperasi di dalam wilayah mereka.
  • Negara-negara sedang membangun harus mempunyai kebebasan untuk memiliknegarakan atau mengambilalih harta milik asing dengan syarat yang berpihak kepada negara-negara sedang membangun.
  • Negara-negara sedang membangun harus mempunyai kebebasan untuk menubuhkan persatuan pengeluar komoditi utama yang serupa dengan Pertubuhan Negara-negara Pengeluar Petroleum (OPEC); semua negara lain harus mengiktiraf hak ini dan tidak mengambil langkah-langkah ekonomi, ketenteraan atau politik untuk menyekatnya.
  • Perdagangan antarabangsa harus berasaskan keperluan untuk menjamin harga bahan mentah yang stabil, adil dan menguntungkan, keutamaan tarif secara am yang tidak saling timbal balik dan tidak mendiskriminasi, serta pemindahan teknologi kepada negara-negara sedang membangun; dan patut memberi bantuan ekonomi dan teknikal tanpa sebarang ikatan.
  • Mewujudkan suasana rundingan yang lebih bersifat kerjasama antara negara-negara maju dan negara-negara sedang membangun.

Idea untuk NIEO dibangunkan sebagai alternatif kepada sistem Bretton Woods, susunan sistem kewangan antarabangsa yang diwujudkan sejak tahun 1944 yang hanya memanfaatkan negara-negara maju. Sistem Bretton Woods mengalami keruntuhan selepas Amerika Syarikat secara unilateral menamatkan kebolehtukaran dolar Amerika Syarikat kepada emas pada tahun 1971, dan mewujudkan keadaan di mana dolar Amerika Syarikat menjadi satu-satunya matawang jaminan dan matawang sandaran dalam urusniaga perdagangan antarabangsa. Dalam keadaan keruntuhan sistem Bretton Woods, Perhimpunan Agung PBB pernah meluluskan Perisytiharan mengenai Pembentukan NIEO pada tahun 1974, untuk menggariskan rancangan transformasi secara struktur terhadap sistem ekonomi sedunia yang berada dalam krisis pada masa itu. Namun, NIEO telah diketepikan dan tidak pernah direalisasikan, kerana ia telah memberi laluan kepada ekonomi neoliberal yang terus mengekalkan ketidakadilan sosial di peringkat dunia, atas pengaruh kuasa-kuasa besar di Utara Global.

Usaha negara-negara sedang membangun di Dunia Ketiga untuk membebaskan diri daripada cengkaman kuasa imperialis memang menghadapi cabaran yang amat hebat dan penuh dengan liku-liku. Antara faktor-faktor yang menghalang usaha ini ialah hutang yang dipaksakan ke atas mereka oleh kuasa besar yang bersifat imperialis. Banyak dalam kalangan negara-negara sedang membangun yang tidak mempunyai kapasiti ekonomi untuk membangunkan negara mereka masing-masing, terpaksa meminjam wang daripada negara-negara maju ataupun institusi-institusi kewangan antarabangsa yang berfungsi berlandaskan logik kapitalisme, menjadikan negara-negara ini “dijajah” bukan oleh pendudukan tentera tetapi hutang luar yang bertimbunan tinggi. Paksaan untuk “membuka pintu” ekonomi negara sedang membangun kepada pelaburan asing dengan pengenalan syarat-syarat yang tidak berpihak kepada negara sedang membangun itu, mengundang kesan yang menghancurkan usaha mereka membangunkan ekonomi yang berdikari. Inilah kesan buruk neokolonialisme. Satu lagi faktor ialah campurtangan kuasa-kuasa imperialis dalam mengehadkan usaha negara-negara Dunia Ketiga untuk menentukan nasib diri mereka sendiri, ataupun mematahkan sebarang bentuk alternatif yang menggugat hegemoni kekuasaan imperialis.

Kegagalan dalam banyak negara yang baru mencapai kemerdekaan untuk mengatasi jurang ekonomi dengan kuasa besar yang merupakan bekas penjajah mereka, telah mendorong penilaian semula yang kritikal terhadap sifat perdagangan antarabangsa dan perbezaan antara pertumbuhan ekonomi dengan pembangunan masyarakat. Dalam mengkaji imperialisme perdagangan, Arghiri Emmanuel (1911-2001), seorang ahli ekonomi Marxis Greece-Perancis, membangunkan konsep “Pertukaran Tidak Samarata” (L’échange inégal) yang menunjukkan bagaimana kapitalisme kontemporari menterbalikkan anggapan yang berdasarkan hukum kelebihan perbandingan yang dibawa oleh ahli ekonomi klasikal David Ricardo (1772–1823), di mana hasilnya adalah peningkatan dalam perdagangan antarabangsa mewujudkan kemiskinan dan menjana kekayaan secara serentak tetapi di bahagian yang berlainan di dunia.

Idea Negri dan Hardt tentang “Empayar”

Antonio Negri (1933-   ), seorang ahli sosiologi Marxis dari Itali yang pernah merupakan tokoh pemimpin gerakan Autonomia Operaia (Autonomi Pekerja) pada tahun 1970-an, bersama dengan Michael Hardt (1960-   ), seorang ahli falsafah politik dari Amerika Syarikat, telah membangunkan hujah yang menyatakan bahawa zaman “Imperialisme” telah berakhir dan kita sedang hidup dalam zaman yang dikenali sebagai “Empayar” yang merupakan penyepaduan semua negara-negara bangsa, syarikat-syarikat korporat, media, budaya dan sebagainya, maka kaedah dan strategi anti-imperialis yang tradisional sudah tidak boleh digunakan dalam keadaan baru ini. Idea mereka ini telah dihuraikan dalam buku “Empire” (2000) yang dikatakan oleh ahli falsafah Slovenia Slavoj Žižek (1949-   ) sebagai “Manifesto Komunis untuk abad ke-21”. Buku ini disusuli dengan dua buku lagi, “Multitude: War and Democracy in the Age of Empire” (2004) dan “Commonwealth” (2009), yang memperkembangkan lagi penghujahan mereka.

6d7d5ccb-5bb9-46e8-854a-18485f2e5df2
Antonio Negri (kriri) dan Michael Hardt (kanan)

Negri dan Hardt berhujah bahawa sistem kapitalis telah melangkaui peringkat imperialis dan memasuki satu fasa baru yang boleh ditakrif sebagai “Empayar”. Menurut Negri, “Empayar hanya boleh dianggap sebagai sebuah republik sejagat, sebuah rangkaian struktur kuasa dan penyeimbangan yang distrukturkan ke dalam satu reka bentuk yang inklusif dan tiada had. Perluasan Empayar langsung tidak serupa dengan perluasan imperialis dan adalah bukan berasaskan negara-negara bangsa yang berusaha dalam menakluk, menjarah, membunuh beramai-ramai, menjajah rakyat untuk menjadikannya hamba. Berbeza dengan imperialisme ini, Empayar memperluaskan dan memperkukuhkan kuasanya… Akhirnya, ingatlah bahawa pada asas pembangunan dan perluasan untuk Empayar ini adalah usaha untuk pendamaian.” Empayar yang dimaksudkan ini terdiri daripada monarki (Amerika Syarikat dan negara-negara perindustrian maju dalam G7, serta pertubuhan antarabangsa seperti NATO, IMF dan WTO), oligarki (syarikat-syarikat korporat multinasional dan negara-negara bangsa yang lain) dan demokrasi (pelbagai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu). Konsep Empayar ini agak mirip dengan “ultra-imperialisme” yang diperkenalkan oleh Kautsky.

Negri dan Hardt juga memperkenalkan konsep “multitud” yang merupakan subjek sosial aktif yang bertindak berasaskan apa yang dikongsikan bersama oleh individu-individu yang unik. Mereka berpandangan bahawa kuasa kreatif multitud yang mengekalkan “Empayar” juga berkemampuan untuk membina satu Empayar balas yang berautonomi, sebagai sebuah organisasi politik untuk aliran dan pertukaran global. Idea “multitud” ini dibangunkan adalah berasaskan anggapan bahawa kelas pekerja perindustrian telah berkurangan dan bentuk organisasi kelas pekerja yang tradisional (seperti kesatuan sekerja dan parti politik pekerja) tidak diperlukan lagi, tetapi hakikatnya bilangan pekerja masih bertambah di seluruh dunia dan kelas pekerja bukan terhad kepada pekerja perindustrian dalam dunia pekerjaan yang semakin berubah. Pandangan autonomis yang tidak mengutamakan organisasi politik kelas pekerja untuk menggerakkan perubahan dan sebaliknya memfokus pada tindakan yang disusun secara sendiri di luar struktur organisasi yang tradisional, telah disangkal oleh golongan Marxis yang berpegang kuat pada keperluan untuk membangunkan organisasi politik revolusioner pekerja supaya memajukan perjuangan pembebasan masyarakat.

20200613-25-ahmad-mofeed_coca-cola-zero_palestine
Poster “Coca-Cola Zero”, oleh Ahmed Mofeed (Palestin)

Neoliberalisme

 Terdapat dua peristiwa penting yang berlaku pada tahun 1973.

Peristiwa yang pertama, ialah apa yang dikenali sebagai “Krisis Minyak 1973”. Krisis ini berlaku pada bulan Oktober 1973, apabila anggota-anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeluar Petroleum Arab (OAPEC) melancarkan embargo minyak yang mensasarkan negara-negara yang menyokong Israel dalam Perang Yom Kippur (atau Perang Ramadan), menyebabkan harga minyak petroleum sedunia meningkat secara mendadak. Kenaikan harga minyak mentah yang mendadak ini memberi impak yang besar kepada ekonomi kapitalis di negara-negara maju yang dipacukan oleh harga minyak yang amat rendah pasca Perang Dunia II sebelum itu. Keuntungan kapitalis antarabangsa yang terjejas dengan hebat, menandakan tamatnya zaman kegemilangan ekonomi di negara-negara maju pasca Perang Dunia II, dan bermulanya zaman krisis ekonomi yang baru. Dengan ekonomi di negara-negara maju mengalami krisis yang serius, dasar ekonomi Keynesian yang diamalkan oleh negara-negara perindustrian maju sejak tahun 1930-an, yang menekankan campurtangan kerajaan dalam ekonomi, telah semakin kehilangan pengaruh kerana dianggap gagal menangani krisis dalam situasi imbangan kuasa sedunia yang baru. Satu doktrin fahaman kapitalis yang cuba mengembalikan dominasi pasaran bebas dan mengurangkan campurtangan kerajaan dalam ekonomi mula menggantikan dasar ekonomi Keynesian. Doktrin yang berlandaskan fahaman fundamentalis kapitalis pasaran besar ini dikenali sebabagai neoliberalisme.

1973 - ap_730911037
Kudeta tentera di Chile pada tahun 1973

Persitiwa yang kedua, berlaku sebulan sebelum tercetusnya Krisis Minyak 1973, iaitu rampasan kuasa di Chile pada 11 September 1973, oleh pihak tentera pimpinan Augusto Pichochet yang mendapat sokongan daripada sokongan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), untuk menjatuhkan kerajaan sosialis pimpinan Salvador Allende yang dipilih secara demokratik. Rejim kediktatoran Pinochet yang penuh dengan kezaliman kemudiannya menjadikan negara Chile sebagai makmal eksperimen untuk pelaksanaan dasar ekonomi neoliberal dan menguar-uarkannya sebagai “Keajaiban Chile”. Ekperimen di Chile menunjukkan kenyataan bahawa ekonomi kapitalis pasaran bebas mendatangkan demokrasi adalah salah, sebaliknya pemerintahan kuku besi yang menyuburkan ekonomi kapitalis pasaran bebas.

Banyak negara moden mempunyai sistem perlindungan sosial dan jaminan hak asasi untuk rakyatnya, hasil daripada perjuangan rakyat yang berterusan. Pelaksanaan dasar yang melindungi kesejahteraan rakyat amat ketara di kebanyakan negara, sama ada negara maju atau negara kurang maju, selepas Perang Dunia II. Rakyat di kebanyakan negara telah berjaya memaksa negara mereka untuk membekalkan perkhidmatan masyarakat yang penting seperti kesihatan awam, pendidikan, pengangkutan awam, jagaan kanak-kanak, kebajikan sosial, pencen dan sebagainya. Adalah sukar untuk mana-mana kerajaan mengurangkan perlindungan kebajikan sosial yang dinikmati oleh rakyat. Perlindungan hak asasi rakyat ini merupakan keperluan yang minimum untuk tamadun moden hari ini. Namun, logik pengumpulan modal yang wujud secara berkekalan dalam sistem ekonomi kapitalis, krisis yang berlaku kerana keuntungan kapitalis yang merosot, dan juga keinginan untuk menjadikan apa yang sepatutnya merupakan hak milik sosial kepada komoditi yang boleh menjana keuntungan bagi syarikat korporat swasta, telah menghasilkan satu raksasa baru yang digelar neoliberalisme. Dalam erti kata lain, neoliberalisme ialah produk hasil daripada usaha kelas kapitalis untuk menawarkan penyelesaian kepada krisis ekonomi kapitalis, dengan mengalihkan segala beban tanggungan kesan krisis ke atas bahu rakyat biasa.

20200613-7-un-mundo-feliz_capitalismo_03_españa
Poster “Kapitalisme (?)”, oleh Un Mundo Feliz (Sepanyol)

Dasar ekonomi neoliberal telah menular ke seluruh dunia melalui proses yang dikenali sebagai globalisasi, iaitu satu proses perluasan kuasa korporat multinasional dengan sokongan dasar kerajaan yang “mesra perniagaan”. Tunjang utama ekonomi neoliberal ialah:

  • Liberalisasi ekonomi: Membuka pasaran tempatan kepada kemasukan modal asing untuk melabur dalam pelbagai sektor (dengan motif memaksimumkan keuntungan korporat), mengurangkan tarif import untuk membolehkan lebih barangan daripada korporat multinasional dapat menembusi pasaran tempatan, di samping meminda undang-undang dalam negara supaya memudahkan dan melindungi pelaburan asing.
  • Penswastaan terhadap harta awam: Menswastakan syarikat milik kerajaan dan perkhidmatan asas supaya dijadikan komoditi yang boleh menjana keuntungan untuk korporat besar.
  • Penyahkawalseliaan terhadap modal: Menghapuskan segala peraturan dan undang-undang yang menghalang korporat daripada mengaut keuntungan dan memudahkan golongan kapitalis mengelakkan diri daripada percukaian atau mengalihkan kekayaan mereka ke tempat berlindung cukai.
  • Penjimatan (austerity): Mengamalkan dasar ekonomi yang kononnya untuk mengurangkan defisit belanjawan kerajaan dengan cara mengurangkan perbelanjaan kebajikan sosial.

Dasar ekonomi neoliberal telah dipaksakan oleh syarikat korporat multinasional gergasi dan kerajaan negara kapitais yang maju ke atas negara-negara yang lain, melalui institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan sebagainya. Negara yang menerima bantuan kewangan daripada institusi kewangan antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia, dikenakan syarat untuk melaksanakan “Program Pengubahsuaian Struktur”, yang biasanya merangkumi dasar-dasar berkaitan dengan penswataan, liberalisasi terhadap perdagangan dan pelaburan asing, serta mengimbangi defisit kerajaan, tanpa mempedulikan impak kepada masyarakat tempatan. Preskripsi dasar ekonomi ini juga dikenali sebagai “Konsensus Washington”, kerana institusi-institusi yang memaksakan dasar ekononi ini, termasuk IMF, Bank Dunia dan Jabatan Kewangan Amerika, adalah beribupejabat di Washington D.C., Amerika Syarikat.

Dasar ekonomi neoliberal juga diperluaskan dan dipaksakan ke atas negara-negara sedang membangun melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA), di mana perjanjian sebegini bukan sahaja berkenaan dengan pengurangan tarif untuk menggalakkan perdagangan komoditi antara negara, malah ia juga menekankan pada “hak pelabur” di sesuatu negara dan mewujudkan monopoli terhadap ilmu pengetahuan masyarakat melalui “hak intelek”.

Neoliberalisme merupakan fasa imperialisme di mana kapitalisme monopoli meneruskan amalan neokolonialisme melalui apa yang dipanggil “globalisasi”.

Samir Amin (1931-2018), seorang ahli ekonomi Marxis Mesir-Perancis, telah menganalisis secara struktural terhadap pembangunan tidak samarata yang wujud di negara-negara pinggiran. Menurut Samir Amin, globalisasi yang berlaku tidak melakukan apa-apa untuk mengurangkan jurang perbezaan antara negara teras dengan negara pinggiran; sebaliknya, ia hanya memperkukuhkan jurang perbezaan itu, melalui kemunculan monopoli terhadap teknologi, peralatan ketenteraan, komunikasi, kebudayaan, kewangan dan institusi pentadbiran antarabangsa. Monopoli ini secara sistematiknya berpihak kepada negara-negara kapitalis yang maju.

samir-amin
Samir Amin

Samir Amin menulis,

“Kapitalisme kontemporari ialah kapitalisme monopoli yang lebih umum. Apa yang saya maksudkan adalah monopoli tidak lagi membentuk pulau (yang penting sebagaimana mungkin) dalam lautan korporat yang bukan monopoli – dan oleh yang demikian berautonomi secara relatif – tetapi satu sistem yang bersepadu, dan oleh itu sekarang mengawal ketat semua sistem pengeluaran. Syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana, bahkan syarikat besar yang bukan dimiliki secara rasmi oleh oligopoli, adalah dipagarkan dalam rangkaian kawalan yang diwujudkan oleh monopoli hulu dan hilir. Akibatnya, margin autonomi mereka telah mengecut. Unit-unit pengeluaran ini menjadi subkontraktor kepada monopoli. Sistem monopoli yang lebih umum ini adalah hasil daripada peringkat baru dalam pemusatan modal di dalam negara-negara triad yang telah membangun pada tahun 1980-an dan 1990-an. [nota pengarang: “triad” di sini bermaksud negara Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun yang menguasai kelebihan monopili dari segi pemilikan senjata pemusnah besar-besaran, sistem komunikasi massa, sistem kewangan, teknologi dan akses kepada sumber alam.]

Pada masa yang sama, monopoli yang lebih umum ini mendominasi ekonomi dunia. Globalisasi ialah nama yang telah diberikan oleh mereka sendiri kepada bentuk perintah di mana melaluinya mereka mengamalkan kawalan terhadap sistem pengeluaran pinggiran kapitalisme dunia (seluruh dunia selain rakan-rakan kongsi triad). Ini bukan yang lain selain peringkat baru imperialisme.

Sebagai sebuah sistem, kapitalisme monopoli yang lebih umum dan global memastikan bahawa monopoli-monopoli ini memperoleh sewa monopoli yang dikenakan ke atas nilai surplus yang besar (ditransformasi ke dalam keuntungan) yang mana modal mengektrakkannya daripada eksploitasi terhadap buruh. Setakat mana monopoli-monopoli ini beroperasi di pinggiran sistem yang global, sewa monopoli ini menjadi sewa imperialis. Proses pengumpulan modal – yang menakrifkan kapitalisme dalam segala bentuk sejarahnya yang berturut-turut – adalah dengan itu ditentukan oleh pemaksimuman sewa monopolistik/imperialis.”

Walaupun dasar ekonomi neoliberal mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang pesat (dari segi angka KDNK) di sesetengah negara di mana kebanyakan kekayaan mengalir ke dalam poket korporat besar, tetapi pasa masa yang sama ia juga membiak ketidaksamarataan ekonomi yang serius dan menjejaskan kehidupan rakyat bawahan. Syarikat korporat besar dan golongan mahakaya dapat menikmati keuntungan yang lumayan hasil daripada pelaksanaan dasar ekonomi neoliberal, kemudian menyorok kekayaan mereka di tempat berlindung cukai yang terletak di negara lain; sementara rakyat biasa perlu menanggung kesan buruk daripada penswastaan dan pengurangan perbelanjaan sosial, seperti kos hidup yang semakin meningkat, ketiadaan jaminan dalam pekerjaan dan pendapatan, kemerosotan dalam perlindungan sosial, ancaman pencemaran alam sekitar, hak asasi digadaikan sehingga menjadi komoditi yang diniagakan semata-mata untuk keuntungan korporat, dan sebagainya. Dalam erti kata lain, neoliberalisme mensosialisasikan kemiskinan dan penderitaan kepada masyarakat umum, sementara menswastakan kekayaan dan nilai surplus masyarakat ke dalam tangan korporat.

Ekonomi neoliberal mengekalkan pembahagian kerja antara negara-negara di peringkat antarabangsa, di mana negara-negara kurang membangun dikekalkan keadaannya yang kurang membangun dengan terus dipaksa untuk mengamalkan ekonomi berorientasikan eksport dan perusahaan intensif buruh, sementara negara-negara yang maju terus mengekalkan kedudukan dominasi dari segi ekonomi dan hubungan antarabangsa. Di bawah keadaan ini, walaupun tiadanya pendudukan tentera seperti penjajahan yang berlaku sebelum ini, negara-negara kurang membangun terus dijajah secara ekonomi oleh pelaburan asing yang berasal dari negara-negara maju. Neoliberalisme membiak neokolonialisme.

40_greta-acosta-reyes_cuba
Poster tentang neoliberalisme oleh Greta Acosta Reyes (Kuba)

Salah satu fenomena yang ketara dalam era perluasan ekonomi neoliberal ialah finansialisasi ekonomi, iaitu perkembangan kapitalisme kewangan, sesuatu yang pernah wujud pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang membawa kepada krisis ekonomi yang hebat dan peperangan yang mengerikan. Ekonomi kewangan yang semakin berkembang besar dan mendominasi di peringkat global, memaksakan hutang ke atas negara-negara sedang membangun, mewujudkan satu bentuk penjajahan baru, iaitu penjajahan dengan hutang. Negara-negara yang berhutang dengan institusi kewangan antarabangsa, khususnya negara-negara Dunia Ketiga yang sedang membangun atau kurang maju, terpaksa akur kepada kehendak modal kewangan monopoli dan kapitalis multinasional yang sentiasa mencari jalan untuk memaksimumkan keuntungan. Hutang yang bertimbunan dan membebankan negara-negara Dunia Ketiga telah melemahkan malah menghancurkan keupayaan negara-negara ini untuk membekalkan perkhidmatan sosial kepada rakyatnya dan memperbaiki kualiti kehidupan masyarakat.

Perluasan ekonomi kapitalis neoliberal dengan sokongan daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat, telah memburukkan masalah ketidaksamarataan ekonomi dan ketidakadilan sosial yang wujud di seluruh dunia, dengan kekayaan yang dihasilkan daripada titik peluh kelas pekerja sedunia semakin menumpu dan memusat ke dalam tangan segelintir kecil golongan mahakaya, sedangkan kitaran krisis ekonomi semakin kerap dan semakin serius, dengan golongan pekerja dan rakyat biasa yang dimangsakan setiap kali berlakunya krisis ekonomi.

Kejatuhan Tembok Berlin dan Dunia Unipolar

Perluasan ekonomi neoliberal sejak tahun 1970-an dan menjadi lebih hebat lagi pada tahun 1990-an, berkait rapat dengan krisis di Blok Timur pada tahun 1980-an yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Tembok Berlin dan pembubaran Kesatuan Soviet serta pembentukan dunia unipolar yang didominasi oleh satu kuasa besar sahaja, iaitu Amerika Syarikat.

10kMiles

Walaupun Amerika Syarikat tidak pernah menggelar dirinya sebagai sebuah empayar, tetapi sejak kemerdekaan Tiga Belas Jajahan daripada pemerintahan British, Amerika Syarikat telah terlibat dalam usaha memperluaskan wilayah dan pengaruh kuasanya secara berterusan. Sebahagian besar wilayah yang terletak di bawah kedaulatan Amerika Syarikat pada hari ini, adalah diperoleh melalui pencerobohan ke atas wilayah yang diduduki oleh masyarakat orang asal, pembelian tanah daripada kuasa imperialis yang lain (seperti pembelian Louisiana daripada Perancis pada tahun 1803 dan pembelian Alaska daripada Empayar Rusia pada tahun 1867) dan peperangan dengan negara lain (seperti Perang Mexico-Amerika pada tahun 1846-1848, Perang Amerika-Sepanyol pada tahun 1898 dan Perang Filipina-Amerika pada tahun 1899-1902). Amerika Syarikat pernah menjajah Filipina di Asia Tenggara. Hawaii yang sekarang ini merupakan salah sebuah negeri di dalam Amerika Syarikat juga bukan menjadi sebahagian daripada negara itu secara semula jadi, tetapi melibatkan rampasan kuasa dan pengilhakan secara paksaan. Sekarang ini, Amerika Syarikat masih menguasai tanah jajahan seperti Puerto Rico di Laut Caribbean, Guam di rantau Micronesia dan Samoa Amerika di Selatan Lautan Pasifik.

Amerika Syarikat telah terlibat dalam proses mengagihkan wilayah kolonial ketika era “Imperialisme Baru” pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, malah juga mengambil bahagian dalam Perang Dunia I walaupun pada awalnya Presiden Woodrow Wilson ketika itu pernah menjanjikan bahawa Amerika Syarikat akan mengambil posisi yang neutral dalam peperangan. Wilson mengheret Amerika Syarikat ke dalam Perang Dunia I pada penghujungnya dengan niat untuk membuka pasaran antarabangsa yang lebih luas kepada pengeluaran Amerika Syarikat yang berlebihan pada masa itu.

Ketika Perang Dunia II masih berterusan, Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa besar dunia pada masa itu telah pun merancang untuk susunan dunia pasca perang, dan mengadakan rundingan dengan kuasa besar lain untuk tujuan itu. Selepas Perang Dunia II, Amerika Syarikat muncul sebagai pemain utama yang berkuasa hebat di pentas dunia, lebih-lebih lagi dengan bermulanya Perang Dingin dengan Blok Timur yang diterajui oleh Kesatuan Soviet. Dengan kejatuhan Tembok Berlin pada tahun 1989 dan pembubaran Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Amerika Syarikat telah kehilangan satu pesaing yang hebat di pentas dunia, menjadi satu-satunya kuasa besar yang mendominasi ekonomi-politik sedunia.

Sepanjang sejarah imperialis Amerika Syarikat, ia telah menggunakan pelbagai cara untuk mengembangkan pengaruh politik, ekonomi dan budaya Amerika Syarikat yang melampaui sempadan negaranya. Antara cara yang pernah digunakan oleh Amerika Syarikat untuk memperluaskan dan memperkukuhkan kekuasaannya, termasuk pencerobohan ketenteraan, diplomasi kapal perang, perjanjian yang tidak samarata, campurtangan dalam urusan politik dalaman negara lain, membiayai puak politik yang boleh melindungi kepentingannya di sesebuah negara, penembusan ekonomi melalui pelaburan syarikat swasta, penggunaan strategi perang hibrid dan menyokong perubahan rejim di dalam sesebuah negara untuk menaikkan pemerintahan yang dapat menjamin kepentingan imperialisnya.

Antara pencerobohan ketenteraan oleh Amerika Syarikat ke atas negara lain, termasuk Perang Korea (1950-1953), Perang Vietnam (1955-1975), campurtangan ketenteraan semasa Krisis Lubnan (1958), Perang Saudara Dominica (1965), pencerobohan ke atas Grenada (1983), pencerobohan ke atas Panama (1989), yang berlaku ketika Perang Dingin. Selepas Perang Dingin, strategi campurtangan ketenteraan secara langsung untuk melindungi kepentingan imperialis Amerika Syarikat ini diteruskan dalam operasi ketenteraan seperti Perang Teluk (1990-1991), Pencerobohan ke atas Afghanistan (2001) dan Perang Iraq (2003-2011).

Screenshot_2020-08-09 us-imperialism-latuff-latin-america-racism jpg (WEBP Image, 375 × 400 pixels)

Amerika Syarikat juga terlibat dalam banyak peristiwa rampasan kuasa, di mana kerajaan Amerika Syarikat menyokong untuk menjatuhkan kerajaan yang dianggap boleh menggugat kepentingannya dan menggantikannya dengan rejim yang pro-imperialis. Antara peristiwa rampasan kuasa yang melibatkan campurtangan Amerika Syarikat, termasuk rampasan kuasa di Iran pada tahun 1953 yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Mohammad Mosaddegh yang memiliknegarakan industri minyak negara itu, rampasan kuasa di Guatemala pada tahun 1954 yang menjatuhkan Presiden Jacobo Árbenz yang dipilih secara demokratik yang melaksanakan program reformasi tanah, rampasan kuasa oleh pihak tentera di Brazil pada tahun 1964 yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden João Goulart yang berhaluan kiri, pengambilalihan kuasa oleh Jeneral Suharto di Indonesia pada tahun 1965 yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai terhadap mereka yang dianggap penyokong PKI, rampasan kuasa di Kemboja pada tahun 1970 yang menjatuhkan Ketua Negara Norodom Sihanouk, rampasan kuasa di Bolivia pada tahun 1971 yang menjatuhkan Presiden Juan José Torres, rampasan kuasa di Chile pada tahun 1973 yang menjatuhkan kerajaan berhaluan kiri pimpinan Salvador Allende, rampasan kuasa di Honduras pada tahun 2020 yang menggulingkan Presiden Manuel Zelaya, dan banyak lagi. Kerajaan Amerika Syarikat juga pernah mencuba banyak kali untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Fidel Castro di Kuba. Sejak tahun 1999 apabila Hugo Chávez menjadi Presiden Venezuela dan melancarkan Revolusi Bolivar, kerajaan Amerika Syarikat telah menyokong banyak usaha daripada puak pembangkang berhaluan kanan di Venezuela untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Chávez dan kemudiannya Nicolás Maduro.

Kekuasaan imperialis Amerika Syarikat terletak pada dominasi modal kewangan dan kekuatan tenteranya. Amerika Syarikat muncul sebagai ekonomi terbesar di dunia sejak penghujung abad ke-19, berikutan pengukuhan sistem kapitalis moden di negara itu selepas Perang Saudara Amerika (1861-1865), pertumbuhan ekonomi perindustrian yang pesat, pengekstrakan sumber alam yang hebat (seperti arang batu, minyak, besi dan sebagainya) dan kemunculan kapitalis kewangan yang memusatkan kekayaan masyarakat. Pada masa kini, Amerika Syarikat merupakan ekonomi terbesar dari segi kekayaan yang dikuasainya dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengikut ukuran kasar (nominal) (melebihi USD 21 trilion), sementara merupakan ekonomi kedua besar dari segi KDNK mengikut pariti kuasa beli (PPP) di belakang negara China. Dolar Amerika Syarikat (USD) ialah matawang yang mendominasi pasaran pertukaran matawang antarabangsa. Bursa Saham New York (NYSE) dan Nasdaq, kedua-duanya terletak di ibu kota kewangan kepada Amerika Syarikat malah dunia, iaitu New York, merupakan dua bursa saham yang terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran dan jumlah dagangan, melambangkan penumpuan kekuasan kapitalisme kewangan antarabangsa yang berpusat di Amerika Syarikat.

00247d24aa5545ac824a65fc708fa6f7_18

Amerika Syarikat memiliki kuasa ketenteraan yang paling besar dan paling kuat di dunia. Kuasa ketenteraan Amerika Syarikat memainkan peranan yang amat penting dalam memperluaskan dan mengekalkan pengaruh kuasa imperialis Amerika Syarikat di peringkat dunia sejak abad ke-19. Kuasa tentera Amerika Syarikat bukan sahaja bermaharajarela di muka bumi, malah melanjutkan capaiannya ke angka lepas dengan penubuhan Komando Angkasa Udara (AFSPC) pada tahun 1982 dan kemudiannya disusun semula untuk membentuk Tentera Angkasa Amerika Syarikat (USSF) pada tahun 2019. Perbelanjaan ketenteraan Amerika mencecah USD732 bilion (pada tahun 2019), menduduki tangga pertama di dunia, hampir tiga kali ganda berbanding negara China yang menduduki tangga kedua dari segi perbelanjaan ketenteraan, malah angka ini jumlah adalah lebih besar daripada jumlah perbelanjaan ketenteraan 9 buah negara lain di belakangnya (China, India, Rusia, Arab Saudi, Perancis, Jerman, Britain, Jepun dan Korea Selatan) dicampurkan bersama. Peningkatan perbelanjaan ketenteraan Amerika Syarikat pada tahun 2019 sahaja, sudah hampir bersamaan dengan seluruh perbelanjaan ketenteraan Jerman pada tahun yang sama. Amerika Syarikat mempunyai hampir 800 pangkalan tentera di lebih 70 buah negara dan wilayah yang lain, sesuatu yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negara yang lain di dunia.

[Nota: Anggara perbelanjaan ketenteraan di sini adalah berdasarkan perangkaan daripada Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).]

Selain itu, Amerika Syarikat merupakan negara pertama di dunia yang membangunkan senjata nuklear, satu-satunya negara yang pernah menggunakan senjata nuklear, iaitu pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada penghujung Perang Dunia II, dan pernah menjalankan lebih seribu ujian senjata nuklear. Amerika Syarikat bersama dengan Rusia, Perancis, Britain dan China, merupakan lima buah negara pemilik senjata nuklear yang menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), sementara India, Pakistan, Israel dan Korea Utara juga memiliki senjata nuklear tetapi dalam jumlah yang jauh lebih kecil. Setakat tahun 2019, adalah dianggarkan bahawa Amerika Syarikat memiliki 6,185 butir kepala peledak nuklear.

Keperluan untuk imperialis Amerika Syarikat mengekalkan dominasi kuasa ketenteraannya, telah mewujudkan “Kompleks Ketenteraan-Perindustrian”, iaitu “pakatan sulit” yang terbentuk antara pihak tentera dengan sektor perindustrian pertahanan yang membekalkan persenjataan kepada tentera. Pakatan sulit yang diketahui umum ini, yang melibatkan hubungan rapat antara kontraktor swasta sektor pertahanan, Jabatan Pertahanan dan ahli-ahli politik di Amerika Syarikat, telah memainkan peranan penting dalam mempengaruhi dasar awam kerajaan Amerika Syarikat, termasuk dasar pertahanan dan dasar luar yang bersifat militaristik.

1 A4Fv7NTBS5cv-6GU8xgnzg

Kekuasaan imperialis Amerika Syarikat yang mendominasi dunia selama tiga dekad selepas tamatnya Perang Dingin, telah mencorak susunan dunia unipolar yang penuh dengan ketidakstabilan dan ketidakadilan. Perluasan doktrin ekonomi neoliberal di seluruh dunia melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas dan asimilasi ekonomi negara ke dalam pasaran dunia, berlaku selari dengan perluasan dan pengukuhan pengaruh imperialis Amerika Syarikat.

Pencerobohan tentera Amerika Syarikat ke atas Iraq pada tahun 2003, dengan alasan untuk menyekat rejim Saddan Hussein di negara itu daripada membangunkan dan menyorok senjata pemusnah besar-besaran (tetapi akhirnya tidak dapat menemui apa-apa), merupakan penonjolan kekuasaan imperialis Amerika Syarikat pada abad ke-21, dengan niat untuk melindungi kepentingan geopolitik dan bekalan minyak untuk Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah serta menjamin kesetiaan sekutunya. Namun begitu, penglibatan ketenteraan Amerika Syarikat yang berpanjangan di Iraq dan Afghanistan, dengan konflik keganasan tidak habis-habisan, sedikit sebanyak telah melemahkan kekuasan imperialis Amerika Syarikat, di samping menjejaskan reputasi Amerika Syarikat di mata dunia dengan lebih lanjut lagi.

Imperialisme budaya

62a5a49748028c9b89bff3a6d3b10c1c

Selain dominasi dari segi ekonomi dan politik, imperialisme juga diperluaskan dan dikekalkan dari aspek ideologi dan kebudayaan. Negara moden sebagai alat untuk memelihara pemerintahan kelas dalam masyarakat kapitalis, tidak boleh hanya mengekalkan hubungan kelas yang sentiasa bertentangan dengan cara kekerasaan dan paksaan; sebaliknya ia memerlukan cara yang lebih lembut dan halus untuk mewujudkan “persetujuan” daripada rakyat yang diperintah terhadap kekuasaan kelas pemerintah, iaitu melalui ideologi. Imperialisme budaya ialah satu cara yang penting untuk memperluaskan dan memperkukuhkan hegemoni ideologi kuasa besar ke atas masyarakat yang berada di bawah kekuasaannya, demi menjamin kelangsungan dan keberterusan keuntungan korporat serta kepentingan ekonomi-politik imperialis.

Imperialisme budaya melibatkan penggalakkan dan pemaksaan sesuatu budaya, sama ada secara keras atau lembut, oleh kuasa besar yang mendominasi secara ekonomi dan politik ke atas sebuah masyarakat yang kurang maju dari segi kekuasaan ekonomi dan politik. Dalam erti kata lain, negara kuasa besar yang berekonomi kapitalis maju menentukan nilai-nilai kebudayaan dan menetapkan standard untuk “ketamadunan” di seluruh dunia melalui imperialisme budaya. Imperialisme budaya boleh ditunjukkan secara formal dalam protokol rasmi kerajaan, ataupun secara tidak formal dalam pengaruh terhadap corak kehidupan masyarakat tempatan.

Pada hari ini, imperialisme budaya biasanya digunakan untuk menggambarkan peranan pengaruh Amerika Syarikat sebagai kuasa besar budaya di seluruh dunia, selain dominasi ekonomi, geopolitik dan kekuatan ketenteraannya. Imperialisme budaya sudah wujud lama sebelum Amerika Syarikat menjadi kuasa besar dunia. Apabila imperialis British menguasai tanah jajahan Amerika secara ekonomi dan ketenteraan, Britain juga mempunyai pengaruh kebudayaan yang kuat ke atas penduduk-penduduk di tanah jajahannya, yang kemudian mencapai kemerdekaan melalui perang kemerdekaan.

Salah satu manifestasi imperialisme budaya ialah pengaruh industri perfileman Amerika Syarikat di peringkat global, yang dilambangkan oleh Hollywood. Studio-studio filem Amerika Syarikat “lebih berjaya” dalam menembusi pasaran filem sedunia berbanding industri perfileman di negara lain, bukan sahaja oleh sebab model perniagaan mereka, tetapi juga kerana hegemoni budaya imperialis Amerika Syarikat yang menjadikan konsep Hollywood sebagai salah satu ciri penentu industri perfileman dunia moden. Disokong dengan kekuatan modal yang besar dan ekononomi kapitalis yang mengembang, syarikat korporat multinasional memacu kebudayaan global “moden” yang bersifat individualistik dan konsumeris, melalui perluasan pasaran kapitalis. “Kejayaan” model perniagaan Amerika Syarikat yang menghasilkan filem yang menjana keuntungan lumayan kepada pelabur modal, menyebabkan institusi kebudayaan di negara lain turut cuba meniru model tersebut, sekali gus menghasilkan semula corak pengeluaran sosio-ekonomi yang mengikut piawaian imperialis kapitalis.

b9fca6d447c173c186972f60efa8d1e1

Perluasan imperialisme budaya yang berpusatkan pada kuasa besar Amerika Syarikat, khususnya selepas Perang Dingin, juga dicorakkan dalam apa yang dikenali sebagai McDonaldisasi dan Coca-colonisasi. Konsep McDonaldisasi diperkenalkan oleh ahli sosiologi Amerika Syarikat George Ritzer (1940-   ) dalam bukunya The McDonaldization of Society (1993). McDonaldisasi wujud apabila masyarakat mengamalkan ciri-ciri yang terdapat dalam operasi restoran makanan segera seperti McDonald’s. Prinsip-prinsip yang digunakan dalam operasi restoran makanan segera yang merupakan aspek utama kepada pasaran bebas, seperti penyampaian produk dalam masa paling singkat (keefisienan), penetapan objektif berasaskan kuantiti (kebolehkiraan), pempiawaian dan keseragaman dalam pekerja dan perkhidmatan (kebolehramalan dan kawalan), mendominasi masyarakat yang mengalami McDonaldisasi, menyebabkan bukan sahaja pengeluaran sosial semakin diseragamkan dalam acuan yang sama, malah corak penggunaan dan budaya kehidupan masyarakat turut disatukan dalam model yang sama di bawah hegemoni kuasa besar yang mendominasi.

Coca-colonisasi pula merujuk kepada globalisasi budaya Amerika Syarikat yang dipaksakan melalui pemasaran produk pengguna seperti minuman Coca-Cola.

Imperialisme budaya menjadi lebih ketara dengan perkembangan teknologi maklumat yang pesat. Perluasan internet kelajuan tinggi dan media sosial, memperhebatkan pengaruh imperialisme budaya yang mencerobohi setiap ruangan dan setiap saat kehidupan manusia. Perkembangan pengaruh syarikat industri teknologi yang berpusatkan Amerika Syarikat seperti Google, Facebook, Twitter, Instagram, Amazon, Uber, Apple Inc. dan sebagainya, sudah menjadi sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada cengkaman imperialisme budaya pada masa kini. Walau bagaimanapun, dominasi imperialis budaya yang berpusatkan Amerika Syarikat ini telah mengalami cabaran beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kemunculan persaingan daripada syarikat industri teknologi khususnya dari China, seperti Huawei, Xiaomi, Oppo, Tencent, Tiktok dan sebagainya, sehingga kerajaan Amerika Syarikat yang dipimpin Donald Trump mengambil tindakan untuk menyekat kemaraan pengaruh industri teknologi China.

Imperialisme budaya mendatangkan impak yang mendalam kepada kebudayaan tempatan di seluruh dunia, dari segi bahasa, kesenian, nilai estetik sehingga cita rasa makanan. Salah satu contoh impak imperialisme budaya ialah piawaian untuk menentukan kecantikan wajah seseorang, di mana seseorang yang berkulit cerah (seperti orang Eropah) dianggap cantik sementara seseorang yang berkulit gelap (seperti orang Afrika) dianggap tidak cantik, sekali gus terus menghalalkan pandangan prejudis perkauman. Imperialisme budaya boleh menghancurkan kebudayaan dan corak kehidupan masyarakat tempatan yang lebih berasaskan persaudaraan, solidariti dan keharmonian, menggantikannya dengan sistem kehidupan yang berlandaskan persaingan sesama manusia, individualistik dan konsumeris supaya memenuhi keperluan korporat untuk menjana lebih keuntungan di bawah sistem ekonomi kapitalis.

Kebangkitan BRICS: Dunia multipolar?

28/06/2019 Reunião Informal do BRICS
(Dari kiri) Xi Jinping (Presiden China), Vladimir Putin (Presiden Rusia), Jair Bolsonaro (Presiden Brazil), Narendra Modi (Perdana Menteri India) dan Cyril Ramaphosa (Presiden Afrika Selatan), ketika bertemu dalam Persidangan Kemuncak G20 di Osaka, Jepun, pada bulan Jun 2019. (foto oleh Alan Santos / PR)

Walaupun kekuasaan imperialis Amerika Syarikat nampaknya tidak dapat dicabar di peringkat dunia pasca Perang Dingin, tetapi ia bukannya kebal selama-lamanya. Pencerobohan ketenteraan ke atas Afghanistan dan Iraq pada awal tahun 2000-an yang menyaksikan “kemenangan” ketenteraan Amerika Syarikat, tetapi turut menyebabkan Amerika Syarikat terjebak dalam perangkap konflik yang berterusan dan tidak dapat diselesaikan walaupun ia mempunyai kekuasaan tentera yang paling kuat di dunia. Campurtangan ketenteraan Amerika Syarikat di Afghanistan, Iraq, Libya dan Syria, bukan sahaja tidak membawa keamanan dan kestabilan ataupun “kebebasan” yang dijanjikannya, sebaliknya mengakibatkan konflik yang tidak habis-habisan dan terus mengancam keamanan dunia.

Satu lagi impak besar yang dihadapi oleh kekuasaan Amerika Syarikat ialah krisis gadai janji subprima di negara itu pada tahun 2007 yang mengakibatkan krisis kewangan sedunia. Krisis ekonomi 2008 telah melemahkan kekuasan ekonomi Amerika Syarikat dan menjejaskan pengaruhnya di pentas dunia. Dalam konteks krisis yang mendalam di Amerika Syarikat, kebangkitan Donald Trump yang menang dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2016 dengan janjinya “Kembalikan Kehebatan Amerika” (Make America Great Again) merupakan usaha kelas pemerintah Amerika Syarikat untuk menyelamatkan kekuasaan imperialisnya dengan lebih banyak dasar perlindungan kepada kelas kapitalis di samping mengapi-apikan sentimen perkauman untuk meraih sokongan massa. Golongan kapitalis yang diwakili oleh Trump hendak menyelesaikan krisis ekonomi Amerika Syarikat yang disebabkan oleh neoliberalisme tanpa membuang ciri utama ekonomi kapitalisnya, iaitu mobiliti kewangan global yang bebas.

Kemerosotan kekuasaan Amerika Syarikat dalam tempoh satu dekad yang lepas, kelihatan lebih jelas lagi dengan kebangkitan kuasa memuncul yang menunjukkan kemampuan untuk bersaing atau mencabar dominasi kekuasaan Amerika Syarikat. Antara kuasa memuncul yang semakin berpengaruh sejak lebih satu dekad yang lepas ialah Brazil, Rusia, India dan China. Negara-negara ini digelar secara bersama sebagai “BRIC”, kemudiannnya ditambahkan dengan Afrika Selatan menjadi “BRICS”. Negara-negara yang mempunyai orientasi politik dan tahap pembangunan sosio-ekonomi yang agak berbeza ini membentuk satu blok ekonomi yang tersendiri sejak tahun 2009.

Sebelum BRICS ditubuhkan, sudah wujudnya satu blok antara negara India, Brazil dan Afrika Selatan, yang dikenali sebagai Forum Dialog IBSA, yang dibentuk pada tahun 2003 dan ia masih wujud sehingga kini. IBSA terbentuk pada masa apabila kerajaan di India, Brazil dan Afrika Selatan mengamalkan dasar yang lebih bersifat demokratik sosial. Pada masa itu, negara-negara ini membawa agenda untuk mensubsidi ubat-ubatan dan pertanian, kerana mereka bimbang bahawa rakyat tidak dapat mengakses ubat-ubatan penting dan petani-petani di negara mereka terkesan teruk kerana dasar perdagangan antarabangsa yang neoliberal.

Apabila BRICS ditubuhkan pada tahun 2009, ia sudah mempunyai tiga agenda, iaitu: 1. memperjuangkan perjanjian perdagangan yang lebih baik untuk melindungi petani-petani di negara ini dan sebagainya; 2. mewujudkan multilateralisme yang terhad, di mana golongan elit di Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan mempunyai tempat di meja perundingan peringkat global; 3. membangunkan kerjasama perniagaan Selatan-Selatan, di mana peniaga India boleh lebih kerap berniaga dengan peniaga Brazil, Brazil boleh menambahkan eksport ke Afrika Selatan, dan sebagainya.

BRICS dianggap sebagai pengimbang yang baru kepada kekuasaan Amerika Syarikat di pentas dunia. Imbangan kuasa yang menjurus kepada pembentukan susunan dunia multipolar selepas dominasi Amerika Syarikat selama dua dekad dalam dunia unipolar pasca Perang Dingin, telah mencabar pemusatan kuasa dalam tangan satu-satu kuasa besar, dan mewujudkan senario persaingan yang baru antara kuasa-kuasa besar dunia. Kemunculan dunia multipolar, bermakna bahawa negara-negara yang tidak sehaluan dengan kepentingan imperialis Amerika Syarikat ataupun yang hendak melepaskan diri daripada cengkaman kekuasaan Amerika Syarikat, mempunyai pilihan untuk mewujudkan kerjasama atau membina pakatan strategik yang baru di peringkat antarabangsa. Ini membolehkan negara-negara yang mengambil posisi yang bertentangan dengan kepentingan imperialis Amerika Syarikat, seperti Venezuela, Kuba dan Iran, mempunyai lebih banyak sedikit ruang untuk bernafas ketika berhadapan dengan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Walaupun kebangkitan blok kuasa baru ini telah mewujudkan imbangan kuasa yang baru antara kuasa-kuasa besar dunia, tetapi ia masih tidak mengubah imbangan kuasa antara modal dan massa pekerja di peringkat dunia yang dicorak di bawah hegemoni neoliberal sejak tahun 1970-an. Sekiranya tidak mempunyai gerakan masyarakat yang kuat untuk memperjuangkan keadilan sosial dan pengagihan kekayaan ekonomi yang lebih saksama di negara masing-masing serta di peringkat antarabangsa, perubahan pada imbangan kuasa antara negara-negara yang diperintah oleh elit politik yang berfungsi untuk melindungi kepentingan kelas kapitalis itu tidak akan membawa apa-apa perubahan masyarakat yang bermakna dalam menjamin dan memajukan kesejahteraan rakyat biasa.

Sejak penubuhannya, BRICS sentiasa dihadkan oleh ciri kelas kerajaan-kerajaan yang menyertainya. Peniaga-peniaga di Brazil hendak memasuki pasaran India untuk berniaga, dan sebaliknya. BRICS bukannya satu alat politik untuk membangunkan satu alternatif yang berbeza, tetapi adalah untuk kapitalis-kapitalis di negara-negara berkenaan untuk menjalankan urusan niaga, yang termasuk perkara yang tidak akan menguntungkan rakyat seperti penjualan senjata dan sebagainya.

Selain itu, BRICS bukannya satu gabungan antarabangsa yang stabil kerana ia mempunyai percanggahan dalaman yang agak serius, khususnya pertentangan kepentingan ekonomi-politik, antara negara-negara anggotanya. Rusia pernah merupakan kuasa besar yang setanding dengan Amerika Syarikat ketika ia masih dalam Kesatuan Soviet pada zaman Perang Dingin, dan sekarang ini cuba membina semula pengaruh kuasanya; sementara China dan India walaupun pernah membangunkan secara bersama “Lima Prinsip Kewujudan Bersama secara Aman” yang menjadi asas kepada pembentukan NAM, tetapi kedua-dua negara tersebut sering berkonflik khususnya dalam isu pertelingkahan sempadan. Lebih-lebih lagi, Narendra Modi yang menjadi Perdana Menteri India sejak tahun 2014 dan Jair Bolsorano yang menjadi Presiden Brazil pada tahun 2019, kedua-duanya berpegang pada fahaman politik pelampau kanan, telah mengambil posisi berpihak kepada kepentingan imperialis Amerika Syarikat, sekali gus bertentangan dengan kepentingan Rusia dan China yang cuba bersaing dengan Amerika Syarikat. Ini bagaikan wujudnya musuh dalam selimut BRICS.

Perang Dingin 2.0?

ca-times.brightspotcdn.com

Negara-negara kapitalis sentiasa terjerumus dalam konflik dalam usaha mereka menguasai sumber dan pasaran demi menjamin kepentingan kelas kapitalis masing-masing. Konflik antara negara-negara kapitalis memuncak apabila ia memasuki peringkat imperialisme, seperti yang pernah berlaku pada awal abad ke-20 yang membawa kepada dua Perang Dunia yang dahsyat dan juga pertembungan dua blok kuasa besar semasa Perang Dingin.

Perluasan pengaruh NATO ke negara-negara bekas anggota Kesatuan Soviet dan Pakatan Warsaw (seperti Lithuania, Estonia, Bulgaria dan Romania), yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan sekutunya dalam Kesatuan Eropah, dianggap oleh Rusia sebagai ancaman terhadap usahanya untuk membina semula pengaruh kuasanya di rantau itu di bawah keazaman pentadbiran Vladimir Putin. Persaingan antara kuasa besar Barat (Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah) dengan Rusia ditunjukkan melalui campurtangan mereka dalam perkara seperti konflik di Ukraine (pergolakan politik yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Viktor Yanukovych pada tahun 2014 dan perang di wilayah Donbass selepas itu), supaya mewujudkan tapak penting (yang berfungsi seolah-olah negara satelit) yang dapat memperluaskan pengaruh kuasa masing-masing. Walau bagaimanapun, Amerika Syarikat yang sudah terjebak dalam peperangan di Iraq dan Afghanistan menunjukkan kelemahannya dalam menangani Rusia, sementara Kesatuan Eropah agak berpecah dalam isu mengenakan sekatan terhadap Rusia kerana negara-negara anggota Kesatuan Erupah semakin bergantung kepada Rusia dari segi pembekalan sumber tenaga di samping terperangkap dalam krisis ekonomi sejak tahun 2008. Konflik di Timur Tengah, khususnya perang saudara di Syria sejak tahun 2011, turut menjadi satu medan untuk perang proksi antara kuasa imperialis Amerika Syarikat dengan Rusia.

Dengan ekonomi China semakin membangun dan menunjukkan taringnya, Amerika Syarikat telah mengambil strategi untuk menyekat perluasan pengaruh China. Antara strategi yang diambil oleh Amerika Syarikat untuk mengepung dan menyekat kemaraan China adalah mewujudkan lebih banyak pangkalan tentera di rantau Asia Pasifik dan mempromosi perjanjian perdagangan bebas (seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik sebelum Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump menarik diri pada tahun 2017) yang mengecualikan China. Sementara itu, China pula membawa perjanjian perdagangan bebas versinya melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), di samping melancarkan strategi pembangunan infrastruktur peringkat antarabangsa yang digelar “Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan” (OBOR) untuk menangani masalah kapisiti pengeluaran yang berlebihan dalam ekonomi China.

Amerika Syarikat telah membangunkan hubungan “Kemusnahan Saling Terjamin” (Mutual Assured Destruction, MAD) dengan China, bukannya dari segi persenjataan nuklear tetapi secara ekonomi, dengan China merupakan pemegang luar yang terbesar untuk hutang Amerika Syarikat (USD 1.08 trilion), sementara Amerika Syarikat merupakan pengimport terbesar untuk barangan yang dikeluarkan oleh China. Perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang tercetus pada tahun 2018 apabila kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Trump mula mengenakan tarif dan halangan perdagangan lain terhadap import dari China dengan tujuan untuk mengurangkan desifit perdagangan Amerika Syarikat dengan China, merupakan satu usaha Amerika Syarikat untuk menyekat China daripada menggugat dominasinya dalam sistem ekonomi global. Dalam arena geopolitik pula, ketegangan hubungan antara China dengan Taiwan dan juga pergolakan politik yang hebat di Hong Kong, telah dipergunakan untuk menjadi medan pertarungan kuasa antara China dengan Amerika Syarikat untuk melindungi pengaruh kuasa masing-masing.

Situasi berkonflik antara Amerika Syarikat dengan kuasa memuncul seperti Rusia dan China, mewujudkan kemungkinan yang semakin besar untuk Perang Dingin 2.0, malah adanya ramai komentar yang mengatakan Perang Dingin Baru sudah pun bermula.

Kemunculan situasi Perang Dingin yang baru merupakan satu ancaman besar kepada gerakan politik yang progresif di negara-negara kuasa besar dan negara-negara di bawah lingkungan pengaruh mereka. Mana-mana pembangkang kepada kelas pemerintah boleh dilabelkan dengan mudahnya dan sewenang-wenangnya oleh kerajaan pemerintah sebagai ejen luar negara yang berkhidmat untuk kuasa besar yang bersaing dengannya, seperti yang pernah berlaku semasa Perang Dingin pada abad ke-20.

Perang Hibrid

us-latin-america-relations

Kemenangan pertama Hugo Chávez dalam Pilihanraya Presiden Venezuela telah memulakan proses Revolusi Bolivar, satu usaha untuk membina alternatif di Amerika Latin yang membangunkan politik demokrasi rakyat yang partisipatori, mengagihkan semula kekayaan ekonomi masyarakat dan membebaskan benua Amerika Latin daripada cengkaman kuasa imperialis. Namun, Venezuela dan Revolusi Bolivar telah menjadi sasaran utama kepada serangan bertubi-tubi daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat dan sekutunya dalam kalangan puak pembangkang berhaluan kanan di negara itu. Ancaman dan serangan terhadap Venezuela untuk menggagalkan proses Revolusi Bolivar telah diperhebatkan lagi selepas rampasan kuasa di Honduras pada tahun 2009. Sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan ancaman perang yang berterusan, telah menjadikan pergolakan dalaman negara Venezuela tumpuan konfrontasi geopolitik global. Dasar imperialis Amerika Syarikat menimbulkan ancaman peperangan dan kemusnahan di Amerika Latin.

Selain ancaman perang secara terbuka, kerajaan Amerika Syarikat dan sekutunya juga mengaplikasikan pelbagai taktik kotor untuk melemahkan kerajaan Venezuela dengan niat menghancurkan Revolusi Bolivar dan mengembalikan kuasa golongan oligarki di situ. Taktik-taktik yang digunakan oleh imperialis Amerika Syarikat termasuklah tekanan dan sabotaj ekonomi yang berpanjangan sejak cubaan rampasan kuasa terhadap kerajaan Chávez yang gagal pada tahun 2002. Imperialis Amerika Syarikat juga mendukung pembangkang berhaluan kanan di Venezuela untuk mewujudkan kekacauan politik dan menimbulkan keganasan untuk mengganggu lebih lanjut kehidupan sosial rakyat yang sudah terkesan teruk dengan perang ekonomi bertahun-tahun lamanya. Taktik-taktik ini merupakan sebahagian daripada perang hibrid yang dilancarkan ke atas Venezuela.

Perang hibrid ialah sejenis strategi politik yang menggabungkan kaedah perang konvensional dan bukan konvensional dengan menggunakan pelaku negara dan bukan negara yang merangkumi spektrum kehidupan sosial dan politik yang meluas. Taktik-taktik perang hibrid, termasuk penggunaan cara-cara yang halus seperti penyebaran berita palsu, tekanan diplomatik, perang siber, salah guna sistem undang-undang dan campurtangan dalam pilihanraya di negara sasaran, diaplikasikan oleh kuasa imperialis dengan tujuan untuk melemahkan, menyahstabilkan atau menjatuhkan kerajaan di sesebuah negara supaya mengganggu, mengawal atau mempengaruhi imbangan kuasa antara negara. Kuasa imperialis menggunakan kaedah campurtangan secara perang hibrid untuk menguasai beberapa aspek dalam kehidupan sosial demi mencapai matlamat dominasinya, khususnya dalam mempengaruhi minda rakyat.

Perang hibrid yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat ke atas Venezuela, yang melibatkan penyahstabilan ekonomi, sekatan ekonomi dan kewangan, serangan propaganda media, gangguan diplomatik, galakkan untuk keganasan dalam negara termasuk pembunuhan yang mensasarkan penyokong kerajaan, penjanaan kekecohan dengan menyerang perkhidmatan asas, tekanan untuk meretakkan institusi negara atau melancarkan rampasan kuasa, dan ancaman campurtangan ketenteraan dari luar, bukannya sesuatu yang baru. Perang hibrid dengan taktik yang pelbagai turut dilancarkan oleh Amerika Syarikat ke atas negara-negara lain yang tidak sehaluan dengannya semasa dan selepas Perang Dingin.

Semasa Perang Dingin, selain menggunakan pelbagai taktik untuk menyekat kekuasaan Kesatuan Soviet dan Pakatan Warsaw, Amerika Syarikat turut mencampurtangan dalam politik di negara sekutunya sendiri, misalnya campurtangan dalam menyingkirkan anggota parti komunis daripada kerajaan Perancis pada tahun 1947, dan melancarkan kempen propaganda dan membiayai secara kewangan untuk menghalang Parti Komunis Itali daripada memenangi pilihanraya umum negara itu pada tahun 1948.

Kuasa imperialis Amerika Syarikat, seperti kuasa imperialis Britain sebelumnya, turut mempergunakan perbezaan kaum, agama, budaya, sosio-ekonomi dan geografi dalam sesebuah negara untuk mewujudkan konflik identiti yang bertujuan untuk melemahkan dan menjatuhkan kerajaan yang menggugat kepentingannya dan menggantikannya dengan rejim yang mesra imperialis. Taktik begini telah digunakan secara meluas di rantau Timur Tengah dan Afrika, mengakibatkan konflik sektarian yang tidak habis-habisan.

Di benua Amerika sendiri, kerajaan Amerika Syarikat telah terlibat dalam usaha menjatuhkan beberapa buah kerajaan yang menggugat kepentingan imperialis dan menggantikan mereka dengan rejim kediktatoran yang mesra dengannya melalui kaedah perang hibrid, seperti yang pernah berlaku di Brazil, Argentina, Bolivia, Guatemala, Chile dan sebagainya. Kerajaan Amerika Syarikat juga menyokong dan membiayai kumpulan-kumpulan pemberontak berhaluan kanan yang dikenali sebagai Contras di Nicaragua pada tahun 1980-an dalam cubaan menjatuhkan kerajaan Fron Pembebasan Nasional Sandinista (FSLN) di negara itu.

Adakah China imperialis?

441863

Sama ada Republik Rakyat China sudah muncul sebagai kuasa imperialis atau tidak, merupakan satu persoalan yang mendapat perhatian pada hari ini dalam konteks pertembungan antara negara ekonomi kedua besar di dunia ini dengan Amerika Syarikat yang merupakan negara ekonomi terbesar di dunia.

Yang tidak dapat kita nafikan adalah, negara China mempunyai sejarah anti-imperialis yang berpanjangan menjangkaui satu abad lamanya. Gerakan anti-imperialis hebat yang dimulakan oleh pelajar-pelajar di Beijing pada tahun 1919, membawa kepada kelahiran Parti Komunis China yang memainkan peranan penting dalam membebaskan negara China daripada keadaan semi-feudal dan semi-kolonial dengan pembentukan Republik Rakyat China pada tahun 1949. Dalam tempoh tiga dekad selepas pembentukan Republik Rakyat China, iaitu ketika zaman Mao Zedong, walaupun menghadapi pelbagai pergolakan politik dan cabaran sosio-ekonomi yang hebat di dalam negara, China masih memainkan peranannya dalam membina solidariti antara negara-negara Dunia Ketiga untuk mencabar kuasa imperialis.

Selepas zaman Mao, China melangkah masuk ke dalam era yang mengembalikan kapitalisme dengan mewujudkan ekonomi pasaran yang menggalakkan pelaburan asing di samping memastikan sektor-sektor ekonomi penting dikuasai sebahagian besar oleh syarikat milik kerajaan. Pendekatan negara China untuk memperkenalkan semula kapitalisme dalam ekonominya telah diberi jenama “Sosialisme dengan Ciri-ciri China”. Ekonomi negara China membangun dengan pesat sejak tahun 1990-an, khususnya selepas Kerajaan China mematahkan kebangkitan rakyat yang mencabar kepincangan yang berlaku semasa melakukan pembaharuan ekonomi yang mengembalikan kapitalisme (Peristiwa 4 Jun 1989), dan memperketatkan lagi cengkaman jentera negara terhadap kehidupan politik dalam masyarakat China.

China sekarang ini merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia dari segi KDNK mengikut ukuran kasar, sementara berkedudukan pertama di dunia dari segi KDNK mengikut pariti kuasa beli. China juga merupakan negara ekonomi perindustrian pembuatan terbesar dan negara pengeksport terbesar di dunia, di samping merupakan pasaran pengguna yang bertumbuh terpantas dan negara pengimport yang kedua besar di dunia di belakang Amerika Syarikat. Daripada 500 buah syarikat korporat yang terbesar di dunia mengikut hasil pendapatan dalam senarai Fortune Global 500 pada tahun 2019, 119 buah ialah syarikat negara Republik Rakyat China yang kebanyakannya syarikat milik negara, satu angka yang sangat dekat dengan 121 buah syarikat dari Amerika Syarikat. Daripada semua angka-angka ekonomi, memang jelas negara China sudah setanding dengan Amerika Syarikat dari segi kekuasaan ekonomi, dan sudah pasti pemimpin kerajaan Amerika Syarikat dengan minda imperialis akan terasa tergugat.

China-currency-1

Untuk lebih satu dekad yang lalu, dengan ekonomi China terus bertumbuh dan semakin besar jumlah modal dieksport oleh negara China ke negara lain, terdapat semakin banyak tuduhan bahawa syarikat-syarikat milik kerajaan dan swasta dari China terlibat dalam amalan perburuhan yang tidak adil, projek-projek yang merosakkan alam sekitar, perampasan tanah, pengenaan beban hutang ke atas negara-negara miskin yang meminjam daripadanya dan secara tidak langsung menyokong pemerintahan kediktatoran di sesetengah negara. Banyak antara tuduhan ini adalah lebih kurang serupa dengan tingkah laku syarikat milik kerajaan, golongan kapitalis swasta dan kerajaan tempatan di dalam negara China sendiri.

Negara China juga menimbulkan kontroversi dan perbalahan antarabangsa apabila ia bertindak secara unilateral dalam menguasai kawasan perairan laut yang masih dipertikaikan dan melanggar sempadan wilayah dan hak ekonomi negara-negara jirannya di Laut China Selatan. Situasi ini berkaitan rapat dengan dilema strategi negara China di Laut China Selatan. Sejak negara China membuka pintunya kepada pasaran global, pembangunan kuasa ekonomi perindustriannya adalah terletak di pusat-pusat ekonomi di sepanjang pesisiran pantai di bahagian timur dan tenggara Tanah Besar China, bersempadan dengan Laut China Timur dan Laut China Selatan, iaitu kawasan perairan yang agak sempit dan dibatasi oleh apa yang dikenali sebagai “Rantai Pulau Pertama” yang terbentang dari Korea Selatan, melalui Jepun menghala ke selatan ke Kepulauan Ryukyu, Taiwan dan Filipina. “Rantai Pulau Pertama” ini merupakan lingkungan kuasa imperialis Amerika Syarikat yang bertindak sebagai benteng untuk menyekat kekuasaan China. Terdapat banyak pangkalan tentera Amerika Syarikat yang didirikan di Korea Selatan dan Jepun dengan penempatan ribuan anggota tentera. Filipina juga ditempatkan tentera Amerika Syarikat, sementara Taiwan masih kekal sebagai wilayah naungan Amerika Syarikat. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat yang ditubuhkan semasa Perang Dunia II, masih kekal ditempatkan di Asia selepas perang, dan sentiasa berkeliaran di Laut China Timur dan Laut China Selatan sewenang-wenangnya. Jeneral Douglas MacArthur (1880-1964), panglima perang Amerika Syarikat yang berperanan penting semasa Perang Dunia II dan pemerintah de facto Jepun semasa pendudukan tentera Amerika Syarikat di negara itu selepas perang, pernah mengatakan, “Sempadan-sempadan strategik Amerika Syarikat bukan lagi sepanjang pesisiran pantai barat Amerika Utara dan Selatan; mereka terletak sepanjang pantai timur benua Asia.” Dalam konteks ini, keinginan untuk negara China memperluaskan pengaruhnya melepasi benteng “Rantai Pulau Pertama”, seiring dengan pembangunan ekonominya yang pesat, sudah pasti tidak dapat mengelakkan daripada bertembung dengan kepentingan geopolitik Amerika Syarikat di Asia Pasifik.

China sebagai sebuah kuasa memuncul, mengamalkan dasar luar “bangkit secara aman” yang diperkenalkan oleh Hu Jintao (1942-   ) semasa dia memegang jawatan Setiausaha Agung Parti Komunis China dan menjadi Presiden Republik China. Di bawah dasar ini, negara China cuba menyakinkan dunia bahawa pembangunan ekonomi dan ketenteraan China adalah berfaedah kepada dunia, di samping ia tidak ingin terlibat dalam konflik ketenteraan dengan negara lain, dengan harapan mencapai matlamat dunia multipolar. Namun, realiti dunia tidak semudah itu. Strategi dasar luar negara Amerika Syarikat yang kembali memfokus kepada Asia semasa pentadbiran Barack Obama, telah dianggap oleh China sebagai strategi untuk menyekat kemaraan pengaruhnya, seperti yang pernah dilakukan semasa Perang Dingin untuk menyekat pengaruh Kesatuan Soviet. Amerika Syarikat lebih cenderung untuk menerima negara China yang lebih lemah untuk mengekalkan hegemoni Amerika Syarikat di rantau Asia. Halangan yang didirikan oleh Amerika Syarikat di “Rantai Pulau Pertama” juga merupakan salah satu faktor kepada Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan daripada China yang cuba mengembangkan pengaruhnya menghala ke arah barat, iaitu menuju ke Asia Tengah. Pendekatan kerajaan China yang bersifat kuku besi di wilayah Xinjiang atas alasan membendung “esktremis” dalam kalangan penduduk Uighur di situ merupakan sebahagian daripada strategi untuk menjamin kestabilan kepada usaha perluasannya menuju ke arah barat. Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan merupakan satu pendekatan teknokratik dari atas untuk pembangunan dengan wajah merentasi batasan ideologi, tetapi menolak kawalan demokratik oleh masyarakat tempatan dan tidak sentitif terhadap alam sekitar.

ChinaMilitary

Dari segi kekuatan tentera, walaupun China mempunyai lebih 2 juta orang anggota tentera yang aktif, angka yang paling besar di dunia (jangan lupa juga negara China merupakan negara yang mempunyai penduduk terbanyak di Dunia dengan jumlah penduduknya lebih 1.4 bilion, menjadikan nisbah anggota tentera yang aktifnya hanya 1.5 untuk setiap 1,000 orang penduduk, angka yang lebih rendah berbanding Malaysia iaitu 3.5), tetapi kekuatan sebenarnya yang mengambilkira tahap teknologi perang dan kelengkapan persenjataan, masih tidak dapat setanding dengan Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, negara China telah berusaha untuk memodenkan angkatan tenteranya sejak dua dekad yang lalu. Jumlah perbelanjaan ketenteraan China adalah dianggarkan sebanyak USD 261 bilion pada tahun 2019, menduduki tangga kedua di dunia, tetapi masih jauh kurang berbanding USD 732 bilion yang dibelanjakan oleh Amerika Syarikat pada tahun yang sama. Dari segi pemilikan senjata nuklear, China hanya mempunyai lebih kurang 290 butir kepala peledak nuklear pada tahun 2019, satu angka yang jauh lebih kecil berbanding lebih 6,000 kepala peledak nuklear yang dimiliki Amerika Syarikat. China membuka pangkalan tenteranya yang pertama di luar negara pada tahun 2017, iaitu pangkalan tentera laut China di Djibouti, sebuah negara kecil yang terletak di rantau Tanduk Afrika di Afrika Timur, tetapi sudah cukup untuk dianggap oleh Amerika Syarikat sebagai satu ancaman perluasan kuasa yang mampu menggugat hegemoni globalnya.

Pandemik koronavirus yang melanda dunia pada tahun 2020, yang pada asalnya mula tercetus di bandaraya Wuhan di tengah-tengah Tanah Besar China, telah memberi impak besar kepada ekonomi dunia termasuk negara China. Namun, kadar yang cepat untuk negara China menangani penularan wabak koronavirus berbanding dengan Amerika Syarikat yang menjadi negara yang paling teruk terkesan dengan pandemik, telah memberi keyakinan yang lebih besar kepada kerajaan negara China di bawah kepimpinan Xi Jinping, bahawa nampaknya China sedang berada dalam trajektori untuk memintas kekuasaan Amerika Syarikat tidak lama lagi. Ini telah menimbulkan kebimbangan dan kegusaran, bukan sahaja daripada kuasa imperialis yang melihat dirinya dicabar, tetapi juga daripada negara-negara di rantau Asia yang tidak begitu senang dengan cara negara China mempamerkan dan memperluaskan kekuasaannya.

Perluasan kekuasaan China mempunyai ciri-ciri kompleks yang membimbangkan, kerana walaupun atas nama “keamanan”, dikatakan bersedia untuk “berkongsi kemakmuran” dengan dunia, ataupun kononnya untuk membina “Komuniti Masa Hadapan Bersama untuk Umat Manusia”, jika tidak disemak dan diimbangi oleh kritikan ikhlas daripada negara-negara yang kurang maju, ia boleh menghasilkan semula corak imperialisme Barat dan membentuk tingkah laku yang bersifat hegemoni, mewujudkan “imperialisme dengan ciri-ciri China”.

Adakah Rusia imperialis?

ukraine

Sebuah lagi negara yang sering dilabelkan sebagai imperialis sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah Rusia. Anggapan ini timbul beberapa tahun kebelakangan ini kerana berlakunya peristiwa seperti pengilhakan Rusia terhadap Krimea pada tahun 2014, campurtangan ketenteraan Rusia di wilayah Donbass dan penglibatan Rusia dalam Perang Saudara Syria sejak tahun 2015.

Rusia pernah dianggap sebagai kuasa besar yang mampu bersaing dengan kuasa imperialis Eropah pada zaman pemerintahan Tsar, iaitu ketika zaman Empayar Rusia (1721-1917). Namun, tahap perindustrian di Empayar Rusia ketika itu masih tidak setanding dengan tahap ekonomi yang dicapai oleh kuasa besar Eropah lain seperti Britain dan Perancis pada masa yang sama. Rusia pada masa itu boleh disifatkan sebagai sebuah negara kapitalis yang mundur, dengan sebahagian besar ekonominya masih tertumpu dalam sektor pertanian luar bandar walaupun terdapat pembangunan ekonomi moden yang agak pesat di beberapa bandar pusat perindustrian. Empayar Rusia merupakan salah sebuah negara imperialis yang terlibat dalam Perang Dunia I. Revolusi Oktober pada tahun 1917 yang diterajui oleh Bolshevik telah menjatuhkan pemerintahan Tsar dan menubuhkan negara pekerja yang pertama di dunia. Revolusi Oktober boleh dikatakan bersifat anti-imperialis, kerana Empayar Rusia dijatuhkan dalam proses revolusi proletariat, dan bangsa-bangsa di wilayah jajahan Rusia memperoleh hak untuk menentukan nasib sendiri (contohnya, Finland mencapai kemerdekaan daripada Rusia sejurus selepas Revolusi Oktober pada tahun 1917). Berikutan Revolusi Rusia 1917, Kesatuan Soviet yang ditubuhkan pada tahun 1922 telah menggabungkan Republik Sosialis Persekutuan Soviet Rusia dengan beberapa buah republik soviet lain yang pernah merupakan sebahagian daripada Empayar Rusia. Kesatuan Soviet memainkan peranan yang sangat penting dalam menewaskan kekuasaan fasis semasa Perang Dunia II. Selepas Perang Dunia II, Kesatuan Soviet muncul sebagai kuasa besar yang setanding dengan imperialis Amerika Syarikat sepanjang Perang Dingin. Namun, kekuasaan hebat ini mengalami perubahan ketara selepas Kesatuan Soviet dibubarkan pada tahun 1991.

Persekutuan Rusia, yang dianggap sebagai pewaris kepada kekuasaan Kesatuan Soviet, mengalami masalah ekonomi yang bercelaru selama satu dekad selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, sehingga Vladimir Putin yang berkuasa sejak tahun 1999, dengan memegang jawatan sama ada Perdana Menteri atau Presiden Rusia, barulah membina semula susunan ekonomi kapitalis negara itu dengan corak pentadbiran yang menghakis ruang demokrasi.

Walaupun ekonomi Rusia sudah dibangun semula di bawah kapitalisme ketika zaman pemerintahan Putin, tetapi kekuatan ekonominya adalah jauh lebih lemah berbanding kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China. Rusia hanya menduduki tangga ke-11 dalam KDNK ukuran kasar, di belakang negara-negara BRICS yang lain seperti India dan Brazil. Saiz KDNK Rusia mengikut ukuran kasar pada tahun 2019 hanya satu per tiga belas berbanding KDNK Amerika Syarikat.

Rusia yang memiliki simpanan sumber gas asli yang terbesar di dunia, menjadikannya juga negara pengeksport terbesar gas asli di dunia. Rusia juga merupakan pengeksport petroleum kedua besar di dunia, berada di belakang Arab Saudi. Rusia membekalkan lebih kurang 25% daripada gas asli yang digunakan di Kesatuan Eropah, dengan sebahagian besar eksport gas asli ini diangkut melalui paip saluran gas yang melintasi wilayah di bawah pentadbiran Ukraine sebelum sampai di negara-negara Kesatuan Eropah. Keadaan yang dialami Rusia ini agak tidak bersesuaian dengan takrifan imperialis. Negara-negara imperialis biasanya menunjukkan kecenderungan menjual ke luar negara barangan buatan yang canggih dan mahal, perkhidmatan teknikal yang intensif-pengetahuan, serta perkhidmatan kewangan. Negara-negara di pinggiran pula biasanya dihadkan kepada pengeksportan bahan-bahan mentah pada harga yang ditentukan oleh pasaran imperialis. Pengeksportan bahan mentah Rusia yang jauh lebih besar berbanding barangan buatan teknologi tinggi, jelas menunjukkan bahawa kekuatan ekonominya masih jauh di belakang berbanding negara-negara kuasa besar yang lain.

Dari segi penguasaan modal kewangan, daripada 100 buah bank terbesar di dunia pada tahun 2020 yang disenaraikan dalam laporan S&P Global Market Intelligence, 19 buah bank adalah dari China (antaranya 4 buah menduduki 4 tangga teratas), 11 dari Amerika Syarikat dan 8 dari Jepun. Rusia hanya mempunyai sebuah bank dalam senarai 100 buah bank terbesar di dunia, menduduki tangga ke-60.

404154_1000x666_1024_ff09526e2320cfd92589f64a5f6291a8

Satu-satunya aspek yang menunjukkan Rusia memiliki ciri kuasa besar ialah ketenteraannya. Berbeza dengan kuasa ketenteraan imperialis yang lain, kekuatan ketenteraan dan industri persenjataan Rusia hari ini tidak dibangunkan oleh kapitalis Rusia, tetapi diwarisi secara langsung daripada Kesatuan Soviet yang bukan kapitalis. Perbelanjaan ketenteraan Rusia pada tahun 2019 dianggarkan sebanyak USD 65.1 bilion, menduduk tangga keempat di dunia, di belakang Amerika Syarikat, China dan India. Memang Rusia memiliki senjata nuklear yang setanding dengan Amerika Syarikat, dengan sejumlah 6,490 butir kepala peledak nuklear, menjadikannya sukar diancam oleh kuasa imperialis yang lain, sebaliknya ia dianggap sebagai ancaman oleh negara yang lain kerana pemilikan senjata nuklear.

Rusia merupakan pengeksport senjata yang utama di dunia, menduduki tangga kedua dalam jumlah eksport senjata, hanya berada di belakang Amerika Syarikat. Tiada cabang lain dalam sektor pembuatan Rusia yang berdaya saing di pasaran antarabangsa kecuali industri persenjataannya. Eksport senjata Rusia pada tahun 2019 ialah USD 4.718 bilion, berkurangan berbanding USD 6.506 bilion pada tahun 2018 dan USD 6.015 bilion pada tahun 2017. Jika banding dengan pengeksport senjata terbesar di dunia Amerika Syarikat, dengan jumlah eksport mencecah USD 10.752 bilion pada tahun 2019, Rusia masih ketinggalan.

Dalam era pasca Perang Dingin, campurtangan kuasa Rusia di negara-negara lain tidak sama tahap dengan apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat, malah juga tidak setanding dengan skala campurtangan oleh kuasa imperialis sekunder seperti Perancis atau Britain. Rusia juga tidak mengatur rampasan kuasa di negara lain seperti yang sering dilakukan oleh kuasa imperialis, walaupun ia didakwa pernah mencampurtangan dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, di mana ia terlibat dalam usaha mengganggu kempen calon Parti Demokratik Hillary Clinton untuk memenangkan Donald Trump melalui kaedah seperti kempen media sosial, hasut maya (troll) dan serangan siber. Kebanyakan campurtangan kuasa Rusia di negara lain yang berdekatan dengannya (di negara-negara bekas Yugoslavia pada pertengahan 1990-an, Ossetia Selatan pada tahun 2008, Ukraine pada tahun 2014 dan Syria pada tahun 2015), adalah berkaitan dengan reaksi Rusia terhadap perluasan NATO ke timur pasca Perang Dingin.

syria-usa-russia-chess-1

Rusia boleh dikatakan sebagai salah sebuah negara kuasa besar dunia hanya berdasarkan kekuatan ketenteraannya. Dari segi ekonomi, Rusia masih tidak mempunyai ciri-ciri negara kapitalis yang sangat maju, tetapi hanya sebagai sebuah negara kapitalis semi-pinggiran. Rusia kurang melakukan aktiviti imperialis yang biasa, seperti pengeksportan modal ke negara pinggiran dan pengekstrakan keuntungan daripada tenaga buruh dan sumber alam di negara-negara sedang membangun. Modal kewangan Rusia masih kecil, eksport utamanya ialah bahan-bahan mentah, industrinya masih lemah dan produktiviti buruhnya rendah, serta syarikat multinasionalnya juga kurang menonjol berbanding Amerika Syarikat dan China. Walau bagaimanapun, Rusia sebagai sebuah kuasa besar serantau yang bersempadan dengan Eropah Timur, Timur Tengah dan Asia Tengah, tindakannya yang mencampurtangan dalam mempengaruhi imbangan kuasa geopolitik boleh menimbulkan kegusaran negara-negara jirannya, di samping mengundang reaksi daripada kuasa imperialis yang menganggapnya sebagai satu ancaman.

Bagaimana pula dengan kuasa-kuasa besar yang lain?

Pertembungan antara kuasa besar Amerika Syarikat dan China telah menjadi semakin ketara pada ketika dunia melangkah masuk ke dalam dekad yang ketiga abad ke-21. Rusia pula akan muncul dari semasa ke semasa sebagai “ancaman” di mata imperialis Amerika Syarikat dalam dunia yang penuh dengan ketidakstabilan akibat daripada kontradiksi kapitalisme global itu sendiri. Bagaimana pula dengan pemain-pemain yang lain dalam arena dunia?

Britain pernah merupakan kuasa imperialis terbesar di dunia, dengan kemuncak kekuasaannya pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, digelar sebagai “empayar yang matahari tidak pernah benam”. Pada penghujung Perang Dunia II, bersama dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, Britain telah memainkan peranan penting dalam mencorakkan susunan dunia pasca perang. Namun, kekuasaan Britain semakin merosot selepas tamatnya Perang Dunia II, dengan tanah jajahannya mencapai kemerdekaan satu demi satu, walaupun pihak British cuba mengekalkan pengaruh politik dan ekonominya di tanah jajahan berkenaan selepas kemerdekaannya untuk menjamin kepentingan kelas kapitalis British. Dominasi Britain sebagai kuasa imperialis terbesar di dunia boleh dikatakan dipintas secara rasmi oleh Amerika Syarikat selepas Krisis Suez pada tahun 1956, apabila Britain dan Perancis kedua-duanya menerima tamparan hebat kerana gagal merampas Terusan Suez yang dimiliknegarakan oleh kerajaan Mesir pimpinan Gamal Abdel Nasser.

20190726 - boris 03

Britain sekarang ini merupakan kuasa imperialis sekunder yang menjadi sekutu rapat kepada Amerika Syarikat. Britain telah menjadi pengikut setia kepada Amerika Syarikat dalam kebanyakan tindakan imperialisnya, termasuk penglibatan dalam Perang Iraq yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Kesatuan Eropah (EU), sebuah gabungan politik dan ekonomi antara negara-negara di benua Eropah, merupakan salah satu kuasa besar yang penting dalam pergolakan dunia hari ini, walaupun ia sering tidak dapat keluar daripada bayangan dominasi pengaruh Amerika Syarikat. Selepas Perang Dunia II, dengan pembentukan Komuniti Arang Batu dan Keluli Eropah (ECSC) pada tahun 1951 dan Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) pada tahun 1957 oleh negara-negara Eropah yang terangkum dalam Blok Barat, kelas kapitalis Eropah mempunyai impian untuk mewujudkan sebuah pasaran tunggal yang merentasi sempadan negara di seluruh benua Eropah untuk pembangunan pesat ekonomi kapitalis. Antara negara-negara yang menganggotai Kesatuan Eropah pada masa kini (selepas Britain yang menyertainya pada tahun 1973 menarik diri keluar secara rasmi pada tahun 2020), negara-negara seperti Jerman, Perancis, Itali, Belanda, Belgium, Sepanyol dan Portugal, pernah merupakan kuasa imperialis yang menjajah keluasan wilayah yang besar, namun kekuasaan negara-negara ini telah mengalami kemerosotan yang hebat selepas Perang Dunia II. Kuasa imperialis Eropah telah kehilangan kebanyakan wilayah jajahan mereka. Namun, bersama dengan negara-negara seperti Britain, Kanada dan Australia, negara-negara Eropah bekas penjajah ini telah menyertai Blok Barat yang diketuai Amerika Syarikat untuk melibatkan diri dalam persaingan kuasa imperialis ketika Perang Dingin. Negara-negara Eropah ini masih menjadi sekutu rapat kepada Amerika Syarikat dalam era pasca Perang Dingin. Kebanyakan negara anggota Kesatuan Eropah juga ialah anggota NATO.

Walaupun negara-negara kuasa besar dalam Kesatuan Eropah merupakan sekutu rapat kepada Amerika Syarikat, namun mereka juga sering mengambil pendirian yang tidak begitu sehaluan dengan Amerika Syarikat, termasuk pendekatan dalam menangani isu rantau Timur Tengah, hubungan dengan Rusia dan sebagainya. Kuasa-kuasa ini masih ingin mengekalkan “kebebasannya” di bawah bayangan kekuasaan Amerika Syarikat. Perancis, Jerman dan Itali, iaitu anggota kepada G7, pertubuhan ekonomi antara kerajaan negara berekonomi maju, boleh digolong sebagai kuasa imperialis sekunder dan juga sering mencampurtangan dalam mempengaruhi imbangan kuasa geopolitk. Perancis telah mencampurtangan secara langsung dalam serangan ketenteraan ke atas Libya pada tahun 2011 dan perang saudara di Mali pada tahun 2013.

Kesatuan Eropah menerima impak hebat daripada krisis kewangan 2007-2008, dengan beberapa buah negara dalam zon euro (iaitu negara-negara yang menggunakan euro sebagai matawang tunggal) mengalami masalah membayar balik hutang kerajaan untuk menyelamatkan bank-bank swasta. Negara-negara Eropah yang terjerumus dalam krisis hutang yang serius termasuk Greece, Sepanyol, Portugal dan Ireland. Kesatuan Eropah masuk campur melalui Bank Pusat Eropah (ECB) bersama dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk membantu negara-negara dengan hutang tinggi itu kerana perlu menyelamatkan bank-bank yang tidak dapat mengutip balik pembayaran pinjaman. Bantuan kewangan yang disalurkan oleh ECB dan IMF kepada negara-negara berhutang tinggi telah mengenakan syarat ketat untuk negara-negara berkenaan memperkenalkan dasar penjimatan (iaitu mengurangkan perbelanjaan kebajikan sosial) yang memberi impak besar kepada kehidupan rakyat biasa. Dalam krisis hutang tersebut, Jerman telah memainkan peranannya sebagai kuasa besar dalam membuli negara pinggiran di Eropah seperti Greece untuk menerima syarat-syarat yang bertujuan untuk melindungi kepentingan modal kewangan tetapi menjejaskan kehidupan rakyat dengan teruk.

merkel-greece

Jepun yang terletak di Asia, menjelma sebagai kuasa imperialis pada penghujung abad ke-19 selepas negara itu melalui “Pemulihan Meiji” yang melibatkan proses perindustrian yang pesat. Jepun pernah menjajah seluruh Semenanjung Korea dan Taiwan, sebelum ia memperluaskan kekuasaannya melalui pencerobohan secara ketenteraan ke atas Tanah Besar China dan Asia Tenggara. Jepun bersekutu dengan kuasa imperialis Jerman Nazi dan Itali Fasis semasa Perang Dunia II, membawa malapetaka yang hebat kepada rakyat di rantau Asia Pasifik. Selepas dikalahkan dalam Perang Dunia II, Jepun telah dimasukkan dalam lingkungan pengaruh kuasa Amerika Syarikat. Pembangunan ekonomi perindustrian yang pesat di Jepun selepas Perang Dunia II, pernah menjadikannya ekonomi kedua besar di dunia sebelum dipintas oleh China. Jepun ialah anggota G7. Kumpulan Saham Jepun (JPX) yang menggabungkan Bursa Saham Tokyo dan Bursa Sekuriti Osaka, merupakan bursa saham ketiga besar di dunia dari segi permodalan pasaran.

Perlembagaan Jepun sekarang, yang juga dikenali sebagai “Perlembagaan Damai”, telah mengharamkan kerajaan Jepun daripada melancarkan peperangan seperti yang termaktub dalam Perkara 9. Namun, masih terdapatnya fahaman militaris dalam kalangan ahli-ahli politik pelampau kanan yang ingin mengembalikan kegemilangan imperialis Jepun. Walaupun negara Jepun dilarang untuk mewujudkan angkatan tentera secara rasmi selepas Perang Dunia, tetapi Angkatan Pertahanan Diri Jepun merupakan tentera de facto untuk Jepun yang mampu bersaing dengan kuasa-kuasa besar yang lain. Perbelanjaan ketenteraan negara Jepun mencecah USD 47.6 bilion pada tahun 2019, menduduki tangga ke-9 di dunia.

Di Asia Selatan, India dan Pakistan, dua buah negara yang wujud kerana pembahagian wilayah jajahan British di India pada tahun 1947, sekarang ini merupakan dua buah kuasa besar serantau yang sentiasa berkonflik dan sering berada dalam hubungan yang tegang. Kedua-dua negara ini memiliki senjata nuklear, mendatangkan ancaman kepada keselamatan dan keamanan serantau. India dan Pakistan pernah berperang sekurang-kurangnya tiga kali kerana konflik berkaitan dengan wilayah Kashmir (pada tahun 1947,1965 dan 1999). India dan Pakistan juga berperang pada tahun 1971 semasa konflik antara Pakistan Timur dengan Pakistan Barat yang berakhir dengan kemerdekaan Pakitan Timur sebagai Bangladesh dengan bantuan India.

ca-times.brightspotcdn.com (2)

Perbelanjaan ketenteraan India pada tahun 2019 mencecah USD 71.1 bilion, menjadikannya berada di tangga ketiga di dunia, hanya di belakang Amerika Syarikat dan China; sementara perbelanjaan ketenteraan Pakistan pada tahun 2019 ialah USD 10.3 bilion, menurun sedikit berbanding jumlah paling tinggi USD 11.5 bilion pada tahun 2018. Jika perbelanjaan ketenteraan tahunan dibanding dengan KDNK, Pakistan ialah 4.0%, lebih tinggi daripada India dengan 2.4%.

Pakistan pernah menjadi sekutu rapat kepada Amerika Syarikat semasa Perang Dingin untuk melawan Kesatuan Soviet. Hubungan Pakistan dengan Amerika Syarikat menjadi renggang pada tahun 1970-an apabila Parti Rakyat Pakistan yang berhaluan kiri di bawah kepimpinan Zulfikar Ali Bhutto menang dalam pilihanraya untuk membentuk kerajaan. Hubungan Pakistan dengan Amerika Syarikat bertambah baik semula selepas Zulfikar Ali Bhutto digulingkan dalam rampasan kuasa oleh pihak tentera Pakistan dengan sokongan Amerika Syarikat. Amerika Syarikat telah menjadikan Pakistan sebagai tapak untuk menyalurkan bekalan dan memberi latihan kepada kumpulan militan Mujahideen yang bertempur dengan Kesatuan Soviet di Afghanistan, menyediakan asas kepada pertumbuhan kumpulan ekstremis seperti Taliban dan Al-Qaeda kemudiannya. Pakistan turut memainkan peranan penting dalam melindungi kepentingan geopolitik Amerika Syarikat selepas peristiwa serangan pengganas pada 11 September 2001, tetapi tidak begitu stabil. Hubungan Pakistan dengan China semakin rapat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang ditunjukkan dalam projek-projek pembangunan “Koridor Ekonomi China-Pakistan” di bawah Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan.

India merupakan salah sebuah negara pengasas kepada Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) pada tahun 1961, yang mengambil pendirian tidak bersekutu dengan sama ada Blok Barat atau Blok Timur semasa Perang Dingin. India telah mengekalkan hubungan yang sangat mesra dan rapat dengan Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin, tetapi hubungannya dengan China yang pernah bersama-sama membangunkan “Lima Prinsip Kewujudan Bersama secara Aman” telah terjejas secara teruknya, kerana isu pertikaian sempadan (sehingga mencetuskan perang pada tahun 1962) dan perpecahan China-Soviet. Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, India mula membangunkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat.

Di rantau Timur Tengah, Iran, Arab Saudi, Mesir, Turki dan Israel, merupakan kuasa serantau yang memainkan peranan penting dalam mencorak imbangan kuasa di situ.

Iran yang pernah seketika merupakan sekutu rapat kepada Amerika Syarikat, menjadi ancaman hebat kepada kepentingan Amerika Syarikat dan sekutunya di rantau itu selepas berlakunya Revolusi 1979 yang menjatuhkan pemerintahan shah dan mendirikan Republik Islam Iran. Amerika Syarikat pernah menyokong Iraq yang diperintah oleh Saddam Hussein untuk berperang dengan Iran, tetapi kemudian Iraq pula bertindak tidak sehaluan dengan kepentingan Amerika Syarikat sehingga Amerika Syarikat melancarkan peperangan ke atas Iraq sebanyak dua kali dan membawa kemusnahan teruk kepada negara itu. Iran telah memberi sokongan kepada kumpulan-kumpulan atau pihak-pihak yang mencabar kepentingan imperialis Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah, seperti Hizbullah di Lubnan, Kata’ib Hezbollah di Iraq, gerakan Houthi di Yaman dan kerajaan Bashar al-Assad di Syria. Iran dianggap sebagai “kuasa besar tenaga” kerana mempunyai rizab gas asli kedua besar dan rizab minyak ketiga besar di dunia. Sejak tahun 1979, Iran mengalami sekatan ekonomi yang berterusan oleh Amerika Syarikat yang menjejaskan ekonominya.

Arab Saudi yang merupakan negara pengeksport petroleum yang terbesar di dunia, ialah sekutu rapat kepada imperialis Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah. Walaupun Arab Saudi mengamalkan sistem pemerintahan bersifat feudal dan ultra-konservatif, tetapi ini bukannya masalah kepada “jaguh demokrasi” Amerika Syarikat yang sering mahu menjatuhkan kerajaan yang dianggap “autoritarian”, selagi Arab Saudi kekal mengeluarkan minyak yang dapat digunakan untuk “memakmurkan” kapitalisme global dan menyokong dasar imperialis Amerika Syarikat. Arab Saudi muncul menjadi kuasa serantau yang berpengaruh berikutan kekayaan matawangnya yang bertambah hebat selepas Krisis Minyak 1973. Arab Saudi telah menyalurkan banyak dana daripada kekayaan minyaknya dalam menyokong pembangunan fahaman keagamaan ultra-konservatif di peringkat antarabangsa yang menjadi asas ideologi kepada kumpulan pengganas seperti Taliban, Al-Qaeda, ISIS dan sebagainya. Arab Saudi telah menghantar tenteranya ke Bahrain untuk membantu kerajaan Bahrain dalam mematahkan kebangkitan rakyat di negara itu pada tahun 2011. Arab Saudi juga memimpin satu gabungan ketenteraan yang terdiri daripada 9 buah negara Arab dengan sokongan daripada Amerika Syarikat untuk mencampurtangan dalam Perang Saudara Yaman sejak tahun 2015. Perbelanjaan ketenteraan Arab Saudi adalah sebanyak USD 61.9 bilion pada tahun 2019, menduduki tangga kelima di dunia, lebih banyak berbanding dengan kuasa besar lain seperti Perancis, Jerman dan Britain.

D5uxerhXsAEus9M

Mesir muncul sebagai kuasa serantau yang penting di Timur Tengah selepas Revolusi 1952 yang dipimpin oleh Gamal Abdel Nasser menjatuhkan pemerintahan monarki yang pro-imperialis di negara itu. Semasa pemerintahan Gamal Abdel Nasser, Mesir memainkan peranan penting dalam membangunkan usaha Pan-Arabisme (seperti pembentukan Republik Arab Bersatu dengan Syria pada tahun 1958-1961 sebagai langkah untuk mewujudkan sebuah negara Pan-Arab yang lebih besar), mengambil pendirian yang pro-Soviet di samping menjadi salah sebuah negara pengasas kepada NAM, mencabar kekuasaan imperialis Amerika Syarikat di Timur Tengah. Namun, kerajaan Mesir mengubah haluan hubungan luarnya selepas Anwar Sadat (1918-1981) menjadi Presiden, dengan menjalin hubungan erat dengan Amerika Syarikat dan menjadi sekutu rapatnya.

Turki telah menjadi sekutu rapat imperialis Amerika Syarikat sejak Perang Dingin dan merupakan anggota kepada NATO. Turki telah mendapat sokongan hebat dari segi ekonomi dan ketenteraan daripada Amerika Syarikat. Namun, hubungan Turki dengan Amerika Syarikat telah menjadi semakin renggang beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya selepas cubaan rampasan kuasa pada tahun 2016 di mana Presiden Turki Recep Tayyip Erdoğan mendakwa kerajaan Amerika Syarikat menyokong perancang rampasan kuasa tersebut. Turki kemudiannya mengalihkan haluan dasar luarnya dengan menjalin hubungan yang lebih erat dengan kuasa besar lain seperti Rusia.

Israel, sebuah negara yang ditubuhkan melalui perampasan terhadap tanah penduduk asal Palestin, merupakan sekutu rapat kuasa imperialis Amerika Syarikat sejak zaman Perang Dingin. Hubungan erat antara Israel dan Amerika Syarikat menjadi faktor yang penting dalam pembentukan dasar geopolitik imperialis Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah. Selain memberi sokongan padu dari segi kewangan dan ketenteraan, Amerika Syarikat juga memberi sokongan politik yang kuat kepada Israel, dengan banyak kali menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan PBB untuk menghalang sebarang usul yang berkaitan dengan Israel. Kerajaan Israel telah meneruskan kezalimannya terhadap rakyat Palestin tanpa rasa was-was kerana mendapat sokongan kuat daripada Amerika Syarikat.

Imperialisme hari ini

Protesters clash with anti-riot police officers as they try to march towards the U.S. embassy during a rally against U.S. President Donald Trump's visit, in Manila
Protes membantah lawatan Trump ke Filipina di Manila pada tahun 2017. (foto oleh Erik De Castro/REUTERS)

Mungkin adanya orang mengatakan imperialisme ialah sesuatu yang sudah berlalu, sesuatu yang berada pada abad ke-19 dan ke-20, imperialisme tidak wujud lagi pada hari ini. Namun, selagi kapitalisme itu masih wujud dan masih perlu berkembang ke setiap sudut dunia dan setiap aspek kehidupan manusia kerana logik pengumpulan modal, imperialisme tetap akan merupakan fasa kapitalisme pada tahap tertingginya.

Berdasarkan takrifan yang dibangunkan oleh Lenin dan diperkembangkan skop analisis oleh tokoh-tokoh pemikir anti-imperialis yang lain, kita boleh menyimpulkan bahawa imperialisme pada hari ini memiliki ciri-ciri yang berikut:

  • Pemusatan modal yang semakin hebat dalam tangan syarikat korporat gergasi multinasional yang disokong oleh kerajaan yang mesra perniagaan.
  • Dominasi modal kewangan yang monopoli dalam semua aspek ekonomi.
  • Pengeksportan modal besar-besaran yang dijamin oleh perjanjian perdagangan bebas yang berpihak kepada korporat besar atau susunan pasaran kewangan yang didominasi oleh oligarki kewangan.
  • Pemaksaan sistem ekonomi, politik, sosial dan budaya oleh sesuatu kuasa besar ke atas negara atau wilayah yang lain.
  • Perluasan kekuasaan ketenteraan yang mengancam keamanan serantau malah sedunia.
  • Pembahagian lingkungan pengaruh antara kuasa-kuasa besar di dunia.

Imperialisme ialah satu set alat dan struktur yang masih digunakan oleh elit kapitalis untuk mengekalkan ketuanan ekonomi mereka dan mendominasi dunia melalui kekuasaan ekonomi, politik dan ketenteraan.

Pada hari ini, imperialisme masih merupakan ancaman utama kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat di seluruh dunia. Masalah yang kita hadapi, masalah yang dihadapi umat manusia sedunia, berpunca daripada dominasi imperialis terhadap masyarakat kita dan kehidupan kita. Dunia kita juga sedang terjebak dalam keadaan yang penuh dengan ketidakstabilan, ketidaktentuan dan ketidakjaminan, kerana pertembungan antara kuasa besar yang semakin ketara dan meruncing.

Walaupun kekuasaan Amerika Syarikat selaku imperialis utama di dunia dan kuasa imperialis sekunder yang sehaluan dengannya, seperti Britain, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Kanada dan Australia, sedang dicabar oleh kuasa memuncul seperti China dan Rusia dalam suasana dunia yang multipolar, tetapi tiada kuasa besar dapat menawarkan alternatif sebenar untuk pembebasan masyarakat daripada belenggu ancaman kapitalisme global, melainkan kewujudan usaha perjuangan masyarakat yang berorganisasi dan bermobilisasi dari bawah untuk menegakkan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial.

Walaupun kuasa imperialis Amerika Syarikat semakin merosot dengan kemunculan kuasa besar baru, tetapi ia masih merupakan ancaman yang paling utama kepada dunia. Selama ini, imperialisme Amerika Syarikat telah mendatangkan kesan yang amat buruk dalam menghancurkan banyak projek ekonomi-politik untuk pembebasan di seluruh dunia.

Dalam usaha perjuangan kita untuk membina sebuah dunia yang lebih baik, sebuah dunia yang bebas daripada sebarang bentuk perhambaan, penganiayaan, penindasan, pemerasan dan pemaksaan, kita perlu berpendirian teguh dalam menentang perluasan kuasa imperialis dan menyokong perjuangan kelas pekerja sedunia.

“Kita harus ingat bahawa imperialisme ialah sebuah sistem dunia, peringkat yang terakhir untuk kapitalisme – dan ia harus ditewaskan dalam konfrontasi sedunia. Matlamat strategik untuk perjuangan ini haruslah kehancuran imperialisme. Bahagian kita, tanggungjawab bagi golongan yang dieksploitasi dan kurang maju di dunia adalah untuk menghapuskan asas-asas imperialisme: negara-negara kita yang ditindas, dar mana mereka mengektrak modal, bahan mentah, juruteknik dan tenaga buruh yang murah, dan ke mana mereka mengeksport modal baru – alat-alat untuk dominasi – senjata-senjata dan semua jenis perkara; sehingga menenggelamkan kita dalam kebergantungan mutlak.” –  Ernesto Che Guevara, Message to the Tricontinental (1967)

300px-Che_por_Jim_Fitzpatrick.svg_

Anti-imperialisme sebagai ubat penawar

Perjuangan menentang imperialisme mempunyai sejarah yang berpanjangan, melibatkan kebangkitan hebat gerakan pekerja yang radikal dan usaha pembebasan masyarakat marhaen di negara-negara yang dijajah, penuh dengan semangat kental, pengorbanan dan kewiraan rakyat biasa. Perjuangan anti-imperialis dilakukan oleh rakyat di merata tempat dengan tujuan murni untuk membebaskan masyarakat daripada cengkaman imperialis yang penuh dengan kekerasan, kezaliman, penindasan, pemerasan dan pemaksaan. Perjuangan anti-imperialis ialah ubat penawar kepada perhambaan, penjajahan dan pembulian oleh kuasa besar terhadap masyarakat di wilayah pinggiran sistem dunia.

Dari Revolusi Haiti pada tahun 1791-1804 yang menyaksikan pemberontakan hamba menjatuhkan pemerintahan kolonial Perancis, gelombang perang kemerdekaan Amerika Sepanyol pada tahun 1808-1833 yang melibatkan pemimpin seperti Francisco de Miranda (1750-1816), José de San Martín (1777-1850), Mariano Moreno (1778-1811), Simón Bolívar (1783-1830) dan Antonio José de Sucre (1795-1830), ke gelombang revolusi tahun 1917-1923 yang menyaksikan kejatuhan Empayar Rusia dan Empayar Jerman kerana kebangkitan kelas pekerja, Perang Kemerdekaan Ireland (1919-1921), gerakan kemerdekaan yang hebat di Asia (seperti China, India, Vietnam dan Korea), usaha anti-fasis yang hebat di seluruh dunia ketika Perang Dunia II, sehingga kemuncak gelombang penyahjajahan pasca Perang Dunia II yang menyaksikan Revolusi Nasional Indonesia (1945-1949), kehebatan gerakan kemerdekaan di Vietnam yang menewaskan imperialis Jepun, Perancis dan Amerika Syarikat, Pemberontakan Mau Mau di Kenya (1952-1960), Perang Kemerdekaan Algeria (1954-1962), perjuangan rakyat Palestin untuk menentang kezaliman zionis Israel sejak tahun 1948, dan banyak lagi perjuangan masyarakat di merata tempat di dunia, telah melakarkan satu perjalanan anti-imperialis yang hebat sepanjang 200 tahun kebelakangan ini.

Golongan sosialis yang berhaluan kiri telah memainkan peranan penting dalam perjuangan anti-imperialis di seluruh dunia, dengan membangunkan idea-idea anti-imperialis yang tajam, kritikal, radikal dan membebaskan minda rakyat, di samping berada di barisan hadapan untuk bertembung dengan kuasa imperialis dan memperjuangkan pembebasan masyarakat. Semangat anti-imperialis dan anti-militaris yang kuat ditunjukkan dalam Gerakan Zimmerwald yang diterajui oleh sosialis revolusioner seperti Vladimir Lenin (1870-1924) dan Leon Trotsky (1879-1940) semasa Perang Dunia I, telah menegakkan prinsip internasionalisme gerakan sosialis dan mencabar golongan reformis dalam Internasional Kedua pada masa itu yang menyokong perang imperialis. Gerakan 4 Mei yang anti-imperialis di China pada tahun 1919 kemudiannya melahirkan Parti Komunis China yang menerajui perjuangan revolusi yang membebaskan negara itu daripada keadaan semi-feudal dan semi-kolonial. Pembentukan Antifaschistische Aktion (Antifa) di Jerman pada tahun 1932 pula merupakan usaha golongan kiri untuk mencabar kekuasaan imperialis di tengah-tengah negara imperialis itu sendiri walaupun menghadapi penindasan yang hebat. Golongan sosialis yang revolusioner juga meneraju gerakan penentangan yang hebat terhadap pendudukan tentera Kuasa Paksi di merata tempat (termasuk Itali, Yugoslavia, Poland, Perancis, Greece, Albania, China, Korea, Vietnam, Filipina dan Malaya).

Selepas Perang Dunia II, gerakan anti-imperialis mencapai kemuncak baru dengan Persidangan Bandung pada tahun 1955 yang mengangkat semangat anti-kolonial dan anti-imperialis untuk membangunkan alternatif yang bebas daripada cengkaman blok kuasa besar, kemudiannya membawa kepada pembentukan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Kuba selepas revolusi pada tahun 1959, telah memainkan peranan yang penting dalam perjuangan anti-imperialis di pentas dunia. Walaupun Kuba merupakan sebuah negara kepulauan yang kecil dengan ekonomi yang kurang membangun dan menghadapi embargo daripada Amerika Syarikat sejak Revolusi 1959, tetapi ini langsung tidak menyekat semangat internasionalisme Revolusi Kuba untuk bersolidariti dengan perjuangan pembebasan di negara-negara Dunia Ketiga yang lain. Pejuang revolusioner Kuba seperti Fidel Castro (1926-2016) dan Ernesto Che Guevara (1928-1967), telah mendukung kuat perjuangan anti-imperialis di Dunia Ketiga. Kuba pernah memberi bantuan ketenteraan secara langsung kepada perjuangan anti-imperalis di banyak tempat, termasuk Algeria, Palestin, Angola, Ethiopia, Nicaragua dan Venezuela, pada ketika Perang Dingin. Kuba juga mengembangkan solidariti antarabangsa melalui bantuan perubatan, dengan menghantar petugas-petugas perubatan ke negara-negara Dunia Ketiga khususnya, di samping membawa masuk pesakit dan pelajar perubatan ke Kuba.

Pada tahun 1966, Kuba menganjurkan Persidangan Tiga Benua (Tricontinental) di Havana, untuk menghimpunkan negara-negara yang memberi fokus kepada isu anti-imperialisme dan anti-kolonialisme. Persidangan tersebut dihadiri oleh lebih kurang 500 orang perwakilan dari 82 buah negara. Salah satu hasil penting daripada Persidangan Tiga Benua pada tahun 1966 ialah pembentukan “Pertubuhan Solidariti dengan Rakyat Asia, Afrika dan Amerika Latin” (OSPAAAL). OSPAAAL telah memainkan peranan untuk menghubungkan kesatuan-kesatuan pekerja dan kumpulan-kumpulan progresif di peringkat antarabangsa dalam usaha membangunkan solidariti dengan perjuangan anti-kolonial di seluruh dunia. OSPAAAL pernah menghasilkan banyak poster berwarna yang membawa mesej solidariti dan mengirim ke seluruh dunia.

1989-107-5
Salah satu contoh poster OSPAAAL yang bersolidariti dengan perjuangan rakyat Puerto Rico.

“Poster ini merupakan respon kepada satu matlamat yang asas: iaitu menyokong perjuangan gerakan kebebasan. Dan ini berlaku bukan sahaja di dalam banyak negara Dunia Ketiga; lingkungannya akan diperluaskan tidak lama lagi untuk membawa solidariti malah ke Amerika Syarikat… mengatasi batasan yang diwakili oleh tiga huruf ‘A’ dalam nama organisasi (Asia, Afrika, Amerika Latin), atau hanya melaporkan episod-episod keganasan, kezaliman dan penganiayaan oleh pemerintah dan kuasa ketenteraan yang menekankan kegelisahan kolonial dan pemangsa mereka di kawasan yang jauh seperti Vietnam atau Afrika Selatan.” – Olivio Martínez, artis OSPAAAL (dipetik daripada “The Art of the Revolution will be Internationalist”)

Kuba juga pernah berusaha untuk mengambil peranan kepimpinan dalam NAM pada tahun 1970-an. Peranan yang dimainkan oleh pasukan pejuang Kuba di Angola dalam menyokong usaha “Gerakan Rakyat untuk Pembebasan Angola” (MPLA) menentang strategi perluasan kuasa dan penjajahan oleh rejim rasis Afrika Selatan yang disokong oleh kuasa imperialis Amerka Syarikat, telah mengagumkan negara-negara Dunia Ketiga yang menyertai NAM. Namun begitu, NAM mengalami perpecahan serius apabila tercetuskan Perang Soviet-Afghanistan pada tahun 1979.

Selepas kejatuhan Tembok Berlin, dengan imperialisme mengambil bentuk baru yang menyaksikan perluasan kuasa dominasi korporat multinasional melalui globalisasi neoliberal, perjuangan anti-imperialis juga menampilkan wajah baru. Globalisasi neoliberal yang mengancam ekologi bumi dan kehidupan manusia, telah melahirkan gerakan perjuangan di seluruh dunia yang mencabar imperialisme yang mengganas dalam bentuk yang baru. Pemberontakan Zapatista di Chiapas, Mexico, pada tahun 1994, yang berlaku serentak dengan penguatkuasaan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), diikuti dengan mogok pekerja besar-besaran di Perancis pada tahun 1995 yang menentang pemotongan perbelanjaan kebajikan sosial, gelombang mogok pekerja yang hebat pada tahun 1996-1997 di Korea Selatan yang menentang undang-undang yang memudahkan pembuangan pekerja, dan protes anti-WTO di Seattle pada tahun 1999, telah membuka tirai kepada fasa perjuangan anti-imperialis yang baru apabila dunia melangkah masuk ke milenium baru.

Kebangkitan kerajaan berhaluan kiri di benua Amerika Latin pada tahun 2000-an, dengan kemenangan pilihanraya Hugo Chávez di Venezuela, Evo Morales di Bolivia, Rafael Correa di Ecuador, Luiz Inácio Lula da Silva di Brazil, José Mujica di Uruguay, Manuel Zelaya di Honduras dan sebagainya, telah membuka satu ruang kepada pembangunan alternatif yang mencabar susunan dunia yang didominasi oleh kekuasaan imperialis Amerika Syarikat. Namun, kerajaan-kerajaan berhaluan kiri yang cuba melakukan ekperimen sosial untuk membebaskan negara mereka daripada cengkaman kuasa besar antarabangsa ini menghadapi cabaran yang amat hebat. Kuasa imperialis dan sekutunya yang merupakan golongan oligarki dalam negara masing-masing telah menggunakan pelbagai cara, termasuk taktik-taktik perang hibrid, untuk menyahstabilkan kerajaan-kerajaan berhaluan kiri ini, sehingga menjatuhkan mereka (seperti yang pernah dialami oleh Zelaya di Honduras pada tahun 2009 dan Morales di Bolivia pada tahun 2019).

Walau bagaimanapun, perjuangan rakyat yang mencabar kekuasaan imperialis ini tetap diteruskan.

Anti-perang: Manifestasi anti-imperialis

Anti-war protestors march past Big Ben during a demonstration against war on Iraq, February 15, 2003..
Lebih 1 juta orang berdemonstrasi di London pada 15 Februari 2003, untuk menyuarakan bantahan terhadap Perang Iraq. Jutaan orang mengambil bahagian dalam aksi demonstrasi anti-perang di seluruh dunia pada hari yang sama, menjadikannya aksi protes anti-perang yang terbesar sejak Perang Vietnam.

Kapitalisme tidak semestinya sentiasa perlukan perang untuk mewujudkan hegemoninya terhadap pasaran. Kadang-kala imbangan kuasa yang tertentu yang diwujudkan daripada tahap pembangunan daya pengeluaran dalam sesuatu negara sudah mencukupi untuk mengenakan syarat-syarat yang diperlukan untuk hegemoni kapitalisme. Negara-negara kapitalis yang maju boleh menggunakan kelebihan mereka dalam ketidakseimbangan kuasa ekonomi untuk menandatangani perjanjian-perjanjian perdagangan dengan negara-negara lain untuk mengembangkan kekuasaan mereka dengan lebih lanjut. Namun, negara-negara kapitalis maju juga boleh melancarkan perang sesama sendiri ataupun terhadap negara-negara yang kurang maju untuk mereka menguasai pasaran baru. Kapitalisme agak “fleksibel” dalam menggunakan kedua-dua cara yang “aman” dan ganas, bergantung kepada yang mana satu paling “berkesan” dan menguntungkan untuk digunakan pada sesuatu waktu tertentu.

Dalam Persidangan Zimmerwald pada tahun 1915, golongan sosialis yang anti-perang mengisytihar, “Kita telah bertemu bersama untuk menyambungkan semula ikatan hubungan antarabangsa yang sudah terputus dan menyeru kelas pekerja supaya menyusun semula dan memulakan perjuangan untuk kedamaian. Perjuangan ini juga perjuangan untuk kebebasan, untuk persaudaraan antara bangsa-bangsa, untuk Sosialisme. Tugasannya adalah mengangkat perjuangan untuk kedamaian ini demi satu kedamaian tanpa pengilhakan atau ganti rugi perang. Kedamaian sebegini hanya berkemungkinan apabila setiap niat untuk mencabuli hak-hak asasi dan kebebasan bangsa dikecam. Tidak boleh adanya penggabungan secara paksaan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripada negara-negara yang diduduki. Tiada pengilhakan, sama ada secara terbuka atau bertopeng, tiada kesatuan ekonomi secara paksaan, yang menjadi lebih melampau dengan penindasan terhadap hak-hak politik. Hak bagi bangsa-bangsa untuk memilih kerajaan mereka sendiri harus dijadikan prinsip asas hubungan antarabangsa yang tidak boleh dialihkan.”

Leon Trotsky (1879-1940), seorang tokoh revolusioner Rusia, pernah menulis dalam bukunya “Program Transisi” (1938), “Perang imperialis ialah kesinambungan dan penajaman politik pemangsa borjuasi. Perjuangan proletariat menentang perang ialah kesibambungan perjuangan kelasnya. Permulaan peperangan mengubah keadaan dan sebahagian cara untuk perjuangan antara kelas, tetapi bukannya matlamat dan laluan asas. Borjuasi imperialis mendominasi dunia. Dalam ciri asasnya peperangan yang mendekati akan menjadi perang imperialis. Isi kandungan asas politik proleatriat antarabangsa akan menjadi perjuangan menentang imperialisme dan perangnya. Prinsip asas dalam perjuangan ini, ‘musuh utama adalah dalam negara anda sendiri’ dan ‘kekalahan kerajaan (imperialis) anda sendiri merupakan keburukan yang kurang buruk’ … Adalah menjadi tugas proletariat antarabangsa untuk membantu negara-negara yang tertindas dalam perang mereka menentang penindas… Kekalahan setiap kerajaan imperialis dalam perlawanan dengan negara pekerja atau dengan negara kolonial adalah keburukan yang kurang buruk”.

Anti-perang dan anti-militarisme, merupakan sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan anti-imperialis. Sejak awal lagi, golongan anti-imperialis berpendirian teguh dalam membantah dasar perang yang berlandaskan niat perluasan kuasa imperialis atau pemeliharaan dominasi imperialis terhadap negara-negara pinggiran. Dari membantah Perang Dunia I hingga ke menentang Perang Vietnam, seruan menghentikan peperangan tidak boleh dipisahkan dengan usaha mencabar kekuasaan imperialis.

Sosialis membantah peperangan bukan kerana sosialis semata-mata berpegang kepada fahaman pasifis (iaitu kepercayaan bahawa segala perbalahan antarabangsa boleh diselesaikan secara aman dan penentangan terhadap penggunaan sebarang bentuk keganasan), tetapi oleh sebab sosialis menentang imperialisme secara habis-habisan dan menegakkan solidariti pekerja merentasi sempadan negara.

Oleh sebab itu, golongan sosialis menentang Perang Iraq walaupun tidak semestinya bersetuju dengan corak pemerintahan Saddam Hussein. Golongan sosialis juga membantah ancaman perang yang berterusan oleh imperialis Amerika Syarikat terhadap negara seperti Iran, Korea Utara dan Venezuela.

Sosialis juga mendukung hak rakyat di wilayah yang dicengkam kuasa besar untuk memperjuangkan pembebasan sebenar supaya mereka dapat menentukan nasib sendiri tanpa sebarang campurtangan atau ancaman kuasa besar. Perjuangan untuk menentukan nasib sendiri masih diteruskan pada hari ini oleh masyarakat Palestin, Papua, Kurdistan, Kashmir dan sebagainya. Perjuangan rakyat Palestin untuk melawan kezaliman zionis Israel yang merupakan proksi yang amat berkuasa untuk imperialis Amerika Syarikat, bukan sahaja satu perjuangan pembebasan nasional untuk masyarakat Palestin menentukan nasib mereka, malah juga merupakan penentangan terhadap kekuasan imperialis.

Sepanjang sejarah masyarakat moden, kuasa imperialis juga sering mempergunakan politik identiti dan konflik yang berasaskan perbezaan perkauman, agama, budaya dan geografi untuk memelihara dominasinya ataupun memperluaskan pengaruh kuasanya. Ini menyebabkan sesetengah perjuangan pembebasan nasional untuk sekumpulan masyarakat terhadap sesuatu kuasa besar, boleh dijadikan senjata kepada satu lagi kuasa besar untuk memperluaskan pengaruhnya. Oleh itu, mana-mana perjuangan masyarakat yang tertindas atau perjuangan pembebasan nasional untuk menentukan nasib sendiri, perlu sentiasa berwaspada terhadap pengaruh dan campurtangan kuasa besar yang boleh menyebabkannya menyimpang daripada matlamat pembebasan yang sebenar.

Anti-imperialisme itu anti-kapitalisme

ANTI-CAPITALIST-PROTEST-IN-CITY-OF-LONDON

Mereka yang berpandangan bahawa kita boleh menentang imperialisme dengan cara membina kuasa imperialis sendiri ataupun berpihak kepada satu kuasa imperialis yang lain, bukan sahaja tidak akan menghapuskan imperialisme, sebaliknya hanya memperkukuhkan kekuasaan imperialis (seperti yang pernah berlaku dengan kemunculan fasisme) ataupun menjadi budak suruhan kepada salah satu pihak dalam pertembungan kuasa imperialis, dengan akibatnya adalah perjuangan pembebasan rakyat yang tertindas akan dilemahkan dan rakyat biasa terus menanggung kesengsaraan daripada kezaliman dan keganasan kuasa imperialis.

Oleh itu, kita perlu mempunyai pemahaman yang kritikal mengenai bagaimana hubungan kuasa itu berfungsi dalam dunia ini. Teori-teori mengenai imperialis yang dibangunkan oleh golongan Marxis dan sosialis sepanjang perjuangan anti-imperialis yang sebelum ini boleh membantu kita dalam mewujudkan pemahaman yang lebih jelas tentang sifat imperialisme pada hari ini dan juga pendekatan yang boleh diambil untuk mengatasinya.

Keruntuhan susunan dunia unipolar dan kemunculan pertembungan baru antara kuasa-kuasa besar dalam senario dunia multipolar, telah mewujudkan lebih banyak ketidakstabilan dan ketidaktentuan malah mengancam keamanan dunia, tetapi pada masa yang sama juga berpotensi membuka ruang baru kepada perjuangan rakyat dari bawah.

Adalah penting untuk kita sentiasa sedar bahawa kuasa-kuasa besar yang berfungsi untuk memelihara kepentingan modal global dan kelas kapitalis dalam negara mereka sendiri itu tidak akan bertindak untuk mencabar kapitalisme global, ataupun berusaha untuk membina sebuah masyarakat yang benar-benar bebas dan saksama. Adalah penting untuk golongan kiri dan gerakan masyarakat yang berorganisasi dari bawah bergerak secara bebas daripada pengaruh kuasa-kuasa negara besar ini. Kita juga perlu sentiasa ingat bahawa kuasa-kuasa imperialis (khususnya kuasa besar seperti Amerika Syarikat) tidak akan membenarkan mana-mana kerajaan baru, yang berkuasa sama ada melalui revolusi atau pilihanraya, untuk membangunkan alternatif sosio-ekonomi yang membawa visi yang mencabar hegemoni kapitalisme global. Oleh itu, gerakan masyarakat perlu sentiasa memperkembangkan pengaruh dan memperkukuhkan sokongan melalui proses pempolitikan atau pendidikan politik berasaskan idea-idea yang bersifat pembebasan, membina kesedaran kelas yang revolusioner, dan membangunkan organisasi yang lebih kuat di samping membina solidariti antara gerakan masyarakat merentasi sempadan negara.

Tuntutan asas untuk perjuangan anti-imperialis pada abad ke-21 ini, harus merangkumi aspek-aspek seperti:

  • Membantah sebarang usaha perluasan ketenteraan dan campurtangan ketenteraan oleh kuasa imperialis terhadap negara yang lain.
  • Mendesak untuk perlucutan senjata (khususnya senjata nuklear) di peringkat global dan pengurangan perbelanjaan ketenteraan (supaya dana yang dijimatkan daripadanya dapat disalurkan kepada perbelanjaan kebajikan sosial yang lebih penting untuk rakyat).
  • Menghentikan sekatan ekonomi oleh kuasa besar terhadap negara-negara seperti Kuba, Venezuela, Iran dan Korea Utara.
  • Menyokong perjuangan rakyat di seluruh dunia yang menentang kekuasaan imperialis dan berusaha untuk menentukan nasib sendiri, termasuk perjuangan rakyat di Palestin, Papua, Puerto Rico, Catalonia, Kashmir, Rojava dan sebagainya.
  • Menolak perjanjian perdagangan bebas yang hanya menguntungkan syarikat korporat. Membangunkan kerjasama ekonomi antarabangsa yang berlandaskan prinsip solidariti dan perkongsian kekayaan dunia secara adil.
  • Memperjuangkan sistem ekonomi dunia yang lebih adil, yang menyekat kekuasaan kapitalis kewangan, dan menutup semua tempat berlindung cukai, supaya kekayaan dunia yang dihasilkan daripada titik peluh kelas pekerja sedunia dapat diagihkan semula secara saksama dan menjamin kesejahteraan bersama.
  • Melawan rasisme dan xenofobia.
  • Menghancurkan sistem patriarki dan menegakkan kesamarataan gender.
  • Menggalakkan kerjasama antarabangsa untuk membangunkan perkhidmatan sosial (seperti kesihatan, pendidikan, pengangkutan awan, perumahan sosial, jaminan makanan berkhasiat dan sebagainya) yang dapat dinikmati oleh semua rakyat di semua negara.
  • Membangunkan model ekonomi yang melindungi alam sekitar dan menangani krisis iklim, di samping menjamin kesejahteraan hidup masyarakat.

Perjuangan anti-imperialis ialah sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan anti-kapitalis. Kita tidak boleh menewaskan imperialisme tanpa menghancurkan kapitalisme. Untuk mencabar imperialisme, kita perlu menyerang sehingga ke akarnya, iaitu sistem kapitalis yang membentuk asas kepada kuasa imperialis.

Perjuangan anti-imperialis juga harus berasaskan semangat internasionalis. Kita tidak harus membiarkan usaha membina solidariti antarabangsa dalam kalangan gerakan masyarakat kita dihakis oleh sentimen xenofobia, rasisme dan nasionalisme sempit yang dibawa oleh golongan pelampau kanan yang bersubahat dengan kuasa imperialis.

Perjuangan anti-imperialis merupakan satu proses yang berterusan untuk mewujudkan pembebasan yang sebenar kepada semua masyarakat yang ditindas di bawah sistem kapitalis. Perjuangan ini hanya dapat dijayakan dan disempurnakan dengan membina gerakan massa rakyat dari bawah berlandaskan semangat pembebasan dan solidariti sejagat.

20200613-71-túlio-carapiá-e-clara-cerqueira_frutos-da-terra_brazil
Poster “Hasil Buah Bumi”, oleh Túlio Carapiá e Clara Cerqueira (Brazil)

15 thoughts on “Imperialisme: Sejauh mana kapitalisme mengganas?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *