20200810 - 200804133055-15-beirut-explosion-0804-exlarge-169

Letupan hebat di pelabuhan Beirut, ibu negara Lubnan, yang berlaku pada 4 Ogos 2020, telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 220 orang dan menyebabkan lebih 7,000 orang cedera. Letupan yang dikatakan sebagai salah satu letupan bukan-nuklear yang terbesar dalam sejarah ini, berkaitan dengan lebih kurang 2,750 tan ammonium nitrat yang disimpan di pelabuhan itu. Bahan kimia tersebut merupakan hasil rampasan oleh kerajaan Lubnan daripada sebuah kapal kargo yang terbiar dan disimpan di pelabuhan Beirut tanpa langkah-langkah keselamatan yang sesuai untuk 6 tahun!

Letupan di Beirut terbaru ini, bukan sahaja menggegarkan bandar terbesar di Lubnan pada ketika insiden itu berlaku, tetapi juga memburukkan krisis sosio-ekonomi dan mencetuskan gelombang protes rakyat yang lebih hebat lagi di negara yang bergelora itu. Dasar ekonomi neoliberal bertahun-tahun yang menghakis perlindungan kehidupan rakyat di Lubnan, telah menjadikan ketidaksamarataan masyarakat di negara itu antara yang paling teruk di dunia. Oleh itu, adalah tidak hairan jika kemarahan rakyat Lubnan diapikan lagi dengan letupan di pelabuhan Beirut.

Selepas berlakunya letupan, ramai rakyat Lubnan yang marah turun semula ke jalanan untuk berprotes, dengan tuntutan keadilan untuk mangsa-mangsa tragedi kerana kegagalan kerajaan Lubnan dalam mengelakkan kejadian letupan yang sepatutnya boleh dielakkan. Demonstran yang berprotes menggesa perletakan jawatan pegawai kerajaan yang patut bertanggungjawab, malah ada yang menuntut untuk menjatuhkan kerajaan. Demonstran juga menyerbu bangunan kerajaan. Pihak polis telah melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan demonstran, menyebabkan ratusan orang mengalami kecederaan.

Screenshot_2020-08-10 20200808_2_43808055_57306984 jpg (WEBP Image, 1200 × 799 pixels) - Scaled (81%)

Sebelum berlakunya letupan di pelabuhan Beirut dan penularan wabak COVID-19, negara Lubnan sudahpun terjebak dalam krisis ekonomi yang serius dan dilanda gelombang protes massa yang hebat. Kerajaan Beirut menganggarkan lebih kurang 25,000 hingga 30,000 orang daripada hampir 2 juta penduduk di kawasan metropolitan Beirut kehilangan tempat tinggal kerana letupan di pelabuhan Beirut, sementara harta bernilai berbilion-bilion telah dimusnahkan. Tempat simpanan makanan bijian yang kedua besar di bandar Beirut turut dimusnahkan dalam letupan, menghancurkan lebih kurang 15,000 tan bijian, menyebabkan negara Lubnan hanya tinggal simpanan makanan bijian yang mencukupi untuk sebulan sahaja. Kemusnahan yang disebabkan oleh letupan terbaru ini adalah amat besar untuk ekonomi Lubnan yang sudah berada di ambang keruntuhan. Malah sebelum berlaku bencana ini, kerajaan Lubnan telah cuba mendapatkan pinjaman sebanyak USD 5 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menangani krisis ekonomi di negara itu.

Protes yang tercetus baru-baru ini berikutan letupan di pelabuhan Beirut, yang mencerminkan kehilangan kepercayaan rakyat yang sepenuhnya terhadap elit politik yang berkuasa, merupakan lanjutan daripada aksi massa yang tercetus sejak bulan Oktober 2019. Gelombang protes rakyat besar-besaran tercetus pada 17 Oktober 2019, apabila kerajaan Lubnan cuba mengenakan cukai tambahan, termasuk caj harian 20 sen (ataupun $6 sebulan) terhadap panggilan protokol suara-melalui-internet (VoIP) melalui aplikasi mudah alih seperti WhatsApp dan Facebook CallApp. Keadaan politik dan ekonomi di Lubnan telah menjadi semakin teruk. Protes berterusan walaupun kerajaan membatalkan rancangan pengenaan cukai yang kontroversi itu. Kegagalan kerajaan untuk menangani isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat dan memulakan pembaharuan dasar, telah meningkatkan penderitaan rakyat dan memperhebatkan kemarahan rakyat terhadap sistem yang sedia ada. Protes yang hebat pada bulan Oktober 2019 telah menyebabkan Saad Hariri meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Lubnan.

Krisis di Lubnan bukan sahaja disebabkan oleh masalah korupsi yang meluas, tetapi juga berkaitan dengan susunan ekonomi neoliberal yang lama menguasai negara itu, di samping impak tambahan yang besar daripada pandemik COVID-19 yang turut melanda Lubnan, serta pengaruh geopolitik yang di rantau Timur Tengah.

Masyarakat Lubnan menghadapi masalah harga barang yang melambung tinggi sedangkan pendapatan untuk kebanyakan rakyat kekal tidak berubah untuk bertahun-tahun lamanya. Peluang pekerjaan untuk graduan baru tidak mencukupi, kerajaan tidak dapat membayar balik hutangnya, sementara nilai matawang Lubnan terus menjunam ke bawah. Kemiskinan dan pengangguran terus meningkat, sementara kekurangan barangan asas turut menghantui rakyat umum.

Akan tetapi, Hasan Diab yang mengambilalih jawatan Perdana Menteri Lubnan pada bulan Disember 2019 setelah mendapat sokongan daripada blok politik pro-Syria dalam Parlimen yang terdiri daripada Hizbullah, telah mengambil masa berminggu-minggu lamanya untuk membentuk kabinet baru pada bulan Januari 2020. Tambahan pula dengan penularan wabak COVID-19, ekonomi Lubnan tidak menunjukkan peluang untuk pulih.

[Kemaskini perkembangan politik Lubnan: Hasan Diab meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 10 Ogos 2020 dan meminta Presiden Lubnan Michel Aoun untuk memanggil pilihanraya parlimen yang baru.]

Penularan wabak COVID-19 telah mendatangkan impak besar khususnya kepada industri pelancongan di negara itu dan mengurangkan pengiriman wang daripada warga Lubnan di luar negara balik ke negara itu. Kedua-dua sektor tersebut telah menyumbang lebih kurang 40% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Lubnan pada tahun 2018-2019. Oleh sebab ekonomi Lubnan merupakan ekonomi yang sangat berasaskan import, maka berlakunya kenaikan harga barangan penting yang mendadak ketika kerajaan mengenakan sekatan perjalanan untuk menghadapi wabak COVID-19.

Bank-bank di Lubnan telah mengambil langkah-langkah ketat yang untuk menyekat pengeluaran simpanan akaun, khususnya dalam dolar Amerika Syarikat, sebagai respon kepada kejatuhan nilai matawang Lubnan. Kejatuhan nilai matawang Lubnan memang drastik dan menjejaskan kehidupan rakyat Lubnan. Kadar gaji minimum rasmi di Lubnan adalah lebih kurang 650,000 paun Lubnan, bersamaan dengan USD 450 pada kadar rasmi, tetapi hanya USD 70 pada kadar pasaran gelap. Dengan harga makanan meningkat sebanyak 190% pada bulan Mei 2020, dan kadar inflasi keseluruhan yang mencecah 56%, kebanyakan rakyat Lubnan tidak mampu untuk meneruskan kehidupan mereka secara normal.

Hampir separuh daripada penduduk Lubnan hari ini hidup di bawah garis kemiskinan rasmi, dan kadar pengangguran adalah setinggi 35% dengan semakin banyak pekerjaan melesap setiap hari kerana krisis ekonomi yang berlarutan. Salah satu contoh kehilangan pekerjaan ialah, Universiti Amerika Beirut (AUB), salah sebuah universiti yang tertua di negara itu, telah mengumumkan pada bulan Jun 2020 bahawa ia akan memberhentikan kerja 25% daripada lebih 6,500 orang pekerja di universiti tersebut untuk kali pertama sepanjang sejarahnya melebihi 150 tahun di Lubnan. Angka bunuh diri juga meningkat di Lubnan akibat daripada tekanan ekonomi yang teruk terhadap kehidupan rakyat.

IMF telah meramalkan bahawa ekonomi Lubnan akan mengecut sebanyak 12% pada tahun 2020. Namun begitu, kerajaan Lubnan tidak dapat mengambil apa-apa keputusan dasar untuk menangani keadaan ini secara berkesan. Salah satu kekangannya adalah hutang kerajaan sebanyak USD 86 bilion telah melumpuhkan keupayaan kerajaan Lubnan untuk bertindak secara berkesan dalam menangani masalah ekonomi dalam negara itu. Negara Lubnan telah gagal membayar balik hutang antarabangsanya pada bulan Mac 2020. Seperti negara-negara sedang membangun lain yang terjejas kerana pandemik COVID-19, dan sebagai “hukuman” kerana gagal membayar balik hutang mengikut jadual, kebanyakan institusi kewangan antarabangsa dan kerajaan negara maju telah menolak permintaannya untuk pinjaman yang selanjut. Kerajaan Lubnan cuba mendapatkan sekurang-kurangnya USD 10-15 bilion untuk menangani masalah ekonomi negara itu. Tetapi dengan nisbah hutang terhadap KNDK mencecah 170%, adalah amat sukar untuk Lubnan mendapatkan pinjaman baru.

Lubnan telah mengamalkan dasar ekonomi neoliberal untuk selama 30 tahun kebelakangan ini, yang menyebabkan sistem perbankan mendominasi ekonomi negara itu. Ekonomi negara Lubnan yang sudah terbuka terlalu banyak kepada pasaran kapitalis global telah mendatangkan kesan buruk yang menyaksikannya begitu mudah terjejas oleh sebarang bentuk gangguan ekonomi global.

Lubnan bukannya satu-satu negara yang menghadapi masalah ekonomi sebegini. Kebanyakan negara di Dunia Ketiga, telah dipaksa untuk berintegrasi ke dalam sistem kewangan global yang dikuasai oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Negara-negara ini juga mengalami risiko keruntuhan ekonomi akibat daripada dasar ekonomi neoliberal yang melemahkan keupayaan kerajaan dalam menangani krisis. Walaupun begitu, naratif yang dibawa oleh negara-negara maju dan institusi-institusi yang berfungsi untuk melindungi kepentingan kapitalis kewangan antarabangsa, masih mendesak untuk “pembaharuan” ekonomi yang berasaskan acuan neoliberal yang mewujudkan krisis ekonomi.

Kristalina Georgieva, Pengaruh Urusan IMF, berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 6 Ogos 2020 berikutan kejadian letupan di Beirut, “Adalah mustahak untuk mengatasi kebuntuan dalam perbincangan mengenai pembaharuan yang kritikal dan mengadakan program yang bermakna untuk memulihkan ekonomi dan membina kebertanggungjawaban serta kepercayaan pada masa hadapan negara ini.” Maksud tersiratnya adalah elit institusi kewangan antarabangsa hendak kerajaan Lubnan menggadaikan lebih lanjut lagi ekonomi negara itu kepada dominasi pasaran kapitalis global yang bersifat pemangsa.

Lawatan Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Lubnan selepas kejadian letupan di Beirut, merupakan satu tindakan yang cuba mengenakan tekanan luar kepada kerajaan untuk “pembaharuan” ekonomi yang berasaskan model untuk melindungi kepentingan modal kewangan. Macron mencadangkan Lubnan untuk melaksanakan “pembaharuan politik dan ekonomi” supaya mengelakkan negara itu daripada terjerumus dalam krisis. Macron, IMF dan kuasa luar cuba mendesak untuk “pengukuhan fiskal” daripada pihak kerajaan Lubnan sebagai langkah “pembaharuan” yang sudah pasti akan memperkenalkan lebih banyak lagi dasar “penjimatan” atau pengurangan perbelanjaan sosial yang mendatangkan lebih banyak kesengsaraan kepada rakyat biasa.

Kepentingan geopolitik Lubnan di rantau Timur Tengah merupakan satu lagi faktor yang mencorak realiti negara itu. Kuasa imperialis Amerika Syarikat mempunyai kepentingan yang jelas di dalam negara yang terletak di sebelah utara Israel selaku sekutu utamanya di Timur Tengah, dan di sebelah barat dan selatan negara Syria. Lubnan pernah diduduki oleh kuasa imperialis Perancis selepas Perang Dunia I sehingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1946. Kuasa politik di negara Lubnan telah “dikongsi” antara golongan elit politik daripada kumpulan etnik dan agama yang berlainan melalui perjanjian tidak bertulis sejak tahun 1943. Lubnan pernah dilanda pergolakan ketidakstabilan politik dari semasa ke semasa kerana pertembungan kuasa besar untuk kepentingan geopolitik dan juga konflik sektarian di dalam negara itu. Dianggarkan lebih kurang 150,000 orang telah terbunuh dalam Perang Saudara Lubnan selama 15 tahun, dari tahun 1975 hingga 1990, yang melibatkan konflik sektarian dan campurtangan kuasa luar seperti Amerika Syarikat, Israel dan Syria. Lubnan pernah diduduki tentera Syria dari tahun 1976 hingga 2005, di mana Syria berundur selepas berlakunya gelombang protes besar-besaran di Lubnan yang digelar sebagai “Revolusi Cedar”. Tentera Israel pula pernah menduduki Selatan Lubnan dari tahun 1982 hingga 2000. Satu lagi perang di Lubnan tercetus pada tahun 2006 apabila Israel melancarkan pencerobohan ketenteraan di Selatan Lubnan berikutan serangan roket daripada Hizbullah yang mensasarkan tentera Israel. Perang Saudara Syria yang tercetus sejak tahun 2001 juga “melimpah” masuk ke kawasan Lubnan dan menimbulkan kejadian keganasan sektarian.

Lubnan, sebagai sebuah negara kecil dengan keluasan 10,452 km persegi (lebih kurang sama dengan keluasan tanah negeri Kedah campur dengan Perlis) dan jumlah penduduk kurang daripada 7 juta orang, amat bergantung kepada negara-negara jirannya untuk kestabilan ekonomi dan politik. Campurtangan daripada sebahagian daripada negara-negara ini dalam politik dalaman Lubnan sering menimbulkan ketidakstabilan. Misalnya, Hizbullah yang lahir daripada gerakan yang menentang pendudukan Israel di Selatan Lubnan tidak diterima oleh sekutu-sekutu Amerika Syarikat, seperti Arab Saudi yang semakin rapat dengan Israel. Amerika Syarikat dan Arab Saudi lebih menyokong parti-parti yang terlibat dalam blok politik “Pakatan 14 Mac” yang berpendirian pro-Barat dan anti-Syria. Kuasa-kuasa besar ini hendak mengasingkan Hizbullah yang menyokong kerajaan sekarang. Cubaan kuasa luar untuk melemahkan pengaruh Hizbullah dalam politik Lubnan hanya mengundang lebih banyak masalah.

Krisis ekonomi di Lubnan sekarang juga berhubungkait dengan perang yang sedang berlaku di Syria dan konflik serantau yang lain, yang diakibatkan daripada campurtangan imperialis. Tambahan pula dengan krisis ekonomi sedunia dan impak daripada pandemik COVID-19, memang Lubnan tersangkut dalam krisis yang mendalam. Protes besar-besaran tercetus pada bulan Oktober 2019 kerana rakyat semakin tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi yang berada di ambang keruntuhan dan pendekatan kerajaan untuk menyelesaikan krisis ekonomi dengan lebih banyak lagi dasar yang menekan rakyat. Momentum protes telah menurun untuk seketika pada tahun ini kerana penularan wabak COVID-19, tetapi letupan di Beirut terbaru ini menjadi batu api yang menghidup kembali kemarahan rakyat terhadap elit pemerintah yang gagal menangani krisis mendalam ini.

One thought on “Lubnan: Letupan Beirut burukkan lagi krisis ekonomi dan politik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *