201902-868844_720

“Tiadanya dan tidak boleh adanya kapitalisme yang pelbagai kerana kapitalisme ialah struktur tunggal yang merupakan ciri penentu untuk sistem dunia moden.” – Immanuel Wallerstein, Capitalism as an Essential Concept to Understand Modernity, 2016

Immanuel Wallerstein, seorang tokoh intelek dalam bidang sosiologi, sejarah ekonomi dan analisis sistem-dunia yang terkenal di Amerika Syarikat, meninggal dunia pada 31 Ogos 2019, pada usia 88 tahun.

Mendiang Wallerstein, merupakan seorang intelek anti-kapitalis yang menjadi sekutu setia kepada gerakan sosial kontemporari, termasuk perjuangan Zapatista, Gerakan Keadilan Global dan perjuangan pembebasan Kurdi. Wallerstein paling terkenal dengan Teori Sistem-Dunia yang diterajuinya sebagai satu pendekatan multi-displin dan berskala makro terhadap sejarah dunia dan perubahan sosial yang menekankan pada sistem-dunia (bukannya negara-negara bangsa) sebagai unit utama analisis sosial. Sumbangan pemikirannya ini mempunyai pengaruh yang luas terhadap cara bagaimana sejarah, kapitalisme, kolonialisme dan sains sosial difahami.

Wallerstein dilahirkan di bandar New York dan mendapat pendidikannya sehingga ke sarjana doktor falsafah di Universiti Columbia di New York. Selepas tamat pengajiannya, beliau juga pernah mengajar di Universiti Columbia, dari tahun 1958 hingga 1971. Semasa mengajar di Universiti Columbia, beliau menjadi penyokong utama kepada protes pelajar-pelajar Universiti Columbia pada tahun 1968, sebahagian daripada kebangkitan pelajar Amerika Syarikat yang anti-perang dan Gerakan Hak Sivil pada masa itu, yang melibatkan aksi pendudukan bangunan university oleh pelajar.

Wallerstein pada awalnya menumpukan kajiannya dalam politik dunia di luar Amerika dan Eropah, sebagai pakar hal ehwal Afrika pasca-kolonial. Beliau pernah menjadi Presiden kepada Persatuan Pengajian Afrika di Amerika Syarikat dan Kanada. Wallerstein kemudiannya mengetuai Pusat Fernand Braudel untuk Pengajian Ekonomi, Sistem Sejarah dan Ketamadunan di Universiti Binghamton di New York, di mana beliau terlibat usaha intelek yang menganalisis perubahan masyarakat pada skala besar untuk jangka masa sejarah yang panjang. Sepanjang kerjayanya sebagai ahli akademik, Wallerstein pernah menjadi profesor pengunjung di banyak universiti di seluruh dunia. Beliau pernah menjadi Presiden Sosiologi Antarabangsa pada tahun 1994-1998.

Sejak tahun 1970-an, Wallerstein muncul sebagai seorang ahli teori dalam bidang kajian ekonomi kapitalis global pada tahap makroskopik. Pengaruh pemikiran Karl Marx yang kritikal terhadap kapitalisme dan Teori Kebergantungan (teori ekonomi pembangunan yang membawa idea bahawa sumber kekayaan mengalir dari negara ‘pinggiran’ yang kurang membangun ke negara ‘teras’ yang kaya, dan mengkayakan negara maju melalui eksploitasi negara miskin), serta kebangkitan semangat revolusi pada tahun 1968, telah mendorong Wallerstein untuk membangunkan Teori Sistem-Dunia. Karyanya yang paling penting “The Modern World-System”, diterbitkan dalam 4 jilid, iaitu pada tahun 1974, 1980, 1989 dan 2011.

“Sistem-Dunia” merujuk pada pembahagian buruh secara transnasional dan antara rantau dunia, di mana dunia dibahagikan kepada negara-negara teras, negara-negara semi-pinggiran dan negara-negara pinggiran. Negara-negara teras, terdiri terutamanya daripada negara-negara maju di Utara global, memfokus pada pengeluaran berkemahiran lebih tinggi dan modal-intensif; sementara negara-negara dunia yang lain pula memfokus pada pengeluaran berkemahiran rendah dan buruh-intensif serta pengektrakan bahan-bahan mentah. Hubungan pembahagian buruh ini mengukuhkan dominasi negara-negara teras dalam hal ehwal dunia. Sistem-Dunia mempunyai ciri yang dinamik di mana status sesebuah negara (sama ada negara teras, semi-pinggiran atau pinggiran) boleh berubah mengikut masa. Struktur ini disatukan oleh pembahagian buruh dan ia merupakan ekonomi dunia yang berasaskan ekonomi kapitalis. Beberapa buah negara telah menjadi kuasa dunia melalui sistem ini, dengan sistem-dunia diperluaskan secara geografi dan diperkuatkan secara ekonomi, dengan status kuasa besar dunia telah beralih dari Belanda kepada Britain dan terkini kepada Amerika Syarikat.

Wallerstein pernah berkata “Analisis Sistem-Dunia bukannya satu teori tetapi protes terhadap isu-isu yang diabaikan dan epistemologi (cabang falsafah yang mengkaji sifat pengetahuan) yang bersifat menipu… Ia ialah tugasan intelek yang perlu menjadi tugasan politik juga kerana pencarian untuk kebenaran dan pencarian untuk kebaikan bukannya satu usaha tunggal. Jika kita hendak menuju ke depan ke sebuah dunia yang rasional secara substantive, dalam penggunaan Max Weber untuk istilah ini, kita tidak boleh mengabaikan kedua-dua cabaran intelek atau politik. Begitu juga kita tidak boleh memisahkan mereka sesama sendiri. Kita hanya boleh berjuang secara tidak senang dengan kedua-dua cabaran secara serentak, dan maju ke hadapan sebaik mungkin.”

Dalam tulisannya yang terakhir yang diterbitkan pada 1 Julai 2019, “Inilah pengakhirannya; inilah permulaannya” (This is the end; this is the beginning), Wallerstein menulis kata-kata akhirnya yang patut kita renungi:

“Dunia ini mungkin akan terus merosot lagi. Atau ia mungkin tidak. Saya telah mengatakan sejak dulu lagi bahawa saya berpandangan perjuangan penting ialah perjuangan kelas, menggunakan kelas dalam erti kata yang sangat luas. Apa yang boleh dilakukan oleh mereka yang akan hidup pada masa depan adalah berjuang dengan diri mereka supaya perubahan ini boleh menjadi sesuatu yang nyata. Saya masih berfikir seperti itu dan oleh itu saya berpandangan bahawa kita adanya peluang 50-50 untuk berjaya dalam perubahan transformative, tetapi hanya 50-50”.

20190902 - IW.jpg
Wallerstein (kanan) bersama dengan Subcomandante Marcos, pemimpin Tentera Pembebasan Nasional Zapatista (EZLN)

“… pengeluaran untuk jualan dalam pasaran di mana tujuannya adalah untuk mencapai keuntungan maksimum, ialah ciri ketara untuk ekonomi-dunia kapitalis. Dalam sistem sedemikian, pengeluaran sentiada diperluaskan selagi pengeluaran yang selanjutnya adalah menguntungkan, dan manusia terus menginovasi cara-cara baru untuk mengeluarkan benda-benda yang akan memperluaskan margin keuntungan.” – Immanuel Wallerstein, The Capitalist World-Economy, 1979

One thought on “Immanuel Wallerstein (1930-2019): Intelek anti-kapitalis yang bangunkan analisis Sistem-Dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *