Rosa_Luxemburg - Copy - Copy.png

Bulan Januari tahun 2019 menandakan ulangtahun ke-100 pemergian Rosa Luxemburg (1871-1919), seorang tokoh revolusioner Jerman yang mendedikasi sepenuh hidupnya kepada usaha perjuangan pembebasan rakyat pekerja antarabangsa. Walaupun Rosa Luxemburg telah meninggalkan kita untuk 100 tahun, namun pemikiran revolusionernya masih mempengaruhi dan memberi inspirasi kepada gerakan anti-kapitalis pada hari ini.

Kisah hidup yang radikal

Rosa Luxemburg dilahirkan pada 5 Mac 1871 di Zamość, sebuah bandar Poland yang masih dikuasai oleh Empayar Rusia pada masa itu. Ketika umur belasan tahun, beliau pernah menyertai Parti Proletariat, sebuah parti berhaluan kiri di Poland yang hanya wujud beberapa tahun sebelum dibubarkan secara keras oleh kerajaan Rusia. Rosa Luxemburg berhijrah ke Switzerland pada tahun 1889 dan belajar di Universiti Zurich. Di Switzerland, Rosa Luxemburg mula terlibat dengan politik Marxis.

Pada tahun 1893, Rosa Luxemburg menubuhkan parti berhaluan kiri “Demokrasi Sosial Kerajaan Poland” (SDKP) bersama dengan Leo Jogiches and Julian Marchlewski, dan menerbitkan suratkhabar “Sprawa Robotnicza” (Perjuangan Pekerja). Rosa Luxemburg merupakan ahli teori utama SDKP. SDKP bergabung dengan Kesatuan Pekerja di Lithuania untuk membentuk “Demokrasi Sosial Kerajaan Poland dan Lithuania” (SDKPiL) pada tahun 1899.

Rosa Luxemburg membantah dasar nasionalis yang dibawa oleh Parti Sosialis Poland (PPS). Rosa Luxemburg berpandangan bahawa negara Poland yang merdeka hanya boleh wujud melalui revolusi sosialis di Jerman, Austria dan Rusia. Rosa Luxemburg berpendirian tegas bahawa perjuangan kelas pekerja Poland harus fokus pada usaha melawan kapitalisme, bukannya hanya tertumpu pada kemerdekaan Poland.

Pendirian Rosa Luxemburg yang menolak hak menentukan nasib sendiri untuk sesuatu bangsa (self-determination) telah mencetuskan perbahasannya yang hebat dengan Vladimir Lenin, tokoh revolusioner Rusia yang mendukung hak untuk bangsa tertindas menentukan nasib sendiri.

Rosa Luxemburg berpindah ke Berlin, Jerman, pada tahun 1898, dan kemudiannya menyertai Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD). Rosa Luxemburg menentang kuat kecenderungan politik reformis yang diterajui oleh Eduard Bernstein dalam SPD. Pada tahun 1900, Rosa Luxemburg menerbitkan tulisannya yang berjudul “Reformasi atau Revolusi”, sebuah risalah yang bertujuan untuk membidas pandangan reformis Bernstein. Rosa Luxemburg berhujah bahawa walaupun kesatuan sekerja, parti politik bersifat reformis dan perluasan demokrasi sosial penting untuk pembangunan kesedaran kelas bagi golongan pekerja, tetapi sekadar itu tidak mencukupi untuk mewujudkan sebuah masyarakat sosialis. Rosa Luxemburg menggunakan perspektif materialis sejarah untuk menekankan bahawa kapitalisme tidak dapat bertahan lama secara ekonomi dan akan mengalami keruntuhan. Menurut Rosa Luxemburg, revolusi adalah sesuatu yang perlu untuk mentrasformasikan kapitalisme kepada sosialisme.

Rosa Luxemburg pernah mengajar di sekolah SPD di Berlin. Beliau juga menjalin hubungan rapat dengan Clara Zetkin yang dikenali semasa bergiat dalam sayap wanita SPD. Rosa Luxemburg juga bekerjasama dengan rapatnya dengan Karl Liebknecht, pemimpin SPD yang kuat menentang militarisme.

LuxemburgSpeech1907.jpg
Rosa Luxemburg berucap dalam rapat umum di Stuttgart pada tahun 1907.

Tegas menentang perang

Rosa Luxemburg berpendirian tegas dalam menentang peperangan imperialis. Pada awal abad ke-20, apabila benua Eropah semakin hari semakin diancam dengan peperangan imperialis, Rosa Luxemburg menyeru supaya mengadakan mogok umum yang menyatukan kekuatan pekerja untuk menghalang pencetusan peperangan. Namun, idea radikal yang dikemukakan oleh Rosa Luxemburg tidak diterima oleh pemimpin SPD pada masa itu, seperti Karl Kautsky. Semasa persidangan Internasional Kedua (sebuah organisasi parti-parti pekerja dan sosialis antarabangsa) di Stuttgart pada tahun 1907, Rosa Luxemburg mengusulkan untuk parti-parti pekerja di seluruh Eropah bergabung demi menghalang berlakunya peperangan, dan usulnya diterima oleh perwakilan persidangan tersebut. Pada tahun 1912, ketika Rosa Luxemburg mewakili SPD untuk menghadiri persidangan sosialis Eropah, beliau bersama dengan sosialis Perancis Jean Jaurès telah mengusulkan bahawa pekerja-pekerja Eropah perlu mengadakan mogok umum sekiranya tercetus peperangan. Pada tahun 1913, Rosa Luxemburg menyeru, “Jika mereka ingat kita akan mengangkat senjata untuk membunuh sesama saudara-saudara kita di Perancis dan negara lain, maka kita hendaklah berteriak, ‘Kami tidak akan melakukannya!’.”

Apabila tercetusnya Perang Dunia I pada tahun 1914, golongan reformis dalam parti demokrat sosial di Jerman dan Perancis telah mengkhianati semangat internasionalisme gerakan pekerja dengan sepenuhnya. Golongan reformis ini telah menyokong kelas pemerintah di negara masing-masing untuk melancarkan peperangan imperialis. SPD telah menyokong Empayar Jerman untuk mengambil bahagian dalam Perang Dunia I, di mana ahli-ahli parlimen daripada SPD mengundi untuk menyokong usul yang setuju dengan peruntukan dana perang. Pemimpin-pemimpin reformis SPD juga berjanji pada kelas pemerintah Jerman bahawa mereka tidak akan menganjurkan sebarang mogok pekerja semasa perang.

Rosa Luxemburg yang anti-perang telah bergabung dengan Karl Liebknecht, Clara Zetkin dan Franz Mehring untuk menubuhkan kumpulan Die Internationale pada bulan Januari 1914. Kumpulan ini kemudiannya disusun semula menjadi “Liga Spartacus” (Spartakusbund). Rosa Luxemburg bersama dengan rakan seperjuangannya menerbitkan dan mengedar risalah anti-perang, mengecam pendirian SPD yang menyokong perang. Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht ditahan oleh kerajaan Jerman pada bulan Jun 1916 kerana menyeru pekerja Jerman untuk melancarkan mogok anti-perang. Rosa Luxemburg telah dipenjarakan sehingga 8 November 1918, iaitu ketika tercetusnya Revolusi Jerman yang menjatuhkan pemerintahan Kaiser Wilhelm II di Jerman dan menamatkan Perang Dunia I.

Mangsa kezaliman anti-revolusi

Selepas berlakunya Revolusi November 1918, USPD dan kebanyakan anggota SPD menyokong majlis-majlis pekerja dan askar yang ditubuhkan ketika revolusi. Namun, pemimpin SPD yang ingin mengekalkan sistem kapitalis yang sedia ada dan takut pada revolusi sosialis, amat bimbang bahawa majlis-majlis pekerja ini boleh menjadi seperti soviet yang mengambilalih kuasa semasa Revolusi Rusia tahun 1917, maka mereka cuba menyekat perluasan kuasa revolusioner dengan bersungguh-sungguhnya.

Liga Spartacus pernah bergabung dengan Parti Demokratik Sosial Independen Jerman (USPD) yang juga menentang perang. Namun, USPD telah bergabung dengan SPD yang cuba mengekalkan susunan pemerintahan kapitalis selepas berlakunya Revolusi Jerman pada bulan November 1918. Liga Spartacus yang tidak lagi menaruh harapan pada SPD dan USPD, telah menubuhkan Parti Komunis Jerman (KPD) pada penghujung bulan Disember 1918.

Rosa Luxemburg telah menulis program politik untuk penubuhan KPD. Dalam program yang dikemukakan oleh Rosa Luxemburg, beliau mengatakan bahawa golongan komunis tidak akan dapat mengambilalih kuasa tanpa sokongan padu daripada majoriti rakyat. Luxemburg menyeru supaya KPD mengambil bahagian dalam pilihanraya Perhimpunan Nasional, tetapi cadangannya telah ditolak oleh undi majoriti KPD. KPD memutuskan untuk memboikot pilihanraya Perhimpunan Nasional. Kebanyakan anggota KPD mengharapkan kerja-kerja menghasut di kilang-kilang dan tekanan daripada aksi jalanan dapat membolehkan KPD mengambilalih kuasa.

Pada bulan Januari 1919, tercetusnya gelombang revolusi yang kedua di Jerman yang dikenali sebagai “Pemberontakan Spartacus” atau “Pemberontakan Januari”. Walaupun Rosa Luxemburg tidak menyokong tindakan merampas kuasa secara keras pada masa itu kerana kekuatan revolusioner memang masih tidak cukup lagi, tetapi beliau masih menyokong aksi pemberontakan tersebut.

Selepas tercetusnya Pemberontakan Januari, pemimpin SPD Friedrich Ebert yang juga mengetuai kerajaan Jerman pada masa itu, telah mengarahkan organisasi separa tentera pelampau kanan, Freikorps, untuk menghancurkan revolusi yang diterajui oleh golongan kiri.

Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht telah ditahan oleh Freikorps pada 15 Januari 1919. Mereka telah diseksa sebelum dibunuh secara kejamnya oleh Freikorps. Mayat Luxemburg telah dibuang ke dalam Terusan Landwehr di Berlin.

Walaupun Rosa Luxemburg telah berkorban dalam penindasan golongan kanan terhadap revolusi, beliau telah meninggalkan warisan pemikiran kiri yang radikal untuk generasi-generasi selepasnya.

Kespontanan dan organisasi

Rosa Luxemburg pernah menekankan bahawa kespontanan kebangkitan massa akar umbi dan organisasi yang revolusioner adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Kespontanan dan organisasi bukannya dua jenis aktiviti yang berlainan, tetapi kedua-duanya wujud pada saat yang berlainan dalam sesuatu proses politik. Kespontanan revolusioner tidak wujud atau kekal tanpanya organisasi, sementara organisasi revolusioner tidak dapat berkembang tanpa kespontanan massa.

Golongan yang berpegang pada pendirian bahawa kespontanan revolusioner adalah satu-satunya pencetus revolusi, mengganggap bahawa revolusi tidak patut berlaku melalui tindakan sekumpulan individu atau sesuatu parti politik yang cuba untuk mencetuskan revolusi. Tokoh revolusioner Rusia Lenin tidak bersetuju pada pegangan yang mengagung-agungkan kespontanan massa. Lenin mengkritik secara keras bahawa kespontanan revolusioner ialah konsep “revisionis” yang berbahaya, kerana ia menanggalkan sifat pemikiranan Marxis yang displin dan membiarkan proses revolusi itu secara arbitari dan tidak efektif.

Berbeza dengan pandangan Lenin, Rosa Luxemburg menekankan pada kepentingan kespontanan massa tanpa mengendahkan kepentingan organisasi. Rosa Luxemburg menganggap kespontanan massa sebagai penggerak utama untuk revolusi.

Berkenaan dengan mogok pekerja secara spontan, Rosa Luxemburg berhujah bahawa aksi mogok secara spontan menghancurkan peraturan dan kebiasaan lama kesatuan sekerja, memecahkan sempadan reformis antara politik dan ekonomi, maka menunjukkan keseragaman dalam perjuangan kelas.

Walaupun Rosa Luxemburg menekankan pada kepentingan kespontanan dalam perjuangan revolusi, tetapi beliau tidak pernah memandang ringan tentang kepentingan organisasi. Organisasi menjadi pengantara kepada kespontanan, dan organisasi mesti menjadi pengantara kepada kespontanan. Organisasi ialah hasil produk perjuangan kelas pekerja.

Bagi Rosa Luxemburg, dengan adanya gerakan sosialis yang tersusun (berorganisasi), kebangkitan dan kekuatan massa dapat saling menggerakkan perjuangan ke hadapan. Ini dapat mendorong kewujudan dan peningkatan kesedaran perjuangan, membekalkan sumber dan organisasi untuk perjuangan, maka membentuk fokus dan kepimpinan dalam perjuangan.

Gerakan sosialis ialah barisan depan kelas pekerja dengan pemikiran yang paling jelas dan kesedaran kelas yang paling tinggi.

Pendukung demokrasi sosialis

Prinsip utama yang dipegang oleh Rosa Luxemburg adalah komitmennya terhadap demokrasi dan keperluan untuk revolusi berlaku.

Rosa Luxemburg menegaskan tentang keperluan untuk rakyat menentang/mengkritik pemimpin mereka supaya mengelakkan daripada menuju ke masyarakat autoritarian, tetapi juga menekankan kepentingan parti yang revolusioner dan keutamaan kelas proletariat dalam perjuangan revolusioner.

Idea Rosa Luxemburg tentang demokrasi amat serupa dengan pandangan Karl Marx, iaitu pembebasan kelas pekerja perlu dicapai oleh kelas pekerja sendiri. Luxemburg amat menekankan demokrasi sosialis. Luxemburg mengkritik teori parti politik dan revolusi yang dibawa oleh Lenin, dengan menegaskan prinsip-prinsip demokrasi sosialis, demokrasi dalam parti dan jaminan untuk kebebasan orang yang berpandangan berbeza.

Rosa Luxemburg telah menerangkan hubungan antara sosialisme dan demokrasi, dari segi demokrasi institusi, demokrasi masyarakat, demokrasi akar umbi dan demokrasi dalaman parti.

Rosa Luxemburg mengkritik kecenderungan untuk amalan yang tidak demokratik dalam Revolusi Rusia yang dipimpin oleh Bolshevik.

Rosa Luxemburg juga berpandangan bahawa, dalam gerakan pekerja, demokrasi dan tindakan berbentuk massa perlu menewaskan birokrasi dan kecenderungan konservatif.

Idea-idea radikal yang masih relevan hari ini

Rosa Luxemburg mendedikasikan seumur hidupnya kepada demokrasi dan pembebasan rakyat bawahan. Rosa Luxemburg telah mewarisi idea dan prinsip Marxis yang revolusioner. Rosa Luxemburg sentiasa mengunakan pendirian, perspektif dan metodologi Marxis untuk menganalisis dan menangani permasalahan. Analisis Rosa Luxemburg tentang reformasi dan revolusi, gerakan massa dan kepimpinanan parti, kediktatoran dan demokrasi, adalah contoh aplikasi dialektik Marxis. Rosa Luxemburg telah meninggalkan idea-idea radikal untuk perjuangan pembebasan rakyat bawahan yang masih relevan selepas satu abad.

Rosa Luxemburg berpandangan bahawa adalah tidak patut memetik tulisan Marxis secara dogmatik, begitu juga tidak patut memisahkan diri daripada pemikiran Marxis semata-mata untuk menonjolkan kebebasan pemikiran diri.

rosa quote.jpg

One thought on “Rosa Luxemburg: Peneraju idea kiri radikal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *