20200812 - Kawsachun News = Bolivia-road-blockade-2
(foto daripada Kawsachun News)

Gelombang aksi protes yang baru melanda seluruh negara Bolivia sejak 3 Ogos 2020, apabila gerakan sosial, kesatuan pekerja, kumpulan petani dan organisasi masyarakat orang asal, turun berdemonstrasi di jalanan untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap tindakan kerajaan sementara Bolivia di bawah pimpinan Jeanine Áñez yang menangguhkan pilihanraya umum di negara itu.

Selain menuntut pilihanraya yang bebas dan demokratik, demonstran juga mendesak untuk menjatuhkan kerajaan sementara sekarang yang berkuasa melalui kudeta pada bulan November 2019 oleh puak berhaluan kanan yang enggan menerima keputusan pilihanraya demokratik dan menjatuhkan kerajaan pimpinan Evo Morales. Jeanine Áñez, seorang Senator daripada parti berhaluan kanan, telah diangkat sebagai Presiden sementara dan berperanan untuk mengukuhkan rejim kudeta. Áñez pada awalnya menjanjikan pilihanraya dalam 90 hari dan mengatakan dia tidak akan bertanding sebagai calon Presiden, tetapi dia telah memungkiri janjinya. Áñez membuat U-turn dan menyatakan hasratnya untuk bertanding sebagai calon Presiden pada 24 Januari 2020. Pilihanraya pada awalnya dijadualkan pada 3 Mei 2020, jauh melebihi 90 hari yang dijanjikan Áñez, tetapi ditangguhkan ke 6 September 2020, dan kemudiannya ditangguhkan lebih lanjut lagi ke 18 Oktober 2020, dengan alasan pandemik koronavirus di negara itu akan mencecah kemuncaknya pada penghujung bulan Ogos dan awal September 2020. Penangguhan pilihanraya telah dianggap sebagai satu taktik untuk mengekalkan kekuasaan rejim kudeta daripada cabaran kuasa politik berhaluan kiri di negara itu. Parti politik yang dipimpin oleh mantan Presiden Evo Morales yang dijatuhkan oleh kudeta bulan November 2019, “Gerakan Menuju Sosialisme” (Movimiento al Socialismo, MAS) telah menghadapi ancaman demi ancaman daripada kerajaan Áñez dengan tujuan menyekat penyertaan penuh mereka dalam proses pilihanraya.

Evo Morales daripada MAS yang menjadi Presiden Bolivia selama 14 tahun, telah dijatuhkan dalam satu rampasan kuasa yang dirancang oleh golongan berhaluan kanan dengan sokongan kuasa imperialis Amerika Syarikat pada bulan November 2019, berikutan Pilihanraya Umum yang menyaksikan kemenangan Morales untuk kali keempat tetapi tidak diterima oleh golongan berhaluan kanan yang berkait rapat dengan kepentingan oligarki dan kuasa imperialis. Morales terpaksa melarikan diri ke Mexico dan sekarang ini hidup dalam buangan di Argentina. Negara Bolivia telah mengalami situasi pencabulan hak asasi manusia yang semakin teruk sejak rejim kudeta mengambilalih kuasa, dengan keganasan yang mendapat sokongan kerajaan, sekatan terhadap kebebasan bersuara dan penahanan sewenang-wenang telah berlaku secara berleluasa.

Organisasi-organisasi yang bersekutu dengan MAS telah melancarkan mobilisasi massa di tempat-tempat yang berlainan di dalam negara Bolivia untuk menuntut pemulihan demokrasi dan pelaksanaan keputusan untuk mengadakan pilihanraya pada 6 September 2020. Demonstran telah melakukan sekatan di lebuhraya-lebuhraya dan jalan-jalan utama di negara itu untuk memberi tekanan kepada kerajaan yang berkuasa melalui kudeta itu supaya tidak menangguhkan lagi pilihanraya. Pusat Pekerja Bolivia (Central Obrera Boliviana, COB) dan gabungan organisasi-organisasi akar umbi kebangsaan Bolivia telah menyeru untuk mengadakan mogok dan sekatan jalan.

Lebih 140 jalanraya dan lebuhraya yang menghubungkan bandar-bandar utama dan wilayah-wilayah berlainan telah disekat oleh demonstran. Demonstran hanya membenarkan ambulans dan kenderaan yang mengangkut bekalan perubatan untuk melalui sekatan jalan. Aksi protes ini telah melumpuhkan seluruh negara Bolivia. Respon daripada Kerajaan Áñez adalah mengancam untuk mengalihkan sekatan jalan yang didirikan oleh demonstran itu secara paksaan dengan mengerahkan pasukan keselamatan. Kumpulan pelampau kanan yang terlibat dalam kudeta yang menjatuhkan Morales, juga mengancam untuk menyerang demonstan yang menuntut pilihanraya.

Hari keempat aksi protes dan mogok nasional di Bolivia terbaru ini, jatuh pada Hari Kebangsaan Bolivia, iaitu 6 Ogos. Pada 6 Ogos 1825, Bolivia diisytihar merdeka, selepas kumpulan pejuang kemerdekaan yang dipimpin oleh Simón Bolívar dan Antonio José de Sucre menewaskan penjajahan Sepanyol di situ. Selepas 195 tahun, rakyat Bolivia sedang terlibat dalam perjuangan baru untuk menentang imperialisme, menuntut demokrasi dan kedaulatan nasional, serta mempertahankan sumber alam negara itu daripada digondol oleh korporat besar yang mendahagakan keuntungan wang.

Oleh sebab demonstrasi rakyat yang semakin hebat, Jeanine Áñez menyeru pada 8 Ogos 2020 untuk mengadakan dialog politik kebangsaan pada hari yang berikutnya untuk “mengesahkan satu tarikh pilihanraya dan menggantungkan sekatan jalan”. Namun begitu, kebanyakan organisasi yang berprotes enggan mengambil bahagian dalam pertunjukan pentas Áñez, kerana tuntutan gerakan protes sudah pun amat jelas dan rejim kudeta tidak menunjukkan keinginan untuk berdialog dengan meneruskan penindasan secara keras terhadap protes rakyat.

Pendakwaraya dari La Paz mengumumkan pada 10 Ogos 2020 bahawa satu pasukan pendakwaan telah dibentuk untuk menyiasat Evo Morales, Luis Acre selaku calon Presiden daripada MAS, David Choquehuanca selaku calon Timbalan Presiden daripada MAS dan Juan Carlos Huarachi selaku pemimpin COB, dengan pertuduhan mengenai genosid dan keganasan. Pendakwaraya yang berkhidmat untuk rejim kudeta tersebut mengatakan bahawa sekatan jalan yang dibuat oleh demonstran telah secara langsung menyebabkan kematian pesakit COVID-19 kerana ambulans dan bekalan tidak dibenarkan untuk melaluinya. Namun, tuduhan yang dilemparkan ini telah dibuktikan tidak benar, kerana ia hanya alasan digunakan untuk menghalang pemimpin berhaluan kiri daripada terus mengambil bahagian dalam proses pilihanraya.

Morales yang sedang hidup dalam buangan di Argentina ketika ini, memberi amaran baru-baru ini bahawa pihak tentera Bolivia sedang merancang satu lagi kudeta untuk memperkukuhkan kekuasaannya. Morales mengecam pihak tentera Bolivia yang menerima dua buah pesawat tempur daripada Amerika Syarikat, dan juga tindakan tentera yang mengerahkan penembak hendap ke El Alto dan Chapare untuk bertindak terhadap mereka yang menjaga sekatan jalan di situ. Namun, begitu, Morales telah menyeru untuk mengadakan dialog antara semua pihak untuk menyelesaikan kemelut politik, dan mencadangkan kepada pemimpin protes untuk mempertimbangkan pilihan menerima tarikh pilihanraya pada 18 Oktober 2020.

[Kemaskini perkembangan politik Bolivia 15 Ogos 2020: Gerakan sosial dan kesatuan sekerja bersetuju untuk menghentikan mogok dan sekatan jalan pada 14 Ogos 2020, selepas Parlimen Bolivia meluluskan rang undang-undang pada 13 Ogos 2020 yang menetapkan bahawa pilihanraya umum tidak boleh ditangguhkan lagi ke tarikh yang lebih lewat daripada 18 Oktober 2020 dan mengenakan hukuman jenayah terhadap sebarang usaha yang cuba menangguhkan tarikh pilihanraya. ]

3 thoughts on “Bolivia: Rakyat bangkit tuntut pilihanraya bebas dan penyingkiran rejim kudeta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *