- 1 Oktober 2019 menandakan ulangtahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China, hasil daripada perjuangan Revolusi China yang diterajui oleh Parti Komunis China.
- Bagi pendukung negara China hari ini, semestinya hari 1 Oktober disambut dengan meriahnya dengan niat mengagung-agungkan pencapaian “hebat” negara China di bawah pemerintahan Parti Komunis China dan “kebangkitan” negara China sebagai kuasa besar dunia; sementara golongan yang anti-China pula cuba meremeh-temehkan signifikan Revolusi China.
- Untuk kebanyakan orang, perbezaan pendekatan dalam penghayatan terhadap hari penubuhan Republik Rakyat China ini, pada luarannya seolah-olah berasaskan perbezaan ideologi (kiri vs kanan ATAU sosialisme/komunisme vs kapitalisme ATAU totalitarianisme/kediktatoran vs “dunia bebas”/demokrasi), tetapi dalam konteks politik-ekonomi antarabangsa hari ini, ianya hanya lebih kepada sama ada menyokong atau menolak kemunculan negara China sebagai kuasa besar yang sedang mencabar kekuasaan Amerika Syarikat yang sedang merosot ketika ini. Atau dalam erti kata lain, kebanyakan orang hari ini hanya mengambil posisi untuk menyokong kuasa besar yang mana satu, China atau Amerika Syarikat; begitu juga dengan kebanyakan negara pada hari ini, mengambil posisi sebegini, bukannya kerana perbezaan ideologi, tetapi lebih kepada keperluan yang pragmatik, kuasa besar mana satu lebih mendatangkan faedah kepada kelas pemerintah negara masing-masing.
- Berbalik kepada Revolusi China 1949. 70 tahun dahulu, Parti Komunis China berjaya mengalahkan Parti Nasional China atau juga dikenali sebagai Kuomintang, dalam Perang Saudara Kuomintang-Komunis Kedua (1946-1949). Kemenangan Parti Komunis China dalam perang pembebasan tersebut merupakan peristiwa revolusi yang paling penting dalam sejarah abad ke-20, selepas Revolusi Rusia 1917. Pemerintahan reaksioner Kuomintang yang dipimpin oleh Chiang Kai-shek yang didukung oleh kuasa imperialis Barat ditamatkan di Tanah Besar China; kelas tuan tanah dan kapitalis komprador (ejen kepada kapitalis besar luar negara) dihancurkan. Perubahan revolusi yang hebat ini menggegarkan dunia, dan menjadi inspirasi kepada perjuangan pembebasan rakyat di Dunia Ketiga.
- Rakyat Tanah Besar China berbilang bangsa mempunyai sejarah perjuangan menentang penindasan dan melawan penaklukan yang berpanjangan. Dalam sejarah sepanjang lebih 2,000 tahun bermula dengan Dinasti Qin (iaitu permulaan pembentukan kerajaan autokratik yang memusatkan kuasa secara hebatnya di Tanah Besar China), perjuangan menentang pemerintahan pusat yang autokratik-birokratik sentiasa berlaku. Pada abad ke-19, apabila kuasa imperialis Barat menakluki China, cara pemerintahan pra-kapitalis yang berasaskan sistem birokrasi autokratik yang terdiri daripada gabungan kuasa maharaja, golongan birokrat dan tuan tanah kaya mengalami kebankrapan. Golongan intelek yang berfahaman nasionalis banyak kali melancarkan pemberontakan tetapi gagal, sehingga berlakunya Revolusi Xinhai pada tahun 1911 yang menjatuhkan pemerintahan monarki Dinasti Qing.
- Selepas Revolusi Xinhai, walaupun pemerintahan Dinasti Qing Manchu yang penuh dengan kepincangan telah dikuburkan, tetapi seluruh masyarakat China masih berada dalam keadaan semi-feudal dan semi-kolonial. Walaupun wujudnya sebuah pemerintahan pusat di Beijing, tetapi ia dikuasai oleh panglima perang dari zaman Dinasti Qing, di samping wujudnya panglima perang tempatan yang menguasai wilayah-wilayah yang berlainan.
- Gerakan 4 Mei pada tahun 1919, menyaksikan kebangkitan semangat pembebasan nasional yang anti-feudal dan anti-imperialis yang hebat, membuka tirai kepada Revolusi China Moden.
- Pemikiran Marxis mula tersebar luas di kalangan golongan intelek yang progresif selepas tercetusnya Gerakan 4 Mei. Golongan intelek berhaluan kiri seperti Chen Duxiu dan Li Dazhao berpandangan bahawa Komunisme adalah jalan keluar untuk negara China membebaskan dirinya daripada cengkaman masyarakat kelas yang lama.
- Parti Komunis China ditubuhkan pada tahun 1921, dengan Kongres Pertamanya diadakan secara sulit di bandar Shanghai. Chen Duxiu dipilih sebagai Setiausaha Agung Pusat Parti Komunis China yang pertama, tetapi dilucutkan jawatan dan dipecat dari parti beberapa tahun kemudian kerana bercanggah pendirian dengan pimpinan Stalinis dalam Internasional Ketiga (Comintern). Parti Komunis China telah memainkan peranan yang penting dalam membangunkan gerakan pekerja di China pada awal 1920-an, dengan aksi mogok yang hebat tercetus di merata tempat.
- Satu gelombang revolusi yang hebat melanda negara China pada tahun 1925-1927. Namun, disebabkan pengaruh dasar Comintern yang bermasalah dan memberikan arahan tanpa mempedulikan keadaan sebenar di negara China, gerakan revolusi pekerja yang hebat di negara China pada masa itu menemui kegagalan dan ramai aktivis revolusioner dibunuh apabila Chiang Kai-Shek yang berhaluan menguasai Kuomintang pada tahun 1927. Kerjasama pertama Kuomintang-Komunis (1923-1927) ditamatkan dalam penindasan kejam puak berhaluan kanan terhadap anggota komunis. Penindasan kejam oleh pemerintahan Kuomintang menyebabkan berlakunya Perang Saudara Kuomintang-Komunis Pertama (1927-1936).
- Kegagalan Revolusi 1925-1927 menyebabkan Parti Komunis China bertukar strateginya dengan mengalihkan perhatiannya kepada perjuangan bersenjata dan penubuhan tapak revolusi di kawasan luar bandar.
- Dengan secara tidak sengajanya, akibat daripada kegagalan revolusi kelas pekerja dan serangan ketenteraan daripada golongan reaksioner Kuomintang, tambahan dengan perjuangan bersenjata Parti Komunis China di kawasan luar bandar yang berpanjangan, telah menyebabkannya mengambil jalan pembirokrasian untuk memperjuangkan agenda revolusinya melalui penyatuan parti-negara-tentera, seperti yang wujud pada Kuomintang.
- Namun begitu, berbeza dengan Kuomintang, Parti Komunis China menggunakan strategi “kampung mengepung bandar” dengan membina kekuatan revolusioner di kalangan petani di luar bandar. Walaupun Parti Komunis China yang mengalami proses pembirokrasian, tetapi birokrasinya dapat menjalankan fungsi revolusi, memperkuatkan hubungan dengan massa secara proaktif, dan akhirnya menewaskan musuh yang jauh lebih kuat daripadanya.
- Parti Komunis China pernah menubuhkan “Republik Soviet China” di wilayah Jiangxi pada tahun 1931, tetapi terpaksa meninggalkan kawasan yang dikuasainya di Selatan China kerana pengepungan dan serangan berterusan oleh tentera Kuomintang. Tentera Merah Parti Komunis China mengadakan pengunduran strategik dari Selatan ke wilayah Shaanxi di Barat Laut China, yang digelar “Long March”, pada tahun 1934-1936. Mao Zedong telah mengambilalih posisi sebagai komander Tentera Merah dan juga menjadi pemimpin tertinggi Parti Komunis China pada tahun 1935 selepas Persidangan Zunyi.
- Selepas berlakunya Peristiwa Xi’an pada bulan Disember 1936, Parti Komunis China berdamai dan membentuk Barisan Bersatu Kedua dengan Kuomintang untuk menghadapi ancaman penaklukan tentera Jepun.
- Selepas tamatnya Perang Menentang Jepun pada tahun 1945, Parti Komunis China kembali bertempur dengan Kuomintang pada tahun 1946 untuk merebut penguasaan ke atas pemerintahan negara China. Kuomintang yang mendapat sokongan kuat daripada imperialis Amerika Syarikat, akhirnya ditewaskan juga oleh Parti Komunis China yang mendapat sokongan daripada massa rakyat China yang meluas.
- Walaupun Parti Komunis China menganggotai Comintern (1919-1943) dan mengekalkan hubungan rapat dengan Kesatuan Soviet pada awalnya, namun Kesatuan Soviet hanya memberikan bantuan yang terhad kepada Parti Komunis China. Kesatuan Soviet yang dipimpin oleh Joseph Stalin lebih cenderung kepada kerjasama dengan Kuomintang dan mahukan Parti Komunis China kekal membentuk Barisan Bersatu dengan Kuomintang, untuk menyempurnakan apa yang disifatkannya sebagai peringkat revolusi borjuasi nasional di negara China. Akan tetapi, Parti Komunis China yang dipimpin oleh Mao Zedong langsung tidak mematuhi panduan yang diberikan oleh Kesatuan Soviet dan meneroka jalan yang berlainan untuk pembebasan nasional. Kejayaan Revolusi 1949 menjadi realiti kerana Parti Komunis China tidak mengikut preskripsi revolusi yang dikemukakan oleh Kesatuan Soviet kepadanya. Ini juga menyemaikan benih kepada Perpecahan China-Soviet mulai tahun 1950-an.
- Tentera Pembebasan Rakyat yang diterajui oleh Parti Komunis China menawan bandar Beijing pada bulan Januari 1949, kemudiannya menyeberangi Sungai Yangtze pada bulan April 1949 dan menawan bandar Nanjing. Persidangan Perundingan Politik Rakyat yang Pertama diadakan di Beijing untuk membentuk kerajaan baru. Program Bersama yang diluluskan dalam Persidangan Perundingan Politik Rakyat dijadikan perlembagaan secara de facto untuk 5 tahun selepasnya bagi negara China yang baru.
- Pada 1 Oktober 1949, Mao Zedong mengisytiharkan penubuhan Republik Rakyat China di Beijing. Berdiri di atas gerbang Tiananmen, Mao Zedong berkata, “Rakan-rakan sekalian, Kerajaan Rakyat Pusat Republik Rakyat China ditubuhkan hari ini!”
- Parti Komunis China yang dipimpin oleh Mao Zedong, menewaskan kuasa pemerintahan masyarakat China yang lama, memecahkan dominasi imperialis terhadap negara China, menghancurkan kelas tuan tanah dan kapitalis komprador, sememangnya merupakan satu revolusi yang melangkaui kapitalisme. Ia mempunyai makna sejarah yang signifikan dan mendalam. Revolusi China menjadi inspirasi kepada gelombang perjuangan pembebasan nasional di negara-negara Asia dan Afrika yang lain pada tahun 1950-an dan 1960-an.
- Selepas Revolusi China 1949, Republik Rakyat China memainkan peranan penting dalam mempromosi kerjasama ekonomi dan budaya Afro-Asia untuk menentang penjajahan atau neo-kolonialisme oleh mana-mana negara. Negara China merupakan salah satu penggerak kepada Persidangan Bandung tahun 1955 yang menjadi perintis kepada Gerakan Negara-negara Tidak Berkecuali (NAM) walaupun China tidak menganggotainya.
- Selepas penubuhan Republik Rakyat China, Parti Komunis China mula melakukan pembinaan masyarakat baru dengan menggunakan model perindustrian dan pengkolektifan tanah pertanian yang diamalkan oleh Kesatuan Soviet yang berfahaman Stalinis. Namun, pembirokrasian yang berlaku sejak Parti Komunis China mengambil pendekatan perjuangan bersenjata pada penghujung tahun 1920-an, menyebabkan institusi birokratik yang diwujudkan di tapak kekuasaan luar bandar juga dibawa masuk ke bandar dan pusat pentadbiran selepas revolusi. Institusi birokratik ini masih boleh memainkan peranan sebagai penggerak revolusi dan kemajuan masyarakat pada awal revolusi, tetapi seperti yang pernah berlaku pada Kesatuan Soviet, kemunculan institusi birokratik yang tiada semak-dan-imbang secara demokratik daripada organisasi massa dari bawah, akan menyebabkan kekuasaan semakin tertumpu dalam tangan satu lapisan birokrat atasan yang menikmati hak keistimewaan sosial dan ekonomi berbanding massa pekerja.
- Pemiliknegaraan harta awam dan ekonomi perancangan merupakan langkah yang penting untuk menuju masyarakat sosialis, tetapi hanya dengan dasar sebegini tidak bermakna sudah dapat mencapai Sosialisme. Sosialisme ialah susunan masyarakat baru yang dibina melalui proses pembebasan diri kelas pekerja daripada pemerasan dan penindasan kapitalis. “Pembebasan diri” ialah kata kunci di sini. Pembebasan diri kelas pekerja bukan sahaja membebaskan diri daripada pemerasan ekonomi, tetapi juga memiliki kuasa untuk menentukan nasib kelas pekerja secara kolektif. Proses pembentukan masyarakat baru dalam revolusi sosialis, bukan sahaja memiliknegarakan sumber pengeluaran yang dikuasai kelas kapitalis sebelum ini, tetapi pada masa yang sama massa pekerja juga perlu memegang kuasa politik. Masyarakat sosialis ialah sebuah masyarakat transisi yang membolehkan massa pekerja melibatkan diri dalam pengurusan ekonomi masyarakat secara demokratik, untuk membolehkan kekayaan masyarakat yang dihasilkan oleh golongan pekerja diagihkan secara berkesan bagi memenuhi keperluan asas seluruh rakyat dan menghapuskan ketidaksamarataan sosio-ekonomi secara beransur-ansur, sehingga setiap orang dapat menikmati kehidupan bahagia secara BEBAS dan SEJAHTERA.
- Akan tetapi, proses sebegini tidak berlaku di Republik Rakyat China. Pemerintahan birokratik Parti Komunis China telah melakukan banyak kesilapan dalam usahanya membina masyarakat baru, dengan adanya kesilapan yang mendatangkan malapetaka yang dahsyat, misalnya “Kemaraan Raksasa” (1958-1962) yang mengundang kebuluran berleluasa. Revolusi sosialis yang bertemu dengan degenerasi birokratik, pastinya akan mengundang ancaman pemulihan kapitalis. Mao Zedong nampaknya juga menyedari tentang bahaya lapisan birokrasi, dan cuba melancarkan Revolusi Budaya untuk membendung ancaman birokrasi, tetapi mewujudkan tragedi malapetaka politik yang lebih teruk lagi.
- Selepas kematian Mao Zedong, Deng Xiaoping dan puaknya yang mengambilalih kuasa mengubah haluan dasar negara China dengan memeluk semula kapitalisme. Kapitalisme dipulihkan di bumi China dalam bentuk yang paling ganas, melibatkan pemberhentian kerja besar-besaran pekerja syarikat milik negara pada tahun 1980-an hingga 1990-an, pengwujudan pekerja migran dalaman yang bekerja dengan gaji rendah di syarikat pelaburan asing, dan peristiwa berdarah 4 Jun 1989 yang melenyapkan kritikan terhadap dasar pemulihan kapitalisme yang mengorbankan ramai rakyat.
- Selepas 40 tahun pembaharuan ekonomi (baca pemulihan kapitalisme ala China) berasaskan pencapaian sosial daripada proses revolusi 30 tahun sebelumnya (walaupun banyak masalah), China telah muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi dunia yang mampu bersaing dengan kuasa imperialis Amerika Syarikat. Ada orang menganggap China hari ini sebagai pengimbang kepada kekuasaan Amerika Syarikat dalam susunan dunia multi-polar yang baru. Namun, “kuasa pengimbang” ini nampaknya hanya lebih kurang seperti pertembungan kuasa besar yang mengutamakan kepentingan (kelas pemerintah) nasional yang pernah wujud ketika zaman sebelum kedua-dua Perang Dunia ataupun semasa Perang Dingin, bukannya pertembungan antara dua jenis model masyarakat (sama ada sistem kapitalis global sedia ada yang membiak ketidaksamarataan dan krisis mendalam ATAU alternatif sebenar, misalnya Sosialisme, yang mengutamakan pembebasan rakyat dan pengagihan kekayaan masyarakat secara adil). Jika ia merupakan pertembungan antara dua model pun, hanyalah antara model kapitalisme yang secara politiknya memberi ilusi demokratik perwakilan yang didominasi golongan oligarki, dengan model kapitalisme yang langsung tidak memerlukan demokrasi politik, iaitu Kapitalisme dengan Ciri-ciri China.
- Revolusi China memang mempunyai makna sejarah yang menginspirasikan perjuangan rakyat pada abad ke-20. Namun, revolusi yang diterajui oleh Parti Komunis China ini tidak pernah mendirikan pemerintahan pekerja yang sebenar, sebaliknya banyak pencapaian revolusi telah dibuang untuk memberi laluan kepada pemulihan kapitalisme. Kapitalisme telah dikembalikan di negara China dengan cara yang paling ganas, sementara rejim pemerintahan birokratik Parti Komunis China meneruskan sekatan terhadap kebebasan massa rakyat untuk menghalang mereka daripada menentukan nasib mereka secara demokratik. Sentimen nasionalis sempit juga semakin berkembang di negara China dan menelan semangat solidariti kelas pekerja yang merentasi batasan bangsa.
- Pada ketika Kerajaan Parti Komunis China menyambut ulangtahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China, upacara perbarisan tentera yang teratur diadakan untuk mempamerkan jentera perangnya yang paling canggih, demi menampilkan imej negara China sebagai sebuah negara bangsa yang kuat di pentas dunia. Dengan perkembangan teknologi yang pesat, pengawasan politik oleh Kerajaan Parti Komunis China terhadap rakyatnya semakin ketat.
- Pada tahun lalu, sekumpulan aktivis pelajar berhaluan kiri yang berfahaman Maois, telah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana bersolidariti dengan perjuangan pekerja di wilayah Guangdong. Sesetengah aktivis anak muda berhaluan kiri ini masih “hilang” sehingga hari ini. Adalah menjadi ironi kepada sebuah negara “sosialis” yang lahir daripada revolusi hebat, sekarang ini menahan anak-anak muda yang cuba menyambung warisan revolusioner untuk membela nasib kelas pekerja yang ditindas di bawah sistem kapitalis.
- Bukankah sebuah masyarakat sosialis yang mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat terbanyak sepatutnya semakin menghilangkan fungsi negara yang bersifat keganasan dan pemaksaan? Kenapa pencapaian sosialis yang ditunjukkan di dalam Republik Rakyat China adalah sebaliknya, dengan kekuasaan jentera negara semakin berkembang kuat?
- Pada ketika kapitalisme global yang sedang menghadapi krisis yang mendalam, Parti Komunis China bukannya cuba membawa idea Sosialisme yang berasaskan pembebasan rakyat dari bawah sebagai alternatif, sebaliknya hanya mahu menunjukkan “Kapitalisme dengan ciri-ciri China” sebagai penyelamat kepada kapitalisme global.
- Mungkin kita juga boleh bertanya, apakah makna untuk pembebasan rakyat apabila sebuah revolusi hebat disambut dengan cara pembarisan tentera yang paling reaksioner?
Published by Belok Kiri
Gedung teori politik kiri dan perjuangan rakyat.
View all posts by Belok Kiri
4 thoughts on “Revolusi China 1949”