Tahun 2019 menandakan ulangtahun ke-100 Gerakan 4 Mei di China. Gerakan 4 Mei yang muncul sebagai satu gerakan budaya dan politik pembaharuan yang anti-imperialis, menyaksikan percambahan pemikiran pelbagai aliran dalam usaha mencari jalan untuk pembebasan nasional. Gerakan ini tercetus daripada kebangkitan semangat nasionalis yang hebat selepas tamatnya Perang Dunia I. Gerakan 4 Mei merupakan sebahagian daripada gelombang revolusi pasca Perang Dunia I di mana Revolusi Rusia 1917 mempunyai pengaruh yang agak besar.
Perluasan kuasa imperialis Eropah dan perkembangan awal fahaman nasionalis di China
Kuasa imperialis Barat mula memperluaskan pengaruh secara giat di Tanah Besar China pada abad ke-19, dengan berlakunya konflik seperti Perang Candu dan penandatanganan perjanjian-perjanjian tidak adil yang menghakis kedaulatan negara China yang diperintah oleh Dinasti Qing dari Manchuria pada masa itu. Selepas Perang China-Jepun Pertama pada tahun 1894-95, pengaruh kekuasaan pemerintahan Dinasti Qing di China semakin merosot, dan penyebaran pemikiran barat moden telah melahirkan golongan intelek generasi baru yang berkesedaran nasionalis.
Revolusi Xinhai pada tahun 1911, menjatuhkan pemerintahan monarki birokratik berpusat Dinasti Qing, namun seluruh masyarakat China pada itu masih berada dalam keadaan semi-feudal dan semi-kolonial. Kerajaan Pusat Republik China yang ditubuhkan di Beijing selepas kejatuhan pemerintahan Dinasti Qing, masih dikuasai oleh panglima perang yang pernah berkhidmat untuk Kerajaan Dinasti Qing, dikenali sebagai Kerajaan Beiyang. Negara China pada masa itu berpecah-belah dengan banyak wilayah dikuasai oleh panglima perang yang saling bersaing untuk memperkukuhkan kuasa dan kepentingan diri masing-masing. Kuasa-kuasa imperialis barat pula membahagikan kawasan konsesi atau jajahan seolah-olah membahagikan kek.
Kegagalan Kerajaan Beiyang yang berpusat di Beijing untuk menangkis perluasan kuasa besar luar di China, membarakan lagi kesedaran nasionalis (khususnya di kalangan kelas menengah dan golongan intelek) untuk memperjuangkan pembebasan nasional yang sebenar. Kebangkitan rakyat seperti Revolusi Rusia pada tahun 1917 dan Gerakan 1 Mac yang tercetus di Korea (iaitu aksi demonstrasi besar-besaran menentang penjajahan Jepun di Korea) pada tahun 1919, menjadi pemangkin kepada kebangkitan gerakan anti-imperialis di China pada era pasca Perang Dunia I.
Gerakan Budaya Baru
Gerakan Budaya Baru muncul di China pada tahun 1910-an, berikutan kekecewaan golongan intelek terhadap kegagalan budaya tradisional China dalam menangani masalah-masalah yang dihadapi negara China pada masa itu. Cendekiawan-cendekiawan yang menerima pendidikan moden menganggap bahawa pemikiran tradisional Konfusian telah mengakibatkan kelemahan politik dalam masyarakat China. Mereka melancarkan gerakan pembaharuan budaya yang menentang fahaman Konfusianisme. Mereka juga mencetuskan revolusi sastera yang mempromosikan bahasa vernakular bertulis (iaitu bahasa percakapan yang mudah difahami rakyat biasa) untuk menentang bahasa bertulis klasik.
Pelbagai aliran pemikiran baru muncul pada ketika itu dalam usaha-usaha golongan intelek mencari jalan keluar untuk negara China membebaskan diri daripada cengkaman sisa-sisa fahaman feudal dan pengaruh kuasa imperialis.
Chen Duxiu (1879-1942), seorang tokoh falsafah pembaharuan yang penting di China, mula menerbitkan majalah yang bertajuk “Belia” pada tahun 1915, yang ditukar nama pada tahun seterusnya kepada “Belia Baru” (La Jeunesse). Dalam terbitan pertama majalah tersebut, Chen Duxiu mengemukakan 6 cabarannya kepada anak muda, iaitu:
- Menjadi bebas bukannya diperhambakan;
- Menjadi progresif bukannya konservatif;
- Berada di barisan terdepan bukannya berselindung di belakang;
- Bersikap internasionalis bukannya mengasingkan negara sendiri dari dunia luar;
- Menjadi praktikal bukannya sekadar retorik;
- Bersikap saintifik bukannya berangan-angan.
Tokoh-tokoh pemikir seperti Chen Duxiu, menyeru untuk pembentukan budaya China baru yang berasaskan nilai-nilai bersifat universal, khususnya demokrasi dan sains.
Pada tahun 1917, Chen Duxiu telah dijemput oleh Cai Yuanpei, tokoh pendidikan yang menyandang jawatan Presiden Universiti Peking pada masa itu, untuk menjadi Dekan Falkuti Sastera di Universiti Peking. Di Universiti Peking, Chen Duxiu berkenalan dengan Li Dazhao (1889-1927), Ketua Perpustakaan Universiti Peking ketika itu, yang menganjurkan kumpulan Marxis di situ. Li Dazhao merupakan tokoh pemikir Marxis terawal di China. Chen Duxiu dan Li Dazhao menubuhkan majalah “Tinjauan Mingguan” pada tahun 1918. Majalah seperti “Belia Baru”, “Tinjauan Mingguan” dan “China Remaja”, menjadi media utama penyebaran pemikiran radikal seperti Marxisme di kalangan golongan intelek China pada masa itu.
Sementara itu, pemikiran liberal disebarkan melalui penerbitan majalah seperti “The Renaissance” (1919-1921).
Persidangan Damai Paris dan Persoalan Shandong
Pada tahun 1917, negara China yang diwakili Kerajaan Beiyang pimpinan Duan Qirui ketika itu telah menyertai Pihak Bersekutu (iaitu Kuasa Entente yang diterajui Empayar British, Perancis dan Empayar Rusia) dalam Perang Dunia I, dengan harapan bahawa semua kawasan pengaruh Jerman di China, seperti wilayah Shandong, akan dipulangkan semula kepada China selepas perang. Seramai 140,000 orang pekerja China telah dihantar ke Eropah untuk bekerja dengan tentera British. Selepas tamatnya Perang Dunia I, Persidangan Damai Paris yang didominasi oleh kuasa besar Eropah tidak memberi perhatian kepada tuntutan delegasi China untuk membatalkan “Dua Puluh Satu Tuntutan” oleh Jepun (yang bertujuan untuk memperluaskan kekuasaan imperialis Jepun di China) dan memulangkan wilayah di Shandong yang diambilalih oleh Jepun dari Jerman semasa Perang Dunia I, sebaliknya semua konsesi Jerman di Shandong diserahkan kepada Jepun.
Kegagalan diplomatik Kerajaan Beiyang di Persidangan Damai Paris telah mencetuskan aksi demonstrasi besar-besaran di Beijing pada 4 Mei 1919.
Gelombang protes anti-imperialis
Pada 4 Mei 1919, pelajar-pelajar dari 13 buah universiti di sekitar Beijing telah berhimpun pada sebelah pagi dan memutuskan resolusi yang merangkumi perkara seperti membantah penyerahan konsesi Jerman di Shandong kepada Jepun, menyedarkan orang ramai tentang kedudukan negara China yang tidak menentu ketika itu, mencadangkan penganjuran perhimpunan besar-besaran, menyeru penubuhan kesatuan pelajar Beijing, dan mengadakan demonstrasi pada petang itu untuk memprotes terhadap syarat-syarat yang terkandung dalam Perjanjian Versailles.
Pada waktu petang 4 Mei 1919, lebih 4,000 orang pelajar dari Universiti Peking dan universiti lain di Beijing, berarak untuk berhimpun di hadapan Tiananmen. Pelajar-pelajar yang berprotes mengutuk pengkhianatan kuasa imperialis dalam Pihak Bersekutu terhadap China, mengecam kegagalan Kerajaan Beiyang dalam melindungi kepentingan negara China dan menyeru untuk memboikot barangan buatan Jepun. Pelajar-pelajar melaungkan slogan-slogan seperti “tuntut kedaulatan daripada kuasa luar, hapuskan pengkhianat dalam negara”, “hapuskan Dua Puluh Satu Tuntutan” dan “jangan tandatangani Perjanjian Versailles”. Pelajar-pelajar juga menggantungkan sepanduk yang bertulis “pulangkan Qingdao kepada kami” (Qingdao ialah bandar utama di wilayah Shandong yang diduduki Jerman sebelum itu dan kemudiannya ditawan tentera Jepun ketika Perang Dunia I). Demonstran cuba berarak ke kedutaan luar di Beijing tetapi dihalang. Hanya pegawai Kedutaan Amerika Syarikat menerima surat daripada pelajar-pelajar, sementara kedutaan Britain, Perancis dan Itali enggan menerima surat daripada demonstran. Demonstran kemudiannya berarak ke rumah kediaman salah seorang pegawai kerajaan yang dianggap bersekongkol dengan pihak Jepun, dan memukul orang suruhannya. Polis telah menangkap pelajar-pelajar dan mengasari mereka.
Pada hari keesokannya, 5 Mei 1919, pelajar-pelajar di Beijing mula mengadakan mogok. Pelajar-pelajar, peniaga-peniaga dan pekerja-pekerja turut menyertai aksi protes di bandar-bandar utama di China. Sebagai sokongan kepada perjuangan pelajar-pelajar Beijing yang bermogok, pelajar-pelajar di Shanghai, Tianjin, Nanjing, Hangzhou, Chongqing, Nanchang, Jinan, Wuhan, Changsha, Taiyuan, Kaifeng dan bandar-bandar utama yang lain, turut mengadakan aksi mogok.
Pada 3 Jun 1919, ribuan pelajar turun berprotes di jalanan Beijing, tetapi polis telah menangkap lebih 170 orang. Tentera dan polis dikerahkan untuk berjaga berdekatan dengan kampus-kampus universiti di sekitar Beijing. Pada 4 Jun 1919, lebih 800 orang pelajar ditangkap, namun mencetuskan pusingan baru aksi demonstrasi besar-besaran.
Pada 5 Jun 1919, demi menyokong perjuangan pelajar-pelajar yang berani dan menuntut pembebasan mereka, pekerja-pekerja di Shanghai mula mengadakan aksi mogok kerja secara besar-besaran. Mogok pekerja Shanghai kemudiannya merangsang mogok pekerja di tempat lain. Golongan peniaga turut mengadakan mogok perniagaan.
Pada 11 Jun 1919, Chen Duxiu mengedarkan “Deklarasi Warga Beijing” di pusat bandar Beijing, yang mengandungi tuntutan termasuk membatalkan perjanjian rahsia dengan Jepun, memecat pemimpin kerajaan yang pro-Jepun dan menuntut kebebasan bersuara. Chen Duxiu juga menyeru pada pelajar, pekerja, peniaga dan askar supaya melakukan aksi langsung untuk memperjuangan perubahan dasar sekiranya kerajaan enggan mendengar tuntutan rakyat. Chen Duxiu ditahan dan dipenjarakan selama 3 bulan kerana menyebarkan risalah.
Oleh sebab tekanan politik yang terlalu hebat daripada masyarakat, Kerajaan Beiyang terpaksa membebaskan pelajar-pelajar yang ditahan dan memecat jawatan pegawai diplomat yang hadir dalam Rundingan Damai Paris. Perwakilan China di Paris akhirnya menolak untuk menandatangani Perjanjian Versailles pada 28 Jun 1919. Perbalahan mengenai Shandong kemudiannya dirundingkan dalam Persidangan Angkatan Laut Washington pada tahun 1922 dengan Amerika Syarikat sebagai pengantara. Qingdao dipulangkan semula kepada Kerajaan China pada tahun 1922 dan tentera Jepun berundur keluar dari Shandong. Namun begitu, kuasa imperialis Jepun masih menguasai banyak hak keistimewaan ekonomi dan politik di Shandong.
Gerakan 4 Mei mendorong kelahiran Parti Komunis China
Gerakan 4 Mei telah membuka satu lembaran baru kepada perjuangan rakyat China dalam menentang feudalisme, kolonialisme dan imperialisme. Gerakan 4 Mei yang menyaksikan kebangkitan rakyat yang hebat dalam menentang kuasa imperialis, telah mewujudkan suasana politik baru untuk mencari alternatif yang mampu menyelamatkan negara China daripada susunan masyarakat lama yang dikongkong oleh fahaman feudal dan dominasi kuasa imperialis Barat. Ideologi radikal seperti Marxisme dan Anarkisme, semakin mendapat perhatian daripada golongan intelek yang progresif. Revolusi Bolshevik di Rusia pada tahun 1917 telah memberi rangsangan kepada golongan intelek China bahawa adalah berkemungkinan untuk negara-negara yang tertindas membebaskan diri mereka. Perkembangan pemikiran Marxis yang pesat selepas tercetus Gerakan 4 Mei, akhirnya membawa kepada penubuhan Parti Komunis China.
Tokoh yang terkenal dalam Gerakan 4 Mei, khususnya Chen Duxiu dan Li Dazhao, telah menyimpulkan bahawa Sosialisme ialah satu-satunya jalan keluar untuk negara China membebaskan diri daripada belenggu susunan masyarakat lama dan ancaman penjajahan imperialis.
Pada 23-31 Julai 1921, 12 orang wakil daripada kumpulan-kumpulan komunis dari beberapa tempat berlainan mengadakan persidangan di Shanghai dan menubuhkan Parti Komunis China. Chen Duxiu telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis China yang pertama. Namun, Chen Duxiu disingkir daripada posisi kepimpinannya dalam parti pada tahun 1927 kerana perbezaan pandangannya dengan pimpinan Comintern yang dikuasai oleh golongan Stalinis pada masa itu.
Warisan Semangat 4 Mei
Kerajaan Republik Rakyat China telah menetapkan tarikh 4 Mei setiap tahun sebagai “Hari Belia”, di mana anak muda berumur antara 14 hingga 28 tahun boleh bercuti untuk setengah hari. Namun, Kerajaan China pada hari ini telah lama meninggalkan semangat asal 4 Mei. Salah satu komponen nilai penting yang diperjuangkan dalam Gerakan 4 Mei, demokrasi, masih sesuatu yang belum dicapai dengan kelas pekerja dan rakyat biasa kerana tidak dapat melibatkan diri dalam proses demokratik untuk menentukan dasar-dasar masyarakat yang mencorak nasib mereka.
Gerakan 4 Mei merupakan detik bersejarah di Asia yang menyaksikan kebangkitan kesedaran anti-imperialis dan pembebasan nasional yang diterjemah dalam bentuk aksi massa yang hebat. Gerakan 4 Mei ialah Gerakan “Penyedaran” (Enlightenment) di negara China yang akhirnya melahirkan sebuah negara yang moden melalui perjuangan revolusi. Seluruh susunan lama masyarakat China yang didominasi oleh fahaman feudal dan konfusianisme telah digegarkan oleh kebangkitan kesedaran baru yang membawa idea-idea pembebasan masyarakat. Ini telah meninggalkan impak yang mendalam kepada masyarakat China dan rantau Asia.
Pelajar-pelajar dan anak-anak muda telah menjadi tulang belakang kepada Gerakan 4 Mei, dengan menunjukkan semangat perjuangan yang gigih dan berani.
Gerakan 4 Mei telah melahirkan semangat kesedaran pembebasan masyarakat baru di kalangan anak muda untuk generasi-generasi yang selepasnya. Kesedaran pembebasan masyarakat baru ini menegakkan demokrasi dan sains sebagai tunjang masyarakat, di samping berkomited dalam melawan kejahilan dan memecahkan dominasi susunan masyarakat lama yang menindas rakyat biasa. Semangat 4 Mei ditonjolkan melalui empat aspek:
- Penyatuan antara kesedaran menyelamatkan bangsa tertindas dan pencerahan diri;
- Penyatuan antara golongan intelek dan massa pekerja;
- Penyatuan antara semangat kegigihan untuk berusaha dengan semangat inovasi untuk kemajuan;
- Penyatuan antara semangat kemerdekaan untuk menentukan nasib sendiri dan semangat dedikasi tanpa mengharapkan balasan.
Proses revolusi di negara China telah melalui perjalanan yang berliku-liku. Kebangkitan gelombang Revolusi China yang hebat pada tahun 1925-27 yang melibatkan aksi mogok besar-besaran dan perjuangan kelas pekerja yang hebat telah digagalkan oleh puak reaksioner Kuomintang pimpinan Chiang Kai-shek, mencetuskan pemberontakan bersenjata Parti Komunis China di pada tahun 1927. Perjuangan bersenjata Parti Komunis China di kawasan luar bandar membawa kepada kemunculan fahaman Maoisme sebagai pemikiran aliran utama parti itu mulai tahun 1930-an. Parti Komunis China kemudiannya mengalahkan Kuomintang dalam perang saudara yang tercetus sejurus selepas tamatnya Perang Dunia II, dan menubuhkan Republik Rakyat China pada tahun 1949, menamatkan pemerintahan Kuomintang di Tanah Besar China.
Namun, Revolusi Sosialis di China masih belum selesai. Perjuangan pembebasan pekerja-tani masih jauh perjalanannya. Walaupun negara China telah melalui proses pemodenan dan pembaharuan yang hebat sejak tahun 1949, tetapi pemulihan kapitalis sejak akhir tahun 1970-an turut mengundang ketidakadilan sosial yang berterusan.
Perjuangan revolusioner di China pada satu ketika dahulu pernah menjadi inspirasi untuk perjuangan rakyat tertindas seluruh dunia. Perjuangan rakyat negeri China yang akan datang pastinya akan menentukan kalah menang perjuangan mutlak dalam menjatuhkan kapitalis global dan membina sebuah dunia sosialis.
Lampiran
Kronologi ringkas peristiwa-peristiwa penting dalam Revolusi China
1911
Pemberontakan Wuchang mencetuskan Revolusi Xinhai yang menjatuhkan Dinasti Qing.
1912
Republik China (ROC) ditubuhkan. Panglima perang Beiyang mulai menguasai kerajaan pusat ROC.
1915
Presiden ROC Yuan Shikai mengisytihar dirinya sebagai Maharaja, tetapi hanya kekal selama 82 hari selepas tercetus Perang Anti-Monarki (1915-1916).
1916
Kematian Yuan Shikai memulakan Zaman Panglima Perang (1916-1928).
1919
Gerakan 4 Mei.
1921
Parti Komunis China ditubuhkan.
1922
Mogok pelaut-pelaut Hong Kong.
1923
Mogok pekerja-pekerja Landasan Keretapi Beijing-Hankou.
1924
Parti Komunis China membentuk “Barisan Bersatu” dengan Kuomintang untuk menentang kuasa-kuasa panglima perang.
1925
Pergerakan Mei Tiga Puluh, membuka tirai Revolusi (1925-1927). Mogok Besar-besaran Guangdong-Hongkong.
1926
Chiang Kai-shek menyingkirkan unsur-unsur komunis dalam tentera Kuomintang di Guangzhou dalam Peristiwa Kapal Perang Zhongshan dan memperkukuhkan kuasanya sebagai pemimpin utama Kuomintang sebelum bermulanya Ekpedisi Utara (1926-1928) untuk menamatkan pemerintahan Kerajaan Beiyang.
1927
Kuomintang pimpinan Chiang Kai-shek melakukan penangkapan dan pembunuhan secara besar-besaran terhadap anggota parti komunis di Shanghai. Parti Komunis China melancarkan Pemberontakan Nanchang dan pemberontakan bersenjata di beberapa lagi tempat lain, menandakan permulaan Perang Revolusi Tanah (1927-1937). Pemberontakan Guangzhou oleh Parti Komunis China digagalkan
1931
Republik Soviet China (1931-1937) ditubuhkan di wilayah Jiangxi.
1934
Parti Komunis China melancarkan Long March (1934-1935), satu pengunduran strategik daripada serangan hebat oleh tentera Kuomintang.
1935
Persidangan di Zunyi memperkukuhkan kedudukan Mao Zedong sebagai pimpinan utama Parti Komunis China.
1936
Parti Komunis China membentuk “Barisan Bersatu” yang kedua dengan Kuomintang untuk menghadapi ancaman kekuasaan Jepun.
1937
Perang Anti-Jepun meletus secara keseluruhan.
1945
Tentera Jepun menyerah kalah. Tercetus perang antara Parti Komunis China dengan Kuomintang.
1949
Republik Rakyat China (PRC) ditubuhkan. Tentera Kuomintang berundur ke Taiwan.
1956-1966
Perpecahan China-Soviet.
1958-60
Kempen “Lompatan Hebat Ke Hadapan”.
1966-76
Revolusi Kebudayaan.
1976
Peristiwa Tiananmen 5 April dan kejatuhan Geng Berempat.
1977-78
Spring of Beijing.
1978
China membuka pintu semula kepada pengembalian ekonomi kapitalis
1989
Peristiwa 4 Jun.
7 thoughts on “Gerakan 4 Mei: Pembaharuan budaya untuk pembebasan”