20190604 - 29sino-may401-master1050.jpg

Tahun ini menandakan ulangtahun ke-30 Peristiwa 4 Jun, satu tragedi berdarah yang berlaku di negara China.

Sehari sebelum 4 Jun 1989, lagu Internasionale, sebuah lagu perjuangan yang melambangkan solidariti pekerja sedunia, masih berkumandang di Dataran Tiananmen, tetapi sehari selepas itu bunyi tembakan dan enjin kereta kebal di bandar Beijing telah melenyapkan impian rakyat China untuk sebuah masyarakat yang lebih demokratik.

30 tahun dahulu, dalam tempoh 7 minggu, dari bulan April hingga bulan Jun, satu gelombang protes menuntut demokrasi yang hebat tercetus di Tanah Besar China, tetapi telah dilenyapkan oleh Kerajaan Pusat China dengan cara yang keras dan ganas.

20190604 - 2BAC9148-413F-44CA-8304-63A38CCD0313_cx0_cy3_cw0_w1023_r1_s.jpg

Latar belakang Gerakan Demokrasi di China pada tahun 1989

Tahun 1989 ialah tahun di mana rejim Stalinis di Eropah Timur mengalami kejatuhan satu demi satu dalam kebangkitan gelombang protes rakyat yang besar-besaran, bermula dari Poland, kemudian diikuti oleh Hungary, Jerman Timur, Bulgaria, Czechoslovakia dan Romania. Peneraju blok kuasa Stalinis, Kesatuan Soviet, turut mengalami keruntuhan pada tahun 1991.

Di negara China, selepas pemergian Mao Zedong dan tamatnya “Revolusi Budaya” pada tahun 1976, Parti Komunis China telah mengubah dasarnya secara mendadak pada tahun 1978 selepas Deng Xiaoping memegang kuasa, dengan melancarkan dasar pembaharuan dan keterbukaan, menandakan penukaran haluan negara China untuk mengembalikan kapitalisme.

Di bawah dasar pembaharuan dan keterbukaan, Kerajaan China mewujudkan “zon ekonomi khas” sebagai pintu masuk negara China ke dalam ekonomi kapitalis global. Modal asing mula memasuki pasaran China, sementara pemerintahan birokrasi Parti Komunis China menjadi semakin korup di bawah pengaruh sistem kapitalis. Gejala birokrat mengaut keuntungan semakin menjadi-jadi di samping berlakunya masalah inflasi yang serius, dengan kadar inflasi mencecah 31% pada tahun 1988 (tahap yang tertinggi sejak tahun 1949). Dasar Deng Xiaoping yang ingin “mengkayakan segolongan kecil orang dahulu”, telah menyebabkan kehidupan rakyat bawahan semakin susah. Oleh sebab langkah-langkah penjimatan ekonomi (austerity) yang diambil oleh Kerajaan China, banyak kilang milik negara ditutup dan ramai pekerja hilang kerja.

Jurang antara golongan yang kaya dengan yang miskin semakin melebar, dan percanggahan hebat dalam masyarakat menyebabkan kemarahan rakyat yang semakin memuncak. Semakin banyak peristiwa protes berlaku kerana ketidakpuasan hati terhadap “pembaharuan ekonomi” (baca pemulihan sistem ekonomi kapitalis). Dari bulan September 1987 hingga Mac 1989, tercetusnya rusuhan yang paling teruk di Tibet sejak tahun 1959.

Pada masa yang sama dengan pengenalan ekonomi pasaran, ruang politik juga dilonggarkan dengan pelbagai idea-idea politik baru mula tersebar di kalangan rakyat. Golongan intelek khususnya mengharapkan perluasan demokrasi, supaya suara rakyat dapat didengar dalam proses pembaharuan.

Hu Yaobang, seorang pemimpin reformis dalam Parti Komunis China, telah dipaksa untuk berundur daripada jawatan Setiausaha Agung Parti Komunis China pada tahun 1987, antara sebabnya beliau bersikap “lembut” dalam menangani kebangkitan gerakan demokrasi di kalangan pelajar Beijing dan Shanghai pada bulan Disember 1986. Hu Yaobang merupakan salah seorang penggerak utama dasar Deng Xiaoping untuk mengembalikan sistem kapitalis di China. Namun, pengunduran Hu Yaobang tidak bermakna dasar “pembaharuan ekonomi” Parti Komunis China mengalami pusingan-U. Namun, kehilangan kuasa Hu Yaobang, menimbulkan kebimbangan bahawa pembaharuan politik yang melibatkan lebih ruang demokrasi itu akan diberhentikan.

20190604 - _106936245_5fb2c071-ab32-4731-82b7-8458ad1d1874.jpg

Gerakan demokrasi yang hebat

Hu Yaobang meninggal dunia pada 15 April 1989. Pelajar-pelajar di beberapa buah universiti di Beijing mengadakan aktiviti untuk memperingati Hu Yaobang, namun adalah di luar jangkaan penganjur apabila aktiviti-aktiviti ini berubah menjadi satu gerakan massa yang hebat untuk menuntut demokrasi. Pelajar-pelajar yang berprotes mengemukakan tuntutan seperti melawan rasuah, menentang birokrat yang menyeleweng, membantah nepotisme, menambahkan peruntukan untuk pendidikan, memansuhkan sekatan terhadap akhbar, pilihanraya demokratik untuk sebahagian pemimpin dan sebagainya.

Pada 17 April 1989, lebih kurang 3,000 orang pelajar dari Universiti Peking berarak ke Dataran Tianamen, dan disertai oleh beberapa ribu lagi pelajar dari Universiti Qinghua. Sudah adanya 100,000 orang berhimpun di Dataran Tiananmen sebelum pengebumian Hu Yaobang.

Pada 22 April 1989, iaitu hari pengembumian Hu Yaobang, berlakunya pertempuran antara anak muda yang menganggur dengan polis di bandar Xi’an dan Changsha.

Pada 26 April 1989, suratkhabar yang menjadi lidah rasmi Parti Komunis China, Harian Rakyat, telah menerbitkan rencana editorial muka hadapan yang bertajuk “Perlu menentang kekacauan dengan panji yang jelas”. Rencana tersebut menyifatkan aktiviti pelajar yang memperingati Hu Yaobang itu sebagai kekacauan dan “konspirasi yang terancang”. Kenyataan tersebut telah menimbulkan kemarahan pelajar. Pada 27 April 1989, lebih 50,000 orang pelajar berarak di jalanan Beijing untuk mendesak kerajaan supaya menarik balik kenyataan tersebut.

Pada 4 Mei 1989, bersempena dengan ulangtahun ke-70 Gerakan 4 Mei, lebih kurang 100,000 orang pelajar dan pekerja berarak di Beijing. Mereka menuntut pada kerajaan supaya menghapuskan sekatan terhadap kebebasan akhbar, di samping memohon dialog secara rasmi dengan pimpinan Kerajaan Pusat. Namun, pemimpin Parti Komunis China menolak untuk berdialog.

Pada 13 Mei 1989, pelajar-pelajar di Beijing memulakan mogok lapar. Ramai pelajar menduduki Dataran Tiananmen untuk mengadakan aksi mogok lapar sebagai bantahan terhadap kerajaan yang melambatkan proses dialog, di samping menuntut pada kerajaan supaya menarik balik kenyataan editorial Harian Rakyat bertarikh 26 April 1989 dan mengiktiraf tindakan pelajar itu sebagai gerakan yang patriotik. Mogok lapar pelajar telah mendapat perhatian umum, dan ratusan ribu rakyat biasa di Beijing membanjiri Dataran Tiananmen untuk memberi sokongan kepada pelajar. Banyak organisasi akar umbi Parti Komunis China dan kesatuan pekerja yang ditaja kerajaan turut menggalakkan anggota mereka untuk menyertai aksi protes.

Gelombang bantahan yang hebat telah menggegarkan asas kuasa Parti Komunis China dan berlakunya perpecahan antara pemimpin parti. Zhao Ziyang, Setiausaha Agung Parti Komunis China, seorang lagi pemimpin reformis yang menggantikan Hu Yaobang, mencadangkan untuk mengambil pendekatan yang lembut terhadap protes, tetapi Li Peng, Perdana Menteri Majlis Negara pada masa itu, mengambil posisi yang lebih tegas. Pemimpin agung Deng Xiaoping turut mengambil pendirian menolak pembukaan ruang demokrasi, malah mencadangkan untuk mengisytihar darurat dan menggunakan tentera untuk melenyapkan gerakan pelajar.

20190604 - merlin_155683650_81c4ef9e-adce-4564-bc09-f909adb46caf-master1050
Zhao Ziyang bercakap dengan pelajar yang bermogok lapar.

Pada 18 Mei 1989, Li Peng berdialog dengan pemimpin pelajar, tetapi tidak membuahkan hasil kerana kedua-dua pihak tegas dengan pendirian sendiri. Pada 19 Mei 1919, Zhao Ziyang melawat pelajar yang menduduki Dataran Tianamen, dan sambil menangis beliau menasihatkan pelajar-pelajar supaya berundur dari situ. Zhao Ziyang kemudiannya dilucutkan jawatannya dan ditahan di rumah selepas Peristiwa 4 Jun.

Pada 20 Mei 1989, Parti Komunis China mengisytiharkan darurat di Beijing. Tentera dikerahkan untuk masuk ke bandar Beijing. Ramai pelajar dan rakyat tempatan melulu ke laluan masuk ke dalam Beijing untuk menghalang kemaraan kereta yang mengangkut tentera.

Pada 21 Mei 1989, 1 juta orang berarak di Hong Kong untuk menyuarakan sokongan kepada pelajar-pelajar Beijing. Aksi tersebut merupakan demonstrasi terbesar dalam sejarah Hong Kong sehingga kini.

20190604 - 20190602_15595259477988
Demonstrasi jalanan terbesar dalam sejarah Hong Kong pada tahun 1989.

Pada 23 Mei 1989, 1 juta orang berarak di bandar Beijing.

Pada awal pagi 4 Jun 1989, tentera memasuki bandar Beijing dan mencetuskan pertumpahan darah. Gelombang protes yang hebat berakhir dengan penindasan yang kejam. Selepas tindakan pemukulan secara keras pada 4 Jun 1989, Kerajaan China menjalankan operasi penangkapan secara besar-besaran di seluruh negara.

Angka kematian dalam penindasan secara keras oleh Kerajaan China pada 4 Jun 1989 di Beijing, masih belum ada lagi satu kepastian. Angka rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan China adalah lebih kurang 300 orang mati, sementara ada sumber yang menyatakan jumlah kematian melebihi 2,000. Oleh sebab Kerajaan China menyekat maklumat dan menghalang pengesahan oleh orang awam, senarai orang yang mati terkorban dalam tragedi 4 Jun 1989 masih belum diumumkan sehingga hari ini.

20190604 - 3119x2140_193499966.jpg

Kembali ke pangkuan kapitalisme global dengan jalan berlumuran darah

Walaupun pemimpin pelajar yang lebih menonjol dalam protes di Dataran Tiananmen pada tahun 1989 adalah golongan yang tertarik dengan fahaman liberal yang hanya menumpu kepada kebebasan diri, tetapi peserta-peserta aksi pada masa itu kebanyakannya hanya cuba menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap “pembaharuan ekonomi” yang membiak ketidakadilan sosial. Malah, Kerajaan pimpinan Parti Komunis China tidak rasa tergugat pada awalnya apabila pelajar-pelajar yang sebahagiannya terpengaruh oleh fahaman liberal dunia Barat itu berprotes, sehinggalah massa pekerja turut memobilisasi. Asas pemerintahan Parti Komunis China yang sepatutnya mewakili kepentingan kelas pekerja itu digegarkan apabila kelas pekerja China turut memobilisasi untuk perubahan. Rejim Parti Komunis China pimpinan Deng Xiaoping pada masa itu amat sedar bahawa ia tidak boleh membiarkan golongan pekerja itu bergabung dengan gerakan pelajar dan memberontak terhadapnya.

Penindasan yang kejam oleh Kerajaan China terhadap pelajar dan pekerja yang menuntut demokrasi pada 4 Jun 1989, adalah pengisytiharan Parti Komunis China bahawa ia sudah meninggalkan hasrat asalnya sebagai “parti kelas proletariat China”. Kerajaan Parti Komunis China sanggup menggunakan pertumpahan darah rakyatnya untuk meratakan jalannya kembali kepada sistem kapitalis.

Penindasan terhadap gerakan demokrasi pada 4 Jun 1989, bukan sahaja mengekalkan rejim pemerintahan Parti Komunis China, malah turut mempercepatkan proses “pembaharuan ekonomi” untuk membangunkan sistem ekonomi kapitalis dengan ciri-ciri China. Kekejaman pemerintah Parti Komunis China pada tahun 1989, penindasannya terhadap gerakan pelajar, pengharaman kesatuan-kesatuan sekerja yang bebas dan pengwujudan suasana kawalan yang ketat terhadap aktiviti politik, telah melicinkan usaha Kerajaan China mengembalikan sistem ekonomi kapitalis dengan caranya tersendiri, dengan jutaan pekerja syarikat milik kerajaan hilang kerja dan kilang-kilang yang mengeksploitasi pekerja bagai cendewan tumbuh selepas hujan.

Negara-negara blok Stalinis di Eropah Timur menjalani “terapi kejutan” (shock therapy) untuk mengembalikan ekonomi kapitalis selepas kejatuhan parti komunis yang memerintah di negara tersebut, tetapi negara China tidak memerlukan kejatuhan pemerintahan parti komunisnya untuk menjalani “terapi kejutan” dalam proses bersebati dengan sistem kapitalis global.

20190604 - _101865605_hi021999435

Sejarah yang tidak patut dilupakan

Negara China sudah “bangkit” sebagai kuasa ekonomi yang utama di dunia pada hari ini, tetapi dengan kos tinggi yang melibatkan pengorbanan golongan pekerja yang dieksploitasi secara hebatnya dan juga tragedi berdarah 4 Jun 1989. Sehingga hari ini, “4 Jun” masih satu tarikh yang pantang dan dilarang untuk disebut dalam negara China. Kerajaan China sentiasa berusaha memadamkan ingatan rakyatnya tentang sejarah hitamnya ini, dan enggan bertanggungjawab terhadap pembunuhan yang kejam ke atas rakyat yang hanya mahu menuntut demokrasi. Aktiviti politik masyarakat sivil di negara China disekat dan diletak di bawah pengawasan ketat oleh jentera negara, malah aktivis anak muda yang berpegang pada fahaman Marxis atau Maois dan prihatin pada nasib pekerja yang diperas kapitalis, turut menghadapi penindasan daripada rejim pemerintah.

Sejarah ini tidak boleh dilupakan dan tidak patut dipadamkan.

3 thoughts on “Tragedi 4 Jun 1989: Sejarah hitam negara China

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *