5c81f20b96d4d1b7b3f893b5d99abaa6.jpg

A. Pendahuluan

1. Revolusi Rusia merupakan peristiwa politik yang amat penting dalam abad ke-20. Revolusi Rusia bukan sahaja menggegarkan seluruh negara Rusia, tetapi juga membentuk sejarah dunia yang menjangkaui hampir keseluruhan abad ke-20.

2. Revolusi Rusia berkemungkinan merupakan peristiwa sejarah moden yang paling disalahfahami dan disalahtafsir oleh ramai orang. Revolusi Rusia telah banyak dikaburkan dengan mitos, penyalahtafsiran dan propaganda, khususnya daripada pendukung fahaman kapitalis.

3. Revolusi Rusia bukannya rampasan kuasa atau konspirasi oleh sekumpulan kecil anggota Bolshevik, tetapi merupakan kebangkitan jutaan rakyat bawahan Rusia yang bergabung dalam gerakan massa yang hebat, penganjuran perhimpunan yang demokratik, mobilisasi untuk aksi-aksi yang militan, dan akhirnya menjatuhkan pemerintahan susunan masyarakat lama yang dikuasai tuan tanah, pemodal besar dan penghasut perang.

4. Revolusi Rusia adalah hasil cetusan demokrasi dan kreativiti revolusioner. Revolusi yang hebat ini memberikan harapan dan rangsangan kepada kelas pekerja dan rakyat bawahan di seluruh dunia untuk bangkit memperjuangkan sebuah masyarakat sosialis yang lebih adil. Namun, agak malangnya Revolusi ini kemudiannya dihancurkan oleh revolusi balas (counter-revolution) yang kejam dan digantikan dengan bentuk pemerintahan yang bersifat birokratik.

5. Walaupun negara pekerja pertama di dunia yang muncul selepas Revolusi Rusia 1917 telah mengalami pelbagai masalah dan akhirnya jatuh pada penghujung abad ke-20, tetapi kesan gema daripada pergolakan Revolusi Rusia masih dapat dirasai sehingga hari ini. Tidak kira apa jua sikap yang diambil oleh mana-mana golongan kiri terhadap rejim Kesatuan Soviet yang muncul selepas kejayaan Revolusi Rusia, adalah amat jelas bahawa revolusi ini memainkan peranan yang amat penting dalam mendefinisikan konsep sosialisme dan revolusi sosialis.

6. Pada tahun 1917, berlakunya dua revolusi di Rusia:
i. Revolusi Februari menjatuhkan pemerintahan monarki Tsar dan menggantikannya dengan Kerajaan Sementara yang terdiri daripada anggota-anggota Duma (Dewan Perundangan).
ii. Revolusi Oktober yang dipimpin oleh Parti Bolshevik menjatuhkan Kerajaan Sementara yang dipimpin oleh Alexander Kerensky dan menggantikannya dengan pemerintahan soviet, mewujudkan negara pekerja yang pertama di dunia.

Dua revolusi ini merupakan proses perjuangan masyarakat Rusia yang saling berkaitan dan berterusan, bukannya dua peristiwa yang terasing.

rus7.jpg
B. Empayar Rusia sebelum revolusi

7. Empayar Rusia (1721-1917) muncul sebagai kuasa besar di Eropah pada abad ke-18 dan ke-19, khususnya apabila kuasa-kuasa besar yang berjiran dengannya, seperti Empayar Sweden, Empayar Uthmaniyah, Dinasti Qajar di Parsi dan Komanwel Poland-Lithuania, semakin merosot.

8. Wilayah Empayar Rusia diperluaskan sejak awal abad ke-19, dengan jajahannya menjangkau dari Lautan Artik di utara ke Laut Hitam di selatan, dari Laut Baltik di barat ke Lautan Pasifik di Timur. Malah, Empayar Rusia juga pernah menguasai Alaska di Amerika Utara, sehingga ia menjual tanah jajahan di situ kepada Amerika Syarikat pada tahun 1867. Keluasan wilayah yang dikuasai Empayar Rusia mencecah kemuncak pada tahun 1895, menjadikannya empayar yang ketiga terbesar dalam sejarah dari segi keluasan tanah, selepas Empayar British (mencecah kemuncak pada tahun 1920-an) dan Empayar Mongol (abad ke-13).

9. Empayar Rusia merupakan sebuah negara yang multi-etnik. Perbezaan ketara dari segi ekonomi, etnik, budaya dan agama, ada kalanya menimbulkan konflik masyarakat, khususnya dengan pergolakan kuasa politik yang berpusatkan etnik Rusia yang tertumpu di bahagian barat Empayar. Bangsa-bangsa yang wujud dalam Empayar Rusia, selain berbeza budaya dengan orang beretnik Rusia, terdapat juga pelbagai konflik antara bangsa-bangsa yang berlainan.

10. Empayar Rusia yang diperintah oleh kerabat di-raja Romanov, telah memainkan peranan utama dalam peperangan yang menewaskan Empayar Perancis Pertama yang diperintah Napolean I pada tahun 1812-14, dan membolehkannya berkembang lagi ke wilayah di barat, iaitu Eropah Timur.

11. Sistem perindustrian di Rusia diwujudkan sejak zaman pemerintahan Peter I (bertakhta dari tahun 1682 hingga 1725). Alexander II yang memerintah pada tahun 1855 hingga 1881, telah melaksanakan pelbagai dasar pembaharuan, termasuk memansuhkan sistem hamba-tani, membolehkan proses industrialisasi di Rusia dapat menyaingi Eropah Barat. Selepas Alexander III mengambilalih kuasa berikutan pembunuhan Alexander II oleh anggota Parti Kehendak Rakyat (Narodnaya Volya), beberapa dasar pembaharuan liberal telah dihapuskan, rejim Tsar menjadi semakin represif.

12. Di bawah pemerintahan Tsar Nicholas II, yang bertakhta pada tahun 1894-1917, Empayar Rusia telah mengalami proses industrialisasi secara perlahan-lahan. Walaupun Rusia merupakan kuasa besar di Eropah Timur, tetapi kekuatan ekonominya masih tidak setanding Britain, Belgium, Perancis dan Jerman, yang telah membangunkan ekonomi perindustrian secara pesat pada masa yang sama. Rusia pada awal abad ke-20, masih merupakan sebuah negara kapitalis yang mundur, di mana perindustrian hanya tertumpu di bandar-bandar besar seperti Saint Petersburg dan Moscow, manakala sebahagian besar ekonominya masih berasaskan pertanian.

13. Pada tahun 1890-an, pembangunan perindustrian di Rusia telah menambahkan bilangan kelas menengah dan kelas pekerja di kawasan bandar. Ini telah menimbulkan suasana politik yang lebih dinamik dan mula berkembangnya parti-parti politik yang radikal.

14. Kelas pekerja dan petani yang mula-mula menubuhkan parti politik di Rusia. Kelas bangsawan dan borjuasi kaya di Rusia pula agak lemah kerana kuasa ekonomi tertumpu dalam tangan kerajaan negara berpusat dan pelabur asing.

15. Pada tahun 1890-an hingga awal 1900-an, keadaan hidup dan keadaan kerja yang teruk, cukai yang tinggi dan permasalahan tanah telah mengundang banyak perjuangan mogok dan protes.

800px-Shestviye_u_Narvskikh_vorot.jpg
C. Revolusi 1905

16. Pada tahun 1905, tercetusnya gelombang kebangkitan rakyat yang merebak ke banyak tempat dalam Empayar Rusia. Peristiwa ini dikenali sebagai Revolusi 1905. Pekerja-pekerja di bandar-bandar utama telah mengadakan mogok besar-besaran, di samping berlakunya kekacauan petani di luar bandar dan pemberontakan tentera. Revolusi 1905 memaksa Tsar Nicholas II bersetuju dengan pembaharuan secara berperlembagaan, termasuk penubuhan Duma Negara (iaitu parlimen yang dipilih secara pengundian umum), sistem multi-parti dan Perlembagaan Rusia 1906 (di mana Tsar bersetuju untuk berkongsi kuasa dengan parlimen untuk kali pertamanya dalam sejarah Rusia).

17. Sebab-sebab tercetusnya Revolusi 1905:

i. Masalah tanah pertanian

– Golongan petani yang dibebaskan daripada pemansuhan sistem hamba-tani pada tahun 1861, dibenarkan membeli tanah daripada golongan bangsawan dan membayar ansuran untuk berdekad-dekad lamanya, tetapi hanya diperuntukkan jalur tanah yang sedikit untuk bercucuk tanam di bawah “sistem lapangan terbuka”. Petani tidak boleh menjual atau menggadaikan tanahnya, maka mereka terikat pada tanah pertanian. Oleh sebab tanah yang diperuntukkan adalah sedikit, maka pendapatan petani juga begitu rendah sehingga mereka tidak mampu membeli makanan yang mencukupi ataupun membayar cukai dan bayaran penebusan yang dihutang oleh mereka dengan kerajaan untuk tanah yang diperuntukkan kepada mereka. Kesusahan petani ini telah mencetuskan kemarahan dan kekacauan dalam kalangan mereka.

ii. Masalah perkauman dan persoalan nasional

– Walaupun Rusia sebagai sebuah empayar yang multi-etnik merentasi tiga benua (Eropah, Asia dan Amerika Utara), tetapi kerajaan pusatnya mengamalkan dasar kebudayaan dan agama yang berasaskan budaya etnik Rusia. Budaya bukan Rusia yang diamalkan oleh etnik minoriti walaupun dibenarkan, tetapi tidak dihormati dan diutamakan. Tamadun Eropah dianggap lebih maju daripada budaya Asia, sementara agama Kristian (khususnya mazhab Ortodoks Timur) dianggap lebih hebat daripada agama yang lain. Kerajaan Tsar mengamalkan dasar Rusifikasi (penrusiaan), iaitu asimilasi budaya yang menghilangkan identiti sesuatu kumpulan etnik dalam masyarakat Rusia, di samping menempatkan pegawai-pegawai beretnik Rusia di wilayah pinggiran bermajoriti bukan Rusia. Kumpulan etnik minoriti telah dilarang daripada mengundi dan berkhidmat dalam Pengawal Imperial atau tentera laut. Kumpulan etnik minoriti amat tidak senang hati dengan dasar Rusifikasi, diskriminasi dan penindasan terhadap mereka. Percanggahan antara kepelbagaian budaya dengan cubaan kerajaan Rusia untuk menyeragamkan budaya bagi memperkukuhkan kekuasaannya, telah menimbulkan konflik berkaitan persoalan nasional yang berlarutan.

iii. Masalah pekerja

– Pada awal abad ke-20, pekerja industri Rusia yang tertumpu di bandar-bandar besar bekerja untuk jangka masa yang panjang (sekurang-kurangnya 11 jam sehari) dan keadaan kerja dalam kilang amat meletihkan dan tidak selamat. Usaha untuk membentuk kesatuan pekerja telah dihalang oleh pihak berkuasa. Mogok pekerja juga diharamkan. Walaupun kerajaan Tsar telah memperkenalkan undang-undang yang dikatakan melindungi pekerja, tetapi adalah amat tidak mencukupi untuk membebaskan pekerja daripada masalah layanan teruk dan tidak berperikemanusiaan. Gaji pekerja industri Rusia juga amat rendah, malah paling rendah di Eropah pada masa itu. Ketidakpuasan hati dalam kalangan pekerja miskin menyebabkan mereka semakin tertarik pada idea-idea radikal yang mampu mengubah nasib mereka. Pekerja yang semakin tidak puas hati dan semakin dipengaruhi pemikiran radikal, telah memainkan peranan penting dalam revolusi dengan mengadakan mogok dan protes yang dilarang di bawah undang-undang.

iv. Perang imperialis (Perang Jepun-Rusia)

– Kerajaan Tsar yang bercita-cita meluaskan kuasanya ke Manchuria dan Korea, telah menyebabkannya bertembung dengan Empayar Jepun yang juga bercita-cita sama. Perang Jepun-Rusia pada tahun 1904-1905 yang akhirnya menyaksikan kekalahan Rusia, telah menjatuhkan lagi kewibawaan pemerintahan Tsar dan memperhebatkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.

v. Kemunculan golongan intelek yang berpemikiran radikal

– Pembaharuan semasa zaman pemerintahan Tsar Alexander II telah membuka ruang kepada perkembangan idea-idea radikal dalam kalangan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah. Penterjemahan buku tulisan Karl Marx “Das Kapital” dalam Bahasa Rusia yang diterbitkan pada tahun 1872, berjaya dijual sebanyak 3000 naskah dalam tempoh masa setahun, sementara Edisi Jerman yang asal hanya dapat dijual sebanyak 1000 naskah dalam tempoh 5 tahun. Kepopularan Das Kapital di Rusia menunjukkan betapa cepatnya penyebaran idea-idea radikal di situ. Dengan perkembangan generasi muda yang membangunkan dan menyebarkan idea-idea radikal, maka timbulnya kesedaran baru yang semakin meningkat dalam kalangan pelajar.

18. Pada bulan Disember 1904, mogok pekerja tercetus di kilang Putilov (sebuah kilang pembuat mesin) di Saint Petersburg. Pekerja-pekerja lain di Saint Petersburg yang bersimpati dengan mogok di kilang Putilov juga mengadakan mogok. Seramai 150,000 orang pekerja dari 382 buah kilang telah menyertai mogok. Mogok pekerja telah menyebabkan bandar Saint Petersburg terputus bekalan elektrik dan semua kawasan awam telah ditutup.

19. Pada 22 Januari 1905 (bersamaan 9 Januari mengikut Kalendar Julian yang masih digunakan di Rusia pada masa itu, Kalendar Gregorian hanya diperkenalkan di Rusia selepas Revolusi Oktober 1917), Georgy Gapon (1870-1906), seorang paderi Gereja Ortodoks, telah memimpin satu perarakan besar yang disertai lebih kurang 30,000 orang pekerja dan menuju ke Istana Musim Sejuk (iaitu istana kediaman Tsar) untuk menyerahkan satu petisyen kepada Tsar. Petisyen tersebut menuntut kerja 8 jam sehari, gaji minimum 1 rubel sehari, menghapuskan birokrat yang lemah, mewujudkan Perhimpunan Perlembagaan yang dipilih secara demokratik untuk memperkenalkan kerajaan berperwakilan, dan menghentikan perang dengan Jepun. Massa yang berhimpun di hadapan Istana Musim Sejuk telah bertambah tidak lama kemudian dan mencecah 200,000 orang. Tentera yang mengawal Istana Musim Sejuk telah menembak ke arah demonstran, menyebabkan lebih kurang 1000 orang mati terkorban. Peristiwa ini dikenali sebagai “Hari Ahad Berdarah”, yang dianggap sebagai permulaan Revolusi 1905. Peristiwa Hari Ahad Berdarah mencetuskan lagi kemarahan rakyat, sehingga gelombang mogok besar-besaran merebak dengan cepatnya ke semua pusat perindustrian di Empayar Rusia.

20. Di wilayah Poland yang dikuasai Empayar Rusia, berlakunya mogok umum di Warsaw pada 14 Januari 1905, tetapi dipukul secara kejam oleh kerajaan Rusia. Pekerja-pekerja di Łódź, bandar pusat perindustrian Poland pada masa itu, juga mula mengadakan mogok kerja. Pekerja yang bermogok membawa plakad dengan slogan “Jatuhkan autokrasi! Tamatkan peperangan!”. Golongan sosialis daripada Parti Sosialis Poland (Polska Partia Socjalistyczna, PPS) dan Parti Demokrasi Sosial Negara Beraja Poland dan Lithuania (Socjaldemokracja Królestwa Polskiego i Litwy, SDKPiL) telah menyeru untuk mengadakan mogok umum pada 28 Januari 1905. Lebih 400,000 orang pekerja terlibat dalam mogok yang berlarutan untuk 4 minggu di seluruh Poland. Pada tahun 1905-1906, berlakunya hampir 7,000 mogok pekerja di Poland, dan melibatkan 1.3 juta pekerja Poland. Pekerja-pekerja yang bermogok dan berprotes menuntut penambahbaikan keadaan kerja untuk pekerja dan juga lebih kebebasan politik untuk rakyat Poland. Pelajar universiti di Poland juga menyertai demonstrasi, membantah Rusifikasi dan menuntut hak untuk belajar Bahasa Poland. Dalam satu perarakan pada 1 Mei 1905 di Warsaw, polis Rusia melepaskan tembakan ke atas pekerja Poland yang berprotes. Pada pertengahan bulan Jun 1905, polis Rusia melepaskan tembakan ke atas demonstrasi pekerja di Łódź, mencetuskan pemberontakan pekerja Łódź pada 21-25 Jun 1905, di mana lebih kurang 150 orang mati terkorban. Di wilayah Zagłębie Dąbrowskie, pemberontak menubuhkan Republik Zagłębie (Republika Zagłębiowska), sebuah pemerintahan sosialis Poland yang merangkumi wilayah Zagłębie Dąbrowskie, tetapi hanya kekal untuk 7 hari pada bulan Oktober-November 1905. Di bandar Ostrowiec Świętokrzyski, tertubuhnya satu lagi pemerintahan sosialis yang serupa, Republik Ostrowiec (Republika Ostrowiecka), yang hanya kekal untuk 2 minggu dari akhir bulan Disember 1905 hingga pertengahan Januari 1906. Pergolakan kebangkitan pekerja di Poland berlarutan sehingga tahun 1907.

21. Mogok pekerja juga berlaku di Finland dan wilayah Baltik yang dikuasai Empayar Rusia pada masa itu. Di Riga, Latvia, 130 orang pekerja yang berprotes dibunuh pada 26 Januari 1905. Sehingga bulan Februari 1905, mogok juga tercetus di wilayah Caucasus. Gelombang protes merebak ke kawasan melepasi pergunungan Urals.

22. Pada bulan Mac 1905, semua institusi pendidikan tinggi ditutup sehingga penghujung tahun, apabila pelajar-pelajar menyertai pekerja-pekerja yang bermogok.

23. Pada 21 Oktober 1905 (bersamaan 8 Oktober mengikut Kalendar Julian), satu aksi mogok pekerja landasan keretapi telah berkembang dengan cepatnya menjadi mogok umum di Saint Petersburg dan Moscow. Aksi kebangkitan pekerja ini telah membawa kepada penubuhan “Soviet Perwakilan Saint Petersburg”. Soviet Saint Petersburg telah wujud sehingga 3 Disember 1905. Pada 26 Oktober 1905 (bersamaan 13 Oktober mengikut Kalendar Julian), lebih 2 juta orang pekerja bermogok dan hampir kesemua landasan keretapi di Empayar Rusia telah dilumpuhkan.

24. “Soviet” yang membawa maksud “majlis”, merupakan badan pentadbiran politik yang berlandaskan demokrasi berpartisipasi oleh pekerja. Soviet mewakili gerakan pekerja yang bebas daripada kesatuan sekerja yang terletak di bawah pengawasan kerajaan. Semasa Revolusi 1905, soviet-soviet telah ditubuhkan di bandar-bandar pusat perindustrian di Rusia, dan biasanya diorganisasi di peringkat kilang. Soviet-soviet dilumpuhkan selepas Revolusi 1905 akibat penindasan daripada kerajaan Tsar. Namun, idea untuk penubuhan soviet sebagai proses demokrasi pekerja telah timbul semula semasa Revolusi 1917.

25. Pada bulan Jun dan Julai 1905, berlakunya banyak pemberontakan petani, di mana petani-petani mengambilalih tanah dan peralatan pertanian.

26. Semasa tercetusnya Revolusi 1905, konfrontasi antara etnik di Caucasus telah mengakibatkan pembunuhan besar-besaran Armenian-Tatar.

27. Semasa Revolusi 1905, berlakunya juga pemberontakan tentera laut di Sevastopol, Vladivostok dan Konstadt. Pada bulan Jun 1905, berlakunya pemberontakan di atas kapal perang Potemkin. Peristiwa pemberontakan di atas kapal Potemkin telah didramakan dalam filem bisu “Battleship Potemkin” (1925) arahan Sergei Eisenstein, seorang pengarah filem Kesatuan Soviet yang terkenal dengan peranannya sebagai perintis teori dan penggunaan teknik “montaj” dalam filem.

28. Untuk meredakan kebangkitan rakyat, kerajaan Tsar Nicholas II dengan perasaan penuh keengganan, telah mengeluarkan Manifesto Oktober pada 30 Oktober 1905 (bersamaan 17 Oktober mengikut Kalendar Julian), yang menjanjikan hak sivil yang asas, membenarkan pembentukan parti-parti politik dan menubuhkan Duma sebagai badan perundangan utama. Pengumuman Manifesto Oktober telah menamatkan mogok di Saint Petersburg dan tempat lain. Pengampunan politik ditawarkan. Namun, kompromi yang dilakukan oleh pemerintahan Tsar telah datang bersama dengan tindakan keras terhadap kebangkitan rakyat. Puak konservatif berhaluan kanan juga melancarkan serangan ke atas pemogok, golongan kiri dan orang Yahudi.

29. Golongan liberal berpuas hati dengan Manifesto Oktober, dan bersiap sedia untuk pilihanraya Duma. Namun, sosialis yang radikal dan revolusioner kiri melihat ini sebagai muslihat rejim Tsar untuk terus berkuasa. Ada antara golongan kiri menyeru pemberontakan bersenjata untuk menghancurkan Empayar Rusia.

30. Pada 5-7 Disember 1905 (bersamaan 22-24 November mengikut Kalendar Julian), pekerja-pekerja Rusia mengadakan satu mogok umum di Moscow. Kerajaan mengerahkan tentera pada 7 Disember 1905 untuk menindas pekerja dan berlakunya pertempuran di jalanan. Tentera Rusia telah menggunakan meriam untuk menghancurkan demonstrasi dan membedil kawasan-kawasan yang diduduki pekerja. Lebih kurang 1,000 orang mati dan sebahagian bandar Moscow dimusnahkan. Kerajaan Tsar juga menghukum mati lebih 14,000 orang dan memenjarakan 75,000 orang selepas menghancurkan Revolusi 1905.

31. Selepas kegagalan Revolusi 1905, gerakan massa, mogok dan protes telah merosot. Kemerosotan gerakan massa yang revolusioner telah memberi ruang kepada kebangkitan keganasan politik (terrorisme), yang melibatkan pembunuhan pegawai kerajaan dan polis, serta melakukan perompakan.

32. Beberapa pengajaran daripada Revolusi 1905:

  • Peralihan kuasa daripada struktur masyarakat lama kepada susunan masyarakat baru tidak akan berlaku secara aman. Kelas pemerintah hanya akan melakukan pembaharuan apabila wujudnya tekanan politik.
  • Golongan liberal dan borjuasi tidak boleh diharapkan dalam revolusi.
  • Soviet menjadi satu contoh pemerintahan pekerja yang sebenar dan boleh dilaksanakan.

33. Walaupun Revolusi 1905 akhirnya dilenyapkan, tetapi ia telah meninggalkan satu ingatan perjuangan yang amat penting untuk kelas pekerja di Empayar Rusia dan menjadi ilham untuk kebangkitan semula perjuangan kelas satu dekad selepasnya.

800px-Union-de-Lucha.jpg

(Berdiri dari kiri): Malchenko, Zaporozhets dan Vaneyev;
(Duduk dari kiri): Starkov, Krzhizhanovsky, Lenin dan Martov

D. Parti-parti politik pembangkang di Rusia pada awal abad ke-20

34. Kuasa-kuasa politik yang anti-kerajaan Tsar Rusia telah membentuk parti-parti politik yang saling bersaing pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Kuasa-kuasa pembangkang di Rusia pasa masa itu boleh dibahagikan kepada dua golongan utama:
– Liberal yang berhaluan kanan.
– Sosialis yang berhaluan kiri.

35. Golongan liberal dalam kalangan kapitalis perindustrian dan bangsawan yang percaya pada pembaharuan masyarakat secara aman serta pengwujudan sistem raja berperlembagaan, telah menubuhkan Parti Demokratik Berperlembagaan (dikenali sebagai Kadet) pada tahun 1905.

36. Sebelum wujudnya gerakan Marxis di Rusia, “Narodnaya Volya” (Parti Kehendak Rakyat) yang ditubuhkan pada tahun 1879 memainkan peranan sebagai organisasi politik revolusioner yang berasaskan gerakan “Populisme” di Rusia. Narodnaya Volya mendukung sosialisme pribumi yang berasaskan golongan petani yang ramai di Rusia. Narodnaya Volya yang dianggotai utamanya oleh golongan intelek sosialis yang revolusioner, percaya dalam menggunakan keganasan sebagai cara perjuangan yang berkesan. Narodnaya Volya diorganisasi dalam kumpulan bawah tanah dengan adanya sel-sel tempatan yang sulit, menyokong tindakan keganasan revolusioner sebagai cubaan untuk membangkitkan pemberontakan massa terhadap pemerintahan Tsar. Anggota Narodnaya Volya berjaya membunuh Tsar Alexander II pada bulan Mac 1881. Narodnaya Volya menjadi inspirasi dan pelopor kepada organisasi-organisasi sosialis revolusioner dan anarkis selepasnya.

37. Narodnaya Volya berpegang pada ideologi yang dibina berasaskan falsafah gerakan Narodnik atau Narodisme, satu gerakan populis yang diterajui golongan kelas menengah pada tahun 1860-an dan 1870-an. Slogan politik Narodnik adalah “pergi kepada rakyat”, dan ia merupakan gerakan politik revolusioner radikal yang paling awal menentang pemerintahan Tsar.

38. Parti Sosialis-Revolusioner (SR) yang ditubuhkan pada tahun 1902, merupakan lanjutan daripada gerakan Narodnik dan Narodnaya Volya. Selepas kemerosotan gerakan Narodnik pada tahun 1880-an, fahaman Narodnik-Populis untuk perubahan sosial di Rusia telah dibangunkan semula dan diubahsuai oleh golongan penulis dan aktivis yang dikenali sebagai “neonarodniki”. Viktor Chernov (1872-1952), salah seorang revolusioner yang berfahaman Narodnik-Populis, merupakan pengasas dan ahli teori untuk Parti Sosialis-Revolusioner. SR mengamalkan program politik yang bersifat sosialis demokratik dan sosialis agrarian (iaitu sosialisme yang berasaskan pertanian). SR mendapat sokongan terutamanya dalam kalangan petani di kawasan luar bandar. Petani menyokong program “sosialisasi tanah” (pembahagian tanah kepada petani penyewa tanah) yang dibawa SR, yang bertentangan dengan “pemiliknegaraan tanah” (pengkolektifan tanah pertanian di bawah pengurusan negara) yang dibawa Bolshevik.

39. SR berkongsi kuasa dengan puak liberal dan sosialis demokratik yang lain dalam Kerajaan Sementara selepas Revolusi Februari 1917. SR menang undi terbanyak dalam pilihanraya Perhimpunan Perlembagaan pada 25 November 1917. Namun, oleh sebab landskap politik telah berubah dengan hebatnya selepas Revolusi Oktober, Perhimpunan Perlembagaan telah dibubarkan pada bulan Januari 1918. SR kemudiannya berpecah kepada puak pro-Bolshevik dan puak anti-Bolshevik. Puak anti-Bolshevik, yang dikenali sebagai SR Kanan, kekal setia pada pemimpin Kerajaan Sementara, tetapi ditewaskan dan dihancurkan dalam Perang Saudara Rusia.

40. Terdapatnya satu cawangan pengganas dalam SR, yang dikenali sebagai Organisasi Tempur. Kumpulan pengganas ini terlibat dalam banyak pembunuhan yang mensasarkan pegawai kerajaan dan polis, di samping melakukan perompakan, khususnya selepas kegagalan Revolusi 1905.

41. “Trudovik” (bermaksud buruh) yang ditubuhkan dan dipimpin oleh Alexis Theodorovich Aladin (1873-1927) pada tahun 1906, merupakan serpihan daripada SR, apabila golongan moderat dalam SR mengingkari pendirian parti dan bertanding dalam pilihanraya Duma Pertama pada tahun 1906. Trudovik menang banyak kerusi (melebihi 100) dalam Pilihanraya Duma Pertama dan Kedua, tetapi telah berkurang dengan hebatnya selepas itu akibat daripada undang-undang pilihanraya yang tidak adil. Alexander Kerensky (1881-1970), Perdana Menteri untuk Kerajaan Sementara selepas Revolusi Februari 1917, dipilih sebagai ahli parlimen dalam pilihanraya untuk Duma Keempat pada tahun 1912 dengan mewakili Trudovik.

42. Organisasi Marxis yang pertama di Rusia ialah kumpulan “Pembebasan Buruh” (Osvobozhdenie Truda), yang ditubuhkan pada tahun 1883 di Geneva, Switzerland, oleh Georgi Plekhanov (1856-1918), Vera Zasulich (1849-1919), Pavel Axelrod (1850-1928), Leo Deutsch (1855-1941) dan Vasily Ignatov (1854-1885). Kumpulan ini telah menterjemahkan karya-karya utama Marxis ke dalam Bahasa Rusia dan mengedarkan tulisan-tulisan ini. Kumpulan ini telah menyediakan asas teori untuk gerakan Demokratik Sosial dan mengambil langkah pertama menuju pembinaan gerakan kelas pekerja di Rusia. Gerakan Marxis di Rusia kemudiannya berkembang menjadi pesaing utama kepada ideologi Narodnik.

43. “Liga Perjuangan untuk Pembebasan Kelas Pekerja Saint Petersburg” (SBORK) ditubuhkan pada tahun 1895 oleh Vladimir Lenin (1870-1924), Julius Martov (1873-1923), Gleb Krzhizhanovsky (1872-1959), Alexander Malchenko (1870-1930), P. Zaporozhets (1873-1905), A. Vaneyev (1872-1899) dan lain-lain. Kumpulan yang menggabungkan golongan Marxis muda ini menjalankan aktiviti pengedaran risalah sosialis kepada kilang-kilang di Saint Petersburg dan melakukan agitasi dalam kalangan pekerja.

44. Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia (Rossiyskaya sotsial-demokraticheskaya rabochaya partiya, RSDRP), sebuah parti yang menggabungkan beberapa organisasi revolusioner sosialis dari seluruh Empayar Rusia, ditubuhkan pada tahun 1898 di Minsk, Belarus (yang merupakan sebahagian daripada Empayar Rusia pada masa itu). 9 orang delegasi yang mewakili 3 kumpulan demokratik sosial berbeza hadir dalam Kongres Pertama, tetapi dalam tempoh sebulan selepas Kongres Pertama diadakan, hampir kesemua delegasi ditangkap oleh pihak berkuasa.

45. Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia menentang fahaman Narodisme, yang kemudiannya diwakili oleh Parti Sosialis-Revolusioner (SR). Program politik Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia berasaskan teori perjuangan kelas pekerja yang dibangunkan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels, yang diterjemahkan oleh Marxis Rusia seperti Plekhanov. Menurut pandangan Marxis Rusia, walaupun Rusia pada masa itu masih merupakan ekonomi yang berasaskan pertanian secara umumnya, tetapi potensi revolusi wujud dalam kalangan kelas pekerja industri. Pada waktu Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia ditubuhkan, hanya terdapat 3 juta orang pekerja industri di Rusia, bersamaan dengan hanya 3% daripada jumlah penduduk Empayar Rusia pada masa itu.

46. Kongres Kedua Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia diadakan pada 30 Julai hingga 23 Ogos 1903 (bersamaan 17 Julai hingga 10 Ogos mengikut Kalendar Julian). Kongres ini pada awalnya diadakan di Brussels, Belgium, tetapi polis Belgium telah memaksa delegasi Kongres keluar dari negara itu, dan Kongres yang bersejarah ini disempurnakan di London, Britain.

47. Dalam Kongres Kedua, Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia berpecah kepada dua puak:
i. Bolshevik (bermaksud majoriti) – dipimpin oleh Vladimir Lenin.
ii. Menshevik (bermaksud minoriti) – dipimpin oleh Julis Martov.

48. Perbezaan antara Bolshevik dan Menshevik adalah:
– Bolshevik (dan Lenin) berpandangan bahawa revolusi perlu dipimpin dan dikuasai oleh proletariat (kelas pekerja) sahaja, manakala Menshevik (dan Martov) percaya bahawa perlunya kerjasama dengan kelas borjuasi (kapitalis nasional).
– Bolshevik menekankan pada penubuhan sebuah parti yang teratur secara ketat dan dikawal oleh golongan revolusioner, sementara Menshevik mahu menubuhkan parti yang lebih inklusif, terbuka kepada proletariat dan borjuasi.
– Bolshevik berhasrat membawa perubahan terus daripada pemerintahan Tsar menuju Komunisme (masyarakat tanpa kelas) dan mendesak untuk revolusi proletariat serta-merta, sementara Menshevik menganggap perlunya peringkat peralihan secara beransur-ansur kerana masyarakat Rusia pada masa itu masih di peringkat awal untuk melakukan revolusi.
– Bolshevik merupakan revolusioner yang radikal (mahukan perubahan secara total dan mendadak), manakala Menshevik lebih bersifat moderat (mahukan perubahan secara berperingkat).

49. Ramai anggota dalam kedua-dua puak Bolshevik dan Menshevik saling bertukar pihak, khususnya pada tahun 1903-1904 apabila perpecahan baru berlaku dalam Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia. Plekhanov yang pada awalnya bersekutu dengan Lenin dan Bolshevik, tetapi telah berpisah dengan Bolshevik pada tahun 1904. Leon Trotsky (1879-1940), pada awalnya menyokong Menshevik, tetapi meninggalkan Menshevik pada bulan September 1904 apabila Menshevik mengambil pendirian untuk bersekutu dengan golongan liberal dan membantah pendamaian dengan Bolshevik. Trotsky tidak menyertai mana-mana puak sehingga bulan Ogos 1917, apabila beliau menyertai Bolshevik.

50. Pada bulan April 1905, Bolshevik menganjurkan Kongres Ketiga Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia di London, tetapi hanya dihadiri anggota Bolshevik. Menshevik pula menganjurkan persidangan yang berasingan di Geneva. Terdapat cubaan untuk menyatukan semula parti selepas itu, tetapi tidak berjaya akhirnya.

51. Bolshevik memainkan peranan yang agak kecil dalam Revolusi 1905. Bolshevik merupakan minoriti dalam Soviet Saint Petersburg yang dipimpin oleh Trosky, tetapi menguasai Soviet Moscow.

52. Bolshevik memboikot pilihanraya untuk Duma Pertama pada tahun 1906, tetapi mengambil bahagian dalam pilihanraya untuk Duma Kedua bersama dengan Menshevik pada bulan Januari 1907 dan membolehkan Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia menang sebanyak 65 daripada 518 kerusi. Namun, Duma Kedua hanya kekal untuk 103 hari sahaja, sehingga kerajaan Tsar menggunakan alasan bahawa Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia sedang bersedia menggulingkan kerajaan melalui perjuangan bersenjata untuk membubarkannya. Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia masih mengambil bahagian dalam pilihanraya Duma Ketiga pada bulan Oktober 1907, tetapi kerusinya telah berkurang hingga tinggal 19 sahaja, akibat daripada undang-undang pilihanraya yang tidak adil.

53. Wujudnya satu sayap yang radikal dalam Menshevik, dikenali sebagai Menshevik Internasionalis. Menshevik Internasionalis membantah sebarang gabungan dengan kuasa politik yang mewakili kelas borjuasi, tetapi tidak ingin menerima konsep pemerintahan kelas pekerja yang dibawa oleh Bolshevik.

54. Mulai tahun 1912, Bolshevik membentuk parti yang berasingan, dengan nama Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia (Bolshevik). Pada tahun 1918, iaitu selepas Revolusi Oktober, Parti Boshevik bertukar nama kepada Parti Komunis (Seluruh-)Rusia (Bolshevik). Pada tahun 1925, parti ini bergelar Parti Komunis Seluruh Kesatuan (Bolshevik). Dari tahun 1952 hingga 1992, parti ini dinamakan Parti Komunis Kesatuan Soviet.

01 Lenin Writing.jpg
E. Parti politik yang revolusioner

55. Pada tahun 1902, iaitu setahun sebelum Kongres Kedua Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia, Lenin telah menerbitkan risalah yang ditulisnya dengan judul “Apa yang Perlu Dilakukan?” (What is to be Done?), menggariskan pandangannya tentang tugasan dan metologi parti dalam membentuk “vanguard untuk proletariat”. Hujah-hujah yang dibawa dalam risalah ini merupakan sebahagian sebab tercetusnya perpecahan antara Bolshevik dan Menshevik dalam Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia.

56. Dalam “Apa yang Perlu Dilakukan?”, Lenin berhujah bahawa kelas pekerja tidak akan berkesedaran secara spontan dengan melakukan perjuangan ekonomi melawan majikan dalam isu-isu seperti gaji, masa kerja dan sebagainya. Untuk menarik kelas pekerja kepada Marxisme dan meningkatkan kesedaran kelas untuk revolusi, golongan Marxis perlu membentuk sebuah parti politik, ataupun “vanguard” (perintis), yang terdiri daripada golongan revolusioner yang berdedikasi untuk menyebarkan idea-idea politik kiri dalam kalangan pekerja.

57. Lenin mendukung sebuah parti politik revolusioner yang berdisiplin, berpusat dan dianggotai aktivis yang berkomitmen tinggi dalam perjuangan kelas.

58. Lenin menolak keganasan (terrorisme) sebagai taktik revolusioner. Lenin menyokong revolusi yang melibatkan massa pekerja.

59. Lenin membidas kecenderungan “ekonomis” dalam gerakan Demokrasi Sosial Rusia. Ekonomis menghadkan tugas-tugas kelas pekerja kepada perjuangan ekonomi untuk gaji yang lebih tinggi, keadaan kerja yang lebih baik dan sebagainya, di samping menegaskan bahawa perjuangan politik adalah urusan borjuasi liberal. Ekonomis menafikan peranan parti kelas pekerja, dan menganggap parti kelas pekerja hanya sekadar pemerhati untuk proses kespontanan gerakan. Ekonomis membantah keperluan untuk mewujudkan sebuah parti kelas pekerja yang berpusat. Ekonomisme boleh mengalihkan perhatian kelas pekerja daripada jalan perjuangan kelas yang revolusioner kepada hanya menjadi sampingan kepada politik borjuasi.

60. Dalam perjuangan menentang kelas borjuasi, Demokrat Sosial yang revolusioner perlu memberi perhatian khususnya kepada persoalan teori.

61. “Tanpa teori yang revolusioner, tidak akan adanya gerakan yang revolusioner.” (Lenin, Apa yang Perlu Dilakukan?, 1902)

62. “…peranan pejuang vanguard hanya boleh dipenuhi oleh sebuah parti yang dipandu dengan teori yang paling maju.” (Lenin, Apa yang Perlu Dilakukan?, 1902)

63. Lenin berhujah bahawa pekerja-pekerja tidak akan menjadi Marxis secara spontan, hanya dengan memperjuangkan tuntutan gaji daripada majikan mereka. Sebaliknya, golongan Marxis perlu menubuhkan parti politik untuk menyebarkan idea-idea Marxis dan menyakinkan pekerja-pekerja untuk menjadi Marxis. Bagi Lenin, untuk memahami politik, seseorang itu perlu memahami masyarakat secara menyeluruh, bukan sahaja memahami pekerja itu sendiri dan perjuangan ekonomi pekerja dengan majikan mereka. Untuk menjadi politikal dan menjadi Marxis, pekerja-pekerja perlu mempelajari segala tentang masyarakat, bukan tentang diri mereka sahaja.

64. Lenin berpendapat bahawa perlunya satu organ parti (iaitu suratkhabar terbitan parti) yang dapat menyebarkan pandangan dan panduan politik kepada golongan kelas pekerja, supaya mereka tidak terjerat dalam melakukan aktiviti amaturis dan sekadar menumpu perhatian pada perjuangan ekonomi. Suratkhabar parti perlu bertindak sebagai alat propaganda secara kolektif, alat agitasi secara kolektif dan alat mengorganisasi masyarakat secara kolektif untuk revolusi.

65. Suratkhabar yang berfungsi sebagai organ parti revolusioner dapat membolehkan padangan parti disebarkan secara meluas, menyatukan dan menyeragamkan pemikiran politik untuk perubahan, melatih ahli-ahli parti untuk mengikuti perkembangan politik secara teliti, membentuk jaringan organisasi masyarakat melalui pengedaran suratkhabar, menjadi tulang belakang untuk organisasi massa dan berfungsi sebagai pusat mengorganisasi parti revolusioner itu.

66. Lidah rasmi Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia, Iskra (bermaksud “percikan api”), mulai diterbitkan pada bulan Disember 1900. Namun, oleh sebab penindasan politik di bawah rejim Tsar, penerbitan Iskra terpaksa dipindah ke luar Empayar Rusia dan edisi yang dikeluarkan diseludup masuk balik ke Rusia. Iskra pada awalnya dikendalikan oleh Lenin, dan menjadi suratkhabar bawah tanah yang paling laris di Rusia pada masa itu. Seperti yang digariskan Lenin dalam “Apa yang Perlu Dilakukan?”, Iskra menjadi alat penting untuk menyelaraskan gerakkerja parti di peringkat kebangsaan. Pada tahun 1903, berikutan perpecahan dalam Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia, Lenin meninggalkan editorial Iskra dan suratkhabar ini dikuasai Menshevik sehingga berhenti pengeluarannya pada tahun 1905.

67. Lenin membangunkan “Sentralisme Demokratik” sebagai prinsip susunan organisasi dalam parti revolusioner, khususnya organisasi politik yang perlu bergerak di bawah suasana pemerintahan yang represif.

68. Intipati Sentralisme Demokratik adalah “kebebasan dalam perbincangan, perpaduan dalam tindakan”. Anggota-anggota organisasi revolusioner bebas untuk berbincang dan berdebat tentang dasar-dasar dan halatuju organisasi. Keputusan dibuat secara konsensus (persetujuan sebulat suara) atau pengundian demokratik. Selepas keputusan dibuat, untuk melaksanakan keputusan organisasi, semua anggota perlu bertindak dengan mematuhi, mempertahankan dan melaksanakan segala keputusan yang telah dibuat secara demokratik.

69. Sebuah parti yang revolusioner harus menjadi “alat memori” bagi massa, pada masa yang sama juga belajar daripada massa.

trotskyleninkamenev - Copy.jpg
(Dari kiri: Trotsky, Lenin dan Kamenev)

F. Persoalan revolusi

70. Selepas Revolusi 1905, golongan Marxis di Rusia menghadapi cabaran dengan wujudnya dua aliran pemikiran yang bercanggah:
i. Pencair (liquidator) – berpandangan bahawa gerakan parti bawah tanah harus dibubarkan dan membentuk parti yang sah di sisi undang-undang. Golongan ini dianggap cuba “mencairkan” politik revolusioner dengan hanya fokus pada kerja-kerja reformis yang bersifat sederhana atau aman, dan patuh pada undang-undang (walaupun undang-undang zalim).
ii. Ultra-Kiri – berpandangan bahawa parti revolusioner harus menumpu pada kerja-kerja bawah tanah. Tidak perlu melibatkan diri dalam parlimen dan pilihanraya. Golongan ini menjadi semakin eksklusif dan berpisah daripada massa masyarakat kerana pendirian mereka yang terlalu ekstrim.

Lenin tidak bersetuju dengan kedua-dua pendirian ini dan berpandangan bahawa perlu mengimbangi pendirian yang boleh menghancurkan revolusi ini.

71. Berkaitan dengan isu penglibatan dalam pilihanraya, semasa wujudnya perdebatan dalam Bolshevik sama ada perlu boikot pilihanraya Duma Ketiga pada bulan Oktober 1907 atau tidak, Lenin berhujah untuk jangan memboikot. Lenin melihat pilihanraya sebagai ruang yang sah di sisi undang-undang untuk memperkembangkan idea-idea revolusioner. Lenin berpendapat bahawa parti revolusioner patut menggunakan pilihanraya untuk mendapatkan sokongan dan menyebarkan mesejnya. Namun, ahli-ahli parlimen daripada parti revolusioner yang telah dipilih, perlu bersikap dan bertindak berbeza sepenuhnya daripada jenis ahli politik yang berkeistimewaan. Ahli parlimen yang revolusioner patut menggunakan posisi mereka sebagai platform untuk mendedahkan kepincangan Tsar dan menyeru pada pekerja di luar parlimen untuk bangkit berjuang.

72. Lenin menghujahkan bahawa slogan umum untuk propaganda sosialis di Rusia pada masa itu adalah:
i. Wujudkan sebuah Republik (iaitu menjatuhkan pemerintahan Tsar yang autokratik dan menggantikannya dengan sebuah republik yang demokratik).
ii. Merampas semua tanah estet (milik tuan tanah besar).
iii. Kerja 8 jam sehari.

73. Bagi Bolshevik, pilihanraya dianggap sebagai proses untuk mendidik, melatih dan mengorganisasi massa; manakala bagi Menshevik, melibatkan diri dalam pilihanraya adalah hanya untuk menang pilihanraya.

74. Bolshevik berpendirian bahawa boleh bekerjasama atau membentuk pakatan dengan parti-parti lain, termasuk parti borjuasi, dengan syarat parti pekerja itu masih boleh bergerak secara bebas dan boleh mengutuk program parti-parti lain. Pembentukan pakatan pilihanraya adalah sesuatu yang taktikal, tetapi dengan tujuan meningkatkan (bukannya mengurangkan) tahap kesedaran kelas, semangat revolusioner dan keupayaan untuk berjuang dan menang. Jika kerjasama dengan sesuatu parti borjuasi yang lain tetapi tiadanya kesan meningkatkan kesedaran kelas dan semangat perjuangan, maka ianya hanyalah satu tindakan yang oportunis.

75. Leon Trotsky pula membangunkan teori “Revolusi Berterusan” (Permanent Revolution), bertentangan dengan “Teori Dua Peringkat” berkenaan dengan strategi revolusi di Rusia yang khususnya dibawa oleh Menshevik.

76. Teori Dua Peringkat menghujahkan bahawa di negara-negara yang kurang membangun, seperti Rusia di bawah pemerintahan Tsar, masyarakat perlu melalui peringkat kapitalisme terlebih dahulu sebelum melangkah ke peringkat sosialis. Anggapan ini wujud berasaskan pada pemahaman tentang teori Marxis Klasikal sebelum tahun 1905 bahawa hanya revolusi di masyarakat kapitalis negara Eropah yang maju sahaja dapat mewujudkan masyarakat sosialis. Revolusi di negara yang kurang membangun ataupun negara yang rakyatnya bermajoriti petani, hanya menyediakan asas untuk pembangunan kapitalisme kerana petani yang dibebaskan akan bertukar menjadi pemilik harta, pengeluar dan pedagang kecil yang membawa kepada perkembangan pasaran komoditi, dan kelas kapitalis baru hanya dapat muncul daripada itu. Hanya syarat-syarat masyarakat kapitalis yang dibangunkan secara penuhnya menyediakan asas untuk membina sosialisme. Maka teori revolusi Marxis yang asal adalah mustahil direalisasikan di negara yang kurang membangun seperi Rusia pada awal abad ke-20. Rusia pada masa itu dianggap belum lagi mencapai tahap pembangunan masyarakat kapitalis yang maju, kerana masih terdapatnya unsur-unsur feudal yang jelas dengan kewujudan kelas kapitalis yang lemah.

77. Menshevik percaya bahawa Teori Dua Peringkat dapat diaplikasikan di Rusia, iaitu melakukan perubahan menuju ke masyarakat kapitalis terlebih dahulu, baru berusaha untuk mencapai revolusi sosialis. Namun, idea ini dikritik oleh Trotskty dengan teori Revolusi Berterusan yang dibangunkannya berikutan Revolusi 1905 di Rusia.

78. Konsep Revolusi Berterusan diperkenalkan oleh Trotsky dalam tulisannya “Hasil dan Prospek” (1906) dan “1905” (1907).

79. Idea asas untuk teori Revolusi Berterusan adalah, kelas borjuasi di Rusia tidak dapat melaksanakan tugas Revolusi Demokratik Borjuasi secara menyeluruh, di mana revolusi sebegini akan mewujudkan demokrasi politik dan menyelesaikan persoalan tanah bagi kelas petani. Proses Revolusi Demokratik Borjuasi dianggap penting dalam membangunkan ekonomi Rusia, tetapi kelas borjuasi yang lemah tidak boleh diharapkan untuk memimpin revolusi ini. Oleh yang demikian, revolusi pada masa akan datang perlu dipimpin oleh proletariat, yang bukan sahaja akan menyempurnakan tugas-tugas Revolusi Demokratik Borjuasi, tetapi akan juga terus membawa perjuangan ke hadapan melepasi tahap Revolusi Demokratik Borjuasi.

80. Sejauh mana revolusi yang dipimpin kelas pekerja boleh sampai, akan bergantung pada proses perjalanan revolusi itu, bukannya berasaskan pada penetapan secara teori bahawa revolusi itu bersifat “Demokratik Borjuasi”. Oleh itu, revolusi itu perlu dijadikan “berterusan”, bukannya berperingkat.

81. Trotsky percaya bahawa negara pekerja baru yang dibentuk selepas revolusi tidak akan dapat menangkis dunia kapitalis yang bermusuhan dengannya, kecuali munculnya revolusi sosialis di negara-negara lain juga. Revolusi di sesebuah negara tidak boleh berhenti seketika pun, tetapi perlu kekal “berterusan” demi mendapatkan sokongan daripada revolusi di peringkat antarabangsa, supaya mengelakkan revolusi di sesebuah negara itu diasingkan dan dipencilkan.

82. Lenin dan Bolshevik pada awalnya pula memegang pada teori yang terletak antara Teori Dua Peringkat dan Revolusi Berterusan. Lenin mempunyai pandangan yang serupa dengan Trotsky, di mana kelas borjuasi tidak akan dapat menyempurnakan revolusi borjuasi. Lenin pada asalnya menganggap “Pemerintahan Demokratik” oleh gabungan antara pekerja dan petani dapat menyempurnakan tugas yang tidak mampu dilakukan oleh kelas borjuasi. Namun, pada tahun 1917, pandangan Lenin semakin sama dengan Trotsky, di mana beliau berhujah bahawa kelas borjuasi Rusia bukan sahaja tidak mampu menjalankan tugas Revolusi Demokratik Borjuasi, dan kelas pekerja patut mengambilalih kuasa politik negara, tetapi kelas pekerja juga perlu mengambilalih kuasa ekonomi melalui soviet.

tdih-march08-HD.jpg
G. Revolusi Februari

83. Revolusi Februari berlaku pada 8-15 Mac 1917 (bersamaan 23 Feburari – 2 Mac mengikut Kalendar Julian), bermula dengan mogok pekerja kilang mesin Putilov menentang kerajaan Tsar dan protes menyambut Hari Wanita Sedunia di Petrograd (iaitu Saint Petersburg), ibu negara Rusia pada masa itu. Protes ini kemudiannya mencetuskan siri peristiwa kebangkitan rakyat yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan monarki Tsar.

84. Revolusi Februari tercetus secara spontan, melibatkan massa rakyat pekerja yang ramai, tanpa kepimpinan yang jelas ataupun perancangan yang terlebih dahulu.

85. Faktor-faktor tercetusnya Revolusi Februari:

i. Perang Dunia I

  • Empayar Rusia telah menyertai Kuasa Bersekutu (blok negara imperialis termasuk Britain dan Perancis) untuk berperang dengan Kuasa Tengah (terdiri daripada Jerman dan Austria-Hungary). Penglibatan dalam perang telah mendatangkan kesan buruk kepada Rusia. Kekalahan tentera Rusia di barisan hadapan perang juga mematahkan semangat ramai orang yang pada awalnya menyokong perang. Semakin ramai rakyat tidak berpuas hati dengan rejim Tsar Nicholas II dalam caranya mengendalikan perang.

ii. Keadaan ekonomi yang semakin merosot

  • Akibat daripada perang, ekonomi Rusia juga mengalami masalah yang serius. Usaha kerajaan mencetak nota wang dalam jumlah yang banyak untuk membiayai perang, telah mengakibatkan inflasi yang teruk. Kekurangan makanan juga menjadi satu masalah yang besar.

iii. Masalah petani yang tidak selesai

  • Para petani masih terasa tertekan dengan pembayaran wang tebusan tanah kepada kerajaan.

iv. Masalah pekerja

  • Masa kerja yang panjang. Gaji yang rendah. Kos hidup yang semakin meningkat khususnya selepas Rusia mengambil bahagian dalam perang. Keadaan perumahan yang sempit dan kotor untuk pekerja.

v. Pentadbiran rejim Tsar yang semakin kehilangan sokongan
vi. Warisan politik daripada Revolusi 1905

  • Memori kebangkitan rakyat dalam revolusi 12 tahun sebelum itu masih kekal dalam ingatan ramai orang. Eksperimen politik seperti soviet menjadi inspirasi untuk tindakan politik kelas pekerja.

86. Apabila Rusia mengambil bahagian dalam Perang Dunia I pada bulan Ogos 1914, hampir semua ahli parlimen mengundi untuk menyokong perang. Penglibatan Rusia dalam perang telah diikuti dengan pengembalian sentimen nasionalis dalam masyarakat Rusia, dan berjaya meredakan konflik yang wujud dalam masyarakat kerana perhatian rakyat telah dialihkan kepada “ancaman luar”. Hampir semua parti politik terikut-ikut dengan sentimen nasionalis dan menyokong perang, kecuali Parti Bolshevik. Lenin berhujah bahawa Perang Dunia I adalah perang imperialis, bukannya perang yang berbaloi untuk berjuang. Lenin berhujah bahawa proletariat tidak dapat menang atau memperoleh apa-apa dalam perang kapitalis; musuh sebenar kepada proletariat adalah pemimpin-pemimpin imperialis yang menghantar kelas bawahan ke medan perang. Pekerja akan mendapat lebih kelebihan daripada kekalahan negara mereka sendiri, jika perang berkenaan boleh bertukar menjadi perang saudara (perang kelas) dan revolusi antarabangsa. Idea sebegini dikenali sebagai “mati semangat secara revolusioner” (revolutionary defeatism).

87. Pada awal tahun 1917, Parti Bolshevik yang keanggotaannya telah bertambah secara stabil sehingga 24,000 orang pada masa itu, membantu dalam mengadakan aksi massa untuk memperingati “Hari Ahad Berdarah” (Revolusi 1905). Pada masa itu, kebanyakan pemimpin Bolshevik berada dalam penjara ataupun dibuang negeri. Maka, kebanyakan keputusan parti diambil dari bawah. 30,000 orang pekerja Moscow melancarkan mogok, manakala 145,000 orang pekerja bermogok di Petrograd. Bandar-bandar seperti Baku, Novgorod, Novocherkassk, Voronezh, Kharkov, Rostov-on-Don juga berlakunya mogok satu hari.

88. Pada 3 Mac 1917 (bersamaan 18 Februari mengikut Kalendar Julian), pekerja-pekerja di kilang Putilov, iaitu kilang perindustrian terbesar di Petrograd pada masa itu, telah mengumumkan mogok untuk menyuarakan bantahan terhadap kerajaan.

89. Pada 8 Mac 1917 (bersamaan 23 Februari mengikut Kalendar Julian), sambutan Hari Wanita Antarabangsa telah mencetuskan revolusi. Pekerja-pekerja tekstil wanita yang militan, yang kebanyakannya isteri kepada askar-askar di barisan hadapan, telah melancarkan mogok besar-besaran di Petrograd, membantah catuan makanan yang dilaksanakan kerajaan. Pekerja-pekerja wanita bertegas untuk bermogok walaupun dihalang oleh pimpinan kesatuan mereka sendiri. Antara tuntutan mereka adalah menyelesaikan kekurangan bekalan makanan, menghentikan perang dan menamatkan pemerintahan autokrasi. “Tanah, roti dan keamanan” adalah slogan laungan pekerja. Penulis sejarah borjuis mengambarkan pergerakan teratur ini sebagai “Rusuhan Roti”.

90. Pada 9 Mac 1917, hampir 200,000 orang berprotes di jalanan Petrograd, menuntut supaya Tsar digantikan dengan pemimpin politik yang lebih progresif. Tuntutan baru telah beralih kepada menumbangkan Tsar dan menamatkan perang. Hampir separuh daripada jumlah pekerja di Petrograd melakukan aksi mogok. Pekerja yang bermogok telah mendapat sokongan daripada askar-askar.

91. Pada 10 Mac 1917 (bersamaan 25 Februari mengikut Kalendar Julian), hampir semua perusahaan di Petrograd telah tutup kerana kebangkitan pekerja. Walaupun kerajaan melarang semua perhimpunan di jalanan, masih adanya 250,000 orang pekerja bermogok.

92. Pada 11 Mac 1917, polis melakukan penahanan besar-besaran terhadap pemimpin organisasi revolusioner, termasuk Bolshevik. Tentera di bawah arahan Tsar telah melepaskan tembakan ke atas pekerja yang bermogok. Pada waktu petang, askar-askar daripada Kompeni ke-4 Rejimen Pavlovsky yang marah kerana sebahagian tentera daripada rejimen mereka melepaskan tembakan ke atas pekerja, melulu ke jalan untuk menghentikan tindakan tersebut. Polis cuba menghalang, sehingga berlakunya pertempuran. Ini menandakan pemberontakan askar secara terbuka di garison Petrograd. Sehari kemudian, askar-askar di Rejimen Volynsky membunuh komander mereka yang melepaskan tembakan ke atas pekerja sehari sebelumnya. Askar-askar tersebut melengkapkan diri dengan senjata, melakukan agitasi ke seluruh rejimen. Rejimen Litovsky dan Preobrazhensky menyertai pemberontakan, dan membebaskan tahanan politik. Pada waktu senja 12 Mac 1917, 66,000 orang askar di Petrograd, yang sehari sebelumnya diarahkan untuk menembak pekerja, telah menyertai pekerja-pekerja yang bermogok, dengan berkelengkapan senjata.

93. Soviet Wakil-wakil Pekerja dan Askar Petrograd, atau dikenali sebagai Soviet Petrograd, telah ditubuhkan pada 12 Mac 1917. Jawatankuasa Eksekutif Soviet Petrograd telah dipilih dan dikuasai oleh Menshevik dan Parti Sosialis-Revolusioner (SR), dengan Nikoloz Chkheidze (1864-1926) sebagai Pengerusi.

94. Pada 13 Mac 1917, massa revolusioner telah mengambilalih Moscow. Menteri-menteri Tsar ditahan. Jawatankuasa Sementara menguasai tentera. Kelasi-kelasi di Kronstadt memberontak.

95. Pada 14 Mac 1917, Soviet Petrograd telah mengeluarkan Arahan No.1, dengan keputusan seperti semua unit askar akan memilih Jawatankuasa Askar. Arahan ini membolehkan askar-askar menerima arahan daripada Soviet Askar dan jawatankuasa yang dipilih di peringkat tempatan. Soviet Petrograd menghalang anggotanya daripada menyertai kerajaan yang bakal ditubuhkan, tetapi mengiktiraf autoriti Duma Bandar Petrograd, iaitu majlis perbadaran untuk Petrograd.

96. Pada 15 Mac 1917, Soviet dan Duma meneruskan perbincangan tentang pembentukan kerajaan baru. Dalam Plenum Soviet, Bolshevik mengkritik kekurangan fokus pimpinan soviet dalam persoalan tanah, keamanan dan kerja 8 jam sehari.

97. Oleh sebab pimpinan tentera Rusia pada masa itu mendapati bahawa mereka tidak dapat lagi melenyapkan revolusi tersebut, maka memaksa Tsar Nicholas II untuk undur dari takhtanya pada 15 Mac 1917. Kerajaan Sementara ditubuhkan pada 16 Mac 1917 dan diketuai oleh Georgy Lvov (1861-1925), seorang anggota parti Kadet yang berfahaman liberal. Pekerja-pekerja, askar-askar dan anak-anak muda turun ke jalanan, menjatuhkan patung Tsar dan membakar lambang empayar. Pada 19 Mac 1917, Pemerintah Sementara mengumumkan amnesti untuk semua tahanan politik.

98. Golongan liberal dan borjuasi yang mengambilalih kuasa daripada rejim Tsar, berhasrat untuk menjaga kepentingan kelas mereka dengan menggadaikan gerakan rakyat yang membolehkan mereka berkuasa. Namun, situasi di Rusia pada 1917 amat berbeza. Ini kerana pada masa itu, wujudnya sebuah parti yang berasaskan massa kelas pekerja yang akan berjuang secara habis-habisan untuk kepentingan kelas pekerja, dan juga wujudnya soviet, satu bentuk pemerintahan demokrasi pekerja yang baru.

99. Revolusi Februari menyaksikan kejatuhan rejim pemerintahan monarki Tsar di Rusia, tetapi gelombang revolusi tidak berhenti di situ. Revolusi Februari hanya merupakan permulaan kepada proses revolusi yang lebih hebat lagi.

2411695a-a074-482e-b3d6-9318e97a8a89.png
H. Kuasa Berdua

100. Pada masa yang sama dengan kewujudan Kerajaan Sementara, golongan sosialis, termasuk Bolshevik, telah membentuk soviet-soviet, antaranya Soviet Petrograd (Majlis Perwakilan Pekerja-pekerja dan Askar-askar Petrograd).

101. Oleh sebab Kerajaan Sementara masih meneruskan penglibatan negara Rusia dalam Perang Dunia I, protes dan mogok menentang Kerajaan Sementara menjadi semakin hebat. Ini telah memaksa Kerajaan Sementara membentuk kerajaan campuran dengan Jawatankuasa Eksekutif Soviet Petrograd, mewujudkan keadaan yang dikenali sebagai “Kuasa Berkembar” atau “Kuasa Berdua” (Dual Power).

102. Keadaan di mana Kerajaan Sementara sebagai pemerintah Empayar Rusia secara rasmi tetapi sebenarnya tidak berkuasa, menimbulkan kancah birokrasi yang mengelirukan, menyebabkan Kerajaan Sementara tidak dapat menangani pelbagai isu penting secara berkesan, seperti masalah kebuluran yang berleluasa dan pembunuhan askar Rusia di barisan hadapan Perang. Krisis pada Kerajaan Sementara membuka peluang kepada sesetengah puak berhaluan kanan untuk memperoleh kuasa autokratik, tetapi akhirnya digagalkan oleh kuasa revolusioner.

103. Kedua-dua Menshevik dan Parti Sosialis-Revolusioner (SR), percaya bahawa revolusi yang sedang berlaku itu mestilah bercirikan kapitalis, sebelum dapat berganjak ke Sosialisme pada masa depan yang tidak dapat ditentukan. Mereka berpegang kuat pada dogma-dogma Teori Dua Peringkat tentang revolusi. Menshevik yang berpegang pada fahaman strategi revolusi berperingkat ini, menganggap Rusia masih berada di peringkat revolusi demokratik borjuasi, maka harus bekerjasama dengan Kerajaan Sementara yang bersifat kapitalis, dan mengharapkan mereka akan melaksanakan reformasi tanah dan pembaharuan demokratik. Sebelum Lenin pulang ke Rusia, pandangan ini juga disokong oleh sebahagian pimpinan Bolshevik seperti Joseph Stalin (1878-1953), Lev Kamenev (1883-1936), Vyacheslav Molotov (1890-1986) dan Grigory Zinoviev (1883-1936).

104. Semasa Revolusi Februari, kuasa utama yang menentang pemerintahan Tsar datang daripada pekerja-pekerja dan askar-askar. Golongan borjuasi tidak pernah memimpin revolusi ini. Selepas Revolusi Februari, pekerja-pekerja dan askar-aksar telah mendirikan badan pemerintahan mereka sendiri, iaitu Soviet. Golongan borjuasi tidak terlibat dan tiadanya kuasa dalam soviet. Soviet-soviet menguasai senjata. Kerajaan Sementara hampir tiada tenteranya. Tetapi, mengapa satu revolusi yang dimulakan oleh pekerja-pekerja dan askar-askar, hasilnya diperolehi oleh golongan borjuasi? Mengapa kuasa yang sebenarnya telah dipegang oleh soviet-soviet, tetapi masih ada satu Kerajaan Sementara yang berada di atas mereka dan memerintah bagi pihak mereka?

105. Soviet Petrograd dianggotai oleh wakil-wakil yang dipilih dalam kilang-kilang dan rejimen-rejimen askar, menyelaraskan aktiviti soviet-soviet lain yang muncul di seluruh Rusia pada waktu itu. Soviet Petrograd pada awalnya dikuasai oleh Menshevik dan SR. Bolshevik semakin berpengaruh selepas itu atas tindakan politik mereka yang semakin mendapat sambutan golongan pekerja.

106. Walaupun mewakili kepentingan kelas pekerja Rusia, Soviet Petrograd pada awalnya tidak mencabar secara langsung kekuasaan Kerajaan Sementara. Malah, Soviet Petrograd mengarahkan askar-askar dan kelasi-kelasi untuk mematuhi arahan pegawai atasan dan Kerajaan Sementara selagi arahan mereka tidak bercanggah dengan arahan yang dikeluarkan Soviet Petrograd. Walau bagaimanapun, penguasaan Kerajaan Sementara ke atas askar-askar telah dihadkan secara efektif.

107. Maka, satu situasi yang aneh timbul selepas Revolusi Februari. Pekerja-pekerja dan askar-askar telah memegang kuasa yang sebenar, tetapi pimpinan soviet mereka masih menyokong satu kerajaan sementara yang dikuasai golongan borjuasi. Pekerja-pekerja dan askar-askar tidak percaya pada Kerajaan Sementara, tetapi percaya pada pimpinan soviet. Asas kekuasaan Kerajaan Sementara pula bergantung pada sokongan pimpinan soviet.

108. Fenomena yang wujud ini dikenali sebagai “Kuasa Berdua”. Dari bulan Mac 1917 hingga November 1917, iaitu selepas Revolusi Februari hingga berlakunya Revolusi Oktober, kuasa pemerintahan di Rusia, khususnya di ibu negaranya Petrograd, dibahagikan kepada Kerajaan Sementara dan Soviet Petrograd. Kerajaan Sementara memiliki kuasa pemerintahan secara rasmi dalam Empayar Rusia, sementara Soviet Petrograd memenang kuasa sebenar dalam kalangan rakyat biasa. Soviet menyokong Kerajaan Sementara secara bersyarat, selagi Kerajaan Sementara patuh pada prinsip-prinsip tertentu. Selain Petrograd, soviet-soviet juga wujud di bandar-bandar yang lain, seperti Moscow.

109. Kewujudan “Kuasa Berdua”, memberikan kelebihan kepada pengwujudan momentum yang sebenar untuk menuju ke arah transformasi masyarakat yang revolusioner di Rusia, di mana soviet-soviet semakin terbukti sebagai alternatif yang radikal kepada institusi borjuasi yang semakin kehilangan kewibaan untuk membawa pembaharuan masyarakat yang sebenar. Proses revolusi diteruskan malah dipercepatkan lagi dengan percanggahan yang wujud dalam Kuasa Berdua. Dalam usaha kelas pekerja membina soviet sebagai institusi alternatif yang revolusioner, massa rakyat juga semakin diperkasakan, dilengkapi dengan kebolehan untuk mengurustadbir masyarakat dan berkomitmen untuk melakukan perubahan.

110. Kewujudan Kuasa Berdua menyediakan asas kepada pertembungan kelas yang selanjutnya, apabila massa rakyat semakin tertarik kepada bentuk masyarakat yang baru dan pemerintah lama pula tidak berkemampuan lagi menggunakan kekuasaan mereka dalam sistem untuk melenyapkan gerakan revolusi.

111. Kerajaan Sementara yang bersifat borjuasi tidak benar-benar berniat untuk menyelesaikan persoalan keamanan dan tanah. Yang berselindung di sebalik retorik revolusi mereka, adalah niat untuk menghancurkan revolusi. Kerajaan Sementara masih meneruskan penglibatan Rusia dalam Perang Dunia yang sudah dibenci hebat oleh rakyat jelata. Mereka cuba melengah-lengahkan masa supaya menunggu sehingga pergerakan massa menjadi lemah. Kontradiksi sebegini perlu ditangani.

112. Soviet telah memainkan peranan penting dalam pentadbiran kehidupan harian rakyat biasa selepas Revolusi Februari, bukannya Kerajaan Sementara yang hanya memerintah atas nama rakyat. Oleh itu, Revolusi Oktober yang berlaku kemudiannya sebenarnya bukan rampasan kuasa atau kudeta yang dilakukan oleh sekumpulan kecil orang yang berkonspirasi, tetapi hanyalah peralihan kuasa secara rasmi kepada soviet (bentuk pemerintahan demokratik pekerja) yang sudahpun memiliki kuasa yang sebenar sebelum Revolusi Oktober.

113. Sifat politik kerajaan soviet adalah ia merupakan pemerintahan yang revolusioner, iaitu kuasa yang berasaskan pengambilalihan revolusioner secara langsung, atas inisiatif langsung rakyat dari bawah, bukannya berdasarkan undang-undang yang digubal oleh kuasa negara yang berpusat.

114. Namun, kelas borjuasi tidak akan menyerahkan kuasa secara sukarela. Jika bukannya Soviet berkuasa, Kerajaan Sementara yang akan terus berkuasa dan hancurkan revolusi. Dalam waktu yang genting sebegini, amat memerlukan sebuah parti revolusioner yang dapat membuat penilaian yang tepat dan mengambil tindakan yang sepatutnya tepat pada masa. Bolshevik telah memikul tanggungjawab pelaksanaan tugas bersejarah ini dengan tegas dan beraninya.

main-qimg-444b2cd96957c5b41e501c93ffaca2ca-c - Copy.jpg
I. Tesis April

115. Vladimir Lenin bergiat aktif dalam politik revolusioner sejak tahun 1893 apabila beliau berpindah ke Saint Petersburg. Lenin pernah ditahan pada tahun 1895 dan dituduh menghasut. Lenin dihukum tanpa perbicaraan pada tahun 1897, dengan hukuman dibuang negeri ke Siberia. Lenin kemudiannya hidup dalam pembuangan di Eropah Barat mulai tahun 1900. Lenin bergiat dalam aktiviti politik revolusioner Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia dan kemudiannya menjadi salah seorang pemimpin utama Bolshevik semasa hidup dalam buangan.

116. Pada 16 April 1917, Lenin bersama dengan Zinoviev dan Bolshevik lain yang hidup dalam buangan telah pulang ke Rusia. Apabila keretapi yang dinaiki Bolshevik yang pulang dari buangan ini tiba di Stesen Finland di Petrograd, mereka di disambut oleh ramai pekerja, askar dan anggota parti. Semasa berucap pada penyokong-penyokong yang datang menyambutnya, Lenin mengecam Kerajaan Sementara dan menyarankan revolusi proletariat di seluruh benua Eropah. Lenin berteriak,“hidup revolusi sosialis!” Ada Bolshevik veteran yang tertanya-tanya pada masa itu, mengapa Lenin mengungkitkan tugas pemerintahan proletariat pada peringkat revolusi demokratik borjuasi, bukankah itu Trotskyisme?

117. Selepas pulang ke Rusia, dalam mesyuarat di kalangan Bolshevik, Lenin mengutuk golongan Bolshevik yang mahu berdamai dengan Menshevik. Lenin mengecam Menshevik dan SR, yang mempunyai pengaruh kuat dalam Soviet Petrograd, atas tindakan mereka menyokong Kerajaan Sementara, serta menyifatkan mereka sebagai pengkhianat kepada sosialisme.

118. Lenin telah menyampaikan pandangannya dalam tulisan berjudul “Tesis April”, yang menggariskan tugas-tugas revolusi proletariat untuk dilaksanakan Bolshevik.

119. Dalam tulisan Tesis April, Lenin telah menggariskan hujah-hujah berikut:

  • Mengutuk Kerajaan Sementara sebagai sebuah kerajaan yang bersifat borjuasi dan menyeru pada rakyat Rusia supaya jangan menyokongnya. Lenin juga mengecam Perang Dunia I sebagai “perang imperialis pemangsa” dan menyeru untuk mengambil sikap penyerahan kalah yang revolusioner (revolutionary defeatism).
  • Menegaskan bahawa Rusia pada masa itu sedang melepasi peringkat pertama revolusi (di mana kesedaran kelas dan organisasi proletariat yang tidak cukup, sehingga perlu meletakkan kuasa dalam tangan golongan borjuasi) untuk menuju ke peringkat keduanya, iaitu kuasa pemerintahan perlu dipegang dalam tangan proletariat dan golongan termiskin dalam kalangan petani.
  • Menyedari bahawa Bolshevik masih adalah minoriti di kebanyakan soviet yang ditubuh selepas revolusi, menentang blok kuasa yang terdiri daripada unsur-unsur oportunis borjuasi kecil yang menyebarkan pengaruh fahaman borjuasi dalam kalangan proletariat.
  • Menyeru supaya jangan menubuhkan republik berparlimen kerana ia adalah langkah yang songsang. Sebaliknya, Lenin menyeru penubuhan republik yang terdiri daripada soviet-soviet perwakilan untuk pekerja, buruh pertanian dan petani di seluruh negara.
  • Menyeru supaya membubarkan polis, tentera dan birokrasi. Semua pegawai perlu dipilih dan boleh dilucutkan jawatan bila-bila masa melalui pengundian, dengan gaji mereka tidak boleh melebihi gaji purata seseorang pekerja.
  • Menyeru supaya tanah di seluruh negara dimiliknegarakan dan diambilalih oleh Soviet Perwakilan Buruh Pertanian dan Petani di peringkat tempatan. Mengorganisasi Soviet Petani-petani Miskin secara berasingan. Wujudkan ladang model di tanah ladang yang besar di bawah kawalan Soviet Buruh Pertanian.
  • Menyeru supaya semua bank digabungkan menjadi satu bank negara dan dikawal oleh Soviet Perwakilan Pekerja-pekerja.
  • Menyatakan bahawa bukannya tugas serta-merta untuk Bolshevik memperkenalkan sosialisme, tetapi hanya untuk menjadikan pengeluaran sosial dan pengagihan barangan berada di bawah kawalan Soviet Perwakilan Pekerja-pekerja.
  • Menyenaraikan tugas-tugas parti seperti mengadakan kongres parti dengan segera, mengubahsuai program parti (termasuk berkenaan dengan persoalan imperialisme dan perang imperialis, sikap terhadap negara dan tuntutan untuk sebuah “negara berbentuk komun”), meminda program minimum parti yang sudah ketinggalan zaman dan menukar nama parti. Lenin berpendapat bahawa untuk memisahkan diri daripada parti-parti demokrat sosial di Eropah yang menyokong penyertaan negara masing-masing dalam Perang Dunia I dan pemimpin demokrat sosial yang mengkhianati perjuangan sosialisme dengan memeluk politik borjuasi, adalah lebih baik menggantikan panggilan “demokrasi sosial” dalam nama parti kepada nama baru, iaitu parti komunis.
  • Menyeru penubuhan sebuah International revolusioner yang baru, iaitu sebuah organisasi antarabangsa yang menentang sosial-chauvinis dan golongan berhaluan “tengah”. (Ini telah membawa kepada pembentukan Internasional Ketiga, Comintern, pada tahun 1919).

120. Bolshevik di bawah kepimpinan Lenin telah menawarkan alternatif baru kepada rakyat Rusia yang boleh dirumuskan dalam slogan “keamanan, roti dan tanah”.

ab89f0663ed26d9d8c47d233509bfa86.jpg
J. Soviet

121. Soviet, bermaksud “majlis mesyuarat”. Soviet semasa Revolusi Rusia, ataupun majlis pekerja, merupakan sejenis bentuk pemerintahan langsung kelas pekerja yang mengamalkan demokrasi pekerja.

122. Soviet pekerja yang pertama ditubuhkan semasa Revolusi 1905 di bandar Ivanovo-Voznesensk, sebuah bandar pusat pengeluaran tekstil. Pada tahun yang sama, Soviet Saint Petersburg juga ditubuhkan hasil daripada perjuangan mogok pekerja, tetapi hanya kekal untuk beberapa bulan sahaja. Pengalaman penubuhan soviet semasa Revolusi 1905, menjadi inspirasi kepada pekerja-pekerja Rusia untuk menubuhkan soviet selepas tercetusnya Revolusi Februari pada tahun 1917.

123. Selepas kegagalan Revolusi 1905, Trotsky meramalkan Revolusi Rusia yang akan datang pastinya berlaku dengan pertumbuhan soviet di merata tempat. Ramalan tersebut terbukti dengan begitu dahsyat sekali pada tahun 1917, sehingga Marxis di Rusia dan di lain tempat terpaksa menilai semula analisis mereka tentang sifat masyarakat Revolusi Rusia.

124. Soviet Perwakilan Pekerja-pekerja dan Askar-askar Petrograd ditubuhkan pada 12 Mac 1917. Apabila askar-askar yang ditempatkan di Petrograd sedang memberontak, ahli-ahli parlimen yang berhaluan kiri dalam Duma, tahanan politik yang baru dibebaskan, pekerja-pekerja dan golongan profesional (termasuk wartawan, doktor, peguam, kakitangan kerajaan tempatan dan sebagainya) telah berkumpul dan mengadakan mesyuarat di Istana Tauride (iaitu banguan parlimen pada masa itu). Satu Jawatankuasa Eksekutif Sementara telah dipilih, dan kemudiannya disahkan dalam sesi pleno soviet. Tanpa disedari oleh peserta dalam mesyuarat pada masa itu, penubuhan Soviet Petrograd merupakan titik perubahan penting dalam sejarah Rusia dan dunia.

125. Pekerja-pekerja dan askar-askar yang mendukung revolusi telah memilih wakil mereka ke dalam Soviet Petrograd. Pada 16 Mac 1917, Soviet Petrograd mempunyai seramai 1,300 orang anggota, dan bertambah kepada hampir 3,000 orang seminggu selepas itu, di mana antaranya 800 orang mewakili pekerja kilang dan selainnya mewakili unit askar yang memberontak. Pada awalnya, Menshevik dan SR mempunyai lebih ramai wakil yang dipilih ke dalam soviet berbanding Bolshevik. Di bawah pengaruh SR dan Menshevik, Soviet Petrograd menyokong Kerajaan Sementara yang dikuasai oleh golongan liberal dan borjuasi. Namun, Bolshevik yang menunjukkan kekonsistenan dalam menyokong proses revolusi proletariat semakin mendapat sokongan selepas itu.

126. Kongres Soviet-soviet Perwakilan Pekerja-pekerja dan Askar-askar Seluruh Rusia yang Pertama diadakan pada 16-24 Jun 1917. Seramai 1,090 orang delegasi hadir dalam Kongres tersebut, dengan 822 orang mempunyai hak mengundi, mewakili 305 buah soviet pekerja-pekerja, askar-askar dan petani-petani, serta 53 buah soviet mengikut rantau, wilayah dan daerah. Antara wakil-wakil yang berhak mengundi, adanya seramai 285 orang anggota SR, 248 orang Menshevik, 105 orang Bolshevik dan 32 orang Menshevik Internasionalis. Jawatankuasa Eksekutif Pusat Soviet (VTsIK) telah dipilih, diketuai oleh Menshevik dan Parti Sosialis-Revolusioner. Pengerusi pertama VTsIK, Nikoloz Chkheidze (1864-1926), ialah seorang Menshevik.

127. Kongres Soviet Perwakilan Pekerja-pekerja dan Askar-askar Seluruh Rusia yang Pertama dengan hampir sebulat suara bersetuju untuk menamatkan Perang Dunia I. Perdebatan hebat berlaku tentang usul menyokong Kerajaan Sementara, dengan protes daripada Bolshevik. Menshevik menegaskan bahawa Bolshevik perlu melucutkan senjata. Tanpa senjata, bermakna kuasa soviet-soviet askar akan dirampas. Bolshevik menegaskan bahawa kuasa perlu pergi kepada soviet-soviet.

128. Pekerja-pekerja dan askar-askar Rusia pada masa itu telah memegang kuasa yang sebenar, tetapi mereka tidak sedar tentang kuasa tersebut. Lenin telah melaungkan slogan “segala kuasa kepada Soviet”, dan berulang kali memberitahu pada soviet-soviet, bahawa merekalah yang patut mengambilalih kuasa pemerintahan, dan pendirian Bolshevik adalah menyokong soviet. Malangnya, pimpinan soviet yang masih dikuasai oleh kelompok Menshevik pada masa itu enggan berbuat demikian.

129. Pada 1 Julai 1917, Soviet Petrograd yang sudah semakin dikuasai oleh Bolshevik mengadakan demonstrasi dengan slogan “Semua Kuasa Kepada Soviet”.

130. Hasrat Bolshevik adalah menggulingkan Kerajaan Sementara yang menjadi badan pentadbiran untuk borjuasi, demi membentuk sebuah kerajaan revolusioner yang diurustadbir oleh soviet-soviet pekerja.

131. Soviet mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi pekerja. Sesiapa pun boleh mengundi untuk memilih wakilnya dalam soviet. Wakil yang dipilih ke dalam soviet boleh dilucutkan jawatannya secara pengundian bila-bila masa jika tidak melaksanakan tanggungjawab. Setiap tempat kerja, kilang, kawasan atau berek askar akan mengundi untuk memilih delegasi yang mewakili mereka. Wakil-wakil yang dipilih membentuk soviet tempatan. Soviet di sesuatu bandar, memiliki kuasa perundangan dan kuasa pelaksanaan untuk bandar berkenaan. Soviet tempatan akan memilih delegasi ke soviet pada peringkat yang lebih tinggi. Soviet-soviet akan memilih delegasi untuk membentuk Kongres Soviet, badan pentadbiran tertinggi untuk negara pekerja. Kongres Soviet boleh menggubal undang-undang, menguruskan ekonomi dan mengendalikan kemudahan awam. Setiap soviet boleh memilih satu jawatankuasa eksekutif, di mana jawatankuasa ini akan menguruskan hal ehwal harian di kawasan yang ditadbirnya. Jawatankuasa eksekutif perlu patuh kepada soviet, segala tindakannya perlu mengikut perundangan soviet.

132. Kuasa soviet adalah sama jenis dengan kuasa seperti yang ditunjukkan dalam Komun Paris 1871. Mengikut Lenin, sifat asas kuasa jenis ini adalah:

i. Sumber kuasanya bukan daripada undang-undang yang digubal oleh parlimen, tetapi inisiatif rakyat secara langsung dari bawah, melalui pengambilalihan terus di kawasan tempatan mereka.
ii. Menggantikan polis dan tentera (yang merupakan institusi yang terpisah daripada rakyat dan digunakan untuk menentang rakyat) dengan memperlengkapkan rakyat dengan senjata; susunan dalam negara di bawah kuasa sebegini dikekalkan oleh pekerja-pekerja dan petani-petani yang dilengkapi senjata untuk pertahanan diri.
iii. Pegawai-pegawai dan birokrasi digantikan dengan pemerintahan langsung daripada rakyat sendiri ataupun sekurang-kurangnya diletakkan di bawah pengawasan khas. Pegawai-pegwai bukan sahaja dipilih rakyat, tetapi juga boleh dilucutkan jawatan atas tuntutan rakyat. Pegawai-pegawai bukan lagi kumpulan istimewa yang memegang jawatan dengan gaji yang tinggi, tetapi menjadi lengan perkhidmatan khas untuk pekerja dengan gaji tidak melebihi gaji pekerja biasa.

133. Soviet merupakan bentuk demokrasi yang lebih tinggi berbanding demokrasi perwakilan yang dipraktik di bawah sistem kapitalis, di mana organisasi soviet dapat membangkitkan massa pekerja yang diperas dan memperkasakan mereka supaya mengambilalih tugas untuk mencipta sejarah baru. Soviet membolehkan massa yang tertindas berpeluang untuk mengambil bahagian secara aktif dalam usaha membina sebuah masyarakat baru secara bebas. Pemerintahan soviet ialah sejenis bentuk pemerintahan proletariat.

53z5q3ifxply.jpg
K. Peristiwa Julai

134. Pengaruh kesedaran revolusioner boleh merebak dengan pantasnya apabila tercetus proses revolusi. Dalam kebanyakan proses revolusi, kesedaran sebahagian kumpulan orang akan berkembang lebih cepat daripada majoriti. Pekerja-pekerja dan askar-askar di Petrograd pada tahun 1917 merupakan kumpulan sebegini. Namun, sewaktu kesedaran majoriti masih belum membangun, tindakan melulu segelintir kecil orang boleh menjadikan mereka terpisah daripada massa, dan mudah dipukul oleh anasir-anasir yang anti-revolusi. Contoh sebegini adalah Peristiwa Julai pada tahun 1917.

135. Pada bulan Julai 1917, selepas mendapat arahan untuk menuju ke barisan depan medan perang, beribu-ribu askar senapang mesin mengadakan satu mesyuarat untuk membincangkan pemberontakan bersenjata. Pada mulanya, Bolshevik cuba menenangkan keadaan dan meminta askar-askar supaya tidak bertindak secara melulu. Golongan anarkis pula mengapi-apikan semangat pemberontakan. Keadaan telah bertukar di luar kawalan. Askar-askar berputus untuk berarak dengan bersenjata lengkap, dan menghantar wakil ke setiap kilang untuk melakukan pemujukan. Pekerja-pekerja juga memberhentikan kerja dan menyertai perarakan, menuntut semua kuasa kepada Soviet.

136. Pada 16-20 Julai 1917, askar-askar dan pekerja-pekerja perindustrian telah mengadakan demonstrasi secara spontan menentang Kerajaan Sementara, sehingga berlakunya pertembungan ganas dengan penguasa.

137. Dalam keadaan di luar kawalan, Bolshevik yang pada awalnya tidak bersetuju dengan pemberontakan massa juga menukar taktik. Mereka tidak lagi cuba menghalang massa untuk melakukan demonstrasi. Mereka sanggup menanggung kegagalan bersama pekerja dan askar, tanpa mengasingkan kelompok yang berkesedaran lebih maju ini. Tindakan Bolshevik ini mendapat penghormatan yang amat tinggi dalam kalangan pekerja-pekerja dan askar-askar.

138. Untuk menghadapi demonstrasi askar-askar dan pekerja-pekerja, Kerajaan Sementara mengerahkan tentera dari seluruh negara untuk datang mempertahankan ibu negara. Menshevik dan SR pula mengecam Bolshevik kerana cuba melakukan pemberontakan. Menshevik dan SR walaupun masih menguasai Jawatankuasa Eksekutif Soviet, tetapi telah kehilangan kepercayaan daripada akar umbi. Maka, jurang antara soviet tempatan dengan pimpinan pusat semakin melebar.

139. Pada 17 Julai 1917, sebelum waktu subuh lagi, 80,000 orang pekerja dan askar berarak ke Istana Tauride. Peserta-peserta demonstrasi telah berdepan dengan tentera dan samseng. Mogok umum telah berlaku. Di kilang yang dikuasi oleh Menshevik dan SR, 4 daripada 5 orang pekerja menyertai demonstrasi. Lebih 500,000 orang menyertai demonstrasi di Petrograd. Tentera telah diarah oleh Kerajaan Sementara untuk menyuraikan massa yang berkumpul dengan menggunakan kekerasan. 160 orang dibunuh dan 700 orang cedera. Pada hari keesokannya, Kerajaan Sementara melakukan serangan yang lebih hebat. Pejabat dan mesin percetakan suratkhabar Pravda (iaitu suratkhabar parti Bolshevik) dimusnahkan. Pekerja-pekerja yang mengedarkan suratkhabar di jalanan dibunuh. Ibu pejabat Jawatankuasa Pusat Bolshevik dan Jawatankuasa Eksekutif Soviet Petrograd diserbu. Ramai yang ditahan. Kerajaan Sementara melakukan intimidasi terhadap pekerja-pekerja dengan mengerahkan polis dalam jumlah yang besar sehingga seluruh Petrograd di bawah undang-undang darurat.

140. Mogok umum ditamatkan dan pekerja-pekerja terpaksa pulang bekerja kerana ketakutan terhadap penahanan yang berterusan. Kerajaan Sementara mengarahkan penahanan Lenin dan pemimpin-pemimpin Bolshevik. Ramai pemimpin Bolshevik ditangkap. Lenin terpaksa bersembunyi. Selepas penindasan ke atas kebangkitan pekerja-pekerja dan askar-askar, Alexander Kerensky telah menggantikan Georgy Lvov sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Kerajaan Sementara. Kerajaan Sementara memperkenal semula undang-undang zalim dan menapis idea-idea politik yang radikal. Banyak suratkhabar ditutup.

141. Selepas Peristiwa Julai, walaupun kebangkitan pekerja disekat untuk sementara, sokongan terhadap Bolshevik semakin bertambah dengan keanggotaannya meningkat secara mendadak. Sebelum ini, Bolshevik merupakan minoriti dalam soviet di dua buah bandar utama – Petrograd dan Moscow, berbanding dengan Menshevik dan SR yang menguasai majoriti. Tetapi menjelang bulan September 1917, Bolshevik telah mendapat sokongan majoriti dalam soviet.

142. Pada 8-16 Ogos 1917, Kongres ke-6 Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia (Bolshevik) yang mewakili lebih kurang 20,000 orang anggota, diadakan di Petrograd, tanpa kehadiran Lenin. Kongres memutuskan bahawa revolusi secara aman tidak mungkin lagi berlaku. Dalam kongres tersebut, Bolshevik juga memutuskan tentang prinsip sentralisme demokratik. Definisi Sentralisme Demokratik yang diputuskan dalam kongres tersebut adalah:

  • Semua badan pengarah Parti, dari atas ke bawah, hendaklah dipilih melalui pengundian;
  • Badan-badan Parti hendaklah memberi laporan berkala tentang aktiviti-aktiviti mereka kepada organisasi Parti masing-masing;
  • Hendaklah ada displin Parti yang ketat, dan minoriti patuh pada majoriti;
  • Semua keputusan badan-badan yang lebih tinggi hendaklah mengikat ke atas badan-badan yang lebih di bawah dan semua ahli-ahli Parti.

redguards - electric factory petrograd - Copy.jpeg

L. Cubaan rampasan kuasa oleh puak kanan digagalkan

143. Dari bulan Mac 1917 hingga Ogos 1917, 568 buah kilang yang tutup di Rusia telah memberhentikan lebih 104,000 orang pekerja. Harga barangan naik secara purata sebanyak 248% berbanding harga pada tahun 1913, dengan pusat bandar yang terkena paling teruk (harga barangan di Moscow meloncat sebanyak 836%). Sementara itu, upah sebenar pekerja jatuh sebanyak 57.4% berbanding tahun 1913. Bekalan roti tidak mencukupi. Di Moscow, seorang pekerja hanya mendapat 2 paun roti sebagai catuan untuk dimakan dalam satu minggu! Pada bulan Ogos 1917 sahaja, telah berlaku 440 peristiwa di mana petani dan askar mengambilalih tanah yang dimiliki oleh tuan tanah besar. Kerajaan Sementara cuba memukul pemberontakan yang berlaku di sana sini tetapi tidak begitu berjaya.

144. Pada 25-28 Ogos 1917, Kerajaan Sementara menganjurkan satu Persidangan Negara di Moscow. Soviet-soviet pekerja mengundi untuk melakukan mogok umum demi membantah persidangan tersebut. Namun, Soviet Petrograd berputus untuk tidak bermogok dengan perbezaan undi yang tipis. Walau bagaimanapun, 400,000 orang pekerja masih mengadakan mogok satu hari. Oleh sebab keputusan Soviet Petrograd yang mengecewakan pekerja-pekerja, satu pengundian dibuat untuk mengadakan pemilihan semula Soviet.

145. Pada 31 Ogos 1917, walaupun mendapat bantahan daripada Nikolay Chkheidze sebagai Presiden Jawatankuasa Eksekutif yang merupakan anggota Menshevik, Soviet Petrograd mengadakan pengundian mengenai pemansuhan hukuman mati, dengan undian 900 lawan 4 memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati. Kerajaan Sementara kemudiannya bersetuju dengan keputusan Soviet Petrograd ini, kerana takut mengundang tindak balas pekerja yang memberontak.

146. Lavr Kornilov telah dilantik sebagai Komander Tertinggi Angkatan Tentera Rusia di bawah Kerajaan Sementara pada bulan Julai 1917. Kornilov ialah seorang jeneral yang cuba mempertahankan dan mengembalikan pemerintahan Tsar di Rusia, dia bukan sahaja benci pada soviet, tetapi juga tidak senang hati dengan Kerajaan Sementara yang dikuasai borjuasi.

147. Pada 8-12 September 1917 (akhir bulan Ogos 1917 Kalendar Julian), Jeneral Lavr Kornilov memberontak dan mengadakan rampasan kuasa daripada Kerajaan Sementara pimpinan Alexander Kerensky, tetapi telah digagalkan setelah Kerensky mendapat sokongan daripada Bolshevik. Peristiwa ini telah melemahkan lagi Kerajaan Sementara pimpinan Kerensky, manakala Bolshevik mendapat sokongan yang semakin hebat daripada orang ramai kerana tindakan berani mereka.

148. Pada awalnya Kerensky bersetuju dengan Kornilov untuk mewujudkan kediktatoran tentera. Akan tetapi, rancangan Kornilov bukan saja hendak melenyapkan soviet, malah juga mahu menghapuskan Kerensky dan Kornilov sendiri memegang semua kuasa. Kerensky telah menjadi ragu-ragu. Apabila sebahagian tentera Kornilov tiba di stesen keretapi Petrograd pada 10 September 1917, pekerja-pekerja telah melambatkan perjalanan keretapi dan secara sengaja menunjuk arah yang salah kepada tentera yang diarah Kornilov. Komander tentera terpaksa mengarahkan askar-askarnya berkhemah di sebuah kampung di luar Petrograd. Anggota-anggota soviet telah pergi ke kampung tersebut, dan menghasut askar-askar di situ. Askar-askar Cossack mula mengadakan mesyuarat secara sendiri seperti soviet. Divisi yang setia pada Kornilov juga mengalami nasib yang sama, selepas agitasi oleh Bolshevik, mereka mengkibarkan bendera merah dan menahan komander mereka!

149. Pada 11 September 1917, hampir semua daerah di Petrograd telah adanya pekerja yang berorganisasi dan bersenjata. Mereka dipanggil Pengawal Merah (Red Guard). Jumlah Pengawal Merah telah mencapai 40,000 orang pada masa itu, dengan beribu-ribu orang lagi menjadi anggota sokongan. Pekerja-pekerja keretapi mengalihkan landasan keretapi untuk menghalang kemaraan tentera Kornilov, pekerja-pekerja pos dan telegraf melambatkan dan menahan komunikasi antara tentera, serta menghantar salinan komunikasi tentera kepada Bolshevik. Askar-askar di Kronstadt dan Vyborg juga memberontak dan menembak mana-mana pegawai yang mengisytihar kesetiaan pada Kornilov. Pada hari keesokannya, 12 September 1917, keseluruhan tentera Kornilov hilang semangat dan rancangannya untuk merampas kuasa menemui kegagalan. Kornilov kemudiannya dilucutkan jawatannya sebagai Komander Tertinggi dan ditahan.

150. Pada 15 September 1917, satu sesi persidangan bersama semua soviet di Finland (yang masih merupakan jajahan Russia ketika itu), telah mengundi untuk menubuhkan sebuah Kerajaan Soviet, dengan undi 700 lawan 13. Bolshevik berpegang pada pendirian yang menyokong hak bangsa tertindas untuk berpisah dari Rusia. Sebulan selepas Revolusi Oktober, Finland mencapai kemerdekaan.

151. Pada 17 September 1917, Trostsky dan pimpinan Bolshevik yang ditahan berikutan Peristiwa Julai telah dibebaskan, selepas tekanan yang kuat daripada golongan pekerja.

152. Selepas peristiwa-peristiwa yang berlaku pada bulan Julai dan September 1917, kewibawaan Bolshevik dalam kalangan massa semakin memuncak, dan kesedaran revolusioner massa juga semakin kuat. Satu demi satu soviet pekerja-pekerja dan soviet askar-askar telah mengundi untuk menyokong sebuah Kerajaan Soviet. Justeru, penggulingan Kerajaan Sementara dan pendirian Pemerintahan Soviet sudahpun dijadikan agenda utama perjuangan rakyat Rusia mulai bulan September 1917.

Marinerosrevolucionarios--throughrussianre00willuoft.jpg
M. Menuju Revolusi Oktober

153. Pada 13 September 1917, majoriti wakil Soviet Petrograd meluluskan resolusi daripada Bolshevik untuk menubuhkan sebuah kerajaan sosialis tanpa borjuasi. Leon Trotsky kemudiannya dipilih menjadi Pengerusi Soviet Petrograd pada 8 Oktober 1917. Kepimpinan Presidium Soviet sudah dikuasi oleh Bolshevik pada masa itu. Soviet di Moscow juga memilih Jawatankuasa Eksekutif dan Presidium baru yang dikuasai oleh Bolshevik.

154. Pada 18 September 1917, Soviet Moscow mengumumkan sokongannya terhadap Kerajaan Soviet, selepas pengundian dengan keputusan 355 undi sokong lawan 254 undi tolak. Dalam Kongres Soviet-soviet Siberia yang diadakan di Krasnoyarsk, Soviet menegaskan sokongannya terhadap Bolshevik.

155. Pada 21 September 1917, kelasi-kelasi daripada Armada Baltik, telah menyatakan melalui organ yang dipilih mereka bahawa mereka tidak akan mengiktiraf kekuasaan Kerajaan Sementara, dan juga tidak akan melaksanakan apa-apa arahan daripada Kerajaan Sementara. Pada 24 September 1917, Jawatankuasa Pusat Armada Laut Hitam menuntut supaya “semua kuasa kepada soviet”. Sementara itu, Soviet Kiev di Ukraine mengundi untuk menyokong penubuhan Kerajaan Soviet (dengan undi 130 lawan 66).

156. Kerajaan Sementara menganjurkan satu “Persidangan Demokratik” pada 27 September – 5 Oktober 1917, dengan kehadiran 1,200 orang wakil. Ini merupakan percubaan Kerajaan Sementara untuk mewujudkan kesahan bagi pemerintahannya. Bolshevik turut menghadiri persidangan tersebut. Kerajaan Sementara cuba menangkap Lenin dan Zinoviev pada masa itu, tetapi mereka tidak hadir ke persidangan. Hadirin persidangan telah mengundi untuk menolak cadangan untuk membentuk sebuah kerajaan campuran yang baru. Kerajaan Sementara yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut telah membentuk satu “Majlis Sementara” untuk memutuskan tentang isu ini, tetapi keputusannya juga menolak kerajaan campuran yang baru. Demi mendapat satu keputusan yang “betul” (iaitu bersesuaian dengan kehendak Kerajaan Sementara), satu “pra-parlimen” telah diwujudkan, dengan kebanyakan wakilnya dipilih oleh Kerajaan Sementara, dan pra-parlimen ini akhirnya meluluskan untuk pembentukan kerajaan campuran yang baru seperti yang diinginkan Kerensky.

157. Pada 1 Oktober 1917, Kerensky mengarahkan pembubaran Jawatankuasa Pusat Armada Laut Baltik, tetapi ditolak oleh angkatan tentera laut tersebut. Di Tashkent, Uzbekistan, Soviet di situ telah menggulingkan kerajaan tempatan. Kerensky menghantar tentera untuk merampas balik bandar tersebut dan menangkap ramai orang serta memperkenalkan semula hukuman sebatan di khalayak umum. Pekerja-pekerja daripada 40 buah soviet dengan serta-merta melancarkan mogok umum yang berlanjutan selama 1 minggu.

158. Pada 8 Oktober 1917, Leon Trotsky yang baru menyertai Bolshevik telah dipilih menjadi Pengerusi Soviet Petrograd.

159. Pada bulan Oktober 1917, jumlah keanggotaan kesatuan sekerja di seluruh Rusia telah mencecah 2 juta orang. Ini adalah satu jumlah yang signifikan. Pada tahun 1917, jumlah populasi Rusia adalah 145 juta orang, tetapi jumlah pekerja hanya sedikit. Tiada data tentang pekerjaan yang dapat diperolehi untuk tahun 1917, tetapi pada Disember 1926, di mana selepas pertumbuhan kelas pekerja yang pesat, jumlah pekerja di Kesatuan Soviet hanyalah 7.93 juta orang, bersamaan 5% jumlah populasi negara tersebut. Oleh itu, jumlah pekerja adalah jauh lebih rendah pada tahun 1917, dan keanggotaan 2 juta dalam kesatuan sekerja adalah satu jumlah yang sangat besar pada masa itu. Pada masa yang sama, perhubungan dan persahabatan antara askar-askar Rusia dan Jerman, yang masih berperang pada masa itu, meningkat secara mendadak, dan pemberontakan untuk memilih pegawai berlaku di seluruh barisan hadapan medan perang.

160. Pada 19 Oktober 1917, Soviet Askar Petrograd mengumumkan bahawa ia tidak lagi melapor pada Kerajaan Sementara.

161. Pada 23 Oktober 1917, selepas perdebatan yang hebat, Jawatankuasa Pusat Bolshevik telah memutuskan untuk menggulingkan Kerajaan Sementara dan akan mengikut taktik yang dicadangkan oleh Lenin. Kamenev dan Zinoviev dengan tegasnya membantah keputusan majoriti tersebut. Pada masa yang sama, Bolshevik juga mewujudkan Biro Politik (Politburo) yang terdiri daripada Vladimir Lenin, Leon Trotsky, Grigory Zinoviev, Lev Kamenev, Joseph Stalin, Grigori Sokolnikov dan Andrei Bubnov.

162. Pada 29 Oktober 1917, Soviet Petrograd menubuhkan Jawatankuasa Revolusioner Tentera, yang bakal memimpin pemberontakan bersenjata.

163. Pada 31 Oktober 1917, Kamenev dan Zinoviev yang tidak bersetuju dengan rancangan Bolshevik untuk mengambilalih kuasa yang dikemukakan Lenin dan dipersetujui Jawatankuasa Pusat Bolshevik, telah mendedahkan rancangan tersebut dalam sebuah suratkhabar Menshevik. Lenin menuntut supaya Kamenev dan Zinoviev dipecat daripada parti, walaupun Lenin agak rapat dengan kedua-dua mereka. Kamenev dan Zinoviev mempertahankan pendirian mereka dengan menjelaskan bahawa mereka hanya menyampaikan pandangan yang berbeza. Lenin merespon bahawa pertentangan pendapat secara terbuka semestinya boleh diterima, tetapi bukannya selepas keputusan berkaitan dengan sesuatu yang serius (seperti mengadakan mogok) telah dibuat secara demokratik oleh parti. Kamenev dan Zinoviev akhirnya dimaafkan dan tidak dipecat daripada parti. (Nasib Kamenev dan Zinoviev semasa pemerintahan Stalin pula berbeza, di mana Stalin menangani perbezaan pendapat dengan cara yang berbeza.)

164. Sampai akhir bulan Oktober 1917, Kerajaan Sementara yang dipimpin oleh Kerensky telah kehilangan kewibawaan sepenuhnya. Pada 1 November 1917, Kerensky mengancam untuk menangkap pegawai yang dipilih oleh askar-askar, jika mereka masih menolak untuk mengirimkan bekalan. Sementara itu, Perjumpaan Jawantankuasa Kilang dan Kedai Seluruh Russia telah memutuskan untuk menyokong semua kuasa pada soviet!

eff31d53809a53afdfabb1f8c7bbd4e4.jpg
N. Revolusi Oktober

165. Pada 5 November 1917, Bolshevik telah menjalankan kempen agitasi secara meluas di seluruh negara untuk beberapa minggu. Walaupun tanpa kehadiran penceramah hebat seperti Lenin, Zinoviev dan Kamenev, kadre-kadre Bolshevik di bawah pimpinan Trotsky dan Yakov Sverdlov (1885-1919) bekerja dengan kerasnya. Yang lebih penting lagi, beribu-ribu pekerja biasa, askar, petani dan kelasi telah menyakinkan kawan-kawan mereka bahawa waktunya sudah tiba untuk mengambilalih kuasa ke dalam tangan mereka sendiri. Soviet-soviet mengeluarkan “Perintah Revolusioner No. 1”: pengambilan dan pemecatan pekerja ditentukan oleh soviet. Pekerjalah yang akan menentukan siapa yang diambil sebagai pekerja dan siapa pula akan dipecat.

166. Pada 6 November 1917, Kerajaan Sementara cuba untuk menutup suratkhabar bawah tanah Bolshevik. Pada masa yang sama, satu serangan dilancarkan ke atas Smolny, iaitu tempat terletaknya ibupejabat Jawatankuasa Pusat Bolshevik dan Jawatankuasa Revolusioner Tentera. Menjelang waktu malam, Trotsky telah memimpin Pengawal Merah dan pekerja-pekerja soviet untuk menguasai semua jambatan dan tempat-tempat penting di seluruh bandar Petrograd, termasuk semua jalan masuk ke bandar Petrograd. Lenin tiba di Smolny, untuk mengambilalih tugas mengarah Pengawal Merah dan soviet pekerja.

167. Pengawal Merah merupakan pasukan sukarelawan separa tentera yang diwujudkan untuk mempertahankan soviet. Pengawal Merah terdiri daripada pekerja, petani, askar dan kelasi yang memberontak. Jawatankuasa Moscow untuk Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia (Bolshevik) telah meluluskan resolusi untuk menubuhkan Pengawal Merah pada 14 April 1917. Soviet Petrograd pula menubuhkan suruhanjaya untuk membentuk pasukan pengawal pekerja, pada 17 April 1917. Pasukan pengawal pekerja dan militia kilang di Petrograd kemudiannya disusun menjadi pasukan Pengawal Merah. Bandar-bandar lain juga dibentuk pasukan Pengawal Merah. Menjelang saat tercetusnya Revolusi Oktober, jumlah Pengawal Merah di Rusia sudah mencecah 200,000 orang.

168. Pada 7 November 1917 (25 Oktober 1917 mengikut Kalendar Julian), Pengawal Merah telah mengambilalih Pejabat Pos Besar, stesen keretapi, stesen penjana kuasa, Bank Negara, pencawang pusat telefon, dan bangunan kerajaan yang utama. Hanya beberapa tempat sahaja, seperti Istana Musim Sejuk, masih di dalam tangan Kerajaan Sementara. Jawatankuasa Revolusioner Tentera menerbitkan kenyataan “Kepada Warga Rusia!” untuk mengumumkan kemenangan revolusi. Peristiwa ini dikenali sebagai “Revolusi Oktober”.

169. Di Moscow, pekerja-pekerja revolusioner menghadapi tentangan hebat daripada Kolonel Ryabtsev. Pertempuran sengit berlaku. Bolshevik akhirnya menawan Moscow pada 15 November 1917.

170. Kongres Soviet-soviet Seluruh Rusia yang Kedua mula diadakan di Petrograd, pada 7 November 1917 juga. Seramai 649 orang delegasi yang mewakili 318 buah soviet tempatan telah dipilih ke Kongres ini. Delegasi ini merangkumi 390 orang Bolshevik, 100 orang SR Kiri, 60 orang SR lain, 72 orang Menshevik, 14 orang Demokrat-Internasionalis Sosialis Bersatu, 6 orang Menshevik Internasionalis dan 7 orang daripada puak kiri yang lain. Wakil-wakil daripada Menshevik dan SR Kanan meninggalkan mesyuarat dengan marahnya untuk membantah pemberontakan Bolshevik. Trotsky mengatakan mereka telah pergi ke tempat di mana mereka sepatutnya berada – tong sampah sejarah!

171. Kerajaan Sementara jatuh dengan mudahnya. Soviet dan Bolshevik mendapat kuasa bukannya melalui kudeta yang dirancang secara konspirasi, tetapi memang sudahpun berkuasa sebenarnya apabila mendapat sokongan hebat daripada rakyat biasa, dari askar-askar ke pekerja-pekerja. Dengan menyedari bahawa Kerajaan Sementara tidak lagi dapat bertahan, Kerensky melarikan diri dari Petrograd ke Utara Rusia, di mana dia akan melancarkan satu pemberontakan menentang revolusi.

172. Pada awal pagi 8 November 1917, Pengawal Merah bersama dengan pekerja-pekerja yang memberontak telah menyerbu Istana Musim Sejuk dan menawannya tanpa tentangan daripada pengawal-pengawal di situ. Penawanan Istana Musim Sejuk menandakan kemenangan untuk revolusi di Petrograd. Tiadanya orang yang terkorban dalam peristiwa revolusioner pengambilalihan kuasa di Petrograd. Ini kerana memang menjadi hasrat rakyat biasa di Petrograd untuk mewujudkan sebuah Kerajaan Soviet.

173. Pada 8 November 1917 juga, Kongres Soviet-soviet memutuskan resolusi dengan tajuk “Kepada Pekerja-pekerja, Askar-askar dan Petani-petani!”, mengeluarkan perintah bahawa semua kuasa di kawasan tempatan hendaklah diserahkan kepada Soviet-soviet Pekerja, Askar dan Petani.

174. Kongres Soviet-soviet juga mengeluarkan Perintah mengenai Keamanan dan Perintah mengenai Tanah, di samping berputus untuk menubuhkan kerajaan baru. Kongres Soviet-soviet telah memilih Jawatankuasa Eksekutif Pusat Seluruh Rusia dan Majlis Komisar Rakyat (Sovnarkom) sebagai badan kerajaan yang memerintah. Lenin dipilih sebagai Pengerusi Majlis Komisar Rakyat, menjadikannya ketua kerajaan revolusioner yang baru.

175. Perintah mengenai Keamanan telah mencadangkan supaya semua rakyat dan kerajaan yang terlibat dalam Perang Dunia I memulakan segera rundingan untuk keamanan yang adil dan demokratik. Perintah ini juga mencadangkan supaya Rusia untuk menarik diri dengan serta-merta untuk keluar daripada Perang Dunia I.

176. Perintah mengenai Tanah mengesahkan tindakan petani di seluruh Rusia untuk mengambilalih tanah persendirian milik tuan tanah dan mengagihkannya semula dalam kalangan petani.

177. Perintah lain yang dikeluarkan selepas Revolusi Oktober adalah:

  • Semua harta swasta diambilalih oleh kerajaan.
  • Semua bank Rusia dimiliknegarakan.
  • Semua akaun bank swasta dirampas.
  • Harta Gereja (termasuk akaun bank) dirampas.
  • Semua hutang luar dibatalkan.
  • Kilang-kilang diletak di bawah kawalan soviet.
  • Gaji dinaikkan ke paras yang lebih tinggi daripada waktu perang, dan pelaksanaan masa kerja yang lebih pendek (8 jam sehari).

178. Pada 15 November 1917, kerajaan revolusioner pimpinan Bolshevik mengeluarkan Deklarasi Hak-hak Rakyat Rusia, yang mengisytiharkan:

  • Kesamarataan dan kedaulatan rakyat Rusia.
  • Hak rakyat Rusia untuk menentukan nasib sendiri secara bebas, termasuk pemisahan dan pembentukan sebuah negara yang berasingan.
  • Pemansuhan segala keistimewaan dan sekatan untuk bangsa dan agama.
  • Pembangunan bebas bangsa-bangsa minoriti dan kumpulan etnografik yang duduk di wilayah Rusia.

179. Revolusi Oktober yang mewujudkan pemerintahan revolusioner ini bukan hanya sekadar memindahkan kuasa daripada sekumpulan kecil orang kelas pemerintah lama kepada sekumpulan orang yang lain. Ia merupakan satu transformasi yang baru, di mana satu sistem sosio-ekonomi dan politik yang baru akan menggantikan yang lama. Sistem sosio-ekonomi yang baru ini adalah berlandaskan pengeluaran untuk keperluan rakyat dan bukannya keuntungan; sistem politik yang baru ini adalah berlandaskan kekuasaan rakyat biasa itu sendiri.

180. Revolusi sebegini pastinya tidak dapat dilaksanakan dan disempurnakan oleh kelas borjuasi. Tortsky menulis,”satu perkara adalah jelas – jika revolusi datang, ia pasti bukan hasil kerjasama antara modal dan buruh. Pengalaman 1905 menunjukkan ini adalah satu Utopia yang teruk. ”

181. “Salah seorang jeneral Rusia (pegawai tentera semasa pemerintahan Tsar) menulis dengan perassan yang marah terhadap (revolusi) ini, ‘siapa yang akan percaya bahawa seorang penjaga untuk bangunan mahkamah boleh menjadi Ketua Hakim untuk Mahkamah Rayuan, seorang pembantu hospital boleh menjadi Pengarah Hospital, seorang tukang gunting rambut boleh jadi pegawai penting, seorang pegawai rendah boleh jadi Ketua Komander, seorang buruh kasar boleh jadi datuk bandar, seorang pekerja penyapu minyak roda boleh menjadi ketua bahagian atau ketua stesen keretapi, dan seorang tukang kunci boleh menjadi pengurus kilang?’ ‘Siapa akan mempercayainya?’ Mereka terpaksa percaya juga. Adalah mustahil untuk tidak mempercayainya, apabila pegawai rendah menewaskan jeneral, apabila datuk bandar yang berasal daripada buruh biasa menumpaskan penentangan daripada tuan tanah yang lampau, pekerja penyapu minyak keretapi mengawalselia pengangkutan, dan tukang kunci yang menjadi pengurus telah membangunkan kembali industri.” – Leon Trotsky, History of the Russian Revolution, Volume 3, the Triumph of the Soviets, 1930

182. “Setiap revolusi adalah perubahan mendadak dalam kehidupan massa rakyat jelata. Jika perubahan ini tidak matang, maka tidak dapat berlakunya revolusi yang sebenarnya. Sebarang perubahan dalam kehidupan setiap orang, akan membolehkannya untuk mempelajari banyak perkara, membolehkannya mengalami dan merasai banyak perkara. Begitu juga dengan revolusi, ia membolehkan rakyat keseluruhan mendapat pengajaran yang paling berisi dan paling berharga dalam masa yang sangat singkat.”

“Semasa revolusi, perkara yang dipelajari jutaan rakyat dalam tempoh satu minggu, jauh lebih banyak daripada perkara yang dipelajari mereka dalam satu tahun kehidupan biasa yang membosankan. Ini kerana apabila kehidupan seluruh rakyat mengalami perubahan secara mendadak, adalah menjadi jelas khususnya tentang matlamat yang dikejar oleh rakyat daripada pelbagai kelas, kekuatan yang dimiliki mereka, dan cara-cara apa yang digunakan mereka. ”

– Vladimir Lenin, Lessons of the Revolution, Julai 1917

gathering-of-workers-from-the-putilovskiy-factory.jpg
O. Pencapaian dan cabaran kerajaan revolusioner

183. Pencapaian Revolusi Oktober adalah amat menakjubkan untuk rakyat Rusia pada masa itu, antaranya:

  • Menamatkan perang.
  • Mengambilalih tanah daripada tuan tanah dan serahkan kepada petani-petani untuk ditentukan oleh mereka. Tanah milik tuan tanah, kerabat raja dan gereja dialihkan kepada soviet-soviet tempatan untuk dibahagikan antara petani.
  • Pekerja-pekerja menguasai kilang-kilang, di mana tiada keputusan boleh diambil oleh pemilik kilang tanpa kebenaran pekerja yang mempunyai akses kepada buku akaun. Pekerja juga mempunyai kuasa veto dalam menolak keputusan majikan dalam aspek mengambil dan membuang kerja.
  • Ratusan kilang diambilalih oleh pekerja, terutama kilang-kilang yang ditinggalkan majikan.
  • Pendidikan percuma, dan pelajar daripada etnik minoriti dapat belajar bahasa ibunda sendiri.
  • Mengubahsuai kalendar (menukar kepada Kalendar Gregorian yang digunakan sekarang).
  • Kerja 8 jam sehari (4 hari seminggu setelah revolusi).
  • Kanak-kanak bawah umur 14 tahun dilarang bekerja.
  • Perlindungan sosial untuk mereka yang menganggur dan cuti sakit diperkenalkan.
  • Kesamarataan wanita diwajibkan.
  • Wanita Rusia memenangi hak untuk bercerai. Proses penceraian dipermudahkan dan perkahwinan sivil diiktiraf.
  • Wanita Rusia mencipta sejarah dengan memenangi hak cuti bersalin 4 bulan, bersama dengan hak-hak lain yang mewujudkan kesamarataan gender yang sebenar.
  • Mahkamah pekerja dan petani diwujudkan.
  • Pangkat pegawai dilucutkan dan askar-askar dapat melantik pemimpin mereka sendiri.
  • Membenarkan pengguguran kandungan di sisi undang-undang.
  • Menghapuskan peraturan yang anti-gay.
  • Dobi awam diwujudkan.
  • Mengiktiraf hak menentukan nasib sendiri untuk etnik minoriti.

184. Secara radikalnya, Revolusi Oktober telah menghapuskan pemilikan swasta terhadap sumber-sumber pengeluaran. Untuk kali pertama dalam sejarah dunia, keupayaan ekonomi yang terancang dan dimiliknegarakan direalisasikan, bukan secara teori tetapi juga secara praktik. Eksperimen sosial di bumi Rusia dan Kesatuan Soviet, membuktikan bahawa masyarakat manusia boleh berfungsi tanpa perlunya kapitalis dan tuan tanah besar. Sebuah kerajaan yang benar-benar dibentuk dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, menjadi realiti.

185. Revolusi Oktober menyediakan asas untuk pembebasan wanita di Rusia. Walaupun revolusi balas Stalinis yang berlaku selepasnya telah menggugat sebahagian pencapaian pembebasan wanita, namun tidak dapat dinafikan bahawa wanita di Kesatuan Soviet menikmati kemajuan besar dalam perjuangan untuk kesamarataan gender. Wanita Rusia mendapat hak samarata untuk mengetuai rumah tangga dan menerima gaji yang samarata.

186. Kerajaan revolusioner yang baru ditubuhkan selepas Revolusi Oktober menghadapi cabaran dan rintangan yang amat hebat. Walaupun Rusia di bawah Bolshevik cuba berdamai dengan semua negara yang berperang, namun hanya Jerman yang bersetuju untuk berdamai dengan Rusia melalui Perjanjian Brest-Litovsk. Selepas Perang Dunia I tamat, Kuasa Sekutu (yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jepun dan sebagainya) menyerang dan menceroboh Rusia dari semua arah, dengan bantuan puak reaksioner yang terdiri daripada jeneral-jeneral zaman Tsar dan pemimpin-pemimpin Kerajaan Sementara yang digulingkan oleh revolusi.

187. Perang Saudara Rusia (1918-1922) yang berlarutan untuk 4 tahun telah mendatangkan kehancuran yang teruk kepada Rusia. Dianggarkan 5 juta hingga 9 juta orang terkorban dalam perang ini. Ramai golongan pekerja yang revolusioner telah terkorban dalam perang yang amat sengit ini.

188. Kebuluran dan bencana perang memaksa kerajaan Bolshevik mengamalkan dasar Komunisme Perang untuk mempertahankan negara pekerja baru ini daripada serangan musuh. Selepas tamatnya Perang Saudara, ekonomi Rusia yang dihancur teruk hanya mula membangun semula secara perlahan melalui program seperti Dasar Ekonomi Baru (NEP).

189. Ada banyak pihak, khususnya golongan kapitalis, mengatakan bahawa Revolusi Rusia telah gagal dengan kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, dan mengutuk “kejahatan” Revolusi Rusia dengan menggunakan contoh kezaliman semasa pemerintahan Stalin di Kesatuan Soviet. Segala tuduhan yang diacukan oleh golongan kapitalis ini adalah pandangan cetek yang tidak mengkaji dengan betul-betul keadaan sebenar dan takut pada kebangkitan rakyat dari bawah yang mampu menggugat sistem kapitalis.

190. Memang tidak boleh dinafikan, adanya perkara-perkara yang berlaku tidak lama selepas Revolusi Oktober merupakan tragedi kepada kelas pekerja, sehinggakan hasil revolusi itu digadaikan dan nama Sosialisme dicemari. Tetapi, kita perlu mengkaji dengan teliti keadaan yang menyebabkan berlakunya perkara-perkara tersebut dan menjadikannya sebagai satu pengajaran.

191. Revolusi Rusia merupakan satu usaha kelas pekerja dan rakyat tertindas untuk mengambilalih kuasa dari bawah. Memang terbuktinya usaha ini telah berjaya dan menggegarkan dunia pada masa itu, tetapi menghadapi pelbagai halangan dan cabaran sehingga Kesatuan Soviet – Negara Pekerja-Petani yang pertama dan masih muda itu, mengalami kemerosotan dan kecacatan, serta wujudnya pemerintahan Stalinis yang menghalang perkembangan kesedaran kelas pekerja di Kesatuan Soviet.

article-2440225-000B4A4700000258-872_634x376.jpg
P. Faktor-faktor yang menggugat Revolusi Rusia

192. Faktor-faktor yang menyebabkan kemenangan Revolusi Oktober tidak dapat dikekalkan dan menjadi penghalang untuk memajukan negara pekerja yang baru lahir itu, termasuklah:
i. Pengepungan dan serangan daripada kuasa-kuasa imperialis dan kelas pemerintah lama
ii. Pemencilan Revolusi akibat kegagalan revolusi di Eropah
iii. Kekurangan sumber untuk membangunkan ekonomi sosialis
iv. Kemunculan sistem pemerintahan birokrat Stalinis

193. Pengepungan dan serangan daripada kuasa-kuasa imperialis dan kelas pemerintah lama merupakan perkara yang tidak boleh dielakkan kerana Revolsi Oktober telah mencabar asas kekuasaan imperialis dan kapitalis dunia pada masa itu.

194. Sememangnya Rusia merupakan satu-satunya negara yang revolusi pekerjanya membuahkan hasil yang menakjubkan. Kelas kapitalis yang kehilangan kuasa tidak mengalah kerana mereka percaya bahawa mereka akan kembali berkuasa dengan bantuan kuasa-kuasa imperialis Barat. Selepas Revolusi Oktober, anasir-anasir kapitalis dan mereka yang benci pada revolusi proletariat yang masih tinggal di Rusia telah melancarkan serangan hendap dengan bantuan daripada British, Perancis, Amerika Syarikat dan kuasa imperialis yang lain.

195. “Tentera Putih” yang anti-revolusi terdiri daripada kaum kapitalis, tuan tanah dan orang-orang suruhan mereka.

196. Bolshevik dan Kerajaan Soviet terpaksa mengorganisasi semula tentera konvensional bersama dengan pekerja-pekerja yang bersenjata, untuk membentuk “Tentera Merah”, sebagai usaha melawan serangan tentera yang anti-revolusi.

197. Perang saudara yang berlanjutan untuk 4 tahun selepas Revolusi Oktober, telah menghauskan kebanyakan tenaga kelas pekerja dan petani yang berkesedaran maju pada masa itu, dan ramai pejuang revolusioner yang kuat juga tumbang terkorban dalam medan pertempuran. Ini memang mewujudkan satu keadaan yang amat sukar untuk satu-satunya negara pekerja yang baru dilahirkan.

198. Perkembangan sosio-ekonomi di negara-negara yang berlainan adalah berbeza dan tidak seimbang, begitu juga dengan trajektori perkembangan sejarah di negara-negara yang berlainan. Revolusi Oktober merupakan satu-satunya usaha kebangkitan kelas pekerja dan rakyat bawahan yang berjaya, tetapi ia berlaku pada takat di mana negara-negara lain (khususnya negara-negara maju di Eropah) menghadapi kesukaran untuk mencapai kejayaan revolusi proletariat. Situasi ini menyebabkan Revolusi Rusia akhirnya dipencilkan.

199. Pimpinan Bolshevik semasa Revolusi Oktober yang berpegang pada prinsip Internasionalis percaya bahawa Revolusi Rusia hanya dapat bertahan dan melangkah ke sosialisme dengan berlakunya revolusi di Eropah. Kepercayaan mereka ini bukannya mimpi kosong, kerana gelombang revolusi memang meletus di Eropah pada tahun 1918. Majlis-majlis perwakilan pekerja dan askar telah didirikan di Jerman dan Austria. Republik Soviet ditubuhkan di Hungary pada tahun 1919; pemerintahan revolusioner didirikan di Bavaria (di Jerman); kebangkitan pekerja di bahagian Utara Itali telah mengambilalih semua kilang di situ pada tahun 1920. Arus revolusi juga melanda negara-negara lain seperti Finland, Poland, Czechoslovakia, Yugoslavia dan Bulgaria. Di Belanda, mogok umum telah menjadi agenda utama golongan pekerja, dan di Britain pula, 3 buah kesatuan sekerja yang paling besar (pekerja lombong batu arang, pekerja pelabuhan dan pekerja landasan keretapi) telah menubuhkan “Perikatan Bertiga” (Triple Alliance) yang menggugat kelas pemerintah pada masa itu.

200. Namun, gelombang revolusi Eropah yang menakjubkan tersebut telah gagal. Sebab-sebab utamanya adalah:

a. Golongan Demokrat Sosial di Eropah yang berfahaman reformis telah menyebelahi pihak yang anti-revolusi. Parti-parti politik Demokrat Sosial yang kononnya mewakili pekerja (seperti Parti Buruh di Britain dan SPD di Jerman) telah menggunakan apa jua kata-kata manis dan tipu helah untuk memperdaya pekerja-pekerja supaya memberhentikan perjuangan mengambilalih kuasa. Adanya sehingga sanggup mengorganisasi tindakan keganasan untuk memukul revolusi.
b. Parti-parti komunis yang baru ditubuhkan (walaupun mereka telah menubuhkan Internasional Ketiga bersama Bolshevik di Rusia) masih tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi dan tidak matang secara politik, sehingga membuat banyak kesilapan, seperti menaruh kepercayaan kepada puak Demokrat Sosial.
c. Oleh sebab takut pada revolusi, kelas kapitalis telah berkompromi dengan kelas pekerja dari segi ekonomi, seperti melaksanakan dasar kerja 8 jam sehari, dan ada negara yang melaksanakan pilihanraya umum. Kompromi ini walaupun memberi faedah kepada golongan pekerja sampai ke satu tahap tertentu, tetapi juga mendatangkan kesan yang menghalang perkembangan revolusi di sesetengah negara.
d. Negara Soviet yang baru dilahirkan tidak dapat memberi bantuan dan sokongan yang banyak kepada revolusi di negara lain kerana terpaksa berperang dengan tentera anti-revolusi yang didukung oleh kuasa-kuasa imperialis.

201. Revolusi di Hungary dan Itali digagalkan oleh keganasan berdarah. Di Itali, parti Fasis merampas kuasa pada tahun 1922, sehingga ramai golongan komunis dibunuh atau dipenjarakan, termasuklah pimpinan Parti Komunis Itali yang terkenal, Antonio Gramsci, yang dipenjarakan dari tahun 1926 hingga beliau dipindahkan ke hospital di bawah pengawasan pada tahun 1935 kerana sakit tenat (dan kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1937).

202. Di Jerman, walaupun revolusi pada tahun 1918-19 ditindas dengan zalim, dan pimpinan seperti Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht dibunuh, Parti Komunis Jerman (KPD) masih semakin kembang kuat selepas itu. Pada tahun 1923, berlakunya krisis mendalam di Jerman sekali lagi: pendudukan tentera Perancis, inflasi yang serius, kemenangan mogok umum yang menjatuhkan pemerintahan Wilhelm Cuno, parti komunis telah menguasai majoriti dalam kesatuan sekerja utama, parti sosialis kiri dan parti komunis mendirikan pemerintahan bersama di Saxony dan Thuringia. Namun, di bawah pengaruh pandangan yang tidak tepat daripada Comintern, Parti Komunis Jerman tidak mengambil kesempatan untuk membuat persiapan bagi melancarkan revolusi. Selepas kapitalis besar kembali menguasai keadaan, pemerintahan kelas kapitalis berkuasa kembali. Sejak itu, keadaan revolusi selepas Perang Dunia I telahpun berlalu. Puak Fasis dan Nazi kemudiannya muncul berkuasa.

203. Sosialisme memerlukan asas kebendaan (iaitu sumber kekayaan masyarakat) untuk berkembang. Kekurangan sumber yang disebabkan oleh kehancuran perang dan juga sistem ekonomi yang masih belum cukup maju, boleh menjadi penghalang kepada pembangunan ekonomi sosialis.

204. Selepas tamatnya Perang Saudara yang berlanjutan untuk 4 tahun (tambahan pula dengan Perang Dunia I yang menghabiskan kebanyakan kekayaan negara Rusia), ekonomi Rusia berada dalam keadaan kehancuran teruk. Pendapatan rakyat hanya tinggal sekadar 1/3 berbanding tahun 1913, pengeluaran industri tidak sampai 1/10 pengeluaran sebelum Perang Dunia I, penghasilan hanyalah 1/40 daripada kadar biasa, dan rangkaian keretapi dirosakkan teruk. Bilangan penduduk di bandar (yang majoriti besarnya kelas pekerja) jatuh secara mendadak, sehingga penduduk di Moscow hanya tinggal 1/2 dan di Petrograd hanya tinggal 1/3 pada tahun 1921.

205. Disebabkan kekurangan sumber bekalan dan pengeluaran industri yang dapat menyediakan asas material untuk membina ekonomi sosialis, memang sukar untuk pemerintahan Kesatuan Soviet memberi makanan yang mencukupi dan menjamin kesejahteraan bagi rakyat jelata.

206. Majoriti rakyat Rusia selepas Revolusi dan Perang Saudara, masih merupakan golongan petani dan jumlah kelas pekerja telah berkurangan.

207. Pimpinan revolusioner Bolshevik terpaksa “berundur” dari segi ekonomi dalam keadaan yang serba kekurangan dan terdesak.

208. Di bawah “Dasar Ekonomi Baru” yang diperkenalkan pada tahun 1921, walaupun industri utama, bank dan pengangkutan masih dimiliknegarakan, namun satu pasaran bebas diwujudkan semula, dan membenarkan hasil pertanian diniagakan dalam pasaran tersebut selepas membayar cukai. Perdagangan dan perindustrian kecil yang milik swasta diwujudkan semula.

209. Pengunduran sementara ini telah membenarkan pengumpulan modal swasta dan adanya petani menjadi kaya dengan yang lebih ramai lagi masih miskin.

210. Satu lagi perkara berkaitan Revolusi Rusia yang diperdebatkan secara hebat, termasuk dalam kalangan gerakan kiri, ialah kemunculan sistem pemerintahan birokrat Stalinis.

211. Adanya kesan yang lebih berbahaya daripada kesan “Dasar Ekonomi Baru”, iaitu kesan sosial dan politik yang wujud dalam keadaan di mana Revolusi Proletariat telah diasingkan/dipencilkan dalam sebuah negara yang ekonominya masih mundur.

212. Kesan ini adalah kelas proletariat/pekerja Rusia semakin kehilangan pemegangan terus pada kuasa politik dan kuasa ekonomi.

213. Perubahan ini bukannya sesuatu yang dirancang atau konspirasi, tetapi saling tindakan antara banyak faktor. Disebabkan penurunan pengeluaran industri dan ramai pekerja kembali ke kawasan pertanian, jumlah kelas proletariat telah berkurangan dengan signifikan. Kebuluran dan kemiskinan yang berpanjangan pula menyebabkan sebahagian kelas proletariat kehilangan minat atau semangat untuk mengambil bahagian dalam politik. Mereka yang paling sedar pula diserap ke dalam sistem pemerintahan Soviet yang semakin bertukar menjadi birokratik. Di samping itu, ada juga ramai pekerja yang militan terkorban dalam perang saudara, menyebabkan negara pekerja yang baru ditubuhkan ini kehilangan sejumlah besar golongan yang berkesedaran tinggi.

214. Dalam waktu yang berkesusahan tersebut, amat sukar untuk melahirkan kadre yang sesuai dalam kelas pekerja. Ini menyebabkan golongan intelek borjuis masih mengekalkan monopoli ke atas ilmu pengetahuan. Keadaan yang amat berkurangan ini membolehkan sebahagian orang mengekalkan hak keistimewaan, dan mewujudkan amalan birokrasi.

215. Perubahan yang negatif ini telah dapat diperhatikan oleh Marxis revolusioner di Rusia. Pada tahun 1920, aliran Oposisi Pekerja dalam Parti Bolshevik (yang disertai oleh pimpinan seperti Alexandra Kollontai) telah pun mengeluarkan amaran, walaupun cadangan penyelesaisan mereka kebanyakannya tidak praktikal.

216. Sejak tahun 1921, Lenin telah berasa tidak senang hati dengan kewujudan birokrasi dan menyedari bahayanya. Lenin menggambarkan Rusia sebagai sebuah negara pekerja yang dihakis oleh birokrasi.

217. Apabila Oposisi Kiri yang dipimpin oleh Trotsky ditubuhkan pada tahun 1923, mereka telah meletakkan usaha anti-birokrasi sebagai perjuangan utama mereka. Tujuan Oposisi Kiri adalah mewujudkan keadaan yang sesuai untuk menyelamatkan Revolusi Rusia, dengan cadangan:
a. Mempercepatkan industrialisasi Rusia, demi meningkatkan nisbah kelas pekerja dalam masyarakat.
b. Meningkatkan gaji dan menyelesaikan masalah pengangguran, demi memperkuatkan keyakinan diri pekerja.
c. Memperkukuhkan demokrasi soviet dan demokrasi dalam parti, demi meningkatkan tahap keaktifan politik dan kesedaran kelas dalam kalangan pekerja.
d. Mengambil berat tentang perbezaan kelas antara petani, memberikan pinjaman dan mesin pertanian demi membantu petani miskin, serta mengutip cukai progresif daripada petani kaya.
e. Terus mempersiapkan diri untuk Revolusi Sedunia, memperbetulkan kesilapan Comintern dari segi strategi dan taktik.

218. Disebabkan kebanyakan kadre parti terjerumus dalam proses birokrasi, mereka telah kehilangan peluang untuk mengembalikan nafas revolusioner untuk Soviet dan membolehkan kelas proletariat mengambilalih kuasa sebenarnya pada pertengahan 1920-an.

219. Kalau kita ingin menerangkan kemunculan dan kemenangan birokrat Stalinisme di Kesatuan Soviet, kita perlulah lihat dari segi faktor subjektif (parti revolusioner) yang tidak berfungsi sempurna dalam keadaan yang amat kekurangan, bercampur dengan faktor objektif dari dalam dan luar Rusia, seperti yang diterangkan serba sedikit di atas.

220. Stalinisme adalah kemerosotan negara pekerja yang pertama ke arah birokrasi – hasil revolusi telah dicuri oleh satu lapisan khas dalam masyarakat. Stalin mencipta teori “Sosialisme dalam satu negara”, untuk menjustifikasikan pemerintahan birokrasi dalam sebuah negara pekerja. Kemunculan Stalinisme merupakan proses revolusi balas terhadap Revolusi Rusia.

221. Demokrasi pekerja dan demokrasi soviet dihancurkan oleh pemerintahan birokrasi Stalinis. Negara pekerja dan pemerintahan proletariat hanya secara nama, tetapi kelas pekerja masih tidak memiliki kuasa sebenar untuk menentukan halatuju masyarakat. Ini telah menyebabkan Revolusi Rusia dikhianati dan hasilnya juga digadaikan.

222. Kesatuan Soviet belum lagi menjadi sebuah masyarakat Sosialis, kerana ia bukannya masyarakat tanpa kelas. Kesatuan Soviet merupakan sebuah masyarakat peralihan antara kapitalisme dan sosialisme, seolah-olah ia masih pada waktu baru berlakunya Revolusi Oktober. Kapitalisme boleh kembali wujud di Kesatuan Soviet, tetapi perlu melalui revolusi balas sosial. Pekerja juga boleh kembali memegang kuasa secara langsung, tetapi perlu melalui revolusi politik yang memecahkan monopoli kuasa politik oleh golongan birokrat. Revolusi Oktober belum selesai kerana pengkhianatan golongan birokrat Stalinis.

223. Peringkat peralihan ke Sosialisme di Kesatuan Soviet telah berlanjutan untuk lebih 70 tahun, dan kembali semula kepada kapitalisme pada tahun 1990-an, selepas satu siri revolusi balas yang menghidupkan kembali sistem ekonomi kapitalis. Program liberalisasi ekonomi yang begitu hebat sehingga kehidupan berjuta-juta kelas pekerja dan rakyat biasa di negara-negara bekas Kesatuan Soviet dikorbankan untuk kelas kapitalis kembali berkuasa. Majoriti rakyat Rusia menjadi lebih miskin berbanding zaman Kesatuan Soviet dan penindasan kelas menjadi semakin teruk.

facebook_1489597688650 - Copy.jpg
Q. Lenin seorang diktator?

224. Golongan kanan atau pendukung sistem kapitalis suka menggambarkan Lenin, pemimpin unggul Revolusi Rusia, sebagai seorang diktator yang kejam dan bersifat kuku besi. Ada juga yang mengatakan bahawa pemerintahan Stalinis selepasnya adalah lanjutan amalan politik Leninis. Namun, adakah semua tuduhan ini benar dan sahih?

225. Lenin merupakan salah seorang pemimpin Bolshevik yang amat menonjol, tetapi tidak bermakna beliau memiliki kuasa mutlak dalam parti, sama ada sebelum atau selepas Bolshevik berkuasa. Lenin tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan halatuju dan tindakan parti Bolshevik. Ada banyak kalanya, pandangan Lenin merupakan minoriti dalam parti. Namun, Lenin amat giat dalam memperdebatkan idea-ideanya, cuba menyakinkan rakan seperjuangannya dengan hujah-hujahnya, bukannya secara paksa. Kewibawaan Lenin terbentuk atas kebolehannya menyakinkan rakan-rakan seperjuangannya melalui perdebatan dengan hujah-hujah yang mantap. Lenin sering berdebat bukan sebab beliau suka bertelingkah dengan orang lain ataupun sekadar mahu menang dalam debat, tetapi untuk mendapatkan kejelasan dalam membuat keputusan politik dan menggerakkan perjuangan sosialis.

226. Pemerintahan soviet yang ditubuhkan selepas Revolusi Oktober, pada asalnya bukan pemerintahan yang totalitarian seperti yang cuba digambarkan oleh golongan kanan. Birokrasi juga belum lagi menjadi sesuatu yang ketara pada ketika Revolusi berlaku. Negara pekerja yang lahir daripada Revolusi Oktober merupakan pemerintahan yang paling demokratik di dunia pada masa itu.

227. Demokrasi pekerja, adalah prinsip asas untuk revolusioner Rusia, dan dipraktikkan dalam soviet-soviet yang wujud semasa berlakunya Revolusi. Namun, amalan demokrasi pekerja sentiasa hadapi cabaran dan ancaman sepanjang proses revolusi.

228. Proses revolusi di Rusia pada tahun 1917, menyaksikan pertumbuhan pesat demokrasi pekerja dengan penyertaan aktif golongan pekerja dan rakyat bawahan dalam soviet-soviet. Ini merupakan sesuatu yang mencabar pengertian lama tentang demokrasi yang diamalkan dalam masyarakat kapitalis. Demokrasi bukan lagi demokrasi perwakilan seperti yang di bawah sistem kapitalis di mana kuasa politik hanya dipegang oleh golongan elit yang cuba mempertahankan sistem, tetapi demokrasi langsung di mana kelas pekerja dan rakyat biasa terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan untuk menentukan bagaimana masyarakat harus ditadbir. Demokrasi direvolusikan dalam Revolusi Rusia.

229. Negara pekerja yang didirikan selepas Revolusi Oktober, sememangnya menghadapi serangan ganas daripada golongan borjuasi yang kehilangan kuasa dan juga kuasa imperialis yang takut pada kewujudan alternatif yang mampu menggugat susunan dunia kapitalis. Bolshevik dan golongan revolusioner di Rusia sedar tentang masalah ini. Walaupun bercita-cita membina sebuah masyarakat baru yang lebih demokratik, adil dan bebas daripada sebarang bentuk penindasan, tetapi tugas pertama yang terdesak untuk golongan revolusioner apabila mengambilalih kuasa adalah mempertahankan revolusi. Dalam usaha mempertahankan revolusi dan menangkis serangan ganas daripada golongan pemerintah asal yang mahu menghancurkan revolusi untuk kembali berkuasa, pertembungan yang melibatkan penggunaan kekerasan dan pencetusan perang saudara menjadi sesuatu yang amat sukar dielakkan.

230. “Semua kuasa kepada soviet” bukan sahaja sekadar slogan tetapi sesuatu yang direalisasikan dalam Revolusi Oktober dan demokrasi pekerja memang sesuatu yang begitu nyata dalam proses revolusi. Namun, amalan demokrasi pekerja tergendala tidak lama kemudiannya kerana tercetusnya perang akibat daripada serangan ganas daripada golongan anti-revolusi sejurus selepas Revolusi Oktober.

231. Lebih-lebih lagi, campurtangan luar oleh kuasa imperialis yang mahu menghancurkan revolusi dan alternatif baru yang lahir daripadanya, memburukkan lagi keadaan dan memperhebatkan pertempuran kelas yang melibatkan pertumpahan darah.

232. Pada 8 November 1917, iaitu sehari selepas soviet mengambilalih kuasa pemerintahan, Kerajaan Soviet telah mengeluarkan Arahan mengenai Penekanan ke atas Akhbar-akhbar yang Bermusuhan, sebagai langkah penapisan yang pertama untuk menangkis ancaman kuasa yang cuba menghancurkan revolusi.

233. Semasa Kerajaan Soviet menghadapi perang yang ketara dalam menentukan nasib kewujudan negara pekerja yang baru lahir itu, dan juga ancaman krisis kebuluran yang melanda pada masa itu, Kongres ke-10 Parti Komunis Rusia (Bolshevik) yang diadakan pada 8-16 Mac 1921 telah meluluskan resolusi tentang “Perpaduan Parti” yang mengharamkan fraksi atau puak dalam parti. Fraksi-fraksi yang diharamkan akibat keputusan ini termasuk “Oposisi Pekerja” yang mendukung fahaman sindikalisme yang dipimpin oleh Alexander Shliapnikov (1885-1937) dan Alexandra Kollontai, serta Kumpulan Sentralisme Demokratik yang menuntut lebih autonomi untuk soviet.

234. Walaupun usul untuk mengharamkan fraksi dalam parti Bolshevik telah diluluskan, tetapi perdebatan dalaman parti secara demokrasi masih dipraktikkan sehingga Joseph Stalin berjaya memperkukuhkan kuasanya selepas kematian Lenin. Langkah mengharamkan fraksi sepatutnya merupakan langkah sementara untuk menghadapi cabaran hebat dalam proses revolusi, tetapi setelah Stalin menguasai kepimpinan Parti Bolshevik, langkah ini telah menjadi sesuatu yang berkekalan dan ramai anggota parti yang membantahnya telah disingkir keluar daripada parti.

235. Kemunculan lapisan birokrat yang semakin menguasai jentera parti dan badan pentadbiran negara Kesatuan Soviet telah menghakis dan akhirnya menghancurkan asas kepada Revolusi Rusia – demokrasi pekerja yang diamalkan melalui soviet.

236. Dalam tulisan tentang Revolusi Rusia oleh Rosa Luxemburg pada tahun 1918 semasa beliau masih berada dalam penjara Jerman, Luxemburg menyatakan solidaritinya terhadap Bolshevik. Luxemburg menulis, “Semua kehormatan dan keupayaan revolusioner yang tidak wujud pada Demokrasi Sosial Barat telah diwakili oleh Bolshevik. Kebangkitan Oktober mereka bukan hanya penyelamat yang sebenar untuk Revolusi Rusia; ia juga penyelamat untuk kehormatan sosialisme antarabangsa.” Namun, Luxemburg telah mengkritik beberapa tindakan yang diambil Bolshevik. Pandangan Luxemburg tentang demokrasi dan kebebasan demokratik adalah sangat relevan. Rosa Luxemburg telah meramalkan bahawa pembatasan atau penyekatan terhadap demokrasi dan kebebasan demokratik dalam Kerajaan Soviet akan membawa kepada pembirokrasian dan kediktatoran sekumpulan kecil birokrat. Kemenangan birokrasi Stalinis selepas tahun 1924 merupakan pengesahan yang tragis untuk amaran ini.

237. Demokrasi adalah penting untuk Sosialisme, dan kedua-dua perkara ini tidak boleh dipisahkan. Seperti yang dikatakan oleh Wilhelm Liebknecht, seorang Sosialis Jerman pada abad ke-19, “Sosialisme tanpa demokrasi adalah sosialisme dalam bayangan, sama seperti demokrasi tanpa sosialisme adalah demokrasi yang palsu. Negara demokratik adalah satu-satunya bentuk sesuai untuk masyarakat disusun atas dasar sosialis.” Leon Trotsky pun pernah menyatakan, “Sosialisme perlukan demokrasi, seperti tubuh badan manusia perlukan oksigen.”

red_guard_finland_19.jpg
R. Revolusi Finland

238. Pada kebiasaannya, naratif tentang Revolusi Rusia pada tahun 1917 hanya tertumpu pada Petrograd (ibu negara Empayar Rusia pada masa itu) dan aktiviti revolusioner di Rusia. Namun, Empayar Rusia amat luas tanah jajahannya dan terdiri daripada penduduk yang kebanyakannya beretnik bukan Rusia. Pergolakan revolusioner di wilayah pinggiran Empayar Rusia tidak kurang hebatnya berbanding apa yang berlaku di pusat Empayar itu sendiri.

239. Kejatuhan pemerintahan Tsar dalam Revolusi Februari pada tahun 1917 telah mencetuskan gelombang revolusi yang merebak secara meluas ke seluruh Empayar Rusia. Revolusi Finland merupakan antara kebangkitan rakyat yang paling luar biasa pada masa itu di mana dapat disaksikan salah satu perang kelas yang paling jelas di Eropah pada abad ke-20.

240. Finland merupakan sebahagian daripada Sweden sehingga diilhakkan oleh Empayar Rusia pada tahun 1809. Berbeza dengan wilayah lain di bawah pemerintahan Tsar, Finland mempunyai lebih kuasa autonomi, lebih kebebasan politik dan parlimennya mula dipilih secara demokratik pada tahun 1907.

241. Semasa sosialis di wilayah lain dalam Empayar Rusia diburu polis rahsia dan terpaksa bergerak secara bawah tanah, Parti Demokratik Sosial Finland (Suomen Sosialidemokraattinen Puolue, SDP) yang ditubuhkan sejak tahun 1899, dapat beroperasi secara terbuka dan sah di sisi undang-undang. Pada awalnya, SDP dibina sebagai sebuah parti massa kelas pekerja dan padat dengan budaya sosialis. Gerakan pekerja Finland telah menumpukan usaha dalam strategi berorientasikan parlimen untuk mendidik dan mengorganisasi pekerja secara sabar. Politik gerakan pekerja Finland pada awalnya agak sederhana, kurang berbicara tentang revolusi, dan biasa bekerjasama dengan golongan liberal. Namun, berbeza dengan parti sosialis massa lain di Eropah yang sah di sisi undang-undang, SDP menjadi semakin militan dan khususnya selepas Finland terlibat dalam Revolusi 1905 yang melanda seluruh Empayar Rusia.

242. Apabila tercetusnya Revolusi 1905 yang merebak di banyak tempat dalam Empayar Rusia, SDP telah mengadakan mogok umum pada 12-19 November 1905. Pengawal Merah (unit separa tentera untuk gerakan pekerja Finland) ditubuhkan dan dipimpin oleh Kapten Johan Kock (1861-1915). Semasa mogok umum, “Deklarasi Merah” yang ditulis oleh Yrjö Mäkelin (1875-1923), seorang wartawan yang berhaluan kiri, telah diterbitkan di Tampere pada 14 November 1905 dengan tuntutan pekerja seperti pembubaran Senat Finland, hak mengundi untuk semua, kebebasan politik dan pemansuhan penapisan suara. Deklarasi tersebut turut mendapat sokongan daripada golongan konstitusionalis yang liberal dan akhirnya membawa kepada pembubaran Diet Finland (dewan perundangan) yang disusun mengikut empat kelas (bangsawan, paderi, borjuasi dan petani), serta penubuhan Parlimen Finland moden yang membenarkan pilihanraya demokratik. Aksi gerakan pekerja yang hebat juga menghentikan seketika dasar Rusifikasi di Finland. Pada 12 Ogos 1906, apabila askar artileri dan jurutera tentera Rusia memberontak di kubu Sveaborg, Helsinki, Pengawal Merah Finland menyokong tindakan itu dengan mogok umum, tetapi pemberontakan tentera tersebut ditewaskan selepas 60 jam.

243. Selepas Revolusi 1905, ahli-ahli parlimen dan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja sosialis yang moderat, mendapati mereka sudah menjadi minoriti dalam SDP. Mulai tahun 1906, kebanyakan anggota parti telah memfokus pada politik perjuangan kelas yang tajam. SDP telah mengambil pendirian bahawa hanya gerakan pekerja yang independen dapat memajukan kepentingan pekerja, mempertahankan dan memperluaskan autonomi Finland daripada Rusia, serta memperjuangkan demokrasi politik sepenuhnya. SDP cuba membina kekuatannya secara berhati-hati dan mengelakkan pertembungan yang tidak matang dengan kelas pemerintah, dalam usaha mempersiapkan diri untuk revolusi sosialis yang bakal menjelang. Pada tahun 1907, SDP telah dianggotai oleh lebih 100,000 orang, menjadikannya parti sosialis terbesar di dunia mengikut per kapita negara.

244. Dalam pilihanraya parlimen pada bulan Julai 1916, SDP menjadi parti sosialis pertama di dunia yang mendapat majoriti kerusi dalam parlimen, dengan memenangi 103 daripada 200 kerusi yang dipertandingkan pada masa itu (SDP sudahpun muncul sebagai parti terbesar dalam parlimen Finland sejak tahun 1907). Namun, oleh sebab dasar Rusifikasi yang diamalkan oleh pemerintahan Tsar, kebanyakan kuasa kerajaan di Finland pada masa itu masih dipegang oleh pentadbir Rusia.

245. Apabila tercetusnya Revolusi Februari pada tahun 1917, askar-askar Rusia yang ditempatkan di Helsinki, yang terletak tidak jauh dari Petrograd (iaitu pusat berlakunya revolusi), telah memberontak menjatuhkan pegawai tinggi dan mengisytihar kesetiaan mereka terhadap Soviet Petrograd. Pasukan polis Finland dihancurkan dan pentadbiran Rusia di Finland dijatuhkan. Namun, Finland pada bulan Mac 1917 telah dibanjiri dengan tuntutan untuk “perpaduan nasional”. Sayap moderat dalam kalangan pimpinan SDP telah membelakangkan pendirian parti SDP dan menyertai kerajaan campuran bersama dengan golongan liberal, dengan harapan mendapatkan lebih kuasa autonomi daripada Kerajaan Sementara Rusia yang ditubuhkan selepas kejatuhan Tsar. Ada sesetengah golongan radikal cuba menuntut penubuhan Kerajaan Merah, tetapi hanya merupakan golongan minoriti dalam SDP. Sosialis radikal tersebut mengecam tindakan golongan moderat yang mengkhianati dan melanggar prinsip-prinsip Marxis yang dipegang SDP, namun ramai pemimpin utama SDP masih terikut-ikut untuk menyertai kerajaan campuran demi mengelakkan perpecahan parti.

246. Tidak lama selepas kerajaan sementara Finland ditubuhkan, perjuangan kelas yang militan telah meletus di kilang-kilang, jalanan dan kawasan luar bandar. Sebahagian sosialis Finland menumpukan usaha mereka dalam membina militia pekerja, sementara yang lain mengorganisasi mogok, gerakan kesatuan pekerja yang militan dan aktivisme pekerja di kilang-kilang. Golongan sosialis moderat yang menyertai kerajaan campuran cuba meredakan kebangkitan rakyat, sementara golongan sosialis yang radikal menyeru supaya berputus dengan kerajaan borjuasi. Kelas borjuasi Finland juga semakin bersikap keras kerana mereka memang enggan berkongsi kuasa dengan kelas pekerja.

247. Pada bulan Ogos 1917, bekalan makanan di Empayar Rusia terputus dan ancaman kebuluran menghantui pekerja-pekerja Finland. Rusuhan makanan tercetus, dan organisasi SDP di Helsinki mengecam keengganan kerajaan campuran Finland mengambil langkah-langkah tegas untuk menangani krisis tersebut.

248. Sosialis di Finland juga berjuang bersungguh-sungguh untuk menamatkan campurtangan kerajaan Rusia yang berterusan dalam urusan dalaman negara Finland. Kegigihan sosialis dalam perjuangan pembebasan nasional Finland meningkatkan lagi polarisasi kelas di Finland. Dengan mendapatkan kemerdekaan, sosialis radikal berharap menggunakan majoriti mereka dalam parlimen dan militia pekerja yang dikuasai mereka, untuk melaksanakan program pembaharuan politik dan sosial yang bercita-cita tinggi. Sosialis di Finland berjuang menentang kedua-dua kelas borjuasi tempatan dan kerajaan Rusia.

249. Golongan konservatif dan liberal juga mahu memperkukuhkan autonomi Finland atas sebab mereka sendiri. Namun, mereka tidak mahu menggunakan cara-cara revolusioner untuk mencapai matlamat autonomi, dan mereka juga tidak menyokong usaha SDP untuk menuntut kemerdekaan sepenuhnya.

250. Pada bulan Julai 1917, parlimen Finland dengan majoriti anggotanya daripada golongan sosialis mencadangkan rang undang-undang yang mengisytiharkan kedaulatan sepenuh Finland secara unilateral. Rang udang-undang tersebut dibantah kuat oleh golongan konservatif dalam parlimen yang merupakan minoriti. Kerajaan Sementara Rusia yang dipimpin Alexander Kerensky menolak kesahihan rang undang-undang tersebut dan mengancam untuk menduduki Finland sekiranya keputusan Rusia tidak dituruti.

251. SDP enggan berundur atau menarik balik rang undang-undang untuk kedaulatan sepenuhnya. Golongan liberal dan konservatif mempergunakan kesempatan itu untuk menyokong keputusan Kerensky untuk membubarkan parlimen Finland dan memanggil untuk pilihanraya yang baru. Arahan daripada Kerajaan Sementara Rusia untuk membubarkan parlimen Finland, telah menyebabkan semakin ramai pekerja dan sosialis radikal berpandangan bahawa parlimen tidak lagi berguna dalam memperjuangkan kepentingan kelas pekerja.

252. Dalam pilihanraya parlimen pada awal bulan Oktober 1917, walaupun SDP masih kekal sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak (92 daripada 200), tetapi golongan bukan sosialis (iaitu parti-parti borjuasi) telah memenangi majoriti kerusi yang tipis dalam parlimen. SDP menganggap bahawa pilihanraya tersebut tidak sah kerana parti-parti borjuasi menang melalui penipuan. Sejak bulan Ogos 1917 lagi, SDP juga mengarahkan semua anggotanya meletak jawatan daripada kerajaan campuran. Sosialis radikal di Finland semakin rapat dengan Bolshevik di Rusia, iaitu satu-satunya parti di Rusia yang menyokong usaha sosialis untuk kemerdekaan Finland.

253. Menjelang bulan Oktober, krisis merentasi Empayar Rusia telah mencapai keadaan genting. Pekerja-pekerja Finland dengan marahnya telah menuntut pada pemimpin mereka untuk mengambilalih kuasa. Pertembungan ganas mula tercetus di seluruh Finland. Namun, ramai pemimpin SDP masih percaya bahawa masa untuk revolusi belum sampai lagi kerana kelas pekerja masih belum cukup kuat secara organisasi dan dilengkapi senjata. Ada pula yang takut meninggalkan arena parlimen.

254. Selepas Bolshevik mengambilalih kuasa di Petrograd pada awal bulan November 1917, golongan elit borjuasi di Finland terasa diri mereka telah diasingkan. Puluhan ribu askar Rusia yang ditempatkan di Finland secara umumnya menyokong Bolshevik dan seruan untuk keamanan. Ahli-ahli akar umbi SDP dan Bolshevik di Petrograd mendesak pemimpin sosialis di Finland untuk mengambilalih kuasa serta-merta. Namun, pimpinan SDP teragak-agak untuk berbuat demikian, kerana ramai antara mereka tidak pasti sama ada kerajaan Bolshevik di Rusia akan bertahan lama atau tidak. Sosialis moderat masih menaruh harapan pada solusi parlimen yang aman; sebahagian sosialis berpandangan bahawa pengambilalihan kuasa adalah berkemungkinan dan perlu dilakukan segera; sementara kebanyakan pemimpin SDP masih tidak pasti dengan pilihan yang patut diambil.

255. Oleh sebab pimpinan SDP tidak dapat mencapai kesepakatan untuk melancarkan pemberontakan bersenjata yang mensasar pada pengambilalihan kuasa, SDP telah memanggil untuk mengadakan mogok umum pada 14 November 1917, dengan tuntutan mempertahankan demokrasi daripada borjuasi, menyelesaikan keperluan ekonomi pekerja yang mendesak dan mendapatkan kedaulatan untuk Finland. Respon daripada golongan pekerja bawahan amat memberangsangkan, dan melumpuhkan seluruh Finland. Organisasi SDP dan Pengawal Merah mengambilalih kuasa di beberapa pekan, dengan menduduki bangunan-bangunan strategik dan menahan ahli-ahli politik borjuasi.

256. Pada 16 November 1917, Majlis Mogok Umum di Helsinki telah mengundi untuk mengambilalih kuasa, namun keputusan tersebut telah ditarik balik apabila pemimpin kesatuan dan sosialis yang moderat mengecam keputusan tersebut dan mengancam untuk meletak jawatan daripada badan tersebut. Mogok umum juga ditamatkan tidak lama kemudian. Golongan sosialis dan organisasi pekerja telah melepaskan satu peluang keemasan untuk mengambilalih kuasa.

257. Mogok umum yang dilancarkan pekerja telah menyakinkan golongan borjuasi bahawa sosialis amat berbahaya untuk mereka, dan menggunakan masa yang ada sehingga tercetusnya perang saudara untuk menyusun diri mereka di bawah pimpinan yang kuat demi menghancurkan revolusi.

258. Pada 15 November 1917, Bolshevik yang menguasai Petrograd telah mengisytihar hak menentukan nasib diri secara umum, termasuknya hak untuk pemisahan sepenuhnya, dalam “Deklarasi Hak-hak Rakyat Rusia”. Pada hari yang sama, Parlimen Finland (yang dikuasai golongan borjuasi) yang takut pada kebangkitan rakyat telah mengeluarkan perisytiharan bahawa ia akan mengambilalih semua kuasa pemerintahan di Finland. Pada 6 Disember 1917, Parlimen meluluskan Deklarasi Kemerdekaan Finland. Pada 31 Disember 1917, Kerajaan Soviet Rusia mengeluarkan arahan yang mengiktiraf kemerdekaan Finland, dan arahan tersebut diluluskan pada 4 Januari 1918 oleh badan eksekutif tertinggi Soviet, Jawatankuasa Eksekutif Pusat Seluruh-Rusia (VTsIK).

259. Selepas mogok umum yang digagalkan, pekerja-pekerja yang berasa kecewa semakin hari semakin beralih kepada aksi langsung dan pemberontakan bersenjata. Golongan borjuasi juga mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi perang saudara dengan membina militia “Pengawal Putih” dan mendapatkan bantuan ketenteraan daripada kerajaan Jerman.

260. Pemimpin sosialis yang moderat masih mahu meneruskan rundingan dalam Parlimen yang tidak membuahkan hasil, manakala sayap kiri SDP yang radikal berpandangan bahawa kelambatan dalam mengadakan aksi revolusioner akan membawa kepada malapetaka. Selepas perbalahan dalaman yang berlarutan dari bulan Disember 1917 hingga awal bulan Januari 1918, sayap kiri SDP yang radikal akhirnya berjaya menguasai tindakan parti.

261. Apabila sebuah lantera merah dinyalakan oleh pimpinan SDP di menara Dewan Pekerja Helsinki pada 26 Januari 1918, telah menandakan permulaan pemberontakan pekerja untuk menubuhkan kerajaan yang revolusioner. Republik Pekerja Sosialis Finland, atau dikenali sebagai Finland Merah, telah ditubuhkan pada 29 Januari 1918. Finland Merah ditadbir oleh badan kerajaan yang digelar Delegasi Rakyat Finland, dengan pengerusinya Kullervo Manner (1880-1939).

262. Golongan sosialis dan organisasi-organisasi pekerja yang bersekutu dengan mereka telah mengambilalih kuasa dengan mudahnya di semua bandar-bandar besar Finland yang terletak di bahagian selatan negara itu, tetapi bahagian utara Finland yang kebanyakannya merupakan kawasan luar bandar, masih dikuasai oleh kelas atasan.

263. Penubuhan Kerajaan Finland Merah telah mengundang reaksi ganas daripada kelas atasan sehingga tercetusnya Perang Saudara Finland yang berlarutan untuk lebih 3 bulan. Kelambatan pengambilalihan kuasa oleh golongan sosialis memang membawa kelebihan kepada golongan borjuasi untuk membina kekuatan tenteranya dan mendapatkan sokongan daripada Jerman. Lebih 27,000 orang penyokong Finland Merah mati terkorban dalam Perang Saudara.

264. Campurtangan tentera imperialis dalam Perang Saudara Finland yang bersekutu dengan Pengawal Putih, akhirnya telah menewaskan Finland Merah pada 5 Mei 1918. Selepas itu, lebih kurang 80,000 orang pekerja dan sosialis radikal dibuang ke dalam kem tahanan. Imperialisme Jerman telah menyelamatkan kekuasaan kelas borjuasi di Finland.

265. Selepas usaha membina Finland Merah yang revolusioner digagalkan, gerakan sosialis di Finland berpecah kepada dua, golongan sosialis yang moderat meneruskan penglibatan mereka dalam sistem politik berparlimen di Finland, sementara golongan sosialis yang radikal dengan pimpinan utama mereka yang hidup dalam buangan di Rusia, seperti Otto Wille Kuusinen (1881-1964), telah menubuhkan Parti Komunis Finland di Moscow pada bulan Ogos 1918.

266. Revolusi di Finland menunjukkan bahawa revolusi pekerja pada tahun 1917, bukannya hanya tertumpu pada Rusia, tetapi juga di pinggiran Empayar Rusia. Walaupun Finland merupakan sebuah entiti politik yang menikmati keamanan dan sistem politik berparlimen yang agak stabil, namun krisis sosial dan penindasan nasional telah menyebabkan kelas pekerja semakin yakin bahawa hanya kerajaan sosialis boleh mewujudkan jalan keluar untuk pembebasan sebenar.

267. SDP di Finland merupakan salah satu parti kiri selain Bolshevik di Empayar Rusia yang mampu memimpin pekerja untuk mengambilalih kuasa. Organisasi dan pendidikan untuk kesedaran kelas secara sabar, membolehkan golongan sosialis menguasai majoriti dalam Parlimen, menyebabkan golongan kanan membubarkan institusi demokrasi untuk terus berkuasa, yang kemudiannya mencetuskan revolusi yang dipimpin sosialis.

1917-russian-revolution.jpg
S. Sosialisme dah gagal?

268. Walaupun Kesatuan Soviet yang lahir daripada Revolusi Oktober mempunyai pelbagai masalah dan usaha peralihan ke sosialisme akhirnya tidak berjaya dicapai di Kesatuan Soviet, tetapi kita tidak boleh menafikan sumbangan sejarah Kesatuan Soviet yang amat penting kepada tamadun manusia dan perjuangan pembebasan rakyat di dunia.

269. Antara sumbangan penting Kesatuan Soviet yang lahir daripada Revolusi Oktober pada abad ke-20 adalah:

  • Kewujudan Kesatuan Soviet membuktikan bahawa dunia kita tidak memerlukan sistem kapitalis untuk menghasilkan kekayaan masyarakat dan membangunkan ekonomi negara. Kesatuan Soviet pada kemuncaknya merupakan kuasa besar dunia yang mampu bersaing dengan Amerika Syarikat, hasil daripada perkembangan ekonomi pesat di bawah pemilikan negara ke atas aset perindustrian dan perancangan secara berpusat.
  • Kesatuan Soviet dan rakyatnya memainkan peranan yang amat penting dalam menewaskan perluasan kuasa Fasis/Nazi semasa Perang Dunia II. Rakyat pejuang Kesatuan Soviet yang gagah berani telah melakukan pengorbanan yang amat besar dalam perang menentang fasisme.
  • Kesatuan Soviet secara tidak langsungnya mendorong kewujudan sistem negara kebajikan di Eropah dan Amerika. Kemunculan Kesatuan Soviet telah memberi satu cabaran yang nyata kepada negara-negara kapitalis di dunia barat sehingga terpaksa mengubahsuai sistem sosio-ekonomi kapitalis di negara masing-masing untuk menjadikannya lebih bersifat kemanusiaan, demi menghalang kebangkitan kelas pekerja yang mampu menjatuhkan sistem kapitalis. Sistem negara kebajikan yang menjamin hak dan taraf hidup selesa untuk golongan pekerja merupakan hasil daripada perjuangan gerakan pekerja di Eropah dan ketakutan kelas pemerintahan Eropah terhadap pengaruh Kesatuan Soviet.
  • Revolusi Oktober menjadi inspirasi kepada rakyat di Dunia Ketiga untuk bangkit menentang kekuasaan imperialis dan proksi-proksi imperialis.

270. Walaupun Revolusi Oktober sudah berlalu untuk satu abad, penentangan rakyat di seluruh dunia terhadap sistem kapitalis masih berterusan. Sejak kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1990-an, kuasa-kuasa kapitalis global semakin menunjukkan taring mereka, dengan melancarkan serangan ke atas rakyat biasa dengan dasar ekonomi neo-liberal. Ancaman perang imperialis masih wujud dengan kuasa-kuasa besar sedang bersaing untuk melindungi kapitalis negara masing-masing, walaupun sempadan negara untuk kapitalis sudahpun tidak wujud lagi.

271. Perjuangan rakyat menentang sistem ekonomi yang membawa dasar ekonomi neo-liberal (yang membiak pelbagai masalah seperti ketidakadilan sosial, kemiskinan, pengangguran, kehidupan rakyat biasa semakin susah dan sebagainya), berlaku bukan sahaja di tempat kerja atau penempatan kaum miskin di negara-negara Dunia Ketiga, tetapi juga di negara-negara maju di mana rakyat ditekan oleh dasar “penjimatan” (austerity) yang mengurangkan perbelanjaan sosial. Rakyat bangkit berjuang bukan sahaja kerana berasa marah dan tidak berpuas hati dengan keadaan hidup yang semakin teruk, tetapi juga ingin mencari alternatif baru yang dapat menjamin kesejahteraan bersama untuk masa depan.

272. Alternatif yang dapat menggantikan sistem kapitalis, bukannya sesuatu yang jatuh dari langit, tetapi perlu berasaskan penyertaan massa rakyat dalam perjuangan itu sendiri. 100 tahun dahulu, golongan pekerja dan petani di Rusia menemui jalan keluar daripada sistem yang sedia ada melalui proses revolusi.

273. Revolusi Oktober, memberi harapan kepada rakyat tertindas bahawa rakyat bawahan mampu menggunakan kuasa dari bawah untuk menjatuhkan kelas pemerintah, dan mendirikan sebuah masyarakat baru yang benar-benar bebas, adil, samarata, demokratik dan sejahtera. Namun, misi Revolusi Oktober belum selesai lagi kerana perjalanan sejarah yang berliku-liku.

274. Revolusi Oktober telah meninggalkan warisan semangat perjuangan dan idea radikal untuk perubahan sosial. Pembebasan rakyat akar umbi daripada penindasan dan pemerasan kelas, hanya dapat disempurnakan oleh rakyat akar umbi sendiri, melalui organisasi dari bawah, dalam menentang pemerintahan kapitalis.

275. Selagi masih wujudnya pemerasan dan penindasan kelas, selagi masih wujudnya sistem kapitalis yang mengundang pelbagai krisis, pengalaman dan semangat Revolusi Oktober akan tetap relevan sebagai inspirasi kepada pekerja-pekerja, petani-petani, golongan miskin kota, anak-anak muda dan rakyat tertindas di seluruh dunia untuk terus bangkit berjuang!

6a1b25bde0cbe33044c9aa11ab4daaa8.jpg

“Saya cintai Rusia dan semua orang yang setia berdiri bersamanya dalam pertarungan hebatnya menentang kuasa raksasa jahil dan ketamakan imperialis. Apabila saya pertama kalinya mendengar perkataan yang menakjubkan, ‘Republik Soviet Rusia’, ia seolah-olah satu cahaya baru menyinari kegelapanku. Perkataan yang bersinar, menginspirasikan harapan ini, ‘Republik Soviet Rusia’, bermakna akhirnya prinsip-prinsip kebenaran, keadilan dan persahabatan memperolehi tempat berdiri di bumi ini, dan fikiran ini bergerak seperti garis bersinar yang menembusi tahun-tahun kegelapan. Kita telah menyaksikan perjuangan luar biasa Rusia dalam dunia yang dibutakan oleh ketamakan dan pemfitnahan. Walaupun dengan tipu helah, sekatan dan salahtafsir yang berniat jahat oleh akhbar yang bodoh dan tidak jujur, ianya berdiri teguh pada hari ini dengan berakar berumbi dalam perjuangannya untuk keadilan, sementara susunan masyarakat yang lama runtuh di kakinya.” – Helen Keller, Help Soviet Russia, 1921

BACAAN LANJUT:

Tariq Ali, The Dilemmas of Lenin: Terrorism, War, Empire, Love, Revolution, Verso, 2017.

Yurii Colombo, From the Finland Station, 2017. https://www.jacobinmag.com/2017/04/april-days-lenin-russia-world-war-one

Jonathan Daly dan Leonid Trofimov, Russia in War and Revolution, 1914-1922, A Documentary History, Indianapolis and Cambridge, MA: Hackett Publishing Company, 2009.

Antonio Gramsci, The Revolution against ‘Capital’, 1917. https://www.marxists.org/archive/gramsci/1917/12/revolution-against-capital.htm

Mike Haynes, Violence and Revolution in 1917, 2017. https://jacobinmag.com/2017/07/lenin-trotsky-russia-1917-war-wwi

Karl Kautsky, The Bolsheviki Rising, 1918. https://www.marxists.org/archive/kautsky/1918/03/bolsheviki.htm

Alexandra Kollontai, The Autobiography of a Sexually Emancipated Communist Woman, 1926. Terjemahan dalam BI oleh Salvator Attansio. https://www.marxists.org/archive/kollonta/1926/autobiography.htm

Alexandra Kollontai, Women Fighters in the Days of the Great October Revolution, 1927. https://www.marxists.org/archive/kollonta/1927/fighters.htm

Lars T. Lih, From February to October, 2017. https://www.jacobinmag.com/2017/05/russian-revolution-power-soviets-bolsheviks-lenin-provisional-government

Rosa Luxemburg, The Russian Revolution, 1918. Terjemahan dalam BI oleh Bertram Wolfe. https://www.marxists.org/archive/luxemburg/1918/russian-revolution/index.htm

Soma Marik, The Revolutionary Democracy of 1917, 2018. https://www.jacobinmag.com/2018/04/1917-russian-revolution-democracy-bolsheviks

China Miéville, October: The Story of the Russian Revolution, Verso, 2017.

Ralph Miliband, Lenin’s The State and Revolution, 1970. https://www.jacobinmag.com/2018/08/lenin-state-and-revolution-miliband

Alexander Rabinowitch, How the Bolsheviks Won, 2017. https://www.jacobinmag.com/2017/11/bolsheviks-russian-revolution-october-lenin

John Reed, Ten Days That Shook the World, 1919. https://en.wikisource.org/wiki/Ten_Days_That_Shook_the_World

Victor Serge, Year One of the Russian Revolution, 1930. Terjemahan dalam BI oleh Peter Sedgwick. https://www.marxists.org/archive/serge/1930/year-one/index.htm

Nikolai Nikolaevich Sukhanov, The Russian Revolution 1917: A Personal Record by N.N. Sukhanov, Princeton Legacy Library, 1984.

Leon Trotsky, Lessons of October, 1924. Terjemahan dalam BI oleh John. G. Wright. https://www.marxists.org/archive/trotsky/1924/lessons/index.htm

Leon Trotsky, The History of the Russian Revolution, 1930. Terjemahan dalam BI oleh Max Eastman. 1932. https://www.marxists.org/archive/trotsky/1930/hrr/index.htm

Koleksi dokumen-dokumen dan bahan-bahan Revolusi Rusia: https://www.marxists.org/history/ussr/events/revolution/documents/index.htm

6 thoughts on “Revolusi Rusia 1917

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *