20191226 - 976416.jpg

Ketika filem Star Wars terbaru sedang ditayangkan di pawagam di seluruh dunia, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah menandatangani rang undang-undang perbelanjaan pertahanan AS tahun 2020 yang baru diluluskan oleh Kongres AS, yang termasuk kelulusan untuk pembentukan cabang tentera AS yang keenam, “Tentera Angkasa Amerika Syarikat” (United States Space Force, USSF).

Sama ada USSF ini ditubuhkan untuk melindungi planet Bumi kita daripada ancaman pencerobohan makluk asing seperti Thanos atau memperluaskan kuasa AS di angkasa lepas menjadi Empayar Galaktik Palpatin, yang pasti adalah dunia kita tidak akan menjadi lebih selamat dengan perluasan ketenteraan kuasa besar dunia.

Belanjawan pertahanan AS untuk tahun 2020 telah memperuntukkan sebanyak USD738 bilion (bersamaan lebih kurang RM 3,050 bilion) untuk perbelanjaan ketenteraan setahun akan datang, pertambahan sebanyak USD 21 bilion (≈ RM 87 bilion) berbanding tahun 2019. Jumlah ini termasuk USD 635 bilion (≈ RM 2,624 bilion) untuk perbelanjaan asas Pentagon, USD 23.1 bilion (≈ RM 95.8 bilion) untuk program senjata nuklear, USD 71.5 bilion (≈ RM 296 bilion) untuk operasi perang dan USD 5.3 bilion (≈ RM 21.9 bilion) untuk pemulihan bencana kecemasan bagi pangkalan-pangkalan tentera. Belanjawan ini juga termasuk pembelian 100 buah jet pejuang F-35, 155 buah helikopter tentera, 165 buah kereta kebal Abrams dan 2 buah kapal selam kelas Virginia.

Belanjawan pertahanan AS mendapat sokongan daripada wakil rakyat kedua-dua parti utama (Parti Republikan dan Parti Demokratik) dalam Kongres, dengan undian 86-8 di Senat dan 377-48 di Dewan Perwakilan yang meluluskannya. Rang undang-undang belanjawan ini diluluskan dengan kerjasama wakil rakyat kedua-dua parti utama hanya beberapa hari sebelum Dewan Perwakilan meluluskan usul untuk mendakwa Trump atas pertuduhan salahguna kuasa dan mengganggu Kongres. Donald Trump menandatangani rang undang-undang untuk belanjawan pertahanan pada 20 Disember 2019. Semasa menandatangani rang undang-undang tersebut, Trump berkata, “Angkasa lepas ialah domain perang baru untuk dunia. Antara ancaman yang serius terhadap keselamatan negara kita, keunggulan Amerika di angkasa sangat penting.”

Tentera Angkasa Amerika Syarikat yang ditubuhkan sebagai cabang tentera yang keenam untuk Angkatan Tentera AS, selain Tentera Darat, Tentera Darat, Tentera Udara, Kor Marin dan Pengawal Pantai. Tentera Angkasa AS menjadi satu-satunya cabang tentera yang berasingan di dunia pada hari ini walaupun ia bukannya yang pertama. Tentera angkasa berasingan yang pertama di dunia ditubuhkan oleh Rusia pada tahun 1992 sebelum ia digabungkan ke dalam Angkatan Peluru Berpandu Strategik pada tahun 1997 dan sekarang ini merupakan sebahagian daripada Angkatan Aeroangkasa Rusia (VKS).

Sebelum ditubuhnya Tentera Angkasa AS, negara AS dengan kuasa besar dunia yang mempunyai kepentingan imperialisnya di seluruh dunia telah mula membangunkan program ketenteraan angkasa di bawah Tentera Udara AS sejak tahun 1945. Pada tahun 1982, Markas Pemerintahan Angkasa Tentera Udara ditubuhkan dalam Tentera Udara untuk memusatkan semua operasi angkasa, termasuk amaran peluru berpandu, operasi pelancaran, pengawalan satelit, komunikasi satelit dan sebagainya. Pada zaman pemerintahan Presiden Ronald Reagan, Kerajaan AS pernah membangunkan rancangan Inisiatif Pertahanan Strategik (SDI), satu sistem pertahanan peluru berpandu berkontroversi yang juga dikenali sebagai Program Star Wars, ketika AS bersaing dengan Kesatuan Soviet dalam bidang persenjataan ketenteraan ketika Perang Dingin.

Penubuhan Tentera Angkasa AS ini menjadi petanda penenteraan angkasa yang selanjutnya dan pasti akan mencetuskan pusingan perlumbaan senjata yang baru. Dengan keadaan geopolitik yang tidak menentu di peringkat dunia dan peningkatan perbelanjaan ketenteraan yang berterusan di AS, negara-negara lain pasti akan berlumba-lumba dalam pembelian kelengkapan ketenteraan baru untuk melindungi kepentingan negara (baca kepentingan kelas pemerintah) masing-masing, di samping mewujudkan peluang penjanaan keuntungan yang lumayan untuk syarikat-syarikat pengeluar senjata.

Pesaing untuk calon Parti Demokratik dalam Pilihanraya Presiden AS 2020, Elizabeth Warren dan Bernie Sanders, telah menyuarakan bantahan mereka terhadap peningkatan USD 21 bilion dalam belanjawan ketenteraan. Dalam mesej twitternya, Warren berkata, “Belanjawan untuk Pentagon sudah terlalu besar untuk begitu terlalu lamanya. Saya tidak boleh menyokong rang undang-undang pertahanan yang merupakan hadiah Hari Krismas kepada kontraktor pertahanan gergasi dan melemahkan nilai serta keselamatan kita.”

Bernie Sanders dan Ahli Dewan Perwakilan AS Ro Khanna mengeluarkan satu kenyataan bersama pada 9 Disember 2019 yang menyeru wakil rakyat dalam Kongres untuk menolak “rang undang-undang pengecut moral yang tergaman”. “Tiadanya sebab yang terdesak untuk Kongres menghujani Trump, rakan-rakan Saudinya dan kontraktor Pentagon daripada kompleks perindustrian-ketenteraan dengan hadiah pembayar cukai berjumlah USD 738 bilion ini sekarang juga. ”

AS merupakan negara yang mempunyai perbelanjaan ketenteraan yang tertinggi di dunia sejak Zaman Perang Dingin. Selepas tamatnya Perang Dingin 3 dekad dahulu, AS menjadi satu-satunya kuasa ketenteraan terbesar di dunia yang sentiasa menduduki tangga pertama perbelanjaan ketenteraan. Perbelanjaan ketenteraan AS adalah berlipatganda besar berbanding dengan pesaing terdekatnya, negara China yang sudah muncul sebagai kuasa besar penting dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Perbelanjaan ketenteraan AS adalah lebih besar daripada jumlah perbelanjaan ketenteraan China, Arab Saudi, India, Perancis, Rusia, Britain dan Jerman dicampur sekali.

Dengan “jaguh” dunia dalam perbelanjaan ketenteraan meningkatkan lagi wang yang ditaburkan dalam membeli lebih kelengkapan senjata, negara-negara “kuasa besar” lain seperti China dan Rusia, di samping negara kuasa serantau seperti India, pasti akan terus meningkatkan perbelanjaan ketenteraan mereka dalam tahun-tahun akan datang. Sebagai sebuah kuasa serantau yang semakin berpengaruh, lebih-lebih lagi dengan Kerajaan yang berfahaman pelampau kanan yang berkuasa, India telah menyaksikan pertumbuhan belanjawan ketenteraan yang cepat. Kerajaan India telah merancang untuk membelanjakan USD 130 bilion (≈ RM 537 bilion) untuk memodenkan tenteranya dalam 5 tahun akan datang. Belanjawan pertahanan India dengan jumlah USD 44 bilion (≈ RM 182 bilion) pada tahun 2020 adalah 9.3% lebih tinggi berbanding tahun sebelum ini.

Trend perlumbaan senjata ini bukan sahaja tidak akan menjamin keselamatan rakyat biasa di seluruh dunia, malah menyumbang kepada ketegangan dunia di mana semakin banyak kerajaan dikuasai oleh puak pelampau kanan yang berfahaman sempit, termasuk kuasa besar seperti AS itu sendiri. Namun, untuk sistem kapitalis global yang dilanda krisis mendalam, perlumbaan senjata bukan sahaja tidak bermasalah, malah dapat mendatangkan lebih peluang perniagaan, khususnya untuk kompleks perindustrian-ketenteraan.

Maklumat yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) pada 9 Disember 2019, didedahkan bahawa penjualan senjata dan perkhidmatan ketenteraan oleh 100 buah syarikat terbesar (kecuali syarikat-syarikat dari China kerana kekurangan data untuk membuat jangkaan) mencecah USD 420 bilion (≈ RM 1736 bilion) dalam tahun 2018, meningkat sebanyak 4.6% berbanding tahun sebelumnya.

5 syarikat yang menduduki tangga teratas dalam penjualan senjata ialah syarikat yang berpangkalan di AS, iaitu Lockheed Martin, Boeing, Northrop Grumman, Raytheon dan General Dynamics. Hasil jualan lima syarkat ini pada tahun 2018 ialah USD 148 bilion (≈ RM 612 bilion), bersamaan dengan 35% daripada jumlah penjualan senjata oleh 100 buah syarikat persenjataan terbesar dunia. Jumlah jualan sentaja oleh syarikat-syarikat AS dalam senarai tersebut ialah USD 246 bilion (≈ RM 1,017 bilion), bersamaan 59% daripada jumlah jualan senjata oleh 100 syarikat terbesar, meningkat sebanyak 7.2% berbanding tahun 2017.

Industri pengeluaran senjata di AS juga menunjukkan trend penggabungan syarikat untuk memusatkan modal. Misalnya, Northrop Grumman dan General Dynamics telah melakukan pengambilalihan terhadap syarikat lain dalam jumlah berbilion-bilion dollar pada tahun 2018. Menurut Aude Fleurant, Pengarah Program Perbelanjaan Senjata dan Ketenteraan SIPRI, “Syarikat-syarikat AS sedang bersiap sedia untuk program pemodenan senjata baru yang diumumkan pada tahun 2017 oleh Presiden Trump. Syarikat-syarikat besar AS bercantum supaya dapat mengeluarkan sistem senjata generasi baru, dan maka itu berada dalam posisi yang lebih baik untuk mendapat kontrak daripada Kerajaan AS.”

Dengan syarikat-syarikat pengeluar senjata AS mendominasi pasaran penjualan persenjataan di dunia dan juga penjualan senjata kepada Kerajaan AS itu sendiri, maka tidak hairan Kerajaan AS tidak pernah ketinggalan dalam memperkembangkan ketenteraannya. Penglibatan tentera AS dalam konflik di merata tempat yang membawa kesengsaraan hidup yang teruk kepada penduduk tempatan, menjadi peluang perniagaan yang cerah untuk syarikat-syarikat pembekal senjata mengaut keuntungan lumayan. Jelas sekali sistem ekonomi kapitalis dan kehebatan negara AS disuap oleh peperangan dan penderitaan rakyat daripada konflik yang berterusan.

Peningkatan perbelanjaan ketenteraan dan pembentukan cabang tentera baru seperti Tentera Angkasa yang akan memprovokasi reaksi negara lain untuk turut menyertai dalam perlumbaan senjata bidang peperangan baru, sedang “menyumbang” kepada ancaman terhadap keamanan dunia yang semakin rapuh. Namun, keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat biasa sedunia sememangnya bukan perkara yang dipeduli oleh golongan kapitalis. Dari segi ekonomi, dunia yang diselubungi ketegangan yang berisiko mencetuskan konflik peperangan, bermakna peluang perniagaan yang lebih besar untuk syarikat-syarikat pengeluar senjata di dunia, termasuklah syarikat-syarikat besar di AS. Dari segi politik pula, untuk politikus yang mempermainkan sentimen nasionalis dan patriotik yang sempit seperti Trump, mereka memerlukan peperangan ataupun sekurang-kurangnya suasana yang tegang untuk mengekalkan kekuasaan mereka dan terus menang dalam pilihanraya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *