Ketika kita sampai ke penghujung tahun 2020 yang telah dihantui sepenuhnya oleh pandemik COVID-19 dan menyambut tahun baru 2021, marilah kita imbas kembali sepintas lalu beberapa babak perjuangan rakyat di Malaysia dan juga aktiviti yang penting untuk Parti Sosialis Malaysia (PSM) sepanjang satu tahun yang lalu ini.
1. Kesatuan pekerja pembersihan hospital lawan penindasan
Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) telah menghadapi pelbagai rintangan daripada syarikat kontraktor yang mengupah pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan, tetapi tegas memperjuangkan hak pekerja bawahan. 5 orang aktivis kesatuan telah ditangkap polis pada 2 Jun 2020 ketika mengadakan aksi protes di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, untuk membantah tindakan majikan Edgenta UEMS yang menganiayai kesatuan sekerja yang dianggotai oleh pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan. Mereka didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh dengan tuduhan melanggar peraturan-peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Namun, mereka kemudiannya dilepaskan tanpa dibebaskan oleh mahkamah majistret selepas pihak pendakwaan tidak meneruskan proses pendakwaan. Pekerja-pekerja pembersihan hospital yang diupah oleh Edgenta UEMS menghadapi pelbagai ancaman daripada pihak majikan yang cuba mematikan kesatuan yang mewakili mereka. KPSPSHKSM juga membangkitkan isu pekerja-pekerja pembersihan di hospital tidak diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan (frontliner) yang menyebabkan mereka tidak menikmati bantuan elaun yang diberikan kepada petugas barisan hadapan, walaupun mereka terpaksa juga berdepan dengan risiko jangkitan wabak COVID-19 semasa menjalankan tugasan mereka untuk memastikan kebersihan hospital.
2. JPKK lancar kempen hapuskan sistem kontrak
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) melancarkan kempen “Hapus Sistem Kontrak – Jaminan Kerja untuk Semua” dengan tuntutan menyerapkan semua pekerja perkhidmatan sokongan di premis kerajaan yang diupah oleh kontraktor swasta sebagai pekerja tetap yang diupah secara langsung oleh kerajaan. JPKK telah menyerahkan memorandum tuntutan kempen dan laporan kajian mengenai sistem kontrak kepada Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan. Kempen ini juga mengutip tandatangan sokongan melalui satu petisyen atas talian.
3. Pekerja pembersihan sekolah menang kes mahkamah lawan PERKESO
Valarmathy, seorang pekerja pembersihan di sekolah, telah menang kesnya terhadap PERKESO pada 7 September 2020, apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Valarmathy berhak untuk membuat tuntutan PERKESO berkenaan dengan kemalangannya semasa menghantar rakan sekerjanya pulang ke rumah.
4. Selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara
Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil melancarkan satu kempen untuk mempertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU). PSM turut menyokong kempen ini. Kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk menyahwartakan HSKLU untuk tujuan pembangunan bercampur, di mana ia akan mendatangkan kesan buruk kepada ekologi alam sekitar dan mengabaikan hak masyarakat Orang Asli yang sudah lama tinggal di situ.
5. Pekerja Ladang Windsor lawan pengusiran lawan
3 orang pekerja Ladang Windsor, Ulu Sepetang, Kamunting, Perak, yang diberhentikan kerja selepas usia persaraan menghadapi ancaman pengusiran daripada pihak pengurusan ladang tersebut. Pihak pengurusan ladang telah bertindak zalim sehingga memotong bekalan air dan elektrik ke rumah pekerja dengan niat mengusir mereka. Namun begitu, selepas pekerja-pekerja turun berprotes di hadapan ibupejabat Malakoff Corporation Berhad, iaitu pemilik tanah ladang tersebut, bekalan air dan elektrik telah disambung semula. Pihak pengurusan ladang telah mengheret pekerja ke mahkamah pada masa kini dengan cubaan mendapatkan perintah mahkamah untuk mengusir mereka. Pekerja-pekerja Ladang Windsor menuntut pada Malakoff Corporation Berhad supaya melaksanakan skim perumahan untuk pekerja-pekerja ladang di situ.
6. Perjuangan petani Perak berterusan
Perjuangan petani-petani di negeri Perak masih berterusan untuk melawan pengusiran paksa dan mempertahankan hak tanah untuk bercucuk tanam serta jaminan makanan. PSM masih meneruskan usaha menyokong perjuangan petani ini. Satu perkembangan yang memberangsangkan adalah Mahkamah Rayuan telah memutuskan pada 22 September 2020 untuk membenarkan permohonan yang difailkan oleh 3 orang petani di Chemor supaya menggantungkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang berpihak kepada tuan tanah maka menangguhkan pengusiran paksa yang dihadapi oleh petani-petani di Chemor. Sementara itu, Mahkamah Rayuan juga memutuskan pada 5 Oktober 2020 untuk membenarkan rayuan daripada 2 orang penternak ikan dari Kuala Kuang untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengusir mereka. Petani-petani di Mambang Diawan pula berdepan dengan satu insiden ancaman pengusiran pada 28 September 2020 apabila dua orang petani ditangkap polis pada 28 September 2020 dan ditahan semalaman atas dakwaan bahawa mereka menceroboh tanah swasta milik pemaju walaupun petani-petani tersebut mempunyai perintah mahkamah yang membenarkan mereka untuk terus berada di situ. PSM telah membuat aduan berkenaan dengan insiden tersebut kepada Ketua Polis Negeri Perak.
7. PSM lancar kempen desak isytihar Darurat Iklim
PSM melancarkan kempen “Isytihar Darurat Iklim” pada bulan Januari 2020, dengan seruan kepada pihak kerajaan supaya mengambil tindakan segera dalam usaha menangani krisis iklim yang semakin meruncing. Kempen tersebut telah mengemukakan tuntutan seperti menghentikan pembinaan loji penjana kuasa elektrik yang menggunakan bahan api fosil, meningkatkan perlindungan hutan, membangunkan rangkaian pengangkutan transit massa bas (BMT), mewujudkan mekanisme penglibatan masyarakat dalam pengurusan hutan dan sebagainya. Kempen ini tergendala kerana penularan wabak COVID-19, tetapi dijangka akan bersambung dan dipertingkatkan lagi usaha berkempen pada tahun 2021.
8. PSM kemuka cadangan “pulih negara demi rakyat”
Pada ketika negara kita turut dilanda ancaman penularan wabak COVID-19, PSM telah membangunkan pelbagai program untuk mendesak kerajaan supaya mengambil langkah-langkah yang sewajar untuk mengurangkan impak pandemik terhadap rakyat dan menangani masalah kemelesetan ekonomi yang menjejaskan kehidupan masyarakat keseluruhannya. PSM telah mengemukakan satu pelan tindakan nasional untuk menangani kegawatan ekonomi negara akibat krisis wabak COVID-19 kepada Pejabat Perdana Menteri pada bulan Julai 2020. Cadangan dalam pelan tindakan tersebut merangkumi aspek seperti jaminan bekalan makanan, pelaksanaan skim Jaminan Pendapatan Asas untuk mereka yang kehilangan punca pendapatan, penyediaan subsidi sewa, peningkatan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan, jaminan keselamatan masyarakat awam daripada jangkitan COVID-19, pengambilalihan kilang-kilang yang tertutup oleh kerajaan untuk pengeluaran barangan keperluan, pengwujudkan peluang pekerjaan melalui pengalihan sumber negara ke dalam sektor pemulihan alam sekitar dan usaha membangunkan amalan demokrasi di peringkat akar umbi. Selain itu, PSM juga mewujudkan Talian Hotline Aduan Pekerja COVID-19 semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Usaha serupa diteruskan dengan pelancaran Sistem Aduan Pekerja (SiAP) yang dikendalikan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mulai bulan November 2020.
9. Deklarasi Trolak PSM kemukakan rancangan bina gerakan sosialis untuk jangka masa satu dekad
PSM telah mengadakan satu sesi perbincangan dalaman penting antara aktivis-aktivis yang menggerakkan organisasi parti pada bulan Januari 2020 di Trolak, Perak, dan membangunkan satu pelan tindakan untuk 10 tahun yang akan datang. Pelan tindakan yang dikenali sebagai “Deklarasi Trolak” tersebut menggariskan halatuju, fokus gerak kerja parti dan strategi membina gerakan rakyat yang progresif di Malaysia dalam tempoh 10 tahun yang akan datang. PSM bertekad untuk terus memperkasakan kuasa rakyat dalam usaha memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyat terbanyak.
One thought on “Imbas kembali 2020: Perjuangan rakyat dan PSM”