Dua orang petani di Mambang Diawan yang ditahan semalaman pada 28 September 2020 bersama dengan peguam K. Kunasekaran di luar Ibupejabat Polis Daerah Kampar.

IPOH, PERAK – 29 September 2020: Dua orang petani di Mambang Diawan, Perak, telah ditangkap polis pada 28 September 2020 dan ditahan semalaman di lokap Ibupejabat Polis Daerah Kampar, dengan alasan mereka menceroboh tanah swasta milik pemaju walaupun petani-petani tersebut mempunyai perintah mahkamah yang membenarkan mereka untuk terus berada di situ. Pihak polis Kampar pada awalnya hendak memohon reman untuk kedua-dua orang petani yang ditahan tersebut di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Kampar pada hari ini, namun petani yang ditahan telah dibebaskan dengan jamin polis setelah ditahan dalam lokap semalaman.

Aktivis-aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bersama dengan petani-petani dari kawasan lain yang bersolidariti dengan petani-petani Kampar telah membuat aduan kepada Ketua Polis Negeri Perak pada hari ini di Ibupejabat Polis Kontinjen Perak, berkenaan dengan salahguna kuasa oleh polis Mambang Diawan. Turut hadir semasa penyerahan surat aduan kepada pihak Polis Kontinjen Perak ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dr. Jeyakumar menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan polis di Mambang Diawan yang menahan dua orang petani semalam walaupun Mahkamah Majistret Tapah telah mengeluarkan perintah pada 20 Februari 2020 yang mengatakan bahawa status quo tanah di Kawasan HSD 24666, PT 6605, Mukim Chenderiang, harus dikekalkan sehingga isu pertikaian tanah ini diputuskan oleh mahkamah.

Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Tapah pada 20 Februari 2020 di bawah Seksyen 99(6) Kanun Prosedur Jenayah menyatakan bahawa 10 orang petani yang sedang mengusahakan tanah berkenaan berhak menyimpan milikan tanah bersebut sehingga dilucutkan dengan cara undang-undang dan adalah dilarang untuk mengganggu milikan tanah itu sehingga ia dilucutkan melalui proses undang-undang. Perintah mahkamah tersebut telah pun diberitahu kepada pihak pemaju dan pihak polis Mambang Diawan. Namun, apabila ejen daripada syarikat pemaju Delscon Properties Sdn Bhd memasuki bidang tanah yang masih dipertikaikan itu pada 28 September 2020, pihak polis di Mambang Diawan bukan sahaja tidak menasihatkan pihak pemaju untuk berundur dari situ dan merujuk perkara kepada mahkamah, sebaliknya bertindak berpihak kepada pemaju untuk menahan dua orang petani yang berada di kawasan itu.

Aktivis-aktivis PSM dan petani-petani menyerahkan surat aduan kepada Ibupejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh.

Dalam surat yang diserahkan kepada Ibupejabat Polis Kontinjen Perak, PSM meminta Ketua Polis Negeri Perak untuk menyisat perkara berikut:

  1. Mengapa polis Mambang Diawan tidak menghormati perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Tapah? Adalah mereka tidak memahami perintah mahkamah tersebut?
  2. Adakah terdapat unsur ugutan dalam tindakan polis Mambang Diawan? (Pihak polis hendak memohon reman bagi dua orang petani ini. Bukankah ini sejenis penyalahgunaan kuasa?)
  3. Apakah sebabnya polis bertindak berat sebelah dalam perkara ini di mana wujudnya pertikaian antara sekumpulan petani yang telah mengusahakan tanah ini selama 30 tahun dan sebuah syarikat swasta yang baru diberi pemilikan ke atas tanah tersebut? Apakah caranya pihak pemaju mempengaruhi polis Mambang Diawan untuk berpihak kepadanya? Adakah mana-mana pegawai polis yang diberi rasuah?

Dr. Jeyakumar berkata, “Kami berharap Ketua Polis Negeri Perak akan mengambil berat tentang kes ini, kerana nama baik polis akan dicemari oleh pendekatan polis Mambang Diawan yang telah mewujudkan persepsi dalam kalangan orang ramai bahawa polis terlalu dipengaruhi oleh pemaju yang kaya.”

Petani-petani yang mengusahakan aktiviti pertanian di Mambang Diawan telah menghadapi ancaman pengusiran daripada pihak syarikat pemaju Delscon Properties Sdn Bhd sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Isu ini telah dibawa ke mahkamah dan masih belum selesai lagi. Pada tahun ini sejak 26 Mei 2020, iaitu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petani-petani dan penternak-penternak Mambang Diawan ini menghadapi semula gangguan daripada ejen syarikat Delscon Properties Sdn Bhd yang memasuki tanah kawasan pertanian tanpa kebenaran mereka. Para petani telah membuat beberapa aduan polis terhadap tindakan syarikat pemaju dan membuat satu lagi aduan kepada Mahkamah Majistret Tapah pada 12 Ogos 2020. Dalam surat bertarikh 19 Ogos 2020 yang dikeluarkan oleh Majistret Tapah, adalah dinyatakan bahawa Perintah Mahkamah Majistret Tapah yang dikeluarkan pada 20 Februari 2020 masih sah dan berkuatkuasa sehingga perintah tersebut dibatalkan oleh mahkamah sivil yang mempunyai bidang kuasa terhadap tanah tersebut. Pada 4 September 2020, pihak syarikat Delscon Properties membuat sekatan di pintu masuk utama ke tapak pertanian dan menghalang petani-petani daripada mengeluarkan hasil pertanian mereka. Pihak polis di Mambang Diawan tidak mempedulikan perintah mahkamah yang diperolehi petani, malah ada pegawai polis yang mengugut bahawa mereka boleh ditangkap kerana menceroboh tanah milik Delscon Properties. Tindakan ancaman pengusiran paksa ini telah berterusan dengan pihak syarikat pemaju dan polis di Mambang Diawan mengingkar perintah mahkamah.

3 thoughts on “Petani Mambang Diawan ditahan secara tidak sah dengan alasan “menceroboh” tanah swasta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *