PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan daripada 2 orang penternak ikan dari Kuala Kuang, Chemor, Perak, untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengusir mereka.

Keputusan Mahkamah pada 5 Oktober 2020 ini dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga orang hakim yang terdiri daripada Datuk Hanipah binti Farikullah, Datuk Nor Bee Binti Ariffin dan Dato’ Indera Mohd Sofian bin Tan Sri Abdul Razak. Panel hakim Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dengan kos dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang bertarikh 6 September 2019.

Keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 6 September 2019 mengatakan bahawa dua orang penternak ikan Kuala Kuang yang mengusahakan penternakan berpuluh tahun di situ merupakan setinggan dan memasuki tanah yang diusahakan mereka tanpa kebenaran. Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan bahawa Uniplaster Marketing Sdn Bhd ialah pemilik tanah yang sah dan berhak untuk mendapatkan pemilikan kosong ke atas tanah berkenaan. Penternak-penternak yang diancam pengusiran paksa tersebut merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh ini dengan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 18 September 2019. Mahkamah Rayuan pada 5 Oktober 2020 memutuskan bahawa rayuan penternak-penternak ini adalah berasas dan membenarkan rayuan ini dengan kos RM5,000.

Pihak perayu, iaitu peternak-penternak yang diusir, diwakili oleh peguam Dato’ Dr Gurdial Nijar Singh Bersama dengan Kunasekaran, Gan Pei Fern dan Abaraham Au Tian Hui di Mahkamah Rayuan; sementara responden, iaitu syarikat Uniplaster Marketing Sdn Bhd, diwakili oleh Muralichandran dan P. Kavitha.

Semasa memberi penghujahan di Mahkamah Rayuan, Dato’ Dr Gurdial Nijar Singh menyatakan bahawa tanah-tanah yang berkenaan telah diusahakan oleh penternak-penternak ikan tersebut. Penternak-penternak ikan tersebut bukannya setinggan kerana mereka mempunyai kebenaran dan pengetahuan daripada pemilik tanah yang terdahulu, iaitu Kerajaan Negeri Perak dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Dato’ Dr Gurdial Singh berhujah bahawa permohonan oleh pihak pemilik tanah Uniplaster Marketing Sdn Bhd di bawah Aturan 89 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 hanya boleh digunakan ke atas setinggan (squatter simpliciter) dan tidak wajar digunakan terhadap pengusaha-pengusaha aktiviti pertanian di mana kemasukan pertama mereka ke atas tanah-tanah tersebut adalah “dipersetujui dengan kelakuan” (consent by conduct) oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Dato’ Dr Gurdial Singh menegaskan bahawa para petani yang menduduki dan mengusahakan tanah untuk tujuan pertanian ini tidak wajar diusir begitu sahaja tanpa diberi peluang kepada mereka untuk memanggil saksi-saksi bagi membuktikan kes mereka dan prodedur penghakiman terus (summary procedure) tidak sesuai dalam kes ini. Menurutnya, agensi-agensi kerajaan pernah memberi galakan dan dorongan kepada petani dan penternak ini, maka ini merupakan satu kebenaran secara tersirat. Sepanjang pendudukan penternak-penternak ikan di atas tanah tersebut, tiada mana-mana agensi kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka untuk mengusir dan memaksa mereka mengosongkan tanah tersebut.

Penternak-penternak ikan yang berkenaan pernah membuat permohonan kepada agensi kerajaan. Agensi kerajaan yang berkaitan pernah mengadakan lawatan ke kawasan tersebut dan ini mengesahkan bahawa mereka bukan setinggan, sebaliknya adalah penghuni tanah yang sah. Aturan 89 hanya boleh digunakan terhadap mereka yang tidak dikenali langsung dan tiada apa-apa kepentingan di atas tanah yang berkenaan, tetapi dalam kes ini memang penternak-penternak ikan tersebut dikenali dan pendudukan mereka diketahui oleh pihak kerajaan yang merupakan pemilik terdahulu untuk tanah yang berkenaan. Lebih-lebih lagi, berbanding dengan penternak-penternak yang sudah berpuluh tahun menggunakan tanah yang berkenaan, pihak responden yang dikatakan pemilik tanah itu, syarikat Uniplaster Marketing Sdn Bhd, hanya diberi milikan pada tahun 2016 dan pada masa itu mereka sedar dan berpengetahuan tentang pendudukan petani dan penternak di atas tanah tersebut.

Keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang membenarkan pengusiran paksa terhadap penternak-penternak ikan dari Kuala Kuang ini, merupakan satu kemenangan kepada usaha perjuangan petani-petani dan penternak-penternak dalam melawan pengusiran paksa dan mempertahankan hak mengusahakan aktiviti pertanian atau penternakan mereka.

One thought on “Mahkamah Rayuan ketepikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengusir penternak ikan Kuala Kuang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *