oleh S. Arutchelvan

Pada 7 September 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur YA Dato Sri Mariana Binti Haji Yahya memberi keputusan yang berpihak kepada Valarmathy dan menolak keputusan Jemaah Rayuan PERKESO pada 4 Oktober 2019 yang mengklasifikasikan tuntutan Valar sebagai bukan satu bencana kerja. PERKESO sebelum ini menolak tuntutan Valar yang bekerja sebagai pekerja pembersihan sekolah, kerana berpendapat bahawa tindakan Valar menghantar rakan sekerjanya balik rumah pada 12 Julai 2018 sebagai satu lencongan. Selain itu, PERKESO juga berkata bahawa disebabkan Valar telah menerima duit minyak sebanyak RM50 sebulan, maka tindakannya adalah bermotivasikan duit itu dan dianggap sebagai kerja sampingan (economic pursuit).

Walau bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi telah menolak keputusan Lembaga PERKESO dalam penghakiman semalam. Hakim berkata bahawa Lembaga itu telah memutuskan kes Valar secara tegar (rigid) dan bukan secara munasabah. Mahkamah berpendapat bahawa tindakan Valar menghantar rakan sekerjanya bukan satu lencongan yang tidak munasabah. Malahan, memang tidak ada pengangkutan awam untuk pekerja itu berulang alik ke tempat kerja, sementara majikan tidak memberikan perkhidmatan pengangkutan, dan jika berjalan kaki pula mengambil masa hampir sejam. Di samping itu, tindakan Valar menghantar rakan sekerjanya setiap hari diketahui oleh majikan, dan ini bukannya satu perbuatan yang salah. Matlamat Valar hanyalah untuk menghantar rakan sekerjanya ke rumah sebelum dia sendiri pulang ke rumah.

Hakim Mariana berkata bahawa matlamat akhir (ultimate goal) adalah penting, di mana matlamat akhir Valar adalah hendak balik ke rumah. Beliau juga berkata Seksyen 24(1) Akta PERKESO menyatakan mengenai satu laluan jalan dan tidak berkata secara spesifik jalan itu harus meliputi apa. Beliau berkata bahawa matlamat Valar akhirnya adalah untuk pulang ke rumah dan ini tidak boleh dianggap sebagai lencongan yang tidak munasabah.

Hakim Mariana juga berkata bahawa dua keputusan kes sebelum ini, iaitu kes Mohd Zaili Ali (2003) dan Johari bin Saimon (2007), dengan jelas mengatakan bahawa sebarang lencongan tersebut mestilah kena mengena dengan pekerjaan dan setiap kes melibatkan lencongan mesti melalui ujian kemunasabahan.

Dalam kes Valar, Hakim juga berkata bahawa duit RM50 sebulan yang diperolehi Valar itu bukanlah duit yang besar. Ia hanyalah duit minyak dan jika rakan sekerjanya mengambil bas pun, dia kena bayar tambang bas. Lebih-lebih lagi, rakan sekerjanya itu adalah dari tempat kerja yang sama. Maka kemalangan ini memang melibatkan isu pekerjaan dan beliau membidas sikap Lembaga yang terlalu tegar (rigid) dalam menafsir Seksyen 24(1) Akta PERKESO.

Hakim menolak keputusan Lembaga PERKESO dengan kos, tetapi peguam yang mewakili Valar secara pro bono, Vivian Kuan, tidak menuntut sebarang kos daripada PERKESO. Jika kami menuntut kos itu, PERKESO perlu membayar dan wang itu kena diambil daripada tabung pekerja juga. Tabung PERKESO adalah wang pekerja dan ia harus digunakan untuk kepentingan kaum pekerja yang mengalami kemalangan dan masalah kesihatan. Itulah sebabnya sebelum ini pun, PSM pernah mengkritik PERKESO kerana mengambil peguam swasta yang mahal untuk melawan pekerja, padahal wang yang dibayar kepada peguam PERKESO itu sahaja sudah boleh menyelesaikan tuntutan pekerja yang tidak seberapa besar jumlahnya pun.

Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menggembirakan ini disambut dengan tepukan. Dua orang anggota polis daripada Cawangan Khas (SB) pun hadir dan berkata mereka hadir kerana ini kes kepentingan awam.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam kami yang diwakili oleh New Sin Yew, Vivian Kuan dan Beatrice Chin. Mereka mengendalikan kes ini secara pro bono. Bagi kaum pekerja, biasanya apabila tuntuan mereka ditolak oleh PERKESO, ramai yang tidak mampu untuk membawa kes ke mahkamah. Namun, kami berharap jika pekerja mempunyai tuntutan yang sahih, ada juga peguam yang baik yang sedia membantu.

Keputusan ini amat melegakan kerana ia akan memberi keadilan kepada ramai pekerja yang mungkin mengalami situasi yang sama, di mana ujian kemunasabahan ini tidak dilakukan. Untuk pekerja pembersihan Valar, beliau bergembira kerana mungkin kemenangan ini akan membolehkannya mendapat gaji tiga bulan kerana cuti sakit dan memperoleh dana untuk pembedahan di bahagian pinggangnya yang memerlukan RM18,000. Adalah diharapkan bahawa beliau akan pulih sepenuhnya daripada kecederaan bencana kerja yang dilaluinya ini.

Semasa bercakap selepas mengetahui keputusan kes, Valar mengucapkan terima kasih kepada PSM kerana sentiasa membantu dan memberikannya semangat. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada suaminya, Letchumanan, atas dorongannya. Secara kebetulan hari keputusan mahkamah ini jatuh pada hari jadi suaminya.

PSM mengucapkan terima kasih kepada hakim atas satu penghakiman yang memberikan keadilan kepada golongan B40 dan pihak lain yang berada dalam situasi yang sama. Kami juga merayu kepada PERKESO supaya tidak membuat rayuan lagi untuk kes ini. Kami juga berharap pada masa depan, kes-kes sebegini tidak seharusnya dibawa sampai ke Mahkamah Tinggi. Pejabat PERKESO sepatutnya meneliti setiap kes dan bersikap terbuka untuk membantu kaum pekerja.

Kami juga mengucapkan terima kasih kepada ribuan rakyat yang memberi solidariti dan sokongan kepada Valar dengan menular kes ini kepada pengetahuan umum. Hari ini satu kemenangan kecil untuk seorang pekerja wanita yang mencabar kepincangan sistem PERKESO yang menafikan hak pekerja untuk mendapat tuntutan bencana kerja. Wang yang diperolehi mungkin kecil, tetapi erti kemenangan ini adalah besar.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
==========

Kornologi kes Valarmathy

20 Disember 2017: Valarmathy mula bekerja di Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 1, Cheras, Selangor, sebagai pekerja pembersihan di bawah syarikat kontraktor yang bernama Za Integrity Resources dengan gaji asas RM1100 sebulan.

12 Julai 2018: Lebih kurang pukul 4.30 pm, Valarmathy mengalami kemalangan semasa dalam perjalanan balik ke rumah dan menghantar rakan sekerjanya pulang ke rumah.

12-17 Julai 2018: Valarmathy dimasukkan ke wad di Hospital Serdang.

17 Julai 2018: Valarmathy memfailkan tuntutan bencana kerja di PERKESO.

17 Julai – 17 Disember 2018: Valarmathy dalam cuti sakit.

19 September 2018: En. Zainal Aref selaku pengurus syarikat Za Integrity Resources menghubungi Valarmathy untuk menyerahkan gaji bulan September 2018. Valarmathy pada hari yang sama hadir ke kedai mamak sebelah Ambank, di Balakong, untuk menerima gajinya dalam cek berjumlah RM925.65, setelah ditolak caruman KWSP, PERKESO dan SIP.

Pada hari yang sama, Pengurus Zainal meminta Valarmathy untuk menandatanggan di satu surat dan memberitahu bahawa rakan sekerjanya, Pn. Jeya pun sudah menandatanggani surat tersebut. Valarmathy yang tidak tahu baca, terus menandatanggan di surat tersebut. Semasa tandatanggan surat ini, Valarmathy diberitahu oleh pengurus bahawa selepas dia sembuh, boleh masuk kerja semula. Selepas bertanya suaminya yang tahu baca surat tersebut, dia mendapati bahawa itu adalah notis penamatan kerja.

25 September 2018: Laporan polis dibuat di Balai Polis Kajang tentang penipuan majikan.

1 Oktober 2018: Valarmathy memfailkan kes pembuangan kerja di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Shah Alam.

18 Oktober 2018: PERKESO menolak tuntutan bencana kerja.

17 Disember 2018: Valarmathy memfailkan rayuan di Jemaah Rayuan PERKESO.

22 Mac 2019: Valarmathy hadir untuk bicara di Jemaah Rayuan PERKESO.

4 Oktober 2019: Jemaah Rayuan tolak tuntutan bencana kerja bagi Valarmathy.

12 Disember 2019: Valarmathy memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

7 February 2020: Pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Tuan Firdaus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

16 Jun 2020: Pengurusan kes secara atas talian di hadapan Timbalan Pendaftar Tuan Firdaus.

3 September 2020: Perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi, di hadapan Hakim YA Dato Sri Mariana Binti Haji Yahya.

7 September 2020: Keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada Valar dan keputusan Lembaga Perkeso ditolak.

One thought on “Kisah seorang pekerja pembersihan menang kes terhadap PERKESO di mahkamah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s