PUTRAJAYA – 18 DISEMBER 2020: Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Kewangan pada hari ini, dengan tuntutan menghapuskan sistem kontrak di premis kerajaan supaya mengembalikan jaminan kerja kepada pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan seperti pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan yang bertugas di premis kerajaan.

Antara mereka yang hadir semasa penyerahan memorandum pada hari ini ialah Danial Hakeem dan M. Sivaranjani selaku Penyelaras JPKK, V. Selvam selaku Pegawai Perhubungan Perusahaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM), serta S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga merupakan penasihat kepada JPKK.

“Sistem kontrak ini hanya mula dilaksanakan pada tahun 1997. Sebelum itu, semua pekerja merupakan kakitangan kerajaan dengan adanya jaminan kerja. Tetapi penyumberan luar perkhidmatan sokongan ini telah menghilangkan jaminan kerja untuk pekerja-pekerja dan mendatangkan pelbagai masalah,” kata M. Sivaranjani semasa menyerahkan memorandum kepada wakil daripada Kementerian Kewangan.

S. Arutchelvan berkata, “Semasa Maszlee Malik menjadi Menteri Pendidikan sebelum ini, beliau memaklumkan bahawa isu sistem kontrak ini harus dibincangkan melalui satu pertemuan bersama antara empat Kementerian, iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan. Namun usaha untuk menyelaraskan satu mesyuarat bersama antara semua Kementerian yang terlibat telah tergendala selepas pertukaran Kerajaan Persekutuan.”

“Semasa kami mengadakan dialog sebelum ini dengan Bahagian Perolehan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan, kami dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan memainkan peranan penting dalam pemberian kontrak kepada kontraktor swasta dan pengurusan perbelanjaan ini. Kami juga turut diberitahu bahawa Kementerian Kewangan yang mentadbir pengaliran kewangan kepada kontrakror. Apabila pada satu masa kami membawa banyak aduan terhadap kontraktor-kontraktor yang tidak mematuhi undang-undang pekerjaan dan menganiayai pekerja kontrak, kami juga mendapat maklumbalas daripada Kementerian Pendidikan Malaysia bahawa keputusan untuk menyeraihitamkan kontraktor bermasalah atau membatalkan kontrak harus melalui proses di Kementerian Kewangan,” ulas Arutchelvan berkenaan dengan peranan Kementerian Kewangan dalam isu pemberian kontrak perkhidmatan sokongan di premis kerajaan.

Tuntutan yang dikemukakan oleh JPKK dalam memorandum yang ditujukan kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz ialah:

  1. Serapkan pekerja-pekerja kontrak di sekolah dan hospital kerajaan (seperti pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun) sebagai pekerja tetap yang diupah secara langsung oleh Kerajaan.
  2. Hapuskan budaya kroni dan orang tengah dalam pemberian kontrak perkhidmatan sokongan di premis kerajaan.
  3. Kurangkan pembaziran dana awam dan pertingkatkan kecekapan pentadbiran melalui penghapusan sistem kontrak.

JPKK telah menyertakan dalam memorandum kepada Kementerian Kewangan satu kajian tentang sistem kontrak untuk perkhidmatan sokongan di premis kerajaan. Kajian tersebut telah membincangkan masalah-masalah yang wujud kerana sistem kontrak dan mengemukakan hujah tentang keperluan untuk menyerapkan pekerja-pekerja kontrak di premis kerajaan sekarang ini sebagai pekerja tetap yang diupah secara langsung oleh kerajaan. Pengiraan dalam kajian tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan boleh menjimat sebanyak RM200 juta setahun sekiranya menghapuskan sistem kontrak dan menyerap pekerja-pekerja kontrak sebagai pekerja tetap di bawah Kerajaan.

JPKK ditubuhkan untuk memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan di premis kerajaan yang diupah oleh kontraktor swasta. JPKK telah melancarkan satu kempen baru-baru ini untuk menggesa Kerajaan supaya menghapuskan sistem kontrak dalam perkhidmatan sokongan di hospital dan sekolah kerajaan. JPKK telah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan berkenaan dengan tuntutan kempen ini. JPKK bercadang untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri pada awal tahun 2021, dengan harapan bahawa semua Kementerian sudah meneliti kajian yang dibuat oleh JPKK dan memberi input kepada Perdana Menteri dan Kabinet pada ketika memorandum sampai ke dalam tangan Perdana Menteri.

==========

Tandatangani petisyen atas talian menuntut kerja tetap untuk pekerja kontrak kerajaan di sini.

One thought on “JPKK gesa Kementerian Kewangan hapuskan sistem kontrak untuk jimat dana kerajaan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s