oleh Martin Vengadesan

(Tulisan ini ialah penterjemahan rencana dalam Bahasa Inggeris yang diterbitkan di Malaysiakini.com)

Untuk sebilangan negara di dunia, sosialisme telah digunakan sebagai satu kata penghinaan oleh ahli-ahli politik berhaluan kanan. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, Presiden Donald Trump serta penyokongnya telah memperli bekas Presiden Barrack Obama sebagai seorang yang mendukung prinsip “sosialisme” kerana dia terlibat dalam usaha memastikan akses kepada penjagaan kesihatan bagi semua rakyat di AS. Ahli-ahli akademik dan media juga secara umumnya tidak mencabar pemikiran ini malah menyebarkan pandangan serong dan tidak tepat mengenai sosialisme.

Pandangan negatif yang tidak berasas ini telah dipengaruhi secara besar oleh penggunaan perkataan ini oleh kediktatoran parti komunis seperti negara Kesatuan Soviet yang lama.

Pada masa kini terdapatnya parti-parti kiri yang berbeza ideologi dalam spektrum kiri yang meluas. Kebanyakan mereka juga menggunakan istilah “sosialisme.” Dari satu penjuru spektrum, akan dijumpai rejim-rejim tertutup yang bersifat kuku besi seperti Korea Utara dan negara-negara yang ditadbir oleh satu parti politik seperti China dan Vietnam yang mengatakan diri mereka sosialis tetapi mempunyai penglibatan besar dalam pembangunan pesat dan budaya penggunaan (konsumerisme) yang sangat bersifat kapitalis.

Dalam masa sama, wujudnya gelombang kerajaan-kerajaan kiri berkuasa di Latin Amerika pada awal tahun 2000-an, sementara pergerakan sosial demokrasi yang tradisional sedang mengalami kebangkitan semula yang boleh dilihat dengan kemenangan individu daripada golongan wanita, progresif dan muda seperti Jacinda Arden selaku Perdana Menteri New Zealand, Sanna Marin di Finland dan Mette Frederiksen di Denmark.

Tetapi di Malaysia, ideologi ini cuma melukut di pinggiran sejak pembangkang terutama Barisan Sosialis Rakyat Malaya yang ditubuhkan hasil kerjasama Parti Rakyat dan Parti Buruh telah dimusnahkan oleh penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara meluas pada awal tahun 1960-an untuk menangkap dan menahan ramai pemimpinnya, termasuk wakil-wakil rakyat yang dipilih rakyat dalam pilihanraya.

Kini, walaupun Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempunyai platform ideologi dan program perjuangan yang terbangun secara menyeluruh, tetapi penyokong-penyokong dan ahli-ahli PSM sering dianggap sebagai aktivis-aktivis buruh atau NGO, bukannya wakil kepada sebuah parti politik nasional yang terbangun sepenuhnya.

Baru-baru ini pada 12 Disember 2020, Kongres Nasional PSM yang ke-22 telah diadakan secara atas talian. PSM dikenali antaranya kerana personaliti seperti Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang merupakan bekas ahli parlimen Sungai Siput selama dua penggal, Timbalan Pengerusi S. Arutchelvan dan Setiausaha Agung A. Sivarajan, serta mantan Pengerusi Dr Nasir Hashim yang sudah bersara dan mantan Timbalan Pengerusi M. Sarasvathy.

PSM juga mempunyai generasi aktivis anak muda yang baru seperti Ketua Pemuda Sosialis Nik Aziz Afiq (seorang calon yang tewas pada pilihanraya kecil di Semenyih pada tahun lalu) dan KS Bawani. Namun, apa yang ketara adalah kebolehan PSM dalam menarik penyertaan muka-muka baru anak muda untuk melibatkan diri bersama parti sosialis itu.

Sembilan ahli muda PSM diwawancara untuk mengetahui apakah faktor yang mendorong mereka untuk menyertai parti politik kiri seperti PSM.

“PSM buat kerja akar umbi secara ikhlas”

Seperti ramai orang, Vennusha Priyaa, berumur 26 tahun, yang kini bekerja sebagai penganalisis perniagaan IT, telah diperkenalkan kepada PSM semasa masih merupakan pelajar di universiti.

Dia berkata memang menjadi minatnya untuk menyumbang kepada masyarakat dan pernah terlibat dengan beberapa usaha amal kebajikan. “Saya menyertai gerakan pelajar yang memperjuangkan pendidikan percuma dan telah mendapat tahu bahawa kumpulan pelajar PSM merupakan kumpulan utama yang menerajui usaha ini. Saya menyertai PSM secara rasmi pada tahun 2017,” kata Vennusha.

Yap Xin Yit, umur 20 tahun, merupakan seorang pelajar universiti yang menyertai PSM pada awal tahun ini. Dia berkongsi kekagumannya terhadap kerja-kerja akar umbi yang telah dijalankan oleh PSM. “Saya mendaftar sebagai ahli kerana saya ingin berjuang untuk masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia, terutamanya orang kurang upaya (OKU) disebabkan isu-isu dan keperluan mereka telah diketepikan,” katanya kepada Malaysiakini.

“Kali pertama saya tertarik kepada PSM adalah selepas menyertai satu program anak angkat bersama ibu tunggal dari Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dianjurkan oleh PSM,” kata Ahmad Yasin, umur 22 tahun, yang juga seorang pelajar universiti yang tertarik untuk menyertai PSM.

Ahmad berkata bahawa dia tertarik dengan cara ahli-ahli PSM berinteraksi dengan komuniti PPR tanpa sebarang usaha untuk mempengaruhi sesiapa dan ahli PSM hanya fokus untuk menyelesaikan isu-isu sosio-ekonomi yang dihadapi komuniti tersebut.

Yang menariknya, Ain Zafirah Md Said, umur 28 tahun, yang menyertai PSM pada bulan Mac lalu, berkata bahawa kesedaran politiknya timbul selepas ditahan selama tiga hari kerana komen yang dikongsinya di media sosial pada September 2019 telah dilaporkan kepada pihak polis.

“Penahanan tersebut telah meningkatkan kesedaran saya tentang isu-isu hak asasi manusia dan saya menyedari bahawa seorang rakyat biasa juga berkelayakan untuk memperjuangkan hak-hak asasi dalam cara yang lebih rasmi melalui parti politik.”

“Melalui pengalaman saya sebagai seorang pekerja am, saya telah saksikan banyak layanan yang tidak adil oleh pihak majikan yang tidak membayar upah ataupun pihak beruasa yang sepatutnya melindungi orang tetapi menyalahgunakan posisi mereka.”

“Kebanyakan orang mengalami masalah ini tetapi memilih untuk menyembunyikan perasaan kita dan berdiam diri serta tidak bertindak, kerana kita berasa lemah dan tidak mempunyai keupayaan. Saya memilih untuk menyertai PSM kerana saya percaya bahawa parti ini lebih sanggup untuk mendengar isu dan bekerja keras untuk mempertahankan hak-hak rakyat, terutamanya dalam isu hak buruh, tanpa mengambil kira pangkat, bangsa atau agama,” kata Ain Zafirah.

Cuci otak wujudkan momokan terhadap sosialisme

Danial Hakeem Azman, umur 25 tahun, bekerja dengan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), sebuah NGO yang berjuang bersama pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan di premis kerajaan yang kehilangan hak kerana pengupahan mereka di bawah kontraktor penyumberan luar. Pekerja-pekerja sektor ini termasuk pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun di hospital-hospital kerajaan, yang tiadanya perlindungan pekerjaan yang mencukupi, walaupun mereka memainkan peranan penting semasa pandemik COVID-19.

Danial berpandangan bahawa struktur sosial disusun untuk bertentangan dengan sosialisme atas sebab-sebab tertentu.

“Media arus perdana telah dimonopolikan oleh dan untuk kepentingan kapitalis; ini termasuk tidak memberi atau membenarkan sebarang ruang untuk suara alternatif atau suara bertentangan yang boleh menjejaskan proses pengumpulan harta yang berlebihan.”

“Sistem yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan alam sekeliling (termasuk diri kita sendiri) berbanding dengan pengumpulan harta yang berlebihan akan berhadapan dengan usaha mendiamkannya daripada pihak tertentu yang mempunyai kepentingan tersendiri,” kata Danial.

Danial berkata bahawa mereka yang mempunyai kepentingan sendiri ini akan mengulang-ulang dan cuma memfokuskan pada contoh kegagalan eksperimen sosialis sebelum ini untuk menunjukkan kelemahan sosialisme.

“Lingkaran negatif indoktrinasi yang telah disebarkan kepada orang umum juga menghasilkan sebuah masyarakat pengguna yang hanya akan terdedah kepada media yang dikuasai kapitalis, yang akan sentiasa menyebarkan penipuan mengenai sosialisme.”

“Tetapi pada pendapat saya, pekerja-pekerja sedar bahawa mereka menghadapi eksploitasi, mereka tahu bahawa golongan elit tidak mempedulikan kebajikan mereka, mereka juga tahu bahawa hasil kerja mereka tidak akan dinikmati oleh mereka dan hak pekerja sedang dihakis. Namun demikian, mereka takut untuk meneroka alternatif kepada kapitalisme,” katanya.

Gandipan Nathan Gopalan ialah seorang ahli sains alam sekitar berumur 24 tahun yang menyertai PSM pada tahun 2017. Dia melihat propaganda anti-sosialis tertanam di sesetengah tempat di dunia semasa zaman Perang Dingin.

“Negara-negara Barat dan sekutu-sekutu mereka telah menggunakan konglomerat media untuk menyebarkan propaganda yang menghalalkan serangan mereka terhadap negara-negara berhaluan kiri. Pendekatan ini masih diguna pakai sehingga kini, di mana kami boleh melihat serangan berterusan terhadap negara-negara seperti Cuba dan Venezuela, serta pembunuhan watak terhadap pemimpin sosialis seperti bekas Presiden Brazil Lula da Silva, bekas Ketua Parti Buruh UK Jeremy Corbyn dan bekas Presiden Bolivia Evo Morales.”

“Selain itu, keputusan politik yang silap yang diambil oleh pemimpin-pemimpin di negara-negara berhaluan kiri sebelum ini juga telah merosakkan reputasi sosialisme,” kata Gandipan.

Arveent Srirangan Kathirtchelvan, umur 26 tahun, ialah seorang kakitangan eksekutif pengurusan perubahan dan transformasi yang menyertai PSM pada tahun 2018. Dia berkata, “Reputasi negatif pada sosialisme muncul kerana usaha gigih golongan kapitalis untuk memberi gambaran yang negatif tentangnya. Amerika Syarikat dan sekutunya telah menerajui inisiatif propaganda yang hebat untuk menyebarkan naratif bahawa sosialisme bersifat autokratik dan merupakan sebuah ideologi yang gagal.”

“Apa yang mereka tidak beritahu adalah bagaimana aktifnya mereka terlibat dalam usaha menggulingkan pemimpin sosialis yang dipilih oleh rakyat secara demokratik seperti Salvador Allende di Chile pada tahun 1973, dan juga bagaimana mereka memusnahkan ekonomi negara-negara seperti Cuba dan Venezuela melalui embargo,” katanya.

“Kepada mereka yang tidak bersetuju dengan sosialisme, saya hanya hendak mengatakan satu perkara: Sosialisme ialah satu-satunya ideologi yang berjuang untuk mereka yang diekploitasi untuk keuntungan modal. Golongan petani, mereka yang bekerja berjam-jam untuk gaji yang rendah, mereka yang tidak boleh membiayai kos perumahan atau kesihatan – semua orang ini merupakan mereka yang dieksploitasi oleh kapitalis besar untuk mengkayakan diri sendiri. Mengapakah kami perlu malu kerana berjuang demi mereka?” tambah Arveent.

Sejarah politik kiri yang terpendam

Orang sering berkata bahawa sejarah ditulis oleh pemenang, dan memang tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan golongan kiri dalam politik Malaysia tidak dimasukkan ke dalam buku-buku sejarah kita.  Salah satu masalah utama adalah, peranan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) dalam usaha melawan penjajahan Jepun semasa Perang Dunia II, dan kemudiannya melancarkan perang terhadap penjajah British dan kerajaan Malaya yang baru merdeka.

Selain itu, terdapat banyak peristiwa penting dalam sejarah kiri Malaysia. Antaranya, mogok umum atau Hartal pada tahun 1947 yang digerakkan oleh gabungan PUTERA-AMCJA untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah British; kejayaan Fron Sosialis dalam pilihanraya pada lewat tahun 1950-an dan awal 1960-an – yang kemudiannya dilumpuhkan oleh penahanan tanpa bicara yang berpanjangan; dan aksi protes petani yang dipimpin oleh Hamid Tuah pada tahun 1960-an.

PSM sering menjalankan kelas-kelas sejarah dan ideologi untuk mendedahkan anak muda kepada sejarah sosialis.

Mahira Khairia, umur 29 tahun, ialah seorang pembantu pemasaran dan pembangunan bisnes, pereka grafik dan jurugambar bebas yang menyertai PSM pada bulan April 2019. Dia merupakan salah seorang yang pernah menghadiri kelas sejarah anjuran PSM.

“Saya menyanjungi ahli-ahli biasa PSM hari ini kerana perjuangan harian mereka dan usaha mereka untuk membantu masih dapat dilihat dan mereka masih terus berjuang untuk rakyat sehingga hari ini.”

“Untuk menyoal dan menolak pelajaran yang telah menjadi pegangan, ia mengambil masa, tetapi dunia sedang berubah. Kita sedang menuju ke era yang penuh dengan ketidaktentuan; sumber yang semakin kurang, jurang ekonomi dunia yang melebar, krisis demi krisis di bawah rejim kapitalis dan imperialis. Ini telah menyebabkan rakyat menjadi lebih cenderung untuk berjuang demi perubahan, dan bukannya lagi bergantung kepada golongan berkuasa untuk jalan penyelesaian.”

“Protes besar-besaran, kempen atas talian yang mempunyai ikutan antarabangsa yang menghubungkan orang ramai untuk belajar dan menyedari bagaimana sistem kapitalis telah gagal -dari segi upah, gender, kelas, kesamarataan kaum dan juga hak untuk kesihatan. Sistem kapitalis telah menggagalkan orang yang paling lemah dan hanya menguntungkan mereka yang kaya,” katanya.

Mahira yang mula-mulanya mengenali PSM melalui Facebook, berkata bahawa dia tertarik kepada perjuangan parti yang melawan sistem kapitalis, untuk komuniti yang dipinggirkan, seperti golongan buruh dan miskin bandar, malah juga mereka yang ditolak oleh masyarakat, seperti golongan LGBT+.

Gandipan berkata bahawa dia masih dalam proses belajar tentang sejarah sosialisme di Malaysia dan tertarik kepada tokoh-tokoh kiri seperti SA Ganapathy, presiden pertama Gabungan Kesatuan Sekerja Pan Malayan (PMFTU) yang dihukum gantung mati oleh British pada tahun 1948, dan Ahmad Boestamam, pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang telah ditahan selama bertahun-tahun.

“Saya mengagumi ideal, prinsip dan keberanian mereka,” kata Gandipan.

Arveent berkata bahawa dia mempunyai pengetahuan yang secukupnya tentang sejarah politik kiri Malaysia selepas menyertai kelas ideologi PSM. “Saya amat kagum dengan Ahmad Boestamam khususnya. Beliau merupakan ahli PKMM, sebuah parti nasionalis Melayu berhaluan kiri yang memimpin Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bersama-sama dengan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA) yang merangka Perlembagaan Rakyat 1947.”

“Ini telah menggerakkan usaha perjuangan untuk kemerdekaan Malaya lebih awal sebelum parti-parti lain seperti UMNO berbuat demikian. Malah, nasionalis kiri merupakan pejuang kebebasan yang sebenarnya di Malaya, sementara Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) yang berhaluan kanan hanyalah budak suruhan kepada British yang melindungi kepentingan penjajahan di Malaya, secara ekonomi dan sebagainya,” kata Arveent.

“Boestamam kemudiannya dipenjarakan tanpa dibicarakan kerana pihak British takut pada golongan berhaluan kiri. Selepas pengisytiharan Darurat, Boestamam menubuhkan Partai Ra’ayat, yang kemudiannya menjadi Parti Rakyat Malaysia (PSM). Selepas itu, PSM muncul pada tahun 1998,” kata Arveent.

V Kesavan, umur 27 tahun, ialah seorang aktivis Pemuda Sosialis yang masih dalam pengajian. Dia juga seorang penggerak kumpulan pelajar luar bandar di Perak. Dia menyertai PSM selepas peperiksaan STPM kerana ingin menyertai parti yang benar-benar ikhlas mencari penyelesaian untuk membasmi kemiskinan.

“Saya tahu bahawa kumpulan-kumpulan kiri memang banyak menyumbang kepada perjuangan untuk kemerdekaan Malaya. Saya mendapat inspirasi daripada Ahmad Boestamam dan juga bekas pemimpin PKM Samsiah Fakeh,” kata Kesavan. Sebelum Darurat 1948, Samsiah mengetuai sayap wanita PKMM, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), dan kemudiannya menyertai PKM untuk mengangkat senjata melawan penjajah British.

Ahmad Yasin juga merupakan seorang lagi yang mula memahami sejarah kiri Malaysia melalui kelas-kelas sejarah PSM yang dihadirinya.

“Ia memang merupakan salah satu cara alternatif untuk melihat sejarah melalui naratif golongan kiri. Saya tiada pemimpin yang dikagumi kerana tiada guna mengulang-ulang sumbangan orang yang sudah tiada,“ kata Ahmad.

Perbezaan antara BN dan PH yang sangat sedikit?

Pendapat yang dikongsi dalam kalangan penyokong-penyokong PSM yang muda adalah walaupun mereka sudah lama membantah aspek-aspek kuku besi, korupsi dan penindasan semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, mereka juga berpendapat bahawa kerajaan Pakatan Harapan yang jatuh pada bulan Februari lalu tidak menawarkan alternatif yang lebih baik.

“Saya rasa Pakatan Harapan mungkin cuba untuk mengubah sebahagian cara BN mentadbir tetapi akhirnya, tiada apa-apa yang berubah.”

“Untuk saya, ia amat mengecewakan, terutamanya beberapa undang-undang yang berkaitan dengan perkahwinan bawah umur yang boleh diubah dengan senang. Ahli politik telah dilantik oleh rakyat dan sepatutnya perlulah menjalankan tugas dengan memikirkan kepentingan rakyat dan bukannya mengambil keputusan yang ‘betul secara politik’ dengan tujuan untuk membolehkan mereka mengekalkan kuasa,” kata Vennusha.

Yap bersetuju dengan Vennusha, berkata bahawa kedua-dua gabungan itu lebih menyokong kapitalisme neoliberal yang mengorbankan pekerja dan mata pencarian mereka.

“Orang muda seperti saya sudah lama penat dengan perjuangan parti-parti besar seperti PH dan BN. Mereka terlalu berfokus kepada menggunakan isu perkauman dan agama untuk mendapatkan kuasa, maka merekalah yang mendapat faedah dan bukannya rakyat,” kata Ain Zafirah.

“Cara terbaik untuk membawa perubahan positif kepada taraf hidup bagi rakyat biasa adalah melalui perjuangan sosialis berhaluan kiri, bukannya parti-parti aliran utama,” tambahnya.

Danial pula lebih tajam dengan kritikannya terhadap PH.

“Perhimpunan anti-ICERD yang dihadiri beribu-ribu orang dan mendapat sokongan daripada nama-nama besar dalam politik, tetapi Pakatan Harapan tidak membuat apa-apa malah tunduk pada tuntutan berunsur rasis dan penuh xenofobia (kebencian terhadap orang asing).”

“Kejadian tersebut membuka mata saya bahawa mereka merupakan dua cabang pada garpu yang sama, dua boneka yang dikawal oleh tuan yang sama, dan memberi kita khayalan bahawa kita adanya pilihan dan boleh mengubah sistem dari dalam, sekali selang setiap lima tahun,” kata Danial.

Gandipan pula berkata bahawa ketika era kerajaan PH, paling tidak media mendapat lebih kebebasan dan lebih mudah untuk berjumpa Menteri dan membincangkan sesuatu isu, tetapi hanya itu sahaja perbezaan yang dapat difikirkannya.

“Golongan pekerja di Malaysia masih dikorbankan di bawah dasar neoliberal dan penjimatan, walaupun terdapat perubahan pada parti politik yang mentadbir negara ini,” kata Gandipan.

Mahira juga berpendapat bahawa gabungan politik utama Malaysia masih membariskan kepimpinan lama yang sama, didedikasikan untuk memelihara dan melindungi sistem sama yang membawa faedah hanya kepada golongan yang kaya dan berkuasa.

Arveent berkata PH hanyalah syaitan yang kurang jahat antara dua syaitan.

“BN lebih terbuka tentang penyalahgunaan kuasa mereka dan mencuri daripada rakyat secara terang-terang, Pakatan Harapan pula lebih mementingkan untuk mengekalkan status quo kapitalisme yang menzalimi tenaga kerja dan menyokong pemaju perumahan,” kata Arveent.

“Memang terdapat beberapa kemajuan semasa kerajaan Pakatan Harapan. Hannah Yeoh menjalankan tugasnya dengan baik semasa menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Gobind Singh juga menjalankan tugasnya dengan baik. Tetapi adakah ini mencukupi? Secara ringkasnya, tidak,” kata Arveent lagi.

Parti nyamuk yang masih “menggigit”

Salah satu cabaran besar PSM ialah kegagalannya untuk mendapat sokongan daripada masyarakat di luar komuniti India di Semenanjung Malaysia. Sebahagian besar pemimpin PSM yang terkenal adalah berketurunan India dan berasal dari negeri Pantai Barat seperti Selangor dan Perak. Lebih-lebih lagi, PSM hilang kerusi parlimen yang dikuasainya apabila PSM bertanding secara sendiri tanpa menyertai Pakatan Harapan dalam PRU-14. Ini menyebabkan PSM disingkirkan dan dianggap sebagai “parti nyamuk” yang mempunyai impak kecil dan tarikan yang terhad.

“Terdapat sedikit kekecewaan dengan keputusan pilihan raya,” kata Kesevan mengenai PRU-14. PSM bertanding untuk 4 kerusi parlimen dan 12 kerusi DUN, tetapi mengalami kekalahan teruk untuk semua calonnya yang hilang deposit, termasuk Dr Jeyakumar. PSM meraih hanya 3,782 undi daripada lebih 12 juta undi kerusi Parlimen yang dibuang dalam PRU-14

“Namun PSM telah memenangi banyak perjuangan dan berjaya menganjurkan banyak kempen. Sebagai contoh, undang-undang gaji minimum dan skim insurans pekerjaan adalah antara isu-isu yang telah diperjuangkan oleh parti sejak tahun 1990-an.”

“Sayap pemuda kami sekarang ini mendapat lebih ramai ahli baru yang bukan India, oleh itu kami berpendapat bahawa kami harus meneruskan kerja baik kami. Parti juga patut mengadakan lebih banyak sesi perbincangan, bengkel dan forum bersama dengan anak muda luar bandar,” kata Kesavan.

“Saya pernah berasa kecewa juga kerana kami merupakan parti yang kecil (dari segi bilangan ahli), tetapi dengan bilangan yang kecil ini pun, saya telah nampak impak positif penting yang dibawa oleh PSM kepada negara kita. Saya yakin bahawa kami boleh membuat lebih banyak lagi jika kami mempunyai bilangan ahli yang lebih besar dan kuasa politik,” kata Vennusha.

Yap berpendapat bahawa PSM sedang berkembang sokongannya kerana lebih ramai orang menghargai kerja yang dilakukan oleh PSM.

“Memperjuangkan isu-isu yang dihadapi oleh golongan anak muda, seperti pendidikan yang mampu diperoleh dan berkualiti, pengangguran, dan krisis iklim, amat diperlukan,” katanya.

“PSM mempunyai tarikan untuk semua kaum, tetapi oleh ramai dalam kalangan pekerja yang paling mengalami eksploitasi adalah orang India, jadi tidak hairan bahawa orang bukan India fikir bahawa parti ini hanya kisah tentang orang India,” kata Yap lagi.

Ain Zafirah berkata, kelas pekerja di Malaysia amat memerlukan jaguh yang memperjuangkan nasib mereka, dan PSM boleh memainkan peranan itu.

“Ia adalah susah untuk memecahkan mentaliti orang ramai tentang PSM, terutamanya dalam kalangan orang Melayu. Saya boleh kata bahawa saya menyertai PSM kerana saya memang berminat dengan usaha parti dalam perjuangan rakyat dan pekerja. PSM mempunyai keberanian dan semangat juang yang tinggi untuk membangkitkan isu-isu serius yang berkaitan dengan hak rakyat yang sering kurang mendapat perhatian.”

“PSM perlu menjadi lebih senang untuk didekati dan dilihat mesra, di samping belajar cara untuk menyebarkan mesej mereka dengan lebih efektif. Jika orang ramai masih tidak kisah tentang hak-hak mereka, kesan daripada penindasan akan berterusan untuk generasi-generasi yang akan datang,” kata Ain Zafirah.

Danial berkata bahawa kerajaan gagal untuk merespon terhadap keperluan generasi muda, terutamanya isu berkaitan dengan krisis iklim dan alam sekitar.

“PSM ialah satu-satunya parti politik yang mengakui kemusnahan ekologi yang sedang berlaku dan secara aktifnya mencadangkan solusi kepada kerajaan untuk pembaharuan hijau, dan ahli-ahlinya juga bikin serupa cakap.”

“Saya tidak pernah melihat sekumpulan individu yang begitu berdedikasi dalam melawan penindasan. Sekarang ini, anak-anak muda di seluruh dunia juga tidak senang dengan cara kapitalisme membawa kedua-dua entiti awam dan swasta bersama sebagai dua cabang daripada mekanisme penindasan yang sama.”

“Tahap ketidakpedulian kapitalisme dalam menjaga rakyat semasa  pandemik global telah didedahkan lebih lanjut lagi dalam beberapa bulan yang lalu, dan sudah semakin jelas bahawa sistem sedia ada tidak akan mempedulikan apa-apa selain daripada pertumbuhan modal.”

“Walaupun kami tidak memenangi apa-apa kerusi dalam pilihanraya yang lepas, perjuangan rakyat tidak pernah berhenti dan mereka yang diusir dari rumah kediaman serta diberhentikan kerja semakin meningkat angkanya; kes-kes membunuh diri dan percubaan membunuh diri juga meningkat; tetapi golongan elit pemerintah tidak melakukan apa-apa, dan terus membuktikan bahawa keperluan untuk satu alternatif menjadi semakin mendesak.”

“PSM telah membuat banyak kerja yang hebat dalam isu-isu ini, seperti mencadangkan pendapatan asas sementara dan kerajaan harus mencipta peluang pekerjaan ‘hijau’, meningkatkan perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan mental rakyat dan menjalankan banyak aktiviti akar umbi,” kata Danial.

Yang menariknya, dia juga menyebut tentang budaya meme yang bersifat satira dan media sosial sebagai alat berkempen yang penting bagi parti.

Mahira juga bersetuju bahawa PSM harus memaksimumkan penggunaan media sosial untuk menyebarkan ideologi kiri kepada orang ramai, menggunakan daya tarikan sensasi yang sesuai untuk menarik perhatian pembaca.

“Kita harus tidak takut untuk bersuara lantang mengenai ideologi kiri kita walaupun mungkin akan menerima tentangan. PSM harus mencari individu yang bertekad untuk membawa perubahan bagi semua dan bukan sahaja beberapa orang yang terpilih.”

“Untuk mereka yang sudah muak dan penat dengan penyalahgunaan kuasa yang biasa oleh sistem politik lama dan masih menjadi mangsa kepada sistem yang menzalimi rakyat, saya menggesa anda untuk mengetahui lebih banyak tentang PSM kerana kemungkinan besar kami sudah memperjuangkan apa yang kamu ingin perjuangkan juga.”

“Sebagai seorang yang bukan India, saya boleh mengatakan melalui pengalaman peribadi saya bahawa PSM amat inklusif dan sedia menyambut mereka yang ingin berjuang untuk masa depan yang lebih baik untuk Malaysia,” kata Mahira.

Arveent mengakui bahawa dia kecewa dengan saiz parti yang kecil, kerana dia rasa PSM boleh membawa perjuangannya lebih jauh lagi jika tahap penonjolannya meningkat.

“Ini bukan disebabkan sebarang cita-cita politik sendiri. Realitinya adalah kita telah membuat kerja-kerja akar umbi yang meluas di lapangan dan memahami isu-isu sebenar yang dihadapi oleh rakyat. Dari sistem perumahan PPR yang bermasalah, di mana memang tidak ada perumahan yang mencukupi bagi golongan B40, kepada amalan eksploitatif yang dialami oleh buruh migran yang disusahkan lagi oleh kerajaan yang penuh rasuah, kami memang sedar dan berjuang bersungguh-sungguh di luar parlimen untuk melawan ketidakadilan ini.”

“Jika kami lebih besar dari segi bilangan ahli dan mempunyai beberapa kerusi di parlimen, secara teorinya kami boleh melawan dengan lebih keras lagi,” kata Arveent.

“Walau bagaimanapun, politik bukannya hanya mengenai pilihanraya. Yang pertama sekali dan paling penting, politik adalah mengenai rakyat. Kami berjuang di lapangan untuk mengorganisasi massa dan membina kuasa rakyat untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri secara independent. Kami menubuhkan kesatuan-kesatuan pekerja, kesatuan penduduk dan banyak lagi gerakan menentang eksploitasi kapitalis. Ini adalah politik yang sebenar.”

“Ya, kami memang kecil, dan ada orang yang panggil kami parti nyamuk, tetapi kami telah memenangi ribuan kes buruh, perumahan untuk pekerja ladang, pampasan untuk mereka yang dizalimi oleh kapitalis dan banyak lagi perjuangan masyarakat akar umbi. Tiada parti lain yang buat kerja ini dan mempunyai impak seperti ini. Kami parti nyamuk dengan impak gergasi,” ulas Arveent.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *