oleh Sharan Raj

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menyertai sesi awam town hall berkenaan dengan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada 29 September 2020.

Delegasi PSM telah mengetengahkan isu alam sekitar dan pembangunan berlebihan daripada penyahwartaan HSKLU.

Prof Madya Dr. Darren Ong Chung Lee selaku Timbalan Penyalaras Biro Alam Sekitar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengetengahkan isu berkaitan dengan impak alam sekitar. Penyahwartaan HSKLU akan membebaskan 5.5 juta tan karbon dioksida yang menyumbang kepada krisis iklim. Penyahwartaan HSKLU tidak selaras dengan komitmen Malaysia untuk memelihara hutan hujan tropika.

Dr. Darren juga telah menyeru untuk memberikan perincian tentang cadangan lokasi di Sabak Bernam yang bertujuan menggantikan hutan simpan.  Ini kerana PSM mendapat tahu bahawa Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sebelum ini telah mengeluarkan surat kebenaran pada 11 Disember 2019 yang membenarkan pengwujudan ladang kelapa sawit di kawasan yang sama.

Sharan Raj selaku Penyelaras Biro Alam Sekitar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengetengahkan isu berkaitan ketidakperluan pembangunan bercampur di tapak HSKLU.

Berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Selangor dan Kuala  Lumpur memiliki 30% daripada jumlah rumah yang tidak terjual di Malaysia. Sementara itu, kadar ruang pejabat tanpa penghuni adalah 23.5% pada tahun 2019. Kadar ini dijangka meningkat dengan budaya kerja dari rumah dan pembinaan pencakar langit baru di Kuala Lumpur.

Berdasarkan Jabatan Statistik, kadar pertumbuhan penduduk di Selangor pada tahun 2019 adalah 0.8%. Tuntasnya, terdapat stok hartanah berlebihan di Selangor dan Kuala Lumpur. Pembangunan campur di tapak HSKLU akan memudaratkan keadaan di samping menghapuskan tanah adat orang asli.

Ketika ini, HSKLU bertindak sebagai penapis untuk udara tercemar yang ditiup oleh angin barat daya (Mei-September) setiap tahun dari pusat perindustrian di Barat HSKLU ke arah Lembah Klang. Tanpa HSKLU, udara tercemar akan sampai kepada penduduk Lembah Klang dan meningkatkan masalah kesihatan.

Kebanyakan rakyat Selangor tidak mampu ke hospital swasta akan berpusu-pusu ke hospital awam. Dalam jangka masa pendek, ini akan memberikan tekanan terhadap infrastruktur kesihatan awam serta menurunkan produktiviti negeri.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada kerajaan negeri Selangor untuk membatalkan pembangunan bercampur di tapak HSKLU dan mewartakannya sebagai hutan adat Orang Asli Temuan.

==========

M. Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Nasional Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

One thought on “Hentikan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *