IPOH, PERAK – 2 OKTOBER 2020: 5 orang aktivis kesatuan yang didakwa atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mengadakan aksi protes membantah penindasan terhadap kesatuan sekerja di hadapan Hospital Besar Ipoh, telah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret  Ipoh, selepas pihak pendakwaraya menerima representasi daripada pihak peguam yang mewakili aktivis-aktivis tersebut untuk menggugurkan kes mereka dan tidak meneruskan pendakwaan pada masa ini.

5 orang aktivis tersebut ialah M. Sarasvathy selaku Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM), V. Santhiran selaku Bendahari KPSPSHKSM, L. Danaletchumi selaku Pegawai Perhubungan Perusahaan bagi KPSPSHKSM, P. Jothi dan C. Subramaniam@Raja. Mereka ditangkap polis pada 2 Jun 2020 ketika mengadakan aksi protes di hadapan Hospital Besar Ipoh (Hospital Raja Permaisuri Bainun) untuk membantah tindakan majikan yang menganiayai kesatuan sekerja yang dianggotai oleh pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan. Mereka kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada 4 Jun 2020, dengan tuduhan melanggar Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.6) 2020 bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam surat representasi peguam yang mewakili 5 orang aktivis yang dituduh kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, pihak pembelaan telah meminta pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan terhadap 5 orang aktivis tersebut. Menurut Bawani KS, peguam yang mewakili 5 orang aktivis, aksi tindakan perusahaan kesatuan sekerja pada 2 Jun 2020 yang dilakukan oleh 5 orang yang didakwa tidak boleh digolongkan sebagai “perhimpunan atau perarakan sama ada bagi maksud ekonomi, keagamaan, Pendidikan dan pembelajaran, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan”, yang termaktub dalam Peraturan 7(1) yang digunakan untuk mendakwa mereka. Bawani juga menyatakan bahawa tindakan perusahaan kesatuan sekerja bukannya “aktiviti terlarang” seperti yang disenaraikan dalam Jadual kepada kepada Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Berjangkit) (No. 6) 2020.

Aktivis-aktivis daripada KPSPSHKSM hadir ke Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 2 Jun 2020 hanya untuk menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan syarikat Edgenta UEMS Shd Bhd, iaitu syarikat kontraktor swasta yang mengupah pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan di empat buah negeri di Utara Semenanjung Malaysia, berhubung dengan kebajikan dan keselamatan pekerja-pekerja pembersihan hospital kerajaan yang merupakan barisan hadapan melawan wabak COVID-19. Aksi protes tersebut juga diadakan dalam keadaan mematuhi tatacara pengendalian piawai (SOP) bagi tujuan pencegahan wabak, seperti mencatatkan maklumat peserta, menyukat suhu badan peserta, mengamalkan penjarakan fizikal yang selamat dan memakai pelitup muka sepanjang masa mengadakan tindakan perusahaan.

Setelah meneliti representasi daripada pihak peguam yang mewakil aktivis-aktivis kesatuan, pihak pendakwaraya telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan, dan memohon untuk melepaskan tanpa membebaskan mereka yang dituduh. Mahkamah Majistret Ipoh memutuskan untuk membenarkan permohonan daripada pihak pendakwaan dan kes tidak akan diteruskan.

Aktivis-aktivis kesatuan sekerja yang didakwa tersebut diwakili oleh peguam Bawani KS dan K. Kunasekaran. Sebelum ini, badan hak asasi manusia Amnesty International telah melancarkan kempen untuk menuntut pengguguran pendakwaan terhadap 5 orang aktivis ini. Dengan 5 orang aktivis yang didakwa di mahkamah ini “dilepaskan tanpa dibebaskan”, ini merupakan satu kemenangan kepada kempen untuk menggugurkan pendakwaan terhadap mereka.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s