PUTRAJAYA: Pada 22 September 2020, Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang difailkan oleh 3 orang petani dari Chemor, Perak, maka menangguhkan pengusiran paksa yang sedang dihadapi oleh petani-petani berkenaan untuk sementara waktu.

3 orang petani telah bercucuk tanam di kawasan Kuala Kuang, Chemor, Perak, selama lebih setengah abad. Mereka menghadapi ancaman pengusiran paksa sejak bulan Ogos 2019 apabila tanah mereka telah diambil untuk satu projek pembangunan perumahan swasta. Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan pada 2 Julai 2020 bahawa 3 orang petani tersebut perlu mengosongkan tanah yang diusahakan mereka dalam tempoh 14 hari dan membayar kepada plaintif (syarikat pemaju Bukit Aneka Sdn Bhd) sebanyak RM3,000 sebagai kos. Petani-petani tersebut membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh itu. Mahkamah Tinggi Ipoh kemudiannya menolak permohonan daripada petani Chemor untuk penangguhan pelaksanaan arahan pengosongan tanah pada 10 September 2020, namun membenarkan pihak peguam yang mewakili petani itu mendapatkan penangguhan sementara untuk memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Setelah mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak, panel 3-hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Lau Bee Lan memutuskan bahawa rayuan daripada pihak petani itu mempunyai asas dan merupakan keadaan khas, maka membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang dibuat pada 2 Julai 2020, sehingga rayuan tersebut didengar di Mahkamah Rayuan pada 23 Jun 2021.

Petani-petani Chemor diwakili oleh peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan K. Kunasekaran, sementara pihak pemaju diwakili oleh Chong Kok Yew dan Phang You Mun.

Semasa menyampaikan penghujahan di Mahkamah Rayuan, Gurdial Singh selaku peguam yang mewakili petani Chemor telah mengemukakan hujah-hujah berikut:

  1. Petani-petani ini bercucuk tanam di atas tanah tersebut lebih daripada 50 tahun.
  2. Mereka bukannya setinggan.
  3. Kerajaan memang mengetahui kewujudan mereka di situ dan membenarkan mereka untuk terus mengusahakan tanah tersebut sekian lamanya.
  4. Pernah ada jabatan kerajaan mengeluarkan sijil kepada mereka berkenaan dengan aktiviti pertanian mereka.
  5. Pihak responden, iaitu pemaju, sendiri membenarkan mereka untuk terus mengusahakan tanah sebelum pengusiran dengan mengeluarkan surat kepada mereka.
  6. Bercucuk tanam ialah satu-satunya kerja dan punca rezeki kepada petani-petani ini.
  7. Petani-petani akan kehilangan pendapatan sekiranya diusir keluar.
  8. Arahan 89 yang digunakan untuk mengusir mereka sepatutnya hanya digunakan terhadap setinggan. Dalam kes ini, petani-petani yang terlibat bukannya setinggan dan isu ini perlu dibicarakan.
  9. Jika penangguhan pelaksanaan tidak dibenarkan, maka proses pendengaran rayuan yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan pada 24 Jun 2021 akan menjadi sia-sia kerana petani-petani ini sudah pun diusir keluar walaupun proses kehakiman belum selesai.

Keputusan Mahkamah Rayuan ini merupakan satu kemenangan penting kepada petani-petani. Petani-petani pernah membawa masalah pengusiran paksa yang dihadapi mereka kepada perhatian Menteri Besar Perak, tetapi masih tidak mendapat apa-apa maklum balas yang positif daripada pihak Kerajaan Negeri Perak. Jika sesebuah kerajaan itu benar-benar bersikap penyayang dan prihatin pada rakyat, maka tidak harus membenarkan masalah pengusiran paksa terus berlaku pada petani-petani yang mengusahakan tanah untuk mengeluarkan makanan kepada rakyat. Kerajaan Negeri Perak harus menunjukkan kesungguhan politik dalam menyelesaikan masalah pengusiran paksa terhadap petani-petani kecil di negeri itu.

One thought on “Mahkamah Rayuan benarkan penangguhan pelaksanaan pengusiran terhadap petani Chemor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *