Siri Pemanasan Global (9)

oleh Brian Khow

Pada suatu petang yang penuh kemurungan, pengaliran udara kelihatan seolah-olah berhenti, sungai-sungai berdekatan penuh dengan bangkai ikan kerana tumpahan minyak terjadi akibat daripada keusangan paip minyak berhampiran dengan sungai. Campuran bau minyak, gas asli dan kematian meresapi udara. Helikopter miliki Chevron (syarikat gergasi petroleum) baru saja diisi penuh dengan bahan bakar. Juruterbang menghidupkan enjin dan bilah kipas helikopter berdengung seperti lalat yang terbang. Namun, kali ini ia bukan menghantar pekerja ke pelantar petroleum di luar pesisir. Penumpang kali ini merupakan tentera bersenjata Nigeria yang diperintah untuk mematahkan secara ganas gerakan Occupy yang dilancarkan oleh golongan pemuda dengan pendekatan bukan keganasan.

Gambaran di atas bukannya paparan skrip yang direka-reka, tetapi menunjukkan modal yang bertindak secara ganas. Malangnya ini hanya sebahagian daripada keseluruhan gambaran besar.

Delta Sungai Niger yang dicemari oleh petroleum atau lebih dikenali sebagai pencemaran hidrokarbon. Gambar ini diambil pada tahun 2010. (foto: Mazen Saggar / UNEP)

Sejak penghujung zaman kolonial Inggeris, Nigeria telah membuka pintu kepada pelaburan asing. Kebanyakan minyak mentah yang bernilai ratusan bilion dolar diekstrak oleh syarikat-syarikat petroleum di wilayah Delta Sungai Niger. Sementara itu, gas asli akan dibebaskan dalam proses pengekstrakan tersebut. Permintaan elektrik untuk seluruh negara tersebut dapat dipenuhi jika kemudahan dibina untuk mengumpul, menyalur dan menggunakan gas asli tersebut. Namun, untuk menjimatkan kos, syarikat multinasional memilih untuk membakar gas asli ini. Amalan ini menyumbang kepada sekitar 40% pelepasan karbon dioksida keseluruhan di Nigeria. Pada masa yang sama, lebih daripada separuh komuniti di Delta Sungai Niger menghadapai masalah kekurangan bekalan elektrik dan air, serta kadar pengangguran yang tinggi. Ironinya, wilayah berkenaan juga mengalami isu kekurangan bahan bakar.

Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) mengeluarkan laporan mengenai tumpahan minyak di Delta Sungai Niger pada tahun 2011 yang dijangka memakan masa selama 30 tahun untuk membersihkan kawasan pencemaran tersebut. (foto: venturesafrica.com)

Pada tahun 1998, seramai 5000 orang pemuda dari suku kaum Ijaw dengan sebulat suara mengundi untuk melancarkan gerakan Occupy yang dikenali sebagai “Operasi Perubahan Iklim” demi menghalang perampasan ekologi dan menyeru untuk mengambilalih semuala kuasa kawalan terhadap sumber-sumber yang sepatut dimiliki oleh komuniti tersebut. Ribuan orang pemuda turun ke jalanan. Beberapa buah pelantar petroleum diduduki tetapi bukan melalui cara keganasan, hanya kerana pengawal pelantar tidak dapat menahan penunjuk perasaan yang terlalu ramai.

Reaksi kerajaan ialah menggunakan tentera untuk mematahkan protes ini. Dianggarkan seramai 15,000 orang anggota tentera telah dikerahkan, ditambah pula dengan kapal perang dan kereta kebal. Konflik ini berlangsung selama lebih kurang seminggu, mengakibatkan kehilangan nyawa 200 orang dan kemungkinan jumlah kematian tersebut merupakan suatu angka anggaran yang konservatif. Didapati tentera dihantar melalui helikopter milik Chevron dalam sekurang-kurangnya satu serangan yang membawa maut. Syarikat Chevron mendakwa bahawa ia tidak mempunyai pilihan kerana helikopter tersebut dimiliki oleh syarikat usahasama dengan kerajaan. Namun, Human Rights Watch berkata, “Syarikat ini tidak mengeluarkan kenyataan umum yang membantah pembunuhan itu dan juga tidak mengumumkan bahawa ia akan mengambil langkah pencegahan untuk menghindari insiden serupa pada masa depan.”

Amaran kod merah mula berbunyi selepas penindasan yang zalim dilancarkan oleh syarikat petroleum bersama-sama dengan Kerajaan Nigeria. Ramai pemuda di Delta Sungai Niger tidak percaya lagi pada gerakan tanpa kekerasan dan cara penentangan telah beralih kepada perjuangan bersenjata dengan tujuan menghancurkan infrastruktur petroleum dan sasaran kerajaan. Kejadian penculikan pekerja syarikat petroleum sering berlaku. Kebencian telah mengakibatkan gerakan itu kehilangan kewarasan, dicampur aduk dengan unsur keganasan dan ketamakan.

Kod Merah

Di atas planet biru ini, banyak komuniti mengalami nasib yang serupa dengan komuniti Delta Sungai Niger yang telah memasuki keadaan amaran kod merah. Baru-baru ini, Istilah “kod merah” menjadi popular semula lagi kerana kenyataan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres. Kepekatan karbon dioksida (CO₂) di dalam atmosfera sudah meningkat dari 280 ppm (bahagian per sejuta) semasa Revolusi Perindustrian pada tahun 1800 kepada 410 ppm pada tahun 2018. Kepekatan karbon dioksida di dalam atmosfera tidak pernah melebihi 300 ppm sejak 400,000 tahun dahulu. Dalam erti kata lain, manusia belum wujud apabila kali terakhir atmosfera Bumi diliputi begitu banyak karbon dioksida.

Atmosfera Bumi tidak lagi dapat menampung dengan selamat karbon yang kita curahkan. 97% ahli sains iklim mengatakan bahawa gas rumah hijau yang dilepaskan ke dalam atmosfera dengan membakar bahan api fosil dan memusnahkan hutan telah menyebabkan suhu meningkat sekitar 1 °C. Padahal krisis ini berkait rapat dengal teras buatan manusia dalam model ekonomi kita – iaitu anggapan bahawa sumber alam semula jadi adalah tidak terhad dan boleh sentiasa digunakan. Berdasarkan anggapan ini, kita selalu dapat menemui sumber bahan yang kita perlukan, dan jika satu sumber bahan habis, kita dapat menggantikannya dengan sumber bahan lain yang tidak berkehabisan. Pengembangan dan eksploitasi sebegini telah lama mendominasi hubungan kita dengan alam semula jadi dan krisis perubahan iklim memberi peluang kepada kita untuk mempersoal pemikiran sebegini, terutamanya tentang sistem ekonomi yang digerakkan oleh bahan api fosil.

Melangkaui petroleum

Sepanjang dekad pertama abad ke-21, lima buah syarikat petroleum gergasi telah menjana keuntungan sebanyak USD900 bilion: ExxonMobil sahaja dapat menjana USD10 bilion dalam satu musim. Sekian lama, syarikat-syarikat ini telah berjanji untuk melaburkan keuntungan mereka dalam peralihan ke tenaga boleh diperbaharui. Antaranya, “Beyond Petroleum” (melangkaui petroleum) yang diterajui oleh syarikat BP yang bertujuan untuk penjenamaan semula (rebranding) merupakan contoh yang paling ketara. Namun, menurut penyelidikan yang disediakan oleh Center for America Progress, daripada keuntungan sebanyak USD100 bilion yang diperoleh lima buah syarikat petroleum gergasi pada tahun 2008, hanya 4% yang dilaburkan dalam “bidang perniagaan tenaga boleh diperbaharui dan alternatif”.

Sebaliknya, mereka terus membiarkan keuntungan mengalir ke dalam kocek pemegang saham, memberikan ganjaran yang luar biasa kepada pengurus berpangkat tinggi dan berusaha memajukan teknologi baharu untuk pengekstrakan bahan api fosil yang lebih kotor dan lebih berbahaya. Seperti yang diketahui umum, bayaran gaji kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif ExxonMobil, Rex Tillerson, adalah lebih daripada USD100,000 sehari. Pada masa yang sama, mereka juga dapat membayar pelobi sewenang-wenangnya untuk menggagalkan setiap usaha penggubalan undang-undang yang dapat menyekat perubahan iklim yang semakin di luar kawalan, dan menaja gerakan penyangkal iklim.

Perlaburan syarikat gergasi ini dalam sektor tenaga boleh diperbaharui kurang daripada 1% jumlah perbelanjaan mereka, manakala hanya 2.5% bagi Chevron dan Shell menjelang tahun 2011. Pada tahun 2014, Chevron melangkah ke belakang lagi dalam bidang tersebut. Menurut Bloomberg Businessweek, pekerja dalam sektor tenaga boleh diperbaharui yang menjana hampir dua kali ganda keuntungan, beranggapan pekerjaan mereka adalah terjamin, tetapi mereka diberitahui bahawa “syarikat hampir kehabisan dana dalam sektor berkenaan” dan mereka didesak untuk “mencari pekerjaan yang lain”. Malah Chevron terus menjual bidang perniagaannya yang melibatkan program perlindungan alam sekitar di kawasan kerajaan dan sekolah.

Seorang pemerhati industri petroleum, Antonia Juhasz, mengulas, “Anda tidak akan sedar daripada iklan mereka, tetapi syarikat petroleum utama di dunia telah menarik diri sepenuhnya dari bidang tenaga boleh diperbaharui atau mengurangkan pelaburan mereka secara drastik dan beralih kepada sumber petroleum dan gas asli yang berisiko lebih tinggi dan lebih memudaratkan.”

Masalah sebenarnya ialah kita hampir kehabisan bahan api fosil yang diekstrak secara murah dan mudah. Jadi, teknologi pengekstrakan baharu yang lebih kotor dan lebih berbahaya akan menjadi semakin bermaharajalela, ini termasuk: peretakan hidraulik (hydraulic fracturing atau fracking), pelantar penggerudian di laut dalam dan perlombongan pasir minyak (tar sands). Perlombongan pasir minyak yang paling terkenal terletak di Alberta, Kanada. James Hansen, seorang ahli sains yang pernah bekerja di NASA, mengatakan bahawa perlombongan pasir minyak di Alberta menghasilkan pelepasan karbon yang begitu tinggi, sehingga boleh menyebabkan iklim Bumi kita “habis cerita” (game over).

Perlombongan pasir minyak mengubah wajah Alberta menjadi seperti Mordor dalam filem “The Lord of the Rings”. (foto: Alberta Tar Sands)
Gas syal (shale gas) atau gas asli tidak konvensional yang diekstrak melalui peretakan hidraulik. Anak panah tegak yang berwarna kuning menunjukkan pengekstrakan melalui suntikan campuran air dan bahan kimia bertekanan tinggi ke dalam lapisan batu serpih. (foto: BBC)

Terdapat syarikat swasta mencadangkan bahawa gas asli harus dijadikan nadi penggerak dalam proses transformasi tenaga kerana ia lebih rendah karbon berbanding dengan bahan api fosil yang lain. Walau bagaimanapun, pada tahun 2014, sekumpulan penyelidik dari Cornell University menunjukkan bahawa metana yang meresap ke dalam atmosfera menjadi lebih tinggi jika gas asli diekstrak dengan kaedah peretakan hidraulik berbanding pengekstrakan secara tradisional. Metana merupakan salah sejenis gas rumah hijau. Dalam 20 tahun pertama selepas pelepasan, keupayaannya memanaskan iklim merupakan 80 kali ganda lebih tinggi daripada jumlah karbon dioksida yang sama! Kajian baharu yang lain juga menyokong pelepasan metana sepanjang proses peretakan hidraulik.

Amerika Saudi

Kaedah pengekstrakan tradisional boleh disumber luar kepada pihak yang lain, seperti negara asing atau kawasan pinggiran. Delta Sungai Niger yang disebut di atas merupakan salah satu contoh penyumberan luar ini. Tetapi pada hari ini, kaedah peretakan hidraulik mengancam kawasan yang sepatutnya bukan kawasan zon pengorbanan (1). Sekian lama, zon-zon pengorbanan memiliki beberapa ciri yang sama, seperti ketandusan, kepencilan, kepinggiran dan tempat di mana penduduk tidak mempunyai kuasa politik. Keadaan sebegini juga biasanya berkaitan dengan kaum, bahasa dan kelas (atau lapisan masyarakat).

Namun, banyak kawasan yang pada awalnya diklasifikasi sebagai “zon selamat” menjadi zon pengorbanan dalam sekelip mata dengan kemunculan teknologi pengekstrakan baharu. Banyak kawasan yang menjadi sasaran untuk dikorbankan terletak di negara maju dan kaya. Tiada kaedah pengekstrakan lain yang dapat mensasarkan tanah yang lebih besar berbanding peretakan hidraulik. Pada tahun 2010, Syarikat Chesapeake Energy menemui bahawa pengeluaran gas asli di Amerika Syarikat setara dengan pengeluaran petroleum dua buah negara Arab Saudi. Maka munculnya “Amerika Saudi” (AS) dari sini.

Suzanne Goldenberg daripada The Guardian melaporkan pada tahun 2013 bahawa “syarikat tenaga itu membina telaga peretakan hidraulik di tanah milik gereja, padang sekolah dan kawasan perumahan berpagar. Pada bulan November tahun lalu, sebuah syarikat petroleum meletakkan telaga di kampus University of North Texas berhampiran Denton, di mana lokasinya betul-betul di sebelah gelanggang tenis dan di seberang jalan dari stadium sukan utama serta turbin angin gergasi yang berdiri di tepi.” Kini, golongan yang menikmati kemakmuran dan ketenteraman hidupnya secara relatif, tidak dapat menyangka mereka akan berdepan dengan perasaan ketidakupayaan dan ketidakberdayaan suatu hari nanti yang biasanya dirasai oleh golongan terpinggir ketika menghadapi kezaliman modal menyusup ke dalam semua aspek kehidupan. Mereka mula berasa terkejut dan berang.

Seorang yang lawan peretakan hidraulik menulis “Sayangi Bumi Kita, Jangan Retakkannya” di atas tembok di Lancashire, UK. (foto: REUTERS)

Pada bulan Februari 2014, Ketua Pegawai Eksekutif ExxonMobil ketika itu, Rex Tillerson, membuat tuntutan litigasi di mahkamah secara senyap terhadap peretakan hidraulik yang beroperasi berhampiran rumahnya yang bernilai USD5 juta di Texas dengan dakwaan bahawa ia akan mengurangkan nilai hartanah berkenaan. Ketika berita itu tersebar keluar, golongan yang melawan peretakan hidraulik tidak dapat menahan perasaan dan mengejeknya, “Kami mengalu-alukan Rex menyertai gerakan ‘Warga Masyarakat yang Benar-benar Marah ketika Dikelilingi oleh Kerja Penggerudian’ (Society of Citizens Really Enraged When Encircled by Drilling, dengan singkatannya ‘SCREWED’)”. “SCREWED” (bermakna rosak) memang merupakan perkataan yang paling memadan untuk menyindir mereka yang hanya mementingkan kepentingan mereka sendiri dan membiarkan kegiatan pengekstrakan yang kotor itu merebak dengan syarat ia tidak berlaku di halaman belakang rumah sendiri.  

Bukan itu sahaja, perkara yang sering kita terlepas pandang ialah industri petroleum dan gas syal AS merupakan industri yang menggunakan cara pengumpilan (levarage) sebanyak mungkin dalam perlaburan mereka, iaitu sejumlah besar pelaburan diperoleh melalui pinjaman. Kejatuhan harga minyak akan menjejaskan pelaburan sebegini dan seterusnya menyebabkan krisis ekonomi yang membawa kesengsaraan kepada golongan marhaen. Pada musim panas tahun 2015 hingga Januari 2016, harga minyak mentah jatuh dari USD60 per tong kepada USD29 per tong, memberi tamparan hebat kepada industri petroleum syal (tight oil atau shale oil) di AS.

Di samping itu, China yang merupakan pengimport minyak mentah terbesar di dunia mengalami krisis kewangan dan seterusnya menimbulkan perasaan panik dalam pasaran kewangan AS. Sektor kewangan AS akhirnya menarik nafas lega kerana krisis ini tidak merebak jauh setelah kerajaan China mengambil beberapa langkah intervensi seperti memperkukuhkan kawalan modal. Pada masa yang sama, kita juga menyaksikan bahawa sektor kewangan memainkan peranan kejam yang mengapi-apikan pemanasan global. (2)

Biar kekal di bawah tanah

Syarikat bahan api fosil selalunya kena membuktikan kepada pemegang saham bahawa mereka masih mempunyai simpanan karbon baharu untuk diekstrak pada masa depan setelah hasil semasa menyusut, agar harga saham syarikat kekal stabil atau meningkat. Sekurang-kurangnya orang ramai menjangka bahawa syarikat bahan api fosil mempunyai jumlah simpanan petroleum dan gas asli yang terbukti sama banyak dengan jumlah kepunyaan mereka pada masa kini. Ini bermaksud bahawa syarikat berkenaan mempunyai “kadar penggantian rizab” 100%. Apabila kadar penggantian rizab menurun, pelabur akan menjadi panik.

Pada tahun 2009, Shell mengumumkan bahawa kadar penggantian rizab tahun sebelum itu telah jatuh ke 95%. Pada hari yang sama, syarikat itu sibuk memberi jaminan kepada pasaran bahawa perniagaan mereka tidak menghadapi masalah. Jaminan yang diberikan oleh mereka adalah penangguhan pelaburan dalam tenaga angin dan solar, pada masa yang sama menggandakan pertaruhan mereka untuk meningkatkan rizab baharu dari lapisan batu syal (yang hanya dapat diekstrak melalui peretakan hidraulik), laut dalam dan pasir minyak. Secara keseluruhan, jumlah rizab baharu tahun tersebut memecahkan rekod, hampir tiga kali ganda hasil tahun 2009, kadar penggantian rizab ialah 288%, maka harga saham syarikat meningkat sejajar dengannya.

Bagi syarikat bahan api fosil gergasi, pengekalan kadar penggantian rizab merupakan arahan yang tidak boleh dipertikaikan dari segi ekonomi, supaya “masa depan” syarikat terjamin. Tapak petroleum sedia ada yang diekstrak secara tradisional tidak mencukupi bagi syarikat untuk mengekalkan kadar penggantian rizab 100%. Susunan struktur sebegini memaksa industri ini berkecimpung dalam jenis pengekstakan sumber tenaga yang paling kotor.

Pengejaran simpanan karbon berisiko tinggi bukan isu tentang pilihan, tetapi merupakan tanggungjawab syarikat kepada pemegang sahamnya. Pemegang saham menegaskan bahawa keuntungan tahun depan mereka kena sama lumayan seperti tahun ini dan tahun lalu, meskipun penunaian amanat tanggungjawab ini sebenarnya akan menukar planet kita menjadi periuk panas.

Sejak manusia mula membakar arang batu secara besar-besaran pada zaman perindustrian, kita telah berjaya meningkatkan suhu planet ini sekitar 1°C. Oleh demikian, kita menghadapi masalah belanjawan karbon (carbon budget) yang sangat ketat jika sasaran kita ialah mengehadkan peningkatan suhu Bumi dalam lingkungan 1.5-2.0°C. Untuk memastikan kita kekal dalam had tersebut, kita mesti membiarkan 85-90% simpanan karbon kekal di bawah tanah,terutamanya untuk bentuk bahan api fosil yang paling kotor seperti pasir minyak Alberta. Kesimpulan kajian yang tidak dapat disanggah ini telah diterbitkan dalam Nature dan jurnal lain dengan pengulasan setara.

Tenaga boleh diperbaharui

Sejak kebelakangan ini, harga modul solar telah jatuh sebanyak 90%. Di samping itu, kapasiti pengeluaran modul solar Malaysia berkongsi kedudukan kedua sedunia dengan Korea Selatan, iaitu 6% kapasiti selepas China dan sekarang ia merupakan pilihan yang lebih layak daripada arang batu. Perdana Menteri kita baru-baru ini mengumumkan bahawa negara kita akan berhenti membina stesen penjana elektrik arang batu yang baharu untuk menunjukkan komitmen kerajaan dalam memerangi krisis perubahan iklim walaupun ia hanya selangkah kecil ke depan. Yang membimbangkan adalah kemungkinan negara kita akan beralih ke gas asli dan bukannya cuba sedaya upaya untuk berganjak ke tenaga boleh diperbaharui. Selain itu, Semenanjung Malaysia memerlukan pembinaan grid pintar (smart grid) dan kemudahan bateri untuk simpanan elektrik yang mahal supaya menyempurnakan rangkaian tenaga boleh diperbaharui yang komprehensif.

Di sini kita harus berterima kasih kepada penyelidikan daripada Climate Accountability Institute di Amerika Syarikat yang menunjukkan bahawa sejak tahun 1988, terdapat 71% pelepasan gas rumah hijau dapat boleh dijejak kembali kepada 100 buah perusahaan swasta dan milik negara yang dikenali sebagai “gergasi karbon” (Carbon Majors) dalam laporan tersebut. Antara pelepasan gas rumah hijau daripada 50 buah syarikat bahan api fosil terbesar di dunia yang disenaraikan dalam Jadual 7 dalam laporan berkenaan, Petronas Malaysia menduduki tangga ke-24. Sementara itu, menurut laporan Petronas sendiri yang bertajuk “Petronas Activity Outlook 2020-2022”, Petronas terlibat dalam pengekstrakan gas syal di British Columbia, Kanada. Malah kaedah peretakan hidraulik ini pernah menyebabkan gempa bumi di kawasan tersebut.

Menurut prinsip “pencemar yang membayar” (polluter pays), kita harus mengenakan pelbagai tindakan, seperti tuntutan pampasan, kenaikan royalti dan pengurangan subsidi terhadap sektor perusahaan yang membawa pencemaran tinggi, terutamanya industri bahan api fosil, supaya mewujudkan dana untuk transformasi. Apa yang harus dilakukan oleh kerajaan adalah mengambil tindakan sebegini, seperti mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas Petronas dan seterusnya melabur ke dalam tenaga boleh diperbaharui dan peningkatan kecekapan tenaga. Ini merupakan salah satu pendekatan yang boleh dilaksanakan.

Dalam laporan bertajuk “Petronas Activity Outlook 2020-2022” menunjukkan satu peta kemegahan perusahaan ini. Lingkaran merah menunjukkan pengekstrakan gas syal (gas asli tidak konvensional) di British Columbia. Mereka turut melagak diri sebagai satu-satunya syarikat tenaga di dunia yang memiliki dua kemudahan terapung LNG (liquefied natural gas) yang bernama PFLNG SATU dan PFLNG DUA yang ditunjuk dengan anak panah merah dan memuji teknologi serta “pendigitalan” dapat meningkatan kecekapan operasi syarikat. Syarikat bahan api fosil menampilkan gas asli sebagai pemacu ekonomi pada zaman pasca arang batu dan menganggap teknologi dapat mengurangkan pembaziran tenaga. Satu-satunya perkara yang tidak disampaikan mereka kepada umum ialah produk mereka akan melepaskan gas rumah hijau yang begitu banyak, bermula dari pengekstrakan, penapisan, penyaluran sehingga ke pembakaran atau penggunaan, jauh di luar lingkungan yang mampu diimbangi dengan hanya aplikasi teknologi hijau. (foto: Petronas Activity Outlook 2020-2022)

Apabila memutus untuk meninggalkan bahan api fosil, kita jangan mengulangi model kekayaan ekonomi bahan api fosil, iaitu ratusan bilion dolar keuntungan diswastakan manakala risiko yang tinggi ditinggal kepada masyarakat. Kita mesti reka satu sistem yang mewajibkan pencemar itu membayar sebahagian besar kos peralihan dari bahan api fosil, di samping membolehkan tenaga hijau dikuasai oleh komuniti dan masyarakat. Dengan cara ini, kekayaan yang dijana akan tetap berada dalam tangan masyarakat untuk membiayai kos penjagaan kanak-kanak, sistem kesihatan dan perkhidmatan penting yang lain. Ini merupakan satu-satunya cara untuk memastikan bahawa pekerjaan hijau yang diwujudkan merupakan pekerjaan yang mempunyai kesatuan pekerja dan membayar gaji sara hidup (living wage).

Sekarang ini, kita mengetahui bahawa hanya tenaga boleh diperbaharui sesuai untuk ditaburkan berselerak di sekitar komuniti dan membolehkan anggota masyarakat menguasainya berbanding dengan bahan api fosil dan tenaga nuklear yang kedua-duanya bersifat pemusatan yang memerlukan kemudahan penjanaan tenaga yang amat besar.

Sekiranya kita mempunyai dasar yang cukup bijak untuk mendorong lonjakan dalam jumlah panel solar di atas bumbung rumah, syarikat tenaga besar akan kehilangan keuntungan besar kerana pelanggan tetap mereka akan beralih ke sektor penjanaan tenaga sendiri. Ini akan mewujudkan peluang besar untuk ekonomi yang lebih adil dan mengurangkan jumlah pembayaran bil elektrik. Tetapi sekali lagi, kumpulan berkepentingan tertentu, iaitu industri penjanaan tenaga besar dengan bahan api fosil, pasti akan mengalami kerugian. Oleh itu, mereka pasti tidak gembira untuk melihat pelanggan yang pernah dikongkong oleh mereka, sekarang menjadi pesaing dan menjual tenaga kepada grid elektrik.

Corak yang lebih baik adalah jenis perusahaan milik awam yang baharu yang dikendalikan secara demokratik, dimiliki oleh komuniti pengguna dan menjadikannya koperasi atau “harta miliki bersama”. Struktur sebegini membolehkan rakyat marhaen mengemukakan lebih banyak tuntutan kepada syarikat tenaga milik mereka dan secara tidak langsung akan mendorong penjimatan elektrik. Keadaan tersebut pasti jauh lebih elok daripada keadaan kini. Pengawasan keuntungan oleh rakyat marhaen supaya tidak digunakan untuk penerokaan bahan api fosil baharu atau pemberian ganjaran tinggi yang tidak beretika kepada golongan tertentu seperti pengurus berpangkat tinggi dan pemegang saham, sebaliknya digunakan untuk pembinaan rangkaian tenaga boleh diperbaharui yang saling melengkapi. Sekarang kita sudah mengetahui bahawa tenaga boleh diperbaharui berpotensi menjadi penggerak ekonomi pada zaman kini.

Pemanasan 1°C telah membawa pelbagai bencana di seluruh dunia, dijangkakan lebih banyak bencana akan muncul pada masa depan. Masyarakat yang bergantung kepada sumber tenaga bersifat pemusatan yang berisiko untuk dilumpuhkan, sama ada semasa ribut yang memusnahkan stesen penjana elektrik atau bil elektrik yang melambung tinggi seperti di Filipina pada ketika pandemik COVID- 19 kerana keruntuhan sistem pengangkutan arang batu, merupakan pertimbangan yang tidak wajar.

Tenaga nuklear dan kuasa hidro

Pada tahun 2009, pasukan penyelidik yang dipimpin oleh Mark Z. Jacobson, profesor di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar di Universiti Stanford, menulis strategi yang inovatif dan terperinci tentang “bagaimana tenaga sedunia, tidak kira jenis penggunaannya, dapat dibekalkan 100% oleh kuasa angin, air dan solar menjelang tahun 2030”, dengan menekankan bahawa ini dapat dilaksanakan secara teknikal dan ekonomi. Tulisan ini diterbitkan dalam jurnal Energy Policy. Cadangan ini bermaksud bahawa tidak perlu untuk membina loji tenaga nuklear baharu di seluruh dunia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui dengan secepat mungkin, pilihan tenaga berkenaan mesti memenuhi kelebihan seperti berikut: murah dan keupayaan pelaksanaan yang cepat. Pembinaan loji tenaga nuklear mengambil masa lebih dari sepuluh tahun dan lebih mahal berbanding dengan pemasangan penjana tenaga solar dan angin. Pembinaan ladang angin biasanya memerlukan 2 hingga 5 tahun manakala pemasangan panel solar lagi cepat. Sebab yang sama juga sesuai untuk menolak pembinaan empangan hidroelektrik yang besar. Ia memakan masa yang lama selain bersertakan kos sosial dan persekitaran yang amat tinggi seperti pengusiran paksa, kemusnahan ekologi, banjir, sumbatan di muara sungai oleh lumpur dan lain-lain lagi.

Penggunaan tenaga boleh diperbaharui jauh lebih berisiko rendah bagi penduduk yang tinggal berdekatan atau pekerja yang bekerja di dalam kemudahan tersebut berbanding dengan tenaga yang dijana oleh bahan api fosil atau tenaga nuklear. Selain pelepasan karbon yang tinggi, stesen penjana elektrik bahan api fosil juga menyebabkan pencemaran udara. Loji tenaga nuklear mempunyai risiko pencemaran radiasi dan pembuangan sisa nuklear berbahaya. Banyak generasi akan terancam sekiranya berlaku kemalangan di loji tenaga nuklear.

Peralihan ke tenaga boleh diperbaharui pada zaman pasca pandemik

Selepas krisis kewangan tahun 2007-08, kita dapat perhatikan bahawa pemulihan kegiatan ekonomi kembali kepada tahap “urusan niaga seperti biasa” sebelum krisis tanpa pertimbangan yang teliti akan membahayakan alam sekitar. Pada tahun 2009, kegiatan ekonomi yang terbantut kerana krisis telah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sedunia. Tetapi pada tahun 2010, langkah-langkah rangsangan ekonomi yang diambil oleh kerajaan tanpa mempertimbangkan kesan terhadap persekitaran menyebabkan pelepasan karbon mencapai rekod tinggi yang baharu.

Adakah kita akan mengulangi kesilapan yang sama? Adakah langkah-langkah rangsangan ekonomi pasca pandemik akan mempercepatkan krisis iklim yang teruk? Pada bulan April 2020, ketika keadaan pandemik semakin meruncing, terdapat satu laporan yang dikemukakan oleh sebuah firma perundingan pengurusan terkenal, McKinsey & Company, menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya sekitar 60% responden sangat setuju bahawa pemulihan ekonomi pasca pandemik itu mesti mengambil kira kesan perubahan iklim. Bukan itu sahaja, sejumlah kajian menunjukkan bahawa penghasilan seunit tenaga daripada sumber boleh diperbaharui mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan daripada bahan api fosil. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa untuk setiap juta dolar yang dibelanjakan oleh kerajaan dalam sektor tenaga, tenaga boleh diperbaharui mencipta 5 kali ganda lebih banyak peluang pekerjaan berbanding bahan api fosil.

Kajian dari Kanada menunjukkan bahawa pelaburan sebanyak USD1.3 bilion (perbelanjaan kerajaan Kanada untuk mensubsidi petroleum dan gas asli) dapat mewujudkan 17,000 hingga 20,000 peluang pekerjaan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan awam atau kecekapan tenaga, iaitu 6 hingga 8 kali ganda lebih banyak peluang pekerjaan berbanding dengan jumlah pelaburan yang sama dalam sektor petroleum dan gas asli.

Manakala menurut Laporan Tenaga dan Pekerjaan Amerika Syarikat 2018 (2018 US Energy and Employment Report), jumlah peluang pekerjaan dalam sektor tenaga angin, solar dan tenaga bersih lain merupakan 3 kali ganda berbanding sektor bahan api fosil. Di samping itu, ia turut memastikan gaji dan elaun pekerjaan setanding dengan industri petroleum dan gas asli.

Sebelum tercetusnya pandemik di Malaysia, Pelan Induk Teknologi Hijau (Green Technology Master Plan) yang diluluskan pada bulan Oktober 2017, bertujuan untuk membantu industri hijau yang relevan supaya mencapai pendapatan USD43 bilion dan mewujudkan lebih daripada 200,000 peluang pekerjaan hijau menjelang tahun 2030. Di samping itu, Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) menyenaraikan Malaysia sebagai majikan terbesar di rantau ASEAN dalam bidang fotovoltaik tenaga solar pada bulan Jun 2019. Industri berkenaan mempunyai lebih daripada 54,300 orang pekerja pada tahun 2018, dengan wujudnya peningkatan berbanding 40,300 orang pekerja pada tahun 2017.

Keadilan iklim dan perjuangan kelas

Keadilan iklim merangkumi keadilan alam sekitar dan keadilan sosial. Ia menuntut orang ramai untuk meneliti isu-isu seperti kesamarataan, hak asasi manusia dan tanggungjawab sejarah untuk perubahan iklim. Ketika kita berbicara tentang keadilan iklim, kita sering mengaitkannya dengan orang asli yang tinggal di dalam hutan, petani kecil yang berusaha di pinggir hutan atau generasi muda yang amat terpengaruh dengan kesan perubahan iklim, tetapi jarang menyentuh pekerja di barisan pengeluaran dalam sektor industri.

Sekiranya kita mengkaji syarikat bahan api fosil dari segi perspektif keadilan iklim, kita akan melihat “transformasi” syarikat tersebut baru-baru ini. Walaupun syarikat bahan api fosil telah lama berusaha untuk menyangkal perubahan iklim, maklumat kini yang disebarkan oleh industri berkenaan melalui media sosial jauh lebih halus dan berkesan daripada menyangkal secara langsung hakikat perubahan iklim yang disokong oleh fakta saintifik. Dengan meremehkan keadaan terdesak dalam krisis perubahan iklim dan menguatkan ilusi “kesamarataan dan keadilan”, industri ini telah memiliki alat baharu untuk menangguhkan usaha mengekang pelepasan karbon daripada bahan api fosil.

Shell “menegaskan” bahawa untuk mengupah lebih banyak wanita dalam jenis kerja yang biasanya didominasi oleh lelaki, untuk mencipta ilusi kesamarataan gender; Chevron menyokong gerakan “Black Lives Matter” tahun lalu, tetapi membisu dalam hal mengenai tanggungjawab syarikat tersebut terhadap isu pencemaran dalam komuniti yang kebanyakannya terdiri daripada warga Amerika berkulit hitam; syarikat gergasi petroleum lain telah melancarkan kempen Net Zero, iaitu satu mekanisme pengimbangan pelepasan karbon, untuk memperbodohkan orang ramai melalui pengiraan matematik yang mudah. Memang kita harus berhati-hati dengan propaganda sebegini. Pada masa yang sama, kilang pengeluaran menjadi sumber utama pelepasan gas rumah hijau. Biarpun ketika kita berbincang mengenai tenaga solar, kita sering mengabaikan pencemaran dan eksploitasi pekerja yang bersembunyi di seluruh rantaian industri tenaga solar.

Sistem tenaga solar yang terdiri daripada panel solar, bateri, penyongsang fotovoltaik dan grid. Gambar rajah ini juga memberi sedikit gambaran tentang rantaian industri tersebut. (foto: laman web rasmi Infineon)

Pada bulan September 2011, kilang yang terletak di bandar Haining, China, yang dimiliki oleh JinkoSolar Holding Company, sebuah syarikat tenaga solar China yang tersenarai di Bursa Saham New York (NYSE), terpaksa ditutup kerana satu demonstrasi selama tiga hari berturut-turut yang melibatkan kira-kira 500 orang penunjuk perasaan. Demonstrasi ini juga berkait rapat dengan kematian sebilangan besar ikan di sungai. Penduduk tempatan yang tidak tahan dengan kebimbangan yang semakin terjadi telah melancarkan protes besar-besaran setelah mereka dikejutkan dengan insiden ikan mati.

Ujian sampel air yang dikendalikan oleh pegawai kerajaan mendapati kandungan bahan fluorida bertoksik pada tahap yang tinggi dan bahan bertoksik ini berasal daripada proses rawatan air sisa yang tidak betul oleh pihak kilang. Di samping itu, penduduk juga percaya bahawa kilang itu berkait rapat dengan kejadian leukemia dan penyakit barah lain dalam kalangan penduduk, walaupun pihak berkuasa menafikannya dengan menahan penyebar khabar angin untuk meredakan massa yang “kecoh” itu.

China dan Malaysia membekalkan sebahagian besar modul solar di dunia pada masa kini. Secara kebetulan, JinkoSolar juga mempunyai kilang pengeluaran modul solar di Kawasan Perindustrian Prai di Malaysia. Pada bulan Jun 2019, kira-kira 200 orang pekerja daripada cawangan tersebut memprotes di luar syarikat dan menuntut permohonan maaf terbuka daripada pihak pengurusan kerana salah seorang anggota pengurusan memuat naik video yang melabelkan pekerja sebagai “sampah”. Selain itu, mereka juga menuntut keadaan bekerja yang lebih baik.

Selain itu, kilang fabrikasi wafer Infineon Technologies yang terletak di Taman Teknologi Tinggi Kulim yang dimiliki oleh syarikat Jerman juga merupakan sebahagian daripada rantaian industri tenaga solar. Pekerja-pekerja di kilang tersebut telah mengadakan satu aksi piket di hadapan kilang tersebut pada bulan Mac 2020 supaya rundingan perjanjian bersama (collective agreement) baharu yang melibatkan pihak pekerja dan majikan harus merangkumi tuntutan peningkatkan gaji dan kebajikan pekerja untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan.

Kilang JinkoSolar di bandar Haining, wilayah Zhejiang, China, terpaksa ditutup kerana pencemaran alam sekitar dan kemarahan penduduk. Beberapa demonstran yang marah menyerbu ke dalam pejabat dan menerbalikkan kereta milik syarikat itu. (foto: hmeastasia 2021)

Semua burung gagak di dunia sama hitam. Jikalau semua kejadian keji di atas melibatkan pihak syarikat asing, peristiwa baru-baru ini yang berlaku di Kampung Jenjarom, Selangor, telah menunjukkan kebanyakan syarikat atau kapitalis tempatan “sama je”. Pada bulan September yang lalu, beberapa pertubuhan masyarakat sivil berkumpul di depan Majlis Perbandaran Kuala Langat untuk menyerahkan memorandum yang menyeru pembatalan rancangan untuk membuka semula kilang bateri di lokasi berkenaan.

Penduduk tempatan juga menyatakan bantahan mereka melalui perhimpunan secara aman. Antara perkara yang paling membimbangkan penduduk ialah kilang tersebut terlalu dekat dengan kawasan perumahan yang hanya berjarak 500 meter, dan 350 meter dari sekolah dan tadika. Dilaporkan bahawa produk pengeluaran ditukar kepada bateri solar setelah kilang itu diambilalih oleh kapitalis tempatan daripada pemilik asing, dan memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku insiden pencemaran plumbum seperti dahulu. Namun, kapitalis berkenaan pernah didakwa di mahkamah kerana menerima rasuah sebanyak RM58,000 pada tahun 2018. Oleh itu, timbulnya keraguan mengenai jaminan dan retoriknya.

Edmund Terence Gomez, seorang profesor ekonomi di Universiti Malaya, pernah menyatakan bahawa Mahathir telah membuka kotak Pandora transformasi ekonomi pada tahun 1980-an dan 1990-an. Untuk mewujudkan suasana yang memihak kepada golongan peniaga, gaji pekerja ditekan dengan teruk pada paras yang rendah dan seterusnya membawa kepada kemakmuran ekonomi negara sedekad lamanya yang dikenali sebagai “Dekad Keemasan” (Golden Decade).

Peralihan tenaga adalah mustahak pada hari ini. Di Malaysia, tenaga solar merupakan salah satu alternatif yang paling sesuai sebagai penggantian kepada bahan api fosil. Industri berkenaan pasti akan menonjol dalam gelombang transformasi ini, tetapi adakah bidang industri tersebut akan membawa kepada satu lagi “dekad keemasan” yang menindas pekerja? Bagaimana kita dapat mengamalkan dasar yang memihak kepada golongan marhaen (atau kelas yang ditindas) seperti Orang Asli, petani kecil, wanita, generasi muda dan pekerja dalam proses peralihan ini, dan bukannya tertarik kepada propaganda yang dimainkan oleh syarikat bahan api fosil supaya menunda transformasi ini atau dasar penswastaan yang berleluasa di zaman arang batu yang kelihatan pada hari ini? Adakah kita dapat mencari jalan penyelesaian yang berkesan supaya kesihatan penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan perusahaan yang membawa pencemaran tinggi itu terjamin, termasuk sektor industri solar yang dianggap “bersih”? Bolehkah kita melangkaui petroleum dan kapitalisme serta menuju ke arah pembinaan masyarakat yang lebih samarata dan adil? Inilah cabaran kita zaman ini.

**********

Nota:

(1) Untuk maklumat lebih lanjut mengenai zon pengorbanan dengan pemanasan global, sila rujuk huraian ringkas dalam rencana ke-2 dan ke-3 Siri Pemanasan Global.

(2) Adam Tooze, Crashed: How a Decade of Financial Crisis Changed the World.

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

Siri Pemanasan Global (5): Merah dan Hijau

Siri Pemanasan Global (6): Beli! Beli! Beli!

Siri Pemanasan Global (7): Wabak penyakit perampasan yang tidak terhingga

Siri Pemanasan Global (8): “Aku tidak percaya pada pemanasan global”

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s