Siri Pemanasan Global (8)

oleh Brian Khow

Syor-syor dari perspektif ekonomi yang disebut dalam rencana ke-7 penulisan Siri Pemanasan Global ini untuk menangani krisis perubahan iklim, merupakan seruan daripada golongan politik kiri yang progresif sejak dulu. Malangnya, cadangan tersebut bukannya sebarang penyelesaian yang dialu-alukan oleh syarikat gergasi dan golongan elit politik yang menguasai dunia hari ini.

Secara umumnya, orang ramai berharap bahawa isu tersebut dapat diselesaikan dengan jalan senang, seperti dengan penukaran ke kenderaan elektrik atau pelaksanaan mekanisme pasaran karbon yang bersifat greenwashing, yang dianggapdapat membawa kita kembali kepada keadaan normal. Sebaliknya, jumlah orang yang menyedari kepentingan dan kerumitan isu ini juga semakin meningkat, terutamanya golongan generasi muda, mereka inginkan penyelesaian yang benar-benar dapat menyelesaikan isu ini, bukan hanya sekadar melayan secara sambil lewa.

Beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Tindakan Perubahan Iklim (MyCAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri masa itu Muhyiddin Yassin pada bulan April tahun ini, memang merupakan contoh yang baik untuk menggambarkan “jalan senang” yang cuba digunakan oleh golongan elit. Cadangan-cadangan ini memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi hijau dan aplikasi teknologi hijau, termasuk kenderaan elektrik dan mekanisme pasaran karbon yang disebut di atas. Saya juga tidak menafikan bahawa sesetengah cadangan dalam transformasi yang akan melibatkan perbelanjaan tinggi ini, seperti membina atau menaik taraf infrastruktur pengangkutan awam sememangnya berkesan dalam membantu memerangi pemanasan global, namun kebanyakan penyelesaian yang diguna pakai hanya sekadar merawat gejala bukannya punca. Beban-beban disalurkan kepada kelas menengah dan rendah, dan keputusannya yang terbaik pun hanya sekadar melambatkan kesan pemanasan global (1).

Walaupun kerajaan tidak menyangkal secara terang-terangan isu perubahan iklim dan bencana alam yang disebabkan oleh pemanasan global, tetapi mereka cuba memudarkannya dan memberi gambaran bahawa kerajaan sedang berusaha menyelamatkan negara daripada bahang perubahan iklim melalui Majlis Tindakan Perubahan Iklim yang disebut di atas. Perkara sebegini juga dilakukan oleh kebanyakan para pemimpin sedunia. Terdapatnya golongan masyarakat yang bersatu untuk menolak cadangan yang sekadar merawat gejala bukannya punca. Gerakan masyarakat ini menuntut penyelesaian untuk isu perubahan iklim dan alam sekitar dengan pendekatan yang progresif sejak dahulu lagi. Untuk mematah kebangkitan masyarakat sebegini, di sampung menangguhkan pelaksanaan cadangan yang sekadar merawat gejala bukannya punca (kerana ia juga akan meningkatkan kos), satu gerakan reaksioner yang menolak hakikat pemanasan global mula terbentuk.   

Selepas banjir, bayangan “Aku tidak percaya pada pemanasan global” muncul di atas permukaan air. (foto: Matt Brown / Flickr)

Walaupun pemanasan global disokong oleh penyelidikan saintifik (2), namun gerakan yang reaksioner ini masih menolak pemanasan global secara tegas dan memperluaskan kuasa pengaruh mereka ke setiap pelosok dunia untuk memperkenalkan “ajaran agama” mereka. Pada mulanya, mereka enggan mengakui pemanasan global, tanpa mengambil kira betapa benar dan dekatnya krisis itu. Kemudian mereka bergurau atau mengalihkan perhatian umum dengan sikap sambil lewa tentang isu ini. Media sosial dibanjiri dengan pelbagai kritikan oleh keyboard warrior (jaguh papan kekunci) yang diupah oleh puak yang menyangkal pemanasan global atau perubahan iklim (akan menggunakan istilah “penyangkal iklim” di bawah). Sekiranya pejuang alam sekitar dan pendukung hak asasi manusia serta penyokong mereka masih enggan berundur, fitnah dan intimidasi daripada keyboard warrior akan menjadi semakin teruk. Akhirnya, seminar diadakan oleh puak penyangkal iklim di mana orang ramai dan wartawan diundang untuk mendengar selebriti, “pakar” atau “saintis” secara bergiliran yang menyatakan pendapat mereka, kadang-kala pihak lawan diajak untuk berdebat dan seterusnya menggunakan pandangan palsu atau pseudosains untuk menyangkal kewujudan pemanasan global.

Hadiah yang jatuh dari langit

Secara umumnya, golongan penyangkal iklim merupakan mereka yang melabur dalam ekonomi kita yang telah dipesongkan dan sangat tidak sama rata. Dalam penyelidikan tentang konsep perubahan iklim, para penyelidik mendapati bahawa sikap yang ditonjolkan oleh pihak yang menolak kajian saintifik tentang perubahan iklim jelas berkait rapat dengan penguasaan hak istimewa sosial dan ekonomi mereka. Selain pihak konservatif dari Barat, sebilangan besar golongan penyangkal iklim terdiri daripada lelaki berkulit putih yang bergaji melebihi gaji purata di mana mereka mungkin memaparkan lebih keyakinan terhadap pandangan mereka berbanding dengan orang dewasa yang lain, tanpa mengira betapa karutnya pandangan mereka.

Sikap terlalu yakin diri sebegini sering muncul dalam kalangan mereka yang telah mencapai kejayaan di bawah sistem ini, terutamanya bagi golongan elit yang memiliki kekayaan, kenamaan dan kekuasaan dalam tangan mereka. Negara kita juga tidak dikecualikan. Sering kita mendapati diri berasa tergamam, bengang dan sukar percaya dengan perkataan yang dikeluarkan oleh elit politik di negara ini. Menurut satu kajian dalam jurnal “Perubahan Iklim” (Climate Change) pada tahun 2014, kumpulan pemikir dan organisasi yang menyokong puak penyangkal iklim secara bersama membentuk “Gerakan Penyangkal Perubahan Iklim” yang memperolehi lebih daripada USD900 juta setiap tahun daripada penyelidikan dan penghebohan pelbagai ideologi berhaluan kanan. Kebanyakan “wang gelap” tersebut datang daripada dana yang dimiliki oleh golongan konservatif dan susah untuk menjejak sumber wang tersebut.

Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ialah salah seorang daripada golongan penyangkal iklim yang paling terkenal. Dia merupakan salah seorang ahli politik berideologi kanan yang memperkenalkan pembaharuan cukai yang membawa keuntungan besar kepada syarikat multinasional. Pada tahun 2017, dia mengumumkan bahawa Amerika Syarikat menarik diri daripada Perjanjian Paris. Dia memanggil dirinya sebagai pencinta alam sekitar, menolak amalan “kenaikan paras laut” yang dikeluarkan oleh ahli sains, di samping menyifatkan pemanasan global dan perubahan iklim sebagai satu tipu muslihat, terutamanya satu konspirasi yang disusun oleh negara China yang bertujuan memberi tamparan kepada sektor pengeluaran Amerika Syarikat. Tetapi petikannya yang paling klasik adalah, “New York sangat sejuk, di mana perginya pemanasan global?” Pemanasan global menyebabkan iklim menjadi semakin melampau, keseriusan bencana meningkat dan menjadi lebih kerap dan berpanjangan. Ini tidak bermaksud New York akan menjadi iklim khatulistiwa seperti Pulau Pinang. Oleh itu, Donald Trump telah menjadi bahan jenaka sebenar dalam kalangan pencinta alam sekitar. (foto: BBC)

Hak istimewa dari segi ekonomi dan sosial secara relatif yang dinikmati oleh golongan penyangkal iklim bukan sahaja memberi mereka kelebihan untuk menghadapi krisis ekonomi baharu, malah mereka juga memiliki modal secukup untuk mereka menghadapi krisis perubahan iklim dengan sikap yang lebih optimis. Di samping itu, mereka juga mengambil kesempatan daripada bencana untuk menjana keuntungan. Pada tahun 2003, setelah gelombang haba (heatwave) yang berlaku di Perancis meragut sebanyak 14,000 nyawa, golongan penyangkal iklim pula berkata, “Mereka (rakyat Perancis) telah menemui Walmart (3) dan penghawa dingin.” Tidak dapat dinafikan bahawa golongan kelas atasan dan menengah akan berganjak ke pusat membeli-belah ketika cuaca terlalu panas dan tingkah laku ini merupakan salah satu gaya hidup di bandar besar pada masa kini. Nescaya, petikan terkemuka daripada golongan penyangkal iklim yang menonjolkan kedudukan dominan mereka dalam masyarakat,“Ketika hujan, kami ada tempat berselindung; ketika panas, kami ada tempat berteduh.”

Pada masa yang sama, setelah meneliti langkah-langkah drastik yang diminta oleh para ahli sains iklim supaya diperkenalkan di negara-negara seluruh dunia untuk mengurangkan pelepasan karbon sedunia, golongan penyangkal iklim membuat kesimpulan bahawa ini hanya akan berlaku dengan penyusunan semula keseluruhan sistem ekonomi dan politik dengan cara yang bertentangan kepada kepercayaan “pasaran bebas” mereka. Seorang pemblog yang berideologi kanan dari United Kingdom yang bernama James Delingpole berkata, “Teori pemeliharaan alam sekitar moden berjaya memupuk kebanyakan ideologi yang berpihak kepada golongan kiri: pengagihan semula kekayaan, cukai yang lebih tinggi (terhadap orang kaya dan syarikat), campurtangan dan kawalselia daripada kerajaan yang lebih ketat (terhadap ekonomi pasaran).” Manakala Joseph Bast, mantan pengarah Institut Heartland yang berideologi kanan merumuskan, “Bagi golongan kiri, perubahan iklim adalah sempurna… Oleh kerana perubahan iklim, kita harus melakukan semua perkara yang diinginkan oleh golongan kiri.”

Ini menjadi lebih mencabar bagi golongan konservatif Barat, terutama bagi mereka yang taat kepada kepercayaan. Bukan hanya kepercayaan mereka terhadap ekonomi pasaran terancam, malah budaya pemikiran yang berteraskan: Adakah kita merupakan pemerintah yang datang untuk menakluki dan menguasai Bumi, atau kita hanya satu makhluk antara semua yang menunduk terhadap kuasa yang lebih rumit dan tidak dapat diramalkan? Seperti yang dikatakan oleh seorang profesor politik dari La Trobe University, Melbourne, yang bernama Robert Manne, bagi ramai dari golongan konservatif, perubahan iklim “mencabuli kepercayaan asas mereka yang paling dalam dan paling berharga: Manusia mempunyai kemampuan, dan sebenarnya mempunyai kuasa untuk menakluki Bumi dan segala makhluk di Bumi serta mengukuhkan kedudukan diri sendiri untuk menguasai alam semesta.”

Namun, golongan penyangkal iklim yang berideologi kanan cenderung memperbesar-besarkan teori konspirasi, dengan mempercayai bahawa pemanasan global merupakan hadiah yang jatuh dari langit kepada golongan kiri. Sebenarnya negara-negara yang menyebut diri mereka sebagai negara sosialis, sama seperti lawannya, iaitu negara kapitalis, dengan bersungguh-sungguh menelan sumber alam dan mengeluarkan bahan pencemar (4). Maka, salah satu penurunan pelepasan karbon secara mendadak di negara maju berlaku setelah kejatuhan Kesatuan Soviet sekitar tahun 1990-an.

Mao Zedong daripada Parti Komunis China pula menyatakan secara terbuka bahawa “manusia berkemampuan menewaskan alam sekitar” dengan membersihkan hampir seluruh kawasan hutan di bawah nama komunisme dan membawa malapetaka kepada alam semula jadi. Kemudiannya, pengganti Mao berubah wajah negara itu daripada komunisme menjadi kapitalisme. Mereka membina empangan gergasi yang memusnahkan alam sekitar, dengan hasrat untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil kepada syarikat-syarikat pelabur asing supaya dapat mendirikan kilang yang mengeksploitasi tenaga buruh mereka yang murah. Pada masa yang sama, sektor perindustrian petroleum dan gas di Rusia, sama ada berada di bawah pemerintahan birokrasi pada masa dahulu atau di bawah pemerintahan oleh segelintir oligarki dan perusahaan milik negara pada hari ini, berkongsi kecuaian pengurusan yang sama dengan kemudahan industri yang usang dan berita mengenai kemalangan sering terdengar dari semasa ke semasa.

Sistem yang didominasikan oleh segelintir birokrat dan konsortium, tidak kira bagaimana sistem itu cuba menggelar dirinya sebagai sosialisme (tetapi hakikatnya melucutkan unsur sosialis yang penting seperti penyertaan demokratik rakyat) atau pemusatan kekayaan yang semakin hebat di bawah kapitalisme (penyusupan kekuasaan konsortium ke dalam demokrasi berparlimen), kedua-dua belah pihak juga cenderung untuk memusatkan segala kekuasaan dalam tangan mereka dan mempertahankan sistem tersebut melalui pengembangan yang penuh kezaliman, sama ada sosialisme yang semata-mata untuk meningkatkan pengeluaran pada zaman Kesatuan Soviet ataupun kapitalisme yang semata-mata untuk menggalakkan kepenggunaan pada zaman hari ini.

Tolak tambak

Di negara kita, Parti Tindakan Demokratik (atau lebih dikenali DAP) yang menggelar dirinya sebuah parti yang “berideologi sosial demokrasi”, menunjukkan keghairahannya terhadap corak pembangunan ekonomi yang sama seperti lawannya yang berideologi kanan. Keghairahan tersebut lebih menyerlah dalam pendiriannya yang berpegang teguh pada prinsip pertumbuhan ekonomi, malah mereka berdegil untuk melaksanakan projek penambakan tiga buah pulau buatan yang meliputi kawasan seluas 4,500 ekar di selatan Pulau Pinang.

Sebahagian besar kepentingan yang dijana daripada pertumbuhan ekonomi jenis ini selalunya disalurkan ke dalam dompet kapitalis atau pemaju, sementara pencemaran dan bencana yang timbul daripada pembangunan diserahkan pula kepada masyarakat umum. Oleh itu, nelayan yang berada di zon pengorbanan (5) dan pertubuhan masyarakat sivil tempatan menentang keras rancangan yang dikenali sebagai Penang South Reclaimation (PSR) ini. Mereka bersatu untuk menubuhkan “Penang Tolak Tambak”. Sehingga 25 Jun baru-baru ini, mereka mendapat sokongan kira-kira 127,000 orang awam dalam petisyen atas talian untuk menolak penambakan laut.

Rancangan Penang South Reclaimation (PSR) ingin “mewujudkan” 3 buah pulau buatan seluas 4,500 ekar.

Selain kemusnahan ekologi tempatan, hampir 5,000 orang nelayan juga akan terjejas, sehingga mengancam bekalan makanan di kawasan tersebut. Semua pasir yang diperlukan untuk memenuhi penambakan laut seluas lebih daripada 2,000 buah padang bola sepak itu berasal dari Perak. Oleh itu, rancangan ini selain membawa kesan terhadap bahagian selatan Pulau Pinang, aktiviti perlombongan pasir dipercayai juga akan menghakis kawasan pesisir Tanjung Piandang, Kuala Sepetang dan Kuala Kurau.

Sebuah kumpulan yang bernama “Penang Sokong PSR” muncul dalam media sosial dengan tujuan menyangkal kumpulan yang menolak penambakan laut. Kumpulan ini cuba memfitnah Penang Tolak Tambak, termasuk mengelirukan masyarakat dengan mempergunakan hujah bahawa Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) juga menganggap “penambakan laut” sebagai adaptasi perubahan iklim. Sebenarnya, adaptasi yang disebutkan itu merupakan penilaian risiko dan peluang akibat perubahan iklim supaya langkah-langkah pencegahan dan tindak balas terhadap risiko yang berkaitan diambil untuk mengurangkan kesannya kepada masyarakat awam dan memastikan bahawa orang awam masih dapat memenuhi keperluan asas mereka kerana perubahan iklim sudah dan sedang berlaku.

Sekiranya kawasan atau pulau yang sedia ada berhadapan dengan kenaikan paras laut atau ancaman lain yang disebabkan oleh pemanasan global, pendirian asas IPCC ialah penambakan menggunakan pasir atau bahan pengisian lain untuk memperluaskan dan memperdalamkan garis pesisir pantai untuk mengurangkan kerosakan terhadap komuniti yang tinggal di pesisir pantai, bukannya membiarkan segelintir orang membina “pulau baru” untuk menjadi kaya. Kita harus ingat bahawa projek penambakan dan pembinaan gergasi sebegini mewujudkan pelepasan karbon yang hebat dan akan menyebabkan kehancuran alam sekitar dan bekalan makanan serta boleh menyebabkan hakisan tanah yang teruk di beberapa bahagian pesisir pantai Perak, maka ini akan meningkatkan risiko perubahan iklim.

Projek PSR dikendalikan oleh pemaju swasta, tetapi rancangan Kerajaan Negeri adalah menggunakan pulangan daripada penjualan tanah pulau baharu untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion. Sebahagian daripada Pulau A akan dirancang sebagai kawasan perindustrian teknologi hijau. Kenapa Kerajaan Negeri ingin melancarkan projek penambakan untuk membina pulau buatan walaupun masih terdapat tanah yang sesuai digunakan untuk pembangunan kawasan perindustrian teknologi hijau dan kompleks bangunan yang sama di Seberang Perai? Sebabnya sangat mudah. Peranan modal ialah menjana keuntungan sebesar mungkin. Keuntungan jauh lebih lumayan untuk pembinaan kompleks yang sama di sebelah pulau berbanding Seberang Perai.

Kerajaan-kerajaan yang mentadbir negeri Pulau Pinang, sama ada Parti Tindakan Demokratik atau Parti Gerakan Rakyat Malaysia pada zaman Barisan Nasional, telah menumpukan terlalu banyak perhatian terhadap pembangunan di atas pulau. Setelah bertahun-tahun pembangunan, pulau ini sudah penuh sesak dan penciptaan ruang baharu di pulau ini menjadi satu “keperluan”. Pelaburan baharu yang diwujudkan di ruang baharu memastikan bahawa nilai pelaburan dan aset terdahulu di pulau ini terus meningkat supaya mendorong pertumbuhan ekonomi di seluruh Pulau Pinang. Kerajaan Negeri meluluskan projek penambakan pulau-pulau baharu yang akan menghasilkan pelepasan karbon yang amat besar sebagai kosnya, sementara memberitahu dunia tentang kesungguhan mereka terhadap perlindungan alam sekitar dan pembangunan lestari. Adakah ini sesuatu yang dianggap sebagai kewajaran atau kegilaan ekonomi pasaran?

Dari perspektif hubungan antara modal dengan faktor masa dan ruang, hubungan antara Pulau Pinang dan Seberang Perai sama seperti zaman penjajahan Inggeris pada masa lalu, Seberang Perai memainkan peranan sebagai gudang pembekalan makanan bagi penjajahan di sebelah pulau. Seberang Perai pada hari ini masih tidak dapat menarik diri keluar daripada hubungan “tuan-hamba” sebegini, walaupun hubungan ini menjadi semakin kabur, kecuali dalam beberapa keadaan khusus, peranan Seberang Perai akan tetap berperanan sebagai sumber tenaga kerja yang murah dan tempat untuk pembangunan industri sekunder bagi ekonomi Pulau Pinang.

UMNO kembali ke tampuk pemerintahan negeri Melaka selepas “Langkah Sheraton”. Pada bulan April baru-baru ini, UMNO Melaka mengikuti jejak DAP Pulau Pinang untuk menjadi ahli baharu dalam “Kelab Tambak Laut” secara rasmi. Setelah berita buruk tersebut tersebar, seniman-seniman tempatan menggunakan kreativiti mereka untuk menyampaikan tuntutan mereka kepada pihak berkuasa untuk menangguh projek penambakan pantai sepanjang 22 kilometer itu. Salah satu karya dengan lukisan penyu melaungkan slogan “Jangan lah!” dan imbasan kod QR petisyen untuk orang ramai menyertai penentangan terhadap projek penambakan tersebut di sebelah gambar penyu. (foto: FMT)

Oleh sebab harga hartanah yang melambung tinggi di sebelah pulau, rata-rata kelas pekerja jarang mempunyai kemampuan untuk membeli rumah di pulau itu. Ramai orang berulang alik di antara Seberang Perai dan pulau untuk mencari nafkah setiap hari. Manakala pekerja yang mempunyai gaji yang lebih tinggi mungkin menyewa rumah di sebelah pulau supaya mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak, tetapi projek penambakan laut yang membawa kepada peningkatan nilai aset masa depan berkemungkinan merampas pilihan tersebut.

Pelaburan dalam prasarana fizikal dan sosial yang menyebabkan kelebihan secara relatif untuk sektor pengeluaran tertumpu di kawasan berkenaan. Oleh itu, modal pasti tertarik ke kawasan berkenaan dan membawa kepada fenomena pembangunan yang tidak seimbang antara kawasan. Sekiranya tidak muncul sesuatu krisis yang mengganggu hubungan ketidakseimbangan pembangunan kawasan atau wilayah tersebut, maka hubungan “tuan-hamba” dan jurang kekayaan di antara kawasan akan bertambah teruk, kerana seperti biasa, sebahagian besar manfaat yang dijana daripada cara pembangunan sebegini akan mengalir ke arah pemodal dan bukannya pekerja atau rakyat jelata.  

“Krisis” yang disebut di atas merangkumi risiko yang disebabkan oleh perubahan iklim. Jenis “pembangunan penambakan laut yang lestari” ini akan memperdalamkan kesan pemanasan global dan menyebabkan paras laut meningkat. Ini akan membawa kesan buruk kepada pulau-pulau yang baharu dibina, malah mengancam Pulau Pinang dan Semenanjung Malaysia (5). Akhirnya, pihak berkuasa terpaksa memperuntukkan sejumlah wang daripada pembayar cukai untuk meningkatkan daya tahan masyarakat terhadap bencana.

Tambahan pula, ini tidak termasuk lagi pinjaman yang diperlukan untuk membiayai sebahagian pelan induk pengangkutan yang bernilai RM46 bilion yang disebut di atas (6). Hutang ini akan mengunci kekayaan yang dihasilkan pada masa depan dalam tangan pemodal besar. Masa depan telah dianugerah kepada pemodal dengan cara sebegini. Kita terpaksa bekerja keras untuk membayar hutang dan ini merupakan sistem perhambaan hutang yang merupakan sesuatu yang dimiliki eksklusif di bawah sistem kapitalis (1). Keuntungan dan faedah pinjaman adalah milik kapitalis, tetapi hutang dan bencana adalah milik rakyat jelata. Adakah semua ini masih tidak cukup untuk menunjukkan kegilaan sistem kapitalis?

Selain Pulau Pinang, modal yang tertumpu dalam tangan segelintir orang menyusup ke dalam semua bidang kehidupan kita. Kita akan menyaksikan lebih banyak aktiviti penambakan laut, penebangan hutan dan perlombongan di seluruh dunia. Akhir sekali, pandemik COVID-19 membolehkan masyarakat melihat dengan lebih jelas kerapuhan dan ketidakadilan sistem kapitalis di bawah cahaya matahari. Namun, kemungkinan kesan visual ini dapat membangkitkan kesedaran dan tindakan orang ramai untuk berubah masih belum dapat dikenalpasti. Walaupun terdapat banyak gerakan penentangan di seluruh dunia, tetapi kekuatannya masih lemah. Malah kekuatan gerakan sebegini di Malaysia jauh lebih kecil berbanding dengan gerakan lain di dunia.

Masa sedang berlalu, kita sudah berada di era pasca pandemik yang menyaksikan modal sedang kembali berkuasa. Adakah kita akan kembali kepada keadaan seperti biasa dengan hanya mengecat pertumbuhan ekonomi untuk menjadi warna hijau dan terus bergerak maju dalam suara mengagung-agungkan sains serta teknologi sehingga kita lenyap dalam ombak di depan kita?   

**********

Nota:

(1) Untuk maklumat lebih lanjut mengenai pertumbuhan ekonomi hijau dan sistem perhambaan hutang dengan pemanasan global, sila rujuk huraian ringkas dalam rencana ke-7 Siri Pemanasan Global.

(2) Golongan saintis telah mencapai pemahaman sepakat mengenai pemanasan global disebabkan oleh buatan manusia kerana semakin banyak kajian saintifik membuktikan perkara ini. Tetapi sains tidak menolak sebarang kemungkinan berlaku kesalahan. Sekiranya pemanasan global dan perubahan iklim pada akhirnya merupakan satu kesilapan, tetapi langkah pemeliharaan alam sekitar yang diambil berdasarkan kajian saintifik untuk membendung isu berkaitan masih dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhan. Adakah sesiapa yang ingin hidup di Bumi yang penuh pencemaran?

(3) Walmart Inc ialah syarikat peruncitan multinasional yang beribupejabat di Amerika Syarikat. Kecaman utama terhadap Walmart merangkumi amalannya yang mengeksploitasi pekerja, anti-kesatuan sekerja dan membawa kemusnahan alam sekitar. Golongan pencinta alam sekitar melaporkan secara meluas bahawa Walmart menaja pelbagai aktiviti penyangkal iklim dan greenwashing. Perindustrian lain yang diketahui menaja aktiviti serupa termasuk perindustrian petroleum dan Koch Industries.

(4) Secara umumnya, sosialisme, sosial demokrasi dan komunisme digolongkan sebagai kiri dalam spektrum politik. Namun, terdapat organisasi atau negara yang menyebut diri mereka mendukung ideologi kiri tetapi menganjurkan pelbagai dasar yang cenderung ke arah politik kanan. Selain itu, faktor masa dan ruang juga mempengaruhi klasifikasi spektrum politik. Di sepanjang sejarah, kita dapat perhatikan sesuatu tuntutan kiri yang dianggap progresif di kawasan tertentu kelihatan agak sederhana pada hari ini dan menyebabkan tuntutan tersebut jatuh di bahagian tengah dalam spektrum politik. Kerap kali kita mendapati bahawa sesetengah organisasi atau orang perseorangan menunjukkan pemikiran kiri dalam isu atau bidang tertentu, tetapi dalam isu atau bidang berlainan pula menonjolkan pemikiran berhaluan kanan. Secara umumnya, golongan kiri cenderung untuk mengagihkan semula kekayaan, mengenakan cukai yang lebih tinggi terhadap syarikat besar dan mahakaya, campurtangan kerajaan dan kawalselia yang lebih ketat terhadap ekonomi pasaran. Mereka juga menekankan unsur penyertaan rakyat dalam politik dan ekonomi, internasionalisme dan solidariti masyarakat. Manakala golongan kanan ialah pertentangan kepada kiri, iaitu mereka cenderung kepada penswastaan, menyusun sistem percukaian supaya menguntungkan syarikat besar dan mahakaya, mengurangkan perbelanjaan awam dan menyahkawalselia ekonomi pasaran. Mereka juga menekankan dasar yang menjaga kepentingan kelas yang mendominasi yang biasanya terdiri daripada segelintir elit dan kepentingan kaum, etnik serta bangsa tertentu berbanding dengan golongan kiri. Kesan paling buruk daripada dasar sebegini akan mengakibatkan konflik perkauman dan agama di dalam negara atau pengusiran pekerja migran secara ganas.    

(5) Untuk maklumat lebih lanjut mengenai zon pengorbanan dengan pemanasan global, sila rujuk huraian ringkas dalam rencana ke-2 dan ke-3 Siri Pemanasan Global. Terutamanya rencana ke-3 menceritakan satu kisah benar mengenai kerapuhan pulau apabila berdepan dengan serangan daripada pemanasan global dan penyebab pemanasan global itu, iaitu sistem kapitalis. Entah apa perasaan pembaca, terutama pembaca dari Pulau Pinang selepas membaca?

(6) Versi awal Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang merupakan Halcrow PTMP yang ditulis oleh pakar perunding kejuruteraan dari United Kingdom. Halcrow PTMP pada asalnya merangkumi sistem pengangkutan awam yang terdiri daripada rangkaian trem dan bas dengan kos pelaburan dianggarkan kurang daripada RM10 bilion. Apabila pelan tersebut hampir siap, Halcrow PTMP terpaksa memasukkan pembinaan satu terowong bawah laut dan tiga jalan raya utama dengan jumlah kos pelaburan RM27 bilion. Kemudian, versi terakhir yang dianjur oleh beberapa syarikat swasta bercadang untuk mengelakkan rancangan jangka pendek dan sederhana dalam Halcrow PTMP dan sebaliknya memasukkan pembinaan LRT, monorel serta lebuh raya yang menyebabkan kos pelaburan meningkat menjadi RM46 bilion. Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminta kebenaran Kerajaan Persekutuan untuk meminjam RM1 bilion bagi pembinaan lebuh raya dan LRT. Maklumat di atas adalah daripada Utusan Pengguna edisi ke-287 terbitan tahun 2018. Berita yang disiarkan dalam Sinar Harian pada 1 Disember 2020 mendedahkan bahawa pinjaman yang berkaitan adalah RM2 bilion hanya digunakan untuk pembinaan LRT, tetapi ditolak oleh Kerajaan Persekutuan.

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

Siri Pemanasan Global (5): Merah dan Hijau

Siri Pemanasan Global (6): Beli! Beli! Beli!

Siri Pemanasan Global (7): Wabak penyakit perampasan yang tidak terhingga

Siri Pemanassan Global (9): Melangkaui petroleum

Siri Pemanassan Global (10): Pasaran Hijau yang penuh keajaiban

Siri Pemanasan Global (11): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 1)

Siri Pemanasan Global (12): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 2)

Siri Pemanasan Global (13): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 3)

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

10 thoughts on ““Aku tidak percaya pada pemanasan global”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *