Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh S. Arutchelvan

Pencerobohan tanah oleh syarikat pemaju yang dikatakan mempunyai restu daripada Kerajaan Negeri Selangor telah mencetuskan kemarahan lebih 300 orang peneroka dari Bestari Jaya yang sudah mengusahakan tanah di Tanjong Pasir untuk aktiviti pertanian dan penternakan selama lebih 40 tahun.

Tanah ini telah digunakan untuk aktiviti pertanian para peneroka. Mereka bukannya tuan tanah tetapi telah diberikan tanah tersebuk sejak beberapa dekad dahulu untuk tujuan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat. Hari ini, ramai antara mereka telah menjalankan aktiviti ini secara halal dan ini merupakan punca pendapatan mereka.

Tiga generasi peneroka ini telah mengusahakan tanah tersebut untuk aktiviti pertanian dan penternakan di Mukim Bestari Jaya. Tetapi pada awal tahun 2020, Kerajaan Negeri Selangor mewartakan tanah ini kepada syarikat pemaju swasta untuk pembangunan. Kini, syarikat swasta tersebut memberi gangguan kepada semua peneroka dengan memusnahkan tanaman mereka untuk memulakan kerja pembangunan. 

Peneroka-peneroka yang tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Negeri ini telah bercadang untuk mengadakan protes dan menghantar memorandum pada hari ini (29 Oktober 2021) di Bangunan SUK Selangor. Aksi ini adalah untuk meluahkan perasaan dan pandangan mereka. Mereka telah diminta untuk menghentikan tindakan protes ini, namun mereka hanya bersetuju jika kerja-kerja penolakan pokok diberhentikan.

Akhirnya, tindakan protes ini dibatalkan ekoran satu mesyuarat tergempar dibuat oleh Menteri Besar Selangor yang mahukan isu pemberian tanah ini disiasat balik. Ekoran daripada itu, kerja-kerja pemaju juga telah diberhentikan. Ini dikatakan adalah keputusan Kerajaan Negeri Selangor.

Pada hari Khamis (28 Oktober 2021), Juwairiya Zulkifli selaku Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor mengatakan bahawa sebuah Jawatankuasa Siasatan Dalaman (JKSD) telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkaitan pajakan tanah di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya, Kuala Selangor, kepada dua syarikat, iaitu Syarikat Biasan Suria Sdn Bhd dan Syarikat Trillion Project Sdn Bhd. Beliau juga berkata bahawa beberapa pertimbangan sedang dibincangkan bagi memuktamadkan keputusan yang boleh menjamin penyelesaian secara menang-menang untuk semua pihak.

Buat masa ini, pihak peneroka di Tanjong Pasir menyambut baik keputusan ini, tetapi mereka masih tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan solusi menang-menang ini. Kerajaan Negeri sepatutnya memberikan pajakan kepada peneroka asal dan mereka yang telah berusaha di atas tanah tersebut, bukannya memberikan pajakan kepada dua buah syarikat swasta.

Sebelum ini pun, semua permohonan peneroka tanah tersebut untuk mendapatkan hak milik telah ditolak kerana tanah itu adalah rizab sungai. Mengapa Kerajaan Negeri tidak memberikan pajakan sahaja kepada peneroka?

Selain itu, peneroka di tanah ini terdiri dari semua kaum. Jadi, isu perkauman juga tidak boleh dipermainkan. Ini membolehkan para peneroka hari ini dapat bersatu untuk berjuang demi kebaikan bersama sebagai satu keluarga.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *