Siri Pemanasan Global (1)

(foto oleh KT Miller / Polar Bears International)

oleh Brian Khow

Pada 23 Jun 1988, James Hansen, Pengarah Institut Pengajian Angkasa Lepas Goddard (Goddard Institute for Space Studies) di bawah NASA, memberi keterangan dalam sidang Kongres Amerika Syarikat dengan menyatakan bahawa dia “99% percaya bahawa terdapat suatu insiden pemanasan” yang berhubungkaitan dengan perbuatan manusia yang agak ketara, iaitu pelepasan karbon dari sektor industri. Sejak itu, isu pemanasan global telah menjadi tumpuan dunia.

Pada bulan yang sama tahun 1988, para saintis dan pembuat dasar mengadakan Persidangan Dunia tentang Perubahan Atmosfera (World Conference on the Changing Atmosphere) yang berlangsung di Toronto. Para hadirin dalam persidangan tersebut berpendirian bahawa untuk menyelesaikan isu pemanasan global, pelepasan karbon perlu dikurangkan. Ini merupakan kali pertama sasaran untuk pengurangan pelepasan karbon dibincangkan. Pada bulan November 1988, apabila kebanyakan negara mengakui kewujudan ancaman pemanasan global, maka Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)  menubuhkan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (Intergovernmental Panel on Climate Change, IPCC) supaya ia dapat berperanan untuk membekalkan maklumat yang sahih kepada para pembuat dasar.

Pada tahun 1990-an, matlamat dan hala tuju untuk isu perubahan iklim yang ditetapkan dalam pelbagai persidangan yang dianjurkan oleh PBB gagal menangani krisis iklim yang semakin merumitkan. Oleh itu, pada tahun 2015, Persidangan Perubahan Iklim PBB diadakan di Paris mengemukakan Perjanjian Paris. Perjanjian Paris menyatakan komitmen untuk mengawal suhu pemanasan global dalam lingkungan di bawah 2 °C, namum ia dilihat sebagai matlamat yang ditetapkan dalam keadaan terburu-buru. Sejak matlamat mengawal peningkatan suhu global dalam lingkungan di bawah 2 °C dikemukakan semasa Persidangan Iklim di Copenhagen pada tahun 2009, kebanyakan wakil dari negara Afrika menyifatkan ini sebagai “hukuman mati” untuk mereka. Malah, beberapa negara pulau yang berdaratan rendah juga menuntut supaya peningkatan suhu tersebut harus dikawal dalam lingkungan di bawah 1.5 °C, supaya dapat menyelamatkan mereka daripada kemusnahan. Akhirnya Perjanjian Paris memasukkan klausa yang menyatakan bahawa negara-negara anggotanya akan “berusaha bersungguh-sungguh untuk mengehadkan kenaikan suhu dalam lingkungan di bawah 1.5 ° C”, walaupun ia hanya dikemuakan sebagai satu klausa yang tidak terikat.

Dalam  laporan yang bertajuk “Laporan Khas mengenai Pemanasan Global 1.5°C” (Special Report on Global Warming of 1.5 °C, SR15) yang dikeluarkan oleh IPCC pada 8 Oktober 2018, ia menunjukkan bahawa pemanasan global harus dihadkan pada 1.5 °C, supaya dapat mengurangkan kesan buruk terhadap tamadun manusia dan ekosistem berbanding dengan pemanasan pada suhu 2 °C. Kemungkinan untuk mengehadkan pemanasan global pada peningkatan suhu dalam lingkungan 1.5 °C memang dapat dilakukan, sekiranya kita dapat “menurunkan pelepasan karbon dalam skala besar” dan “masyarakat perlu mengalami perubahan yang besar serta mendadak yang tidak pernah dilakukan sebelumnya”.

IPCC mengemukakan ramalan berdasarkan kajian saintifik terbaik daripada para saintis. Walaupun begitu, ia masih perlu dipersetujui oleh negara-negara anggotanya sebelum dilancarkan secara rasmi. Isi kandungan laporan tersebut memetik daripada lebih 6,000 sumber dan disiapkan oleh ratusan orang pengarang serta penyunting. IPCC mendapati bahawa untuk mengekalkan pemanasan di bawah 1.5 °C, langkah-langkah seperti berikut perlu diambil:

a) Pelepasan karbon sedunia perlu dikurangkan separuh pada tahun 2030.

b) Pelepasan karbon sedunia mesti mencapai tahap sifar bersih pada tahun 2050.

c) Semua ekonomi utama perlu memenuhi piawaian seperti di atas.

d) Perubahan masyarakat secara mendadak dan meluas dalam semua aspek yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

Sekiranya kita hanya bergantung kepada dasar-dasar pengurangan pelepasan karbon yang dilaksanakan oleh negara-negara anggotanya pada masa ini, maka kita akan menuju ke keadaan di mana peningkatan paras air laut akan membanjiri bandar-bandar yang terletak di persisiran pantai, terumbu karang menghadapi kepupusan, dan musim kemarau yang berpanjangan akan menghancurkan tanaman secara besar-besaran di seluruh dunia.

Walaupun laporan IPCC mengesahkan bahawa penyelesaian melalui pendekatan teknikal seperti pemungutan “cukai karbon” memainkan peranan tertentu, namun ia tidak dapat mencapai matlamat penurunan pelepasan karbon dengan kadar yang cepat. Padahal, masyarakat perlu melakukan perubahan secepat mungkin, termasuk perubahan cara penjanaan tenaga, cara penanaman makanan, cara pergerakan serta cara pembinaan rumah.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (World Meteorological Organization) menyatakan bahawa dunia kita sedang menuju ke arah peningkatan suhu pemanasan global pada 3-5 °C sebelum penghujung abad ini. Apakah maksudnya? Saya ingin memetik kata-kata daripada Greta Thunberg, seorang aktivis alam sekitar berusia muda yang memahami betapa pentingnya mengawal pemanasan di bawah suhu 1.5 °C, sebagai pengakhiran untuk rencana ini:

“Selagi anda mengkaji isu ini, anda akan faham bahawa kita memerlukan politik baru. Kita memerlukan ekonomi baru berdasarkan belanjawan karbon (carbon budget) yang semakin merosot dan terhad. Tetapi ia masih tidak mencukupi. Kita memerlukan cara permikiran baru… Kita perlu berhenti daripada bersaing antara satu sama lain. kita perlu mula bekerjasama, dan berkongsi sumber planet ini dengan cara yang adil dan saksama.”

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

Siri Pemanasan Global (5): Merah dan Hijau

Siri Pemanasan Global (6): Beli! Beli! Beli!

Siri Pemanasan Global (7): Wabak penyakit perampasan yang tidak terhingga

Siri Pemanasan Global (8): “Aku tidak percaya pada pemanasan global”

Siri Pemanassan Global (9): Melangkaui petroleum

Siri Pemanassan Global (10): Pasaran Hijau yang penuh keajaiban

Siri Pemanasan Global (11): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 1)

Siri Pemanasan Global (12): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 2)

Siri Pemanasan Global (13): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 3)

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

11 thoughts on “Sejarah pemanasan global

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *