Siri Pemanasan Global (3)

oleh Brian Khow

Sebuah pulau yang terpencil di tengah-tengah Lautan Pasifik Selatan boleh dijadikan contoh untuk keganasan yang disebabkan oleh pemanasan global. Marilah kita mendalami kisah benar mengenai pulau ini yang merupakan mangsa kapitalisme global.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, negara pulau yang dikenali sebagai Republik Nauru, yang hanya mempunyai keluasan 21 kilometer persegi ini, sudah didiami oleh 10 ribu orang penduduk. Selepas mencapai kemerdekaan, ia dianggap seperti Dubai hari ini yang memiliki punca kekayaan yang menakjubkan.  Associated Press pernah menggambarkan warga Nauru dalam rencananya pada tahun 1985 sebegini, “Pendapatan negara kasar (PNK) per kapitanya adalah tertinggi di dunia… malah lebih tinggi daripada negara-negara pemerintahan Amir yang mengeluarkan minyak di Teluk Parsi.”

Kekayaan Nauru berpunca daripada persekitaran geologinya yang luar biasa. Dalam persekitaran yang berangin dan berombak, ia menjadi tempat persinggahan kegemaran untuk burung hijrah. Guano (iaitu tahi burung) yang tertumpu atas terumbu karang lama-kelamaan akan menjadi keras sehingga terbentuknya kawasan darat yang luas. Penduduk Nauru telah tinggal di atas “tahi burung” yang keras ini dengan mengamalkan cara hidup penangkapan ikan dan burung camar hitam sejak beribu-ribu tahun dahulu. Pengunjung Eropah yang paling awal mendarat di situ telah menggambarkannya sebagai sebuah “Pulau Bahagian”.

Nasib pulau ini telah mengalami perubahan apabila seorang pegawai kerajaan penjajah mendapati bahawa batu “tahi burung”, iaitu guano, di sekitar kawasan ini mempunyai kandungan kalsium karbonat yang hampir tulen yang boleh dijadikan baja pertanian yang sangat berharga tinggi. Oleh itu, syarikat-syarikat galian dari negara seperti United Kingdom, Jerman, Australia, dan New Zealand telah mula beroperasi di situ, kononnya untuk embangunkan ekonomi Nauru secara pesat, tetapi pada masa yang sama ia juga bagaikan menggali kubur sendiri.

Rancangan golongan penjajah untuk Nauru amat mudah, iaitu mengisarkan hasil “tahi burung” di situ sehingga menjadi serbuk halus yang dapat menyuburkan tanah di negara Australia dan New Zealand, dan kemudiannya membiarkan pulau kecil ini seperti benda yang dipakai buang. Atas nama “kemajuan” yang dibawa oleh pembangunan perindustrian, sebuah pulau yang terpencil boleh dikorbankan begitu sahaja. Apabila Nauru mencapai kemerdekaan pada tahun 1968, warga pulau ini ingin menterbalikkan rancangan sebegini dengan membuat pelaburan hartanah yang nampaknya stabil di Australia dan Hawaii, melalui hasil keuntungan daripada perlombongan Guano tersebut, namun malang tidak berbau, pelaburan itu gagal pada akhirnya.

Pada masa yang sama, wang mudah yang diperolehi sejak beberapa generasi melalui perlombongan guano telah memusnahkan kehidupan dan kebudayaan warga Nauru. Gejala politik rasuah; kemabukan semasa memandu menjadi punca kematian utama; jangka hayat purata rakyat terlalu rendah; ramai orang mengalami masalah obesiti yang menyebabkan separuh daripada orang dewasanya menghidapi penyakit kencing manis jenis 2. Semua ini kebanyakannya disebabkan oleh masalah makanan pemprosesan yang diimport.

Kini, negara ini sedang mengalami masalah “kemuflisan berganda”, di mana 90% persekitaran pulau ini dihancurkan oleh aktiviti perlombonganm sesuatu yang dianggap muflis dari segi ekologi; dan masalah hutang sekurang-kurangnya USD800 juta yang dianggap muflis dari segi kewangan. Namun, bukan masalah ini sahaja yang dihadapi oleh Nauru. Hakikatnya, negara pulau ini sedang menghadapi krisis yang wujud bukan disebabkan olehnya, keadaannya amat lemah. Antaranya masalah yang dihadapi, termasuklah kemarau, pengasidan air laut dan kenaikan paras laut yang disebabkan oleh pemanasan global.

Sejak tahun 1993, paras laut telah meningkat pada kadar 5 milimeter setiap tahun dan kemungkinan ia akan menjadi lebih tinggi pada masa akan datang. Kemarau yang teruk telah mengakibatkan kekurangan sumber air tawar. Persekitaran pulau ini telah dihancurkan teruk sekali. “Menetap di kampung halaman tetapi rindu akannya” telah menjadi perasaan penduduk pulau ini dan juga penduduk di kawasan zon pengorbanan yang lain.

Dalam Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1997, di mana Protokol Kyoto diterima, Presiden Nauru pada masa itu, Kinza Clodumar, berkata dalam ucapannya bahawa negaranya yang sedang mengalami masalah klaustrofobia kolektif (ketakutan pada tempat tertutup): “Kami terperangkap di mana ketandusan tanah berada di belakang pulau dan di depan pulau pula bertembung dengan paras laut yang semakin tinggi yang menakutkan; air tersebut bagai banjir besar yang dinyatakan dalam Kitab Injil.” Ini dia kesan visual salah satu contoh “ekonomi didirikan di atas pembangunan yang mencemari alam”.

Secara jelasnya, ini gambaran akibat tempat bumi dibangunkan dengan kesan pencemaran yang teruk. Oleh sebab perlombongan fosforus, Pulau Nauru mengambil tempoh masa satu abad untuk hilang dari dalamannya secara perlahan-lahan, sekarang ini oleh sebab penggalian bahan api fosil, ia sedang hilang dari luar.

WikiLeaks pernah mendedahkan kenyataan seorang pegawai kerajaan Amerika Syarikat mengenai masalah yang wujud pada pulau ini, “Nauru sendiri seperti pemboros yang tidak pernah bimbang akan masa depannya”. Namun, situasi sebegini bukan hanya wujud di Nauru saja, malah ia juga gambaran keseluruhan sistem politik dan ekonomi serta budaya di dunia yang sentiasa membazirkan sumber alam yang terhad dan tidak pernah risau akan hari keesokan.

Seorang kanak-kanak sedang berjalan melepasi pintu pagar pusat tahanan pelarian yang dibina di Pulau Nauru oleh Kerajaan Australia. (foto: Paul Farrell / The Guardian)

Untuk menambah pendapatan yang amat diperlukannya, Nauru bersetuju untuk menjadi pusat tahanan pelarian di luar pesisir bagi kerajaan Australia. Dalam program “Penyelesaian Pasifik” (Pacific Solution), tentera laut dan kastam Australia akan memintas bot-bot yang dipenuhi dengan pelarian dan menghantar mereka ke Nauru atau sekitar Kepulauan Pasifik yang di terletak 3,000 kilometer dari Australia. Sebaik tiba di Nauru, pelarian-pelarian ini (kebanyakannya datang dari negara Afghanistan, Sri Lanka, Iraq, Iran dan Pakistan) akan ditahan dalam kem tahanan yang penuh dengan tikus dan dikawal rapi oleh pengawal. Mereka akan dikurung dalam tapak perkhemahan yang penuh sesak serta bersuhu panas. Pelarian-pelarian tersebut boleh dikurung di dalam pulau ini sehingga lima tahun dan nasib mereka tidak menentu. Inilah caranya Kerajaan Australia untuk menyekat kemasukan pelarian.

Kerajaan Australia dan Nauru cuba sedaya upaya untuk mengelakkan maklumat mengenai kem tahanan ini dibongkarkan. Walau bagaimanapun, ia tetap terbongkar. Dalam gambar video yang terbocor keluar, terpaparnya para pelarian yang ditahan tersebut menjerit-jerit “kami bukan binatang”, di samping pelbagai laporan berita mengenai mogok lapar, cubaan bunuh diri, dan sebagainya. Amnesty International menyifatkan perbuatan Nauru adalah “kejam” dan “keji”.

Pada tahun 2014, Mark Isaacs, seorang bekas pekerja daripada Salvation Army yang bertugas di kem tersebut, menulis sebuah buku berjudul “Yang Tidak Diingini” (The Undesirables) mendedahkan selanjutnya rahsia yang terselindung itu. Dia menulis mengenai kisah golongan lelaki yang terselamat daripada perang dan pelayaran berbahaya itu kehilangan keinginan untuk terus hidup di Nauru. Salah seorang pelarian menelan cecair pencuci untuk membunuh diri; seorang lagi menjadi gila dan menyalak seperti anjing. Mark Isaacs mengibaratkan kem pelarian tersebut sebagai “kilang kematian”, di mana ia mengisarkan mereka yang berkeazaman menjadi seperti serbuk tepung. Apa yang dialami oleh Pulau Nauru ini memang adalah ia dihancurkan seperti serbuk tepung, sesuatu yang amat menyedihkan. Namun, perkara yang turut menyedihkan adalah penduduk pulau yang bakal menjadi pelarian akibat krisis iklim pada masa akan datang, kini sedang diupah untuk menjadi penjaga kepada kem tahanan pelarian politik dan ekonomi.

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

Siri Pemanasan Global (5): Merah dan Hijau

Siri Pemanasan Global (6): Beli! Beli! Beli!

Siri Pemanasan Global (7): Wabak penyakit perampasan yang tidak terhingga

Siri Pemanasan Global (8): “Aku tidak percaya pada pemanasan global”

Siri Pemanassan Global (9): Melangkaui petroleum

Siri Pemanassan Global (10): Pasaran Hijau yang penuh keajaiban

Siri Pemanasan Global (11): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 1)

Siri Pemanasan Global (12): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 2)

Siri Pemanasan Global (13): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 3)

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

9 thoughts on “Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *