Siri Pemanasan Global (5)

oleh Brian Khow

Dalam setiap zaman, sesuatu warna seolah-olah mewakili sesuatu perkara yang tertentu. Contohnya, dalam buku berjudul “Merah dan Hitam” (Le Rouge et le Noir), tulisan Stendhal yang terkenal itu telah menggunakan nama warna dalam karya sasteranya untuk mewakili latar belakang penulisannya. Pada masa itu, revolusi borjuis Perancis telah menemui kegagalan. Keinginan penulis untuk mengagung-agungkan Napoleon dan mengecam zaman kegelapan pemulihan monarki Bourbon membuatkannya menggunakan warna merah yang melambangkan pertumpahan darah dalam Revolusi Perancis dan warna hitam yang merujuk kepada jubah paderi yang melambangkan kekuasaan gereja dalam kerajaan feudal lama. 

Warna merah yang membawa semangat revolusi pada awalnya, telah menjadi simbol gerakan politik kelas pekerja yang ingin membina sebuah sistem kemasyarakatan yang bermanfaat kepada golongan majoriti; manakala aliran politik yang menumpu pada isu-isu alam sekitar selalunya diwakili dengan warna hijau (1). Kedua-duanya kelihatan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain. Tetapi adakah ini benar? Patutkah isu-isu “merah” dan “hijau” ditangani secara berasingan? Isu mana yang lebih penting?

Era perdagangan bebas global (Gambar oleh Chad Crowe / WSJ)

Isu pemanasan global merupakan salah satu krisis paling teruk yang dihadapi oleh umat manusia pada hari ini.

Sebelum zaman neoliberalisme (2), peningkatan pelepasan karbon telah menurun dari 4.5% setahun pada tahun 1960-an kepada sekitar 1% setahun pada tahun 1990-an. Namun, pada tahun 2000 hingga 2008, kadar pertumbuhan pelepasan karbon telah mencapai 3.4% setahun, jauh melebihi jangkaan IPCC (Intergovernmental Panel on Climate Change) pada masa itu. Krisis kewangan tahun 2009 menyebabkan sedikit penurunan pelepasan karbon, tetapi malangnya, ia mula memecut sehingga mencapai satu rekod terbaru, iaitu 5.9% pada tahun 2010.

Akhirnya, pada tahun 2014, IPCC mengakui kebenaran mengenai kesan globalisasi terhadap perubahan iklim dalam laporan penilaiannya yang kelima bahawa “Jumlah pelepasan karbon dioksida daripada aktiviti manusia terus meningkat, sebahagiannya datang daripada proses pengeluaran komoditi untuk perdagangan antarabangsa.” Pada ketika itu, badan yang mendorong perdagangan bebas di peringkat antarabangsa, Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), sudah dibentuk hampir 20 tahun. 

Kenyataan mengenai “letupan pelepasan karbon pada awal abad ke-21” oleh seorang pakar sejarah arang batu dari Sweden yang bernama Andreas Malm, telah menimbulkan kebimbangan mengenai perkara ini. Ketika negara China menjadi “kilang dunia”, negara itu juga menjadi “cerobong dunia” yang melepaskan asap dan jelaga pada masa yang sama. Sejak tahun 2007, China bertanggungjawab terhadap dua pertiga peningkatan tahunan pelepasan karbon sedunia. Dari tahun 2002 hingga 2008, 48% daripada jumlah pelepasan karbon China berkaitan dengan sektor pembuatan untuk eksport.

Sudah tentu, ini bukan sesuatu yang unik bagi negara China. Semua negara sedang membangun, termasuk Malaysia, mengamalkan model pembangunan yang bertemakan “pantas, kotor, berorientasikan eksport” tersebut. Perjanjian perdagangan antarabangsa merupakan salah satu puncanya. Selain itu, dalam banyak senario (tidak termasuk China), ketika Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia memberi pinjaman kepada negara-negara miskin untuk tujuan pembangunan, syarat tambahan yang dikemukakan adalah negara peminjam mesti mengamalkan dasar ekonomi neoliberal. Ini juga merupakan salah satu sebab wujudnya fenomena ini. Di samping itu, pelajar-pelajar elit, seperti mereka dari Universiti Harvard, diajar untuk menyanjung konsep ekonomi neoliberal. Selepas tamat pengajian, mereka sering tidak dapat melepaskan diri daripada kerangka pemikiran neoliberal dan seterusnya mempengaruhi dasar negara pada masa depan.

Faktor-faktor di atas menjadi pendorong abadi untuk pertumbuhan ekonomi berterusan. Ini merupakan sistem perdagangan yang direka pada tahun 1980-an dan 1990-an, khusus untuk membolehkan syarikat multinasional sentiasa menikmati kebebasan berniaga di seluruh dunia, dan mencari tenaga kerja yang paling murah dan mudah dieksploitasi di seluruh dunia.

Penjelajahan pencarian sumber manusia ini telah melalui kilang peras tenaga di zon pemprosesan eksport di Mexico dan Amerika Tengah, dan bersinggah lama di Korea Selatan. Namun, pada penghujung tahun 1990-an, penjelajahan ini sampai ke China. Gaji pekerja di negara itu amat rendah dan kesatuan pekerja ditindas dengan kejam. Kerajaan negara China sudi melabur dana yang sangat banyak dalam infrastruktur seperti pembinaan pelabuhan moden, sistem jalan raya yang komprehensif, stesen penjana kuasa arang batu dan empangan besar supaya memastikan kilang pembuatan sentiasa beroperasi dan hasil pengeluaran dapat dihantar ke kapal kontena dengan segera. Namun, apabila gaji buruh di China meningkat, syarikat multinasional mula mengalihkan perhatian mereka ke sasaran seterusnya, iaitu India dan Bangladesh.

Impian untuk penganut perdagangan bebas, pada masa yang sama juga mimpi buruk kepada iklim. Kenapa? Seperti yang dikatakan oleh Andreas Malm, “Memburu tenaga kerja yang murah dan berdisiplin berkaitan dengan peningkatan pelepasan karbon dioksida.” Kapitalis bersedia untuk memeras pekerja secara keterlaluan hanya untuk keuntungan beberapa sen sehari, dan tindakan sebegini juga akan membakar timbunan bukit arang batu, tetapi mereka tiada keinginan untuk membayar satu sen pun untuk mengawal pencemaran, hanya kerana ini merupakan cara pengeluaran yang paling murah.

Dari tahun 1995 hingga 2000, penurunan penggunaan arang batu berlaku di China walaupun jumlahnya tidak banyak, tetapi pembangunan industri pembuatan yang pesat menyebabkan penggunaan arang batu meningkat lagi. Walaupun matlamat syarikat yang memindahkan sektor pembuatan ke China hanya kerana permintaan untuk buruh murah, bukan bertujuan untuk meningkatkan pelepasan karbon, tetapi hakikatnya, buruh yang dieksploitasi dan Bumi yang dieksploitasi datang dalam pakej yang sama. Ketidakstabilan iklim merupakan produk yang dihasilkan oleh kapitalisme global yang dinyahkawalselia.

Kedua-dua isu pencemaran alam sekitar dan penghakisan hak buruh merupakan masalah yang sentiasa wujud sejak dari awal Revolusi Industri. Namun, pada masa lalu, apabila pekerja berorganisasi untuk menuntut gaji yang lebih tinggi atau apabila penduduk di bandar bersatu untuk menuntut udara dan air yang bersih, secara umumnya, syarikat korporat terpaksa memperbaiki keadaan kerja dan mematuhi piawaian persekitaran yang lebih ketat.

Namun, kemunculan perdagangan bebas telah membawa perubahan. Oleh kerana hampir semua halangan bagi peredaran modal dihapuskan, syarikat korporat dapat beredar ke tempat lain setiap kali kos baginya meningkat, di mana sama ada disebabkan oleh gaji meningkat atau peraturan kawalseliaan pencemaran yang ketat. Inilah merupakan sebab mengapa industri pembuatan gergasi meninggalkan Korea Selatan dan berpindah ke China pada akhir tahun 1990-an dan kemudian berpindah ke Bangladesh dan negara-negara lain. Walaupun pakaian, barangan elektronik dan perabot kita mungkin dihasil dari China, tetapi model ekonomi itu adalah berasal dari Amerika Syarikat.

Perdagangan bebas tidak hanya menimbulkan krisis kepada ekonomi tempatan dan petani kecil, tetapi juga mempengaruhi atmosfera ekologi semula jadi. Kapal kontena, pesawat kargo gergasi dan lori treler yang membawa bahan mentah dan komoditi berulang-alik di seluruh dunia menelan bahan bakar fosil dan mengeluarkan gas rumah hijau. Dalam sepanjang proses pengeluaran dan penggunaan, komoditi murah yang hanya berfungsi sebagai alat pengganti dan tidak dapat diperbaiki, telah menghabiskan banyak sumber yang tidak boleh diperbaharui dan mengeluarkan sisa-sisa yang tidak dapat ditampung oleh Bumi.

Model pengeluaran ekonomi seperti ini membawa pembaziran yang amat besar. Satu kajian pada tahun 2011 yang diterbitkan oleh Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America (PNAS USA) mendapati bahawa pelepasan karbon oleh negara maju menjadi stabil disebabkan perdagangan antarabangsa membolehkan negara maju memindahkan industri pembuatan pencemaran tinggi mereka ke negara lain seperti China. Komoditi yang dihasilkan di negara sedang membangun tetapi digunakan di negara maju, mengeluarkan karbon sebanyak enam kali lebih daripada karbon yang telah dijimat di negara maju. Perdagangan bebas mengakibatkan rakyat di negara maju kehilangan pekerjaan, pada masa yang sama, golongan pekerja di negara sedang membangun diperas dengan teruk dan pencemaran di seluruh dunia menjadi lebih terancam.

Isu buruh dan alam sekitar serta kebanyakan isu-isu lain, seperti isu gender, perkauman atau hak asasi manusia, berkaitan rapat antara satu sama lain. Namun, kita sering melayan dan menangani isu-isu yang berbeza ini secara berasingan tanpa berfikir lanjut, akhirnya membawa implikasi teruk kepada masalah tersebut. Pencinta alam sekitar tidak dapat menyelamatkan Bumi ini dengan diri sendiri. Mereka memerlukan kerjasama orang lain, terutamanya kelas pekerja yang majoriti. Sekiranya perjuangan kelas pekerja hanya menuntut kenaikan gaji dan jaminan pekerjaan secara umum tetapi tidak memahami malapetaka yang disebabkan oleh pencemaran dan pemanasan global, maka visi perjuangan sebegini akan terlalu cetek.   

Isu “merah” dan “hijau” sebenarnya merupakan dua aspek penampilan masalah penindasan yang berasal daripada sistem yang sama. Dapatkah semua kumpulan progresif yang ada keinginan untuk mencabar status quo, sama ada dari “merah”, “hijau” atau sektor berlainan, bersatu untuk membangunkan visi perjuangan bersama untuk masa depan semua umat manusia, supaya membina satu dunia yang lebih inklusif dan lestari?

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Nota:

(1) Secara umum, tuntutan politik kelas pekerja sentiasa diwakili oleh warna merah, manakala warna hijau mewakili tuntutan politik gerakan alam sekitar pada masa kini, tetapi ini tidak bermaksud ia sentiasa sebegini. Sebagai contoh, warna hijau juga mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atau dianggap sebagai warna yang mewakili agama Islam dalam erti kata yang luas.

(2) Sila merujuk kepada rencana ke-4 dalam Siri Pemanasan Global untuk pengenalan ringkas tentang neoliberalisme dan Keynesianisme.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

5 thoughts on “Merah dan Hijau

  1. Bersetuju bahawa negara-negara membangun di mana kemudahan pembuatan telah ditempatkan semula dari negara maju akhirnya memancarkan lebih banyak karbon dioksida ke atmosfera.

    Berkenaan dengan China, sebab utama mengapa ia sangat bergantung pada arang batu untuk elektriknya adalah kerana arang batu banyak terdapat di China.

    Namun, China telah membuat langkah untuk mengurangi pergantungannya pada arang batu sebagai sumber tenaga utama untuk penjanaan elektrik dan memperluas jumlah ladang suria dan angin, dengan tujuan untuk menjadi karbon neutral pada tahun 2060.

    Wind, solar to account for 11% of power use in China by end 2021: proposal
    By Global Times Published: Apr 19, 2021

    https://www.globaltimes.cn/page/202104/1221427.shtml

    Selain solar, China juga telah membangun ladang angin, pembangkit panas bumi, sedang berusaha mengembangkan loji tenaga nuklear berbahan thorium dan berusaha mengembangkan tenaga peleburan sebagai alternatif untuk bahan bakar fosil.

    China juga telah mengembangkan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi berkuasa elektrik yang memancarkan bukan karbon dan yang boleh menjadi alternatif yang sesuai untuk perjalanan udara yang menghasilkan pelepasan karbon.

    Bagi kapal kontena berkuasa diesel dan kapal tangki minyak yang memudahkan perdagangan menyumbang pelepasan karbon, bagaimana dengan menukarnya menjadi tenaga nuklear seperti kapal tentera laut.

    Bagi negara-negara membangun yang bersaing untuk pelaburan langsung asing dari negara-negara maju, jika PSM memenangkan kekuasaan di Malaysia, apakah pemerintah PSM akan dapat menolak FDI, ketika memberikan pekerjaan kepada rakyat Malaysia?

    Sekiranya standard persekitaran yang lebih ketat mendorong FDI ke negara jiran dan ada pengangguran, apa yang akan dilakukan oleh kerajaan PSM?

    Juga, adakah pemerintah PSM akan menolak untuk berdagang, kerana kapal kontena menyumbang kepada pelepasan karbon?

    Juga, adakah pemerintah PSM akan menolak untuk berdagang, kerana kapal kontena menyumbang kepada pelepasan karbon?

    Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet dan kebangkitan dunia unipolar dengan AS sebagai hegemon tunggal, tinggal negara-negara sosialis seperti China, Vietnam. Laos dan Nepal, yang bermula dari pangkalan teknologi rendah yang sebahagian besarnya agraria harus bergantung pada FDI untuk menyediakan pekerjaan bagi orang-orang mereka, membangun pangkalan industri mereka dan membawa masuk teknologi canggih asing dari mana mereka dapat belajar dan berkembang, dan China telah menjadi yang paling berjaya dalam mempelajari dan mengembangkan teknologi canggih yang ditanam di rumahnya.

    Sekiranya tidak kerana sekatan ekonomi imperialis AS yang kejam terhadap Cuba, dia juga akan menyambut FDI dan mengembangkan hubungan perdagangan dengan semua negara, yang sama untuk Venezuela. Walaupun Cuba mempunyai industri bioperubatan bertaraf dunia, namun dia tidak mempunyai cara dan sumber untuk menghasilkan semuanya sendiri dan masih memerlukan import teknologi dan peralatan asing.

    Sejak awal, Kesatuan Soviet juga harus melaksanakan Dasar Ekonomi Baru yang membolehkan industri kapitalis beroperasi di bawah pengawasan Parti Komunis. Seperti yang anda tahu, Kesatuan Soviet juga bermula dari pangkalan agraria yang sangat mundur dan perlu membina asas perindustrian dan teknologinya agar dapat memberikan manfaat sosialisme kepada rakyatnya.

    Marx dan Engels meramalkan bahawa pekerja di negara industri maju akan memberontak dan membangun sosialisme dan kemudian memegang alat pengeluaran maju untuk memenuhi keperluan masyarakat, bukan keuntungan swasta. Namun, kerana imperialisme kapitalis, lokasi eksploitasi yang paling kejam beralih ke jajahan yang sebahagian besarnya agraria, dan di mana sosialis dan komunis berkuasa melalui memimpin perjuangan anti-kolonial, mereka mewarisi ekonomi yang mundur, sebahagian besarnya agraria dan dia membina dari sana.

    Rom tidak dibina dalam sehari dan inilah realiti material yang dihadapi oleh semua negara sosialis di dunia sekarang.

    Terlalu sering saya lihat bahawa parti dan kumpulan kiri di negara-negara di mana mereka tidak berkuasa atau sangat jauh dari kekuasaan cenderung, terutama di barat, sering cenderung mengharapkan negara-negara sosialis yang benar-benar ada kerana tidak sempurna menurut sosialisme buku, ketika mereka pemerintah sedang berjuang untuk menavigasi arah negara masing-masing dalam dunia yang sebahagian besarnya kapitalis dan imperialis, dan harus membuat kompromi sepanjang jalan untuk bertahan, berkembang dan berkembang untuk kepentingan rakyat mereka.

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s