Siri Pemanasan Global (11)

oleh Brian Khow

Detik yang bahagia

Sejak kecil lagi, kita telah diberitahu bahawa kemajuan teknologi atau inovasi boleh menyelesaikan segala masalah. Masalah seperti kemurungan emosi, kadar pengeluaran perindustrian, perebatasan pasaran komersial, jurang antara yang kaya dan yang miskin, perubahan iklim dan sebagainya, semuanya dapat diatasi melalui sains dan teknologi.

Disebabkan oleh perkembangan kemajuan sains dan teknologi yang pesat di bawah kapitalisme perindustrian, sebahagian daripada penduduk Bumi telah menikmati kehidupan material yang baik. Perasaan kaku yang disebabkan oleh lebihan material dan kekayaan telah menyebabkan ramai orang menganggap bahawa ketidakpastian dalam alam semula jadi telah hilang atau dapat dikawal dengan perkembangan sains. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita baru dapat merasa isyarat serangan balas alam semula jadi semakin hebat akibat aktiviti manusia sendiri. Walau bagaimanapun, tanggapan “sains dan teknologi merupakan penyelesaian segala masalah” masih tertanam kukuh dalam arus perdana di bawah hebahan kebanyakan media dan buku teks.

Pelan B: Geoengineering (kejuruteraan bumi)

Satu berita telah menarik perhatian saya daripada kesibukan harian. Bari-baru ini, Pakistan mengalami musim panas dengan suhu purata mencecah melebihi 50°C. Pencairan glasier menyebabkan banjir terbesar yang diibaratkan oleh kerajaan Pakistan hanya berlaku dalam Kitab Suci. Satu pertiga daripada negara itu dimusnahkan oleh air banjir. Lebih 1,000 orang terkorban dalam banjir ini. Kerajaan Pakistan menuduh bahawa pelepasan karbon oleh negara maju telah membawa malapetaka kepada negara mereka sedangkan Pakistan hanya menyumbang kurang daripada 1% pelepasan karbon sedunia.

Memandangkan negara maju yang mempunyai kewajipan moral untuk mengambil langkah-langkah penyahkarbonan yang sebenar tetapi menolak untuk berbuat demikian atau hanya memilih tindakan yang tidak berkesan manakala kebanyakan negara sedang membangun juga enggan mengorbankan peluang “pembangunan” mereka untuk melaksanakan langkah-langkah penyahkarbonan, maka terdapat beberapa organisasi menyeru bahawa sudah tiba masanya untuk menyediakan Pelan B.

Walau bagaimanapun, inisiatif Pelan B, iaitu campur tangan terancang terhadap sistem iklim untuk mengatasi kesan pemanasan global, telah pun bermula seperti yang ditunjukkan dalam satu laporan pada tahun 1965. Apabila “Lembaga Penasihat Saintifik” Presiden Amerika Syarikat memberi amaran kepada Presiden Lyndon Baines Johnson tentang perubahan iklim, pengarang pada ketika itu tidak menyentuh tentang cara mengurangkan pelepasan karbon, tetapi satu-satunya pilihan yang dipertimbangkan ialah campur tangan dengan penggunaan teknologi.

Kawasan perumahan yang musnah akibat banjir di wilayah Sindh yang terletak di bahagian tenggara Pakistan. (foto: UNICEF/Zaidi)

Sebuah laporan yang diterbitkan oleh Royal Society pada tahun 2009 menyeru kerajaan UK supaya memberikan sumber yang mencukupi untuk menjalankan kajian tentang kaedah geoengineering yang terbukti paling berkesan untuk menangani pemanasan global. Dua tahun kemudian, The Royal Society mengumumkan bahawa campur tangan kejuruteraan di peringkat global secara besar-besaran untuk menghalang sebahagian sinaran matahari “mungkin merupakan satu-satunya pilihan untuk mengurangkan suhu planet kita dengan pantas pada ketika krisis iklim yang terdesak”. Walau bagaimanapun, apa yang dapat kita teliti pada akhirnya ialah kepercayaan bahawa “sains dan teknologi merupakan penyelesaian segala masalah” membantu dalam mengembalikan keyakinan diri orang ramai daripada kekecewaan, malah kajian kejuruteraan iklim telah menjadi bidang inovasi saintifik yang menarik dan belum diterokai, jauh lebih untuk menyelamatkan kemanusiaan daripada hangus terbakar.

Terdapat pelbagai cara untuk menghalang cahaya matahari daripada sampai ke permukaan Bumi secara langsung, yang lebih dikenali sebagai “Pengurusan Sinaran Suria” (Solar Radiation Management, SRM) dalam istilah geoengineering, termasuk “cermin angkasa lepas” yang penuh dengan keunsuran sci-fi untuk memantulkan cahaya matahari kembali ke angkasa lepas. Satu kaedah lagi ialah “pembenihan awan”, iaitu melalui kemudahan seperti kapal atau menara tinggi untuk menyembur air laut ke udara, dengan itu menjana lebih banyak awan atau membolehkannya bertahan lebih lama supaya dapat memantulkan cahaya.

Pilihan geoengineering lain: “penyuburan lautan” dengan serbuk besi supaya meningkatkan taburan alga dengan pesat, fenomena ini dikenali sebagai ledakan alga yang dapat membantu dalam penyerapan karbon; meliputi padang pasir dengan papan putih bersaiz besar untuk memantulkan cahaya matahari; membina mesin untuk mengasingkan karbon daripada udara. Pada tahun 2012, seorang usahawan Amerika Syarikat yang bernama Russ George membuang sebanyak 120 tan serbuk besi daripada bot nelayan yang disewanya ke perairan luar pesisir wilayah British Columbia, Kanada.

Kebanyakan laporan berita menggambarkan George sebagai seorang jurutera bumi yang “penyangak” (rogue) kerana eksperimen tersebut berisiko tinggi di mana penyuburan laut boleh mewujudkan kawasan zon mati oleh sebab kekurangan oksigen dan pelepasan bahan bertoksik ke dalam air, malah berpotensi mengubah corak penghijrahan hidupan laut. Tindakannya telah menghasilkan ledakan alga berkeluasan kira-kira sebesar negeri Selangor dan Negeri Sembilan di kawasan perairan tersebut. Manakala pembinaan mesin pemisah karbon berkait rapat dengan segelintir golongan mahakaya seperti Bill Gates dan pertandingan “Cabaran Bumi” yang dilancarkan oleh Richard Branson.

Pelbagai jenis Geoengineering atau Climate Engineering (Kejuruteraan Iklim). Teknologi yang menghalang cahaya matahari: cermin angkasa lepas (space mirrors), Pengurusan Sinaran Suria (SRM) dan pembenihan awan (cloud seeding); teknologi yang menghasilkan ledakan alga: penyuburan lautan dengan serbuk besi (iron fertilization) dan julang air buatan (artificial upwelling); teknologi pemisahan karbon (CO2 Capture and Storage) yang terdiri daripada mesin pemisah karbon dan kemudahan penyimpanan atau “cara yang lebih semula jadi” seperti penghutanan semula dan penyediaan singki karbon biologi. (grafik: Rita Erven/Kiel-Earth-Institute, harvard.edu)

Kekerjasama adiwira untuk membina bahtera

Masyarakat kapitalis menganggap persaingan antara kelas, negara dan individu sebagai norma, malah tanggapan sebegini disemai dalam minda rakyat melalui pelbagai cara dan media. Pihak yang kalah dalam persaingan ini, tambahan pula dengan kemunculan pembahagian kerja dan sejumlah besar orang tanpa alat pengeluaran (biasanya dipanggil kelas pekerja) (nota 1) dalam masyarakat kapitalis, mereka terpaksa bergantung kepada pihak yang menang untuk kelangsungan hidup. Jika dibiarkan persaingan yang penuh kemusnahan ini terus berlaku, kekayaan akan semakin tertumpu dalam tangan sekumpulan kecil orang atau syarikat. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat sebenarnya lebih suka monopoli berbanding dengan persaingan dan mereka akan menggunakan hak keistimewaan sosial dan persetujuan sosial yang dikuasai mereka untuk mencapai matlamat ini.

Ciri-ciri ekonomi yang unik ini, seperti kelas pekerja, pembahagian kerja, persaingan, kebergantungan, pemusatan kekayaan dan monopoli, akan merebak ke dalam masyarakat, menyebabkan manusia berasa terasing dan lemah. Pada masa yang sama, kebanyakan syarikat akan cuba sedaya upaya untuk mencipta imej kewiraan mereka sendiri. Memang ramai orang menerima naratif sebegini, iaitu pemilik syarikat dianggap sebagai pihak yang memiliki kekuasaan secara sah, malah mengagumi kekayaan yang dikumpul oleh mereka, beranggapan bahawa mereka mesti benar apabila syarikat itu mencapai kejayaan yang besar dan melihat mereka sebagai watak yang pintar dan teladan yang berwawasan.

Imej “wira dan teladan” ini terpahat secara mendalam dalam masyarakat kapitalis, dan bertukar menjadi imej “adiwira” (superhero) di bawah bayangan pelbagai krisis. Pada tahun 2006, Al Gore dalam jelajah penayangan filem dokumentari “An Inconvenient Truth” dan singgah di rumah jutawan Richard Branson yang memiliki Virgin Group dengan tujuan memberi kesedaran tentang bahaya pemanasan global, serta cuba meyakinkan dia bahawa Virgin Group harus jadi pelopor dalam perubahan urusan perniagaan.

Pertemuan ini sangat menyentuh hati Branson dan dia “semakin sedar bahawa kita mungkin menghadapi kekhiamatan pada dunia yang kita ketahui… dan apa yang kita lihat sekarang adalah seumpama pertempuran dunia khiamat dalam Kitab Suci”, akhirnya membawa Virgin Group beralih kepada “Kapitalisme Gaia” (nota 2). Branson percaya bahawa Kapitalisme Gaia bukan sahaja “membolehkan Virgin benar-benar menyumbang kepada generasi akan datang, malah untuk memperolehi keuntungan tanpa berasa malu pada masa yang sama”, dan mempunyai potensi untuk menjadi “teladan baharu dalam urusan perniagaan di seluruh dunia”.

Dalam mesyuarat tahunan Clinton Global Initiative pada tahun 2006, iaitu satu pertemuan yang paling glamor dalam kalangan dermawan, Branson berjanji untuk memberikan kira-kira USD 3 bilion daripada Virgin Group dalam tempoh 10 tahun akan datang untuk membangunkan bahan api biolgi (biofuel) sebagai alternatif kepada petroleum dan gas asli, serta teknologi lain untuk memerangi perubahan iklim. Setahun kemudian, dia mengumumkan pertandingan “Cabaran Bumi Virgin” dengan ganjaran USD 25 juta kepada orang pertama yang mencipta teknologi untuk menghapuskan gas rumah hijau daripada atmosfera. Namun, tiada sesiapa lagi yang memenangi ganjaran itu sehingga hari ini walaupun sudah lebih 10 tahun.

“Karbon ialah musuh,” isytihar Branson. Sebagai langkah berjaga-jaga dan juga keinginan untuk memberi tamparan kepada musuh secara berkesan, dia juga menubuhkan Carbon War Room pada tahun 2009 yang diwakili oleh pihak industri, membolehkan sektor industri yang berbeza bekerjasama untuk mengurangkan pelepasan karbon mereka secara sukarela, selain projek pembangunan bahan api hijau dan Cabaran Bumi Virgin.

Orang ramai asyik mengharapan kemunculan adiwira untuk menyelamatkan mereka semasa berlakunya krisis. Richard Branson yang mahakaya menggunakan keuntungan sebagai dorongan yang paling kuat dan melabur sejumlah besar wang ke dalam operasi penyelamat seperti yang disebut di atas, serta berjanji untuk mengubah logik pengumpulan modal supaya kapitalisme mematuhi prinsip-prinsip “Gaia” sebagai bukti betapa seriusnya dia memandang isu tersebut. Ini memang selari dengan naratif adiwira dalam kalangan masyarakat arus perdana.

Untuk memenuhi janjinya, “Dana Hijau Virgin” yang dimiliki oleh Branson pada mulanya melabur dalam pelbagai urusan perniagaan yang melibat pemprosesan bahan api daripada tanaman dan fermentasi sisa buangan untuk penghasilan biogas. Namun, pelaburan dalam bahan api hijau tidak membuahkan hasil, jadi dia beralih kepada usaha lain yang dikatakan mesra alam, seperti penyahgaraman air laut, lampu penjimatan kuasa dan sistem amaran untuk membantu pemandu menjimatkan bahan api. Walau bagaimanapun, antara pelbagai inovasi yang hebat-hebat belaka ini, terdapat satu inovasi aneh yang melibatkan perubahan cara penternakan supaya meningkatkan potensi tanah untuk menyimpan karbon.

Naomi Klein menyatakan dalam bukunya “This Changes Everything: Capitalism vs. The Climate” bahawa pelaburan Branson adalah kurang daripada USD 300 juta sehingga akhir tahun 2013, dan nampaknya pelaburan USD 3 bilion dalam masa 10 tahun yang dijanjikannya sudah menemui kegagalan. Pada mulanya, Branson enggan menjawab soalan daripada media mengenai jumlah dana yang dilaburkan, lepas itu dia cuba beri jawapan sembarangan seperti “saya tidak mahir dalam pengiraan” dan “saya gagal dalam matematik asas”. Apabila jawapan sebegini tidak lagi dapat memenuhi selera media kerana tarikh akhir janjinya semakin hampir, maka dia terpaksa memberi angka yang lebih jelas, “Nampaknya, saya rasa jumlah akan kurang daripada USD 1 bilion”, dengan memberi pelbagai alasan, seperti harga minyak melambung tinggi dan krisis kewangan global. “Dunia sekarang dah jauh berbeza berbanding tahun 2006… Syarikat penerbangan kami mengalami kerugian ratusan juta dolar sejak 8 tahun lalu.”

Namun, cita-cita untuk mengurangkan pelepasan karbon yang dijanjikannya menyusut sampai kurang daripada separuh janji asalnya bukan disebabkan oleh kos yang tinggi atau krisis ekonomi. Dalam tempoh masa yang sama, Branson memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk melancarkan projek laluan penerbangan Virgin yang baharu di Amerika Syarikat, daripada 40 penerbangan sehari ke 5 destinasi kepada 177 penerbangan sehari ke 23 destinasi pada tahun 2013. Akhbar The Globe and Mail mendakwa bahawa Virgin America mempunyai “pelan pengembangan yang paling hebat” semasa kebanyakan syarikat penerbangan Amerika Syarikat sedang melaksanakan program penjimatan.

Pembelian kapal terbang oleh Virgin menyebabkan pelepasan gas rumah hijaunya melambung hampir 40 peratus lebih tinggi selepas pelan pengembangannya dilaksanakan. Walau bagaimanapun, ini mungkin bukan satu-satunya sebab. Majlis Antarabangsa Mengenai Pengangkutan Bersih (International Council on Clean Transportation, ICCT) membandingkan kecekapan bahan api 15 buah syarikat penerbangan domestik di Amerika Syarikat pada tahun 2010 dan mendapati Virgin America menduduki tangga kesembilan. Berbanding dengan syarikat penerbangan lain yang telah lama beroperasi, Virgin America yang merupakan sebuah syarikat yang baharu sepatutnya boleh memilih pesawat yang lebih cekap (jimat tenaga) untuk perkhidmatannya, tetapi Virgin memang jelas tidak memilih pesawat yang paling cekap berdasarkan tangga yang didudukinya.

Menurut artikel yang diterbitkan pada bulan Julai tahun ini oleh seorang penyelidik ICCT, Jayant Mukhopadhaya, yang pakar dalam pesawat sifar pelepasan karbon, dia berkata bahawa disebabkan oleh perbatasan bahan kimia dalam bateri litium atau bateri keadaan pepejal, kuasa pek bateri sekarang mungkin boleh lagi meningkatkan sebanyak 3 kali ganda sahaja untuk menggantikan bahan api pesawat ringan yang biasanya hanya membawa 19 orang penumpang, tetapi untuk pesawat yang lebih besar, bahan kimia baharu perlu dibangunkan. (foto: ICCT)

Mari kita beralih kepada seorang lagi yang mahakaya, Warren Buffett yang lebih dikenali oleh orang ramai. Dia juga sedar tentang bahaya pemanasan global. Pada tahun 2007, dia berkata, “Pemanasan global mungkin sangat serius.” Walaupun kesannya mungkin tidak begitu menakutkan, tetapi “anda masih perlu membina bahtera sebelum hujan. Jika anda terpaksa melakukan kesilapan, biarkan kesilapan itu ditanggung oleh Bumi. Perlu membeli perlindungan insurans dan menjaga satu-satunya planet kita.” Namun, dia tidak berminat untuk mengamalkan kesedaran itu dalam pelaburannya. Dia memiliki beberapa stesen janakuasa arang batu yang besar dan juga merupakan pemegang saham yang besar dalam syarikat ExxonMobil serta syarikat pasir minyak Suncor, walaupun kedua-dua saham itu dikurangkan secara beransur-ansur sejak kebelakangan ini kerana tidak mencapai keuntungan yang diingini.

Sesetengah orang berpendapat bahawa Buffett ialah salah seorang pemenang terbesar dalam krisis iklim kerana dia merupakan pemain utama dalam sektor insurans semula, yang boleh mendapat faedah terbesar daripada kemusnahan sistem iklim. Firma pelaburan besar Berkshire Hathaway yang dimiliki oleh Buffett mempunyai kebolehan untuk memberi pelbagai perlindungan insurans, seperti kemalangan industri di Jepun, banjir di UK, taufan di Florida dan gelombang panas di Australia secara serentak. Bencana sebegini biasanya tidak berlaku serentak, maka syarikatnya boleh mengaut keuntungan daripada salah satu insiden, walaupun ia perlu membayar tuntutan yang tinggi untuk yang lain. Nampaknya, bahtera yang dibina oleh Buffett bukan untuk melindungi semua orang, hanya segelintir orang yang bertuah untuk berpeluang menaikinya.  

Selain itu, yayasan yang dimiliki oleh Bill Gates melaburkan sekurang-kurangnya USD 1.2 bilion dalam BP dan ExxonMobil pada tahun 2013 sebagai respon terhadap pemanasan global. Dia juga merupakan salah seorang taikun yang tidak sabar untuk memeluk kepercayaan bahawa teknologi baharu akan menyelesaikan semua masalah pada masa depan. Gates berulang kali menyeru pada kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan mereka dalam penyelidikan dan pembangunan “sumber tenaga yang penuh keajaiban”, iaitu merujuk kepada kuasa nuklear yang menggunakan reaktor Traveling Wave. Dia ialah pelabur utama dalam syarikat tenaga nuklear baharu TerraPower dan mempunyai rancangan untuk membina siri “Loji Natrium” (Natrium Plant) di Amerika Syarikat yang menelan kos ratusan juta dolar setiap satu. Ia dikatakan lebih kecil daripada loji nuklear konvensional. Tapak demonstrasi pertama untuk kuasa nuklearnya terletak di sebuah bandar kecil di Wyoming, Amerika Syarikat.

Tangan hijau Gates bukan sahaja memeluk kuasa nuklear tetapi juga mesin pemisah karbon. Dia merupakan pelabur utama dalam sekurang-kurangnya satu reka bentuk prototaip mesin tersebut. Malah, dia membayar berjuta-juta daripada poketnya untuk membiayai penyelidikan pelbagai teknologi yang menghalang cahaya matahari. Selain itu, namanya juga disenaraikan dalam beberapa hak paten dalam ciptaan untuk menyekat taufan. Pada masa yang sama, Gates memperkecilkan potensi teknologi tenaga boleh diperbaharui dan menolak penyelesaian yang sedia ada lagi murah, seperti panel solar atas bumbung, menggambarkan ia sebagai “comel” dan “tidak efisien dari segi ekonomi” walaupun pada hakikatnya, sehingga separuh pertama tahun 2019, dengan tidak termasuk tenaga angin luar pesisir, penjanaan tenaga boleh diperbaharui di negara Jerman sudah menyumbang sekurang-kurangnya 28% daripada jumlah penjanaan kuasa negara itu.

Pekan Kemmerer yang terletak di barat daya negeri Wyoming, Amerika Syarikat, sedang mengalami proses peralihan daripada industri arang batu kepada tenaga bersih. Dalam proses peralihan ini, “generasi baharu loji nuklear bersaiz kecil” yang digemari oleh Gates, seperti ditunjuk dalam gambar atas, akan menjadi salah satu sumber tenaga bersih bandar itu. Apabila siap dibina, loji tersebut akan diserah dan diurus oleh Rocky Mountain Power, yang dimiliki oleh Warren Buffett melalui syarikat pelaburannya, Berkshire Hathaway. Selain itu, tenaga angin juga dipilih dalam proses peralihan ini yang diterajui Rocky Mountain Power, tetapi Datuk Bandar Kemmerer telah menjelaskan bahawa tenaga nuklear merupakan sumber tenaga utama bandar tersebut pada masa hadapan. Seperti yang diketahui umum, kekayaan kapitalis hanya dapat terus berkumpul melalui pertumbuhan ekonomi, dalam erti kata lain, kapitalisme memerlukan bekalan tenaga yang berkekalan dan stabil. Tenaga angin dan solar terikat kepada ketidakpastian semula jadi, maka diejek sebagai “comel” dan “tidak efisien dari segi ekonomi”. 

Berbanding dengan kesedaran golongan mahakaya tentang pemanasan global, dunia kini sedar tentang kekejaman yang dibawa oleh Kapitalisme Gaia dengan lebih jelas: seluruh Bumi dilemparkan ke dalam periuk lebur pasaran ekonomi dengan kejam dan bertukar menjadi komoditi yang boleh dijual beli. Malah, naratif “adiwira” tidak terkecuali daripada proses peralihan menjadi komoditi, dipapar di atas skrin untuk dijadikan hiburan bagi mereka yang mampu membeli tiket wayang. 

Logik ekonomi kapitalis ialah pertumbuhan tanpa perbatasan dan keuntungan paling maksimum, tidak kira betapa jujur niatnya atau betapa manis gelarannya. Oleh sebab keperluan untuk pengembangan dan pertumbuhan berterusan serta aktiviti ekonomi 24 jam di peringkat global, maka kapitalis lebih cenderung memilih tenaga nuklear jika terpaksa menghijaukan dirinya, hanya kerana pilihan ini lebih terjamin dalam pengumpulan kekayaan mereka, selagi loji nuklear dan sisa nuklear duduk berjauhan dari banglo besar mereka. Sesetengah kapitalis yang lebih bijak akan melabur dalam sumber tenaga nuklear atau tenaga boleh diperbaharui lain dengan harapan untuk terus mendominasi dalam ekonomi dan masyarakat dalam gelombang peralihan tenaga ini, memaksa kita untuk terus bergantung kepada mereka. Kita tidak harus menaruh harapan terhadap golongan mahakaya yang terikat dengan logik ekonomi sebegini sebagai adiwira-adiwira yang menyelamatkan kita daripada pemanasan global.

Mesin pemisah karbon milik Adiwira

Pada asalnya, matlamat “Cabaran Bumi” adalah untuk mengenal pasti teknologi yang boleh mengasingkan sejumlah besar karbon daripada atmosfera dan menyimpannya, tetapi kini anugerah itu “menyokong pembangunan teknologi baharu yang boleh terus mengitar semula karbon dioksida daripada atmosfera dan menukarnya menjadi komoditi yang menguntungkan”. Teknologi memisahkan karbon daripada udara telah muncul dan tiada kesukaran secara teknikal. Masalahnya ialah kos untuk teknologi itu terlalu tinggi dan cabaran untuk penyimpanan karbon dalam skala besar (nota 3). Ini bermakna mesti ada pelanggan yang sanggup membeli sejumlah besar karbon yang diperangkap dalam pasaran ekonomi.

Sejak pertengahan tahun 2000-an, industri petroleum menjadi pelanggan yang berpotensi. Industri petroleum menggunakan teknologi yang dipanggil Enhanced Oil Recovery (EOR), iaitu menyuntik gas bertekanan tinggi untuk memerah lebih banyak petroleum daripada medan minyak yang sedia ada. Gas bertekanan tinggi ini berkemungkinan datang daripada karbon dioksida. Kaedah ini boleh meningkatkan pengeluaran petroleum Amerika Syarikat yang sedia ada sebanyak 4 kali ganda. Kini, hanya satu perkara yang menghalang pihak industri daripada menggunakan teknologi ini, iaitu kekurangan sumber karbon dioksida yang boleh dipercayai dengan harga yang berpatutan.

Ned David, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Kilimanjaro Energy, mendakwa bahawa mesin yang diciptanya serupa dengan mekanisme peretakan hidraulik gas asli dan boleh “memancut keluar wang”. “Jika anda boleh memisah karbon dioksida daripada udara dengan kos yang efektif, ganjarannya ialah hampir 100 bilion tong petroleum di Amerika Syarikat. Petroleum itu bernilai USD 10 trilion,” begitu katanya kepada majalah Fortune.

Namun, menurut penyelidikan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat, pelepasan karbon teknologi EOR adalah 3 kali ganda berbanding kaedah pengekstrakan konvensional. Apabila dilihat secara keseluruhan sistem, teknologi ini akhirnya akan mengeluarkan kira-kira karbon dioksida 4 kali ganda lebih banyak berbanding dengan karbon dioksida yang dijimatkan. Sehingga kini, teknologi pemisahan karbon yang boleh diaplikasi secara besar-besaran masih jauh lagi, terutamanya kerana ia melibatkan kos yang tinggi dan masalah yang dinyatakan di atas, malangnya kita kesuntukan masa sekarang. Kesimpulannya, ini bukan satu penyelesaian yang boleh digunakan pada hari ini.

= Petronas memaklumkan kepada media pada tahun 2014 bahawa pelantar minyak kerjasamanya dengan ExxonMobil yang memakai teknologi EOR dapat menghasilkan lebihan 150,000 tong petroleum sehari sebelum tahun 2020. Ini memang satu teknologi yang benar-benar “memancut keluar wang”. Namun, tidak dapat pasti bahawa sama ada pelantar tersebut menggunakan gas karbon dioksida dalam proses pengekstrakan. (grafik: duniandt.blogspot)

**********

Nota:

(1) Secara umumnya, kelas pekerja merujuk kepada golongan yang tidak memiliki alat pengeluaran, seperti kilang, ladang, pejabat atau saham. Golongan ini terpaksa menjual keupayaan bekerja dengan cara “dibayar gaji” kepada golongan yang memiliki alat pengeluaran.

(2) Mengumpul kekayaan dan mencipta peluang pekerjaan daripada ekonomi kapitalis atas nama menyelamatkan planet Bumi.

(3) Teknologi pemisahan karbon (CO2 Capture and Storage) yang terdiri daripada mesin pemisah karbon dan kemudahan penyimpanan. 

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

Siri Pemanasan Global (5): Merah dan Hijau

Siri Pemanasan Global (6): Beli! Beli! Beli!

Siri Pemanasan Global (7): Wabak penyakit perampasan yang tidak terhingga

Siri Pemanasan Global (8): “Aku tidak percaya pada pemanasan global”

Siri Pemanasan Global (9): Melangkaui petroleum

Siri Pemanasan Global (10): Pasaran hijau yang penuh keajaiban

Siri Pemanasan Global (12): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 2)

Siri Pemanasan Global (13): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 3)

7 thoughts on “Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 1)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *