Siri Pemanasan Global (7)

oleh Brian Khow

“Satu-satunya pertumbuhan mampan ialah nyah-pertumbuhan.” Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laman web rasminya memberitahu tujuannya ialah untuk menyediakan persekitaran yang baik untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan melalui dasar monetari dan kewangan (1). Perkataan sustainable growth disebut di laman web rasmi tersebut. Sejak kebelakangan ini, banyak ahli ekonomi telah mempersoalkan pertumbuhan ekonomi yang diukur dengan KDNK (2). Krisis perubahan iklim sudah pasti memperdalamkan persoalan ini. Rencana ini adalah untuk membincangkan bagaimana pertumbuhan ekonomi menyebabkan planet ini menjadi panas. (foto: psu.instructure.com

Selesema Sepanyol, yang dikenali sebagai “ibu segala pandemik” sekarang, melanda seluruh benua Eropah pada tahun 1918 menyebab 20 juta orang mati di seluruh dunia dan menjadi salah satu bencana paling membawa maut dalam sejarah. Manakala pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada abad ini telah menyebabkan sekitar 3.3 juta kematian sehingga awal bulan Mei tahun 2021.

Secara kebetulan, Vandana Shiva, seorang ahli fizik dan ekofeminis India, menyifatkan sistem ekonomi hari ini sebagai “ekonomi yang tidak menghormati perbatasan ekologi dan etika” dan “satu gelombang pandemik perampasan” ketika beliau membincangkan sistem ekonomi hari ini. Pandemik ini merangkumi perampasan tanah, perampasan sumber, malah juga perampasan langit yang menyebabkan ketiadaan ruang atmosfera yang mencukupi untuk pembangunan yang melibatkan orang miskin (3). Namun, berapa banyak kematian yang disebabkan oleh pandemik “perampasan” ini? Mungkin tidak perlu guna perkataan tersinggung seperti “kematian”. Berapa banyak orang yang menjadi mangsa? Saya rasa tiada sesiapa mampu menjawab soalan ini.

Untuk mengelakkan virus “perampasan” ini daripada terus melakukan penaklukan, kita harus menyemak semula makna KDNK (keluaran dalam negara kasar, atau juga dikenali GDP) seperti mana kita memeriksa DNA virus. Menurut Encyclopædia Britannica, KDNK ialah jumlah nilai pasaran komoditi dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh ekonomi sesebuah negara atau kawasan tertentu dalam jangka waktu tertentu. Secara umumnya, kita memahami bahawa KDNK terdiri daripada “penggunaan”, “pelaburan”, “perbelanjaan kerajaan”, dan “nilai eksport bersih”. Ini juga merupakan petunjuk penting bagi pertumbuhan ekonomi.

Peredaran modal, pengumpulan modal dan pertumbuhan ekonomi

Sistem kapitalis mengutamakan pertumbuhan ekonomi, iaitu peredaran modal dari pengeluaran, penjualan, penggunaan, pengagihan keuntungan dan pengulangan proses sebegini dengan keberkesanan tinggi dan tidak terganggu (4). Hanya dengan cara ini, modal dapat terus terkumpul (accumulation) dan ditampilkan sebagai pertumbuhan ekonomi. Ini bermaksud bahawa bentuk matawang mesti memenuhi syarat untuk peredaran.

Emas, salah satu jenis logam berharga, pernah menjadi salah satu bentuk matawang untuk pengukuran nilai dan harga kerana ia tidak mudah dioksidakan, malah digunakan untuk penyimpanan, tetapi tidak sesuai dan tidak efisien untuk peredaran (5). Secara umumnya, bentuk wang seperti duit syiling, wang kertas dan wang elektronik yang muncul baru-baru ini baru sesuai digunakan sebagai peredaran. Kita menganggap jenis matawang ini sebagai simbol dan berdasarkan hubungan pertukarannya dengan jenis logam berharga. Simbol matawang secara beransur-ansur memperolehi kedudukan yang dominan dengan peningkatan urusan perniagaan. Pada tahun 1971, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pemutusan hubungan dolar AS di pusat sistem monetari antarabangsa daripada pertukaran dengan emas. Sejak itu, sistem piawaian emas berkubur dalam sejarah. Ini mengakibatkan kejatuhan nilai matawang dan inflasi di banyak negara.

Jelasnya, perluasan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Vietnam pada pertengahan tahun 1960-an merupakan pemangkin yang mempercepat pemisahan dolar AS dengan emas. Tindakan ketenteraan seperti pembelian senjata, pembayaran gaji dan pampasan kepada bala tentera dan bantuan kepada rakan sekutu iaitu kerajaan Vietnam Selatan, semuanya memerlukan sejumlah wang yang banyak dan peredaran modal amat penting bagi Amerika Syarikat (6). Wang elektronik yang muncul pada abad ini bukan sahaja menyebabkan kegiatan pembelian menjadi lebih senang (7), malah bermaksud lebih banyak peredaran dan pengumpulan modal jikalau dilihat dari sudut ekonomi. Manakala matawang kripto yang dialu-alukan oleh golongan mahakaya seperti Elon Musk sebagai bentuk matawang masa depan (8) akan menghabiskan lebih banyak penggunaan elektrik (9). Ketenteraan dan bentuk matawang yang baru muncul kini mewakili pelepasan karbon yang besar.

Keruntuhan piawaian emas pada tahun 1970-an dan krisis minyak (10) serta krisis lain yang berikutan menyebabkan “stagflasi” (stagflation), iaitu kemelesetan ekonomi, pengangguran besar-besaran dan kenaikan harga barang yang memberi tekanan hebat terhadap sistem kapitalis dan memaksa orang ramai mencari jalan baharu untuk pertumbuhan ekonomi. Pandangan bagaimana memperbaiki sistem kapitalis menjadi keutamaan. Pada akhir tahun 1970-an, golongan ahli ekonomi arus perdana secara umumnya berpandangan bahawa kenaikan gaji sebenar menghimpit bahagian keuntungan kapitalis sehingga menyebabkan penurunan kadar keuntungan. Ini disebut sebagai “teori menghimpit keuntungan” (profit-squeeze theory), tetapi sebenarnya ialah varian kepada “pengumpulan berlebihan” (overaccumulation) (11).

Di negara-negara Barat, sebilangan orang berpendapat bahawa kenaikan gaji berkaitan dengan kesatuan sekerja yang mempertahankan hak pekerja. Untuk menyelamatkan pasaran, para pemimpin kesatuan menuntut kerjasama antara kelas dan menetapkan “sekatan gaji yang besar” terhadap pekerja. Walaupun ini menyebabkan keuntungan dan pelaburan meningkat semula, tetapi hampir semua jenis pelaburan ini ialah pelaburan yang “dirasionalisasikan” (12), oleh itu ia tidak dapat mengurangkan pengangguran, manakala gaji pekerja yang diupah tidak dapat mengejar harga barang yang tinggi.

Kalau hanya memberi perhatian terhadap peningkatan pelaburan dalam sektor pengeluaran, tetapi mengabaikan penurunan kuasa beli yang disebabkan oleh gaji rendah (atau sebab lain), hanya akan mengakibatkan komoditi yang dihasilkan tidak dapat dijual, peredaran modal masih disekat dan menyebabkan krisis bertambah buruk sahaja. Keadaan ini telah kembali. Pemulihan ekonomi yang perlahan sejak krisis kewangan tahun 2007-08 telah terganggu oleh pandemik baharu sekarang dan dunia sekali lagi memasuki kemelesetan ekonomi yang teruk. Sehingga bulan November lalu, negara kita mempunyai sekitar 100,000 orang menganggur (13).

Di bawah sistem kapitalis yang “bercanggah” (14), kemerosotan ekonomi atau kemelesetan ekonomi yang lebih teruk yang disebabkan oleh pelbagai faktor akan membawa keputusasaan dan kesusahan yang nyata bagi masyarakat. Akhirnya, golongan berhaluan kanan mengatakan bahawa kawalselia yang ketat dan pembirokrasian ialah sebab utama untuk “ketiadaan pertumbuhan” dalam sistem kapitalis pada masa itu. Kongkongan terhadap sistem kapitalis yang tidak dapat membiarkan semua orang mendapat keuntungan merupakan kesilapan dari negara yang cuba mengawalselia pasaran, oleh itu, keinginan menggunakan pasaran bebas untuk mendorong pertumbuhan ekonomi menyebabkan doktrin penyahkawalseliaan yang disebut neoliberalisme menggantikan Keynesianisme (7).

Sepanjang 30 tahun yang lalu, neoliberalisme memberikan keutamaan kepada penggunaan dan perdagangan (7). Namun, apabila kita mengubah sistem ekonomi agar tidak melebihi belanjawan karbon (carbon budget) sedunia (15), kita perlu beralih kepada pengurangan penggunaan (kecuali golongan miskin), pengurangan perdagangan antarabangsa (lokalisasi semula ekonomi), dan pengurangan pelaburan pihak swasta dalam sektor pembuatan yang mendorong penggunaan berlebihan. Pengurangan dalam sektor tersebut akan diimbangi dengan peningkatan perbelanjaan kerajaan. Selain itu, peningkatan pelaburan kerajaan dan swasta harus membantu kita mencapai infrastruktur dan pilihan yang sifar pelepasan karbon. Semua ini melibatkan pengagihan semula secara besar-besaran.

Pertumbuhan Ekonomi Hijau

Gelombang demonstrasi besar-besaran untuk melawan “Omnibus Law” meletus di Indonesia pada bulan Oktober tahun lalu. Undang-undang ini mengehadkan hak pekerja, melemahkan usaha perlindungan alam sekitar dan membuka jalan untuk penswastaan ​​sektor tenaga supaya menarik pelaburan asing dan mendorong pertumbuhan ekonomi. (Foto: International Trade Union Confederation)

Dari aspek yang lain, keperluan pertumbuhan sistem ekonomi kapitalis menyebabkan ahli ekonomi tradisional sering berfikir: Bagaimana kita dapat mengurangkan pelepasan karbon sambil mengekalkan pertumbuhan KDNK yang kuat? Penyokong “pertumbuhan hijau” (green growth) seperti Thomas Friedman memberitahu kita bahawa pengembangan teknologi hijau baharu untuk meningkatkan kecekapan dan pembinaan infrastruktur hijau dapat meningkatkan prestasi ekonomi dan KDNK secara mendadak, seterusnya membawa kekayaan baharu. Hujah “decoupling”, iaitu masyarakat tamadun manusia dapat memisahkan pertumbuhan ekonomi daripada kesannya terhadap persekitaran sangat menarik. Sekiranya pemisahan ini memang benar, ini bermakna pertumbuhan KDNK akan menjadi sesuatu matlamat masyarakat yang kekal berterusan.

Malangnya, semakin banyak kajian menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi yang tidak terkawal adalah bercanggah dengan dasar iklim yang mantap. Kajian terhadap negara perindustrian yang dilakukan oleh Peter Victor dari York University, Tim Jackson dari University of Surrey, James D. Ward dari University of South Australia dan ahli ekonomi yang lain menunjukkan bahawa penjimatan tenaga dari penggunaan berkecekapan tinggi atau “decoupling” tidak mungkin berjalan seiring dengan pertumbuhan.

“Paradoks Jevons” mengulas bahawa penjimatan tenaga yang diketahui secara umum, iaitu perindustrian atau teknologi yang lebih cekap memang dapat mengurangkan penggunaan bahan bakar dalam jangka waktu yang singkat, tetapi produk keluaran dengan harga yang lebih rendah akan mendorong permintaan daripada pengguna. Ini hanya akan memupuk pembentukan lebih banyak pembekalan baharu dan penggunaan bahan api akan meningkat semula yang akhirnya mengurangkan atau membatalkan manfaat yang dibawa oleh penjimatan tenaga.

Kuncinya adalah, krisis ekologi akibat daripada penggunaan sumber semula jadi secara keterlaluan tidak dapat ditangani dengan peningkatan kecekapan ekonomi sahaja, tetapi juga perlu mengurangkan jumlah bahan mentah yang digunakan oleh 20% golongan terkaya di dunia. Tetapi syarikat besar berasa konsep sebegini menjijikkan kerana ia dikawal oleh pelabur yang menuntut keuntungan yang lebih tinggi setiap tahun. Di bawah neoliberalisme, apabila pelabur tidak dapat memperolehi keuntungan yang lebih tinggi, syarikat akan menggunakan kemudahan dalam perjanjian perdagangan bebas untuk melabur di kawasan (atau negara) lain yang menjamin keuntungan yang lebih tinggi (5). Oleh itu, kita terperangkap dalam situasi yang penuh keseganan, iaitu “sama ada mencampakkan sistem atau memusnahkan planet ini”, seperti yang dikatakan oleh Tim Jackson.

Sejak kebelakangan ini terdapat banyak suara bagaimana kita dapat mengurangkan penggunaan dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti hidup keseluruhan. Untuk mencapai matlamat ini, kita harus menerima transformasi dan menggunakan model ekonomi berlainan. Krisis kewangan 2007-08 pada mulanya merupakan peluang yang baik untuk transformasi, sekurang-kurangnya terdapat seruan yang kuat untuk transformasi di Amerika Syarikat, iaitu salah sebuah negara pelepasan karbon terbesar di dunia dan tempat kelahiran krisis kewangan tersebut (16). Selepas krisis kewangan, kemelesetan ekonomi yang terjadi pada tahun 2009 mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di peringkat global. Tetapi pada tahun 2010, langkah-langkah rangsangan ekonomi yang diambil oleh kerajaan sedunia tanpa mempertimbangkan akibat persekitaran telah menyebabkan pelepasan karbon mencatat satu rekod tertinggi pada masa itu (7).

Hutang jadi pemangkin pemanasan?

Para penunjuk perasaan dalam gerakan Occupy Wall Street tidak dapat bertolak ansur dengan tingkah laku penciptaan “pinjaman berlebihan” yang tidak bertanggungjawab dalam sektor perbankan dan kewangan. (Foto: REUTERS)

Krisis kewangan 2007-08 boleh dijejak seawal pengakhiran piawaian emas pada tahun 1970-an. Oleh kerana tidak ada logam berharga untuk mengehadkan matawang, maka peredaran modal berfaedah (interest-bearing capital) atau hutang mengambil alih serta menjadi pemacu utama dalam pengumpulan modal berterusan. Pada mulanya, peranan utama institusi kredit ialah membolehkan modal yang “terbiar” (idle) atau “statik” untuk beredar semula dalam pasaran. Modal semakin menumpu melalui sistem kewangan yang menjadi tempat takungan aset cair. Sektor perbankan dan institusi kewangan bagaikan penyelia takungan ini dengan menggunakan cara pengumpilan (leverage) dan meminjamkan modal rekaan (fictitious capital) untuk menjadikan modal ini mengembang dari semasa ke semasa kerana kemampuan sektor perbankan untuk menciptakan matawang. Kadang kala jumlah matawang yang diciptakan itu sangat besar. Contohnya, apabila dalam simpanan bank hanya mempunyai satu bahagian simpanan, tetapi ia mengeluarkan 30 bahagian sebagai pinjaman atau hutang.

Di mana terdapat keuntungan yang lumayan, sistem perbankan akan mengarahkan modal yang “menumpu” itu untuk menyerang ke arah situ. Sebagai contoh, pakar kewangan boleh memesong pelaburan ke arah spekulasi hartanah dan membantu tuan tanah serta pemilik hartanah dengan mengorbankan orang ramai. Seperti yang disebutkan di atas, sistem kewangan juga merupakan salah satu pemacu utama yang mewajibkan pengumpulan modal beterusan.

Ini adalah kerana tekanan yang dihasilkan daripada pemiutang yang menuntut pulangan faedah daripada penghutang yang bukan sahaja menyebabkan penghutang sentiasa perlu meningkatkan pengeluaran (lebih banyak bahan mentah diperlukan dan lebih banyak pencemaran dihasilkan), malah dia juga kena mencari jalan untuk menjual komoditi yang dihasilkannya (menggalak penggunaan berlebihan) supaya mendapat keuntungan dan menjadikan sebahagian daripada keuntungan tersebut sebagai pembayaran balik pinjaman berfaedah kepada pemiutang. Hanya dengan ini barulah gadaian tersebut tidak menghadapi nasib dirampas. Namun, setelah hutang dikumpulkan dalam jumlah yang besar, kemampuan pembayaran balik pada masa depan berkemungkinan terjejas. Walaupun pinjaman dapat dibayar balik dengan lancar, kewajipan pembayaran hutang akan menjadi penghalang kepada kemungkinan pembangunan lain dalam masyarakat.

Sistem ekonomi kapitalis yang maju memerlukan sistem kewangan yang dikembangkan dengan pesat dan ini melahirkan sekumpulan golongan pelabur yang beranggapan bahawa krisis merupakan peluang terbaik untuk mereka. Setelah krisis ekonomi melanda, pembeli yang memiliki sejumlah besar wang tunai atau menguasai saluran langganan sering mengambil kesempatan terhadap peninggalan sebilangan besar aset yang mengalami susutan nilai. Jenis pelaburan sebegini begitu mudah, hanya menabur wang tunai yang sedia ada dan duduk di sebelah untuk menunggu durian runtuh, nescaya cuma segelintir kecil pemodal ingin melabur di sektor pengeluaran yang menghasilkan barang-barang yang diperlukan oleh masyarakat. Siapa yang ingin menghadapi pertikaian buruh dalam rangkaian pengeluaran? Lebih-lebih lagi, berbanding dengan spekulasi kewangan, margin keuntungan dari sektor pengeluaran memang terlalu rendah. Berapa banyak spekulasi yang tersirat dalam kegiatan ekonomi hari ini?

Tindakan sebegini hanya memperdalam khayalan “wang akan melahirkan lebih banyak wang secara automatic”, sama seperti penyimpanan wang ke dalam akaun bank dan nilai simpanan akan meningkat dari semasa ke semasa dengan pembabitan faedah kompaun tanpa penabung melakukan apa-apa, itu memang sungguh menakjubkan! Walau bagaimanapun, sekarang orang ramai menjangkakan keseluruhan ekonomi akan berkembang dengan cara yang sama. Kita dapat memerhatikan bahawa kawasan yang maju dibangunkan dengan sistem kapitalis mempunyai kecenderugan menggunakan hak istimewa dan mekanisme operasi dalam sistem kewangan untuk menjadi pemacu baharu dalam ketidaksamarataan masyarakat dan ekonomi. Sebaliknya, penjanaan aktiviti sektor pengeluaran hanya menjadi masalah yang perlu dibimbangkan oleh kawasan yang lebih miskin secara relatifnya di dunia.

Sekiranya penggunaan pinjaman baharu untuk membayar balik pinjaman lama berterusan, yakni pembiayaan hutang lama dengan hutang baharu akan berulangan, maka modal akan berubah menjadi skema Ponzi yang besar. Krisis kewangan 2007-08 menyebabkan harga perumahan merosot, syarikat ekuiti swasta dan dana lindung nilai (hedge fund) mengambil kesempatan membeli dengan harga rendah dan melabur semula ke bidang lain yang lebih menguntungkan. Krisis kewangan seperti ini sering merebak ke sektor pengeluaran. Kebankrapan atau pemberhentian pekerja secara besar-besaran kerana kekurangan aliran tunai menyebab pekerja yang bekerja keras di rangkaian pengeluaran setiap hari untuk menghasilkan barang-barang yang diperlukan oleh masyarakat menjadi kambing hitam dalam krisis ini.

Peredaran modal berfaedah atau hutang telah menjadi pendorong pertumbuhan ekonomi yang “menaik taraf” sistem kapitalis kepada sistem perhambaan berhutang. Ini bukan sahaja mencengkam hubungan sosial (hubungan antara kelas yang mendominasi dan didominasi) pada zaman ini dan kesejahteraan rakyat, malah menenggelamkan harapan hidup orang ramai. Golongan pekerja yang berharap bahawa suatu hari nanti mereka akan memiliki rumah sendiri dan membuat pembelian dengan pinjaman bank bukan sahaja diserap masuk dalam peredaran modal berfaedah, malah mereka juga menjadi gambaran tentang “kestabilan sosial”: ada rumah ada hutang, tiada mogok tiada kucar-kacir. Hartanah telah menjadi ilusi yang mendorong pertumbuhan ekonomi dan kawasan hutan atau tanah pertanian bertukar menjadi “projek pembangunan bercampur”. Orang asli dan petani kecil mungkin diancam dengan pengusiran paksa, sebahagian besar daripada mereka terpaksa berhijrah ke bandar dan memasuki sektor pengeluaran atau sektor “pinggiran” lain yang menjadikan mereka sedia ditindas oleh kapitalis.

Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk membangunkan hutan paya gambut di bahagian utara Kuala Langat, walaupun masih terdapat hartanah lebihan di negeri tersebut dan pembangunan hutan ini akan mengakibatkan pelepasan karbon dioksida yang setara dengan hampir 1.2 juta buah kereta setahun. Persaingan antara puak-puak politik, ditambah dengan tekanan untuk meningkatkan prestasi ekonomi selepas pandemik ini, telah menjadi pemangkin kepada pelbagai aktiviti pembangunan hartanah. Ini merupakan sebahagian penjelasan terhadap kemunculan pelbagai projek penambakan atau projek pembangunan tanah berskala besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya negeri yang lebih maju, seperti Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Johor.

Selain itu, cara paling mudah untuk mengurangkan tekanan ekonomi di peringkat global akibat dari kemerosotan sektor pengeluaran dan hutang yang dijana ialah eksploitasi terhadap alam sekitar yang dianggap “hadiah percuma” dengan sedaya upaya. Kita mendapati bahawa sektor perlombongan di negara ini diberi perhatian sejak kebelakangan ini dan kita akan terus mendengar berita bahawa lebih banyak tanah dimusnahkan oleh kegiatan perlombongan dalam masa depan.

Menamatkan perampasan yang tidak terhingga

Sekiranya kita berhasrat untuk membina sebuah dunia yang lebih saksama, inklusif dan kurang pencemaran, maka kita harus menolak model ekonomi yang berdasarkan KDNK. Gambar di atas menunjukkan salah satu aksi dalam gerakan Occupy Wall Street, di mana penunjuk perasaan menuntut pembaharuan ekonomi. (Foto: Lucas Jackson/REUTERS)

Sekarang ini, kita sedang menyaksikan modal menyerang untuk merampas tanah dan sumber alam sekitar. Modal berfaedah bukan sahaja merampas kebebasan orang ramai, malah merampas harapan masa depan mereka. Bukan itu sahaja, pengumpulan modal telah merampas imaginasi dan jiwa orang ramai, mengelirukan orang ramai bahawa kita tidak mempunyai pilihan lain dan sistem ekonomi mesti bertumbuh tanpa sebarang perbatasan.

Manusia yang hidup di bawah kapitalisme mencekik diri sendiri dan Bumi setiap hari. Bagi ramai orang, jauh lebih mudah untuk mereka membayangkan pengakhiran dunia berbanding pengakhiran kapitalisme. Dalam keadaan putus harapan, nampaknya kita hanya dapat mengharapkan kekuatan luaran yang luar biasa untuk menyelamatkan kita. Tidak, ini bukan jalan penyelesaian. Satu-satunya jalan keluar adalah dengan tegasnya menanggalkan malah menghancurkan sistem ekonomi kapitalis yang mengancam masa depan kita.

Perubahan memang tidak mudah. ​​Di samping itu, ekonomi negara kami bergantung pada negara maju, kumpulan berkepentingan dari dalam dan luar negara juga akan menghalang perubahan sebegini. Perubahan bukanlah sesuatu yang akan berjaya pada hari esok atau tahun depan, tetapi ia tidak mustahil dilakukan juga. Mari kita membina masa depan yang lebih baik secara bersama dengan merujuk kepada beberapa alternatif yang dicadangkan di bawah:

(A) Pendemokrasian ekonomi

Pelaksanaan program pengeluaran ekonomi secara demokratik di peringkat negara, bandar dan masyarakat tempatan, serta mengendalikan pembangunan tanah secara terkawal. Masyarakat mesti mengambil bahagian dalam perancangan kegiatan ekonomi. Peningkatan penggunaan harus dipelihara untuk orang yang masih hidup dalam kemiskinan. Pada masa yang sama, sektor-sektor yang tidak dikuasai oleh keinginan untuk peningkatan keuntungan tahunan, seperti sektor awam, koperasi, perniagaan atau pengeluaran tempatan dan perusahaan yang bukan berorientasikan keuntungan di kawasan perindustrian yang maju (atau bandar yang kaya), harus meningkatkan bahagian sektor-sektor tersebut dalam keseluruhan kegiatan ekonomi. Perusahaan yang mempunyai kesan ekologi yang kecil tetapi memberi banyak manfaat kepada kebahagiaan masyarakat, seperti pendidikan, kejururawatan, rekreasi dan kesenian harus dipertingkatkan juga. Tetapi peranan korporat yang mempunyai keperluan meningkatkan penjualan dan keuntungan secara berterusan mesti dikurangkan, terutama di mana kekayaan korporat berkait rapat dengan pengekstrakan sumber alam.

(B) Kurangkan waktu bekerja

Sebahagian daripada kebaikan untuk memendekkan waktu bekerja ialah lebih banyak peluang pekerjaan dapat diciptakan dan lebih banyak masa untuk seseorang mengambil bahagian dalam aktiviti yang berkepenggunaan rendah, seperti berkebun atau memasak. Orang yang terlalu sibuk bekerja mempunyai lebih sedikit masa untuk melakukan kegiatan seperti ini. Sebaliknya, mereka cenderung kepada kebudayaan makanan segera, membeli-belah dan hiburan yang kebas jiwa sebagai aktiviti untuk mengurangkan tekanan, hanya kerana mereka terlalu sibuk.

Sebenarnya, sebilangan penyelidik meneliti secara khusus manfaat pengurangan waktu bekerja dari perspektif iklim. John Stuz, seorang penyelidik kanan di Tellus Institute yang terletak di Boston, meramalkan bahawa jika negara-negara menetapkan had masa bekerja tiga hingga empat hari seminggu dan melaksanakannya untuk beberapa dekad, ia dapat mengimbangi sebahagian besar ramalan kita terhadap pelepasan karbon pada tahun 2030 dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

(C) Pendapatan Asas Sejagat (Universal Basic Income, UBI)

Banyak cendekiawan yang mendukung “nyah-pertumbuhan” dan “keadilan ekonomi” menuntut pengenalan pendapatan asas sejagat bagi semua orang, tanpa mengira jumlah pendapatan perseorangan dengan memberikan gaji pokok kepada setiap orang. Ini adalah satu pengakuan bahawa sistem ekonomi hari ini tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan bagi semua orang dan memaksa orang terlibat dalam pekerjaan yang menghabiskan bahan api secara sia-sia yang tidak produktif. Alyssa Battistoni, seorang editor majalah Jacobin, menulis: “Membiarkan orang bekerja dengan pekerjaan yang berkualiti rendah untuk mencari nafkah merupakan perbuatan yang berdosa dan sekarang nampaknya seperti membunuh diri.”

Pendapatan asas akan menghalang kerja berkualiti rendah dan penggunaan yang tidak terkawal. Manfaat lain adalah memberikan jaminan ekonomi yang sangat diperlukan bagi masyarakat yang berada di zon pengorbanan (17). Tiada orang berharap bahawa air dan udara yang mereka bergantung untuk kelangsungan hidup tercemar, tetapi orang yang terdesak kerana kehidupan susah mereka akan melakukan perkara-perkara yang menyesal. Komuniti ini diminta untuk mengorbankan kesihatan mereka untuk membolehkan syarikat bahan api fosil atau syarikat perlombongan menjalan kegiatan penggalian dan pengekstrakan di tempat berhampiran kediaman mereka.

(D) Ubah tanggapan yang menjadi kebiasaan dalam diri kita tentang pertumbuhan ekonomi 

Seperti yang disebut oleh rakyat Perancis tentang “nyah-pertumbuhan terpilih” (selective degrowth), dalam bahasa Perancis, “décroissance” mempunyai dua makna, iaitu menpersoalkan “croissance” (pertumbuhan) dan “croire” (percaya). Ia meminta kita supaya tidak mempercayai mitos “pertumbuhan tanpa perbatasan di planet yang terbatas”.

George Monbiot yang menulis dalam akhbar The Guardian mengatakan bahawa sumber di planet kita dapat memberi kita “kepuasan diri dan kemewahan awam”, seperti “taman bunga dan taman permainan, pusat sukan dan kolam renang awam, galeri kesenian, kebun komuniti dan rangkaian pengangkutan yang memuaskan” dan sebagainya. Tetapi Bumi tidak dapat mengekalkan impian mewah peribadi yang tidak hakiki untuk semua orang. Ahli ekonomi Kate Raworth dalam bukunya Doughnut Economics menyeru satu bentuk ekonomi yang “membawa kita kesejahteraan” sama ada ia bertumbuh atau tidak, “memenuhi keperluan semua orang dengan cara yang dibenarkan oleh planet ini”.

Bahkan kita harus berhenti menggunakan KDNK untuk mengukur kemajuan ekonomi, dan menggantinya dengan cara pengukuran yang lebih matang dan lebih mencerminkan kebenaran, iaitu cara pengukuran yang mempertimbangkan kesan kegiatan ekonomi terhadap ekologi dan sosial. Banyak ahli ekonomi terkenal, termasuk pemenang Hadiah Nobel dalam Sains Ekonomi, Joseph Stiglitz, telah menyeru untuk perubahan sedemikian selama bertahun-tahun (2) dan sekarang tibalah waktunya untuk berubah.

(E) Perubahan dalam sistem perbankan dan kewangan

Pada bulan November tahun lalu, beberapa orang cendekiawan menulis dalam portal Malaysiakini mencadangkan bahawa sebahagian hutang isi rumah harus dibatalkan untuk mengurangkan beban rakyat kerana pandemik ini (18). Sekarang kita mengetahui peranan hutang dalam memacu pengumpulan modal dan pertumbuhan ekonomi serta berkait rapat dengan pemanasan global, maka permintaan sedemikian juga harus menjadi unsur perubahan dalam sistem perbankan dan kewangan.

Namun, pengurangan atau pembatalan hutang hanya penyelesaian jangka pendek. Dalam jangka panjang, kita perlu membuat perubahan yang lebih menyeluruh. Bank perlu menyimpan lebih banyak rizab (reserve requirement) di sebalik pinjaman yang dikeluarkan mereka supaya mengelakkan keadaan “pinjaman berlebihan” atau “penciptaan matawang yang berlebihan”. Kita mesti mengingati bahawa “wang yang dicipta” kena bayar balik pada masa akan datang. Dengan erti kata lain, akan ada tuntutan syarat rizab 100%. Sekiranya bank hanya mempunyai satu bahagian simpanan, bank tersebut hanya boleh membenarkan satu bahagian pinjaman. Ini dapat membantu mengurangkan jumlah hutang yang dalam peredaran ekonomi kita secara berkesan dan membantu mengurangkan tekanan pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, daripada membiarkan bank perdagangan menciptakan wang melalui pinjaman, kita boleh membenarkan negara mengambil alih peranan untuk mencipta matawang dan kemudian menyuntik wang baru ke dalam ekonomi nyata (real economy) (19) dan bukannya memasuki saluran spekulasi kewangan, di mana ia hanya akan menguntungkan golongan mahakaya. Tanggungjawab mencipta wang akan dipikul oleh institusi yang bebas. Tidak seperti bank, institusi ini akan menjalankan tugasnya berdasarkan prinsip demokrasi, kebertanggungjawaban dan ketelusan. Oleh itu, matawang akan menjadi barangan awam (public good) (20) yang sebenar dan menjalankan aktiviti pengeluaran ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.

Bank Negara Malaysia memang boleh berubah menjadi institusi bebas yang disebut atas, tetapi perlu menyelaraskan matlamatnya yang “mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mampan”. Untuk mencapai “prinsip demokrasi, bertanggungjawab dan ketelusan”, pendekatan yang lebih radikal harus diterokai. Sebagai contoh, pada masa akan datang, semua anggota ahli lembaga harus dipilih oleh rakyat dan bukannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan Kementerian Kewangan.

(F) Menyerap konsep ekologi orang asli (atau kumpulan etnik lain) yang selaras dengan keharmonian alam semula jadi

Dalam hal ini, kita boleh mendapat banyak pengajaran daripada gerakan yang dipimpin oleh masyarakat orang asli dari Bolivia dan Ecuador. Tuntutan mereka untuk transformasi ekologi berpusat pada konsep “buen vivir”, seperti menumpukan pada hak untuk kehidupan yang lebih baik dengan menentang gaya hidup yang berdasarkan konsep keusangan terancang (planned obsolescence) (21), mementingkan peningkatan penggunaan dan penuh ketamakan. Perkataan “ubuntu” dalam Bahasa Bantu Afrika Selatan bermaksud “semua orang saling membantu untuk mengecapi pencapaian manusia”, dengan konsep selanjutnya untuk “menjalin hubungan dengan keseluruhan alam semesta”. Manakala kehidupan orang asli di negara kita juga penuh dengan kebijaksanaan yang hidup secara harmoni dengan alam semula jadi. Nilai-nilai sebegini harus ditinjau semula oleh masyarakat moden dan memasukkannya ke dalam sistem pengeluaran dan kehidupan masa kini.

**********

Nota:

(1) https://www.bnm.gov.my/introduction

(2) https://www.weforum.org/agenda/2016/04/beyond-gdp-is-it-time-to-rethink-the-way-we-measure-growth/

(3) Gas rumah hijau dan bahan pencemaran yang dikeluarkan oleh perindustrian terkumpul di langit, kebanyakannya datang dari negara yang memulakan pengeluaran industri terlebih dahulu, terutamanya negara maju di Eropah Barat dan Amerika Utara, cuma tinggal ruang yang sangat kecil untuk negara-negara lain membangun.

(4) Peredaran modal harus berterusan dengan kestabilan kelajuan tertentu, iaitu barang yang dihasilkan secara besar-besaran harus dijual dalam jangka waktu tertentu agar dapat berubah menjadi lebih banyak keuntungan dan kemudian sebagian daripada keuntungan tersebut akan dilabur semula ke dalam pengeluaran supaya kitaran peredaran dapat berterusan. Sekiranya kelajuan ini menghadapi halangan, ini akan menyulitkan peredaran modal, modal tidak dapat berkumpul dan pertumbuhan ekonomi akan terbantut yang seterusnya menyebabkan krisis.

(5) Salah satu ciri dalam sistem ekonomi kapitalis merupakan “timbunan komoditi yang tinggi”, komoditi yang tidak dapat dijual merupakan malapetaka bagi kelas kapitalis dan sistem ekonomi hari ini. Kadar pertumbuhan pengeluaran emas jauh lebih rendah daripada kadar pertumbuhan pengeluaran komoditi, sehingga emas tidak lagi dapat memenuhi keperluan peredaran komoditi yang terus berkembang.

(6) Hubungan antara kekuatan ketenteraan AS dan pelepasan karbon. Science 28 Feb 2020, Vol. 367, Issue 6481, pp. 989-990.

Sumber lain:https://theconversation.com/us-military-is-a-bigger-polluter-than-as-many-as-140-countries-shrinking-this-war-machine-is-a-must-119269

(7) Untuk maklumat lebih lanjut mengenai neoliberalisme dan Keynesianisme, perdagangan antarabangsa dan kepenggunaan yang berkait rapat dengan neoliberalisme, dan hubungannya dengan pemanasan global, sila rujuk huraian ringkas dalam rencana ke-4, ke-5 dan ke-6 Siri Pemanasan Global.

(8) https://www.thestar.com.my/business/business-news/2021/05/10/dogecoin-loses-third-of-price-after-elon-musk-calls-it-a-039hustle039-on-039snl039

https://www.cnbc.com/2021/05/09/spacex-accepts-dogecoin-payment-for-doge-1-mission-to-the-moon.html

(9) Banyak cendekiawan mengulas bentuk wang elektronik dan kriptowang sebagai revolusi dalam bentuk mata wang yang pasti dapat mempercepatkan peredaran dan pengumpulan modal. Berikut rencana yang menerangkan hubungan antara kriptowang dengan pemanasan global.

https://www.bloomberg.com/opinion/articles/2021-01-26/is-bitcoin-mining-worth-the-environmental-cost

https://www.bbc.com/news/technology-56012952

(10) Krisis minyak tahun 1973 berlaku apabila negara-negara Arab yang mengeksport minyak melaksanakan embargo minyak kerana mereka tidak berpuas hati dengan negara-negara Barat yang menyokong Israel dalam Perang Timur Tengah ke-4.

(11) Teori Overaccumulation percaya bahawa krisis disebabkan oleh pengeluaran yang tidak mencukupi. Oleh kerana modal tidak dapat dipertingkatkan sepenuhnya, dengan erti kata yang lebih senang difahami ialah keuntungan jatuh, ini membawa kepada pengurangan pelaburan dan pekerjaan sehingga penurunan pekerjaan serta pengurangan jumlah modal secara sampai satu tahap mencukupi untuk menaikkan semula kadar keuntungan.

(12) Pelaburan yang “dirasionalisasikan” merujuk kepada mempermudahkan proses yang tidak perlu dan meningkatkan kecekapan pengurusan dan operasi, strategi yang biasa termasuk penggunaan mesin di rangkaian pengeluaran. Biasanya juga bermaksud pengurangan bilangan pekerja.

(13) https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/12/03/nearly-100000-workers-lost-jobs-due-to-covid-19-says-deputy-minister/1928475

(14) Karl Marx menggambarkan “kewujudan modal penuh dengan percanggahan”. Sebagai contoh, untuk menjadikan sektor pengeluaran menguntungkan, golongan kapitalis cenderung untuk mengurangkan gaji pekerja, tetapi ini akan menyebabkan kemerosotan kuasa beli. Manakala kenaikan gaji pekerja supaya memastikan peningkatan kuasa beli, tetapi ini pula membawa kemerosotan keuntungan sektor pengeluaran yang tidak memanfaatkan pelaburan. Terlalu banyak “percanggahan” yang serupa dalam kapitalisme kerana ini merupakan sifat modal itu sendiri dan akhirnya akan menyebabkan krisis ekonomi.

(15) Belanjawan karbon (carbon budget) merupakan had atas jumlah pelepasan karbon dioksida yang dibenarkan untuk mengekalkan suhu pada nilai tertentu dalam jangka waktu tertentu.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk kepada: https://carbontracker.org/carbon-budgets-where-are-we-now/#:~:text=Carbon%20budgets%20%E2%80%93%20the%20amount%20of,change%20debate%20in%20recent%20years.

(16) This Changes Everything: Capitalism vs. The Climate yang ditulis oleh Naomi Klien.

(17) Untuk maklumat lebih lanjut mengenai zon pengorbanan dengan pemanasan global, sila rujuk huraian ringkas dalam rencana ke-2 dan ke-3 Siri Pemanasan Global.

(18) https://www.malaysiakini.com/letters/549283

(19) Ekonomi nyata (real economy) melibatkan pengeluaran, pembelian dan peredaran komoditi dan perkhidmatan (seperti minyak, roti dan tenaga kerja) dalam ekonomi. Ia berbeza dengan ekonomi kewangan (financial economy) yang melibatkan transaksi wang fiat dan aset kewangan yang lain, termasuk keperluan pemilikan atau pemilikan komoditi dan perkhidmatan dalam bidang ekonomi nyata.

(20) Barangan awam (public good), satu klasifikasi jenis komoditi dalam ekonomi. Dari sudut permintaan, ia bersifat “bukan kompetitif”, manakala dari sudut penawaran, ia bersifat “bukan eksklusif”. Contoh barangan awam yang paling biasa ialah program televisyen percuma atau sistem amaran bencana. Ini berbeza dengan barangan bersama (common good) seperti ikan liar di dalam laut. Barang sama bersifat “bukan eksklusif”, tetapi “kompetitif”.

(21) Keusangan terancang (planned obsolescence) merupakan strategi industri yang sengaja mereka bentuk produk dengan jangka hayat terhad sehingga produk tersebut tidak lagi dapat digunakan setelah jangka waktu tertentu.

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

Siri Pemanasan Global (5): Merah dan Hijau

Siri Pemanasan Global (6): Beli! Beli! Beli!

Siri Pemanasan Global (8): “Aku tidak percaya pada pemanasan global”

Siri Pemanassan Global (9): Melangkaui petroleum

Siri Pemanassan Global (10): Pasaran Hijau yang penuh keajaiban

Siri Pemanasan Global (11): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 1)

Siri Pemanasan Global (12): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 2)

Siri Pemanasan Global (13): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 3)

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

9 thoughts on “Wabak penyakit perampasan yang tidak terhingga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *