BANTING, SELANGOR – 24 SEPTEMBER 2021: Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan penduduk-penduduk tempatan melahirkan rasa kebimbangan terhadap pembukaan semula sebuah kilang bateri di Kampung Jenjarom, Kuala Langat, Selangor. Mereka telah menyuarakan bantahan terhadap pembukaan semula kilang bateri milikan Federal Power Holding Sdn. Bhd. ini dalam satu perjumpaan town hall yang diadakan di Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pada hari ini.

Satu memorandum bantahan telah diserahkan kepada MPKL dengan seruan untuk membatalkan rancangan pembukaan semula kilang bateri yang terletak di Kampung Jenjarom. Wakil daripada kumpulan masyarakat sivil tidak dapat menyertai langsung town hall pada hari ini kerana ia hanya untuk orang tertentu yang dijemput oleh pihak penganjur sahaja, maka mereka menyerahkan memorandum ini selepas selesainya sesi town hall. Memorandum yang ditujukan kepada Amirul Azizan Bin Abd Rahim selaku Yang Dipertua MPKL ini disokong oleh 11 buah organisasi, termasuk Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center), Greenpeace Malaysia, Five Arts Centre, MISI: Solidariti, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) Malaysia, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Treat Every Environment Special (TrEES) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Walaupun pihak pengurusan kilang menyatakan bahawa kilang baharu yang akan dibuka itu ialah kilang bateri solar dan bukannya kilang asid plumbum, tetapi penduduk tempatan bimbang tentang kemungkinan kilang tersebut menjalankan operasi-operasi yang boleh membahayakan nyawa dan keselamatan penduduk setempat serta alam sekitar, seperti pencemaran peleburan plumbum yang pernah berlaku sebelum ini di premis kilang yang sama. Kebimbangan penduduk tempatan di Kampung Jenjarom tentang kilang bateri ini memang bukannya perkara yang baharu, kerana mereka pernah mengalami insiden pencemaran sebegini. Para penduduk berpandangan bahawa tiada jaminan untuk pihak kilang tidak melakukan perkara yang membawa kemudaratan. Sebelum ini, kilang yang lama tidak mengatakan bahawa ia akan menjalankan peleburan plumbum, tetapi peleburan plumbum tetap dijalankan.

Kilang bateri di Kampung Jenjarom ini mula beroperasi pada tahun 2014. Pada tahun 2017, satu kebakaran berlaku di kilang tersebut, menyebabkan 1,200 tan bahan mentah musnah, di mana bahan mentah berkenaan termasuk asid sulfurik dan plumbum. Kilang tersebut kembali beroperasi pada tahun 2018 selepas pulih daripada kebakaran. Namun, kilang tersebut telah menjalankan proses peleburan logam plumbum yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa. Pada bulan November 2018, penduduk-penduduk Kampung Jenjarom mengadu bahawa terjumpa air berasid di sekitar kilang. Satu siasatan bersama telah dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor. Pada 19 April 2019, Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab dalam hal ehwal alam sekitar, Hee Loy Sian, mengarahkan pemberhentian sementara operasi kilang tersebut kerana ia didapati menyebabkan pencemaran tanah dan sungai di kawasan Kampung Jenjarom. Pada masa itu, penduduk-penduduk Kampung Jenjarom telah berprotes di hadapan kilang tersebut untuk menuntut penutupannya. Kilang tersebut telah menghadapi 4 pertuduhan kerana tidak mematuhi syarat pengurusan sisa terkawal di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, malah dikompaun sebanyak 6 kali, dengan jumlah denda sebanyak RM12,000 untuk kesalahan yang sama.

Susulan daripada siasatan bersama oleh badan-badan kerajaan yang berkenaan, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor telah mengambil keputusan pada 3 Oktober 2019 untuk memberhentikan operasi kilang tersebut. Kilang tersebut kemudiannya diambilalih oleh Federal Power Holdings Sdn Bhd pada bulan Jun 2020, dengan tujuan untuk membuka semula operasi kilang.

Walaupun pihak MPKL yang berkuasa dalam meluluskan operasi kilang itu mengambil langkah untuk menjalankan sesi libat urus dengan penduduk kampung, tetapi penduduk-penduduk setempat dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil memberi peringatan bahawa sesi libat urus sepatutnya dijalankan secara telus dan ikhlas, bukannya sekadar lakonan untuk memenuhi keperluan prosedur kelulusan permohonan pembukaan kilang tersebut.

Penduduk-penduduk tempatan dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil menegaskan pendirian mereka bahawa kilang perindustrian berat yang berisiko tinggi seperti kilang bateri sebegini tidak patut dibenarkan untuk beroperasi di atas lot industri sederhana. Lebih-lebih lagi, kilang yang berkenaan mempunyai sejarah pelanggaran undang-undang dan membawa pencemaran kepada kawasan persekitarannya.

Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil yang menyerahkan memorandum bantahan kepada MPKL, juga mengetengahkan pelbagai masalah kecuaian dan ketidaktelusan pihak berkuasa sebelum ini berkaitan dengan kilang bateri di Kampung Jenjarom. Adalah menjadi persoalan bagaimana kilang tersebut boleh menjalankan peleburan plumbum untuk tempoh lebih daripada setahun tanpa dikesan oleh mana-mana agensi kerajaan yang bertanggungjawab. Begitu juga dengan persoalan bagaimana kilang tersebut dapat beroperasi tanpa lesen yang sah untuk lebih daripada 3 tahun dan tidak dapat dikesan oleh mana-mana agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

Yang turut menjadi persoalan untuk penduduk-penduduk tempatan ialah Pengerusi Federal Power Holdings Sdn Bhd itu pernah dituduh di mahkamah pada tahun 2018 kerana menerima rasuah sebanyak RM58,000. Sejarah hitam kepimpinan tinggi syarikat yang akan memulihkan operasi kilang bateri ini menimbulkan kekhuatiran dalam kalangan penduduk-penduduk tempatan untuk mempercayai janji-janji yang ditaburkan oleh pihak syarikat berkenaan dengan operasi kilang.

Memorandum daripada organisasi-organisasi yang prihatin diserahkan kepada Yang Dipertua MPKL, Amirul Azizan (nombor dua dari kanan).

Tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum yang diserahkan kepada MPKL ialah:

  • MPKL tidak harus memberi lesen operasi kepada pembukaan kilang bateri di kawasan Kampung Jenjarom atau mana-mana kawasan yang berhampiran dengan petempatan penduduk;
  • MPKL harus mempelawa pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil untuk memperoleh pendapat atau pandangan terhadap projek-projek yang mungkin memberi kemudaratan kepada keselamatan manusia dan kelestarian alam sekitar pada masa hadapan;
  • MPKL harus mengemukakan semua laporan hasil kajian daripada agensi-agensi kerajaan pada tahun 2019, yang membawa kepada keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor untuk membatalkan lesen kilang bateri di Kampung Jenjarom sebelum ini. 

2 thoughts on “Batalkan pembukaan semula kilang bateri di Kampung Jenjarom

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *