Siri Pemanasan Global (10)

oleh Brian Khow

Pernahkah anda mendengar tentang mekanisme yang ajaib ini: Jika anda bersalah, derma untuk kerja amal dan sebahagian dosa anda akan dihapuskan dengan cara tersebut, walaupun bukan semuanya dihapuskan.

Mari kita menukarkan mekanisme ini kepada senario yang lain: bayangkan jika Encik A di Kuala Lumpur ingin melancong ke Jepun dengan kapal terbang, tetapi dia mengetahui bahawa pemanasan global disebabkan oleh lapisan karbon dioksida di atmosfera, sementara kapal terbang yang beroperasi akan melepaskan gas ekzos yang mengandungi karbon dioksida ke dalam atmosfera. Dia teringat tentang ribut yang memusnahkan rumahnya setengah tahun yang lalu. Dia tidak pernah mengalami angin dan hujan yang begitu dahsyat sepanjang 40 tahun umurnya. Jabatan Meteorologi akhirnya mengakui bahawa ribut itu merupakan kesan daripada perubahan iklim. Nasib baik dia memiliki sebuah rumah kediaman lain di tempat berjarak 500 kilometer dari situ, dan dia segera berpindah ke sana bersama isteri dan anaknya. Sebelum menempah tiket penerbangan secara atas talian, dia memandang pada anak perempuannya yang berusia 3 tahun. Dia berasa berdosa kerana anak kecil kesayangannya ini akan menderita kerana perbuatannya, ribut sedemikian hanya akan meningkat pada masa depan. Bagi mengurangkan rasa berdosanya, syarikat penerbangan itu terus menawarkan “carbon offset” kepadanya, dengan hanya menekan butang membayar lebih untuk membeli pakej tersebut. Kononnya, wang yang dibayar lebih itu akan digunakan untuk menanam pokok supaya mengurangkan bencana yang disebabkan oleh pemanasan global dan perubahan iklim. Ini bermakna anak perempuannya akan terhindar daripada malapetaka…

Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) mengadakan latihan ketenteraan yang biasanya dikenali sebagai “Elephant Walk” pada Januari tahun lalu, menunjukkan keupayaannya untuk mengerahkan sejumlah besar jet pejuang pada masa yang sama. Angkatan tentera AS ialah kuasa penting untuk mengekalkan hegemoni kuasa imperialisnya selain dolar AS. Dari pembinaan hingga pengerahan, angkatan tentera tersebut melepaskan karbon dalam jumlah yang begitu menakjubkan. Pelepasan karbon daripada 52 buah jet pejuang dalam gambar di atas memadai untuk golongan progresif menuntut AS supaya mengurangkan perbelanjaan ketenteraannya. Malah, golongan ekososialis berpendapat bahawa setiap negara harus memansuhkan angkatan tentera secara amnya, seterusnya mengalihkan perbelanjaan kepada transformasi selaras dengan hasrat pengurangan pelepasan karbon yang menegakkan keadilan iklim. (foto: airforcemag.com)  
Pengimbangan karbon (carbon offset) boleh dikembangkan daripada bidang penggunaan individu, sehingga meliputi bidang perusahaan dan aktiviti ekonomi lain dengan sedikit pengubahsuaian. Contohnya, dengan mengira keupayaan sebuah kawasan hutan untuk menyerap atau mengekalkan karbon dioksida, kapasiti ini boleh ditukar menjadi komoditi atau kuota, dan kemudian dijual kepada kilang supaya kilang itu dapat “mengimbangi” pelepasan karbonnya.

Hujan asid membuka satu pasaran baharu

Pada tahun 1970-an, pemulihan industri Eropah selepas Perang Dunia II bermakna pembakaran arang batu yang semakin meningkat. Penyelesaian untuk masalah ini bukannya mengurangkan pembakaran arang batu, tetapi beralih kepada membakar lebih banyak petroleum. Kedua-dua bahan api fosil ini mengandungi sulfur, jadi ia dilepaskan ke atmosfera Eropah dengan peningkatan dua kali ganda dalam tempoh 20 tahun. Ini membawa kesan yang teruk.

Seorang ahli sains Norway yang bernama Brynjulf ​​​​Ottar telah membunyikan loceng amaran yang terawal tentang isu tersebut. Beliau menyatakan bahawa hujan di Eropah telah menjadi berasid. Pada tahun 1955, ia terhad kepada bahagian tengah benua Eropah, tetapi merebak ke Sweden dan bahagian selatan Norway 15 tahun kemudian. Hujan asid membawa bencana kepada banyak hutan, sungai dan tasik. Satu perempat daripada 90,000 buah tasik di Sweden terjejas oleh hujan asid, dan organisma yang hidup di 4,000 buah tasik tersebut telah menemui ajal. Banyak pokok pinus yang sihat pada asalnya telah menjadi gondol. Hujan asid juga muncul di tasik dan hutan di bahagian timur Kanada dan kawasan berhampiran dengan Amerika Syarikat (nota 1).

Hujan asid bukan sahaja mengubah rupa hutan pinus menjadi gondol, malah juga menghakiskan ukiran bangunan dan taman sehingga tidak dapat dicam. (foto: researchgate.net)

Hujan asid yang disebabkan oleh pencemaran sulfur merupakan isu serantau. Perkembangan seterusnya mirip dengan penyangkalan iklim hari ini. Golongan elit sengaja mengabaikan fakta yang diketahui dan mengalihkan tumpuan rakyat jelata. Titik perubahan berlaku pada tahun 1988, apabila Bush Sr. mengambilalih kuasa sebagai Presiden AS dan berjanji untuk mengambil tindakan terhadap hujan asid. Oleh sebab pelepasan sulfur dioksida merupakan punca utama hujan asid, maka penyelesaiannya melibatkan pengurangan pelepasan sulfur dioksida secara menyeluruh.

Environmental Defense Fund (EDF) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang pada asalnya terdiri daripada segolongan ahli sains dan peguam yang berpegang pada idea-idea progresif, dengan slogan tidak rasminya “saman si bangsat tu”. Mereka mengambil tindakan undang-undang terawal terhadap korporat besar yang menyebabkan pencemaran, mendorong kerajaan Amerika Syarikat untuk mengharamkan DDT sebagai racun perosak. Hasilnya, banyak burung yang mengalami kepupusan akibat penggunaan DDT Kembali makmur semula. Namun begitu, EDF yang dahulunya penuh dengan moral berjuang telah dipengaruhi oleh ideologi neoliberal pada tahun 1980-an, bertukar wajahnya daripada “saman si bangsat tu” kepada “mewujudkan pasaran untuk si bangsat tu”.

Generasi baharu pencinta alam sekitar yang berpihak kepada golongan korporat mula menakluki seluruh dunia dan pada masa yang sama membawa “strategi kempen yang baharu”. EDF tidak menuntut pengurangan pelepasan sulfur dioksida secara menyeluruh, tetapi mempromosikan “sistem kawalan kapasiti dan perdagangan” (cap and trade) matang yang pertama. Sistem “sulfur offset” ini bagaikan satu pasaran jual beli, di mana sejumlah besar pihak pencemar, seperti stesen penjana kuasa elektrik arang batu, membayar untuk kuota pelepasan dan mereka boleh mengeluarkan sulfur dioksida secara sah, atau menjual kuota berlebihan kepada sesiapa yang ingin melepaskan sulfur dioksida supaya menjana keuntungan daripada aktiviti jualan tersebut.

Strategi kempen yang baharu ini berjaya. Pengendalian keuntungan menjadi motif untuk menyelesaikan masalah alam sekitar telah menarik minat ahli kewangan dari Wall Street. Antaranya, Julian Robertson, yang menubuhkan dana lindung nilai “Tiger Foundation”, telah menaja sehingga 40 juta dolar AS untuk kerja EDF.

Peraturan hutan rimba

Negara-negara yang menandatangani Protokol Kyoto 1997 telah mencapai konsensus secara meluas. Negara yang kaya dan maju mempunyai tanggungjawab untuk kebanyakan pelepasan karbon dalam sejarah, jadi mereka mesti menetapkan pelepasan maksimum mereka dan kemudian mengurangkannya secara berperingkat. Semua pihak beranggapan bahawa setiap kerajaan akan melakukan perkara yang sama, menguatkuasakan peraturan domestik yang ketat untuk mengurangkan pelepasan di wilayah masing-masing dan pada masa yang sama memulakan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.

Apabila kerajaan Amerika Syarikat yang diwakili oleh Presiden Bill Clinton menyertai rundingan pada masa itu, cadangan untuk meniru model “sistem kawalan kapasiti dan perdagangan” yang pernah digunakan untuk menangani hujan asid dikemukakan semula dan seterusnya mewujudkan sistem perdagangan karbon antarabangsa. Sebelum persidangan di Kyoto dimulakan, EDF bekerjasama rapat dengan pejabat Naib Presiden Al Gore (nota 2) untuk membangunkan sistem ini.

Pelan ini tidak memerlukan negara maju untuk mengurangkan jumlah pelepasan gas rumah hijau yang ditetapkan secara langsung, tetapi mengeluarkan permit pencemaran dan menjualnya kepada sektor perusahaan. Projek-projek yang mengecualikan karbon daripada atmosfera boleh ditukar menjadi hak karbon (carbon rights), sama ada rancangan penanaman pokok untuk menyimpan karbon, penghasilan sumber tenaga yang pelepasan karbonnya minimum atau menaik taraf kilang yang mesinnya sudah usang untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Selagi hak karbon ditukarkan kepada kredit karbon, ia boleh dijual kepada syarikat untuk mengimbangi pelepasan karbon mereka. Dalam erti kata lain, anda boleh melepaskan karbon dioksida ke udara sewenang-wenangnya selagi anda mempunyai wang untuk membayar. Jika negara berkenaan mempunyai perancangan yang sebegitu, syarikat-syarikat boleh memperdagangkan kredit tersebut, selagi kapasiti pelepasan negara berkenaan kekal di bawah jumlah keseluruhan.

Kerajaan Amerika Syarikat amat bergiat dalam pendekatan ini, maka sama ada perdagangan karbon dimasukkan ke dalam mesyuarat rundingan di Kyoto telah menjadi faktor perpecahan pendapat yang utama. Bekas Menteri Alam Sekitar Perancis, Dominique Voynet, menyifatkan ini sebagai konflik “perselisihan terlampau” antara Amerika Syarikat dan Eropah. Wakil Eropah percaya bahawa mewujudkan pasaran karbon antarabangsa merupakan perbuatan yang membiarkan krisis iklim kepada “peraturan hutan rimba” (nota 3). Manakala Menteri Alam Sekitar Jerman ketika itu Angela Merkel menegaskan, “Matlamatnya sangat jelas, iaitu, negara maju tidak dibenarkan untuk memenuhi kewajipan mereka melalui perdagangan karbon dan penjanaan keuntungan semata-matanya.”

Pasaran karbon diumpamakan sebagai hutan rimba oleh wakil Perancis ini memang menjadi suatu amaran di mana yang lemah akan dikalahkan dalam persaingan. Namun pada hakikatnya, “raja rimba” yang menguasai dunia pada masa itu, iaitu Amerika Syarikat, telah menang di meja rundingan selepas pertempuran sengit ini. Yang menjadi ironi terbesar dalam sejarah perlindungan alam sekitar adalah, Amerika Syarikat tidak meratifikasi Protokol Kyoto. Rancangan penubuhan pasaran karbon yang paling penting telah diwujudkan di seberang Lautan Atlantik walaupun Eropah yang pada mulanya menentang mekanisme ini dengan hebatnya. “EU Emissions Trading System” atau lebih dikenali EU ETS telah dilancarkan pada tahun 2005 dan terus disepadukan dengan “Clean Development Mechanism” (CDM) dalam Protokol Kyoto secara rapat (nota 4).

Filem “Contagion” memaparkan kisah virus yang mirip SARS telah tersebar ke seluruh dunia. Filem yang diterbitkan 10 tahun yang lalu ini menjadi popular sekali lagi disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang terkini. Salah satu adegan paling klasik dalam filem ini merupakan dinding dalam gambar ini. Sebutan Nabi (Prophet) dan keuntungan (Profit) dalam bahasa Inggeris hampir serupa. Bagi penulis, ia menunjukkan satu kepercayaan yang dimeterai dalam sistem kapitalis. (foto: IMDb)

Pasaran karbon sedang berkembang pesat. Bank Dunia menganggarkan bahawa jumlah urus niaga pasaran karbon global melebihi 500 bilion dolar AS dari tahun 2005 hingga 2010. Jumlah urus niaga pada tahun 2019 dan 2020 masing-masing ialah 45 bilion dan 53 bilion dolar AS, dengan jumlah nilai hampir 100 bilion dolar AS (nota 5). Pasaran karbon terbesar dunia juga dilancarkan di China pada pertengahan tahun 2021, dengan lebih 2,000 buah syarikat penjana kuasa terlibat dalam fasa pertama pelancaran tersebut. Kementerian Alam Sekitar Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mengumumkan bahawa kabinet bersetuju untuk mewujudkan pasaran karbon antarabangsa dan domestik pada 18 September tahun ini.

Bukan itu sahaja, terdapat sejumlah besar projek di seluruh dunia yang berperanan untuk mewujudkan hak karbon. Kredit diwujudkan untuk diniagakan di pasaran setelah pihak berkuasa mengesahkan bahawa projek berkenaan telah menghapuskan atau mengurangkan pelepasan karbon. Sepanjang wabak COVID-19 berleluasa dan kemelesetan ekonomi, pasaran karbon masih menunjukkan pertumbuhan yang ketara. Bilangan projek berdaftar telah meningkat sebanyak 11%, daripada 16,854 pada tahun 2019 kepada 18,664 pada tahun 2020.

Mengikut cara kredit karbon dijana dan diuruskan, Bank Dunia membahagikan mekanisme berkenaan kepada tiga kategori, iaitu mekanisme antarabangsa yang dikawalselia oleh perjanjian iklim antarabangsa dan institusi antarabangsa, mekanisme domestik yang diuruskan oleh kerajaan masing-masing dan akhir sekali mekanisme bebas yang melibatkan pertubuhan swasta atau pertubuhan bukan kerajaan yang memainkan peranan sebagai pihak ketiga dalam pengurusan.

CDM yang disebut di atas berada di bawah mekanisme antarabangsa, mendaftarkan lebih daripada 7,000 projek pada awal tahun 2014, malah pada tahun 2021, apabila virus SARS-CoV-2 masih merebak, terdapat kira-kira 8,000 projek berdaftar di bawahnya. Namun, pasaran karbon sebenarnya dikuasai oleh piawaian kredit karbon di bawah mekanisme bebas. Pada tahun 2020, separuh daripada kredit karbon dikeluarkan oleh piawaian bebas, seperti Verified Carbon Standard (VCS) yang dikawal oleh organisasi bernama VERRA. Berbanding dengan tahun 2019, kuota yang dikeluarkan oleh jenis piawaian ini telah meningkat sebanyak 30%.

Cita-cita golongan fundamentalis pasaran bebas

Dunia kini yang berada di bawah pengaruh fundamentalisme pasaran bebas, doktrin yang sering muncul di tepi bibir merupakan penyahkawalseliaan terhadap peraturan yang menyekat pasaran dan memberi kuasa penuh kepada syarikat swasta untuk menguruskan pasaran. Pasaran yang bebas daripada kawalselia merupakan ubat mujarab untuk segala penyakit dan menjadi piawaian untuk segala penyelesaian.

Negara (atau sektor awam) tidak harus mencampurtangan dalam pasaran yang dikuasai oleh pihak swasta melainkan aktiviti pengumpulan modal menghadapi ancaman, seperti kemunculan krisis ekonomi, tanah yang dibeli mereka masih “dicerobohi” oleh petani kecil atau orang asli, penunjuk perasaan mencampak bom botol ke arah pejabat korporat, dan sebagainya.

Seperti yang sedia dimaklumkan, pasaran terdiri daripada komoditi dan harganya. Jadi, untuk menyelesaikan krisis iklim di bawah mekanisme pasaran, sudah tentu perlu untuk menukarkan gas rumah hijau, terutamanya karbon dioksida, kepada komoditi dan memberi harga kepada komoditi ini yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan disentuh dengan jari.

Salah satu simbol neoliberalisme, iaitu Bank Dunia, diberi peranan penting untuk mentakrif dan mempromosi mekanisme penetapan harga karbon (carbon pricing). Menurut Bank Dunia, mekanisme penetapan harga karbon merupakan alat yang digunakan untuk mengira kos yang perlu dibayar oleh orang ramai akibat pelepasan gas rumah hijau, seperti kos penjagaan kesihatan yang disebabkan oleh gelombang haba dan kemarau, kerosakan harta benda dan kemusnahan tanaman yang disebabkan oleh banjir dan kemarau. Dikatakan bahawa melalui mekanisme yang bercita-cita tinggi ini, institusi atau perusahaan yang perlu bertanggungjawab akan membayar kos tersebut.

Selain daripada sistem kawalan kapasiti dan perdagangan yang dinyatakan di atas, mekanisme penetapan harga karbon juga termasuk sistem garis asas dan kredit (baseline-and-credit systems), serta cukai karbon. Di bawah sistem garis asas dan kredit, garis asas pelepasan ditetapkan terhadap pihak pelepas karbon di bawah kawalan. Mereka yang pelepasannya lebih tinggi daripada garis asas yang ditetapkan perlu menyerahkan kredit untuk mengimbangi pelepasan ini, manakala pihak yang mengurangkan pelepasannya ke bawah garis asas akan diberi kredit yang sepadan dengan bahagian pengurangan ini dan boleh menjual kredit berkenaan kepada pihak lain.

Cara mudah untuk melaksanakan mekanisme penetapan harga karbon adalah dengan mengenakan cukai ke atas setiap tan pelepasan gas rumah hijau yang setara dengan karbon dioksida yang lebih dikenali dengan unitnya tCO2e. Nilai cukai ditetapkan oleh kerajaan dan jumlah pengurangan pelepasan ditentukan oleh pasaran. Kerajaan Malaysia juga bercadang untuk mengenakan cukai karbon. Penang Institute pernah mencadangkan kadar cukai promosi sebanyak 35 ringgit per tCO2e pada tahun 2019 dan kemudiannya dinaikkan kepada 150 ringgit menjelang akhir tahun 2030.

Menurut laporan Bank Dunia yang bertajuk “Pembangunan Mekanisme Penetapan Harga Karbon: Status Semasa dan Trend Masa Depan 2021”, kebanyakan negara sedang membangun di luar rantau Eropah mempunyai harga karbon di bawah 10 dolar AS (kira-kira 42 Ringgit Malaysia). Manakala Singapura dan Jepun yang merupakan dua ekonomi maju menetapkan harga karbonnya pada 4 dolar AS dan 3 dolar AS (kira-kira 17 dan 13 Ringgit Malaysia) masing-masing. Namun, apa yang menakjubkan ialah Afrika Selatan, sebuah ekonomi yang pesat membangun, menetapkan harga karbonnya pada 9 dolar AS (kira-kira 38 Ringgit Malaysia) (nota 6).

Adakah Malaysia akan mengamalkan Dasar Pandang Timur dengan menjadikan Jepun sebagai contoh, atau menerima cadangan Penang Institute, atau mengambil Afrika Selatan sebagai contoh dalam penetapan harga cukai karbon?  Walaupun dalam hujah Bank Dunia, mekanisme penetapan harga karbon mewajibkan syarikat membayar kos yang berkaitan, tetapi adakah kos itu akan dipindahkan untuk ditanggung oleh pengguna?

Sebernarnya, Penang Institute meramalkan bil elektrik bulanan untuk kediaman akan meningkat sebanyak 5 hingga 27 ringgit bergantung kepada cara penggunaan elektrik apabila mereka mengesyorkan kadar cukai tersebut. Kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Walau bagaimanapun, kebanyakan harga karbon masih jauh di bawah lingkungan yang diperlukan untuk mencapai sasaran 2°C yang dinyatakan dalam Perjanjian Paris, iaitu mencapai harga 40 hingga 80 dolar AS bagi setiap tan karbon dioksida pada tahun 2020. Harga di dalam lingkungan yang diperlukan hanya meliputi 3.76% pelepasan karbon antarabangsa. Kalau masih ingin mencapai sasaran 1.5°C, kami perlu meningkatkan harga karbon dalam tempoh sepuluh tahun akan datang secara berterusan.

Paparan graf daripada laporan Bank Dunia “Pembangunan Mekanisme Penetapan Harga Karbon: Status Semasa dan Trend Masa Depan 2021”. Penetapan harga karbon yang lebih rendah mencerminkan sasaran yang kurang bercita-cita tinggi. Hanya 3.76% pelepasan karbon terangkum dalam harga lebih tinggi daripada 40 dolar AS per tCO2e.

Pada tahun 1970-an, stagflasi berlaku di wilayah teras sistem kapitalis. Sebahagian kemelut ini dapat diselesaikan dengan bergantung kepada kepercayaan neoliberalisme yang mewujudkan persekitaran perdagangan dunia yang penuh dengan persaingan di peringkat global, dengan itu mengukuhkan aktiviti pengumpulan modal dan menyenangkan peredaran modal dalam sistem tersebut.

Banyak negara sedang membangun seperti Malaysia telah bergantung kepada peluang yang dibawa oleh gelombang transformasi ini untuk menarik pelaburan asing dengan mengorbankan rakyat dan alam sekitar untuk membangunkan industri dan ekonomi mereka sendiri. Corak pembangunan seperti ini sentiasa mendominasi pembangunan ekonomi di kebanyakan tempat di dunia.

Kawasan mana gajinya lebih rendah? Di mana undang-undang perlindungan alam sekitar paling longgar? Manakah kadar cukai paling rendah untuk syarikat? Ini merupakan masalah “daya saing” yang biasa kita dengar, ditambah dengan peredaran modal yang tiada batasan. Akibatnya, pengumpulan modal berkembang seiring dengan suhu global. Umpama ikan besar memakan ikan kecil, kebanyakan keuntungan yang dijana kembali ke pangkuan pemodal besar. Persaingan telah menyebabkan penumpuan modal dalam tangan segelintir kecil orang. Jurang antara yang kaya dan yang miskin semakin lebar, dan persekitaran alam sekitar telah dimusnahkan secara berleluasa.

Hampir semua negara sedang membangun, termasuk Malaysia, terperangkap dalam kitaran ini. Apabila kerajaan mengamalkan dasar yang bermanfaat kepada kelas pekerja atau alam sekitar, pemodal asing (malah pemodal domestik) mungkin mengancam untuk berhijrah ke kawasan lain yang menawarkan kos operasi yang lebih rendah. Malah bagi parti politik atau ahli politik yang paling progresif juga berasa tidak berkemampuan kerana risiko kehilangan undi. Selain penyusupan modal seperti penajaan oleh pemodal besar kepada parti politik semasa pilihanraya, logik ekonomi kapitalis telah menjadi salah satu sebab utama kenapa sistem demokrasi berparlimen tidak dapat menangani krisis iklim dengan berkesan.

Apabila Bank Dunia bersembang kencang tentang sumbangan cukai karbon kepada pengurangan pelepasan karbon, mengapa pula tidak menggalakkan, malah memaksa negara-negara untuk meningkatkan cukai korporat terlebih dahulu? Apabila kerajaan negara kita masih memerlukan masa untuk mengkaji dan menggubal dasar cukai karbon, lebih mudah secara teknikalnya untuk menaikkan cukai korporat yang sedia ada. Cukai yang dikutip akan digunakan untuk transformasi hijau atau untuk merapatkan jurang antara golongan kaya dan golongan miskin dengan segera. Kita jangan terjerumus dalam pandangan bahawa hanya pelaksanaan cukai karbon dapat membantu dalam mengurangkan pelepasan karbon kerana sistem percukaian terhadap syarikat korporat sememangnya satu perkara yang agak rumit.

Cukai korporat Malaysia telah dikurangkan daripada 35% pada tahun 1980-an kepada 24% kini untuk menggalakkan pelaburan asing ke dalam negara kita. Negara-negara ASEAN juga berlumba-lumba untuk mengurangkan cukai korporat supaya dapat bersaing untuk menarik pelaburan asing. Cukai korporat Singapura yang merupakan sebuah ekonomi maju, hanya 17% daripada keuntungan syarikat berkenaan. Jika negara kita melaksanakan cukai karbon, tetapi menurunkan cukai korporat lagi atau memberi insentif lain kepada syarikat supaya terus berdaya saing dalam pasaran bebas, maka ini hanya akan “offset” niat murni pelaksanaan cukai karbon.

Walaupun banyak pasaran karbon masih terhad kepada peserta dalaman, tetapi beberapa sistem perdagangan karbon yang penting juga dibuka kepada sektor kewangan. Dalam sistem perdagangan pelepasan karbon Kesatuan Eropah (EU), bahagian kredit yang dibeli oleh syarikat pelaburan dan institusi kewangan telah meningkat daripada 37.3% pada tahun 2018 kepada 43.7% pada tahun 2020. Penyertaan aktif daripada industri kewangan menunjukkan bahawa mereka mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan penjanaan keuntungan daripada pasaran karbon.

Pada masa yang sama, ia juga menunjukkan bahawa gas rumah hijau yang tidak dapat dilihat dan disentuh telah menyelesaikan proses transformasi komodifikasi dan kini sedang menuju ke arah proses finansialisasi (nota 7). Ini merupakan berita baik untuk golongan yang mempunyai jumlah wang simpanan yang amat banyak. Lagipun, pemilikan wang simpanan tetapi tidak digunakan dalam pelaburan adalah satu dosa di bawah sistem kapitalis.

Cita-cita golongan fundamentalis pasaran untuk menyelesaikan krisis iklim dengan bergantung kepada pasaran bukan sesuatu yang benar, sebaliknya hasrat sebenarnya mereka adalah terus memerah alam semula jadi dan kelas yang dikongkong melalui krisis ini. Bank Dunia asyik mengadu tentang harga karbon yang tidak mencapai standard yang diperlukan dalam laporannya, tetapi tidak meneliti secara kritis kepercayaan mereka terhadap pasaran bebas.

Tangan yang ghaib di Bandar Kewangan London

Untuk menangani krisis iklim, kerajaan seluruh dunia telah mencadangkan rancangan untuk memperlahankan atau menghentikan penebangan hutan. Cadangan ini telah ditandatangani pada tahun 2007 dan dipanggil REDD+. Secara asasnya, negara sedang membangun akan dibayar untuk menghentikan penebangan hutan. Keupayaan hutan menyerap karbon dioksida digabungkan dengan pasaran. Syarikat penerbangan, syarikat bahan api fosil, bank dan mana-mana syarikat yang ingin mengimbangi pelepasan kendiri boleh menyediakan dana kepada pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti untuk melindungi hutan. Secara umumnya, komuniti yang diamanahkan untuk menjaga hutan merupakan kumpulan yang dipinggirkan oleh masyarakat arus perdana, seperti orang asli atau petani kecil yang asalnya menetap di tepi hutan.

Pada abad ke-19, semasa era sistem piawaian emas dan Imperialisme British, London telah tampil sebagai ibu kota kewangan antarabangsa dengan hegemoninya. Sejak tahun 1950-an, London telah memberikan dirinya peranan baharu untuk menjadi hab utama peringkat antarabangsa bagi pembiayaan dolar AS di luar pesisir. Sejak Margaret Thatcher yang bersungguh-sungguh mempromosikan fahaman neoliberalisme melancarkan rancangan penyahkawalseliaan yang disebut “Big Bang” pada tahun 1986, pintu London telah dibuka terus kepada modal asing dari Amerika Syarikat, Asia dan Eropah. Pusat kewangan dengan penyahkawalseliaan terhadap deposit dan pinjaman dolar AS agak menarik untuk spekulator.

Aktivis-aktivis sosial berkumpul berhampiran Bank of England sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26) yang diadakan di Glasgow, Scotland, pada tahun ini. Mereka bersedia untuk berdemonstrasi di sepanjang jalan dan menuntut pemimpin semua negara supaya mengambil langkah yang perlu untuk mengurangkan kemudaratan yang disebabkan oleh perubahan iklim. (foto: David Cliff/AP Photo)

Kira-kira 35 tahun kemudian, pada bulan Mac tahun ini, Menteri Kewangan Britain, Rishi Sunak, menyatakan bahawa London akan diberi status sebagai pusat perdagangan karbon sukarela global. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dalam penggabungan krisis iklim dengan pusat kewangan yang dinyahkawalselia? Harga gas rumah hijau mungkin dimanipulasi oleh golongan pelabur, harga mungkin menjadi tidak stabil, tetapi juga mungkin agak stabil secara relatif (nota 8). Walau apa jua hasilnya, komuniti yang terlibat akan dimanipulasi oleh “tangan yang ghaib” daripada sektor kewangan.

Pembiayaan untuk melindungi hutan melalui sistem ini pada asalnya tidak lengkap. Banyak organisasi yang menjunjung pada prinsip keadilan iklim telah mendedahkan bahawa banyak komuniti yang diamanahkan untuk berbuat demikian tidak menerima dana tersebut. Ketidakstabilan harga bermakna dana yang berkaitan akan terputus-putus dan syarikat terlibat mungkin menggunakan ini sebagai alasan untuk menangguhkan pembayaran. Manakala harga yang agak stabil hanya akan merangsang pelaburan jangka panjang dan seterusnya menggalakkan perampasan tanah.

Hutan hujan di Banjaran Titiwangsa Semenanjung Malaysia. Pada 2 November 2021, lebih daripada 100 buah kerajaan telah menandatangani “Perisytiharan Glasgow mengenai Hutan dan Penggunaan Tanah” ketika COP26 berlangsung. Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, percaya bahawa perjanjian ini merupakan satu “detik penting” yang “belum pernah terjadi sebelum ini dalam perlindungan dan pemuliharaan hutan di bumi”. “Detik yang belum pernah terjadi sebelum ini” sebenarnya dapat dijejak kembali kira-kira 30 tahun yang lalu, pada Sidang Kemuncak Bumi yang diadakan di Rio de Janeiro, Brazil, di mana tercapainya konsensus mengenai pengurusan hutan dan pembangunan mampan yang tidak terikat secara sah di sisi undang-undang. Pada Sidang Kemuncak Iklim 2014, kerajaan-kerajaan negara di dunia menandatangani “Perisytiharan New York mengenai Hutan” yang juga tidak terikat secara sah di sisi undang-undang, dengan matlamat mengurangkan separuh penebangan hutan menjelang tahun 2020 dan berusaha untuk menghentikan penebangan hutan menjelang tahun 2030. Namun, dunia kita semakin jauh daripada matlamat ini. Penyahhutanan hutan hujan tropika tidak berkurangan. Sebaliknya, hutan terus lenyap pada kadar yang tidak mampan setiap tahun dengan keluasan sebesar Korea Selatan. 12 buah negara berjanji untuk menyediakan 12 bilion dolar AS antara tahun 2021 hingga 2025 selaras dengan Perisytiharan Glasgow untuk kerja pemulihan tanah yang terosot dan menangani masalah kebakaran hutan. Dijangka kebanyakan dana akan disuntik ke dalam Dana FCPF (Forest Carbon Partnership Facility) yang berada di bawah Bank Dunia, yang berkaitan dengan REDD+. Walaupun FCPF telah membiayai lebih daripada 1 bilion dolar AS untuk menyokong projek berkenaan, mekanisme ini tetap gagal menyelamatkan paru-paru hijau planet ini.

Bayangkan satu senario di pejabat yang berada di Bank Street, Canary Wharf, London: Bank Pelaburan A memerlukan wang tunai untuk kegunaan urusan harian. Apa yang Bank A boleh lakukan ialah menggadaikan kredit karbon dalam tangannya kepada Bank B kerana ia tidak serupa dengan bank biasa yang terdapat deposit pelanggan yang boleh digunakan. Kredit karbon akan ditebus oleh Bank A dari Bank B dengan bayaran faedah seminggu kemudian. Bagaimanakah anda akan menangani timbunan barang gadai di dalam gudang? Pendekatan Bank B ialah untuk menggadaikan kredit karbon yang asalnya dimiliki oleh Bank A kepada bank yang lain, misalnya Bank C, untuk urus niaga jangka pendek bagi “menjanakan lebih banyak wang” dan seterus membayar faedah untuk menebus kredit karbon berkenaan dari Bank C selepas 3 hari supaya untuk “menukarkan” faedah daripada Bank A dalam tempoh seminggu kemudian yang dijanjikan.

Amalan ini dikenali sebagai “collateral rehypothecation”. Di Amerika Syarikat, amalan sedemikian adalah terhad kepada 140% daripada nilai barang gadai yang dipegang, tetapi tiada batasan bagi amalan tersebut di United Kingdom. Justeru, London telah menjadi “platform operasi yang tidak dapat disediakan oleh Amerika Syarikat dari segi penggunaan cara pengumpilan (leverage) sebanyak mungkin”.

Senario di atas bukannya sesuatu cerita rekaan yang dipetik dari langit. Skala transaksi ini amat besar. Menurut kajian yang diterbitkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada tahun 2010, urus niaga bank-bank utama Eropah dan Amerika Syarikat yang memakai kemudahan di London telah meningkatkan nilai gadaian sebanyak 400% “dari langit” secara berkesan dengan jumlah kira-kira 4.5 trilion dolar AS sebagai modal pembiayaan. Modal yang menggembung mungkin digunakan untuk melabur dalam industri pelepasan karbon yang tinggi, seperti pengekstrakan gas syal yang meningkatkan risiko krisis iklim. Jika tidak, modal yang menggembung ini akan mencetuskan krisis kewangan dan ekonomi apabila salah satu pihak (seperti salah satu bank A/B/C di atas) mengalami kesukaran dalam pusingan modal.

Secara umumnya, modal yang telah mengembang sebanyak 4 kali ganda memerlukan lebih banyak penggunaan untuk menukarkan pelaburan ini kepada keuntungan. Biasanya tiada siapa yang berminat untuk melabur dalam produk yang tidak diminati sesiapa. Pelaburan bermaksud kewujudan pasaran pengguna dan budaya penggunaan atau konsumerisme berasal daripada sistem ekonomi sebegini. Malangnya, inti pati perubahan iklim ialah krisis yang disebabkan oleh penggunaan berlebihan oleh golongan yang secara relatifnya lebih kaya.

Jika tidak, modal yang mengembang sebanyak 4 kali ganda tersebut akan mengalir ke dalam sektor perumahan. Kebanyakan pelaburan sebegini tertumpu di kawasan tertentu, akibatnya meningkatkan harga hartanah di kawasan itu. Di samping menyebabkan pembangunan tidak seimbang antara kawasan, rata-rata dalam kebanyakan kes, kelas pekerja terpaksa untuk meminjam wang jangka masa panjang untuk membeli rumah kediaman, atau terpaksa membayar sewa yang tinggi. Oleh itu, kita dapat memerhatikan satu fenomena yang agak pelik, iaitu, walaupun mengecualikan negara-negara amat miskin sekali, masih terdapat dua dunia yang berbeza di dalam sesebuah negara: dunia dengan rumah setinggan yang penuh sesak bersebelahan dengan dunia yang berdirinya rumah kediaman mewah, hanya dipisah dengan sebuah tembok yang tinggi. 

Budaya dalam sistem kapitalis berteraskan pengejaran kejayaan melalui persaingan, walaupun hak-hak asasi dan kepentingan orang lain terpaksa dikorbankan dalam pengejaran tersebut. Budaya pengguna hanya akan menyebabkan orang ramai percaya bahawa kepuasan hidup banyak bergantung kepada peningkatan penggunaan peribadi. Tanggapan untuk memberi tumpuan kepada penggunaan peribadi ini akan mengukuhkan lagi fahaman individualisme kompetitif dengan sikap tidak ambil peduli terhadap kesejahteraan orang lain.

Masyarakat yang tidak sama rata yang terdiri daripada fahaman individualisme kompetitif dan hutang telah menyediakan baja untuk menyuburkan emosi kebencian dan xenofobia. Ketamakan dan ketakutan menyempitkan visi mereka, seperti kebanyakan orang melepaskan geram mereka terhadap pekerja asing, mengadu seolah-olah mereka telah mengambil kesempatan terhadap diri kita dengan merampas kebajikan kita dan masyarakat kita diancam oleh kedatangan mereka.

Sudah tentu, kami tidak sepatutnya mengaitkan semua fenomena negatif dengan sistem kapitalis dan beranggapan bahawa sistem kapitalis merupakan satu-satunya punca, tetapi sistem kapitalis kena menanggung sebahagian besar tanggungjawab dalam mewujudkan triniti yang terdiri daripada perubahan iklim, jurang perbezaan kekayaan yang melebar dan kebencian. Oleh itu, mekanisme pasaran bebas sebagai penyelesaian kepada krisis iklim seumpama magnet yang menarik spekulasi, penipuan, penganiayaan dan kapitalisme kroni yang hanya membawa kepada lebih banyak krisis, penggunaan peribadi dan kebencian.

Carbon Cowboy

Terdapat satu berita baru-baru ini mengenai perampasan tanah yang berkait rapat dengan perdagangan karbon di Malaysia, walaupun pihak terbabit menafikan perkara ini sekeras-kerasnya. Pemimpin negeri Sabah mencapai persetujuan dengan sebuah syarikat Australia untuk memindahkan hak karbon yang merangkumi lebih 2 juta hektar hutan di negeri itu daripada komuniti setempat kepada pasaran selama 100 tahun. Tetapi penduduk yang menetap di sekitar hutan ini hampir tidak mengetahui tentangnya. Ketiadaan bilangan perwakilan yang cukup untuk mengambil bahagian dalam proses perjanjian ini telah melanggar hak asasi komuniti untuk persetujuan yang bebas, terlebih dahulu dan termaklum (free, prior and informed consent) yang juga dikenali sebagai FPIC. Perlanggaran FPIC asyik berulang dalam kebanyakan kes sebegini.

Mari kita kembali ke Hari Bumi pada 22 April tahun ini. Norway, United Kingdom dan Amerika Syarikat melancarkan The LEAF Coalition yang merupakan “kerjasama terbesar antara pihak awam dan swasta yang berganding bahu untuk melindungi hutan tropika” di Sidang Kemuncak Iklim pada hari tersebut. Pembiayaan awal yang akan disediakan adalah sebesar 1 bilion dolar AS. Sebuah syarikat bernama Emergent yang ditubuhkan pada tahun 2019 diberi tanggungjawab untuk bertindak sebagai “perantara bidang kuasa hutan dan pembeli korporat”, menyelaraskan hal ehwal mengenai pembelian hak karbon bagi gabungan itu. Penggerak di sebalik penubuhan Emergent ialah EDF yang disebut di atas dalam rencana ini.

Syarikat-syarikat korporat dalam The LEAF Coalition termasuk Amazon, GlaxoSmithKline, Bayer, PricewaterhouseCoopers, Delta Air Lines, Unilever, McKinsey, Nestlé, Airbnb dan Boston Consulting Group dan lain-lain lagi. (gambar: The LEAF Coalition)

Aktivis-aktivis pembela hak tanah bimbang bahawa The LEAF Coalition akan menyebabkan satu lagi gelombang perampasan karbon (carbon grab) di peringkat antarabangsa. Memang benar, istilah perampasan karbon lebih sesuai daripada perampasan tanah. Dalam keadaan ini, kerajaan dan syarikat korporat merampas hak karbon di hutan daripada orang asli dan komuniti setempat, dan menghalang mereka daripada menjual hak karbon yang sedia ada dalam tangan mereka untuk membiayai usaha pemuliharaan mereka sendiri. Perampasan tanah dan pencabulan hak asasi manusia “hijau” ini bukan kes baharu atau kes yang muncul sekali-sekala, tetapi ia dapat dikesan sejak dahulu lagi.

Sejak awal lagi, pelbagai jenis projek, termasuk projek yang mengarut dan mengaburi mata, boleh menjana hak karbon yang kemudiannya ditukar menjadi kredit karbon yang menguntungkan di bawah pelbagai mekanisme Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan. Syarikat petroleum yang beroperasi di Sungai Niger biasanya membakar gas asli yang dibebaskan semasa proses pengekstrakan hanya kerana ia lebih murah untuk membakarnya daripada mengumpul dan menggunakan gas asli itu. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat petroleum tanpa segan silu mengisytiharkan bahawa jika mereka menghentikan tindakan yang membawa pencemaran ini, mereka berhak mendapat hak karbon. Nescaya, beberapa syarikat telah mendapat hak karbon.

Sebenarnya, Nigeria telah mengharamkan pembakaran gas asli sejak tahun 1984 tetapi syarikat petroleum tidak mengambil serius tentang hal tersebut. Dengan pegangan hak karbon ini, syarikat petroleum boleh menjalankan lebih banyak operasi yang melibatkan pelepasan karbon di tempat lain secara terbuka.

Gas hidrofluorokarbon (HFC) merupakan gas rumah hijau yang sangat dikhuatiri dan ia juga merupakan hasil sampingan yang dilepaskan daripada sektor pembuatan bahan penyejuk di China dan India yang digunakan dalam penghawa dingin dan peti sejuk. Kilang-kilang ini boleh mencipta hak karbon yang bernilai berpuluh-puluh juta dolar setiap tahun dengan pemasangan kemudahan yang murah untuk memusnahkan gas ini tanpa membiar ia terlepas ke atmosfera. Oleh sebab keuntungannya amat lumayan, sesetengah kilang tidak mengeluarkan produk utama lagi. Mereka hanya bergantung pada pengeluaran bahan sampingan dan seterus memusnahkannya untuk mendapatkan hak karbon, kemudian menjual hak karbon tersebut. Keuntungan berlipat kali ganda walaupun pelepasan karbon daripada keseluruhan proses pengeluaran ini masih sangat tinggi.

Kegiatan penjualan hak karbon tersebut telah menyumbang kepada 93.4% pendapatan tahunan untuk sebuah syarikat India pada tahun 2012. Pada tahun yang sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi ganjaran hak karbon paling banyak kepada pengeluar bahan penyejuk ini, jauh lebih banyak daripada projek tenaga yang bersih. Struktur ekonomi pasaran sebegini yang melibatkan komoditi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan disentuh dengan jari ini telah mendorong orang terlibat dalam jenayah, penipuan dan perjudian.

Banyak syarikat korporat mula mempromosikan janji “Sifar Bersih” (Net Zero) dalam usaha untuk memperdaya orang ramai dengan pengiraan matematik yang mudah. Maklumat yang dikongsikan oleh organisasi yang memperjuangkan prinsip keadilan iklim menunjukkan tiga situasi sifar bersih: pertama, tiada pelepasan karbon; kedua, 10 tan pelepasan karbon dioksida yang memerlukan jumlah tapak penyimpan karbon 10 tan untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih; ketiga, pelepasan karbon setinggi 100 tan yang memerlukan jumlah tapak penyimpan karbon lebih besar untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih. Situasi ketiga sudah pasti akan meninggalkan risiko pencemaran kepada masyarakat dan ia memakan kos berlebihan dan memerlukan teknologi yang lebih kompleks untuk menyimpan jumlah karbon yang begitu besar. Janji sifar bersih memberi mandat kepada syarikat korparat untuk meneruskan operasi yang melibatkan pelepasan karbon yang tinggi, selagi operasi itu boleh membawa keuntungan yang lebih lumayan. Manakala organisasi keadilan iklim melancarkan kempen “Menuntut Sifar Sebenar, Bukan Sifar Bersih” (Demanding Real Zero, Not Net Zero) untuk menentang kepalsuan janji sifar bersih oleh syarikat korparat.

Perkara yang paling membuka mata orang ramai ialah kemunculan segolongan penipu yang dikenali sebagai “carbon cowboy”. Mereka menjarah negara yang kaya dengan sumber asli tetapi miskin dari segi ekonomi. Biasanya, mangsa dalam kes penipuan tersebut merupakan orang asli yang masih menetap di kawasan hutan di seluruh dunia kerana hutan mereka sudah diklasifikasikan sebagai pengimbangan karbon bagi syarikat swasta. Carbon cowboy ini tiba-tiba muncul di kawasan hutan dengan kontrak yang biasanya ditulis dalam Bahasa Inggeris. Sebahagian besar kawasan hutan telah dipindahkan kepada kumpulan pemuliharaan tanpa penjelasan daripada penterjemah, hanya berjanji kepada orang asli di negara berkenaan, bahawa mereka akan diberi wang tunai tanpa perlu bekerja keras di bawah mekanisme ini.

Carbon cowboy yang paling terkenal ialah seorang warga Australia yang bernama David Nilsson. Syarikat penjualan hak karbonnya hanya mempunyai satu rangkaian perkhidmatan telefon. Nilsson cuba memujuk orang Matsés di Peru untuk melepaskan hak tanah mereka dengan hanya tandatangan sebagai pertukaran untuk berbilion dolar AS hasil pendapatan daripada hak karbon.

Kemudian, gabungan orang asli di Lembangan Amazon menyeru supaya dia diusir dari hutan mereka. Mereka mendakwa bahawa cara pemasaran Nilsson “serupa dengan seratus projek pengimbangan karbon yang lain” dan “memecah-belahkan suku kaum kita dengan angan-angan menjadi jutawan”.

Yang menariknya, ahli parlimen Queensland pernah menyiasat Nilsson kerana dia menjual hartanah palsu di Australia kepada warga Nauru yang malang sebelum dia memasuki arena perjudian karbon. Zaman kegemilangan perlombongan fosfat Pulau Nauru pernah mengubah nasib pulau kecil ini sehingga menjadi salah sebuah negara terkaya di dunia. Pada tahun 1990-an, batu fosfat habis dilombong di pulau itu, tambahan pula dengan ancaman kemarau, pengasidan lautan dan peningkatan paras air laut yang disebabkan oleh perubahan iklim telah menimpa pulau kecil ini pada masa yang sama. Sebenarnya, penduduk di Nauru telah lama menyedari bahawa perlombongan fosfat bukan kegiatan ekonomi jangka panjang dan mereka berhasrat untuk menggunakan sebahagian besar daripada pendapatan perlombongan untuk melabur dalam hartanah yang kelihatan stabil di Australia dan Hawaii. Tetapi apa yang diterima oleh mereka adalah nasihat pelaburan yang membawa kepada bencana, antaranya termasuk penipuan Nilsson.

Kontroversi yang asyik wujud dalam rancangan pemuliharaan hutan ialah percubaan untuk mengukur dan mengawal seberapa jumlah karbon yang boleh disimpan supaya memasang satu tanda harga pada pokok untuk memperdagangkan hak karbon hutan berkenaan dengan syarikat korporat. Bagi penduduk yang menetap di dalam atau berhampiran hutan-hutan ini, mereka kadang-kala dipaksa berpindah ke tempat yang diklasifikasikan sebagai kawasan simpanan dan dilarang memasuki tempat tinggal asal mereka. Ini telah menyebabkan mereka kehilangan cara hidup turun-temurun mereka. “Dilarang masuk” adalah perkara yang nyata: seluruh kawasan tersebut dipagarkan dan dikawal oleh pasukan keselamatan bersenjata. Ini merupakan cara perampasan tanah secara terang-terangan. Dukacita dimaklumkan bahawa beberapa pertubuhan alam sekitar yang terkenal turut mengambil bahagian dalam permainan ini.

Pada 6 November tahun ini, aktivis-aktivis masyarakat sivil berkumpul di bandar terbesar Scotland untuk menyertai demonstrasi yang dianjurkan oleh sebuah gabungan masyarakat sivil, Gabungan COP26, untuk mengajukan tuntutan memerangi pemanasan global. Salah satu tuntutan ialah menentang janji sifar bersih yang disambut baik oleh golongan elit korporat dan ahli politik. (foto: Andrew Milligan/AP Photo)

Di negeri Paraná, Brazil, terdapat projek yang menyediakan pengimbangan karbon untuk Chevron, General Motors dan American Electric Power. Ia diuruskan bersama oleh The Nature Conservancy dan pertubuhan bukan kerajaan tempatan di Brazil. Orang asli Guaraní tidak boleh membalak atau memburu di tempat di mana mereka tinggal turun-temurun, malah juga tidak dibenarkan untuk menangkap ikan di perairan berhampiran. Seorang penduduk tempatan berkata, “Mereka mahu merampas rumah kami.”

Menurut laporan, penduduk tempatan ditembak oleh pasukan peronda kerana mereka memasuki kawasan projek yang diuruskan oleh The Nature Conservancy untuk mencari makanan dan tumbuhan. “Mereka tidak mahu sebarang kegiatan manusia di dalam hutan,” seorang petani memberitahu Mark Shapiro, seorang wartawan yang datang untuk membuat penyiasatan. Di bawah mekanisme pasaran hijau, kawasan yang pada asalnya untuk aktiviti tradisional orang asli telah diklasifikasikan semula sebagai tapak penyimpanan karbon atau “carbon sink.

Di wilayah Bajo Aguán di Honduras, sesetengah pemilik ladang kelapa sawit telah mendaftar dalam projek pengimbangan karbon kerana mereka mendakwa aktiviti berkenaan boleh mengumpul metana. Janji yang boleh ditukar kepada wang tunai ini telah memberi inspirasi kepada ramai petani untuk beralih kepada kelapa sawit bagi menggantikan hasil pertanian tradisional tempatan.

Insiden perampasan tanah dan pengusiran paksa secara ganas yang memangsakan penduduk asal meningkat, mengakibatkan kematian 100 orang petani dan aktivis yang menyokong petani tersebut pada tahun 2013. Heriberto Rodriguez dari “Unified Campesino Movement of Aguánmenyatakan bahawa sebahagian daripada kematian mereka ini harus dikaitkan dengan pasaran karbon itu sendiri.

Ladang kelapa sawit di Bajo Aguán yang berbau darah. (foto: Pulitzer Center)

Republik Demokratik Congo mempunyai hutan tropika yang paling komprehensif di dunia, kaya dengan kepelbagaian spesies dan penyimpanan karbon yang banyak. Laporan berdasarkan kajian lapangan yang dijalankan sejak dua tahun lalu, yang akhirnya ditulis dalam REDD Minus, dikeluarkan pada bulan Disember tahun lepas. Kenyataan lebih 400 orang dari 26 buah kampung di wilayah Mai Ndombe telah dikumpul dan ditinjau. Hasil kajian tersebut sekali lagi membongkarkan rahsia yang tidak diketahui daripada salah satu projek REDD+ yang disanjungi sebagai projek yang paling progresif di dunia.

Selepas lebih sepuluh tahun pelaburan yang melibatkan sekurang-kurangnya 90 juta dolar AS, hak guna tanah masyarakat setempat hampir tidak terjamin, menjadikan mereka terdedah kepada spekulasi tanah dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Malah, penebangan hutan dan kemerosotan tanah masih berlaku. Pada bulan Jun 2019, penduduk membakar padang rumput sebagai reaksi untuk membantah projek itu. World Wide Fund for Nature (WWF) menghalang kegiatan pertanian di beberapa kawasan padang rumput, dengan harapan hutan itu dapat tumbuh semula. Di bawah projek pemuliharaan itu, masyarakat setempat akan menerima pulangan sebanyak 5 dolar AS bagi sehektar padang rumput.

Keadaan kawasan padang rumput dikekalkan seperti asal kerana beberapa komuniti tidak mengusahakan kawasan tersebut seperti yang dijanjikan sejak dua tahun kebelakangan ini. Walau bagaimanapun, projek pemuliharaan yang dipaksakan ke atas masyarakat ini tidak mengambil kira amalan tradisi masyarakat yang menggunakan tanah untuk pengeluaran. Ini menyebabkan mata pencarian tradisional kaum wanita di kawasan itu disekat sehingga menyebabkan kekurangan makanan. Pulangan wang yang dijanjikan masih tidak direalisasikan, maka komuniti terpaksa membakar padang rumput untuk menunjukkan bantahan mereka. Kebakaran yang disebabkan oleh kehampaan jauh lebih besar daripada pembakaran berskala kecil tradisional yang diamalkan oleh masyarakat setempat untuk pengurusan kendiri dan pertanian sara diri.

Selain menukar udara yang tidak dapat dilihat dan disentuh menjadi komoditi, satu lagi produk yang tidak dapat dilihat dan disentuh turut menyertai permainan tersebut. Mari kita mengambil contoh Sabah di atas: keuntungan keseluruhan projek dibahagikan kepada nisbah 7:3, 30% untuk syarikat Australia manakala 70% untuk Kerajaan Negeri. Pihak syarikat menegaskan bahawa ia akan mengupah komuniti setempat untuk mengurus dan memulihara hutan dengan memakai matawang kripto (seperti Bitcoin) untuk pembayaran. Rekod pemindahan bentuk matawang sedemikian akan tidak dapat dipadamkan maka menjadikan ia sesuai untuk pengawasan awam. Tetapi pihak syarikat terlupa memberitahu bahawa penghasilan matawang sebegini merupakan jenis kegiatan pelepasan karbon yang tinggi kerana penggunaan kuasa elektrik yang banyak, cukup untuk “offset” projek pengimbangan karbon ini.

Penyusupan modal memaksa wakil daripada orang asli terpaksa menghadiri demonstrasi yang dianjurkan oleh Gabungan COP26 untuk menyatakan bantahan terhadap modal yang sedang menghakis cara kehidupan rendah karbon paling mampan di planet ini. (foto: Alberto Pezzali/AP Photo)

Untuk membolehkan syarikat multinasional mempertahankan kebebasan mereka untuk mencemarkan persekitaran, petani yang mengamalkan pertanian sara diri dan orang asli yang hidup secara harmoni dengan alam sekitar kehilangan kebebasan mereka untuk hidup secara aman dan berdikari. Lebih ironi lagi adalah, ramai orang yang terkorban kerana pasaran karbon itu sebenarnya mengamalkan cara kehidupan rendah karbon yang paling mampan di bumi. Mereka mempunyai hubungan saling memanfaat yang kukuh dengan alam semula jadi, di samping memahami cara menjaga dan memulihkan tanah mereka supaya tanah itu dapat terus menyokong kehidupan mereka dan generasi akan datang mereka. Gerakan hijau yang bersungguh-sungguh dalam menangani perubahan iklim akan mencari jalan untuk menyokong gaya hidup sedemikian, bukan memutuskan tradisi pemuliharaan yang mendalam dan memaksa lebih ramai orang menjadi pengguna tanpa akar yang menetap di bandar.

Carbon Cowboy dari Malaysia

Pada bulan Januari 2017, Kerajaan Negeri Kelantan menandatangani perjanjian perdagangan karbon dengan syarikat bernama Climate Protector (CP) Sdn Bhd dan EcoBit Co. Ltd. Mereka bersetuju untuk menggunakan 360,000 hektar hutan sebagai sebahagian daripada perdagangan tersebut. CP mendakwa bahawa kepakaran syarikat itu adalah dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, walaupun syarikat itu tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, manakala EcoBit ialah syarikat perdagangan bitcoin.

Ketua Eksekutif CP pada masa itu yang bernama Tang Too Siah, yang juga penasihat kepada Lembaga Pengarah EcoBit, memuji pemeteraian perjanjian itu “benar-benar merupakan satu kejayaan untuk Kelantan dan Malaysia”. Melalui perjanjian ini, CP memperoleh konsesi selama 30 tahun untuk tanah berkenaan. EcoBit juga mengalu-alukan pelabur untuk melabur dalam projek itu di laman web syarikat dan modal pelabur akan dihijaukan (greenwash) sebagai “dana ekologi”. EcoBit telah diluluskan untuk menjana pendapatan melalui perdagangan karbon untuk membiayai inovasi hijau dan projek mampan yang akan dilaksanakan secara berperingkat dan menggembar-gemburkan perjanjian ini sebagai projek REDD yang diterajui oleh PBB.

Kemudiannya, beberapa media atas talian membuat lawatan ke pejabat syarikat mengikut alamat yang dipaparkan dalam laman web syarikat, tetapi mendapati tiada syarikat berkaitan di bangunan pejabat tersebut. Menteri Alam Sekitar pada masa itu Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga mendedahkan bahawa “perjanjian antara Kerajaan Kelantan dengan syarikat CP tidak memenuhi garis panduan PBB”. Agensi PBB yang berkenaan juga menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang projek berkaitan dengan kerjasama EcoBit. Pada bulan Jun 2017, Bank Negara memberi amaran yang menyatakan bahawa operasi syarikat CP dan EcoBit tidak diluluskan oleh Bank Negara, di mana dengan jelasnya menunjukkan kedua-dua syarikat ini merupakan syarikat haram.

Struktur pasaran ekonomi yang melibatkan urusan perdagangan komoditi sebegini yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan disentuh dengan jari merupakan jerat kepada orang terjebak dalam kegiatan jenayah.

Pada 3 Julai 2017, Naib Pengerusi Parti Amanah yang merupakan parti pembangkang Kelantan, Husam Musa, memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Negara dan memberi amaran tegas bahawa Kerajaan Negeri Kelantan mungkin terjerumus dalam kes penipuan. Media atas talian FMT melaporkan isu tersebut. Insiden ini mencetuskan pertikaman lidah politik di Kelantan. Akhirnya, apabila Menteri Besar Kelantan menyeru pelabur membuat laporan polis, dengan secara tidak langsung, dia telah mengakui terperangkap dalam kes penipuan tersebut dan pertikaian mengenai isu ini menjadi luntur tidak lama kemudian…

Sistem yang cacat

Ramai orang berpendapat sedemikian: saluran pembiayaan yang berkesan memainkan peranan penting dalam mengurangkan ancaman krisis iklim, terutamanya bagi negara sedang membangun yang kekurangan dana. Penyelesaian berasaskan pendekatan alam semula jadi atau “nature-based solutions” dapat memberi sumbangan besar dalam perkara ini. Nature-based solutions yang dituntut oleh syarikat penerbangan atau syarikat korporat lain sebenarnya tidak lebih daripada tiruan yang serupa dengan pendekatan yang pernah disebutkan di atas, iaitu “menyediakan dana kepada pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat untuk terus melindungi hutan”.

Tinjauan bersama yang dijalankan oleh The Guardian dan Greenpeace mengenai projek pengimbangan karbon yang dipakai oleh beberapa buah syarikat penerbangan terbesar di dunia mendapati bahawa walaupun banyak projek merupakan usaha pemuliharaan hutan yang penting, tetapi pengiraan jumlah karbon yang diimbangi adalah berdasarkan sistem yang cacat. Kredit karbon yang terhasil daripada sistem ini digunakan untuk menyokong komitmen “penerbangan neutral karbon” dan sifar bersih industri penerbangan.

Mereka menyiasat 10 buah projek pengurangan pelepasan yang diperakui oleh piawaian VCS yang diterajui oleh VERRA. Dengan meramalkan jumlah hutan yang akan ditebang dan dimusnahkan tanpa projek berkenaan, iaitu dalam perkataan lain jika tiada dana disediakan untuk perlindungan hutan tersebut, maka dapat menganggarkan jumlah pelepasan karbon yang boleh dielak oleh projek itu dan kemudian mengkreditkan kuota pelepasan karbon itu untuk penjualan.

Ramalan projek-projek ini sering didapati tidak konsisten dengan kadar penebangan hutan sebelum ini di kawasan berkenaan. Dalam beberapa kes, ancaman terhadap hutan mungkin dibesar-besarkan. Sudah tentu, VERRA berasa tidak puas hati dan mengkritik sekeras-kerasnya penemuan dalam tinjauan tersebut, menegaskan bahawa kaedah pengiraan yang diperakui mereka membantu untuk menghadapi kesan perubahan iklim dan isu penebangan hutan, malah dana yang disediakan oleh projek sedemikian juga memajukan pembangunan ekonomi tempatan. Secara kebetulannya, laporan REDD Minus yang disebut atas juga mempertikaikan kaedah pengiraan pelepasan yang tidak boleh dipercayai, termasuk penggunaan garis panduan yang tidak sesuai untuk perbandingan dan pengiraan pelepasan karbon yang berulangan (double counting) oleh kerana pendaftaran projek di bawah beberapa piawaian yang berbeza.

Audit piawaian VCS sangat menyerupai audit sistem pengurusan kualiti ISO yang biasa diamalkan oleh sektor perusahaan. Walau bagaimanapun, kita mengetahui bahawa amalan seperti ini sering tersoroknya risiko penipuan dan pemalsuan. Lagipun, tiada sesiapa yang mahu memecahkan periuk nasi sendiri. Dalam persaingan sengit antara agensi pengauditan yang diuruskan oleh pihak ketiga, agensi berkenaan boleh diganti bila-bila masa jika salah satu daripada mereka terlalu tegas dengan pemilik perusahaan yang mengupah mereka.

Foto 14: Semasa Zaman Pertengahan di Eropah Barat, gereja merupakan tuan tanah di bawah sistem feudal dan memiliki wilayah tanah yang besar. Namun, disebabkan pemborosan melampau yang menyebabkan perbelanjaan meningkat, maka mereka menawarkan mekanisme penjualan indulgensi untuk mencipta pendapatan, asalkan rakyat jelata membayar jumlah tertentu, pelbagai dosa akan diampunkan. (foto: twgreatdaily.com)

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kita hidup dalam sistem yang cacat, dengan contoh yang dinyatakan di atas. Adalah tidak bermakna dan berkesan dengan hanya mengecatkan pasaran bebas menjadi warna hijau, tidak kira bagaimana VERRA dan syarikat korporat mempertahankannya kalau mereka masih ingin berbuat demikian, sedangkan mereka memilih berdiam diri kebanyakan masanya. Kita hidup dalam sistem yang cacat. Dalam sistem di mana kerusi parlimen, kuasa, hak, moral, budaya dan udara semuanya sudah bertukar menjadi komoditi untuk diniagakan. Memang tiada sesiapa yang mahu memecahkan periuk nasi sendiri. Modal telah berjaya menembusi semua aspek kehidupan orang ramai, termasuk imaginasi anda dan dunia maya atas talian. Masyarakat moden di bawah sistem yang menekankan persaingan itu penuh dengan keletihan, kesepian, kegelisahan, kegusaran dan kebingungan. Orang ramai pula dipengaruhi oleh persekitaran yang penuh dengan iklan untuk meneruskan penggunaan atau perbelanjaan berlebihan supaya “offset” emosi negatif tersebut.

Apabila orang ramai masih berharap untuk menjadi kaya dan bersara sebelum keruntuhan rumah daun terup, ramai lagi terkapai-kapai di ambang kematian dan bergelut untuk hidup sehingga hari gaji berikutnya. Mekanisme penjualan indulgensi telah mengekalkan hak istimewa untuk segelintir kecil orang daripada kelas pemerintah pada masa dahulu, dan ia masih berlaku pada hari ini tetapi dalam bentuk berbeza. Mekanisme pasaran karbon terus membela kepentingan segelintir kecil orang daripada kelas pemerintah hari ini dengan menuju ke arah relau yang bernyala marak.

Kita tidak sepatutnya menjadi seperti burung unta yang menanam kepala di dalam padang pasir, berpura-pura bahawa semuanya masih elok. Sudah tiba masanya untuk menggantikan sistem yang cacat. (foto: Brookings Institution)

**********

Nota:

(1) Gary Fuller, The Invisible Killer.

(2) Al Gore pernah melancarkan satu dokumentari “An Inconvenient Truth” pada tahun 2006 yang memenangi Anugerah Oscar ke-79 dalam kategori Dokumentari Terbaik. Isi kandungan dokumentari itu sungguh menyentuh hati dan menunjukkan bahawa manusia sedang dilanda krisis yang teruk. Walau bagaimanapun, Al Gore telah melupa bahawa dia merupakan salah seorang perancang tunjang dalam sistem perdagangan karbon antarabangsa yang terjebak dalam penganiayaan hak asasi manusia dan peralihan tumpuan daripada penyelesaian sebenar.

(3) Di bawah pengaruh sistem kapitalis, kita sentiasa menonjolkan persaingan antara spesies di dalam hutan rimba. Ini tidak tepat sepenuhnya dari sudut sains. Sebenarnya, kerjasama antara spesies juga merupakan salah satu daripada unsur penting yang membentuk ekosistem hutan.

(4) Mekanisme “Clean Development Mechanism” (CDM) di bawah Protokol Kyoto berada dalam peringkat peralihan kepada mekanisme baharu seperti yang dinyatakan dalam Perkara 6(4) Perjanjian Paris.

(5) World Bank, State and Trends of Carbon Pricing.

(6) Laporan itu menegaskan bahawa harga yang dinyatakan dalam carta tersebut merupakan harga nominal pada 1 April 2021 untuk tujuan paparan sahaja. Disebabkan oleh perbezaan dalam liputan industri dan kaedah peruntukan kuota, serta tindakan pengecualian dan pengimbangan yang berbeza juga, harga antara mekanisme penetapan harga karbon mungkin tidak sesuai digunakan untuk perbandingan secara langsung.

(7) Finansialisasi ekonomi merupakan satu proses yang biasa dalam ekonomi dunia sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu. Ia merujuk kepada penyusupan sektor kewangan, termasuk perbankan, sekuriti atau saham, insurans dan kredit hartanah yang semakin meningkat dalam sesebuah entiti ekonomi dan mempunyai kesan yang mendalam terhadap ekonomi dan politik entiti ekonomi berkenaan.

(8) Laporan Bank Dunia: State and Trends of Carbon Pricing 2021 menunjukkan bahawa sesetengah sistem perdagangan karbon mempunyai mekanisme pelarasan harga dan pembekalan untuk memastikan harga karbon kekal stabil pada tahap tertentu.

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

Siri Pemanasan Global (5): Merah dan Hijau

Siri Pemanasan Global (6): Beli! Beli! Beli!

Siri Pemanasan Global (7): Wabak penyakit perampasan yang tidak terhingga

Siri Pemanasan Global (8): “Aku tidak percaya pada pemanasan global”

Siri Pemanasan Global (9): Melangkaui petroleum

Siri Pemanasan Global (11): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 1)

Siri Pemanasan Global (12): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 2)

Siri Pemanasan Global (13): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 3)

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

6 thoughts on “Pasaran Hijau yang penuh keajaiban

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *