Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh S. Arutchelvan

Pindaan terhadap Akta Kerja 1955 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 25 Oktober 2021. PSM mengalu-alukan sebahagian pindaan ini kerana ia bersesuaian dan sudah lama tertangguh. Kami mengucapkan tahniah kepada Menteri Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia dan kakitangannya yang telah berusaha keras bertahun-tahun lamanya untuk membawa perubahan ini. Kali terakhir Akta Kerja dipinda adalah pada tahun 2012. Sejak tahun 2018, terdapat banyak perbincangan mengenai pemindaan Akta Kerja dan PSM juga melibatkan diri dalam dialog-dialog ini untuk mencadangkan perubahan yang sepatutnya.

Pada bulan Oktober 2019, PSM juga mengalu-alukan pindaan terhadap Akta Perhubungan Perusahaan. Pada masa itu, kita diberitahu bahawa pindaan Akta Perhubungan Perusahaan tidak akan lengkap tanpa pindaan dalam Akta Kerja dan Akta Kesatuan Sekerja. Kami bergembira bahawa sekurang-kurangnya sebahagian daripada pembaharuan ini akhirnya terjadi dalam persidangan Parlimen pada masa kini.

Perang kelas antara pekerja dan majikan merupakan satu perang yang berpanjangan. Pada penghujung tahun 1980-an dan awal 1990-an, beberapa pindaan akta yang dibawa oleh Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Keempat pada masa itu untuk mengambil hati kapitalis neoliberal telah menyaksikan kewujudan begitu banyak undang-undang untuk melindungi pelabur dan majikan syarikat asing daripada tindakan industri oleh pekerja-pekerja. Hak pekerja, khususnya hak kesatuan, telah disekat secara berkesan dari segi undang-undang. Kemasukan buruh migran juga digunakan untuk memastikan pelaksanaan dasar-dasar buruh murah, penekanan gaji dan kelemahan kuasa tawar-menawar bagi kesatuan sekerja. Kesatuan sekerja hari ini telah dicacatkan dan dilemahkan. Tanpa perwakilan yang kuat daripada kesatuan-kesatuan sekerja, nasib pekerja telah diserahkan ke dalam tangan kerajaan.

Walaupun pindaan akta yang terbaru ini tidak menangani beberapa isu utama berkaitan dengan penyalahgunaan sistem kontrak dan penekanan gaji yang sentiasa dibangkitkan oleh PSM, tetapi ia memang memberi perlindungan yang lebih baik dan lebih luas kepada pekerja-pekerja, di samping meningkatkan standard perburuhan secara keseluruhannya. Adalah dikatakan bahawa pindaan akta ini bertujuan untuk mematuhi standard dan amalan antarabangsa sebagaimana yang dikehendaki oleh Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik dan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Walau apapun alasannya, PSM gembira bahawa rang undang-undang ini meningkatkan standard perburuhan ke tahap yang lebih tinggi.

Salah satu pindaan penting dalam Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 ialah Akta Kerja akan memberi perlindungan kepada semua pekerja, dan tidak lagi terhad kepada pekerja yang bergaji bulanan RM2,000 dan ke bawah. Pada masa kini, ramai pekerja yang bergaji lebih RM2,000 sebulan tidak dilindungi di bawah akta ini dan terpaksa membawa masalah mereka di dalam mahkamah sivil di mana mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk meneruskan kes dan berakhir tanpa penyelesaian. Pindaan akta ini akan membenarkan lebih banyak pekerja untuk memfail kes di bawah Akta Kerja, dan memberi perlindungan yang lebih besar kepada semua pekerja untuk membawa kes mereka ke Mahkamah Buruh dengan beraninya. Akta Kerja yang sedia ada menjamin standard minimum tetapi bukannya setiap orang berhak untuk membawa kes ke Mahkamah Buruh kerana had gaji RM2,000 itu.

Pindaan-pindaan lain yang juga penting ialah Akta Kerja akan mengambil kira isu diskriminasi dan buruh paksaan, serta faedah untuk pekerja yang mengandung; di mana semua tuntutan ini telah lama dibangkitkan oleh banyak aktivis wanita dan buruh.

Satu lagi pindaan yang tertangguh lama ialah cuti bersalin ditingkatkan daripada 60 hari kepada 90 hari, seperti apa yang sudah diperkenalkan dalam sektor awam pada tahun 2020. Sebelum ini, cuti bersalin dalam sektor swasta hanya 60 hari. Sementara itu, suami kepada isteri mengandung juga akan diberi cuti paterniti sebanyak 3 hari, sesuatu yang tidak wujud sebelum ini. Pindaan baharu dalam Akta Kerja juga memberi lebih banyak perlindungan kepada wanita mengandung untuk dilindungi daripada gangguan majikan.

Satu lagi kemenangan kecil untuk pekerja ialah jam kerja seminggu dikurangkan daripada 48 jam kepada 45 jam. Walaupun PSM pernah mengemukakan idea tentang kerja 4 hari seminggu atau kerja 32 jam seminggu, namun pindaan akta ini bermakna bahawa pekerja-pekerja mempunyai lebih sedikit masa untuk rehat.

Satu lagi perlindungan untuk pekerja ialah semua majikan dan kontraktor dikehendaki untuk memberikan kontrak bertulis kepada pekerja mereka, dan sekiranya gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda sehingga RM50,000. Sebelum ini, kontrak secara lisan adalah dibenarkan, tetapi boleh menjadi pertikaian kerana tiadanya bukti tentang apa yang dipersetujui. Dengan pindaan baharu ini, kekaburan sebegini dapat diatasi kerana perjanjian lisan tidak lagi dibenarkan.

Berkenaan dengan pekerja migran yang membentuk sebahagian penting dalam tenaga kerja negara kita dengan jumlah yang besar, salah satu seruan dasar oleh PSM dan pemegang taruh yang lain dalam isu ini termasuk Kerajaan dan majikan adalah pengurusan pekerja migran harus dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia dan bukannya Kementerian Dalam Negeri. Semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebuah jawatankuasa bebas khas mengenai pengurusan pekerja asing yang diketuai oleh bekas hakim Hishammuddin Yunus telah menghasilkan satu laporan yang mengandungi 40 cadangan. Malangnya Kerajaan PH tidak pernah mengumumkannya untuk pengetahuan awam dan laporan tersebut masih disimpan dalam kegelapan. Adalah diketahui umum dan bukan rahsia lagi bahawa buruh migran ialah satu perniagaan yang besar.

Walaupun demikian, pindaan akta terbaru memberi Ketua Pengarah Kementerian Sumber Manusia lebih kuasa di mana semua majikan diwajibkan untuk mendapatkan kelulusan daripada Ketua Pengarah sebelum dibenarkan untuk mengupah buruh migran. Dengan perubahan ini, majikan yang mempunyai rekod buruk dalam pengurusan buruh migran atau mereka yang disenaraihitamkan boleh dicegah daripada mengupah pekerja migran yang baharu. Sebelum ini, undang-undang hanya mengkehendaki syarikat berkenaan untuk memaklumkan Kementerian Sumber Manusia selepas pekerja migran diupahnya. Satu lagi peruntukan baharu ialah apa-apa pemberhentian kerja buruh migran harus dimaklumkan kepada Ketua Pengarah dalam tempoh 30 hari.

Satu lagi pindaan yang baik untuk pekerja, ialah pekerja tidak lagi dipaksa untuk mendapatkan cuti sakit hanya daripada klinik panel yang disenaraikan oleh majikan. Sebelum ini, klinik panel majikan mempunyai kuasa untuk memberikan cuti sakit, tetapi wujudnya masalah kerana klinik ini mendapat kontrak daripada syarikat dan berkemungkinan berat sebelah kepada majikan. Kita juga pernah jumpa kes di mana syarikat tidak mengiktiraf surat cuti sakit yang dikeluarkan oleh hospital kerajaan. Dengan pindaan ini, ia akan membenarkan pekerja untuk mendapatkan rawatan daripada hospital atau klinik yang lain, serta surat cuti sakit daripada klinik kesihatan lain juga akan diiktiraf.

Satu lagi perubahan yang penting ialah pekerja akan mempunyai satu minggu tambahan ataupun sejumlah 21 hari untuk membuat rayuan di Mahkamah Tinggi berkenaan dengan kes buruh, di mana tempoh ini hanya 2 minggu sebelum ini. Adalah lebih baik jika pekerja dibenarkan untuk membuat rayuan dalam tempoh masa sebulan atau lebih lama. Tempoh masa 2 minggu pada masa kini adalah terlalu pendek dan ketat. Dalam kebanyakan kes, pekerja tidak dapat membuat keputusan sama ada hendak membuat rayuan atau tidak dalam tempoh masa yang begitu singkat kerana mereka juga perlu mendapatkan wang dan mencari peguam yang mewakili mereka, di mana ini bukannya sesuatu yang mudah dan boleh jadi sangat mahal. Oleh itu, 7 hari tambahan yang dicadangkan dalam rang undang-undang sekarang adalah lebih baik daripada tempoh masa 2 minggu yang sedia ada.

Satu lagi perkara ialah beban membukti dirinya sebagai pekerja yang ditanggung oleh pekerja sebelum ini akan dipindahkan kepada majikan dalam rang undang-undang pindaan. Sebelum ini, seseorang pekerja yang diberhentikan kerja perlu membuktikan bahawa dia bekerja dengan syarikat berkenaan dan perlu mendapatkan dokumen tambahan malah membuat aduan polis dan sebagainya. Syarikat boleh menafikan bahawa pekerja itu bekerja dengannya, dan beban membukti adalah pada pekerja. Dengan pindaan terbaru sekarang, beban membuktikan sama ada seorang itu pekerja di bawah majikan itu atau tidak telah dipindahkan kepada majikan. Oleh itu, tanggungan kerja birokratik ini tidak lagi dipikul oleh pekerja.

Pindaan akta terbaru juga meningkatkan denda secara amnya, seperti yang termaktub dalam Seksyen 99A Akta Kerja, dari RM10,000 kepada RM50,000 untuk apa-apa kesalahan di bawah akta tersebut. Untuk kesalahan dalam buruh paksaan, denda sebanyak RM100,000 dan hukuman penjara telah dicadangkan.

PSM kini berharap bahawa rang undang-undang baharu ini akan diluluskan dengan cepat dan diwartakan tidak lama lagi, supaya ia dapat dikuatkuasakan dan memberi sedikit keadilan kepada pekerja. Ini merupakan kejayaan kecil dalam perjuangan berpanjangan antara buruh dengan modal. Banyak hak pekerja ini telah disekat bertahun-tahun lamanya oleh kerajaan yang pro-kapitalis neoliberal. Hari ini sebahagian daripada hak ini dapat diperoleh, tetapi masih jauh lagi perjalanannya untuk kita menebus segala hak pekerja. Perjuangan pekerja akan diteruskan.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *