Siri Pemanasan Global (4)

oleh Brian Khow

Dalam gambar: Dua orang “gergasi”, iaitu Margaret Thatcher dan Ronald Reagan yang membuka tirai zaman neoliberalisme yang membebaskan modal daripada kawalan, menari bersama di Rumah Putih selepas jamuan negeri pada tahun 1988. (foto: Larry Rubenstein / Reuters)

“Gergasi Penyerang” (Attack on Titan) merupakan sebuah siri manga Jepun yang dihasilkan oleh Hajime Isayama. Karya ini mengisahkan konflik antara manusia dengan gergasi. Seratus tahun sebelum permulaan ceritanya, makhluk serupa manusia tetapi saiznya jauh lebih besar muncul tiba-tiba dan menyerang manusia tanpa sebab. Manusia yang terselamat terpaksa menyerahkan kebebasannya dengan mengundur ke dalam kota yang dikelilingi tembok yang tinggi dalam perlawanan dengan gergasi yang kanibal itu.

Jikalau kita dapat membayangkan tragedi serangan gergasi yang memusnahkan kehidupan manusia melalui lukisan Hajime Isayama, bagaimana pula dengan serangan modal itu menghancurkan masa depan kita? Kita harus kembali kepada sejarah kemunculan modal supaya dapat kita mengetahui masa depan kita.

Sebelum kemunculan modal, manusia hidup dalam sistem pengeluaran komoditi pada skala kecil-kecilan. Petani-petani dan tukang-tukang menjual barangan hasil sendirian mereka di pasaran. Mereka menjual hasil barangan ini supaya dapat bertukar barangan yang tidak dihasilkan oleh mereka untuk penggunaan langsung. Kemudiannya, mata wang muncul untuk memudahkan pertukaran sebegini. Pemilik mata wang merupakan lintah darat; pada masa yang sama, mereka juga merupakan saudagar atau pemilik bank yang pakar dalam perdagangan antarabangsa. Mereka perlu menjual mata wang lebih daripada nilai asalnya supaya memperolehi perbezaan nilai. Matlamat pemilik mata wang ialah menghasilkan kekayaan daripada kegiatan tersebut.

Pengumpulan modal secara beterusan menjadi kenyataan apabila perubahan kuasa politik memihak kepadanya. Pengumpulan modal primitif berkaitan rapat dengan perdagangan hamba dan penjajahan imperialis Eropah. Sejak itu, penyerapan modal ke dalam sektor pengeluaran dapat direalisasikan dan akhirnya kapitalisme moden dilahirkan. Oleh itu, pemilik modal bukan sekadar lintah darat, pemilik bank atau pedagang lagi, mereka jugat menjadi pemilik alat pengeluaran (seperti kilang, mesin, bahan mentah dan lain-lain lagi) dan mengupah pekerja serta mengatur aktiviti pengeluaran industri. Kemunculan kelas kapitalis dan kelas pekerja bergaji tidak dapat dielakkan lagi.

Untuk memaksimumkan keuntungan, seseorang kapitalis perlu memaksimumkan eksploitasi terhadap kelas pekerja (gaji sama tetapi waktu bekerja ditingkatkan) dan sumber alam semula jadi (tanah dan bahan mentah). Jika tidak, dia akan kalah dalam persaingan dengan kapitalis yang lain. Mereka menggunakan pelbagai kaedah, terutamanya pengiklanan, untuk menarik perhatian pengguna yang terjerat dalam aktiviti membeli-belah yang berterusan supaya komoditi mereka laris dijual. Pelepasan karbon dalam zaman konsumerisme menjadi tidak terkawal.

Kelarisan jualan komoditi menjamin keuntugan lumayan kepada kapitalis, sebahagian keuntungan dilabur semula ke dalam sektor pengeluaran supaya memperluaskan perniagaannya yang akan menyumbang kepada penurunan kos secara keseluruhan. Perlu diingati bahawa, penghasilan komoditi bukan sahaja menjana keuntungan kepada kapitalis, proses ini juga mengeluarkan sisa-sisa yang mencemarkan alam sekitar, pelepasan karbon dan mewujudkan pembaziran, seperti menggalakkan perbelanjaan berlebihan, timbunan komoditi akibat kemerosotan ekonomi sehingga melepasi tarikh luput, dan lain-lain lagi masalah. Inilah logik kitaran kapitalisme.

Sejarah masyarakat manusia memasuki zaman yang bergelora sekitar tahun 1770-an. Kapten James Cook sampai ke New Zealand pada tahun 1769 dan Queensland (Australia) pada tahun 1770. Semua benua yang terdapat jejak manusia telah “ditemui”. Enam tahun kemudian, enjin wap komersial yang dicipta oleh James Watt diperkenalkan di pasaran dan bakal mempercepatkan revolusi perindustrian. Pada tahun yang sama, “The Wealth of Nations”, sebuah buku tulisan ahli ekonomi Adam Smith yang menjadi asas teori kepada kapitalisme pada zaman tersebut diterbitkan tepat masanya ketika Amerika Syarikat mengisytihar kemerdekaannya daripada Britain.

Kolonialisme, perhambaan, arang batu, kapitalisme – semuanya terikat bersama hanya dalam enam tahun tersebut yang menjadi permulaan dunia moden kini. Karl Marx dalam buku tulisannya yang terkenal, “Das Kapital” Jilid Pertama, pernah menyifatkan kemunculan modal sebagai “Modal datang ke dunia ini dengan darah dan kotoran yang menitis dari setiap liang bulu, dari kepala hingga ke kaki.”

Nescaya asas kapitalisme – yang paling asas ialah hak milik persendirian kapitalis – tidak pernah berubah, tetapi bentuknya berbeza antara satu sama lain. Perbezaan terbesar antara kapitalisme global kini yang dikenali sebagai “neoliberalisme” sejak tahun 1980-an dengan bentuk sebelumnya yang dipanggil Keynesianisme adalah neoliberalisme membiarkan golongan kapitalis dan syarikat swasta bebas menjalankan perniagaan tanpa campurtangan oleh kerajaan terhadap pasaran. Tiga tunjang utama neoliberalisme, iaitu penswastaan sektor awam, penyahkawalseliaan sektor korporat dan pengurangan perbelanjaan awam, adalah bertentangan dengan bentuk kapitalisme Keynesianisme yang menekankan peningkatan permintaan agregat untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, campurtangan kerajaan secara aktif dalam ekonomi (seperti penurunan kadar faedah), pengenalan langkah-langkah kitaran balas (seperti peningkatan cukai dan belanjawan defisit) dan pelaburan kerajaan secara besar-besaran dalam infrastruktur supaya mencapai pekerjaan penuh.

Seperti yang pernah dinyatakan dalam rencana pertama Siri Pemanasan Global ini, isu pemanasan global telah menjadi tumpuan dunia sejak tahun 1988. Pada tahun yang sama, para saintis dan pembuat dasar juga bertemu di Toronto untuk membincangkan sasaran pengurangan pelepasan karbon untuk kali pertama. Tetapi kenapa sampai sekarang, hampir 30 tahun telah berlalu, kita masih tidak dapat menyelesaikan masalah ini, malah, ia menjadi semakin serius?

Dua peristiwa yang penting berlaku pada tahun 1988 dapat menerangkan dengan lebih lanjutnya hakikat ini. Yang pertama adalah “Perjanjian Perdagangan Bebas” yang ditandatangani antara Kanada dan Amerika Syarikat, ia merupakan prototaip bagi “Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara” (NAFTA) dan kebanyakan perjanjian perdagangan bebas yang bakal muncul. Yang kedua ialah peristiwa kejatuhan Tembok Berlin (1). Golongan yang berideologi kanan dari Amerika Syarikat mengambil kesempatan daripada peristiwa ini, mengatakan bahawa inilah ‘penghujung sejarah’ (the end of history) (2) dan menggunakannya sebagai lesen untuk mengeksport preskripsi “penswastaan, penyahkawalseliaan dan dasar-dasar penjimatan” yang amat disokong oleh Ronald Reagan dan Margaret Thatcher ke seluruh dunia dan memulakan zaman neoliberalisme.

Pertemuan dua arus sejarah ini, iaitu arus penyusunan struktur global yang bertujuan untuk membebaskan modal daripada semua kawalan atau lebih dikenali “neoliberalisme” yang kekuatannya jauh lebih besar berbanding arus penyusunan struktur global sebagai tindak balas terhadap perubahan iklim, telah menggagalkan semua rundingan yang bertujuan untuk mencapai kesepakatan dalam menangani masalah pemanasan global.  

Seperti yang disebutkan dalam buku “Ini Mengubah Segalanya” (This Changes Everything: Capitalism vs. The Climate) yang ditulis oleh Naomi Klien, seorang pengarang dan aktivis sosial terkenal, “Sebab kegagalan kita mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mengurangkan pelepasan karbon adalah, ia bertentangan secara asasnya dengan kapitalisme yang dinyahkawalselia (neoliberalisme). Apabila kita cuba sedaya upaya untuk melepaskan diri daripada krisis, kita terpaksa bertembung dengan ideologi yang mendominasi itu. Kami tidak dapat bergerak kerana tindakan yang paling berpeluang untuk membawa kita menjauhi tragedi dan bermanfaat kepada kebanyakan orang akan membawa ancaman kepada gologan elit minoriti yang menguasai ekonomi, politik dan kebanyakan media arus perdana.”

Oleh yang demikian, sifat pengembangan (expansion) dalam sistem kapitalisme, tambahan pula dengan eksploitasi tanpa pembatasan terhadap golongan menengah dan bawahan yang merupakan majoriti serta alam sekitar yang disebabkan oleh penyahkawalseliaan modal, telah mengakibatkan dilema hari ini. Modal yang penyerang telah menyebabkan kita kehilangan sekurang-kurangnya 30 tahun yang bernilai itu. Berapa banyak masa yang kita ada lagi untuk mengubah kekalahan menjadi kemenangan?

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Nota:

(1) Tembok Berlin memisahkan Blok Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat dengan Blok Timur yang dipimpin oleh Kesatuan Soviet. Kedua-dua kuasa ini bersaing antara satu sama lain semasa Perang Dingin. Pada akhir tahun 1980-an, Kesatuan Soviet mengalami proses perpecahan, Blok Timur juga bakal runtuh. Golongan berideologi sayap kanan di Amerika Syarikat percaya bahawa tiada negara yang dapat menghalang Amerika Syarikat daripada menjadi satu-satunya kuasa besar di dunia. Mereka mengambil kesempatan ini untuk mengeksport program neoliberalisme yang dihasilkan di Amerika Syarikat ke seluruh dunia melalui pelbagai cara paksaan dan pujukan.

(2) Istilah “penghujung sejarah” berasal dari buku “The End of History and the Last Man” yang ditulis oleh Francis Fukuyama dan diterbitkan pada tahun 1992. Fukuyama mengatakan dalam buku itu bahawa sejak keruntuhan Blok Timur, sistem demokrasi negara Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat mungkin menandakan penghujung evolusi kemasyarakatan umat manusia dan bentuk terakhir pemerintahan manusia.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

3 thoughts on “Modal penyerang

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s