Siri Pemanasan Global (6)

oleh Brian Khow

“Aku membeli-belah, maka aku wujud.” (Grafik oleh Barbara Kruger)

“Aku fikir, maka saya wujud” (I think therefore I am) (1), merupakan pepatah terkenal yang dikemukakan oleh René Descartes, seorang pelopor falsafah Barat moden pada abad ke-17. Dalam dunia hari ini yang wujudnya “timbunan komoditi yang tinggi”, maka pepatah René Descartes ini tidak sesuai lagi untuk keadaan hari ini dan digantikan dengan “Aku membeli-belah, maka aku wujud” (I shop therefore I am), pepatah dalam bentuk seni konsep yang dihasil oleh Barbara Kruger, seorang seniman dari Amerika Syarikat.

Barbara Kruger cuba membayangkan bahawa kewujudan manusia tidak lagi ditentukan oleh pemikiran mereka, tetapi lebih kepada barangan yang dimiliki oleh mereka. Nampaknya masyarakat moden menganggap bahawa kekayaan kebendaan dan imej sosial individu menentukan siapa mereka, bukan lagi sifat individu yang lebih mendalam seperti pencapaian dan idea-idea.

Sejak beberapa tahun kebelakang ini, topik-topik yang berkisar pada isu-isu perlindungan alam sekitar, termasuk mitos teknologi hijau atau memisahkan kesan kemusnahan alam sekitar daripada kegiatan ekonomi oleh sesetengah pihak atau media yang berusaha untuk menutupi konflik antara logik pasaran dan perbatasan ekologi dengan niat hanya memberi gambaran bahawa dunia lebih kurang dapat beroperasi seperti biasa tetapi sumber elektrik kita akan datang daripada tenaga yang boleh diperbaharui dan semua jenis peralatan rumah serta kenderaan akan menjadi sangat jimat tenaga, membolehkan kita dapat membelanja sebanyak mungkin, tanpa perlunya bimbang tentang kesan terhadap alam sekitar.

Walaupun teknologi hijau memang dapat mengurangkan pelepasan karbon dengan banyaknya, namun untuk mencapai skala yang diperlukan, termasuk pembinaan jaringan transmisi tenaga baharu dan pengangkutan awam yang lengkap serta peningkatan kemudahan penjanaan kuasa, semua ini akan mengambil masa bertahun-tahun lama sehingga dapat beroperasi sepenuhnya. Proses pembinaan infrastruktur hijau sebegini akan membakar sejumlah besar bahan api fosil semasa fasa peralihan, ini tidak dapat mengurangkan pelepasan karbon kita pada kadar yang amat diperlukan sekarang (2).

Oleh itu, pada masa yang sama, kita mesti melakukan sesuatu yang kita mampu untuk membantu mengurangkan pelepasan karbon, iaitu pengurangan penggunaan (3). Golongan elit politik pada masa kini berpandangan bahawa dasar yang menggalakkan orang untuk mengurangkan perbelanjaan lebih sukar berbanding dengan dasar konsumerisme hijau (green consumerism). Konsumerisme hijau hanya bermakna penggantian sesuatu sumber tenaga dengan sumber tenaga yang lain atau menggunakan barangan komoditi yang kecekapannya lebih tinggi.

Sistem ekonomi kini bergantung pada peredaran modal yang berterusan dan dengan kelajuan yang stabil, iaitu komoditi yang dihasilkan secara besar-besaran perlu dijual dalam masa yang ditetapkan agar dapat ditukar menjadi lebih banyak keuntungan dan kemudian sebahagian daripada keuntungan tersebut harus dilaburkan dalam sektor pengeluaran. Peredaran modal harus dikekalkan sebegini. Sekiranya kelajuan tersebut menghadapi halangan, ia akan menyukarkan peredaran modal maka boleh menyebabkan krisis.

Ketika ekonomi dalam keadaan baik, peredaran modal nampaknya tiada halangan, tetapi apabila wabak penyakit memudaratkan keadaan ekonomi, peredaran modal perlu dipercepatkan. Walau bagaimanapun, keghairahan modal terhadap kelajuan bagaikan air dalam baldi akan melimpah keluar dari sektor pengeluaran dan pasaran ke dalam tempo kehidupan harian bila-bila masa sahaja. Kadangkala, pecutan pengeluaran komoditi perlu diiringi dengan pecutan penggunaan, sebab itulah bidang fesyen dan kadar penggantian sesuatu komoditi menjadi sangat penting (4).

Bukan hanya begitu, timbunan komoditi di dalam gudang bukan sahaja merupakan gejala krisis ekonomi, malah merupakan satu pembaziran; dan semakin banyak penggunaan juga bermakna semakin banyak pelepasan karbon. Seperti yang kita ketahui, selepas komoditi dikeluarkan, ini bermakna sejumlah karbon telah dilepaskan, termasuk bahan pencemar lain dan ini tidak termasuk lagi pelepasan karbon daripada bahan mentah yang digunakan untuk pengeluaran dan proses pengangkutan.

“Kempen Beli Barangan Malaysia” dicat di atas badan keretapi yang menjadi iklan mudah alih dengan bantuan sistem membeli-belah atas talian elektronik, menjadikan aktiviti membeli-belah lebih mudah.(foto: Twitter KPDNHEP

Selain itu, kapitalisme bukan hanya ditonjolkan dalam jurang kekayaan antara golongan kaya dengan golongan miskin, malah juga dicerminkan dalam ketidakseimbangan pelepasan karbon. 10% penduduk dunia yang terkaya telah menyumbang kepada hampir separuh pelepasan karbon sedunia, manakala 20% penduduk dunia yang terkaya menyumbang kepada 70% pelepasan karbon sedunia, termasuk golongan mahakaya dari Malaysia dan golongan kelas menengah atas di negara maju. Namun separuh daripada penduduk dunia termiskin hanya menyumbang kepada 10% pelepasan karbon sedunia.

Kini, kerajaan dan sektor swasta sedang berusaha sedaya upaya menganjurkan kempem promosi membeli-belah semasa wabak mengamuk, malah kempem tersebut dikaitkan dengan patriotisme supaya memperhangatkan pasaran yang merosot (5). Menurut laporan Oxfam yang bertajuk “Virus Ketidaksamarataan” (The Inequality Virus), 1,000 orang yang terkaya di dunia telah pulih daripada kerugian mereka kerana pandemik pada akhir tahun lalu, tetapi berbilion-bilion orang yang termiskin di dunia pula masih hidup dalam keadaan bersusah payah. Promosi membeli-belah sebegini tidak lebih daripada memberikan keseronokan membeli-belah kepada golongan yang berada di puncak hierarki sosial. Bagi golongan kelas menengah yang belum tumpas dalam wabak atau krisis ekonomi, mereka menjalankan aktiviti membeli-belah untuk mengimbangi kekurangan psikologi tertentu, yang lebih dikenali “penggunaan ganti rugi” (compensatory consumption) (6). Walaupun mereka mungkin berasa terganggu oleh timbunan barangan apabila mereka berpindah rumah atau membersihkan rumah, mereka juga mungkin menghadapi penyakit kronik daripada cara perbelanjaan itu. Selain itu, ia memang dapat menggalakkan peningkatan trend penggunaan.

Strategi penjualan yang biasa digunakan dalam bidang fesyen.

Keinginan, keperluan dan kehendak pengguna telah dimanipulasi secara langsung atau tidak langsung di bawah pengaruh modal yang sekian lama dan menyeluruh, sehingga mengakibatkan pengguna menganggap dirinya sedang mengamalkan model “penggunaan rasional”. Berikut cuma mengambil satu contoh untuk menerangkan bagaimana “penggunaan rasional” menyebabkan pembaziran dan pencemaran yang berlipat kali ganda. Untuk mengurangkan kos inventori, jenama antarabangsa H&M yang berkecimpung dalam Fast Fashion telah menghantar puluhan tan berat pakaian yang tidak laris dijual ke kilang pengumpulan sisa untuk dibakar setiap tahun. Mekanisme penghapusan komoditi sebegini bukan sahaja menjana pembaziran sumber yang besar, malah menyebabkan pencemaran alam sekitar yang serius dan memburukkan lagi pemanasan global. Di sebalik sistem perniagaan ini juga menyorok eksploitasi terhadap kelas pekerja di negara-negara sedang membangun.

Sesungguhnya, perubahan iklim mengingatkan kita tentang keperluan untuk mengurangkan penggunaan, tetapi kita hanya tahu bahawa kita perlu membelanja. Isu ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya peralihan produk yang kita guna-pakai, seperti pertukaran kepada kenderaan hibrid (7) atau mesin basuh yang lebih jimat tenaga atau dengan membeli komoditi keluaran tempatan. Inti pati perubahan iklim ialah krisis yang disebabkan oleh penggunaan berlebihan oleh orang yang secara relatifnya lebih kaya, yakni pengguna dunia yang paling ghairah membeli-belah perlu mengurangkan penggunaannya supaya orang lain dapat terus hidup.

Selain itu, kita perlu melambatkan tempo kehidupan seharian dan menumpukan perhatian supaya dapat melihat kesan perubahan iklim terhadap alam sekitar kerana kesan tersebut tidak terserlah. Malangnya, perhatian orang ramai kini sering dibanjiri dengan pelbagai tugasan kerja, laporan kewangan, aktiviti hiburan, membeli-belah atau informasi daripada telefon pintar.

Di dalam rumah, pejabat dan kereta di mana kita dapat mengawal “iklim”, dan dilindungi daripada angin, keterikan matahari dan hujan, perubahan secara beransur-ansur di alam semula jadi nampaknya tidak dapat mempengaruhi kita. Kita mungkin tidak mengetahui bahawa kemarau yang belum pernah terjadi telah menghancurkan hasil pertanian di kawasan pinggaran bandar, kerana pasar raya masih dipenuhi dengan banyak barangan import, malah ada banyak lagi komoditi dihantar oleh trak lori ke pasar raya setiap hari. Hanya apabila berlakunya bencana yang besar, seperti ribut banjir yang memusnahkan ribuan rumah, barulah kita menyedari sesuatu yang tidak kena. Kesedaran sebegini biasanya tidak kekal lama, baik kerana kita tertarik dengan perkara lain, atau kita terjebak dalam krisis seterusnya.

Sejak kebelakangan ini, kapitalisme telah mengajar kita mengenai pembentukan keperibadian diri sendiri melalui pilihan penggunaan. Membeli-belah merupakan cara kita membina identiti sendiri, menjadi diri kita sebahagian daripada komuniti tertentu dan mengekspresi diri kita. Oleh itu, memberitahu kepada orang ramai bahawa tidak harus membeli seberapa banyak yang diinginkan oleh mereka kerana perlakuan tersebut terlalu membebankan sistem sokongan Bumi kita akan dilihat sebagai pengecaman, seolah-olah memberitahu orang supaya tidak setia pada diri mereka sendiri. Inilah sebabnya mengapa dalam konsep 3R, iaitu ‘Kurangkan’ (reduce), ‘Guna Semula’ (reuse) dan ‘Kitar Semula’ (recycle), hanya ‘R’ terakhir iaitu ‘Kitar Semula’ mendapat sambutan, kerana ia membolehkan kita terus membeli-belah, selagi sampah dibuang ke dalam tong sampah yang betul.

Seperti apa yang sebenarnya berlaku, terutama di sekitar bandar besar, kebanyakan usaha ‘R’ terakhir menjadi sia-sia, bekas plastik dan risalah iklan masih bertimbunan seumpama bukit. Pengguna menyangka sampah tersebut akan dihantar ke kilang untuk dikitar semula menjadi barangan berguna, tetapi apa yang sebenar berlaku ialah ia dihantar terus ke tapak pelupusan sampah atau untuk dibakar. Cara pengendalian sampah sebegini merupakan sumber gas rumah hijau yang ketara. Pada tahun 2018, kerajaan negara China membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah sisa kitar semula yang ingin diterimanya secara mendadak atau memindahkan kilang kitar semulanya ke negara lain setelah kerajaan China menyedari bahawa industri kitar semula mereka hanya menjana keuntungan sedikit tetapi telah membawa malapetaka kepada kesihatan dan alam sekitar.

Oleh itu, kita perlu berubah dari segi aktiviti harian yang dibentuk oleh sistem ekonomi kapitalis sekian lama, barulah membawa makna sebenar kepada penggurangan penggunaan. Ini termasuk pengiraan jumlah tenaga yang kita gunakan, seperti kekerapan kita memandu atau menaiki kapal terbang, cara pengangkutan makanan kita, produk yang tahan lasak, fungsi dan saiz rumah kita, dan sebagainya. Ahli penyelidik yang bernama Rebecca Willis dan Nick Eyre pernah menyatakan dalam laporan mereka yang disediakan untuk Green Alliance, bahawa walaupun makanan menyumbang kira-kira 12% daripada pelepasan gas rumah hijau di UK, tetapi “tidak ada dasar yang bertujuan mengubah kaedah pengeluaran pertanian kami, memberi ganjaran kepada petani yang bertani secara penjimatan tenaga, atau mengubah tabiat penggunaan kita seperti memberi insentif kepada penggunaan makanan tempatan dan musim semasa.” Begitu juga, “memberi insentif kepada orang untuk memandu kereta berkecekapan tinggi tetapi tidak menggalakkan pembinaan tempat perumahan yang mendorong orang meninggalkan gaya hidup yang bergantung pada kereta.”

Kita memerlukan perancangan dasar yang komprehensif dan adil. Orang yang bersusah-payah untuk memenuhi keperluan hidup asas tidak harus diminta untuk membuat pengorbanan tambahan demi mengimbangi penggunaan orang kaya yang berlebihan. Ini bermakna semua orang harus dapat menikmati pengangkutan awam yang murah, perumahan mampu milik yang jimat tenaga dan terletak berhampiran sistem pengangkutan awam, perancangan tanah yang mengehadkan perluasan bandar di samping mendorong pertanian tempatan yang jimat tenaga, mewajibkan pengeluar bertanggungjawab mengitar semula sisa buangan produk elektronik yang dihasilkan masing-masing dan sebagainya.

“Aku membeli-belah, maka aku wujud” ialah corak kehidupan yang kuat disemaikan oleh sistem politik dan ekonomi kini, mengakibatkan orang ramai keliru sehingga menganggap bahawa inilah sifat manusia. Jadi, kemungkinan ada sesetengah pihak mula merungut tentang penulis rencana ini kerana berharap agar kita kembali ke Zaman Batu. Namun, sebenarnya kita hanya perlu kembali kepada gaya hidup negara maju yang serupa dengan tahun 1970-an jika kita ingin hidup dalam lingkungan yang dibenarkan oleh ekologi.

Gas rumah hijau yang dikeluarkan oleh perindustrian yang terkumpul di langit kebanyakannya datang dari negara yang memulakan pengeluaran industri terlebih dahulu, terutamanya negara maju di Eropah Barat dan Amerika Utara, cuma tinggal ruang yang sangat kecil untuk negara-negara lain membangun. Ahli sains iklim yang bernama Kevin Anderson berpendapat, “Kita perlu memberi peluang kepada negara-negara di seluruh dunia yang baru memasuki perindustrian untuk membangun dan meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat masing-masing. Ini bermakna penggunaan tenaga di negara maju harus dikurangkan dengan lebih banyak. Ini bermakna perubahan gaya hidup, dan orang kaya akan menjadi golongan paling terkesan… Pada tahun 1960-an dan 1970-an, kita menikmati gaya hidup yang sihat dan sederhana, kita perlu kembali kepada gaya hidup sebegini supaya jumlah pelepasan terkawal. Namun, 20% golongan terkaya harus menanggung pengurangan paling besar. Ini berkemungkinan menghasilkan satu masyarakat yang lebih samarata dan kita pasti bermanfaat daripada gaya hidup yang lebih rendah karbon dan lestari.”   

Tidak kira berada di mana, termasuk di Malaysia, golongan mahakaya yang berada di puncak hierarki sosial perlu mendahului dalam mengamalkan corak hidup yang sederhana dan meninggalkan “hak untuk membeli-belah” kepada golongan miskin yang tidak berpeluang untuk menikmati kehidupan kebendaan yang sepatutnya serta generasi keturunan seluruh umat manusia. Selain itu, kerajaan sepatutnya mengambil langkah-langkah seperti dasar pemungutan cukai yang lebih banyak daripada golongan kaya untuk membiayai pembangunan infrastruktur yang diperlukan untuk menuju ke arah lebih rendah karbon dan mampan. Di peringkat antarabangsa, negara maju perlu menyediakan dana dan teknologi kepada negara sedang membangun untuk membantu mereka mencapai pembangunan mampan sebagai pemberian ganti rugi kepada gangguan emosi dan kerugian sumber yang disebabkan oleh penjajahan pada masa dahulu (8).

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

=====

Nota:

(1) “Aku fikir, maka aku wujud” mempunyai pelbagai tafsiran, yang paling diketahui umum ialah “ketika mula memikirkan kewujudan saya, maka saya pun wujud”.

(2) Pelepasan karbon sedunia perlu dikurangkan separuh pada tahun 2030. Oleh itu, masa yang kita ada tidak mencukupi. Untuk keterangan lebih lanjut, sila rujuk rencana pertama dalam Siri Pemanasan Global.

(3) Dalam jangka masa yang panjang, manusia perlu membangunkan sistem ekonomi baharu supaya boleh membebaskan kita daripada model ekonomi kapitalis yang disokong oleh aktiviti penggunaan golongan kelas menengah dan atasan yang tidak mampan.

 (4) “Bidang fesyen dan kadar penggantian sesuatu komoditi” bukan hanya merujuk kepada pakaian, tetapi juga merangkumi produk elektronik, terutamanya telefon bimbit dan komoditi yang lain serta strategi jenama tersebut.

(5) Seperti yang disebut dalam perenggan sebelum ini, langkah ini pada dasarnya adalah untuk memastikan peredaran modal yang berterusan dan lebih cepat dalam jangka masa tertentu. “Kempen Beli Barangan Malaysia” ibarat pedang bermata dua. Ia dapat memastikan bahawa kepentingan kelas kapitalis di negara masing-masing dilindungi di bawah ekonomi yang merosot teruk sekarang, tetapi juga dapat meningkatkan pembangunan ekonomi tempatan dan membebaskan kawalan ekonomi negara daripada syarikat multinasional. Dalam rencana ke-5 untuk Siri Pemanasan Global ini, terdapat keterangan ringkas mengenai kesan perjanjian perdagangan bebas terhadap negara-negara sedang membangun. Pembangunan ekonomi tempatan dapat mengurangkan pengangkutan rentas sempadan dan menangani masalah pengangguran, eksploitasi buruh secara teruk dan pemanasan global.

(6) Gejala sosial yang sering kita perhatikan: Setelah seseorang berpisah dengan kekasihnya, mereka bergantung kepada pembelian barang atau pemakanan berketerlaluan untuk menghadapi gangguan emosi itu. Cara yang sama digunakan untuk menenangkan jiwa akibat tekanan kerja berlarutan. “Apa salah saya guna gaji yang saya kerja susah payah itu untuk beli apa yang saya suka?” Percakapan yang dianggap “rasional” ini sering didengari. Fenomena perbelanjaan berketerlaluan oleh sesetengah orang yang tiba-tiba jadi kaya. Jenis penggunaan sebegini merupakan “penggunaan ganti rugi” (compensatory consumption). 

(7) Terdapat ramai orang berpendapat bahawa kenderaan elektrik dapat menyelesaikan masalah Pemanasan Global. Saya tidak menyangkalnya, tetapi seperti yang disebutkan dalam rencana ini, inti pati perubahan iklim ialah krisis yang disebabkan oleh penggunaan berlebihan oleh orang yang secara relatifnya lebih kaya, berkaitan rapat dengan sistem ekonomi kapitalisme. Lebih-lebih lagi, kita memerlukan tenaga yang boleh diperbaharui jika ingin mencapai matlamat kenderaan elektrik tanpa pencemaran. Selain itu, ahli toksikologi memberitahu kita bahawa pencemaran udara yang disebabkan oleh partikel dari geselan brek, tayar dan permukaan jalan amat berbahaya kepada kesihatan manusia. Berbanding dengan kereta yang kita beli hari ini, kenderaan elektrik yang bersaiz sama dapat meningkatkan jumlah partikel dari geselan brek, tayar dan permukaan jalan kerana bateri yang lebih berat.

(8) Kekayaan negara maju hari ini berkaitan rapat dengan pengumpulan modal semasa penjajahan. Walaupun pada abad ke-21, penjajahan negara maju dengan menggunakan kekuatan ketenteraan telah berkurang, tetapi penjajahan yang tersembunyi di bawah dasar ekonomi global dan cara diplomatik untuk mengawal ekonomi negara-negara sedang membangun telah menjadi kecenderungan utama, memaksa negara-negara sedang membangun bergantung kepada negara-negara maju. Ini dikenali sebagai “imperialisme”. Dalam rencana ke-5 untuk Siri Pemanasan Global ini, terdapat keterangan ringkas mengenai kesan perjanjian perdagangan bebas terhadap negara-negara sedang membangun.

Untuk keterangan lebih lanjut, sila rujuk rencana yang ditulis oleh Choo Chon Kai: Apabila karbon bertemu dengan kapitalisme

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

Siri Pemanasan Global (5): Merah dan Hijau

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

5 thoughts on “Beli! Beli! Beli!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s