Dalam keadaan krisis ekonomi yang membawa kepada pengangguran dan kehilangan pendapatan secara meluas dalam masyarakat, sehingga wujudnya kemungkinan semakin ramai orang tidak mempunyai punca pendapatan tetap untuk mendapatkan makanan yang mencukupi, UBI semakin menjadi satu topik perbincangan hangat sebagai solusi kepada masalah ini.

UBI yang dimaksudkan di sini bukannya ubi kentang, ubi kayu atau ubi keledek yang dapat kita makan secara langsung, tetapi ia merupakan singkatan Bahasa Inggeris kepada “Pendapatan Asas Sejagat” (Universal Basic Income), iaitu sejenis pembayaran wang secara terus daripada kerajaan kepada semua rakyat yang membolehkan kita mendapatkan keperluan asas hidup, termasuk makanan, tanpa mengira kita mempunyai kerja atau tidak. UBI ini tidak boleh dimakan secara langsung apabila kita lapar, tetapi ia memberi jaminan pendapatan kepada rakyat untuk mengelakkan daripada kelaparan.

“Pendapatan Asas Sejagat” (UBI) ialah konsep perlindungan sosial yang agak baru dan semakin mendapat perhatian pada ketika ini, khususnya dalam keadaan perkembangan ekonomi sekarang di mana bentuk pekerjaan sedang mengalami perubahan yang ketara.

UBI juga dikenali sebagai “Pendapatan Asas Tanpa Syarat” (Unconditional Basic Income), bermakna bahawa setiap orang anggota masyarakat (sama ada warganegara dalam sesebuah negara atau penduduk di sebuah kawasan) akan dibayar sejumlah wang yang tertentu daripada kerajaan secara berkala, tanpa mengenakan syarat kelayakan seperti berapa jumlah pendapatan yang diperolehinya dan sama ada mempunyai kerja atau tidak. UBI akan membolehkan penerimanya mempunyai pendapatan yang paling asas untuk memenuhi keperluan hidup yang minimum, tanpa perlu bimbang tentang sama ada mempunyai pendapatan daripada kerja berbayar atau tidak.

Secara ringkasnya, program “Pendapatan Asas Sejagat” (UBI) memiliki ciri-ciri berikut:

  1. Pemindahan wang secara langsung– Ia dibayar dalam bentuk wang tunai atau pengkreditan wang secara terus ke dalam akaun bank penerima; bukannya dalam bentuk barangan (seperti makanan atau perkhidmatan yang disediakan), subsidi (yang dibayar secara tidak langsung) ataupun baucar yang digunakan untuk tujuan tertentu.
  2. Berkala– Ia dibayar secara berkala untuk selang masa tertentu (misalnya setiap bulan), bukannya pembayaran sekali gus (one-off).
  3. Individu– Ia dibayar berasaskan individu, bukannya mengikut unit isi rumah.
  4. Sejagat– Semua orang layak memperolehinya.
  5. Tidak bersyarat– Ia dibayar tanpa mengenakan syarat pendapatan dan tiadanya syarat keperluan untuk bekerja atau menunjukkan keinginan untuk bekerja.

“Jika anda membaca Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (1948), Perkara 25 mengatakan bahawa rakyat mempunyai hak untuk makanan, nutrisi, kesihatan, pekerjaan, keselamatan dan sebagainya yang mencukupi. Itu ialah hak-hak minimum. Mana-mana masyarakat pun harus menjaminnya. Nah, satu cara untuk menjaminnya adalah melalui bentuk pendapatan asas yang boleh diterima masyarakat.” – Noam Chomsky

20200617-Screenshot_2020-06-17 lead-nafkah-buat-isteri jpg (WEBP Image, 800 × 396 pixels)

Kenapa UBI?

“Pendapatan Asas Sejagat” (UBI) membolehkan semua rakyat mempunyai jaminan pendapatan asas untuk menampung kehidupan mereka, tanpa perlu bimbang sama ada mempunyai pekerjaan atau perniagaan untuk menjana pendapatan atau tidak, khususnya dalam keadaan ekonomi yang menyebabkan kerja semakin tidak menentu dan tiada jaminan. Dengan adanya jaminan pendapatan sebegini, rakyat akan mempunyai lebih kebebasan dalam memilih kerja dan bilangan jam kerja bergaji, di samping membolehkan mereka yang turut memikul tanggungjawab sebagai penjaga dalam isi rumah untuk mengimbangi kerja-kerja penjagaan dengan tanggungjawab yang lain.

UBI juga boleh dijadikan satu pendekatan untuk membasmi kemiskinan dalam masyarakat. Rakyat yang menerima UBI dapat membebaskan diri daripada perangkap kemiskinan, khususnya dalam keadaan berlakunya kehilangan kerja yang berleluasa akibat daripada keadaan ekonomi yang merudum.

Oleh sebab semua orang boleh mendapat UBI, maka ia akan mewujudkan perpaduan sosial dan tidak mendatangkan stigma terhadap mereka yang menerimanya. Oleh sebab UBI tidak mengenakan syarat untuk penerimanya atau tidak perlukan permohonan, maka ia akan mengurangkan banyak karenah birokrasi, lebih murah dan mudah untuk diuruskan oleh kerajaan, di samping dapat mengurangkan kesilapan atau penipuan (seperti pemohon yang ditolak kerana tidak memenuhi “syarat kelayakan”, atau pemohon tidak memberikan maklumat yang tepat semasa mengemukakan permohonan).

Salah satu sebab idea UBI menjadi tumpuan perbincangan berkaitan dengan penggubalan dasar kerajaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, adalah perkembangan teknologi yang sedang mengubah bentuk pekerjaan dalam masyarakat. Automasi menjadi semakin berleluasa, iaitu robot-robot semakin hari semakin menggantikan tenaga kerja manusia, bermakna bahawa peluang pekerjaan semakin berkurangan untuk golongan pekerja yang sanggup bekerja. Senario ini mewujudkan perubahan dari segi bentuk pekerjaan, yang memerlukan perubahan dalam kemahiran yang dimiliki oleh pekerja. Di samping itu, semakin ramai pekerja tidak lagi mempunyai pekerjaan tunggal yang stabil pada dunia hari ini, lebih-lebih lagi di bawah sistem ekonomi yang semakin kerap mengalami krisis. Perkembangan ekonomi gig juga menyebabkan golongan pekerja semakin hari semakin terdedah kepada risiko pekerjaan dan pendapatan yang tidak terjamin.

Sistem perlindungan sosial yang sedia ada tidak lagi mencukupi untuk memberi perlindungan kepada kebanyakan orang yang tidak mempunyai kerja tetap ataupun langsung tiada pekerjaan. Di bawah konteks perubahan yang cepat dalam dunia pekerjaan hari ini, sistem UBI yang jelas dan mudah merupakan satu pilihan perlindungan sosial yang berdaya maju.

Pada tahun 2020, ketika dunia dilanda pandemik koronavirus dan ekonomi global turut terjejas dengan hebatnya, idea UBI dibangkitkan oleh pelbagai pihak sebagai salah satu pendekatan untuk memulihkan ekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya mereka yang mengalami kehilangan pendapatan atau penyusutan pendapatan yang hebat akibat daripada krisis ini.

“Itulah sebabnya saya bercakap tentang pendapatan asas juga, bahawa perlunya jaringan keselamatan sosial yang lebih kuat kerana apabila rakyat tiadanya pilihan, mereka akan membuat keputusan yang teruk. Biar kita adanya pilihan yang lebih baik di atas meja.”Naomi Klein

20200617-ringgit.jpg_1528699642

Bentuk jaminan pendapatan asas yang berbeza

Pembayaran pendapatan asas atau jaminan pendapatan oleh kerajaan kepada rakyat, sebenarnya bukan sesuatu yang baru. Terdapat banyak bentuk bantuan kewangan atau skim perlindungan sosial daripada kerajaan di pelbagai negara yang membayar wang secara terus kepada rakyat untuk menjamin pendapatan individu dan isi rumah. Salah satu contoh ialah pencen kepada pesara atau warga emas, iaitu bayaran berkala yang terjamin untuk semua warganegara yang mencapai umur tertentu. Skim pencen merupakan salah satu ciri yang penting untuk sistem negara kebajikan. Di Malaysia, wujudnya skim pencen untuk kakitangan kerajaan.

Di sesetengah negara dan tempat, kerajaan mewujudkan skim jaminan pendapatan minimum untuk memastikan pendapatan isi rumah tidak kurang daripada sesuatu paras tertentu. Misalnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai program Bantuan Kewangan Miskin Tegar, untuk memastikan keluarga miskin tegar di negeri tersebut memperoleh pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM500 sebulan. Maknanya adalah, sekiranya sesebuah keluarga mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada jumlah tersebut, misalnya hanya RM300 sebulan, maka kerajaan akan membayar RM200 kepada keluarga tersebut untuk memastikan pendapatan bulanannya sekurang-kurang RM500. Namun, paras pendapatan garis kemiskinan tegar yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu adalah begitu rendah sekali, dan keluarga yang hanya mempunyai pendapatan RM500 sudah pasti masih hidup dalam keadaan yang amat susah. Cuba tanya mana-mana orang, RM100 sebulan untuk seorang, cukup tak? Oleh yang demikian, program yang sedemikian masih jauh tidak mampu untuk membebaskan golongan papa kedana daripada kancah kemiskinan.

Di peringkat Persekutuan pula, Kerajaan Malaysia mempunyai bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah yang dibayar secara sekali sahaja (one-off) setiap tahun (atau dipecah kepada dua atau tiga fasa dalam tempoh setahun), yang dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini, kemudiannya ditukar nama kepada Bantuan Sara Hidup (BSH), dan sekarang dipanggil pula sebagai Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Bayaran wang terus kepada isi rumah berpendapatan rendah ini membolehkan mereka mempunyai sedikit wang tambahan untuk dibelanjakan, di samping menjana permintaan untuk pasaran tempatan supaya mengekalkan kelangsungan ekonomi domestik. Bantuan ini berbeza dengan UBI, kerana ia merupakan pembayaran sekali sahaja (one-off), bukannya pembayaran wang secara berkala, dan “bersasar” (targeted), iaitu mempunyai syarat kelayakan mengikut pendapatan isi rumah yang ditetapkan. Pembayaran bantuan berbentuk sekali sahaja (one-off) juga menjadi salah satu langkah yang diperkenalkan oleh banyak kerajaan di dunia hari ini sebagai respon kepada kejutan ekonomi akibat daripada pandemik koronavirus.

Di negara-negara lain di dunia, terdapat juga banyak contoh jaminan pendapatan asas yang dibayar oleh kerajaan kepada penduduk di sesuatu tempat. Berikut ialah beberapa contoh program sebegini.

Di negara Brazil, kerajaan persekutuan di negara itu semasa pentadbiran Presiden Luiz Inácio Lula da Silva telah memperkenalkan satu program kebajikan sosial yang dikenali sebagai Bolsa Família (Bantuan Keluarga) mulai tahun 2003. Program yang merupakan bantuan kewangan bersasar untuk jaminan pendapatan ini, merupakan sebahagian daripada dasar Fome Zero (Kelaparan Sifar) yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Lula da Silva pada masa itu untuk membasmi kelaparan dan kemiskinan tegar yang berleluasa di negara itu. Negara Brazil mengalami fenomena kemiskinan yang teruk akibat daripada pelaksanaan dasar ekonomi neoliberal berdekad-dekad lamanya oleh kerajaan berhaluan kanan sebelum itu. Program Bolsa Família menyediakan bantuan kewangan secara terus kepada keluarga Brazil yang hidup dengan pendapatan di bawah garis kemiskinan, dengan mengenakan syarat seperti sekiranya keluarga yang menerima bantuan ini mempunyai kanak-kanak berumur di bawah 16 tahun, maka keluarga berkenaan perlu memastikan kanak-kanak tersebut pergi belajar di sekolah dan mendapatkan suntikan vaksin. Pendidikan dan pemvaksinan adalah percuma di Brazil. Keluarga yang menerima bantuan ini akan digantungkan pembayaran sekiranya kanak-kanak dalam keluarga berkenaan tidak hadir ke sekolah untuk satu tempoh yang dibenarkan. Wang daripada program ini diberikan kepada wanita yang menjadi ketua isi rumah, melalui “Kad Warganegara”, sejenis kad debit yang dikeluarkan oleh Caixa Econômica Federal, sebuah bank simpanan 100% milik kerajaan Brazil. Program Bolsa Família telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di Brazil secara signifikan semasa zaman pentadbiran Lula da Silva.

Di negeri Alaska, Amerika Syarikat, kerajaan negeri itu mula memberikan setiap penduduk di negeri itu cek bayaran setiap tahun sejak tahun 1982, melalui Alaska Permanent Fund (Dana Tetap Alaska), sebuah dana yang terkumpul daripada pendapatan kekayaan minyak petroleum di negeri itu. Jumlah bayaran yang dianggap sebagai dividen untuk pendapatan negeri pengeluar minyak itu adalah berbeza secara tahunan, boleh mencecah setinggi USD2,000 setahun untuk setiap orang apabila harga minyak di pasaran dunia adalah tinggi, dan menjunam kepada paras USD900 setahun apabila harga minyak adalah sangat rendah. Bayaran Dana Tetap Alaska ini merupakan sejenis bentuk pendapatan asas kepada penduduk di negeri itu, tetapi tiada jaminan untuk jumlah wang yang diperoleh setiap tahun, kerana ia bergantung pada harga pasaran minyak semasa.

Di negara Iran, sebuah negara yang kaya dengan sumber minyak, program pendapatan asas nasional diperkenalkan pada tahun 2010 sebagai komponen penting dalam rancangan pembaharuan ekonomi di negara itu ketika di bawah pentadbiran Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada masa itu. Di bawah Rancangan Pembaharuan Subsidi di Iran, subsidi kerajaan Iran ke atas minyak dan makanan digantikan dengan pemindahan wang terus kepada rakyat melalui program bantuan bersasar. Pemindahan wang secara bulanan ini mencecah 29% daripada pendapatan isi rumah median, atau lebih kurang USD1.50 tambahan per kapita dalam isi rumah setiap hari.

“Pendapatan asas akan berfungsi sebagai instrumen yang hebat untuk keadilan sosial: ia akan mendorong kebebasan sebenar untuk semua dengan membekalkan sumber-sumber material yang diperlukan rakyat untuk mengejar matlamat mereka. Pada masa yang sama, ia akan membantu untuk menyelesaikan dilema dasar bagi kemiskinan dan pengangguran, serta melayani idea-idea yang berkaitan dengan kedua-dua gerakan feminis dan hijau.”Philippe Van Parijs

Perintis dan Eksperimen UBI

Selain contoh program jaminan pendapatan bersyarat yang disebut di atas, pelaksanaan untuk Pendapatan Asas Sejagat (UBI) telah dieksperimen di berapa tempat di seluruh dunia, dan menunjukkan keputusan yang memberangsangkan tentang kebolehlaksanaannya dan keberkesanannya. Berikut ialah sebahagian daripada contoh program perintis atau eksperimen pelaksanaan UBI yang telah dijalankan.

Di negeri Ontario, Kanada, kerajaan di situ mula melaksanakan projek perintis pendapatan asas (Ontario Basic Income Pilot Project) pada tahun 2018, untuk memberi pendapatan asas yang tetap kepada 4,000 orang berpendapatan rendah atau tiada pendapatan langsung untuk selama 3 tahun. Namun, projek perintis tersebut diberhentikan lebih awal apabila parti berhaluan kanan mengambilalih pemerintahan negeri tersebut selepas Pilihanraya Negeri Ontario pada bulan Jun 2018, dan pembayaran terakhirnya untuk projek ini dibuat pada bulan Mac 2019. Walaupun projek perintis ini ditamatkan lebih awal daripada yang dirancang, tetapi kajian ke atasnya mendapati bahawa pendapatan asas telah memberi penambahbaikan kepada penerimanya dari segi pemakanan, kesihatan, kestabilan perumahan dan hubungan masyarakat, serta membantu dalam perancangan kewangan mereka untuk jangka masa panjang. Terdapat laporan yang menunjukkan bahawa projek perintis pendapatan asas di Ontario ini membantu peserta projek dari segi membayar pinjaman pendidikan, membeli kanta mata baru walaupun masih bekerja dengan upah yang rendah, membayar tambang pengangkutan untuk pergi bekerja tanpa berjalan lama seperti dahulu, mendapatkan keperluan asas dan membeli pakaian musim sejuk yang tidak mampu dibeli sebelum ini.

Di negara Finland, kerajaan di situ melancarkan satu skim perintis yang berjangkamasa dua tahun (2017-2018) untuk menguji sama ada pelaksanaan pendapatan asas sejagat dapat membantu dalam merombak semula sistem kebajikan sosial supaya bersesuaian dengan perubahan sifat pekerjaan, mengurangkan kos dan kerumitan sistem bantuan kebajikan sedia ada, serta memberi lebih banyak insentif kepada warganegara untuk mencari kerja. Seramai 2,000 orang yang menerima bantuan pengangguran dan berumur antara 25 hingga 58 tahun telah dipilih secara rawak oleh Kela, institusi insurans sosial di Finland, untuk menerima pendapatan tambahan €560 sebulan, tidak kira sama ada mereka mendapat kerja sepanjang tempoh dua tahun itu atau tidak. Keputusan awal kajian terhadap projek perintis ini mendapati bahawa walaupun tahap pekerjaan tidak berubah untuk peserta-peserta di bawah pelaksanaan skim ini, namun mereka yang menyertai skim ini menunjukkan kurang mengalami tekanan jiwa dan kurang masalah kesihatan, di samping lebih berkeyakinan terhadap masa hadapan mereka dan keupayaan mereka untuk mengambil bahagian dalam kehidupan masyarakat.

Di negara Namibia, “Gabungan Geran Pendapatan Asas Namibia”, satu inisiatif masyarakat sivil di situ telah melaksanakan projek perintis berjangkamasa dua tahun, dari bulan Januari 2008 hingga Disember 2009, di dua buah kampung, iaitu Otjievero dan Omitara. Penduduk kampung yang menyertai projek ini telah dibayar N$100 sebulan setiap orang (lebih kurang USD12 mengikut kadar masa itu, 8% daripada pendapatan purata negara itu). Projek perintis tersebut telah mengurangkan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di situ dan meningkatkan kehadiran kanak-kanak ke sekolah. Juga didapati bahawa projek pendapatan asas tersebut telah meningkatkan pendapatan komuniti di situ secara signifikan, iaitu mempunyai pendapatan yang lebih banyak daripada geran pendapatan asas yang dibayar terus kepada mereka, kerana bayaran pendapatan asas tersebut membolehkan penduduk di situ untuk mengambil bahagian dalam lebih banyak aktiviti ekonomi yang produktif, seperti memulakan perniagaan kecil sendiri. Kadar jenayah juga menurun secara keseluruhan, khususnya kes pencurian barangan. Selepas habisnya fasa projek perintis, semua orang yang menyertai projek perintis telah dibayar N$80 sebulan sebagai elaun penyambung sehingga bulan Mac 2012.

Di India, Persatuan Wanita Kerja Sendiri (Self-Employed Women’s Association, SEWA), sebuah kesatuan pekerja yang memperjuangkan hak pekerja wanita berpendapatan rendah, mula menganjurkan program perintis di beberapa buah kampung di negeri Madhya Pradesh untuk menguji keberkesanan program pemindahan wang tunai tanpa syarat kepada masyarakat berpendapatan rendah. Dapatan daripada program perintis pendapatan asas ini menunjukkan penambahbaikan dari segi kesihatan, produktiviti dan kestabilan kewangan untuk mereka yang menerima pendapatan asas. Pemindahan wang tunai tanpa syarat mewujudkan jaminan makanan yang lebih baik dan kadar pemakanan tidak seimbang yang lebih rendah dalam kalangan kanak-kanak perempuan. Kampung yang menerima pendapatan asas mempunyai kadar penyakit yang lebih rendah. Keluarga yang menerima pemindahan wang tanpa syarat mempunyai lebih banyak ternakan, yang membantu dalam meningkatkan kesihatan dan kestabilan kewangan mereka. Tambahan pula, kadar produktiviti juga meningkat, dengan kanak-kanak di kampung yang menerima pendapatan asas mempunyai kadar kehadiran sekolah yang lebih tinggi. Kampung yang menerima pendapatan asas dapat membelanja lebih banyak dalam persekolahan kanak-kanak dan input pertanian, maka menggalakkan pendidikan yang lebih baik dan hasil pertanian yang lebih tinggi.

icarus capitalism

UBI dan krisis ekonomi kapitalis

Idea UBI bukannya ciptaan golongan kiri dan sosialis, malah sebahagian golongan berhaluan kanan dan pendukung pasaran bebas juga menyokong idea ini, bukannya hendak menyelesaikan belenggu rakyat yang kekurangan pendapatan atau kehilangan kerja, tetapi dengan niat cuba melemahkan sistem perlindungan sosial yang sedia ada dan memperluaskan lagi kekuasaan pasaran bebas sistem kapitalis.

Jaminan pendapatan asas melalui pembayaran wang tanpa syarat kepada semua rakyat melalui UBI, boleh dikatakan idea yang timbul kerana wujudnya keperluan yang terdesak untuk menangani krisis kapitalis yang semakin mendalam.

Sebelum berlakunya pandemik koronavirus pada tahun 2020 ini, dunia kita sudah pun mengalami trend menuju krisis ekonomi yang baru, kerana ini memang merupakan sifat asas yang wujud dalam sistem ekonomi kapitalis global. Krisis ekonomi kapitalis global yang mendalam telah mewujudkan tapak pembiakan yang “subur” untuk politik pelampau kanan (yang mengapi-apikan sentimen perkauman, xenofobia dan sebagainya), sementara kerajaan-kerajaan yang pro-kapitalis pula bertungkus-lumus untuk melaksanakan dasar-dasar penjimatan (austerity) yang melibatkan pengurangan drastik perbelanjaan kebajikan sosial. Oleh itu, dunia kita menjadi semakin tidak stabil dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam keadaan wujudnya ketidakjaminan pekerjaan, ketidakjaminan pendapatan dan ketidakjaminan hidup yang semakin serius, pelaksanaan UBI menjadi sesuatu perkara yang semakin “masuk akal” untuk ramai orang. UBI telah dianggap sebagai alternatif kepada sistem perlindungan sosial yang semakin terhakis oleh dasar ekonomi kapitalis neoliberal.

Oleh yang demikian, kita perlu berhati-hati semasa membawa idea pelaksanaan UBI. Kita tidak boleh menganggap UBI sebagai pengganti kepada sistem perlindungan sosial yang sedia ada (walaupun tidak sebegitu banyak pun di negara seperti Malaysia), sebaliknya perlu melaksanakannya sebagai pelengkap kepada perlindungan sosial yang sedia ada (seperti sistem insurans pekerjaan, skim pencen, bantuan kerajaan kepada masyarakat miskin, kesihatan awam yang percuma, pendidikan percuma, pengangkutan awam yang murah atau percuma, dan sebagainya), demi memperluaskan dan memperkukuhkan jaminan hidup yang selesa bagi semua rakyat.

UBI sebagai projek sosialis

Erik Olin Wright (1947-2019), seorang Ahli Sosiologi Marxis dari Amerika Syarikat, pernah mengatakan bahawa UBI boleh dianggap sebagai sejenis pembaharuan sosialis. Mengikut pandangan Erik Olin Wright, dari segi imbangan kuasa kelas sosial, pendapatan asas tanpa syarat berpotensi untuk memperkasakan kuasa pekerja berbanding modal dalam jangka masa panjang. Ini kerana pasaran buruh dalam ekonomi kapitalis akan menjadi lebih ketat dengan wujudnya pendapatan asas bagi pekerja, maka pekerja-pekerja akan mempunyai kedudukan yang lebih baik untuk tawar-menawar dengan golongan majikan.

Secara amnya, tenaga pekerja mempunyai kedudukan tawar-menawar yang lebih baik apabila pasaran buruh adalah ketat, iaitu pekerja-pekerja tidak terdesak untuk mencari pekerjaan. Tambahan pula, pendapatan asas seolah-olah sejenis dana mogok pekerja yang diperoleh tanpa syarat dan tidak akan kehabisan, maka ini juga akan menyumbang kepada usaha memperkuatkan kesatuan sekerja dan gerakan pekerja.

Mungkin ada antara kesatuan sekerja yang menolak UBI kerana pekerja-pekerja akan berasa tidak perlu lagi kesatuan apabila adanya pendapatan asas yang terjamin, maka melemahkan kuasa kesatuan sekerja. Wright membidas pandangan ini dengan mengatakan bahawa kebimbangan ini mungkin benar sekiranya fungsi kesatuan sekerja hanya semata-mata menjamin taraf kehidupan yang minimum untuk pekerja, kerana pendapatan asas yang terjamin akan meningkatkan keupayaan kesatuan untuk memperjuangkan isu-isu pekerja penting yang berkaitan dengan organisasi proses perburuhan, keadaan kerja, layanan yang adil semasa berlakunya pertikaian industri dan sebagainya.

20200617-arton2100-6657f
Erik Olin Wright

Dari segi buruh sebagai komoditi dalam pasaran kapitalis, Wright berpandangan bahawa kesan UBI yang paling nyata adalah penyahkomodifikasi separa ke atas tenaga buruh. Sekiranya UBI memberikan tahap kesinambungan hidup masyarakat yang boleh diterima, maka ia bermakna bahawa keperluan asas rakyat dapat dipenuhi tanpa paksaan untuk memasuki pasaran buruh. Ini mewujudkan kebebasan yang sebenar untuk semua orang.

Selain itu, Wright juga berpandangan bahawa UBI berpotensi untuk mewujudkan keadaan yang boleh memperluaskan dan memperdalamkan ekonomi sosial. Ekonomi sosial merupakan satu cara alternatif untuk mengorganisasi aktiviti ekonomi yang berbeza daripada pasaran kapitalis dan peruntukan kerajaan. Keistimewaannya adalah pengeluaran diorganisasikan oleh kolektif-kolektif bertujuan untuk memenuhi keperluan masyarakat, dan tidak tertakluk pada displin pemaksimuman keuntungan syarikat korporat ataupun kerasionalan teknokratik kerajaan. Sebahagian besar aktiviti sebegini melibatkan peruntukan pelbagai jenis perkhidmatan, dengan kebanyakannya agak memerlukan tenaga buruh. Salah satu masalah utama yang dihadapi oleh kolektif dalam ekonomi sosial adalah menjana taraf hidup yang sesuai untuk pembekal-pembekal perkhidmatan ini. Ini merupakan satu masalah kronik yang dihadapi dalam bidang-bidang seperti kesenian dan perkhidmatan jagaan masyarakat. UBI dapat menyelesaikan masalah ini. UBI boleh dianggap sebagai pemindahan surplus masyarakat secara besar-besaran dari sektor pasaran kapitalis ke sektor ekonomi sosial, dari pengumpulan modal kepada apa yang boleh dikatakan sebagai pengumpulan sosial – pengumpulan keupayaan masyarakat untuk pengorganisasian diri aktiviti ekonomi yang berorientasikan keperluan.

Menurut Wright, “Pendapatan asas itu sendiri sudah tentu hanya membantu dalam menyelesaikan salah satu masalah yang dihadapi oleh sebuah ekonomi sosial yang diperkasakan – memutuskan perhubungan antara taraf kehidupan asas dan penyertaan dalam pasaran buruh kapitalis. Ia tidak membekalkan geran modal untuk infrastruktur dan input bukan buruh bagi ekonomi sosial. Oleh yang demikian, pengayaan pengeluaran ekonomi sosial adalah berkemungkinan dihadkan kepada perkhidmatan intensif buruh.”

Namun begitu, UBI juga boleh menjadi subsidi kepada aktiviti politik masyarakat, organisasi komuniti dan gerakan sosial, kerana semua kegiatan ini bergantung pada masa dan tenaga yang disumbangkan oleh rakyat. Ini seterusnya akan meningkatkan prospek untuk pembaharuan yang lebih meluas yang akhirnya memperbesarkan ruang untuk gerakan menuju ke sosialisme.

Adakah UBI akan menyebabkan inflasi?

Inflasi wujud apabila jumlah yang ada untuk dibelanjakan lebih besar daripada nilai keupayaan pengeluaran ekonomi, atau dalam erti kata lain, permintaan melebihi pembekalan barangan di pasaran. Misalnya, apabila kerajaan mencetak lebih banyak wang, menjadikan bekalan wang tunai di pasaran meningkat, maka barangan yang boleh dibeli oleh setiap unit matawang akan berkurangan, jadi harga barangan akan meningkat.

Jika UBI bukannya mencetak matawang baru dan diagihkan kepada rakyat, sebaliknya melakukan perubahan pada sistem percukaian dan kebajikan sosial yang sedia wujud untuk mengagihkan semula kekayaan masyarakat yang sedia ada, ia tidak akan menambahkan bekalan wang. Wang yang diagihkan melalui UBI merupakan matawang yang sedia ada, hanya ia diagihkan semula ke dalam tangan rakyat biasa untuk dibelanjakan, maka ia tidak akan mendatangkan inflasi yang menyaksikan kenaikan harga barangan secara mendadak.

Lebih-lebih lagi, dalam keadaan krisis ekonomi, iaitu krisis yang diwujudkan kerana pengeluaran berlebihan (overproduction), pengagihan semula wang yang ada ke dalam tangan rakyat yang kehilangan punca pendapatan akibat pemberhentian kerja, akan membantu dalam menjana kuasa beli untuk menyelamatkan ekonomi dan mengelakkan kilang pengeluar barangan daripada mengalami kerugian sehingga menggulung tikar kerana barangan yang dikeluarkan tidak dapat dijual.

Sekiranya memang berlakunya inflasi kerana permintaan meningkat secara mendadak susulan wang yang lebih banyak dalam tangan rakyat biasa untuk digunakan, oleh sebab adanya jaminan pendapatan asas kepada semua rakyat, maka rakyat tidak akan terkesan sangat dengan kenaikan harga barangan itu.

20200617-Coit-Tower-Murals-2

Adakah UBI akan kurangkan keinginan pekerja untuk bekerja?

Adakah UBI akan menyebabkan pekerja kekurangan keinginan untuk bekerja atau mencari kerja? Adakah UBI akan menjadikan pekerja malas?

Sebelum kita menjawab persoalan ini, perlu kita menjawab persoalan yang lebih penting: Kenapa kita perlu bekerja? Pernahkah kita bertanya pada seseorang pekerja, atau bertanya pada diri sendiri jika anda seorang pekerja, adakah sebagai pekerja anda mendapat kepuasan diri daripada kerja anda? Kepuasan diri di sini bermaksud kepuasan bahawa kerja anda itu memberikan makna kepada hidup anda. Jika tidak, maka kerja itu hanya semata-mata untuk menjual tenaga kerja, sama ada secara fizikal atau intelek, kepada pemodal untuk mendapatkan upah yang bertujuan untuk menampung keperluan hidup.

UBI hanya satu jumlah wang yang mencukupi untuk memastikan seseorang itu dapat memenuhi keperluan untuk hidup dan tidak kelaparan, maka seseorang itu perlukan pendapatan tambahan untuk memenuhi keperluan lain dan meningkatkan kualiti hidup hariannya. Oleh itu, sesiapa yang menerima UBI masih perlu mendapatkan kerja yang dibayar upah untuk tujuan sebegini. Yang berbeza dengan tiadanya UBI adalah, seseorang pekerja itu tidak akan menjadi terdesak apabila tiada kerja, sehingga terpaksa menerima apa-apa kerja pada gaji yang sangat rendah, ataupun sampai melakukan kegiatan jenayah kecil seperti mencuri untuk memperoleh pendapatan. Dari segi “kerja yang dibayar upah”, memang UBI tidak menambahkan tetapi juga tidak mengurangkan insentif seseorang untuk untuk mencari kerja yang bergaji ataupun memulakan perniagaan kecil untuk memperbaiki kehidupannya.

Penilaian ke atas program pendapatan asas di Iran menunjukkan bahawa pemberian pendapatan asas oleh kerajaan tidak mengurangkan penyertaan penerima pendapatan asas dalam pekerjaan. Pembayaran Alaska Permanent Fund kepada warga Alaska secara tahunan juga tidak menjejaskan tahap pekerjaan di negeri itu. Begitu juga hasil dapatan daripada eksperimen UBI di beberapa tempat turut menunjukkan bahawa jaminan pendapatan asas tidak menjadikan penerimanya “lebih malas” atau tidak mendapatkan kerja baru.

Yang pasti adalah, UBI memutuskan kebergantungan seseorang pada sesuatu pekerjaan yang membayar gaji rendah untuk meneruskan kehidupannya.

Selain “kerja yang dibayar upah”, masyarakat kita adanya banyak kerja yang bermakna tetapi tidak dibayar apa-apa upah langsung kerana dianggap tidak menjana keuntungan kepada kapitalis, misalnya kerja rumah, penjagaan kanak-kanak dan warga emas, kerja komuniti dan sebagainya. Dengan adanya pendapatan asas yang terjamin, seseorang itu dapat menyelaraskan semula waktu kerjanya supaya dapat melakukan kerja penjagaan dan kerja komuniti tambahan, yang memberi makna dan sumbangan penting kepada masyarakat kita.

Begitu dengan mereka yang menceburi diri dalam bidang seni, yang menghasilkan karya seni dalam bentuk sastera, lukisan, ukiran, muzik,  filem,  audio, visual dan sebagainya,  di mana ramai antara mereka tidak mempunyai jaminan pendapatan yang tetap, memang memerlukan pendapatan asas untuk menyara hidup, di samping membolehkan mereka memfokus kepada mengembangkan kreativiti mereka, bukannya dibelenggu dengan kerunsingan ketidakjaminan pendapatan.

Adakah UBI akan kurangkan gaji pekerja?

Mungkin ada orang akan tertanya-tanya, jika semua orang mendapat bayaran berkala melalui UBI, bukankah majikan akan lebih mudah untuk mengurangkan gaji pekerja? Tidak semestinya. Untuk bantuan kewangan bersasar yang berasaskan paras pendapatan, ini boleh berlaku kerana apabila kerajaan menaikkan kadar pemindahan wang bersasar kepada mereka yang berpendapatan rendah, maka pihak majikan akan mempunyai alasan untuk mengurangkan gaji kepada pekerjaan yang bergaji paling rendah.

Namun, senario adalah berbeza untuk UBI. Apabila setiap orang mempunyai pendapatan asas yang terjamin, khususnya untuk golongan pekerja, mereka akan mempunyai lebih ruang dan kebebasan untuk meninggalkan kerja yang tidak disukainya (kerana gaji rendah, keadaan kerja yang teruk, layanan daripada majikan yang tidak berperikemanusiaan, suasana tempat kerja yang tidak mesra dan sebagainya). UBI akan menjadikan pasaran buruh lebih ketat, iaitu kurang atau tiadanya lagi sejumlah besar penganggur atau bakal pekerja yang tiada pendapatan dan terdesak untuk mendapatkan pekerjaan baru supaya boleh terus hidup. Pekerja-pekerja yang ada jaminan pendapatan melalui UBI akan mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih baik untuk mendapatkan kerja dengan gaji yang lebih munasabah dan syarat pekerjaan yang lebih baik. Mereka juga akan mempunyai masa untuk mencari kerja yang menawarkan layanan yang lebih baik, dan tidak perlu tergesa-gesa untuk menerima apa sahaja pekerjaan yang ada. Sesetengah pekerja juga dapat berhenti kerja tanpa bimbang hilang semua punca pendapatan, dan memulakan perniagaan sendiri, ataupun belajar kemahiran baru untuk kerja yang menjamin masa hadapan yang lebih cerah.

Dengan ini, golongan majikan yang memerlukan pekerja untuk melakukan kerja-kerja yang tidak disukai orang ramai, khususnya kerja-kerja 3D (dirty – kotor, dangerous – bahaya, difficult – susah), perlu memperbaiki syarat kerja ataupun meningkatkan upah untuk kerja itu setinggi mungkin untuk menarik pekerja.

20200617 - Diego-Rivera--Detroit-Industry-Murals.-Rachele-Huennekens

UBI dan pemulihan ekonomi pasca-pandemik koronavirus

Pandemik koronavirus yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020, telah memberi impak yang besar kepada ekonomi global. Banyak sektor ekonomi tergendala, malah adanya yang gulung tikar kerana aktiviti ekonomi yang terbantut akibat daripada krisis penularan wabak koronavirus dan langkah-langkah kawalan pergerakan yang terpaksa diambil oleh kerajaan-kerajaan untuk membendung wabak.

Ancaman krisis ekonomi global sudah pun wujud walaupun tanpa pandemik koronavirus, tetapi pandemik yang menular di seluruh dunia pada tahun 2020 ini telah mempercepatkan dan memperhebatkan lagi krisis ekonomi di peringkat global. Pelbagai usaha sedang diambil oleh kerajaan di seluruh dunia untuk menangani kesan pandemik dan memulihkan semula ekonomi negara masing-masing. Banyak negara mengumumkan langkah-langkah bantuan kewangan yang melibatkan pemindahan wang terus ke dalam tangan rakyat untuk mengurangkan kesusahan mereka semasa krisis ini. Kerajaan Malaysia juga mengumumkan siri langkah-langkah rangsangan ekonomi yang melibatkan juga pemindahan wang melalui program seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Selain pelbagai bantuan disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat, idea UBI turut menerima perhatian. Di negara Sepanyol yang menerima kesan hebat daripada pandemik koronavirus, kerajaan campuran yang terdiri daripada Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE) dan Unidas Podemos telah bercadang untuk melaksanakan skim pendapatan asas sebagai instrumen berkekalan untuk membantu keluarga yang berpendapatan rendah dan bimbang tentang punca pendapatan. Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sánchez telah mengumumkan bahawa kerajaan Sepanyol akan memperuntukkan lebih kurang €3 bilion setahun untuk membantu hampir 850,000 buah keluarga di bawah program pendapatan asas minimum tersebut.

Di Amerika Syarikat, salah seorang ahli politik yang pernah mengambil bahagian dalam pemilihan awal Parti Demokratik untuk calon Presiden tahun 2020, Andrew Yang, telah mengetengahkan UBI sebanyak USD1,000 sebulan sebagai tawaran utama semasa kempen pilihanrayanya. Alexandria Ocasio-Cortez, seorang Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat berusia muda yang juga merupakan anggota Democratic Socialists of America (DSA), juga menyeru untuk melaksanakan UBI sebagai respon kepada impak pandemik koronavirus.

Dalam tulisannya yang mengkritik Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), telah menyarankan kepada Kerajaan Malaysia supaya melaksanakan skim Pendapatan Asas Sejagat (UBI) yang diubahsuai, sebagai salah satu langkah untuk menangani masalah kehilangan pendapatan yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah dalam keadaan kemelesetan ekonomi. Dr. Jeyakumar mencadangkan bahawa sejumlah wang RM1,000 dipindahkan setiap bulan kepada akaun wanita dalam keluarga di mana kedua-dua suami isteri tidak mempunyai apa-apa pendapatan. Dianggarkan sekitar 2 juta isi rumah memerlukan program pemindahan wang seperti ini. Ini akan memakan belanja sebanyak RM24 bilion setahun, bersamaan dengan lebih kurang 10% daripada Belanjawan Persekutuan. Namun, pembiayaan wang ini tidak akan menyebabkan kekayaan negara kita melesap begitu sahaja ataupun tersalur ke dalam poket golongan kroni yang mungkin akan melarikannya ke akaun bank di luar negara. Wang ini bukan sahaja membolehkan keluarga yang berpendapatan rendah atau langsung tiada pendapatan untuk mengharungi tempoh yang kritikal semasa krisis ekonomi tanpa mengalami kelaparan, malah ia merupakan suntikan wang secara terus ke dalam pasaran tempatan yang akan membantu dalam memulihkan perniagaan kecil, seperti penjaja jalanan, penjual makanan, kedai runcit dan sebagainya. Pelaksanaannya juga tidak susah kerana Kerajaan Persekutuan sudahpun mempunyai pangkalan data penerima Bantuan Prihatin Nasional.

Walau bagaimanapun, UBI bukannya sedekah kepada golongan miskin, sebaliknya ia perlu dijadikan sebagai satu aspek penting dalam pakej perlindungan sosial yang menyeluruh kepada semua rakyat supaya menjamin kesejahteraan hidup masyarakat secara bersama. UBI perlu dilaksanakan secara serentak dengan program pembaharuan ekonomi yang lain, seperti jaminan kerja yang diwujudkan secara langsung oleh kerajaan melalui perbelanjaan dan pelaburan dalam sektor ekonomi yang berlandaskan kelestarian masyarakat.

Kerajaan perlu melabur sejumlah besar kekayaan negara dalam sektor ekonomi dan perkhidmatan yang penting, seperti membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui, menggalakkan pertanian tempatan untuk menghasilkan makanan, memulihkan hutan yang dimusnahkan oleh pembalakan yang tidak terkawal, membina dan menyelenggara rangkaian pengangkutan awam yang efisien, mengambilalih kilang-kilang yang tutup untuk mengeluarkan barangan keperluan rakyat, menyediakan perkhidmatan jagaan masyarakat yang sesuai kepada semua golongan yang memerlukan jagaan, dan banyak lagi. Semua ini akan menjana pekerjaan untuk rakyat dan membina semula ekonomi negara ke arah berlandaskan kesejahteraan masyarakat bukannya keuntungan korporat.

20200617-Mike-Alewitz--The-City-at-the-Crossroads-of-History-Mural

UBI sebagai pelengkap kepada perlindungan sosial yang komprehensif dan transformatif

Kita tidak boleh melihat Pendapatan Asas Sejagat (UBI) sebagai ubat mujarab yang dapat menyelesaikan sepenuhnya kemelut ekonomi yang kita hadapi pada masa kini. Pembayaran wang tanpa syarat kepada semua rakyat melalui UBI, boleh jadi hanya sekadar penyelesaian kepada simptom-simptom dan luka luaran untuk sistem kapitalis yang sentiasa dilanda krisis, sekiranya kita tidak menyedari punca sebenar krisis dan membangunkan alternatif yang sebenar.

Krisis ekonomi yang memberi impak besar kepada jaminan kesejahteraan rakyat hari ini adalah berpunca daripada sistem kapitalis itu sendiri, iaitu satu sistem sosio-ekonomi yang berlandaskan pemaksimuman keuntungan bagi golongan korporat untuk memenuhi logik pengumpulan modal yang berterusan. Sistem sosio-ekonomi kapitalis telah mewujudkan eksploitasi dan alienasi terhadap pekerja, di samping membawa ancaman bertahap kepupusan spesies manusia kepada sistem ekologi alam seluruh dunia. Percanggahan dalam sistem kapitalis juga mengundang krisis ekonomi secara kitaran, sama ada tercetusnya pandemik atau tidak. Kita perlu mencabar sistem kapitalis itu sekiranya hendak membebaskan masyarakat kita daripada belenggu krisis ekonomi yang sentiasa berulang dan menjadi hidup rakyat lebih teruk setiap kali krisis melanda.

Selagi punca krisis ekonomi kapitalis tidak ditangani dengan perubahan sistem secara total, berapa banyak pun pemindahan wang kepada pekerja yang menganggur atau mereka yang berpendapatan rendah, melalui UBI atau program bantuan kewangan yang lain, hanya sekadar mengubati simptom tetapi tidak menghindarkan diri daripada penyakit itu sepenuhnya. Oleh itu, sekadar melaksanakan UBI adalah tidak mencukupi, sebaliknya kita perlu membangunkan dasar menyeluruh yang melibatkan perlindungan sosial yang sempurna kepada semua dan memperkasakan masyarakat untuk melibatkan diri dalam proses politik secara kolektif.

Kita juga tidak boleh membenarkan pelaksanaan UBI dijadikan alasan oleh kerajaan untuk mengurangkan peruntukan dalam perlindungan sosial yang sedia ada dan sepatutnya ada, seperti sistem kesihatan awam, pendidikan, pengangkutan awam, perumahan sosial, bekalan air bersih, perkhidmatan jagaan dan sebagainya. Sebaliknya, kita perlu terus berjuang untuk memastikan UBI berfungsi sebagai pelengkap kepada perlindungan sosial yang menyeluruh dan menjamin kesejahteraan masyarakat.

Mencabar sistem kapitalis bermakna kita perlu memperkuatkan kuasa kelas pekerja untuk mengatasi kekuasaan kapitalis, membebaskan tenaga buruh daripada rantai komodifikasi, dan memperkukuhkan kekuatan masyarakat untuk mengatasi dominasi ekonomi kapitalis. UBI boleh dijadikan sebagai salah satu alat untuk memutuskan hubungan kebergantungan kelas pekerja pada kekuasaan modal yang bersifat eksploitatif, dan membuka lebih banyak ruang kepada usaha pembebasan golongan pekerja dan rakyat bawahan.

Kita perlu terus memperjuangkan dan mempertahankan perlindungan sosial yang menyeluruh untuk semua rakyat. Kita tidak boleh menggantikan sistem perlindungan sosial yang sedia wujud sepenuhnya dengan UBI, sebaliknya kita perlu menjadikan UBI sebagai pelengkap kepada sistem perlindungan sosial yang mampu menyediakan lebih banyak ruang kepada rakyat biasa untuk mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan masyarakat dan membawa perubahan sebenar kepada sistem yang sedia ada.