(gambar arkib)

oleh S. Arutchelvan

Saya merujuk kepada artikel “Subsidi gaji minimum untuk PKS sekat produktiviti, kata ahli ekonomi” yang diterbitkan pada 20 April 2022.

Saya dengan hormatnya merujuk kepada cadangan Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) yang berkata bahawa walaupun cadangan PSM itu praktikal, tetapi “ia tidak sepatutnya dilaksanakan” dalam isu pemberian subsidi gaji.

PSM sebenarnya bersetuju dengan pandangan Williams bahawa Kerajaan tidak sepatutnya melayan cadangan pemberian subsidi gaji kepada syarikat yang tidak cekap atau “zombie”. Itulah sebabnya kami membidas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar, yang mahu memberikan pengecualian kepada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Kami berpendirian bahawa Kerajaan perlu membuat kajian mengenai kesahihan syarikat PKS yang tidak mampu membayar dan membuat penilaian, bukannya pukul rata.

Yang keduanya dari segi prinsipnya, Kerajaan memang biasa dengan amalan bailout dan memberikan insentif kepada syarikat-syarikat besar semasa krisis ekonomi. Maka dalam aspek yang sama, apakah salahnya memberikan insentif (subsidi) supaya pekerja dapat menikmati gaji minimum? Kami berpandangan bahawa keutamaannya mestilah untuk membantu golongon termiskin dan bukan golongan terkaya pada masa sekarang. Bayaran subsidi ini juga boleh disalurkan melalui dengan cara yang berkesan supaya ia terus pergi kepada pekerja dan bukan kepada pemilik syarikat PKS.

Cadangan Williams mengenai cukai pendapatan negatif atau kredit cukai adalah satu pandangan yang menarik dan boleh diterokai. Namun sekali lagi, ia harus dipantau dengan baik memandangkan banyak pihak mempunyai pelbagai helah untuk tidak membayar cukai. Maka cadangan ini memerlukan pemantauan yang lebih menyeluruh. Memberikan bantuan langsung seperti BR1M/BSH/BPN/BKM adalah lebih berkesan untuk membantu golongan sasaran. PSM telah mengusulkan sejenis bayaran yang serupa dengan pendapatan asas sejagat (UBI) di mana rakyat yang amat terkesan harus dibantu secara langsung dengan bantuan bayaran bulanan. Kami juga telah membuat kajian yang menyatakan bahawa kerajaan mampu melaksanakan ini.

Berkenaan isu percukaian yang disentuh oleh Williams dan juga Barjoyai Bardai, PSM mempunyai pendirian yang berbeza jika berbanding dengan pemikir-pemikir aliran arus perdana. Sebenarnya banyak negara maju mengenakan pelbagai cukai ke atas golongan yang mahakaya, di mana mereka mempunyai cukai seperti Cukai Perolehan Modal (Capital Gain Tax), Cukai Harta Kekayaan (Wealth Tax) dan sebagainya, dan ini tidak memberi kesan kepada ekonomi mereka, malah membolehkan negara-negara ini terus mengamalkan dasar negara kebajikan.

Sistem kapitalis neoliberal hari ini menyebabkan dan memastikan syarikat-syarikat multinasional (MNC) terus memaksa kerajaan di negara sedang membangun memberikan pelbagai pengecualian cukai kepada syarikat-syarikat dari negara maju itu, jika tidak, mereka mengugut bahawa tidak akan melabur. Lupakah kita bahawa bagaimana Lynas yang menghasilkan sisa buangan radioaktif diberikan pengecualian cukai selama 12 tahun? Justeru, PSM telah mendesak negara-negara ASEAN untuk berpakat dan mengawal cukai korporat supaya memastikan pelabur asing tiada pilihan dan terpaksa membayar cukai yang munasabah serta tidak menggunakan isu pelaburan asing untuk melaga-lagakan negara-negara ASEAN sesama sendiri.

Pelbagai hujah yang diberikan oleh ahli ekonomi seperti Barjoyai Bardai selalunya berkisar pada isu produktiviti seolah-olahnya pekerja Malaysia mempunyai produktiviti yang rendah. Ini adalah tidak benar.  Berdasarkan Laporan Produktiviti 2018/2019 oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia, pertumbuhan produktiviti buruh Malaysia melebihi negara maju lain (seperti Singapura, Australia, Korea, Jepun dan Amerika Syarikat) dari segi output setiap orang yang bekerja dan output setiap jam bekerja. Oleh itu, hujah-hujah seperti pekerja Malaysia tidak produktif adalah hujah lapuk yang dari dulu lagi digunakan oleh Tun Mahathir untuk menjustifikasi bahawa gaji minimum tidak boleh dinaikkan. Pada masa yang sama, mereka langsung tidak ada masalah dengan gaji tertinggi yang dinikmati oleh segelintir kecil. Gelojoh sungguh mereka.

Cadangan PSM dalam mencukai yang kaya sebenarnya membawa kepada satu agihan kekayaan yang lebih baik, satu cara untuk mengurangkan jurang kekayaan dan memang merupakan satu amalan yang direstui oleh semua agama – iaitu yang kaya memberi kepada yang tidak berada. Itulah konsep sistem zakat. Mengapa apabila kita meminta golongan yang kaya itu dicukai, pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan oleh golongan yang kaya itu padahal wang mereka akan digunakan untuk kebaikan rakyat sejagat? Bukankah itu satu amalan yang baik?

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published.