Puluhan ribu rakyat Colombia telah mengambil bahagian dalam aksi mogok nasional pada 21 Oktober 2020, untuk memprotes terhadap dasar sosial dan ekonomi yang dibawa oleh Kerajaan pimpinan Presiden Iván Duque. Gerakan protes rakyat Colombia yang terdiri daripada pekerja-pekerja, petani-petani, guru-guru, pelajar-pelajar, masyarakat orang asal dan golongan keturunan Afrika, menuntut pada Kerajaan Colombia supaya merespon segera terhadap situasi serius yang sedang dihadapi oleh rakyat di negara itu.

Demonstrasi jalanan telah diadakan di seluruh negara Colombia pada 21 Oktober 2020, untuk menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap isu-isu penting seperti krisis ekonomi, pengangguran yang semakin teruk, keganasan polis, pembunuhan terhadap pemimpin gerakan sosial, aktiviti kumpulan bersenjata yang bermaharajalela, dan sebagainya.

Di bandaraya Bogotá, ibu negara Colombia, golongan pekerja daripada sektor-sektor yang berlainan turun ke jalanan dan berarak ke Plaza Bolívar, untuk menuntut pelaksanaan pendapatan asas terjamin, belanjawan yang lebih besar untuk bidang kesihatan, pendidikan dan perumahan, sokongan kepada perniagaan bersaiz kecil dan sederhana, serta menghentikan pembunuhan terhadap pembela hak asasi manusia, pemimpin komuniti, aktivis wanita dan LGBTQI. Kesatuan-kesatuan sekerja Colombia juga bermobilisasi untuk menuntut pembatalan Perintah 1174 yang memperkenalkan “pembaharuan” yang menghakis hak pekerja dan pencen dengan teruk. Mereka yang berprotes di jalanan mempamerkan sepanduk-sepanduk yang berwarna-warni, menyanyikan lagu-lagu rakyat dan mempersembahkan tarian tradisional. Aksi protes ini agak aman kerana pihak polis tidak menyekat demonstrasi dengan cara yang ganas.

Lebih 8,000 orang daripada gerakan masyarakat “Minga untuk mempertahankan kehidupan, wilayah, demokrasi dan kedamaian” dari wilayah barat daya Colombia yang tiba di Bogotá pada 18 Oktober 2020 untuk berjumpa dengan Presiden, juga menyertai aksi mogok ini. Minga ialah perkataan bahasa masyarakat orang asal Quechua yang merujuk kepada tindakan kolektif untuk kebaikan komuniti. Peserta-peserta Minga menuntut pada kerajaan pusat Colombia supaya mengambil langkah segera untuk menghentikan pembunuhan terhadap pemimpin masyarakat yang semakin serius di kawasan luar bandar. Masyarakat orang asal ini juga menghadapi masalah keganasan kumpulan bersenjata dan pengusiran paksa. Mereka turut menggesa kerajaan Colombia supaya menunaikan kewajipannya di bawah perjanjian damai yang ditandatangani oleh kerajaan yang dipimpin oleh Juan Manuel Santos sebelum ini dengan kumpulan gerila Angkatan Tentera Revolusioner Colombia (FARC) pada tahun 2016 di Havana, Kuba. Seperti tahun yang lalu, kerajaan pimpinan Iván Duque yang berkuasa sejak tahun 2018, enggan mengadakan dialog dengan perwakilan Minga dan Duque sendiri meninggalkan Bogotá untuk mengelakkan diri daripada berjumpa dengan mereka. Namun begitu, anggota-anggota Minga memberitahu pada media bahawa aksi mereka berjaya menunjukkan ketidakmampuan Presiden Duque untuk mentadbir negara itu.

Selain Bogotá, protes rakyat yang serupa juga berlangsung di bandar-bandar lain di Colombia, termasuk Armenia, Barranquilla, Bucaramanga, Cali, Cartagena, Cúcuta, Manizales, Medellín, Pamplona, Popayán, Villavicencio dan Yopal. Seruan untuk aksi mogok nasional ini dibuat oleh banyak organisasi massa dan kesatuan sekerja, seperti Kesatuan Pekerja Pusat (CUT), Konfederasi Umum Buruh (CGT), Persekutuan Pekerja-pekerja Pendidikan Colombia (Fecode), Jawatankuasa Mogok Nasional (CNP) dan sebagainya.

Dalam satu hantaran twitter yang dibuat oleh Diógenes Orjuela, Presiden CUT, beliau berkata, “Mogok nasional ini menyampaikan perasaan lebih 40 juta orang rakyat Colombia yang sedang bergelut dengan kelaparan, kekurangan perkhidmatan kesihatan yang sesuai, pengangguran dan kehancuran perusahaan kecil dan sederhana, jutaan pekerja menganggur, keganasan terhadap wanita dan rakyat yang lain, serta peluang pendidikan yang tidak menentu.”

Aksi mogok nasional pada 21 Oktober 2020, merupakan sebahagian daripada gelombang kebangkitan rakyat Colombia yang tercetus sejak bulan September 2020. Peristiwa pembunuhan Javier Ordóñe oleh polis pada 9 September 2020, telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara Colombia. Aksi demonstrasi membantah keganasan polis ini telah dilayan dengan kekerasan, dengan 13 orang mati dan ratusan orang cedera akibat reaksi ganas polis.

Gelombang protes massa melawan dasar neoliberal kerajaan pimpinan Duque juga pernah tercetus pada bulan November 2019. Namun, kerajaan pimpinan Duque masih berdegil hendak meneruskan dasar-dasar yang menghakis hak dan kesejahteraan rakyat biasa. Banyak kumpulan progresif telah mengecam kerajaan pimpinan Duque atas kekurangan kesungguhan politik untuk melaksanakan langkah-langkah yang mampu menghentikan keganasan yang semakin serius di negara itu, di samping gagal merespon dengan baik terhadap krisis kesihatan, ekonomi dan sosial yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19. Pada ketika ini, Colombia merupakan negara ketiga paling teruk dilanda wabak COVID-19 di rantau Amerika Selatan, berada di belakang Brazil dan Argentina. Jumlah jangkitannya mencecah 990,000 orang dan angka kematian menghampiri 30,000.

2 thoughts on “Colombia: Mogok nasional bantah dasar neoliberal dan keganasan politik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *